2
MIRA Maira mula
memusatkan pandangan dan fikirannya kepada buku-buku yang ada di hadapannya.
Hanya tinggal dua minggu, peperiksaan STPM akan bermula. Dia akan berusaha
sebaik mungkin. InsyaAllah, itulah tekadnya.
Namun keadaan itu hanya sementara sahaja,
fikirannya mula melayang, teringatkan pada seseorang. Siapa lagi kalau bukan
suaminya yang tercinta. Cinta? Tolonglah sikit, lelaki sombong macam itu yang
aku buat laki? Ya Allah… kenapalah Kau aturkan takdirku seperti ini? Eh, tak
baiknya dia... nak salahkan Allah pulak? Hatinya mula berkata-kata.
Dia sendiri tidak mengenali siapa suaminya.
Tahu-tahu dia sudah sah menjadi isteri lelaki itu. Dan itulah kali pertama dia
melihat wajah suami tercintanya. Huh! Dasar anak orang kaya, muka buat tak
nampak aje kita. Mira Maira jadi geram pula.
Sesudah sahaja mereka sah bergelar suami isteri,
lelaki itu terus pulang ke Kuala Lumpur sampailah sekarang ini, lelaki itu
tidak pernah menjengok isterinya ini.
Hai… apakah kesudahan episod hidupnya nanti?
Mira Maira memejamkan matanya, cuba mengingati
wajah suaminya itu. Sedaya upaya dia membayangkan wajah sebenar yang hadir
secara mengejut dalam diari hidupnya. Ya… lelaki itu. Bibirnya mula tersenyum,
dapat juga otaknya memfokus seraut wajah yang tidak pernah sekalipun dia
impikan. Wajahnya yang putih bersih, bertahi lalat di ekor matanya, bulu keningnya menambahkan cantik matanya. Hidungnya yang mancung serta mulutnya yang sentiasa
merah. Amat berbeza dengan dirinya.
Kulitnya hitam manis seperti penyanyi Dayang Nurfaezah. Bulu kening pula tebal namun
masih lagi berbentuk runcing. Hidungnya tidak mancung mana tapi bolehlah kalau
orang sekali pandang nampak juga mancung itu pun mesti pandang daripada tepi.
Kalau hadapan… faham-faham sudahlah. Dia mula tersenyum. Tapi ramai orang kata
bibirnya seperti bibir pelakon Era Fazira berbentuk dan nipis. Itu orang kata,
bukan dia yang perasan. Matanya juga, nampak besar dan berbulu mata lebat.
Mira Maira mula tersenyum lebar. Sepanjang
pernikahan mereka, lelaki itu tidak mampu mengukir segaris senyuman. Sah-sah
memang kena kahwin paksa. Wajah yang kacak itu asyik masam mencuka dan sesekali
menjeling tajam ke arahnya. Sudahlah ketika itu dirinya tidak bersolek.
Cukuplah memakai tudung dan berbaju kurung biasa. Kalau lihat daripada luaran,
sepertinya mereka berdua telah ditangkap basah.
Tiada sebarang majlis diadakan, atas permintaan
lelaki itu. Pada Mira Maira pula, dia tidak kisah langsung. Dia pun tidak
bersedia lagi mahu berkahwin, namun kerana atuknya, dia akur juga.
Ah… lelaki… lelaki. Sangka kau aku hairan sangat?
Eh siapa nama suami aku tu ya? Mira Maira mengerutkan keningnya cuba mengingati
nama suaminya sendiri. Sudahnya dia menyelongkar laci dan mengambil kad kahwin
mereka. Alif Hazriq Bin Mustaffa Harun.
Dia menyebut nama itu berulang kali. Harapannya
agar dia tidak lupa nama itu. Nama orang yang telah menikahinya dan sah menjadi
suaminya. Entah mengapa bibirnya tidak henti-henti menyebut.
“Cubalah menyayangi dia, Mira. Atuk harap cucu
atuk akan mendapat kebahagiaan daripada pernikahan ini,” itulah pesan atuknya.
Bahagia? Mampukah dia membina rumah tangga yang
bahagia? Sedangkan lelaki itu langsung tidak pernah mengambil tahu keadaan
dirinya. Sudah dua minggu mereka bernikah, satu khabar berita tidak pernah
dititipkan buatnya. Apatah lagi mahu bertanya khabar. Bodohkan dia? Bulat-bulat
menerima segala keputusan yang dibuat oleh atuknya itu? Nampak sangat lelaki
itu tidak mahukan dirinya. Ah… kenapa aku jadi seperti ini?
