7
MIRA MAIRA mula
bekerja di syarikat kosmetik milik suaminya sendiri. Namun sebelum di terima
bekerja di situ pelbagai syarat telah diberikan oleh Alif Hazriq. Dia terpaksa
akur juga. Antaranya, jangan sesekali dia memberitahu orang mengenai status
dirinya. Apa boleh buat, kuasa di tangan lelaki itu.
Mira Maira diterima sebagai pembantu kepada PA
suaminya sendiri. Memandangkan PA Alif Hazriq mengandung, terpaksa mencari
pembantu bagi menyelesaikan kerja-kerja yang semakin bertambah.
Mira Maira tidak kisah, asalkan dia dapat
pengalaman. Selama ini dia tidak pernah merasa bekerja, memandangkan atuknya
tidak pernah memberi keizinan kepadanya. Daripada Setiawangsa dia terpaksa
menaiki pengangkutan awam. Pandai-pandailah dia bawa diri. Mujurlah dia ringan
mulut bertanya pada jiran tetangga yang sama-sama mahu ke tempat kerja. Jadi
dia lebih mudah mencari ibu pejabat Farra Kosmetik Sdn. Bhd yang terletak di Wangsa Maju. Kilang
produk-produk tersebut pula terletak di Klang.
Hari pertama bekerja, sebaik sahaja sampai di
hadapan bangunan yang tersergam indah itu, Mira Maira mendongak ke atas,
melihat syarikat Farra Kosmetik dengan terpampangnya wajah ibu mertuanya di
situ. Dia tersenyum, rasa bangga dengan kecemerlangan yang dicapai oleh ibu
mertuanya. Kegigihannya berbaloi dengan kejayaan itu. Bukan sesuatu yang mudah,
jatuh bangun orang berniaga kalau tidak kental pasti tumbang di pertengahan
jalan.
“Umi… saya bangga dengan umi. Insyaallah, saya
juga nak jadi macam umi.” Digenggamnya jemari lantas dibawa ke dada sambil
matanya terpejam rapat.
“Err… awak buat apa ni?” sapa seseorang. Terkejut
Mira Maira, matanya dibuka. Seorang lelaki berdiri tegak di hadapannya.
“Ta… tak ada apa-apa.” Jawab Mira Maira malu.
Hesy… orang tengah seronok layan perasaan, dia pulak datang menyibuk.
“Mesti awak memasang cita-cita yang tinggi mahu
jadi seperti Dato’ Farah juga. kan?” lelaki itu tersengih.
“Mana awak tahu?”
“Sayapun macam tu juga, saya kagum dengan Dato’
Farah, seorang wanita yang sangat gigih dan berdidikasi. Suka menolong orang,
kalau adalah undian jutawan yang paling baik kat negara ini, saya akan undi
dato’.” Lelaki itu turut memandang ke
arah gambar Dato’ Farah.
“Dah lama awak kerja di sini?” Mira Maira cuba
meramahkan diri.
Selama ini dia jarang bercakap dengan orang yang
tidak dikenalinya. Tetapi di situ takkan dia teruskan sikapnya itu. Dia perlu
bergaul dengan sesiapa sahaja, asalkan dia tahu menjaga batasan sebagai seorang
isteri. Sementelah lagi suaminya sendiri menjadi CEO syarikat itu.
“Hmm… hujung tahun ini genaplah sepuluh tahun saya
bekerja di sini. Alhamdulillah, kerana pemilik syarikat ini daripada golongan
yang dermawan dan suka berkongsi keuntungan dengan pekerja, sebab itulah saya
sayang nak tukar kerja. Biarlah saya bekerja di sini selagi tenaga saya
diperlukan lagi.” Melambung tinggi pujian lelaki itu terhadap majikannya.
Kembang hati Mira Maira. Ternyata semua orang menyukai keluarga mertuanya.
“Sejak anak dia ambil alih syarikat ni, keadaannya
sama macam dulu atau lebih teruk lagi. Err… maksud saya, yalah sekarang ini
penerajunya orang muda, mungkin dia lebih agresif ke atau dia ni kuku besi ke…”
mereka berjalan beriringan menuju ke dalam bangunan yang tersergam indah itu.
“Setakat ini, semua macam biasa tapi sepertimana
awak cakap tadi, jiwa muda jadi dia lebih agresif daripada uminya dulu.
Sekarang ni, produk dato’ ni dah masuk pasaran antarabangsa tau. Semua ni atas
usaha Encik Alif lah.” Cerita pemuda itu lagi.
“Eh borak punya borak lupa nak tanya nama awak,
siapa nama awak dan awak bekerja di bahagian mana?”
“Nama saya Mira Maira, awak boleh panggil Mira
saja. Saya jadi pembantu Kak Maslina.”
“Oh begitu… nama saya pulak Wan Aiman… panggil
saya Aiman.” Pemuda itu menghulurkan tangan, namun pantas Mira Maira
mengangguk, tanda dia faham dan salam perkenalan daripadanya. Dia tidak
menyambutnya walaupun tangan yang dihulur tidak ditarik kembali.
“Maaf ya, awak faham, kan?” Perlahan sahaja Mira
Maira menegur. Pemuda itu tersenyum malu.
“Oh ya… ya… maafkan saya. Nanti kalau ada masa
kita sembang lagi ya atau apa kata rehat ni kita makan tengah hari sama-sama?”
Mira Maira tersenyum seketika kemudian kepala
digeleng.
“Tak sudi ke?”
“Bukan macam tu, sebenarnya saya puasa hari ni.
Maaflah ya. Insyaallah lain kalilah ya.”
“Oh… puasa. Okey saya tunggu bila sampainya masa
lain kali tu.” Kata pemuda itu sambil ketawa.
“Okeylah saya naik dululah ya,” Mira Maira
berjalan meninggalkan pemuda itu yang masih lagi tercegat sambil memerhatikan
langkah gadis yang baru dikenalinya itu.
“Sampai jumpa lagi…” katanya perlahan.
“SELAMAT pagi, kak.”
Sapa Mira Maira sebaik sahaja Maslina menghampiri mejanya.
Maslina
tersenyum. Mira Maira bangun, memberi laluan kepada ibu mangandung itu. Dia
tidak tahu hendak duduk di mana, jadi dia duduk sahaja di kerusi milik Maslina.
“Selamat pagi, Mira… amboi awalnya adik akak
sampai.” Usik Maslina, wanita itu sangat ceria pagi itu.
“Memang sengaja keluar awal, kak. Takut pulak
terlewat sampai. Maklum ajelah naik pengangkutan awam, tak biasa lagi,” jawab
Mira Maira.
“Mira duduk di meja belakang akak ni ya. Nanti
akak bagitau tugasan yang perlu Mira buat.” Mira Maira akur, dia melangkah ke
meja yang sudah sedia ada di belakang kerusi Maslina.
“Baiklah, kak. Tapi kalau boleh bagilah
cepat-cepat, kak. Takut nanti boring pulak kalau tak buat apa-apa.”
“Alah… orang suruh rileks tu, tak payah banyak
bunyi. Nanti kalau kerja dah ada, jangan pulak sampai termuntah hijau. Boring
banyak kerja,” kata Maslina sambil tergelak.
“Mira dah sarapan?”
“Mira puasa kak hari ni,”
“Okeylah kalau macam tu akak pergi pantry dulu.
Perut akak ni dah mula berdondang sayang. Agaknya anak akak tengah berkaraoke
kat dalam ni. Lapar gila rasanya. Nanti kalau ada panggilan, Mira jawab ya,
ambil mesej.”
“Baik, bos.” Gurau Mira Maira. Maslina tersenyum
dan bergerak ke pantry yang terletak di aras yang sama.
Saat begitu, dia teringatkan atuknya di kampung.
Apa khabar atuknya sekarang? Sihatkah dia? Hendak telefon, dia tidak bawa
telefon bimbit cikainya itu. Sengaja dia tinggalkan di kampung. Lagipun telefon
bimbitnya itu selalu buat hal. Tetapi sempat juga dia mengambil simkad telefon
bimbitnya itu, manalah tahu dia beli telefon bimbit yang baru nanti.
Hendak guna telefon yang ada di atas meja Maslina,
terasa tidak amanah pula. Menggunakan hak syarikat atas kepentingan diri
sendiri. Tidak jujur namanya itu. Dalam diam, dia berdoa moga diberi kesihatan
yang baik kepada atuknya. Bergenang air matanya bila teringatkan kesunyian yang
dihadapi oleh atuknya itu.
Kring! Kring! Kring!
Deringan telefon di meja Maslina mengejutkan Mira
Maira, segera dia bangit lalu laju sahaja langkah ke meja Maslina. Ganggang
diangkat.
“Helo…”
Si pemanggil diam.
“Helo, nak cakap dengan siapa?” ayat yang biasa
digunakan ketika mengangkat ganggang.
“Helo…” suara garau kedengaran.
“Err… ya encik, selamat pagi, nak bercakap dengan
siapa?” ulangnya lagi.
“Lain kali belajar cara menajwab telefon daripada
Maslina. Bukan macam tu caranya,” bebel si pemanggil.
Mira Maira mengaru kepala. Siapakah si pemanggil
ini? Berani betul dia ‘sound’ aku
macam tu?
“Maafkan saya… lain kali saya belajar cara yang
betul,” penuh bersopan santun Mira menutur katanya.
“Keding, ni akulah. Maslina mana?”
“Err, siapa ni?”
“Aikk? Tak kenal ke atau buat-buat tak kenal?
Akulah suami tercinta kau…”
“Maaf, encik. Maslina masih lagi di pantry, ada
apa-apa pesanan?” sengaja Mira Maira main-mainkan lelaki itu, setelah dia dapat
mengagak siapa dia sebenarnya.
“Pesan pada dia aku masuk lambat sikit hari ni.
Kalau ada apa-apa suruh dia telefon aku,” pesan Alif Fazriq.
“Baik, encik.”
“Oh ya… ok tak rumah tu?”
“No komen, encik.”
“Hmm… dah kena sawan apa pulak kau ni, keding?”
“Sawan kembang kempis, encik.”
Alif Hazriq tergelak kuat. Tidak pula dia
menyangka gadis itu pandai buat lawak.
“Hai macam-macam kau ni, okeylah…” talian
diputuskan begitu sahaja.
“Kau tak tau ke, momok. Aku ni tengah marah kau,
dahlah kau tinggalkan aku sorang-sorang kat rumah tu, pagi ni kau boleh selamba
aje? Kalau ikutkan hati aku…” terus dia hentakkan ganggang telefon itu.
“Eh Mira, kuat sangat hentak tu.” Tegur Vaneesa,
gadis kacukan Sarawak itu.
Gulp! Mira Maira menelan liurnya. Itulah ikutkan
sangat perasaan itu. Sudahlah hari itu merupakan hari pertama dia bekerja di
situ. Buat hal betullah.
“Maaflah, saya ter… bukan sengaja,” jawabnya
sambil tersenyum.
MENJELANG tengah
hari, Alif Hazriq muncul. Dia melewati meja Maslina, langsung tidak dijelingnya
Mira Maira. Gadis itu hanya mampu melihat, sedikit terdetik di hatinya perasaan
sedih. Lantas wajahnya ditundukkan. Namun begitu, bila terpandang wajah itu
degupan jantungnya mula bergerak laju. Dia meletakkan tangannya di dada. Cuba meredakan
perasaan asing itu.
Mampukah dia bertahan bekerja dengan suami yang buat-buat
tidak mengenali dirinya? Baru dia tidak menoleh, hatinya mula rasa tersiat.
Hai… perasaan… kenapa mesti jadi begini?
Maslina masuk ke dalam bilik Alif Hazriq. Agak
lama juga dia dalam bilik itu. Mira Maira rasa gelisah. Bagaimana caranya dia
ingin mententeramkan diri?
Sedang dia leka melayan perasaan, sekali lagi dia
dikejutkan dengan kedatangan seorang gadis seksi yang tinggi lampai, berwajah
putih serta berambut perang. Bajunya? Sungguh tidak cukup kain. Terngangga
mulut Mira Maira melihat gadis itu.
“Helo… awak pekerja baru ke?” sapa gadis itu. Mira
Maira mengangguk.
“Bos ada kat dalam?” Mira Maira menggeleng dan
kemudian mengangguk.
“Eh yang mana satu betul ni? Ada ke tak ada?”
“Eh Cik Dyna… nak jumpa bos ke?”
Gadis berambut perang itu mengangguk. “Dia ada?”
“Ada…”
“Okey, thanks…”
Gadis yang bernama Dyna itu berjalan seperti orang
yang sedang memperagakan baju. Beg tangan disangkut di hujung jari sambil dan
diangkat separas pinggang. Semua mata tertumpu kepadanya.
‘Mungkin inilah perempuan yang istimewa dalam
hidup dia…’ bisik hati kecilnya. Terasa dirinya terlalu kerdil berbanding
dengan gadis itu.
“Mira, nanti tolong buat salinan untuk dokumen ini
ya. Buat dalam sepuluh keping.” Arah Maslina sambil menghulurkan dokumen
tersebut.
Mira Maira memandang kosong ke arah Maslina.
Hatinya semakin sayu. Sukar untuk diungkap.
“Weh! Mengelamun ke?” kertas itu dilayang-layang
di wajah Mira Maira. Barulah mata gadis itu terkebil-kebil.
“Kak… nak tanya sikit boleh?”
Maslina duduk di kerusinya.
“Tanyalah…”
Mira Maira bangun dan mendekati Maslina.
“Siapa perempuan tadi tu?”
Maslina tersenyum.
“Itulah duta produk kita. Model yang paling top
dan yang paling rapat dengan encik bos kita tu…” lengkap Maslina memberi
maklumat.
Wajahnya sedikit berubah. Wahai hati… bersabarlah.
Bertabahlah. Mira Maira mengangguk-angguk.
“Okeylah, kak. Saya buat kerja ni dulu ya…”
Mengapa sekarang ini hatinya mula rasa hiba walhal
ketika dia di kampung, dia tidak kisah langsung pasal lelaki itu. Baru beberapa
hari duduk di Kuala Lumpur, dia mula memikirkan dan ambil tahu tentang lelaki
itu. Adakah dia sudah mula bersedia untuk memberikan cintanya kepada lelaki
itu?
“Arrghh… dia suami aku, masakan aku tak memikirkan
dirinya…” bicaranya sendiri.