Pengikut

Isnin, 5 Ogos 2013

TEASER -> JANGAN PANDANG SEBELAH MATA, BRO!

TEASER 3



“Sayang… selama ni hubungan kita tak pernah ada masalah kecuali umi you yang tak restu. Tapi sekarang ini, kenapa you ubah fikiran. Apa salah I? Cakaplah, sayang…” panjang tangan Dyna cuba mencapai tangan Alif Hazriq, seraya itu juga Alif Hazriq menyandarkan tubuhnya.
“I rasa lebih baik you jangan mengharap apa-apa daripada I. Lagi pun umi I…”
“Lagi-lagi umi you! You ni memang suka duduk bawah ketiak umi you, kan? Langsung tak boleh buat keputusan sendiri. You kena tegas, sayang… umi you tak patut campur dalam urusan kehidupan you…” tempelak Dyna.
“Umi I adalah nyawa I. I takkan sesekali jadi anak derhaka. I tak kisah apapun yang you nak cakap. Ini kehidupan I, jadi…”
“Sayang…”
“Tolong, Dyna. Terimalah hakikat. Cuba jangan jatuhkan maruah you sendiri dengan timbulkan gosip-gosip yang tak betul. Kalau you nak mencipta populariti sekalipun, jangan dengan cara ni… banyak cara lain lagi. You buktikan kemampuan you dalam bidang lakonan.” Kata Alif Hazriq penuh mengharap.
“I tak kira, sayang. You dah janji dengan wartawan you nak buat sidang akhbar. I nak you war-warkan tarikh pernikahan kita. You jangan buat macam ni pada I.” rayu Dyna pula.
“I takkan buat apa-apa pengumuman. Dan I takkan buat sidang akhbar dalam masa terdekat ini. Ini keputusan muktamad I,” tegas Alif Hazriq.
“A… apa yang you cakapkan ni? You tak boleh buat I macam ni. You tak boleh, sayang tolonglah… tolong…” Dyna mula cemas.
“Tolong keluar, Dyna. I tak ada masa nak layan kehendak gila you tu.” Alif Hazriq mengangkat ganggang telefon, dia mendail nombor Maslina.
“Mas, masuk sekarang…”
“You…” Dyna bangkit dengan perasaan marah.
Kedengaran pintu diketuk.
“Masuk!” arah Alif Hazriq.
Maslina melangkah masuk, dia memandang wajah kelat Dyna. Dyna enggan keluar daripada situ.
“Ya, Encik Alif?” Alif Hazriq memandang wajah Maslina.
“Tolong bawakan surat yang saya suruh buat tadi untuk Cik Dyna ni. Kebetulan dia dah ada di sini. Jadi kita bagi terus pada dia.” Arah Alif Hazriq.
“Baik, Encik Alif Hazriq.”
Maslina keluar semula. Alif Hazriq pula pura-pura menyemak fail yang ada di atas mejanya. Dyna pula memadang wajah Alif Hazriq.
“Surat apa yang you nak bagi pada I?” soal Dyna setelah diam membisu buat seketika.
“Nanti you bacalah sendiri.”
Dyna muncung semula. Lelaki itu acuh tak acuh sahaja melayannya.
Maslina muncul semula membawa sepucuk surat untuk Dyna. Dia memberi surat itu kepada Alif Hazriq. Lelaki itu menandatangani surat tersebut.
 “Ini untuk you, Dyna.” Alif  Hazriq menghulurkan sepucuk surat kepada Dyna. Dyna merampas surat tersebut. Dia membacanya.
“Apa ni? You tak boleh buat macam ni, sayang…” surat itu dicampak semula ke atas meja Alif Hazriq. Dia enggan menerima kenyataan.

Isnin, 24 Jun 2013

TEASER >>> JANGAN PANDANG SEBELAH MATA, BRO!

TEASER 2

“You memang tak guna! Lepas apa yang you buat pada I, you langsung tak mahu bertanggungjawab! Lelaki pengecut!” Dyna terus mengamuk. Tubuh Alif Hazriq dipukul-pukulnya.
Selepas itu tanpa diduga, Dyna terus menyerang Mira Maira. bagaikan orang gila, Dyna memekik-mekik dan memaki hamun Mira Maira. Gadis itu sangat takut dengan situasi itu.
“Anak perompak! Tak sedar diri! Ada hati nak rampas kekasih aku, sedarlah diri tu sikit,” dia terus menyerang, namun Alif Hazriq melindungi Mira Maira.
“Eh! You ni kenapa? Dah gila ke?” herdik Alif Hazriq.
“You cakap I gila? Hah! Memang I gila! Semuanya sebab you!” melengking suara Dyna. Dewan itu senyap sunyi hanya suaranya sahaja yang kedengaran.
“Kalau semua orang nak tahu, perempuan ini adalah anak seorang perompak yang terkenal sikit masa dulu. Perompak yang dijatuhkan hukuman mati! Perempuan ni tak sedar diri!!!” jeritnya.
Mira Maira terkejut, dia rasa malu. Tanpa membuang masa dia terus berlari keluar dari dewan itu.
“Mira!” laung Alif Hazriq. Tanpa membuang masa, dia terus mengejar Mira Maira.
Pang!!!
Belum sempat Dato’ Mustaffa Harun menampar pipi Dyna, makdek terlebih dahulu telah menamparnya. Muka makdek sudah merah padam menahan marah. Memang pantangnya apabila ada yang mengungkit kisah arwah abangnya itu.
“Kita jumpa di mahkamah!” Dato’ Mustaffa Harun memberi amaran kepada Dyna. Majlis itu terpaksa dibubarkan kerana masalah itu.


P/S :

Biarpun ciput tapi saja nak ingatkan kalian pada MIRA MAIRA... sayang korang....

Rabu, 19 Jun 2013

CIK BODYGUARD!



4
Cuba diusir rasa resah…
Ia tetap dapat dirasai…

“AGAK-AGAK, Hira dapat ke kerja tu?” soal Amani sambil mengunyah nasi goreng yang aku masak petang tadi.  
Aku yang sedang menelaah buku di meja makan, mengangkat wajah. Aku pandang wajah Amani yang duduk di hadapan aku.
“Entahlah, kak. Kalau dapat Alhamdulillah. Kalau tak, cari kerja lain ajelah…” jawab aku sambil lewa. Memang tak ada semangatpun.
“Lah… kan ke Hira ada sijil pengawal peribadi. Takkanlah mereka tak terima. Lagipun akak dengar khabar angin, bos tu nak perempuan.”
“Nak perempuan? Habis tu, kenapa dia buka untuk lelaki juga? Peliklah, kesian diorang buang masa kat situ tunggu giliran temuduga tapi akhirnya ambil perempuan juga,” bantah aku. Langsung tidak bersetuju dengan cara bos Amani itu. cakap sahajalah terus terang.  
“Mungkin diorang baru buat kata putus nak ambil perempuan. Masa buat iklan hari tu, diorang memang membuka kepada sesiapa saja.” balas Amani. Aku menggeleng.
“Akak tau tak diorang punya temuduga tu memang tak masuk akal langsung. Ada ke dia tutup mata orang lepas tu suruh teka bahan-bahan masakan. Apa kes? Terang-terang lelaki tak dapat nak jawab. Lainlah dia pakar memasak, hah memang senang kacanglah.”
Amani tergelak.
“Hah! Tengoklah, akak pun boleh gelak, apatah lagi orang yang kena temuduga ni. Puas dah otak ni fikir apa motif diorang buat macam tu.”
“Hira… Hira…” Amani pula menggeleng.
“Kenapa pulak?” soalku pelik.
“Hira terfikir tak yang diorang tu saja nak menguji? Mungkin diorang nak tengok, macam mana cara kita menghadapi situasi begitu. Misalnya situasi yang tak diduga. Sama ada kita panik ataupun tak. Itu ada kaitan juga dengan kerja yang Hira minta tu. Manalah tau, Hira berhadapan situasi yang Hira sendiri tak jangka. Apa yang patut Hira buat, sama ada tinggalkan, mengalah atau hadapi juga?” Amani menerangkan maksud temuduga tersebut. Itu sekadar pandangan peribadinya sahaja.
Aku tersentak dan termenung seketika. Begitu juga dengan Killa yang sejak daripada tadi memasang telinga. Seperti aku juga, dia turut kerahkan otaknya untuk berfikir kebenaran kata-kata Amani tadi.
Mahu saja aku menyepak kepala aku yang langsung tidak terfikir semua itu? Betul juga! Menghadapi situasi yang tak diduga. Hmm… mujurlah aku dapat juga hadapi. Kalau tidak… tapi entah betul entahkan tidak aku jawab tadi, belasahlah labu…
“Hira dapat jawab ke tak?”
Aku mengangguk.
“Akak tau minat Hira, kan?”
Amani pula yang mengangguk. Memasak! Itulah hobi aku. Kalau minta tolong masakan apa-apa saja, aku tidak pernah menolak. Walaupun waktu itu di tengah malam. Kebiasaannya aku sudah menyediakan bahan-bahan masakan terlebih dahulu. Bawang merah, bawang putih, lada semuanya telah siap diblander. Ia sangat menjimatkan masa. Aku belajar semua tupun dari nenek. Nenek kata, jadi perempuan ni kena kreatif, bukan pasif hehehehe.
“Akak yakin, Hira yang dapat kerja tu.”
“InsyaAllah… kalau dapat, Hira belanja korang berdua,” kataku selamba, padahal dalam hati tidak ada keyakinan langsung.
“Wah! Tu yang nak dengar tu. Aku suka! Aku suka!” hampir terlonjak-lonjak Killa. Aku hanya menjeling dia. Aku juihkan mulut aku tanda meluat.
“Hesy… pantang budak ni dengar makan free. Laju aje,” sindir Amani. Killa tersengih. Dia mana tahu ambil hati, orang cakap apa dia tersengih saja.
“Mestilah, beb! Apa perkara yang paling best sekali, kalau bukan makan free? Orang nak belanja, kita cuma hantar perut aje. Bukan susah sangat…” jawab Killa selamba badak.
“Yalah tu… cuba tengok badan tu dah mula naik, tak perasan ke? Sana sini lemak lebih-lebih. Nanti baju-baju awak tu tak muat, baru tau.” Sindir Amani lagi yang merupakan kakak sepupu Killa.
Terkekeh-kekeh Faghira tertawa. Memang nampak ketara tubuh Killa semakin berisi sejak kebelakangan ini.
“Mana ada!” Killa kurang senang. Aku apa lagi tukang gelakkan dia.
“Kalau tak percaya, pergi timbang sekarang. Berapa kilo dah awak tu naik?” sakat Amani, sengaja dia hendak kenakan adik sepupunya itu.
“Ah… malas nak timbang. Biarlah nak naik ke, nak turun ke… apa yang penting sekali, hati kita happy!” bidas Killa, tidak sedikitpun dia berkecil hati dengan Amani.

“MINGGU depan,  lepas kita habis periksa kita balik kampung nak tak, Hira?” Killa menarik kerusi yang ada di hadapan aku.
Amani sudah masuk dalam biliknya.
Aku angkat muka, lantas memanandang wajah Killa. Kemudian aku mengeluh berat.
“Minggu depan nenek aku kan ke pergi China?”
“Minggu depan ke dia pergi?”
“Ya…”
“Alah… kalau nenek kau tak ada, macam biasalah lepak rumah aku ajelah… weh kita dah lama tak balik kampung. Mak aku dah mula bising. Dia kata aku ni dah mula lupa diri. Aku tak sedap hatilah kalau mak aku cakap yang bukan-bukan macam tu…” pujuk Killa.
“Mak kau tau, kan? Kalau kita tak balik pun kita tak keluar ke mana-manapun. Kita memerap dalam rumah aje. Aku bukannya apa, malaslah kalau nenek tak ada. Tak best… kalau lepak rumah kau, aku segan dengan abah kau tu.” Aku menahan tawa bila Killa buat muka.
“Hek eleh… sejak bila kau tau malu pulak dengan abah aku ni? Selalunya kau larung aje…” Killa membaling gumpalan kertas ke arah aku. Terhambur juga tawa kami berdua.
“Serius, Killa. Aku macam tak ada mood nak balik kampung. Kalau kau nak balik, nanti aku hantarlah kau. Tapi hantar kat puduraya ajelah.” Kata aku sambil bibir aku tersengih lebar.
Killa buat muka lagi.
“Alah…. Bosanlah kalau kau tak ada… mesti panas telinga aku dengar panjang lebar leteran mak aku tu… jomlah, Hira.” Pujuk Killa lagi.
“Macam aku tak kenal kau. Aku tau ada sebab lain kau sibuk ajak aku. Apa kau nak takut, tadah ajelah telinga kau tu. Paling tidakpun, dia berleter aje. Bukan kena pukulpun…” perlahan suara aku seakan merintih nasib sendiri.
Pada aku, Killa beruntung punya ibu bapa yang sangat mengambil berat. Sedangkan diri aku? Hmm… mudah benar tubuh ini akan jadi sasaran tangan papa. Semudah itu juga papa akan melepaskan geram. Apa daya aku untuk melawan? Seburuk-buruk papa, itu saja orang tua yang aku ada selain dari nenek.
“Hira…” Killa memandang aku yang mula berubah mood. Aku mula rimas bila dia pandang begitu.
“Aku okey, Killa. Jangan risau.”
“Tak apalah, aku balik sorang. Janganlah kau sedih-sedih macam ni… aku tak sanggup tengok wajah mendung kau lagi.”
“Aku okey-okey aje… kau jangan risau, ya?” aku cuba tersenyum. Biarpun hati aku mula berdebar-debar sebaik sahaja aku teringatkan papa.
“Okeylah aku masuk tidur dulu. Kau ni kalau baca buku pelajaran tak apa juga, ni menelaah novel tak habis-habis. Aku risau tengok kau ni. Risau rebut taufan papa kau lagi, kau buat selamba aje.” Killa membebel, dia bangun, kerusi yang didudukinya tadi di tolak ke dalam meja.
Aku apa lagi hanya mampu tersengih.
“Orang cakap dia tersengih-sengih. Macam kerang busuk. Dahlah, jangan tidur lewat sangat,” akhirnya Killa angkat kaki juga. Mesi dia menyesal bercakap dengan aku umpama bercakap dengan beruang panda yang dah kaku. Killa melangkah ke biliknya.
Aku mula termenung. Aku tahu Killa sayangkan aku. Tapi aku pula? Hmm… jiwa aku terlalu mendesak, memberontak, semuanya menjadi satu! Oleh kerana itulah, aku tidak peduli apa yang akan terjadi nanti. Benar-benarkah aku tidak peduli? Aku tidak mampu mengupas perasaan aku sendiri.
Aku menutup novel yang aku baca. Kemudian aku menyusun buku-buku yang ada di atas meja itu. aku bangun, memeriksa pintu sama ada sudah berkunci ataupun tidak. Lampu dipadam dan kemudian aku masuk ke dalam bilikku.