Mira Maira menyimpan semula kad itu. Tangannya
mengambil buku yang perlu diulangkajinya. Dia cuba membuang segala perkara yang
melibatkan perasaan. Untuk apa dia mengingati orang yang tidak pernah
mengingati dirinya. Dia kembali, cuba menumpukan sepenuh perhatiannya kepada
pelajaran. Tugasnya sebagai pelajar belum selesai. Dia perlu melunaskannya
terlebih dahulu.
Baca buku jangan sampai jauh
malam
Itu pesanan ringkas daripada orang yang tidak
dikenalinya. Entah siapa yang tersalah sms. Tahu pula dia aku tengah membaca?
Soal Mira Maira sebaik sahaja dia membaca sms yang dikirimkan oleh seseorang.
Siapa seseorang itu? Dia sendiri tidak tahu.
Gatal juga tangannya dan terus membalas.
Awak siapa?
Dia menanti seketika.
Satu2nya lelaki yang sah
menjadi suami awak.
Mira Maira tersenyum. Oh! Rupanya suami dia
sendiri.
Thanks… ingat juga awak pada
saya…
Skema sahaja bunyi ayat itu, namun dia rasa seronok
pula.
Dah semua dalam keadaan
terpaksa, ini pun kena paksa juga.
Senyuman yang tadinya mekar, terus mengendur
bibirnya. Sebak pula di hati menjadi penganti rasa seronoknya itu. Dia
meletakkan kembali telefon bimbitnya. Tanpa sedar air matanya mengalir di pipi.
Ya… kalau tidak kerana dipaksa orang sudah tentu
dia tidak akan kisah dan malas hendak ambil tahu. Dia membiarkan sahaja sms itu
tanpa balasan. Sudahnya dia menghempaskan tubuhnya di atas katil, tiada
ulangkaji lagi. Fikirannya menjadi kusut pula.
ALIF HAZRIQ memandang
telefon bimbitnya. Hmm… tidak berbalas smsnya tadi. Entah mengapa dia rasa
bersalah pula. Tidak sepatutnya dia menulis begitu. Walaupun memang dia kena
paksa dengan uminya. Matanya dilontar ke arah Dyna yang sedang menari dengan
teman-temannya. Sesekali Dyna melambaikan tangan ke arahnya.
Mira Maira… bibir itu menyebut nama itu. Segaris
nama yang tidak mampu mengetarkan jiwa lelakinya. Berlainan dengan Dyna,
jelingan matanya sahaja hati lelakinya sudah bergetar, belum lagi lentok manjanya.
Sebab itulah, apabila uminya menyaran atau lebih tepat memaksa dirinya
mengahwini gadis itu, dia cuba menolak. Berhari-hari dia tidak pulang ke rumah,
namun akhirnya dia tewas juga. Dia tidak sanggup membuang uminya. Baru dua tiga
hari, jiwa cengengnya kembali. Dia mahu dengar bebelan umi, dia rindu dengan
cubitan umi. Sudahnya dia pulang juga ke rumah.
Setelah itu, dengan begitu pantas sekali dia sudah
bergelar suami orang. Permainan apa yang sedang dia lakukan? Berani dia
mengambil risiko ini. Bagaimana kalau Dyna tahu dia sudah menjadi suami orang?
Serabut kepalanya apabila memikirkan masalahnya itu. Bertambah serabut apabila
mendengar muzik yang membingitkan telinga. Alif Hazriq keluar daripada kelab
malam itu, dia mahu mengambil angin buat seketika.
Dyna yang menyedari kehilangan Alif Hazriq, mula mencari lelaki itu. Dicelah-celah orang ramai di dalam kelab malam itu,
dia meloloskan diri. Dia tidak mahu kehilangan lelaki itu. Lelaki yang menjadi lubuk duit buat dirinya.
“Di sini rupanya you.” Tegur Dyna sebaik sahaja
nampak kelibat Alif Hazriq yang sedang merenung lampu neon di luar permis itu.
“You dah puas menari? Nak balik?” soal Alif
Hazriq. Dia tiada mood hendak bersosial pada malam itu. Dia rasa penat dengan
masalah yang sedang dihadapinya.
Dyna beraksi manja. Terlentok sana, terlentok sini.
“You kenapa, nampak boring sangat? You ada masalah
ke?”bukan dia tidak perasan perubahan lelaki itu.
“Sorrylah,
sayang. I penat sangat. Jom kita balik?”
“Balik? No!
I belum puas lagi menari.” Rengek Dyna. Alif Hazriq tersenyum.
“Kalau begitu, you masuk dalam dulu. Nanti I
menyusul. I nak ambil angin,” pujuk Alif Hazriq, Dyna kegembiraan, terus
sahaja dia berlari-lari anak masuk ke dalam kelab malam itu semula. Hidup masih
muda, perlu enjoy!
