Pengikut

Ahad, 24 Mac 2013

JANGAN PANDANG SEBELAH MATA, BRO!




16
“UMI janganlah macam ni…” pujuk Mira Maira.
Sejak semalam lagi, Dato’ Farah hanya mendiamkan diri sahaja. Enggan mahu bergurau ataupun bercakap dengan Alif Hazriq. Mira Maira tidak suka dengan kebisuan itu.
“Umi malu dengan Mira. Alif tak patut buat Mira macam tu. Sanggup berpegangan tangan dengan perempuan lain.” luah Dato’ Farah.
Mira Maira mengusap lembut belakang mertuanya itu.
“Umi… bukan abang yang pegang tangan dia, tapi dia yang paut tangan abang. Nampak sangat dia yang mahukan abang, bukan abang yang beriya-iya nakkan dia.” Bela Mira Maira. Biarpun perasaannya pedih namun dia terpaksa juga menelan semua itu.
“Sama aje, Mira. Apa bezanya? Hukumnya tetap berdosa!” tingkah Dato’ Farah.
“Umi berilah abang peluang sekali lagi. Saya percaya, abang dah menyesal… tolonglah umi… jangan diam dengan abang. Abang tak boleh buat apa-apa kalau umi asyik diamkan diri. Kesianlah pada dia, umi,” rayu Mira Maira.
Dato’ Farah memandang wajah Mira Maira, Mira Maira mengangguk. Lantas tubuh menantunya itu dipeluk erat.
“Kenapalah Alif tak nampak kebaikan Mira? Apa yang dia kejarkan?” soal Dato’ Farah.
Terharu perasaan Mira Maira kerana sangat dihargai oleh mertuanya itu.
“Harap-harap lepas ni abang berubah…”
Berat mulut ingin mengatakan perkara itu tetapi apa salahnya dia berharap? Tidak banyak, sedikit harapannya mahukan suaminya itu berubah dan mahu menerima dirinya. Berharap keajaiban Allah…
Dato’ Mustaffa Harun masuk ke dalam bilik itu. Senyuman dilempar buat kedua-dua wanita kesayangannya itu.
“Mira kat sini rupanya…” dia melabuhkan punggungnya di sofa berhadapan dengan katilnya.
“Ya, babah… saja pujuk umi ni yang merajuk… makin comel umi kalau merajuk macam ni,” giat Mira Maira. Dato’ Farah memukul paha menantunya itu.
“Pandailah menantu umi ni…”
“Okeylah, Mira keluar dulu ya, umi. Lagipun pak we umi dah datang tu…” usik Mira Maira. Dato’ Farah dan Dato’ Mustaffa Harun tertawa serentak.
“Terima kasih, Mira…”
“Sama-sama kasih, umi…”
Mira Maira meninggalkan bilik itu. Dato’ Farah menarik nafas perlahan.
“Kita mesti lakukan sesuatu, bang,” Dato’ Farah menghadap suaminya. Dato’ Mustaffa Harun mengangguk laju. Seakan dia sudah punya rencana pula.
“Abang ada idea?” sekali lagi Dato’ Mustaffa Harun mengangguk.
“Kita perlu menghentikan semua ini secepat mungkin.”
“Macam mana caranya?”
“Abang ada idea, tapi abang tak taulah kalau Farah setuju ke tak.”
“Saya tak kisah, bang. Asalkan ia membawa kebaikkan.”
Dato’ Mustaffa Harun tersenyum.

“KAUPUN nak mogok dengan aku juga ke?” soal Alif Hazriq, dia duduk di sebelah adiknya yang sedang termenung di halaman rumah. Taman mini yang direka khas oleh Dato’ Farah mampu menenangkan perasaan.
Afif Haikal menoleh ke sisinya. Tersunging senyuman di bibirnya.
“Nak mogok buat apa, bro? Perkara dah jadi. Pandai-pandailah kau nak ambil hati umi. Aku tengok umi betul-betul kecewa dengan kau, bro. Aku sendiri tak sangka kau boleh lakukan benda ni. Kesian Mira.” Afif Haikal menyandarkan tubuhnya. Kerusi yang boleh menempatkan hanya dua orang itu digoyang sedikit. Kerusi itu dibuat seperti buaian boleh digoyang ke hadapan dan ke belakang.
Kedengaran keluhan Alif Harziq. Matanya terus tertancap pada bunga ros yang mekar berkembang.
“Aku sendiri tak menyangka semua ni boleh terjadi. Kalau aku tau ada wartawan kat situ, aku takkan hadirkan diri, bro…”
“Aikk? Peliknya, bukan kau ke yang buat majlis tu?”
Alif Harziq mengeluh lagi kemudian dia menggeleng.
“Inilah salah fahamnya. Orang yang tak tau mesti cakap aku yang anjurkan majlis tu. Padahal, aku dijemput. Tak sangka pulak diorang nak buat surprise party. Akhirnya aku juga yang terperangkap.”
Sekali lagi Afif Haikal memandang abangnya itu. Ingin mencari kejujuran.
“Kenapa? Mesti kaupun tak percaya pada aku, kan?”
“Macam mana aku nak percaya, kalau dah ada gambar yang boleh jadikan bukti. Kau nasib baik, bro… kau dapat isteri yang dapat tutup kesalahan kau, kau ingat senang ke nak dapat yang macam tu? Makin diburukkan suami dia adalah.”
“Aku tau…”
“Kalau kau dah tau, cubalah kau buka pintu hati kau tu untuk terima dia seadanya. Biar muka tak cantik, bro. Asalkan yang kat sini tak sakit…” Afif Haikal menunjuk ke arah hatinya.
“Entahlah, soal perasaan ni payah aku nak cakap. Terlalu sukar nak ditafsirkan. Aku sendiri tak tau, apa yang aku rasa.” Luah Alif Hazriq.
“Hmm… aku harap kau berjaya. Pilihlah yang mana terbaik buat kau.” Afif Haikal menepuk-nepuk bahu abangnya itu.
“Abang… Afif… mari masuk. Makanan dah siap,” panggil Mira Maira daripada pintu utama.
Alif Hazriq menoleh ke arah isterinya. Dia mengangguk sambil mengangkat tangan.
“Amat sempurna sebagai seorang perempuan, kan? Aku cemburu dengan kau, bro.” kata Afif Haikal seraya itu dia bangun. Alif Hazriq menelan air liurnya. Panas pula telinganya.

“UMI… saya minta maaf ya. Umi janganlah marah-marah. Kalau umi marah, rasa macam nak duduk aje dalam peti ais tu. Biar jadi beku. Umi marah macam manapun telinga dan muka tak jadi merah.” Alif Hazriq melutut di hadapan Dato’ Farah. Baginya, dia lebih utamakan uminya itu daripada perkara lain.
“Lain kali jangan buat lagi, Alif. Kalau buat lagi siap kamu,” akhirnya Dato’ Farah tersenyum juga. Alif Hazriq mendakap tubuh uminya itu.
“Terima kasih, umi. Macam nilah umiku sayang… comel aje bila tersenyum,” sakatnya.
Dato’ Farah menampar bahu anak sulungnya itu.
“Dahlah, jom kita makan. Hari ni menantu umi yang masak. Kesian menantu umi tak ada orang nak tolong. Korang lepas ni basuh pinggan ya.” Dato’ Farah dan Dato’ Mustaffa Harun beriringan ke meja makan. Diikuti oleh Alif Hazriq dan juga Afif Haikal.
“Beres… setakat basuh pinggan, pejam mata aje, umi… betul tak, Afif?”
Mira Maira rasa lega sebab suasana kembali seperti biasa. Siapa yang mahukan suasana tegang? Apatah lagi hubungan mereka anak beranak begitu rapat sekali. Tidak lekang daripada bibir mereka gelak tawa yang membahagiakan. Mira Maira tidak mahu ada masalah yang boleh mengugat hubungan itu.
Mira Maira menghulurkan nasi kepada suaminya. Kesempatan itu juga Alif Hazriq mengenyitkan matanya kepada isterinya itu. Bulat mata Mira Maira kerana tidak percaya dengan apa yang dilihatnya tadi. Biar betul?
“Dah mari duduk, Mira. jangan layan budak sengal tu, sengaja dia nak ambil hati Mira. kenyit-kenyit konon. Lain kali kalau dia buat hal lagi, bagi aje dia rasa cium punggung kuali tu sekali. Baru dia rasa.” Kata Dato’ Farah.
Mira Maira tergelak.
“Umi jangan nak ajar isteri saya melawan cakap suami ya… tak baik umi menghasut orang,” balas Alif Hazriq.
“Lagi tak baik kalau menduakan isteri,” sindir Dato’ Farah.
“Umi… kan dah minta maaf tadi, umi jangan buat saya serba salah boleh tak?” kata Alif Hazriq, bibirnya dimuncungkan.
“Eleh… tupun nak buat muncung sedepa. Makin ada isteri makin mengada-ada pulak dia.” Usik Dato’ Farah lagi.
“Babah… tengok umi,”
Mira Maira tertawa melihat telatah suaminya yang seperti budak kecil sahaja. Umur sudah tua Bangka. Kutuknya dalam hati.

Jumaat, 15 Mac 2013

JANGAN PANDANG SEBELAH MATA, BRO!




15
HARI  itu, rumah banglo itu bergegar dengan pekikan Dato’ Farah. Dia sangat marah dengan apa yang berlaku. Dihempas-hempasnya majalah yang ada di tangannya. Mujurlah dia tergerak hati ingin singgah di kedai yang menjual majalah. Jika tidak, mungkin entah sampai bila baru perkara itu akan terbongkar.
Tajuk artikel yang memaparkan wajah-wajah yang amat dikenalinya itu membuatkan darahnya mendidih naik. PELAKON BARU DIBERI KEJUTAN OLEH KEKASIH! Menyakitkan hati. Manakala Dato’ Mustaffa Harun, duduk diam sejak daripada tadi. Hatinya juga turut terbakar sama.
Paling memedihkan ulu hatinya, bagaimana kalau Tok Taha tahu hal ini? Tentu dia sendiri hilang punca untuk memberi jawapan. Anak sulungnya itu sudah melampau!
“Kenapa marah-marah ni, umi? Umi stress dengan siapa?” tegur Afif Haikal.
Kerjanya terbantut sebaik mendengar uminya terjerit-jerit sejak daripada tadi. Awalnya dia tidak ambil kisah sangat, namun apabila mendengar nada suara uminya semakin kuat membuatkan dia tidak tenteram pula.
“Kamu baca majalah tu, apa yang dia tulis. Abang kamu ni dah melampau. Umi tak sangka dia tipu umi, dia kata hubungan mereka hanya kawan biasa. Tu apa? Kawan ke macam tu?” marah Dato’ Farah. Kala inilah baru nampak kuasa seorang ibu.
Afif Haikal membelek majalah itu. Satu persatu baris ayat dibaca. Sesekali wajah-wajah yang terpampang di ruangan itu dipandang tanpa berkelip. Kalau ada yang bertanya apakah perasaannya saat dia menatap majalah itu? Hanya satu jawapan yang dia berikan, dia ingin menumbuk muka abangnya! Itulah yang dia rasa. Mengapa begitu tegar abangnya membelakangkan kehendak ibubapa? Biar cinta yang dicipta oleh mereka itu nampak tulus ikhlas tetapi apa salahnya pada cinta yang diatur oleh kedua ibubapanya dengan ikatan perkahwinan yang sah? Yang mana satu lebih mulia?
Dia mengenggam penumbuknya. Kasihan Mira Maira. Gadis itu sangat baik. Tidakkah abangnya melihat akan kebenaranya? Kekurangan yang ada di mata abangnya itu dapat ditutupi dengan sifat-sifat yang ada pada gadis itu? Tidakkah dia boleh melihat dengan mata hatinya?
Dia meraup wajah. Dia dapat rasakan apa yang dirasai oleh kedua ibubapanya. Mereka cukup marah, tertekan dan hampa. Apatah lagi pada wajah babahnya. Nampak begitu ketara perubahannya. Wajah yang sentiasa tenang kini begitu keruh.
“Assalamualaikum…” Mira Maira memberi salam.
“Waalaikumussalam,” serentak mereka bertiga menjawab.
Dato’ Farah bergegas mendapatkan Mira Maira. Dipeluk erat menantunya itu. Mira Maira kehairanan, mengapa perilaku ibu mertuanya berlainan sahaja? Wajah tua itu juga turut sunggul. Mana perginya wajah ceria yang sentiasa menghiasi raut itu?
“Umi sihat ke?” sapa Mira Maira ramah. Dato’ Farah menggeleng. Kening Mira Maira berkerut.
“Umi demam ke?” sekali lagi Dato’ Farah menggeleng.
“Hati umi yang tak sihat. Sakitnya dalam sangat,” jelas Dato’ Farah.
Mira Maira dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena telah berlaku dalam rumah itu.
“Masuklah, Mira.”
Mira Maira menapak, menghampiri bapa mertuanya yang nampak lain daripada biasa. Wajah tenang itu agak kelihatan keruh.
“Babah… sihat ke?” senyuman dihadiahkan buat bapa mertuanya itu. Wajah itu nampak sunggul juga.
“Babah sihat… Mira mari duduk sini…”
Dato’ Mustaffa Harun menepuk-nepuk sofa yang ada di sebelahnya. Mira Maira akur, dilabuhkan punggungnya di situ. Dia rasa lain sangat. Mengapa semua orang seolah-olah mahu melindungi dirinya? Entahlah dia rasa kelainan itu yang sangat luar biasa.
Afif Haikal hanya mengangguk bila Mira Maira memandang wajahnya. Tiada senyuman di bibir itu.
Dato’ Farah mundar-mandir. Melihat kelakuan anak sulungnya yang masih berada di luar rumah. Sedang asyik bergayut dengan telefon bimbitnya. Semakin naik darah bila melihat muka selamba anaknya itu.
Dato’ Farah menuju ke dapur. Membuat minuman untuk menantunya. Kalau ikutkan hati, hendak sahaja dia menjerit nama anaknya itu. Namun, kerana rasa hormatnya pada menantu kesayangannya itu, dia membatalkan niatnya.
“Assalamualaikum…” kedengaran suara Alif Hazriq memberi salam.
Dato’ Farah memanjangkan langkahnya ke ruang tamu. Lebih baik dia selesaikan segera. Dia tidak mahu menantunya itu teraniaya.
“Duduk, Alif. Hendak ke mana tu?” soal Dato’ Mustaffa. Sebaik sahaja bersalaman dengan babahnya, Alif Hazriq mahu ke tingkat atas.
Alif Hazriq akur. Dia mengambil tempat duduk bersebelahan dengan adiknya.
“Tahniah, bro! Bacalah majalah ni…” Afif Haikal menghulurkan majalah itu kepada abangnya. Berkerut dahi Alif Hazriq.
“Babah nak alasannya,” bicara Dato’ Mustaffa Harun, wajah itu nampak begitu serius. Sepertinya tuan peguam itu sedang dalam sidang perbicaraan.
Alif Hazriq menyelak majalah hiburan itu. Satu persatu dia membaca artikel sehinggalah terasa nafasnya terhenti seketika. Gambarnya yang sedang dipaut oleh Dyna terpampang di dada majalah. Siapa punya kerja? Sedangkan malam itu tiada sebarang undangan untuk wartawan.
“Babah ini semua…” dia mati kata. Dia tidak tahu hendak memberi alasan apa. Dia tahu kini di mata keluarganya dia bersalah. Memang dia bersalahpun. Dia mengingkari janjinya pada umi. Dipandangnya wajah umi, wajah itu langsung tidak memandang ke arahnya.
“Apa semua tu?” soal Dato’ Mustaffa Harun lagi.
Mira Maira kebingungan, tidak tahu apa yang sedang dibincangkan. Kesempatan diambil sebaik sahaja Alif Hazriq meletak majalah itu di atas meja. Pantas sahaja dia menyambar majalah tersebut. Matanya tidak percaya namun hatinya mengatakan ya… kerana dia juga menyaksikan semuanya di hadapan matanya sendiri.
Mira Maira mengerling ke wajah Alif Hazriq, berderau darahnya kerana lelaki itu turut memandangnya. Cepat dia larikan anak matanya agar dapat ditenteramkan hatinya yang sedang berdebar-debar itu.
“Alif janji dengan umi, kononnya dah tak ada apa-apa hubungan lagi. Tup… tup… buat majlis hari lahir siap kejut-kejutan lagi… umi memang tak sangka,” serang Dato’ Farah.
Dia duduk di sebelah Mira Maira, bahu menantunya itu didakap erat.
“Umi... semua ini salah faham aje. Majlis tu bukan saya yang buat, mereka sengaja guna nama saya,” semahu mungkin Alif Hazriq menafikannya. Dikerlingnya lagi wajah Mira Maira. Gadis itu hanya menunduk. Diam membisu.
“Umi tak percaya!” bentak Dato’ Farah.
“Umi… umi kena percaya pada saya…”
“Senang betul kamu suruh kami percaya, Alif. Sedangkan apa yang terpampang dalam majalah tu dah cukup buktinya. Berpegangan tanpa segan silu, sedangkan kamu tahu siapa diri kamu itu,” berlaga-laga gigi Dato’ Mustaffa Harun menahan marah yang sejak daripada tadi berkocak dalam dirinya. Kalau ikutkan hatinya yang marah itu, mahu sahaja dia hempuk kepala anaknya itu dengan majalah itu.
“Apapun alasan kamu, babah tetap tak percaya. Tak sepatutnya kamu berada di situ. Langsung tak menghormati isteri kamu ni.” Dato Mustaffa Harun memandang tajam Alif Hazriq.
“Dah tau diri tu dah beristeri, masih lagi nak berkepit dengan orang lain. Entah apa yang ada dalam kepala kamu tu, Alif? Umurpun bukan muda lagi, dah boleh berfikir. Kamu lukakan hati isteri kamu samalah seperti lukakan hati umi. Apa yang hebat sangat dia tu sampai kamu terkejar-kejar macam tu?” luah Dato’ Farah, dijelingnya anak lelakinya itu beberapa kali. Menyampah bila tengok lakonan anaknya itu.
Afif Haikal pula hanya mendiamkan diri sejak daripada tadi, tidak mampu hendak berkata apa lagi. Babah dan uminya telah menyerang, dia hanya jadi pemerhati sahaja.
“Umi… dengarlah dulu…” Alif Hazriq cuba memujuk.
“Sudahlah, Alif. Umi sangat kecewa dengan kamu. Umi berharap sangat kamu dapat menjaga hati Mira tapi rupanya apa yang umi harapkan tak menjadi,” mengalir juga air mata Dato’ Farah. Mengambarkan hatinya yang sangat kecewa dengan anaknya itu.
“Umi.. jangan salahkan abang. Sebenarnya Mira ada kat sana. Umi jangan marah-marah macam ni, ya? Tolonglah umi, Mira sayang umi. Umi jangan banyak fikir, umi kena jaga kesihatan umi.” Mira Maira membuka mulut.
Tidak sanggup duduk dalam suasana tegang begitu. Keluarga itu tidak begitu, mereka sering bergurau senda. Lagipun dia tidak suka kerana ingin menjaga hatinya, keluarga itu mula berantakan.
Empat pasang mata memandang ke arahnya. Seolah-olah dia tersalah cakap pula. Dia cuba bersikap jujur walaupun hakikatnya ceritanya berlainan. Dia tidak punya pilihan lain. Dia turut rasa bersalah kerana tanpa relanya dia datang ke majlis itu berduaan dengan Shahir. Sedangkan dia sendiri tahu akan hukum hakam seorang isteri.
“Biar betul, Mira? Kenapa umi tak nampak muka kamu dalam majalah ni?” soal Dato’ Farah, dia mengambil majalah yang ada di atas meja, dibelek satu persatu wajah-wajah yang ada situ.
Mira Maira mengerling ke wajah suaminya, cuba meminta tolong. Dia telah menyelamatkan lelaki itu, berharap benar agar masalah itu selesai segera. Faham dengan isyarat Mira Maira, Alif Hazriq bersuara.
“Ya, umi. Saya memang bawa Mira sama. Tapi umikan tahu menantu umi yang seorang ni, mana nak bergambar sangat.” lakonan hebat! Lega rasa Alif Hazriq kerana Mira Maira dapat mengendurkan urat-urat saraf kedua ibu bapanya.
“Entah kenapa hati umi ni macam tak percaya aje... kalau betul Mira ada sama, kenapa biarkan perempuan tu pegang-pegang Alif?”
“Babah pun…”
“Sayapun…” sahut Afif Haikal yang sejak daripada tadi mendiamkan diri.
Alif Hazriq dan Mira Maira berpandangan…

“TERIMA kasih sebab tolong aku tadi. Kalau tak, masak aku nak kena jawab,”  kata Alif Hazriq sebaik sahaja mereka berada dalam bilik mereka di rumah banglo itu.
Mira Maira yang ketika itu baru sahaja selesai menunaikan solat, melipat telekungnya lantas menyidainya di sudut bilik. Dia duduk di sofa yang terletak bersebelahan dengan penyidai itu, manakala Alif Hazriq sedang enak berbaring.
“Mungkin ini kali pertama dan terakhir. Selepas ini kalau apa-apa terjadi antara awak dengan kekasih awak tu, saya takkan tolong. Saya rasa berdosa dengan umi dan babah sebab berbohong,” perlahan Mira Maira menjawab.
“Itu aku tau nak buat macam mana, kau jangan risau. Apa yang penting, kita tetap suami isteri macam orang lain. Tentang hati dan perasaan aku, itu urusan aku sendiri.”
Egonya lelaki ini… Mira Maira menahan sahaja perasaannya.
“Kenapa awak tak kahwin aje dengan dia?”
“Habis kau tu aku nak letak kat mana? Kau pun tahu macam mana penerimaan umi, kan?”
Mira Maira tersenyum tawar. Luluh hatinya mendengar pengakuan itu. Bermakna lelaki itu mahu berkahwin dengan kekasihnya, cuma dapat halangan daripada keluarganya. Aku pulak, macam mana? Relakah aku bermadu?
“Rasanya pandangan umi tu memang betul. Tak baik buat maksiat aje, janganlah melanggar hukum Allah sedangkan kita bersungguh-sungguh mahu mendapat perlindungan dan rahmat daripadaNYA. Layakkah kita dapat begitu, sedangkan kita tak pelihara apa yang DIA mahu?” entah mengapa dia punya kekuatan untuk meluahkan rasa hatinya kala itu.
Alif Hazriq hanya ketawa. Jauh di sudut hatinya, dia cukup terpukul dengan kata-kata itu. Dia sendiri tidak mengerti apa yang dia cari selama ini. Apa yang ada di hatinya saat itu? Dia masih mencari jawapannya…dalam diam, matanya mencuri pandang pada wajah Mira Maira. Gadis itu diam membisu. Matanya pula, tertutup rapat. Seakan mahu menghapuskan semua masalah yang sedang dihadapinya.
“Maafkan aku, Mira...” bisiknya perlahan.

TELEFON bimbit Alif Hazriq berbunyi nyaring. Mira Maira terjaga dari lelapnya. Namun dia masih lagi berpura-pura tidur di sofa itu.
“Hello, sayang…” girang sahaja suara Dyna.
“Hmmm…” hanya itu yang Alif Hazriq katakan sebaik sahaja mendengar suara Dyna. Mira Maira pelik, takkanlah perkataan ‘Hmm’ saja. Siapa yang call? Soalnya sendiri.
“Kenapa dengan you ni, sayang? You macam tak gembira aje I call,” rengek manja suara Dyna ketika itu.
“Apa yang you dah buat?” soal Alif Hazriq agak tegas.
Mira Maira cuba mengangak siapa yang membuat panggilan. Mestilah Dyna, dan isunya pasti pasal gambar dalam majalah itu.
“Apa yang I dah buat?” soal Dyna kembali.
“Tolonglah, Dyna… you dah janji tak ada wartawan di mana-mana majlispun.”
“Bila masa I jemput wartawan? Bukan ke majlis tu you yang rancangkan? I tak tau apa-apa…”
“Sorry, Dyna. Majlis tu bukan I yang buat dan I sendiri terkejut bila I sampai mereka mahukan I buat kejutan pada you. Ni mana satu yang betul? I kenal you Dyna… you yang buat sendirikan majlis tu?” bidas Alif Hazriq.
Mira Maira masih lagi memasang telinga. Bibirnya sedikit mengukir senyuman. Tidak sangka, gadis itu sanggup buat kejutan untuk diri sendiri. Kelakar betul.
“Alif… kenapa you mesti nak marah-marah? Bukan guna duit you, kan?” balas Dyna pula.
“Memang tak guna duit I pun. Tapi disebabkan ini semua, umi I mengamuk sakan. You tahukan dia tak suka I rapat dengan you. You sedar tak, apa yang you buat ni timbulkan banyak masalah?” marah Alif Hazriq lagi.
“Alah you tu asyik ikut telunjuk umi you aje. Hei! Ini kehidupan kita, umi you tak boleh masuk campur. Pleaselah, Alif. Jadilah lelaki dewasa dan buat keputusan sendiri…”
Nope. You jangan nak mengata-ngata pasal umi I. I tahu apa yang I buat. Dan pada I umi I adalah segala-galanya.”
“You sanggup duduk bawah ketiak dia aje ke sepanjang masa?”
“Kalau ya, kenapa? You ada masalah ke?”
“Sayang… janganlah macam ni. I perlukan you. I cuma nak sedarkan you, I nak you jadi lelaki yang tidak bergantung pada sesiapa.” Pujuk Dyna.
“Okeylah waktu asar dah nak penghujung, I nak solat dulu. Assalamualaikum.” Talian dimatikan.
Ketika itu, matanya memandang ke arah sofa dan kala itu juga Mira Maira sudah menegakkan tubuhnya. Mereka bertatapan sesama sendiri, lama! Dada Mira Maira bergetar. Jantung Alif Hazriq pula berdebar…

Ahad, 10 Mac 2013

JANGAN PANDANG SEBELAH MATA, BRO!




14
“IZINKAN saya keluar, ya. Kawan saya ajak pergi kenduri.” Mira Maira meminta izin, begitulah setiap kali dia hendak keluar. Sekiranya dia tidak menelefon, dia akan mengirimkan sms.
“Pergi sajalah, tak payah kau minta izin daripada aku,” malas sahaja Alif Hazriq bersuara.
“Tak boleh, sebagai seorang isteri saya kena minta izin juga. Bukan boleh keluar sembarangan.”
“Alah tu semua budaya karut aje. Sekarang dah moden tak perlu minta-minta izin ni,” penuh sinis Alif Hazriq berkata.
“Mahu atau tak. Suka atau jelak, awak kena juga terima apa yang telah ditetapkan oleh agama kita. Seorang isteri kena minta izin daripada suaminya kalau hendak kemana-mana saja.” Mira Maira cuba sedaya upaya berlembut. Biarpun jiwanya pedih mendengar kata-kata Alif Hazriq itu. Itulah saat yang dia benci, apabila keluar daripada rumah mertuanya, perangai kepala batu suaminya akan muncul lagi.
“Suka hati kaulah. Pergi ajelah ke mana kau nak pergi. Dah, aku ada kerja ni, jangan asyik nak telefon aku.” Alif Hazriq terus mematikan talian.
Pedih menusuk ke tangkai jantung. Langsung lelaki itu tidak bertanya dengan siapa dia pergi, kemana dan buat apa. Sedih gila dia rasa. Beginilah nasib kalau diri tidak disukai. Sering terluka dan mungkin akan terus terluka.
Tanpa disuruh-suruh, air mata mengalir lagi. Dia teresak juga di atas sofa itu. Belum sempat dia bertanya di mana lelaki itu berada. Masihkah di pejabat lagi? Dia mengerling jam yang ada di dinding, mungkin masih di pejabat kerana ketika itu hampir masuk waktu maghrib. Kebiasaannya lelaki itu akan pulang jam 8.30 malam.
Sedang dia melayan perasaan, telefon bimbitnya berdering kuat. Pantas dia mencapai telefon bimbitnya yang terletak di hujung kakinya.
“Hello…”
“Hello, mek. Jadikan malam ni? Aku datang sekejap lagi, jangan pulak kau tarik diri dah akhir waktu ni,” belum sempat lagi dia menjawab pertanyaan Shahir, talian telah diputuskan. Walaupun rasa berat hati, dia kuatkan juga kudratnya. Lagipun dia sudah berjanji. Belum pernah lagi dia memungkiri janji.
Dia bersiap-siap ala kadar. Memakai baju kurung moden yang dibeli oleh Dato’ Farah. Walaupun baju itu agak ringkas, namun dia rasakan ia cukup cantik. Memang dia sengaja memilih baju seringkas itu, berbanding dengan pilihan mertuanya itu. Mertuanya telah memilih baju yang penuh dengan labuci, hesy... memang dia tidak suka benda-benda yang memberatkan itu.
Dia mengenakan shawl berwarna sedondon dengan bajunya. Tanpa mengenakan alat solek, dia segera mencapai beg tangan yang tersangkut elok di sudut bilik.
“Hmm… sekadar pergi kenduri, okeylah macam ni,” katanya sendirian.

SETELAH mematikan lampu bahagian dapur dan bilik, dia mencapai kasut bertumit satu inci. Pintu dikunci dan dia terus berlalu pergi.
“Nak ke mana, Mira?” soal Mak Cik Ju, jiran tetangga yang sering mengambil tahu halnya. Dia melemparkan senyuman kepada wanita itu.
“Nak pergi kenduri kat rumah kawan, mak cik.” Jawabnya ringkas.
“Pergi dengan siapa?”
“Dengan kawan, mak cik,” jawabnya lembut, biarpun agar gusar juga andai wanita berumur itu bertanya lebih.
“Baik-baik jalan. Jangan balik lambat sangat, maklum sajalah, tempat kita ni dah ramai warga asing.” Pesan Mak Cik Ju.
Mira Maira rasa lega. Dia mengangguk.
“Insyaallah, mak cik. Saya pergi dulu, ya.”
Pantas Mira Maira melangkah, dia tahu Shahir sudah lama menantinya. Menurut kata Shahir, dia diminta temankan sepupu perempuannya pergi ke satu kenduri. Tidak dinyatakan pula kenduri apa, kenduri doa selamat ke atau kenduri bertunang. Shahir tidak dapat menemani sepupunya itu kerana dia punya tugas lain pula. Bunga tempahan masih belum habis dihantar. Dia malas hendak menanguh kerjanya.
Mira Maira terpandang kereta Shahir sudah sedia menanti di luar kawasan apartment itu. Semakin laju dia melangkah.
“Maaflah, lambat sikit.” Mira Maira memohon maaf. Dia membuka pintu belakang kenderaan itu. Meloloskan diri di dalamnya. Dia menutup pintu, bersedia mahu ke destinasi seterusnya.
“Eh cantiknya bunga ni, untuk siapa ni?” dia membelek bunga yang ada di tempat duduk belakang itu. Bunga yang banyak kuntumnya, mungkin melebihi dua puluh kuntum. Cantik sangat gubahannya.
“Eh mana sepupu kau?” soal Mira Maira sebaik sahaja dia menyedari hanya Shahir sahaja yang ada dalam kereta itu. Kereta pula sudah mula bergerak.
“Itulah masalah aku sekarang. Sepupu aku ada kecemasan pulak. Sakit perut katanya. Muka dah pucat lesi. Risau juga aku,” terang Shahir, membuatkan mata Mira Maira membesar. Terkejut pun ada.
“Kau jangan cari pasal. Turunkan aku kat depan tu. Takkan aku nak pergi dengan kau pulak, atau... kau memang sengaja cakap sepupu kau ada, kan?” tuduh Mira Maira. Dia sudah tidak keruan.
“Alah, Mira… tolonglah temankan aku. Akupun bengang juga ni, kalau ikutkan aku tak nak aku pergi. Tapi dah aku kena hantar juga bunga tu kat tempat yang sama,” kata Shahir.
Mira Maira menggeleng. Tidak mungkin! Dia tidak boleh keluar berduaan dengan lelaki lain begini. Dia isteri orang.
“Shahir, hantarlah aku balik. Aku tak sedap hatilah kalau kita berdua aje. Lagipun kenduri tu tak penting sangatkan? Tolonglah Shahir, hantar aku balik,” rayu Mira Maira.
“Mira, kau temankan aku sekejap aje. Lepas hantar bunga tu, kita baliklah. Aku janji dengan kau. Maafkan aku ya, sebab tak beritahu kau awal-awal lagi.”
Mira Maira hanya mengeluh, lagipun kereta itu sudah jauh meninggalkan appartmentnya. Dia mendiamkan diri buat seketika.
“Kau janji tau, sekejap aje. Aku tak nak kena gosip, silap-silap kena fitnah. Kat mana kendurinya tu?”
Tersenyum Shahir mendengarnya. Lega juga hatinya kerana gadis itu mahu menemani dirinya walaupun dalam terpaksa.
“Sekejap lagi sampailah. Aku janji sekejap aje okey.” Shahir memberi keyakinan. Mira Maira mengangguk.