MAHU tidur, mata aku masih tidak mengantuk lagi. Aku capai laptop yang ada di meja sisi katil aku. Setelah semuanya sudah siap bersedia, aku membuka skype. Nama seseorang aku dail.
“Hello, sayang… manja, intan payung, busuk, bacin…” kedengaran suara beserta wajah yang sedang tersenyum terpamer di skrin komputer riba aku.
Aku tertawa.
“Lagi?”
“Nak apa lagi? Dah cukup-cukuplah tu. Kalau sebut lebih-lebih, hah silap-silap penuh muka tu sebab lubang hidung dia besar,” seloroh lelaki yang ada di dalam laptop aku.
Lagi kuat aku ketawa.
“Ada apa panggil abang ngah ni?”
“Rindu sangat kat abang ngah…”
“Aikk? Rindu aje ke? Tak ada sebab lain?”
“Iya… betul… orang rindu sangat…”
Jujur, aku betul-betul rindu pada abang aku yang seorang ini. Abang yang paling rapat denganku. Tapi, abang aku yang bertugas sebagai doktor ini tiada di Malaysia. Selepas tamat pengajiannya di Mesir, abang ngah memohon kerja di hospital Gaza. Kata abang ngah,, dia mahu berkhidmat di situ biarpun tanpa bayaran. Cukup besar impian abang ngah mahu mati syahid.
“Hira… kalau Hira rindu abang ngah, bila-bila masa boleh panggil abang ngah. Kita sentiasa boleh berhubung, berbanding remaja-remaja di sini… mereka terlalu rindukan Allah kerana itu dia tidak kisah tentang perasaan rindu mereka pada sesama manusia. Apa yang ada dalam kepala mereka mahu berjuang untuk menuntut hak mereka dan mereka juga perjuangkan Islam malah maruah Islam itu sendiri. Mereka tak ada masa untuk melayan perasaan mereka. Yang mereka tahu, mahu melindungi. Bersabarlah dengan perasaan tu, doakan abang ngah di sini. Lagi panjang umur abang ngah, lagi banyak bakti abang ngah boleh hulurkan untuk mereka. Andai Allah izinkan kita bertemu, InsyaAllah suatu hari nanti, abang ngah balik ya?”
Mengalir air mata aku kala mendengar kata abang ngah itu. Namun begitu, bila berbual dengan abang ngah, aku rasa cukup tenang. Biarpun kadang-kadang aku tidak dapat terima apa jua alasan abang ngah berikan. Sudah lama aku pujuk abang ngah supaya pulang ke Malaysia. Pelbagai alasan yang abang ngah berikan.
Tiga tahun yang lalu, bila abang ngah mengambil keputusan untuk menetap di bumi Gaza, papalah orang yang paling kecewa. Dia mengamuk, apa yang aku dengar, habis semua barang papa pecahkan. Tapi abang ngah tetap dengan keputusannya. Biarpun tahu papa akan marah padanya.
“Kenapa diam?”
Aku angkat muka, aku pandang skrin komputer ribaku, abang ngah sedang kembang kempiskan hidungnya. Akhirnya gelak aku pecah juga.
“Gelilah bila abang ngah buat macam tu, eiii… tak senonoh abang ngah ni tau,” kataku, tawaku masih lagi belum berhenti lagi.
Abang ngah aku turut tergelak sama.
“Sekarang, beritahu abang ngah, apa masalah, Hira?”
“Sebenarnya, Hira nak kerja lepas exam ni. Dah tak nak sambung belajar lagi…” perlahan aku menyuarakan hasratku. Aku tahu, tiada siapa yang akan setuju. Tapi berlainan dengan abang ngah, yang lebih bersikap terbuka.
“Jadi?” serius saja wajah abang ngah. Aku mula jadi kecut perut. Takut juga kalau sekiranya abang ngah yang selama ini tidak pernah marah, melenting tiba-tiba.
“Hira… Hira nak bagitau abang ngah aje…” kataku perlahan, seolah aku berbisik dengannya.
“Serius ke Hira nak kerja?” Aku mula tersengih. Aku tahu, abang ngah tidak pernah menghampakan diriku. Laju saja aku mengangguk.
“Kerja apa yang Hira dah mohon?” selidik abang ngah. Sudah menjadi kewajibannya untuk bertanya. Aku faham, bukan mudah untuk menjaga adik  perempuan seperti aku.
“Belum dapat lagi, ingat nak minta izin abang ngah dulu. Kerja kilangpun Hira tak kisah, asalkan rezekinya halal, abang ngah…” aku pandang mata abang ngah. Dia mengangguk-angguk.
“Kalau betul Hira nak kerja, abang ngah izinkan. Tapi jangan kerja yang bukan-bukan. Minta izin juga dengan nenek. Nanti abang bagitau abang long.”
Fuh! Lapang rasa dada aku. Tidak lagi terbeban dengan masalah itu. Senyumanku makin lebar.
“InsyaAllah, abang ngah. Tapi nenek tu asyik tak ada kat rumah aje. Nanti dia nak pergi China pulak. Terima kasih, abang ngah…” meleret suaraku,, manjalah kononnya.
“Biarkan dia, Hira. Dari kecil umur Hira dia jaga, dia tak bebas ke mana-mana, sekaranglah masanya dia nak habiskan sisa hidup dia. Tak apa, doakan dia lebih sihat, bolehlah dia buat ibadah…” nasihat abang ngah.
“Yalah… moga nenek sihat walafiat. Okeylah abang ngah, Hira nak tidur dah. Rasa lega bila dah luahkan pada abang ngah. Terima kasih…” aku tersengih, menanyangkan gigiku yang putih bersih, itu kata orang ya… bukan aku hendak puji diri sendiri.
“Sama-sama… jaga diri, Hira. Tak ada apa yang lebih berharga selain dari nyawa dan maruah diri. Moga jadi wanita solehah, sayang. Abang ngah sayang Hira sangat-sangat…” kedengaran sebak sahaja suara abang ngah. Mataku mula berkaca.
“InsyaAllah, abang ngah. Moga Allah melindungi abang ngah juga. Moga menemui gadis yang mampu menyinari kehidupan abang ngah,” kataku pula.
“Amin…”
“Assalamualaikum, abang ngah.”
“Waalaikumussalam…” jawabnya. Wajahnya mula hilang dari padangan mataku. Aku menutup skype. Inilah yang menyenangkan hatiku. Berbual dengan abang-abangku.
Aku tersenyum senang hati. Apa yang merisaukanku selama ini telah tiada. Kebiasaannya, bila aku beritahu abang ngah terlebih dahulu, pasti abang long dan dua abangku yang lain takkan membantah. Pendek kata, abang long akan turun pangkat secara automatik dengan abang ngahku.
“Alhamdulillah…” ucapku. Komputer riba aku letak pada tempatnya semula. Aku bersiap-siap untuk tidur. Sebelum melelapkan mata, aku cuba memaafkan semua orang termasuklah papa. Biarpun papa tidak menyukai diriku. Apa yang penting, sedaya upaya aku cuba membuang perasaan dendam!
“Bismikallahumahyawaamut…”
Klik! Lampu terpadam dan mata juga turut tertutup sama…

P/S: sudi2kanlah baca ya....

Rabu, 12 Jun 2013

TEASER >> JANGAN PANDANG SEBELAH MATA, BRO!

TEASER 1



“Mas, berikan saya kesemua gambar peserta yang dah dipilih tu,” arah Alif Hazriq.
Pemilihan gambar-gambar itu telah dijalankan oleh juri yang telah dilantik oleh Dato’ Farah sendiri yang terdiri dari rakan-rakan perniagaannya. Dia mahukan ketelusan.
Maslina masuk ke dalam bilik pejabat Alif Hazriq dengan membawa satu fail yang mengandungi gambar-gambar peserta yang menyertai pertandingan itu.
“Ini dia, Encik Alif.” Maslina menghulurkan fail tersebut. Alif Hazriq menyambutnya.
“Ini sepuluh yang terbaik, kan?” Maslina mengangguk.
“Kena buat pemilihan lagi untuk tiga yang terbaik. Dato’ Farah beritahu, minggu ni akan dibuat pemilihan.”
“Okey… kalau boleh buat secepat mungkinlah sebelum pelancaran produk terbaru kita, kologen tu. Kita nak buat pelancaran minggu depan, nanti tak sempat nak pilih yang betul-betul terbaik. Kalau boleh hubungi dato’, tanya dia betul-betul.”
“Baik, Encik Alif. Ada apa-apa lagi, Encik Alif?”
“Okey, awak boleh keluar. Saya nak belek awek-awek ni dulu,” kata Alif Hazriq sambil tersenyum-senyum.
“Amboi macam nak pilih calon isteri pula,” giat Maslina pula. Makin galak Alif Hazriq ketawa. Maslina keluar dari bilik itu.
Perlahan Alif Hazriq belek satu persatu wajah-wajah yang ada dalam fail itu. Dari yang gemuk menjadi kurus. Yang berjerawat batu, ke muka yang lebih licin dari sebelumnya. Dia tersenyum-senyum.
“Perempuan ni kalau nak cantik, sanggup berabis duit,” katanya sendiri.
Namun dia kagum juga dengan semangat yang ada pada mereka. Mereka berusaha bersungguh-sungguh, untuk mendapat apa yang mereka idamkan. Sekurang-kurangnya dia bangga kerana mereka inilah yang melariskan produk-produk keluaran syarikatnya.
Matanya bagaikan tidak percaya apabila melihat testimoni yang dihantar oleh seseorang. Dia merenung lama. Memang sah! Dia tidak salah orang. Melihat nama sahaja dia sudah tahu siapa. Apa lagi bila melihat wajah yang terpapar dalam fail itu. Berat badan dari 42 kilogram telah naik sehingga 52 kilogram! Penambahan berat badan yang agak ketara juga sepuluh kilo!
Dia juga seakan tidak percaya bila melihat wajah gadis itu selepas menggunakan produk Farra Kosmetik. Dia menggosok matanya. Nampak seperti orang lain!
“Cantik!” itulah perkataan pertama yang keluar dari mulutnya.
Dia mengeluarkan gambar itu. Perlahan dia menyorokkan gambar itu di dalam lacinya. Dia tidak mahu gadis itu masuk dalam pertandingan itu. Dia sudah jatuh cinta pada gadis itu!


P/S :
Buat yang merindui Mira Maira dengan Alif Hazriq.... jeng jeng jeng.... pling! pling! saya cuba hilangkan rasa rindu anda..... doakan ia muncul sebagai sebuah novel.... sayang korang semua...

Jumaat, 7 Jun 2013

CIK BODYGUARD!



3
Kemanapun kaki melangkah…
Kenangan silam pasti mengekori…

USAI mandi, aku segera mengerjakan solat zuhur yang sudah di penghujung waktu. Ya Allah… ampunilah aku. Aku tahu, solatku ini bagaikan kain buruk yang layaknya dicampak sahaja ke dalam bakul sampah. Dibuat alas kaki dan diinjak2 ke tepi. Astagfirullah…   
“Ya Allah… aku tahu aku hanya insan yang lemah. Aku tak sekuat mana, namun aku akan lebih tabah dengan keredaanMu… aku akan lebih tenang dengan kasih sayangMu… bantulah aku ya Allah… bantulah aku…”
Tidak sesaatpun aku mampu melupakan kisah hidupku. Tidak! Tidak mungkin sama sekali… aku akan ingat sampai bila-bila! Mungkin juga sehingga ke hujung nyawaku.
Aku berteluku di atas sejadah. Cuba merenung masa depanku yang seakan tiada sinarnya, namun aku tidak punya kuasa luar biasa yang mampu menayangkan apa yang akan berlaku kelak. Aku tertunduk sayu.
“Sampai bila?” masih terngiang-ngiang di telinga pertanyaan abang sulungku.
Ketika itu kami sedang melihat-lihat rumah yang ingin disewa. Ya… rumah yang sekarang ini aku huni bersama-sama dengan Killa dan Amani. Semua itu hasil bantuan abang sulungku. Malah sewa rumah itu juga dibiayai oleh abang aku.
“Entahlah, Hira tak ada jawapannya.”
“Hira…”
“Bukan mudah, abang long. Andai Hira punya kuasa yang mampu hilangkan ingatan Hira ni, Hira akan buat,” perlahan aku berbicara, cuba menutup kesedihan hati.
“Tapi Hira boleh cuba, kan?”
“Sesiapa yang mengalaminya saja yang akan faham perasaan Hira.”
“Abang long tahu… abang long juga sedar, adik abang long ni sangat tabah orangnya. Macam arwah mama…”
Firas, abang sulungku membalikkan tubuh aku menghadapnya. Wajah aku ditatap lembut. Wajah aku yang mampu menyembunyikan sejuta memori kesengsaraan.
“Abang long…” akhirnya aku tewas juga, aku memeluk erat abang sulungku.
“Dahlah… abang long minta maaf ya… lain kali abang long tak desak Hira lagi.” Pujuknya. Dia mengesat air mata yang mengalir di pipiku.
Aku hanya mampu mengangguk. Perasaan sebakku membuatkan mulut aku jadi terkunci. Aku kemam bibir, cuba mengusir perasaan sedih itu pergi.
“Okey, Hira suka tak rumah ni? Ada tiga bilik, satu ada bilik air. Dua lagi biliknya kecik sikit. Hira boleh bawa dua orang kawan Hira duduk sini, hanya dua saja ya. Abang long tak nak Hira duduk ramai-ramai. Segala kos, abang long tanggung.”
Aku mengangguk lagi. Tidak terkata rasanya, abang long memang seorang yang bertanggungjawab. Apatah lagi dalam kebajikan aku.
“Hira rasa okey sangat ni. Tapi kalau Hira bawa kawan, macam mana pulak dengan diorang, sewa tak payah bayar ke?”
“Bayarlah… minta seratus sorangpun okeylah… nanti Hira boleh guna duit tu. Kalau Hira dah suka rumah ni, abang long dah boleh confirmkan.”
“Terima kasih, abang long. Sayang sangat kat abang long…” aku melentok manja di bahu abang long. Dia mengosok kepala aku pula.
“Untuk Hira, abang long sanggup buat apa aje. Ingat tu… abang long takkan biarkan Hira sendirian.” Perasaan aku sebak kembali. Aku sayang abang long, sayang sangat-sangat. Di dunia sampai ke akhir nyawaku. Abang-abangku adalah nyawa bagiku.

PERASAAN aku kian tersentuh. Aku bingkas dari duduk yang lama. Dengan masih bertelekung, aku melangkah ke atas katil. Aku buka beg tangan yang aku gunakan tadi, telefon bimbit  aku keluarkan dari beg itu. Pantas sahaja tangan aku menekan nombor seseorang.
“Assalamualaikum…” jawab suara di hujung talian. Lebar sahaja senyuman aku.
“Waalaikumussalam, abang long…”
“Adik abang long sihat ke hari ni? Apa mimpi call abang long ni, dah makan ke belum?” itulah abang longku. Lengkap soalan yang diajukan. Aku tergelak sendiri.
“Belum makan… abang long tengah makan, ya? Dengan siapa, geli friend eh?” usikku. Kedengaran dia tertawa pula. Malulah tu…
“Belum makan? Biar betul, dah pukul berapa ni tak makan lagi?” aku dapat bayangkan wajah abang longku serius dan dia mula membebel. Mesti rakan di hadapannya tersenyum bila mendengar dia membebel. Alahai, namapun abang sulung. Tak banyak, sikit mesti ada tabiat suka membebel juga.
“Kejap lagi Hira makanlah… abang long janganlah bimbang sangat. Hira saja nak call abang long, rasa macam rindu sangat.”
Dia tertawa lagi.
“Hira teringatkan kisah lama ke?” soal abang long perlahan. Kata-katanya hanya aku seorang sahaja yang mendengarnya. Seolah-olah dia berbisik di telinga aku.
Aku terdiam. Abang long dapat menduga.
“Sampai bila, Hira? Cuba buang jauh-jauh perasaan tu. Abang long tau, Hira seorang yang lembut hati. Maafkanlah dia…” pujuknya. Aku mula menahan sebak.
“Entahlah, abang long. Hati Hira ni…”
“Cubalah, sayang… dah solat?”
“Dah… baru lepas.” Dengan lelaki itu, aku tidak mampu berbohong.
“Ya Allah… kenapa dengan adik abang long ni?” aku tertawa, tahu benar selepas itu aku akan menerima syarahan yang panjang lebar.
“Hira tau… lain kali Hira tak buat lagi eh…”
“Nasib baiklah depan abang long ni ada orang, kalau tak, memang dah kena adik abang long sorang ni.”
“Okeylah, abang long. Hira nak pergi ke dapur cari makanan. Lapar pulak perut ni. Assalamualaikum…”
“Waalaikumussalam… jaga diri Hira…”
Aku tutup telefon bimbitku. Selepas itu aku melipat telekung yang hanya aku longgok di atas katil sebentar tadi. Usai melipat dan menyangkut, aku atur langkah menuju ke ruang tamu. Killa sedang enak melingkar di hadapan televisyen.
“Killa, kau dah masak?” sengaja aku bertanya, walhal aku sudah tahu jawapan rakanku itu.
Killa terkejut bila disapa secara mengejut begitu, dia menoleh ke arah aku. Bibirnya pula tersengih lebar.
“Macam biasalah… setakat goreng telur aku no hal punya... pejam matapun boleh goreng,” cakap sikit punya kerek, padahal goreng telurpun boleh hangus. Aku mencebir.
“Apapun tak boleh!” Pantas kaki aku hayun ke dapur.
“Alah, kaukan ke chef kat dalam rumah ni…”
“Yalah… esok-esok kau nak berlaki, baru kau nak mengelabah belajar masak ke? Kalau aku jadi lelaki, tak ingin aku ambil kau buat bini. Buat lapar perut aje.” Ejekku dari arah dapur.
“Alah aku carilah orang kaya-kaya… mesti dia sediakan orang gaji, masa tulah aku jadi ‘mem’ besar,” jawab Killa selamba.
“Yalah tu… kalau dapat yang kaya, kot dapat yang kayap? Gigit jarilah kau,” usik aku lagi.
“Susah-susah, kau rekemenlah aku dengan abang-abang kau. Takkan sorang pun tak jatuh hati pada aku. Senang sikit, aku suruh kau aje yang masak…”
“Ah… malas aku layan kau. Masak lagi baik.”
Aku melihat nasi yang sengaja dia masak pagi tadi. Oleh kerana terasa malas hendak masak lauk-pauk, aku terfikir hendak masak nasi goreng saja. Nasi goreng planta. Hmmm… sudah lama juga aku tidak makan nasi goreng kegemaran abang ngah aku. Sayu hatiku bila terkenangkan abang aku yang seorang itu. Rindu semakin mencengkam dada.
Bawang putih aku ketuk sahaja. Bawang merah pula sudah siap aku kisar dan simpan ke dalam peti sejuk.
Aku mula menumis, baunya sudah semerbak sehingga membuatkan Killa yang sedang berbaring terus bangkit. Cepat sahaja dia berdiri di sebelahku.
“Weh! Wangi gila. Perut aku jadi lapar sangat dah ni. Aku buat air eh…” automatik, Killa terus jadi rajin. Tapi rajin setakat sediakan air, sediakan pinggan okeylah.
“Kenapa kau jerit tadi?”
Aku yang sedang asyik mengacau nasi goreng menoleh ke arahnya. Keningnya terangkat. Aku pula menjongket bahu.
“Kau teringatkan papa kau?” berhati-hati Killa bertanya. Aku hanya diam.
Mungkin Killa mengerti, diam bermakna usah ditanya lagi. Dia turut diam.
“Tak sabarnya aku nak makan… lapar gila dah ni…” Killa mengusap perutnya.
Aku tahu, dia cuba untuk buatkan aku gembira. Aku hanya tersenyum. Perut aku juga sudah lapar. Kebulurlah kalau hendak harapkan anak dara sorang itu masak.
“Okey, dah siap. Jom kita makan!!!” aku meletakkan kuali dalam singki. Itu kerja Killa. Basuh membasuh segala peralatan dapur. Dapur masak aku sudah lap bersih.
Killa mengambil pinggan. Air oren yang sudah siap dituang ke dalam cawan aku teguk. Aduhai… leganya tekak. Sedap kalau anak dara itu buat air.
“Dah cepat Hira. Aku nak baca doa ni. Bismillahirohmanirohim…” diikuti dengan doa makan.
Kami makan dengan khusyuk sekali. Waktu lapar begitu, tidak ada yang lebih baik dari mendiamkan diri dan menikmati makanan sepenuh hati.

“APA macam, jumpa tak bos akak?” soal Amani. Belum sempat letak beg lagi, dia sudah menerkam ke arah aku yang sedang membaca novel.
“Hesy… akak ni…” Aku mengurut dada. Potong stim betullah anak dara seorang ni. Begitulah kalau aku sudah ralit membaca novel. Orang bagi salampun telinga aku boleh tuli tidak mendengar. Astagfirullah… teruk betullah. Walhal menjawab salam itu adalah wajib.
“Ceritalah… dah tak sabar ni…”
“Nak cerita apa?” berkerut dahi aku, aku menutup novel yang ada di tanganku.
“Alah… buat-buat tak tau pulak. Pasal temuduga tadilah… jumpa tak dengan bos handsome akak?”
“Bos akak yang mana satu eh?” aku mengaru kepala. Aku sendiri tidak tahu yang mana satu bos syarikat itu. Bukan ada gambar dia terpampang di mana-mana.
“Budak ni… dia ajelah satu-satunya lelaki handsome yang teramat sangat kat situ. Tak ada orang lain lagi dah.” Amani memukul bahuku.
“Ada ke yang paling handsome kat situ tadi?” Aku cuba mengingati wajah-wajah yang aku temui siang tadi. Pada aku, biasa-biasa sahaja. Tidaklah sampai aku meleleh air liur bila memandang mereka.
“Pak guard tadipun boleh tahan juga rupa dia, tapi taklah dalam kategori handsome sangat-sangat…”
“Tak boleh harap betul!” marah Amani.
“Marah pulak?”
“Pak guard tu buat apa… dah tua bangka. Kau ni memang sah mata kero. Orang semua cakap Encik Syed Zainul Muttaqin tu kacak sangat. Muka dia macam pak arab kat timur tengah tu….” Terjuling-juling mata Anum mengingat wajah bosnya yang kacak lagi bergaya itu.
“Ooo… ada sorang tu macam bai jual karpet tu ya?” baru aku dapat mengigati wajah lelaki yang melanggar aku ketika mahu melangkah masuk ke dalam lif.
“Apa?” soal Amani dan Killa serentak.
“Apa?” soal aku semula.
“Hira cakap macam muka orang jual karpet?” Amani pecah perut tergelak. Sampai dia terduduk-duduk di lantai.
Aku jadi pelik pula. Killa turut tergelak sama bila melihat Amani yang sudah berair matanya.
“Lawak sangat ke?” soalku bingung lagi tongong, aku membuka novel semula. Malas hendak layan budak dua ekor itu. Gelak macam hantu raya.
“Kalau bos akak tu tau Hira panggil dia macam orang jual karpet, mesti dia menangis guling-guling. Kiranya Hira sorang aje yang cakap dia macam tu. Rata-rata orang perempuan jumpa dia tak berkelip mata memandang.” Amani berkata sebaik sahaja tawanya kian reda.
Aku tersengih tanpa mengangkat wajah.
“Kau ni memang rabunlah. Aku tengok gambar Kak Amani, punyalah kacak bos dia. Kau boleh cakap dia macam orang jual karpet. Langsung tak ada citarasa,” omel Killa.
Kali ini aku angkat muka kemudian aku mencebir ke arahnya.
“Suka hati akulah. Alah setakat muka handsome buat apa, kalau budi bahasa tak ada. Orang jual karpet tupun peramah lagi. Dahlah, aku nak layan novel ni. Layan korang, buat sakit kepala aku aje.”
“Ni mesti ada apa-apa yang berlaku tadi, kan? Kalau tak, takkanlah boleh cakap macam tu.” Tebak Amani.
“Tak pentingpun…”
“Yalah… tak penting… jangan benci-benci orang, nanti jadi suami baru tau…”
“Ek eleh, bila masa Hira benci dia, tak ada maknanyalah.”
“Macam akak tak kenal Hira tu… kalau orang tu baik, Hira mesti puji dia melangit. Tapi ni semacam aje…”
“Betul… betul…” sokong Killa.
“Korang ni… dahlah, cerita lain lagi bagus. Buat apa nak cerita pasal lelaki. Maksiat tau tak?”
“Maksiatlah pulak…” Amani dan Killa serentak bersuara. Rasa membahang muka aku dibuatnya. Aku terus mengambil earphone lalu aku lekap ke telinga. Sudahnya, Amani dan Killa ketawa serentak.
“Malulah tu…” kata Killa.
“Sibuklah kau…” balasku.

Isnin, 3 Jun 2013

CIK BODYGUARD!