Dyna, lenggok tubuhnya sahaja bisa membuatkan
jiwanya jadi tidak tenteram. Renungan mata si gadis membuatkan dia tidak tidur
malam. Dia tidak menyesal mengangkat Dyna sebagai kekasihnya, gadis itu amat
manja.
Dyna merupakan model produk bagi syarikat Alif
Hazriq. Sejak di hari pertama mereka bekerjasama, dia sudah mula tertarik
dengan gadis itu. Apatah lagi pertemuan demi pertemuan membenihkan rasa cinta
di hatinya.
Alif Hazriq mula mengeluh. Perhubungan mereka
mendapat tentangan daripada uminya. Babahnya pula buat tidak tahu, namun dia
yakin babahnya juga bersependapat dengan umi sebab itu mereka sanggup berpakat
menikahkannya.
Siapa sangka lelaki yang hidup bebas dan lebih
mengutamakan kerjaya tiba-tiba telah menjadi suami kepada perempuan yang tidak
dicintainya? Huh! Ia satu bebanan yang luar biasa. Dia mengeluh lagi. Arghh! Umi
tidak pernah mahu faham jiwa mudanya. Namun, mampukah dia menentang uminya sendiri?
PULANG jam dua pagi
sudah menjadi kebiasaan buat Alif Hazriq. Hidup perlu ada kebebasan, barulah
rasa kepuasannya. Dia suka hidup begitu, tiada kongkongan daripada sesiapa,
walaupun uminya selalu juga berleter. Dia tidak pernah peduli.
Sebaik sahaja pintu rumah agam itu dikunci, dia
dikejutkan oleh satu lembaga yang tegak berdiri. Berderau darahnya sebaik
sahaja melihat lembaga itu. Pantas dia menekan suis lampu. Wajah itu merenung
tepat padanya.
“Babah tak tidur lagi?”
Lelaki itu hanya mendiamkan diri. Alif Hazriq
gelisah, apakah benar lelaki yang sedang berdiri tegak di hadapannya itu
adalah babahnya? Atau itu hanya jelmaan sahaja?
Tanpa berfikir panjang, Alif Hazriq menonggeng
lantas melihat lelaki yang berdiri itu melalui celah kelengkangnya. Ternyata
kaki lelaki itu memijak jubin yang berkilau itu.
Dato’ Mustaffa Harun menyembunyikan senyumannya.
Mahu sahaja dia melepaskan tawanya dengan aksi pelik anaknya itu. Namun selagi
terdaya dia cuba tidak tersenyum.
“Takut ke? Sampai tertonggeng baik punya, dah
macam penerjun tinggi babah tengok,” tegur Dato’ Mustaffa Harun.
Alif Hazriq tersengih-sengih. Malu dengan
perbuatan bodohnya sebentar tadi. Apa tidaknya, selama ini dia punya cakap
besar, dia tidak takut dengan perkara-perkara karut seperti hantu dan yang
sewaktu dengannya. Hari ini tiba-tiba sahaja dia jadi seram sejuk.
“Taklah, babah. Tadi tu, senaman pagi. Kalau nak
kuatkan otot kaki, memang kena senam macam tu,” helah Alif Hazriq. Dato’
Mustaffa Harun menggeleng.
“Sedar pulak kamu ya, sekarang ini dah pagi?
Ingatkan tak sedar tadi. Kamu ingat rumah ni hotel ke? Kamu boleh keluar sesuka
hati. Balikpun suka hati juga. Kamu tau tak, telinga babah ni dah naik menanah
dengar umi kamu bising. Sedarlah sikit Alif... Kamu tu dah jadi suami orang,
masih lagi mahu berfoya-foya dengan perempuan lain?” itu yang sebenarnya. Dato’
Mustaffa Harun sudah naik jelak bila saban hari isterinya bising.
“Babah… rilekslah, umur saya masih muda lagi. Masa
nilah nak enjoy puas-puas. Lagipun, bukan kemahuan saya nak menikah dengan
budak tu,” selamba sahaja Alif Hazriq menjawab.
Dia menghenyakkan punggungnya
di sofa. Panas betul telinganya apabila babahnya mula persoalkan segala
aktiviti hariannya itu. Dia tahu, umilah yang punya angkara. Umi memang begitu,
kalau dia tidak mampu hendak nasihat lagi, pasti dia akan cucuk babahnya pula.
Hah! Malam ini tadah sahajalah telinga. Giliran babahnya pula yang membebel.
“Memang betul, kami yang paksa kamu mengahwini
budak Mira tu. Tapi sebagai seorang suami, kamu juga kena bertanggungjawab.
Kami lakukan untuk kebaikan kamu juga, Alif…” perlahan Dato’ Mustaffa Harun
memujuk.
