5
MINGGU yang amat genting. Saban hari Dato’ Farah
menelefon menantunya itu. Mira Maira jadi bertambah lega dan penuh bersemangat
apabila sering dinasihatkan dengan kata-kata yang memberangsangkan. Itulah
sikap ibu mertuanya yang dirasakan seperti ibu kandung sendiri.
“Mira lepas
periksa, kita cari kerja nak tak?” usul Syazana.
“Nantilah aku
tanya atuk aku dulu. Kau tau ajelah siapa yang tak kenal Tok Taha yang punya misai
melenting, tali pinggang besar yang melilit kain pelekatnya. Kau agak-agak dia
benarkan aku kerja ke?”
Syazana
tergelak. Tergambar di ruang matanya wajah garang Tok Taha. Dia juga sedia
maklum, sahabatnya itu merupakan cucu kesayangan walaupun Tok Taha mempunyai
ramai cucu yang lain.
“Mesti dia tak
bagi, kan? Habis sampai bila kau nak duduk kat rumah aje, kau tak bosan ke?”
Syazana sudah berkira-kira mahu bekerja di kilang sahaja. Cukup setakat mencari
duit poket untuk sementara waktu. Selepas mendapat keputusan nanti, barulah dia
mencongak masa depannya sendiri.
“Aku dah
biasa, Ana. Bosan ataupun tak, perkara tu perlu aku tempuhi juga. Kat rumah aku
tu, ada siapa aje? Aku dengan atuk. Kalau aku kerja, balik daripada kerja nanti
sama juga suasananya, tetap sunyi. Apa-apapun, nanti aku bagitau kau, kalau
atuk aku beri keizinan. Kalau tak, kau kerjalah sornag-sorang eh.”
Syazana
menjongket bahu. Dia tahu Mira Maira bukan mudah dipujuk. Cucu yang mendengar
kata. Jadi, dia tidak berharap sangat rakannya itu dapat turut serta. Tetapi,
kalau ada Mira Maira seronok juga.
“Kalau kau
dapat pujuk atuk kau, memang cantik sangatlah tu…” Syazana tersengih.
“Insyaallah
aku cuba ya… dah jomlah balik. Esok kertas terakhir, aku dah tak sabar nak
habiskan. Otak aku rasa nak terburai keluar daripada kepala aku ni. Lepas ni
boleh tidur puas-puas… seronoknya…” mereka berjalan beriringan meninggalkan
perkarangan sekolah.
“Haah, aku pun
macam kau juga. Nak tidur puas-puas. Lepas ni barulah boleh enjoy. Eh mana
Shahir? Daripada tadi aku tak nampak dia.” Syazana panjangkan leher menoleh ke
kiri dan ke kanan.
“Entah manalah
aku tahu. Bukan aku jaga diapun, kau ni pulak…”
“Oii… kau
orang berdua ni, aku lambat sikit aje kau orang dah tinggalkan aku.” Shahir
mendekati mereka sambil berlari-lari anak. Dia termengah-mengah.
“Panjangpun
umur dia, Mira. Jangan pendek nafas sudah,”
“Hesy kau ni,
Ana. Tak sayang mulut betul.” Tegur Mira Maira. Macam biasa Syazana tersengih
sahaja.
“Kau ni lembab
sangatlah. Kau ke mana tadi?” mereka bergerak semula sebaik sahaja Shahir dapat
menyaingi mereka.
“Aku pergi
mana lagi, pergi jumpa pak tan ler…. Perut aku daripada tadi buat hal. Mujur
masa periksa boleh tahan lagi. Eh korang berdua lepas ni nak cari kerja tak?”
“Kau ada
rancangan ke?” Syazana mula teruja. Mira Maira hanya mendiamkan diri sahaja.
“Kau nak kerja
kat kedai bunga mak cik aku tak?” soalan Shahir itu membuatkan Syazana menjerit
kesukaan.
“Betul ke? Kat
mana kedai dia? Seronoknya kalau dapat…” Syazana menepuk-nepuk tangannya.
Menunjukkan dia betul-betul gembiralah itu.
“Hesy… kau ni,
Ana. Agak-gakalah. Semua pandang kat kita ni. Bawa-bawalah kawal diri tu
sikit,” Mira Maira menyiku lengan rakannya itu.
“Yalah, mulut
macam tin kosong. Bising aje. Rilekslah. Kedai bunga dia kat Shah Alam. Kalau
kau betul nak, aku boleh bagitau mak cik aku tu. Kau Mira, tak nak cuba ke?”
“Alah kau
bukan tak tau si Mira ni… nanti Tok Taha keluarkan parang pulak kalau dia pergi
cari kerja.” Syazana ketawa terbahak-bahak. Mira Maira menyepak kaki Syazana.
Mulut macam longkang betul.
“Kau ni, Ana…”
Shahir turut ketawa sama.
“Shahir!!!”
kedengaran suara garau menjerit kuat. Mereka bertiga berpandangan dan kemudian
mencari arah suara garau itu.
Sebuah kereta
proton wira membuat pusingan ‘U’ lantas berhenti di sebelah mereka. Wajah
Shahir sudah pucat lesi. Mira Maira dan Syazana mula tidak sedap hati. Pemandu
kereta itu membuka pintu dengan kasarnya.
“Shahir masuk
sekarang!” jerkah suara itu lagi.
Pak Mutalib,
ayah Shahir memandang ke arah Mira Maira dengan perasaan yang cukup benci. Bila
melihat gadis itu, seolah dia terpandang lelaki yang cukup dibencinya dalam
dunia ini. Siapa lagi kalau bukan perompak yang telah merompak kedai runcitnya
suatu ketika dahulu. Sakit hatinya itu belum hilang walaupun si perompak sudah
meninggalkan dunia ini.
“Berapa kali
aku nak cakap, jangan dekat dengan anak aku! Kau ni pembawa sial kau tau tak?
Bapak dengan anak sama aje!” melengking suaranya membuatkan semangat Mira Maira
terbang melayang. Dia menjadi lemah.
“Ayah…” Shahir
menegah ayahnya.
“Sudah! Kau
diam! Berapa kali aku nak cakap kat kau, jangan dekat dengan budak ni. Aku
benci tengok muka dia.” Marah Pak Mutalib.
Mira Maira
mula rasa sebak, dia memandang ke arah lain, tidak sanggup hendak menghadapi
kemarahan orang tua itu lagi. Mahu sahaja dia menjawab, namun dia bukanlah
jenis gadis yang bermulut celupor. Sabarlah hati…
“Mira…
sabarlah ya. Aku faham perasaan kau.” Syazana memeluk bahu Mira Maira. Dia tahu
rakannya itu rasa malu bila diperlakukan begitu. Lagipun Mira Maira tidak salah
apa-apapun. Semuanya kerana dosa-dosa yang lalu. Yang dilakukan oleh orang tua
Mira Maira.
“Ana… kenapa
orang pandang hina sangat pada aku? Bukan salah aku nak jadi anak perompak.
Bukan juga cita-cita ayah aku nak jadi macam tu. Dia terjebak, aku yakin tu,
Ana. Kenapa semua orang tak dapat lupakan perkara yang dulu?” Mira Maira tidak
dapat menahan air matanya. Dia menangis teresak-esak. Syazana turut mengalirkan
air matanya.
“Tak semua
orang macam tu, Mira. Mak dengan arwah abah aku, tak pernah mereka hina kau.
Malah mereka selalu puji kau, dia kata kau anak yang baik. Mereka juga tak
pernah nak ungkit kisah silam ayah kau. Kau jangan fikir yang bukan-bukan.
Masih ramai lagi yang sayang pada kau.” Pujuk Syazana.
“Entahlah,
Ana. Kalau kau tanya apa yang membosankan aku, inilah perkaranya. Aku bosan
sangat hidup dalam kebencian orang. Sebab tulah, rumah tu semacam syurga buat
aku. Aku rasa terlindung bila duduk dalam rumah. Aku rasa hati aku terjaga.
Tapi bila aku keluar, inilah bahana yang aku dapat.” Semakin tinggi esakan Mira
Maira.
“Ya Allah,
Mira. Kau jangan menangis macam ni… sabarlah…” pujuk Syazana lagi.
“MIRA… baru balik?” soal Tok Taha sebaik sahaja
mendengar cucunya memberi salam. Mira Maira mengangguk, tangan atuknya dicium.
“Pergilah
solat dulu, lepas tu makan. Atuk nak ke kedai sekejap.” Tok Taha sudah mula
bersiap-siap. Mira Maira tetap begitu, hanya mampu mengagguk. Mulutnya terkunci
rapat.
Sepeninggalan
atuknya, Mira Maira membuka album lama. Dia menangis lagi sebaik sahaja
terpandang wajah arwah ayahnya.
“Kenapa Pak
Mutalib tu benci sangat pada Mira, ayah? Apa yang ayah dah lakukan sampai macam
tu sekali sikap dia? Yang jadi mangsa dia adalah Mira, ayah. Tak kira kat mana
aje, dia akan bertempik dan marah-marah Mira.” habis lencun tudung sekolahnya.
Hari itu dia memang hendak lepaskan perasaannya.
Malam hari
Shahir telah menghubunginya. Kalau ikutkan hati, dia tidak mahu bercakap dengan
Shahir. Tetapi memandangkan Shahir juga tidak bersalah dalam hal itu, dia layan
juga.
“Maafkan aku,
Mira.”
“Kau tak salah
apa-apapun, Shahir.”
“Maaf ini dari
pihak ayah aku. Aku tau, maaf yang aku hulurkan tak setimpal dengan apa yang
dia dah buat pada kau. Aku betul-betul malu dengan sikap ayah aku tu.” Keluh
Shahir.
“Dahlah,
Shahir. Aku malas nak ingat-ingatkan lagi. Dah memang nasib aku macam ni, anak
perompak sesiapapun tak boleh terima. Mungkin dia takut aku akan jadi macam
ayah aku, aku akan rompak kau pulak.”
“Kau jangan
buat lawaklah, Mira. Aku tau, kau takkan jadi macam tu. Kau budak baik. Tapi
yang aku tak faham, kenapa ayah aku tu marah sangat pada ayah kau. Takkanlah
tak ada ruang nak maafkan ayah kau tu, lagipun ayah kau dah meninggal. Kadang
aku marah dengan sikap bongkak ayah aku.”
“Biarlah,
Shahir. Jangan pulak kau nak lawan cakap ayah kau. Jangan jadi anak derhaka.
Seburuk manapun perangai dia, dia tetap ayah kau. Lagipun aku dah lupakan dah
apa yang terjadi siang tadi.”
“Terima kasih,
Mira. Aku janji, aku akan cuba lindungi kau sedaya upaya aku. Hanya itu yang
aku mampu buat untuk menebus kesalahan ayah aku tu. Aku takkan benarkan orang
sakitkan hati kau lagi. Walaupun…”
“Kan aku dah
cakap tadi, jangan kau tetang ayah kau sendiri. Aku amat hargai apa yang kau
nak lakukan pada aku. Dan aku percaya cakap kau tu. Tapi jangan disebabkan aku,
kau dengan ayah kau jadi tegang pulak. Aku takkan pecah belahkan keluarga orang
lain” Mira Maira memotong kata-kata Shahir.
“Habis tu
sampai bila kau nak bersabar dan berdepan dengan orang macam ayah aku? Takkan
kau tak nak bela diri kau sendiri?”
“Shahir… kita
ada Allah… berserah saja pada Allah. Aku percaya, suatu hari nanti ayah kau
sedar juga. kau janganlah bimbang insyaallah…”
“Terima kasih,
Mira. Kau amat memahami.”
“Sama-sama…”
Entah mengapa
perasaan sedih itu turut hilang sama. Hatinya menjadi tenang semula.
HARI itu hari terakhir dia menduduki
peperiksaan penting. Dia rasa lega. Hari itu dia tidak balik bersama-sama
dnegan Shahir. Dia tidak mahu insiden semalam berulang lagi. Dia terus pulang
ke rumah walaupun berkali-kali Syazana mengajaknya berjalan-jalan dahulu. Dia
tidak mahu.
“Apa rancangan
Mira lepas ni?” soal Tok Taha selepas solat maghrib.
“Entahlah,
atuk. Ana ajak Mira cari kerja, tapi…”
“Hmm… Mira
tahukan siapa diri Mira? Sekarang ni Mira tak boleh nak pergi ke mana-mana
tanpa izin suami. Apatah lagi nak cari kerja, kalau suami tak izinkan berdosa,
Mira.” Tok Taha mengingatkan Mira Maira.
Mira Maira
hanya mengangguk. Sebab itulah dia tidak berani memberi jaminan kepada Syazana.
Walaupun bayang suaminyapun tidak pernah nampak berkunjung ke rumah itu, dia
tetap berpegang pada ajaran agama.
“Mira tau,
atuk…”
“Kalau kamu
tahu, baguslah. Kalau boleh, kamu pergilah ke rumah mertua kamu tu. Duduk di
sana, sekurang-kurangnya boleh kenal kehidupan mereka dan mengeratkan lagi
hubungan.” Usul Tok Taha.
Berderau darah
Mira Maira dibuatnya. Belum pernah dia berpisah dengan atuknya itu. Lagi pula
mahu duduk di rumah mertua. Sungguhpun dia tahu mertuanya sangat baik hati,
entah kenapa perasaan khuatir, bimbang dan takut tetap tersemat dalam hatinya.
“Tapi atuk…”
“Dahlah, Mira.
Atuk tak nak dengar apa-apa alasan lagi. Meraka juga keluarga kamu.” Tok Taha
meninggalkan Mira Maira yang sedang berperang dengan perasaannya sendiri.
SEBELUM tidur, Mira Maira termenung. Memikirkan
kata-kata atuknya itu. Masakan dia mahu sebumbung dengan mertuanya? Ya Allah…
aku tak pernah duduk dengan orang lain. Kalau mereka dera aku macam mana pulak?
Macam-macam perasaan was-was menerpa benaknya. Naik kusut fikiran dibuatnya.
“Tapi takkan
umi nak dera aku pulak? Aku tengok dia baik aje. Hesy… aku ni, buruk sangka
betul.” Marahnya pada diri sendiri.
“Tapi buatnya
betul-betul terjadi macam mana pulak? Aku kena dera macam cerita cenderella tu
ke? Yalah hati orang manalah aku tau. Belum hidup sebumbung, tak tahu hati budi
masing-masing. Aku kena basuh kain baju mereka, mop lantai rumah banglo besar.
Kena gosok baju yang banyak… ya Allah… penatnya…” sampai terpejam-pejam matanya
cuba membayangkan apa yang bakal terjadi kelak.
“Hesy apalah
kau ni, Mira. Tak baik betul. Atuk cukup yakin dengan kebaikan diorang, aku
pulak yang berlebih-lebih. Ya Allah ampunilah dosa aku… ah… tidur lagi baik.
Layankan perasaan entah apa-apa yang aku berangankan.”
Mira Maira
merebahkan tubuhnya, katil yang bertilam empuk itu hadiah daripada mertuanya
menyenangkan tubuhnya. Sangat selesa. Pejam mata sekejap sahaja dia sudah
hanyut dibuai mimpi…
Jika sudah
biasa bangun satu pertiga malam, pasti dia akan terjaga juga walaupun
peperiksaan sudah berakhir, Mira Maira membuka matanya. Dia mengeliat sambil
mendepakan tangannya. Dan tiba-tiba dia terasa sesuatu, yang tidak pernah dia
rasa sebelum ini.
“Makkkk!!!”
Mira Maira menjerit ketakutan. Dia rasakan ada orang tidur di katilnya.
Cepat-cepat dia bangun sambil menjerit, namun tangannya direntap dan mulutnya
ditekup.
“Syyy!!!
Diamlah. Ini aku, yang kau jerit macam kena rasuk tu kenapa?” suara garau itu
semakin membuatkan Mira Maira menjadi takut. Terketar-ketar tubuhnya.
“Emmm… emmm…”
Mira Maira cuba meronta, mahu melepaskan diri.
“Diamlah!!!”
marah lelaki itu lagi.
Mira Maira
memukul-mukul tubuh lelaki itu. Sehinggalah lelaki itu mmengaduh kesakitan dan
akhirnya melepaskan tekupannya.
“Awak ni
siapa? Berani masuk dalam bilik saya?” marah Mira Maira, dia cuba bangun, namun
sekali lagi tangannya direntap, dia terduduk kembali.
“Ada lelaki
lain ke yang atuk kau benarkan masuk dalam bilik kau?” soal lelaki itu kasar.
Mira Maira
mula jadi bingung. Atuk benarkan lelaki itu masuk ke dalam bilik dia? Siapa
lelaki itu? Samar-samar malam membuatkan matanya jadi kelam. Dia tidak dapat
melihat dengan jelas wajah lelaki itu.
“Ya Allah!!!”
Mira Maira menekup mulutnya sendiri.
Lelaki itu
pula selamba merebahkan dirinya semula. Selimut Milik Mira Maira dibawa
sehingga ke pangkal leher.
“Dah tidur,
esok kita cerita. Aku nak, pagi-pagi esok lepas subuh kita bertolak daripada
sini. Jangan banyak tanya dan jangan membantah,” arah lelaki itu lagi.
Barulah dia
kenal siapa lelaki itu, siapa lagi kalau bukan suaminya sendiri… ya Allah…
sabar ajelah…
Mira Maira
mula bergerak meninggalkan katilnya, perlahan sekali agar lelaki yang muncul
daripada planet mana, alih-alih sudah berada di katilnya itu tidak terjaga.
“Hah! Tu nak
pergi mana pulak?” sergah lelaki itu, membuatkan Mira Maira terlonjat kembali ke
atas katil. Dia mengurut dadanya beberapa kali.
“Sa… sa… saya
nak solat.” Tergagap-gagap dia menjawab sebaik sahaja degupan jantungnya
kembali tenang.
“Huh!” itu
sahaja balasan daripada lelaki itu. Mira Maira mengeluh. Segera dia keluar dari
biliknya dan menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk.
Di atas
sejadah dia mengabdikan dirinya kepada Maha pencipta. Dia terlupa seketika pada
lelaki yang sedang enak dibuai mimpi itu. Terlupa akan kehadiran orang asing
dalam biliknya.