2
Apa hendak dikata…
Berserah sahaja kepada yang Esa…

KEPULANGAN aku disambut oleh Killa dengan senyuman penuh makna. Aku senyum ala kadar.   
“Macam mana, dapat?” awal-awal lagi telah diterpa dengan soalan. Aku sudah agak, mesti dia nak mengorek cerita.
Aku menjeling, malas nak jawab pertanyaan rakan serumah aku itu. Aku melangkah masuk lantas terus berbaring di kerusi kayu yang terdapat di ruang tamu.
“Eleh… orang tanya boleh buat muka poyo dia pulak. Oii! Dapat ke tak?” soal Killa lagi setelah menutup pintu grill. Dia duduk di lantai menghadap tempat aku berbaring.
“Entahlah. Kata mereka, nanti mereka bagi jawapannya. Alah, sengallah temuduga macam tu. Aku ingat temuduganya susah atau mencabar sangatlah, tapi rupanya hesy… tak masuk akal langsung!”
Aku memejam mata. Rasa penat masih belum hilang lagi. Bukan penat tenaga tetapi penat fikiran. Asyik meneka-neka sendiri apa tujuan mereka membuat temuduga sebegitu. Biar aku mencangkul tanah, tidaklah sepenat itu.
“Kau ceritalah apa yang diorang tanya tadi,” Killa menarik-narik lengan baju aku. Haiya… budak ni karang, kena juga penangan sulung aku. Aku masih pejam mata.
“Weh! Hampehlah kau ni, aku beriya tunggu kau dari tadi, sampai hati kau tak nak cerita pada aku,” merajuklah pula… mengada-adanya. Aku memusingkan tubuh aku menghadap dia yang sedang bersila di atas lantai itu.
“Hmm… yalah… yalah… aku cerita.”
Killa tersenyum lebar.
“Kau tau…”
“Entah mana aku tau…” celah Killa.
“Aku taulah kau tak tau sebab aku belum cerita, menyampuk aje orang tengah nak tangkap feel ni.”
“Okey, aku zip mulut.”
“Temuduga tadi memang tak masuk akal langsung. Ada ke, nak cari jawatan bodyguard, kena teka bahan-bahan masakan?”
“Hah?!”
“Tengok! Kau pun terkejut, kan? Aku lagilah. Sampai aku sakit kepala fikir, apa motif diorang soal aku bahan-bahan masakan. Nak suruh aku jadi chef ke?”
“Betullah, memang tak logik,” komen Killa.
“Tau tak apa.”
“Tapi kau memang pakar masakan, kan? No hal punya, aku yakin kau boleh jawab, betul tak?” Aku menggeleng sahaja.
“Yalah… kebetulan. Kalau aku jenis tak tau masak macam kau, mahu aku menyorok bawah meja. Sudahlah yang datang hanya dua orang aje perempuan, yang lain semua lelaki,” kataku, mata aku masih lagi terpejam. Rasa penat itu masih lagi bersisa.
“Betul juga.” jawab Killa sambil tersengih. “Eh, kau jumpa tak bos yang Kak Amani cakapkan tu? Bos yang handsome, siapa namanya, hmm Syed apa entah.”
“Aku tak nampak pulak. Lagipun ramailah lelaki handsome kat situ. Pak guard tupun boleh tahan juga, mesti masa muda-muda dia handsomenya.” Selamba aku menjawab.
“Ada pulak pak guard, Kak Amani punyalah promote bos dia, kau ni langsung tak ada perasaan. Lain kali tengok-tengoklah kot ada lelaki paling kacak kat situ. Eeii… ruginya rasa. Kalau akulah, aku cari sampai dapat. Hah! Baru aku teringat nama dia Syed Zainul Muttaqin!” Killa bersorak gembira bila dia teringatkan nama lelaki yang merupakan bos besar syarikat di mana rakan serumah kami bekerja.
“Ah… tak kuasa aku nak cari. Dahlah macam-macam perasaan ada. Aku ingatkan nak kena bertumbuk ke. Tapi aku ada jugalah jumpa sorang mamat ni, punyalah sombong gila. Senyumpun tak nak, mukapun boleh tahanlah. Dia antara orang yang temuduga aku, cuma dia tu asyik pandang aje tanpa bersuarapun. Muka kerek gila, beb!” wajah Killa aku pandang. Cuba mengambarkan lelaki yang cukup sombong pada pandangan mata aku. Susah sangat ke nak tersenyum?
“Dahlah… tak payah pening-pening kepala. Minggu depan dah exam, kau jangan pandai-pandai nak tuang kelas lagi. Kalau nenek kau tau, habislah kau…” Killa memberi peringatan.
Kami melanjutkan pelajaran di Institut Eksekutif Bisnes Malaysia. Bukan dia minat sangatpun, semuanya kena paksa. Aku mengeluh. Sungguh! Hidupnya seringkali diatur membuatkan dia jadi lemas. Akhirnya jiwanya semakin memberontak.