Anak lelakinya itu keras kepala juga. Tidak ubah
seperti perangainya ketika muda. Dia juga begitu, menentang apa sahaja
rancangan orang tuanya. Namun dalam pada itu, dia juga menurut. Perkahwinannya
dengan isterinya itu juga orang tua yang rancang. Bezanya, dia dahulu bukanlah
kaki perempuan dan tidak pula dia pergi ke kelab malam. Dia hanya menghabiskan
masa dengan kesibukan kerja.
“Dan… kamu juga jangan lupa janji kamu suatu
ketika dahulu...” ungkit Dato’ Mustaffa Harun lagi. Cuba mengingatkan anak
sulungnya itu.
“Okeylah, babah. Saya dah letih sangat. Saya naik
tidur dulu,” Alif Hazriq bangkit, dia mengurut-urut tengkoknya yang sudah mula
memberat. Dia mahu mengatur langkah tetapi terhenti apabila mendengar suara
babahnya lagi.
“Ingat, Alif. Kalau kamu sia-siakan Mira… babah
tak jamin kamu akan miliki semua ini lagi. Kamu fikirkanlah baik-baik,” seraya
itu juga, Dato’ Mustaffa Harun bingkas. Dia mendekati anaknya itu lalu
ditepuknya bahu anak terunanya itu. Bibirnya terukir senyuman sinis. Bererti
hanya tunggu dan lihat sahaja.
Alif Hazriq terkaku. Bermakna mereka mengugut
dengan cara halus. Berat benar dadanya apabila mendengar kata-kata babahnya
itu. Bermakna…? Wajahnya diraup dan kemudian dia memegang tengkuknya.
MIRA Maira bersolat
hajat. Semakin kerap dia bangun pagi, selain daripada menelaah buku, dia juga
membuat qiamulail. Biarlah dia sandarkan harapannya kepada Allah setelah dia
berusaha bersungguh-sungguh. Hanya itu yang mampu dilakukannya sebagai hamba
yang kerdil di muka bumi milikNYA ini.
Di waktu dinihari itu, dirasakan ketenangan yang
hakiki. Dia tidak akan peroleh ketenangan begitu kala mentari menyinarkan
cahayanya. Kerana dirasakan waktu dinihari itu, hanya dia semakin dekat dengan
pemilik dirinya itu. Di ketika itu jugalah dirasakan Allah akan makbulkan
doa-doanya.
Usai sahaja dia bersolat, dia menghadap pula
buku-bukunya. Ketika itu juga dia rasakan dia perlu melakukan sesuatu. Tanpa
berfikir panjang, telefon bimbitnya dicapai. Dia menaip sesuatu dan kemudian
dia menekan butang hantar. Setelah itu dia rasakan kelegaan yang amat sangat.
Di Kuala Lumpur, sms itu telah diterima. Dengan
berat hati, Alif Hazriq membaca sms tersebut.
Maaf menganggu, saya ingin
minta maaf daripada hujung rambut hingga ke kaki. Izinkan saya mengambil
peperiksaan ini dan hulurkanlah doa buat saya agar mudah saya menjawab
soalan-soalan nanti. Saya tak tahu kenapa perlu saya hantar mesej ini kepada
awak, tetapi hati ini hendak sangat lakukannya. Maaf sekali lagi…
Berulang kali Alif Hazriq membaca sms itu. Dia
menggelengkan kepalanya. Kenapa gadis itu tidak tidur lagi? Untuk apa dia
belajar bersungguh-sungguh, bukankah dia telah menjadi menantu kepada seorang
usahawan yang berjaya? Bukankah itu impian gadis itu sehingga memerangkap
dirinya sekali? Dia tahu, semua itu rancangan keluarga gadis itu. Yang terlalu
tamak haloba. Mahukan kemewahan sekelip mata. Begitu mudah babahnya menerima
saranan atuk gadis itu. Huh! Dasar tidak sedar diri. Kutuknya dalam hati.
Dia mula berfikir, dia akan lakukan sesuatu agar
ikatan mereka yang belum lagi secara rasminya menjadi suami isteri yang sebenar
akan putus begitu sahaja. Ya! dia akan lakukannya. Dia akan rujuk mana-mana
info tentang status dirinya sekarang ini. Dia juga akan diamkan diri sehingga
masa yang sesuai. Biarlah perkahwinannya itu terbatal dengan sendirinya. Dia
bukan bodoh sangat dalam hal agama ini.
“Aku akan pastikan wahai gadis hitam manis, kau
tak jadi ahli keluarga Dato’ Mustaffa Harun. Semuanya akan berakhir tak lama
lagi… tunggulah!” dia tersenyum panjang…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan