24
“UMI kecewa dengan Alif. Mana janji-janji Alif dulu. Kata tak ada
apa-apa hubungan lagi dengan Dyna. Kalau ada pun kerana kerja. Ini… apa dah
jadi?” Dato’ Farah agak kecewa dengan laporan akhbar itu.
Alif Hazriq
menunduk sahaja. Dia juga agak hairan bagaimana pula laporan itu boleh keluar
sesuka hati sedangkan kenyataannya ia tidak berlaku langsung.
“Sebab
inilah Alif nak duduk asing dengan umi, kan? Senang Alif nak keluar malam.
Tinggalkan Mira seorang diri semata-mata nak cari hiburan dan lepaskan nafsu
sendiri. Jadikan Mira tu patung hidup tanpa mengira perasaan dia, begitu?”
tekan Dato’ Farah lagi.
“Umi… itu
bukan saya. Percayalah cakap saya…”
“Habis ini
siapa? Nampak macam kamu aje.” Bidas Dato’ Mustaffa Harun pula.
“Masalahnya,
saya sendiri dah lama tak keluar malam dengan Dyna, babah. Lagipun sejak Mira
datang sini, saya dah tak pergi ke kelab malam. Paling tidak, saya keluar ke
Redbox aje. Tolonglah percaya cakap saya ni…” Alif Hazriq bagaikan sedang
disoal siasat. Dato’ Farah dan Dato’ Mustaffa Harun terus sahaja menekan.
“Alif
memang ada niat nak kahwin dengan Dyna ke?” kendur sudah suara Dato’ Farah, dia
tidak larat lagi hendak marah-marah. Dia rasa tiada gunanya kalau dia mengamuk
sekalipun. Jalan penyelesaian tidak dapat juga.
“Saya tak
pernah janjikan apa-apa pada dia, umi. Ya… saya akui dulu-dulu memang saya ada
niat nak kahwin dengan dia tapi… entahlah, umi. Kalau tanya saya sekarang, saya
tak ada jawapannya.” Otak Alif Hazriq sudah tepu. Sudah tidak larat dia hendak
memikirkan apa-apa lagi. Masalah demi masalah datang bertimpa-timpa. Sejak Mira
Maira tidak ada, hidupnya mula kucar-kacir. Semua serba tidak kena.
“Habis tu,
macam mana laporan ni boleh keluar seolah-olah kita dah pergi meminang dia?
Siap mereka telefon orang tua Dyna untuk dapatkan kepastian. Permainan apa ni?”
Dato’ Farah bengang dengan sikap orang tua Dyna yang mengambarkan seolah-olah
mereka sudah merisik dan bertunang mengikut adat.
“Maafkan
saya, umi.”
“Umi boleh
maafkan kamu, Alif. Tapi macam mana dengan Mira? Apa perasaan dia, mesti dia
kecewa, Alif. Umi tahu, kamu bukan melayan dia dengan baikpun. Walau Mira tak
pernah burukkan kamu, tapi umi ni tahu anak umi.” Dato’ Farah merenung wajah
anak sulungnya itu.
“Babah malu
dengan Tok Taha kamu. Apa babah nak jawab dengan dia? Alif kena buktikan yang
dalam gambar tu bukan Alif. Kalau betul Alif tak buat, jangan takut tegakkan
kebenaran. Babah akan senang hati kalau Alif dapat selesaikan semua ni dengan
cara baik.” Celah Dato’ Mustaffa Harun pula.
“Saya tahu,
babah. Saya janji akan betulkan keadaan. Saya akan cari bukti.” Itulah
janjinya. Bercakap dengan babahnya, perlukan bukti yang tidak meragukan. Bukan
senang nak meyakinkan seorang peguam.
TELEFON rumah berdering kuat. Perlahan Dato’ Farah bangkit untuk menjawab
panggilan tersebut.
“Assalamualaikum…”
“Wa’alaikumussalam…
Kak Farah ya?”
“Iya… siapa
ni?”
“Saya
Rehan, Kak Farah…”
“Oh… Rehan…
ingat siapalah tadi, suara Rehan lain sangat…” Dato’ Farah duduk di kerusi yang
ada di sisi meja telefon itu. Dato’ Mustaffa Harun dan juga Alif Hazriq pula
memasang telinga.
“Kak Farah…
Rehan nak beritahu, yang abah Rehan masuk hospital ni. Sekejap lagi nak buat
pembedahan. Kata doktor, jantungnya tersumbat.” Jelas makdek.
“Ya Allah…
bila dia masuk hospital?” Dato’ Farah terus berdiri.
“Dalam
pukul satu pagi tadi, Kak Farah. Dia jatuh, terus tak sedar. Nanti tolong
beritahulah dengan Abang Mustaffa.”
“Ya… ya…
Mira ada situ sekalilah ya…”
“Ada tu,
tengah duduk termenung. Okeylah, Kak Farah… saya nak beritahu itu aje. Kirim
salam pada semua ya… Assalamualaikum.”
Dato’ Farah
meletakkan gangang telefon. Dia memandang ke arah suaminya.
“Tok Taha
masuk hospital. Dia nak operation sekejap lagi. Mari kita pergi ziarah dia,
bang.” Beritahu Dato’ Farah.
Alif Hazriq
terkejut. Spontan dia terbayangkan wajah isterinya.
“Mira,
umi?”
“Kenapa
dengan Mira?” soal Dato’ Farah kembali.
“Marilah…”
Dato’ Mustaffa Harun sudah bersiap sedia. Dia mencapai kunci keretanya.
“Biar saya
bawa kereta, babah.” Alif Hazriq menghulur tangan, meminta kunci kereta
babahnya.
“Alif bawa
kereta sendiri. Kalau nak tidur sana ke, senang nanti. Mira tu perlukan Alif sekarang
ni.” Kata Dato’ Mustaffa Harun pula.
“Batul tu…
dah cepat. Umi nak kunci pintu ni. Nanti umi beritahu Afif.”
“Baiklah,
umi.” Alif Hazriq terpaksa akur juga. Bergegas dia naik ke atas, mengambil
kunci kereta.
Alif Hazriq
mengekori kereta babahnya. Dalam hati dia berdoa agar Tok Taha diberi kesihatan
yang baik. Dia tidak sanggup melihat kesedihan di mata Mira Maira. Apatah lagi
dengan masalah mereka yang menambahkan lagi tekanan buat isterinya itu.
MASING-MASING
menunggu dengan wajah yang sunggul. Baru sejam Tok Taha masuk dalam bilik
bedah. Benarlah kata orang, penantian itu satu penyeksaan. Baru sejam sahaja
bagikan sudah menanti satu hari.
Tok Taha
terpaksa dipindahkan ke hospital swasta kerana proses pembedahan di hospital
sebelum ini memerlukan masa. Pak long Mira Maira telah membuat keputusan agar
Tok Taha menerima rawatan di hospital swasta sahaja. Tidak perlu menanti tarikh
lain untuk dibedah. Biarpun mak longnya tidak bersetuju kerana kosnya pasti
berlipat ganda lagi. Namun apabila dikatakan pak udanya yang membayar kos
tersebut, mak long terus terdiam.
Pak uda
Mira Maira seorang yang berduit. Bisnesnya semakin menjadi-jadi sejak
kebelakangan ini. Sememangnya sudah rezeki keluarganya. Baru sahaja pak udanya
itu berhajat ingin menghantar atuknya ke tanah suci. Tidak sangka pula atuknya
punya penyakit itu.
Dato’ Farah
dan Dato’ Mustaffa Harun tiba di hospital itu dan diikuti oleh Alif Hazriq.
Bergegas mereka mencari keluarga Tok Taha. Kedatangan mereka disambut oleh mak
long Mira Maira. Sangatlah hipokritnya dia melayan tetamu merangkap keluarga
besan mereka.
Apabila
melihat Dato’ Farah datang, segera Mira Maira bangun dan mendapatkan mertuanya
itu. Dia menangis teresak-esak dalam pelukan mertuanya. Mak long serta anaknya
Noni mencebik cemburu.
“Mama…
menyampahnya tengok, mengada-ada.” Bisik Noni.
“Sabar ya
Mira… umi doakan yang terbaik buat atuk Mira.” pujuk Dato’ Farah.
Mira Maira
beralih pula pada bapa mertuanya, dia menyalam tangan babahnya itu. Dato’
Mustaffa Harun menepuk-nepuk bahunya tanda beri semangat.
Saat itu
Alif Hazriq sudah berdiri di sebelah babahnya. Mahu atau tidak, Mira Maira
terpaksa menyalam tangan suaminya itu. Rajuknya masih ada. Masakan dia boleh
melupakan begitu sahaja. Tangan suaminya dikucup lembut, saat itu juga air mata
kesedihan kian laju menuruni pipinya. Alif Hazriq mendakap erat tubuh Mira
Maira.
“Syyy…
jangan menangis…” pujuknya.
Setelah
lama mereka berkeadaan begitu, Alif Hazriq cuba meleraikan rangkulannya, tapi
belum sempat lagi dia melepaskan, tubuh Mira Maira sudah longlai. Mira Maira
tertidur sambil berdiri. Tanpa membuang masa, Alif Hazriq mengendong tubuh
isterinya itu lalu dibaringkan di atas kerusi, dengan kepala isterinya
beralaskan pahanya sendiri.
Bertambah
berbuku hati Noni melihatnya. Betul-betul sakit hati dia dengan Mira Maira.
Entah mengapa sepupunya itu asyik diberi perhatian oleh semua orang. Malah
sanggup atuknya mencarikan jodoh untuk Mira Maira, dengan lelaki kaya pula itu.
Siapa yang tidak sakit hati?
Kalau
ikutkan dari segi cantik, dia lebih cantik daripada Mira Maira. Kulitnya kuning
langsat sedangkan Mira Maira hitam manis. Langsung tidak sesuai dengan lelaki
yang bernama Alif Hazriq itu.
Alif Hazriq
menatap wajah isterinya yang sedang lena itu. Wajah yang menghilang beberapa
hari, membuatkan dia jadi nanar. Tetapi dia masih tidak mengerti, andai dia
sudah jatuh cinta, mengapa perasaan rindu itu tidak hebat mana. Hanya dia rasa
kehilangan sahaja.
Dia
mengusap lembut pipi Mira Maira. Gadis itu tidak sedikitpun terkesan dengan
sentuhannya itu. Sampaikan akhirnya dia juga turut tertidur sama.
ALIF Hazriq rasa bahunya memberat. Matanya dibuka. Dia mengerling ke arah
sisinya. Kepala Noni sudah terlentok di bahunya. Mira Maira pula sudah tidak
ada di kerusi itu. Dia mencari-cari kelibat Mira Maira.
Perlahan
dia menahan kepala Noni. Kemudian dia terus bangun, apa lagi Noni terjatuh atas
kerusi itu. Alif Hazriq terus meninggalkan Noni yang sudah terjaga dari
lenanya. Dia pula tercari-cari ke mana menghilangnya Alif Hazriq?
Ketika
melewati surau, dia terserempak dengan Mira Maira. Gadis itu hanya terpaku
sebaik sahaja melihat Alif Hazriq ada di situ.
“Kenapa tak
kejutkan aku?” soal Alif Hazriq.
Mira Maira
hanya membisu. Kepala ditundukkan.
“Mana babah
dengan umi?”
“Mereka
pergi makan. Awak kalau nak solat, pergilah. Masih ada waktu lagi. Saya pergi
dulu…” Mira Maira baru ingin melangkah sudah ditahan oleh Alif Hazriq.
“Tunggu aku
habis solat dulu, kita pergi sama-sama.” Pinta Alif Hazriq.
“Tapi…”
“Syy…” Alif
Hazriq meletakkan jari telunjuknya di bibir Mira Maira.
Mira Maira
terpaksa akur. Dia mencari tempat duduk. Saat itulah yang buatkan dia rasa
geram. Dia tidak boleh kata ‘tidak’ pada lelaki itu. Mungkin juga atas rasa
hormatkan lelaki itu sebagai suaminya. Kalau tidak…
Alif Hazriq
keluar dari surau dengan senyuman. Sangat comel dan bisa menggegarkan hati Mira
Maira. Segera dia melarikan pandangan matanya sebaik sahaja dia rasakan
jantungnya bagaikan mahu luruh.
“Kenapa
saat hati aku sakit dengan perangainya, perasaan ni makin dekat dengan dia? Apa
yang harus aku lakukan?” bisiknya perlahan. Bila teringatkan apa yang berlaku
sejak kebelakangan ini, dia dihimpit rasa sayu. Kenapa dia perlu hadapi semua
ini?
“Dah, jom…”
ajak Alif Hazriq.
Mira Maira
mengikut langkah suaminya tanpa banyak bicara, tetapi apabila lencongan ke arah
lain, Mira Maira berhenti melangkah.
“Kita nak
ke mana? Saya nak tengok atuk saya,” katanya, memandang wajah Alif Hazriq
dengan pandangan yang sayu.
“Ikut saja…
lepas ni boleh tengok lagi.” Pujuk Alif Hazriq.
“Saya tak
nak…” dia membantah.
“Cakap
siapa yang perlu kau ikut. Cakap aku atau cakap siapa?” soal Alif Hazriq agak
tegas. Wajahnya juga sedikit garang.
Inilah yang
dibenci oleh Mira Maira. Garang tak bertempat. Asyik kena dengar cakap dia aje.
Kalau tidak diikutkan, kata suami… berdosa tu… bebelnya dalam hati.
Dengan muka
yang masam mencuka, dia terus berjalan ke hadapan. Kakinya siap
dihentak-hentaknya lagi. Alif Hazriq tersenyum.
“Macam
tulah budak baik…” usik Alif Hazriq.
Apabila
sudah hampir ke kafe hospital itu, Alif Hazriq segera mencapai tangan
isterinya. Mira Maira yang pada mulanya terkejut dengan tindakan itu terpaksa
menurut sahaja. Tangannya masih digenggam oleh lelaki itu.
“Duduk
sini…” arah Alif Hazriq. Mira Maira menjeling, menyampah! Alif Hazriq hanya tersenyum.
Alif Hazriq
melangkah pergi. Mira Maira melayan perasaan. Kenapa lelaki itu melayannya
seperti ini? Sedangkan sudah terang-terang dia akan mengahwini kekasih hatinya?
Apa tujuannya? Untuk ambil hati? Oh tidak! Dia takkan terpedaya. Dia perlu lakukan
sesuatu. Biarpun nampak salah tindakannya nanti, tetapi dia takkan sia-siakan
hidupnya hanya kerana cintanya pada lelaki itu.
“Nah makan
ni. Aku tau dari pagi tadi kau tak makan, kan?” Alif Hazriq membawa semangkuk
bubur. Air panas dan juga beberapa keping sandwich.
“Saya tak
lapar…” bila melihat makanan itu perutnya rasa sebu dan dia pun rasa mual.
Mungkin perutnya sudah masuk angin.
“Jangan
degil boleh tak? Kalau kau sakit nanti siapa yang susah?” Alif Hazriq mula
mengeraskan suaranya.
“Awak ni…
suka paksa-paksa…” Mira Maira mengambil sudu, dia menyuap sedikit bubur itu ke
mulutnya. Mujurlah bubur, telan sahaja tanpa perlu dikunyah.
“Sedap ke
tak?” soal Alif Hazriq.
Mira Maira
menjongket bahu. Menyuap juga dalam keadaan terpaksa.
“Meh aku
nak rasa…” Alif Hazriq telah membuka mulutnya, dengan berat hati Mira Maira
menyuap bubur itu ke mulut lelaki yang duduk di sebelahnya.
“Hmm… boleh
tahan juga. Makanlah banyak sikit. Habiskan bubur tu. Dahlah kau tu keding,
kalau tak makan lagi keding aku tengok,” bebel Alif Hazriq.
Mira Maira
menjeling geram. Dia menyuap bubur itu dengan lajunya sampaikan dia
tersedak-sedak.
“Hesy… aku
bukan suruh makan laju-laju. Kan dah tersedak… macam budak kecil,” Alif Hazriq
menghulurkan minuman.
“Awak…
kenapa awak baik semacam aje dengan saya hari ni?” soalan maut daripada Mira
Maira membuatkan Alif Hazriq seakan tidak bernyawa. Mereka berpandangan tanpa
ada jawapan.
“ALIF, bawalah Mira balik dulu. Doktor kata atuk dalam keadaan stabil.
Nanti kalau ada apa-apa, makdek bagitau.” Alif Hazriq mengangguk.
“Tak nak,
Mira nak tunggu sini,” Mira Maira membantah.
“Buat apa
ramai-ramai tunggu sini. Pergilah balik dulu. Lagipun pak long dengan pak uda
tu nak tidur rumah atuk. Mira baliklah dulu, ya?” pujuk makdek.
“Tapi…”
“Kalau dia
tak nak balik tak apalah… jangan paksa-paksa. Alif… jomlah kita balik.
Tinggalkan budak degil ni,” Noni sudah berdiri di sebelah Alif Hazriq.
Berkerut
kening Mira Maira. Biar betul kakak sepupunya itu? Sudah rabun atau sudah
hilang separuh akalnya? Tidak kira suami orang ke apa, main larung sahaja. Matanya tajam merenung ke
arah Noni.
“Yang kau
ni kenapa? Kau dah buta ke apa? Dia tu suami Mira bukan suami kau.” marah
makdek, Noni mencebir. Dasar perempuan tidak tahu malu!
“Kita balik
dulu…” bisik Alif Hazriq. Mira Maira mengeluh. Dia tidak punya pilihan, kena
ikutlah cakap mereka.
“Kami balik
dulu, makdek.” Mira Maira menyalam tangan makdek. Mereka meninggalkan hospital
itu. Noni pula asyik mengekori Alif Hazriq sehingga membuatkan lelaki itu jadi
rimas!
p/s :
Kepada rakan2 pembaca sekalian.... kalau sudi, tolonglah promote sekali cerita ni ya.... sayang korang... tanpa korang, siapalah saya....