“AKU macam malas nak ambil exam. Biar tak lulus tak apalah,” kataku lalu bangkit dari pembaringan. Killa tercengang.
“Kau jangan cari pasal, Hira!”
“Apa hal pulak kau yang emo sangat pasal aku tak ambil periksa?” soal aku sambil bangun dan melangkah menuju ke bilikku.
“Jangan buat hal boleh tak, Hira? Setakat nenek kau, aku taklah kisah sangat. Tapi kalau papa kau?”  Killa sudah bercekak pinggang.
Aku berhenti melangkah, aku memandang ke arah Killa seketika, kemudian aku rasa mood aku sudah terbang entah ke mana. Kaki  aku bawa ke dalam bilik, birai katil menjadi tempat dudukku kini.
Aku rasa mukaku sudah kepanasan, mengenangkan kisah diri sendiri. Si ‘dia’ cukup membeli jiwaku dengan duit. Hanya kerana duit! Aku tidak pernah merasa langsung kasih sayang seorang bapa. Tidak pernah!
Selama ini apa yang aku tanam dalam kepalaku, aku anak pembawa malang. Setelah mama aku melahirkan aku ke dunia ini, mama mengalami komplikasi yang amat membimbangkan. Malah mama juga terkena demam kuning. Sudahnya mama meninggal dunia. Sejak itulah, papa tidak pernah hendak mengaku aku sebagai anaknya. Hanya empat abang aku sahaja yang selalu melayan aku seperti seorang puteri.
Terkenang memori yang membawa aku jauh dari keluargaku. Hanya kerana sebuah gelas jatuh berderai, papa sanggup memukul aku setengah mati!
“Anak sial! Pegang gelas tu pun macam orang nak mati ke?” seraya itu juga papa bangkit dari kerusi, lalu membalun tubuh kecil aku dengan tali pinggang. Abang-abang aku hanya mampu memandang. Masing-masing takut untuk membantah apa lagi mahu melawan papa.
“Kau memang pembawa malang! Kalau aku tau, aku buang kau kat mana-mana! Rasakan!” pekik papa lagi.
Tubuh kecil aku tidak mampu menanggung derita itu lagi. Raungan langsung tidak mengundang simpati di hati papa.
Setelah puas membalun tubuh kecilku, akhirnya tubuh aku terbiar di atas lantai. Papa meninggalkan ruang makan itu dengan perasaan marah dan geram. Kala itu, mujurlah nenek tiriku tiba dari kampung. Detik hati wanita tua itu membawa petanda, dia memang tidak menyangka satu-satunya cucu perempuan yang dia ada sangat menderita.
Tanpa banyak bicara, nenek yang baru sahaja sampai ke rumahku, pantas mengemas kain bajuku. Nenek telah membawa aku pergi, biarpun tanpa keizinan papa. Papa hanya memandang dari tingkat atas, langsung tiada rasa simpati pada aku. Aku sedar siapa diri aku di mata papa. Aku anak sial!
“Nek… jangan bawa adik pergi…” rayu abang ngah. Satu-satunya abang yang paling rapat dengan aku. Biarpun yang lain rapat juga dengan aku, namun dengan abang ngah, aku lebih dimanjakan.
“Iya… jangan bawa adik pergi, nek…” rayu abang long, uda dan acik. Mereka menarik tangan aku. Kala itu yang aku tahu hanya menangis dan terus menangis.
“Kamu semua nak tengok adik kamu ni lebih derita? Kamu semua tak kesiankan adik ni ke? Adik ni dah puas jadi mangsa panas baran papa kamu tu. Sudah! Jangan halang nenek. Nenek nak bawa Hira pergi dari sini. Biar nenek saja yang bela dia. Kalau kamu semua sayangkan dia, biarkan dia pergi,” kata nenek. Wajahnya cukup serius, sesekali nenek mengesat matanya. Begitu sedih dia melihat keadaan aku yang tidak bermaya.
“Nenek… nenek…” mereka terus merayu.
Namun nenek berjaya juga meloloskan diri dari pegangan mereka berempat. Tubuh kurus aku di baringkan di tempat duduk belakang. Dalam keadaan meniarap, aku tidak mampu menahan rasa sakit bila berbaring secara telentang.
“Papa kau memang kejam!” jerit nenek dalam kereta. Dia menangis semahu-mahunya. Cermin tingkap diketuk dari luar, barulah nenek tersedar kami belum lagi meninggalkan tempat itu.
“Adik! Adik! Adik!!!” jerit mereka berempat.
Biarpun sedih, nenek tidak peduli, dia terus memecut keretanya jauh meninggalkan rumah yang membawa derita buat aku. Biarpun dia hanya sebagai nenek tiri kepada aku. Dia yang menjaga mama aku sejak dari kecil. Dia cukup menyayangi mama seperti anak kandungnya sendiri. Setelah mama meninggal dunia, rasa sayang itu tertumpah pula pada kami semua, cucu-cucunya. Terutama pada aku. Sepanjang perkahwinan nenek dengan atuk, nenek tidak dikurniakan anak.
“Nenek…” rengekku.
“Ada apa, sayang?” air mata nenek tidak kering lagi. Terus mengalir biarpun nenek cuba menahan esak tangisnya.
“Hira nak minum… Hira haus… tadi papa pukul Hira. Hira nak minum. Tangan Hira ni tak boleh pegang gelas tu. Hira… Hira… terlepas…” adu aku membuatkan tangisan yang cuba ditahan-tahan sudah tidak mampu dikekang lagi. Nenek menangis teresak-esak. Mungkin hati tuanya cukup hiba.
“Nek… nek jangan nangis… Hira kuat… ustazah cakap, kita kena kuat biarpun orang marah pada kita. Nanti kalau mati, kita boleh masuk syurga… Hira nak masuk syurga jumpa dengan mama.” Pujuk aku lagi.
Semakin tidak tertahan-tahan lagi. Akhirnya nenek berhenti di tepi jalan. Biarpun perbuatan itu salah, namun dia tidak peduli. Dia menangis di situ. Aku hanya memandang riak nenek yang sangat menghibakan itu. Aku cuba memujuk, namun aku tidak berdaya. Tubuhku rasa sakit sangat.
“Hira duduk dengan nenek ya, sayang?” pujuknya setelah perasaannya sedikit lega.
“Papa tak marah ke, nek?” soalku sambil mengerdipkan mata.
Nenek menggeleng.
“Hira nak sekolah kat mana?”
Aku asyik bertanya, tetapi bila di hadapan lelaki yang dipanggil papa, aku akan mengunci mulut. Tidak berkutik langsung.
“Hira sekolah kat kampung… mulai sekarang, Hira jangan risaukan hal papa. Hira akan tinggal dengan nenek… nenek akan melindungi Hira,” itulah janjinya. Dia menghulurkan air kotak yang ada dalam keretanya itu kepada aku.
“Terima kasih, nek.” Aku tersenyum gembira. Aku cuba mengerakkan tubuhku, namun aku mengaduh kesakitan. Sungguh! Kudrat aku rasakan semakin lemah.
“Hira tidur aje, ya sayang…” pujuk nenek. Akhirnya aku terlena. Sesekali aku terjaga juga apabila merasakan tubuhku tergoyang-goyang dengan pergerakan kereta itu.

AKU mengetab bibir, menahan rasa sedih yang kian memusat dalam dadaku. Aku tidak mampu melupakan semuanya. Aku juga tidak mampu mengusir rasa sedih itu biarpun bertahun lamanya peristiwa itu berlaku.
Perlahan-lahan air mata mengalir juga di pipiku. Papa! Entah sampai bila baru kemarahan papa akan lenyap. Mungkin sehingga ke hujung nyawanya, aku mungkin tidak akan merasa kasih sayang seorang bapa buat selama-lamanya.
“Apa salah aku?” aku mengesat air hidung yang banyak meleleh.
“Aku tak minta pun lahir ke dunia ni. Aku tak punya kuasa nak menahan semua yang berlaku… kenapa papa buat aku macam ni?”
“Anak sial! Anak tak guna!”
Aku menutup telinga. Perkataan itu sering menghantui diri aku. Itulah kata-kata nista yang keluar dari mulut papa sendiri. Aku menggeleng kepala beberapa kali.
“Tidak! Tidak!!!” aku menjerit sekuat hatiku.
Tok! Tok! Tok! Aku dengar pintu bilikku diketuk.
“Hira… Hira…” panggil Killa.
“Hira, kau okey ke? Kenapa kau menjerit?” soalnya cemas.
Aku beristigfar. Tidak sepatutnya aku melayan perasaan yang bisa membuatkan aku rasa tertekan.
“Hira…” panggil Killa lagi.
“Aku okey, Killa…” sahutku perlahan. Suara aku juga sudah berubah.
“Kalau kau okey, tak apalah…”
Killa, satu-satunya rakan yang amat memahami diri aku. Kami berasal dari kampung yang sama. Dari kecil lagi kami sudah rapat, Killa banyak tahu latar belakang diriku. Dialah rakan yang menjadi tempat aku curahkan masalahku.
Aku bingkas, tuala yang ada di tepi katil aku capai. Segera aku ke bilik air. Dalam bilik air, aku melepaskan tangisan lagi. Kebiasaan begitulah, aku tidak mampu menahan-nahan air mata. Aku akan hemburkan selagi tidak rasa puas di hatiku. Aku tidak mahu perasaan itu terus membeku. Aku akan lebih rasa sakitnya.