SETENGAH jam kemudian, sampai ke destinasi yang dituju. Restoran terkenal di Bukit Kiara. Semakin membulat mata Mira Maira memandang tempat yang dituju itu.
“Kau gila ke Shahir? Kata nak pergi kenduri, kau bohong aku ke? Takkan kawan mak cik kau tu buat kenduri kat restoran ni pulak?” marah Mira Maira. Dia rasa tertipu pula.
“Kau ingat aku nak sangat datang ke sini? Akupun mati-mati ingat buat kat rumah. Sekali aku nak pergi tadi mak cik aku bagi kad jemputan. Rupanya majlis hari jadi. Yang aku geram sangat tu, siap kena bawa bunga, katanya pak we perempuan tu yang kirim. Dahlah Mira, aku sendiri tak tahu hal ni. Jomlah kita masuk sekejap.” Separuh merayu Shahir mohon pertimbangan Mira Maira.
“Aku tak percaya, Shahir. Takkanlah kau tak tau langsung! Kau memang nak kenakan aku, kan?” marah Mira Maira.
“Maafkan aku, Mira. Aku... aku tak ada alasan lain nak keluar dengan kau. Tapi tolonglah. Lepas kau teman aku hantar bunga aje, kita terus balik.” Shahir membalikkan tubuhnya ke arah belakang, memudahkan lagi dia berkomunikasi dengan Mira Maira. Dia tahu Mira Maira marahkan dirinya. Dia juga sedar, dia ikutkan perasaan.
Mira Maira terdiam, sakit pula hatinya bila tertipu begitu.
“Aku janji... lepas ni aku hantar kau balik, okey?”
“Okey, apa kata aku tunggu kau kat kereta aje. Kau pergi hantar bunga tu.” Mira Maira memberi idea. Shahir putus asa, dia hanya mampu mengangguk.
“Baiklah kalau macam tu kata kau. Kau duduk diam-diam dalam kereta ni tau, jangan pergi mana-mana.” Shahir menitipkan pesanan.
Dia membuka pintu, dan kemudian mengambil bunga yang ada di sebelah Mira Maira.
“Kau tunggu tau,” pesannya lagi sebelum menutup pintu kereta. Mira Maira mengangguk berkali-kali.
Dia memerhati langkah Shahir yang mula menjauh. Di pandangnya pula di sekitar kawasan parkir itu, banyak kenderaan. Mungkin semuanya pergi ke majlis hari jadi yang diadakan di situ, teka hatinya. Penat memandang luar, dikalihkan pula pandangan matanya ke satu arah. Fokusnya kini pada kad yang berkilau apabila terkena cahaya lampu. Pantas sahaja dia mencapai kad tersebut, entah mengapa dia rasa tidak sedap hati pula. Diletakkan semula kad tersebut.
Namun ia hanya seketika, diambilnya kad itu sekali lagi. Hatinya kian mendesak agar dia membuka sahaja kad tersebut.
“Tak apa kot…” bisik hatinya.
 Berpandukan cahaya neon di luar, dia meneliti setiap baris ayat yang tertulis. Hatinya kian berkocak hebat. Dyna? Tidak mungkin!
Hatinya makin mendesak agar dia turun sahaja. Mahu menyertai Shahir. Mahu menyedapkan hati sendiri. Tidak mungkin majlis hari jadi Dyna dibuat di situ. Lagi mengucar-kacirkan perasaannya apabila dia teringatkan tentang bunga tadi. Mustahil daripada lelaki itu!
Baru sahaja dia ingin melangkah, kelihatan kelibat Shahir tergesa-gesa menuju ke arahnya. Jambangan bunga masih lagi di tangannya.
“La…. Kan aku suruh kau duduk dalam kereta, buat apa kau keluar?” tegur Shahir.
Dia membuka pintu kereta sambil terbongkok-bongkok mencari sesuatu.
“Kenapa kau tak hantar bunga ni lagi?”
“Aku lupa bawa ni…” Shahir menunjukkan kad undangan itu kepada Mira Maira sebaik sahaja dia menegakkan tubuhnya.
“Kau nak ikut aku masuk ke dalam ke?” soal Shahir apabila melihat Mira Maira sudah siap sedia, Mira Maira mengangguk.
“Hai kenapa ubah fikiran pulak?”
“Entahlah, aku rasa tak seronok pulak duduk dalam kereta,” itu alasan yang dia rasa logik.
“Dah jomlah…” mereka berjalan masuk ke dalam restoran tersebut.

“KENAPA kau tak cakap model Dyna yang sambut hari lahir kat sini?” soal Mira Maira sebaik sahaja Shahir kembali kepadanya setelah dia pergi menyerahkan bunga kepada pengurus Dyna.
“Alah kalau aku beritahu kau, mesti kau tak suka. Kau kan pernah cakap kau menyampah dengan perangai kekwat dia. Itu yang aku rasa tak perlulah kau tahu. Tak sangka pulak kau nak masuk dalam majlis ni. Rupanya dalam diam kau minat gila kat dia, kan?”
Mira Maira menjeling.
“Gila kau aku nak minat kat dia. Saja aje aku nak tengok kemeriahan orang popular sambut hari lahir,” alasan Mira Maira yang membuatkan Shahir tergelak.
“Dah jomlah kita keluar, kau kata tadi nak balik, kan?” usik Shahir.
“Tunggulah sekejap, aku nak tengok apa yang terjadi. Alang-alang dah ada kat sini.” cewah dia pulak yang sibuk.
“Kalau macam tu jom kita duduk kat sudut sana. Agak-agak kalau rasa tak sesuai dengan jiwa kita boleh keluar terus,” ajak Shahir, Mira Maira mengangguk. Dia mengikut langkah Shahir.
Kedengaran pengurus Dyna memberi arahan kepada semua tetamu agar bersiap sedia kerana sebentar lagi Dyna akan sampai. Majlis itu kononnya satu majlis kejutan buat gadis itu.
Mira Maira memerhati keliling, rata-rata semua sudah teruja hendak mengejutkan gadis yang menyambut hari lahirnya pada hari itu. Majlis itu juga merupakan majlis tertutup. Tidak ramai yang diundang.
Semua yang ada dalam majlis itu senyap secara tiba-tiba. Entah mengapa dada Mira Maira terasa berdebar pula. Dia tidak tahu mengapa, rasa tidak sedap hati daripada tadi membuatkan dia bimbang.
“Agaknya Dyna dah nak sampai.” Shahir berkata perlahan.
Mata Mira Maira tertumpu pada pintu utama. Rasa debarannya makin terasa, dia cuba menyabarkan hati agar tidak memikirkan yang bukan-bukan. Apabila sepasang merpati dua sejoli melangkah masuk dalam ruangan itu, membuatkan semua tersenyum-senyum simpul kecuali Mira Maira.
Dipejam celik matanya, namun apa yang diperhatikan itulah realitinya. Dia tidak percaya apabila melihat wajah lelaki yang berada di sebelah Dyna, begitu tenang berjalan beriringan denagn gadis itu. Manakala Dyna pula matanya ditutup dengan sehelai kain. Ini memang betul-betul satu kejutan. Dia yang terkejut kerana suaminya yang berada di sisi gadis itu. Sangat mesra dan sangat bahagia bila dilihat dengan mata kasar.
Dada Mira Maira makin sempit, rasa sebak sudah menguasai perasaannya. Dia mahu segera pergi daripada situ tetapi kakinya masih lagi terpaku. Berombak dadanya menahan rasa. Ketika itu juga nyanyian hari lahir kedengaran. Bukan main meriah lagi sebaik sahaja mata Dyna dibuka. Terjerit kecil gadis itu kesukaan. Dipukul-pukul tubuh Alif Hazriq, lelaki itu ketawa gembira.
‘Mengapa aku tak pernah melihat tawa itu. Kenapa aku tak pernah rasa kasih sayang daripada pandangan matanya?’ Mira Maira menyoal dirinya sendiri. Terasa bagaikan hunus pisau belati, hatinya kian rabak. Dikalih pandangan mata ke arah lain, enggan melihat kemesraan itu.
Paling menyayat hati, Dyna menarik Alif Hazriq ke satu sudut yang menempatkan pentas kecil. Di situ dia menyampaikan lagu buat kekasih hati. Kala itu juga dia tidak mampu bertahan lagi, dia seharusnya pergi daripada situ seberapa segera.
“Aku nak balik, Shahir.” Mira Maira mencuit Shahir yang begitu ralit memerhatikan pasangan itu. Sejak daripada tadi tersengih-sengih.
“Kau tak nak makan dulu ke?”
Mira Maira menggeleng dan kemudian terus berlalu. Pedihnya perasaan.
“Eh Mira tunggulah aku…” Shahir memanjangkan langkahnya supaya dapat bersaing dengan gadis itu.
“Kau kenapa, Mira?” soal Shahir, agak pelik dengan perubahan sikap Mira Maira.
“Tak ada apa-apalah, aku nak balik.” Seberapa segera dia meloloskan diri ke dalam kereta. Kalau boleh dia mahu segera melenyapkan apa yang dilihatnya tadi. Dia benci!
“Yalah, kau tak nak makan-makan dulu ke. Jomlah perut aku lapar dah ni,” pujuk Shahir. Mira Maira menggeleng lagi.
“Maaflah, Shahir. Lepas kau hantar aku balik, nanti kau teruslah pergi makan ya?”
“Alah tak seronoklah aku makan sorang-sorang.” Shahir menghidupkan enjin kereta. Mereka meninggalkan kawasan itu,
“Kau tak faham ke apa yang aku cakap, aku kata aku nak baliklah!” agak meninggi suara Mira Maira. Terkejut juga Shahir dibuatnya. Dia segera mengangguk.
Suasana terus hening dan tegang.
Mira Maira menarik nafasnya sedalam mungkin, kemudian dia beristigfar beberapa kali. Dia menoleh sekilas ke arah Shahir, rasa bersalah menyelubungi jiwanya.
“Maafkan aku, Shahir. Aku tak sengaja. Tak sepatutnya aku marah kau.”
“Tak apalah, Mira. akupun tak kecil hati. Aku hantar kau balik ya, dahlah kau tenang-tenangkan hati. Kalau ada masalah, kau ceritalah pada aku. Aku sedia mendengarnya.”
Shahir rasa lega bila melihat wajah tegang gadis di sebelahnya itu sudah kembali seperti sedia kala. Mungkin gadis itu punya masalah sendiri. Atau ada hal lain yang dia tidak tahu. Entahlah, untuk menyingkap dan mengorek daripada gadis itu, dia tidak akan lakukan sama sekali. Biarlah gadis itu bercerita dengan sendirinya.

SESAMPAI di rumah, Mira Maira terus melepaskan apa yang terbuku di hatinya. Dia menangis semahu-mahunya.
“Atuk, Mira tak tahan hidup macam ni… Mira benci dengan apa yang Mira rasa…” luahnya seorang diri. Seolah atuknya ada di hadapan mata.
“Tak sepatutnya Mira ada rasa cinta padanya. Sakit sangat perasaan ni bila dah ada perasaan tu. Apa yang Mira perlu buat sekarang ni atuk?”mengogoi dia menangis.
Dia tidak tahu sejak bila rasa cinta itu datang. Namun apa yang tahu dan sedar, setiap kali memandang wajah itu membuatkan dia berdebar. Setiap kali wajah itu hilang daripada pandangan mata, dia jadi nanar. Rindu pula bertamu di jiwa. Selama ini dia sangkakan dia hanya punya perasaan sayang. Namun cinta itu datang tanpa diundang.
Sedang dia menjeruk rasa, telefon bimbitnya berdering. Dia hanya membiarkan sahaja. Tetapi apabila masuk kali ketiga deringan itu berbunyi, segera dia mengesat air matanya. Cuba menenangkan perasaan sendiri.
“Assalamualaikum…” seboleh mungkin dia mengawal suaranya.
“Waalaikumussalam, Mira… dah tidur ya?” suara di hujung talian bertanya khabar. Air mata yang tadi cuba dikawal, kini makin deras pula turunnya.
“Atuk…”
“Ya, Mira. Mira menangis ke?” suara tua itu kedengarannya sedikit lemah.
“Tak adalah, atuk. Mira gembira sangat atuk telefon Mira. atuk sihat ke?” Mira Maira cuba berbohong.
“Atuk sihat aje… cuma…”
“Kenapa, atuk?” pintas Mira Maira.
“Malam ni atuk tak boleh tidur. Entah kenapa atuk rasa tak sedap hati sejak daripada tadi. Itu yang atuk telefon Mira. Takut Mira tak sihat ke.”
“Eh tak adalah, atuk. Mira sihat, atuk jangan bimbang ya…” beberapa kali dia menahan nafas agar tangisannya berhenti. Dia tidak mahu atuknya risau. Biar dia seorang yang menanggung segala duka, asalkan hati-hati orang yang disayanginya dijaga dengan baik.
“Kalau macam tu, pergilah tidur. Dah malam dah ni. Alif dah tidur, ya?”
“Ha… err… haah, atuk,” bohongnya lagi. Ya Allah bantulah aku… ampunilah dosa aku kerana membohongi insan yang selama ini banyak berbudi kepadaku.
“Nanti kirim salam pada dia, ya. Atuk letak dulu ya… assalamualaikum,” Tok Taha terus memutuskan talian sebelum sempat Mira Maira menjawab.
“Waalaikumussalam, atuk. InsyaAllah,” gadis itu mengeluh. Andai kau tahu atuk, apa yang telah terjadi selama ini, aku tak tahu apa yang kau akan lakukan. Maafkan Mira, atuk.

Khamis, 7 Mac 2013

JANGAN PANDANG SEBELAH MATA, BRO!




13
MEMANG sudah dijangkakan, sekembalinya ke rumah sendiri, dia pasti akan rasa sunyi. Alif Hazriq seperti biasa, hanya akan datang jika dia memerlukan dirinya. 
Dia pergi kerja seperti biasa. Biarpun jiwa lara, biar parah sekalipun dia tetap kena kerja memandangkan Maslina masih cuti sebulan lagi. Kalau ikutkan hati, dia memang sudah tidak larat hendak bekerja. Apatah lagi berhadapan dengan muka bos merangkap suaminya yang sepertinya tidak cukup oksigen itu.
Sampai sahaja di pejabat, dia mula sibuk. Kerja sebagai PA Encik Alif Hazriq memang tidak ada waktu rehat. Diapun pelik dengan Maslina, bagaimana wanita itu boleh bertahan dengan kerja-kerja yang banyak begitu?
“Mira, you dah sarapan ke belum? Marilah ke pantry, kita sarapan dulu,” pelawa Vaneesa. Mira Maira mendongak, kemudian dia menggeleng.
“Saya dah ambil oat sebelum pergi kerja. Perut saya masih kenyang lagi ni,” tolak Mira Maira dengan senyuman yang manis.
“Okey I pergi dulu ya. Nanti kalau you lapar pergi aje ke pantry, I bawa makanan banyak tu,” pesan Vaneesa, Mira Maira mengangguk lantas tersenyum.
Vaneesa meninggalkan Mira Maira yang sibuk menyiapkan dokumen-dokumen diperlukan oleh bosnya nanti. Pada hari itu, Alif Hazriq ada janji temu dengan pembekal rumpai laut daripada Sabah. Bahan utama dalam produk terbaru mereka iaitu kolagen.

“HAI…” sapa Aiman daripada arah belakang. Mira Maira menoleh.
“Oh… hai… ada apa-apa yang boleh saya bantu, Aiman?” ayat yang biasa digunakan untuk sesiapa sahaja yang datang bertemu dengannya.
“Eh tak ada apa-apa. Saya cuma nak beri ni…” Aiman menghulurkan bungkusan polestrin kepada Mira Maira.
“Apa ni?” Soal Mira Maira. berkerut keningnya.
“Err… ini kuih rengas…” jawab Aiman.
Makin berkerut dahi Mira Maira.
“Kuih rengas? Kuih apa tu?”
“Alah kuih kacang bersalut tepung tu… bukan ke awak suka kuih tu?” Aiman cuba memberi gambaran kuih yang dimaksudkan.
“Hmm… kuih kasturi ke?”
“Hah! Betullah tu… saya panggil kuih rengas. Awak makanlah ya, ini ibu saya yang masak sendiri. Mira Maira tersenyum lebar, tidak sangka Aiman bersusah payah begitu.
“Awak suruh ke ibu awak buat, atau memang dia nak buat kuih ni?” Aiman menggeleng.
“Eh taklah, memang ibu saya yang nak buat, sebab tu saya teringatkan awak. Ibu saya suruh bawa lebih. Sudi-sudilah rasa. Saya jamin kuih yang ibu saya buat ni memang susah nak jumpa kat luar.”
“Oh ya ke? Terima kasih ya, Aiman. Buat susah-susah aje. Nanti saya makan ya.” Mira Maira tersenyum lagi.
Kebetulan pula ketika itulah Alif Hazriq pun sampai di hadapan mereka. Cepat-cepat Mira Maira menyembunyikan makanan itu.
“Assalamualaikum dan selamat pagi, Encik Alif.” Serentak dengan Aiman, Mira Maira memberi tanda penghormatan.
Wajah Alif Hazriq ketika itu jangan ceritalah, masam mencuka. Dipandangnya Mira Maira dengan renungan yang tajam. Kemudian dia kalihkan pula pandangannya pada Aiman.
“Awak dah tak ada kerja ke? Sampai ke atas awak bersembang,” perli Alif Hazriq. Aiman menggaru kepalanya.
“Saya turun dulu, Encik Alif.” Tanpa berlengah lagi, Aiman terus berlalu meninggalkan mereka berdua.
Alif Hazriq masih lagi tidak berpuas hati dengan Mira Maira. Wajahnya tetap masam mencuka.
“Awak dah siapkan kerja yang saya beri semalam?” tegas sahaja dia bersuara. Renungan mata itu bisa membuatkan tubuh Mira Maira rasa menggigil.
‘Apa pasal muka dia macam harimau pulak hari ni?’ soal hatinya.
“Awak tak ada mulut ke?” sergah Alif Hazriq, terkejut Mira Maira.
“Su… sudah, Encik Alif.” Jawab Mira Maira. Alif Hazriq terus berlalu masuk ke dalam bilik pejabatnya.
Mira Maira pula bergegas mengekorinya sambil membawa fail dan juga dokumen-dokumen yang baru dicetaknya tadi. Sampaikan terjatuh-jatuh pen yang ada di tangannya. Dia mengutipnya, nampak seperti orang yang kelam kabut sahaja.
Dia mengetuk pintu bilik pejabat Alif Hazriq. Kedengaran suara kasar lelaki itu menyuruhnya masuk. Berdebar-debar dada Mira Maira. Takut disergah lagi. Terkumat kamit bibirnya berdoa. Dia memulas tombol pintu perlahan, dan menutupnya juga dalam keadaan yang sama amat perlahan sekali. Kemudian dia melangkah menuju ke meja Alif Hazriq.
Wajah lelaki itu dipandang sekejap, berderau lagi darahnya bila lelaki itu asyik memandang ke arahnya. Sudah tentu pandangan itu bukan pandangan yang orang mahu menggoda ataupun pandangan yang boleh mendebarkan dada kerana panahan asmara. Tetapi renungan itu bagaikan mahu menerkam. Mahu menelannya hidup-hidup.
“Encik Alif… ini dokumen yang encik mahukan,” menggigil Mira Maira menghulurkan dokumen itu. Tidak berani dia memandang ke wajah lelaki itu lagi.
Alif Hazriq mengambil dokumen yang diserahkan kepadanya. Matanya meniliti setiap baris ayat, walaupun begitu hatinya pula rasa mendesak-desak.
“Buat apa budak tu jumpa kau?” soal Alif Hazriq setelah lama mendiamkan diri.
“Err… dia bagi saya kuih, Encik Alif.”
“Kuih apa?”
“Kuih kasturi.”
“Kau dah makan?”
Mira Maira menggeleng.
“Jadi memang sengajalah kau suruh dia belikan makanan?”
“Eh taklah. Dia memang nak bagi saya, Encik Alif.”
“Kau betulkan ni. Banyak sangat yang salah. Itulah kalau waktu bekerja sibuk nak melayan orang.”
“Err…”
Tiba-tiba pintu terbuka luas.
“Hai, sayang…” muncul Dyna tiba-tiba.
Panas muka Mira Maira apabila terpandang wajah Dyna. Semakin membahang tatkala melihat senyuman manis Alif Hazriq.
“Eh, hai… cepatnya sampai.”
‘Amboi punyalah lembut suara dia. Senyumanpun bukan main lemak berkrim lagi...’ bebel Mira Maira dalam hati.
“Hai, Mira…” sapa Dyna. Mira Maira membalas dengan anggukan.
“Awak betulkan dulu dan ingat pesanan saya tadi,” kali ini intonasi suara Alif Hazriq lebih baik daripada tadi.
Mira Maira mencapai dokumen itu, kemudian dia terus keluar. Hatinya sakit. Geram dengan perangai mengada-ada Alif Hazriq. Sampai hati betul lelaki itu. Dia cemburu ke? Tapi tidak pula nampak seperti orang cemburu. Mira Maira menggeleng kepala.

SETELAH dia siap semua dokumen yang diperlukan, dia meletakkannya ke dalam sebuah fail. Dia hanya menunggu sahaja arahan daripada Alif Hazriq.
Sementara itu, perasaannya cukup tertekan. Dyna masih lagi dalam pejabat Alif Hazriq. Apa yang mereka lakukan? Resahnya jiwa. Mahu sahaja dia menerjah masuk ke dalam bilik pejabat lelaki itu. Mahu saja dia mengeroyok muka Dyna. Tapi semuanya hanya ilusi. Hakikatnya dia tidak mampu!
Ya! Dia tidak mampu mengekang suaminya terus membuat maksiat. Bodohkah dirinya? Membiarkan suami sendiri berbuat maksiat? Tidak takutkah dia kepada Allah?
“Mira, Dyna masih ada kat dalam ke?” soal Anita, pekerja di bahagian sumber manusia.
“Iya, masih ada kat dalam. Awak nak jumpa bos ke?” Mira Maira terpaksa memaniskan wajahnya.
“Biasalah dah nak hujung-hujung bulan ni. Nak suruh dia tandatangan cek dan dokumen ni. Awak boleh bagi dia ke?” Anita menyerahkan dokumen itu kepada Mira Maira.
“Eh nanti, rasanya dah boleh ganggu diorang tu. Saya call Encik Alif sekejap. Kalau dia kata okey, awak masuk saja ya?” Anita mengangguk.
Mira Maira mencapai ganggang telefon, didailnya nombor telefon Alif Hazriq.
“Ya?” jawab Alif Hazriq ceria.
“Encik Alif, Anita nak jumpa Encik Alif, boleh dia masuk?” teragak-agak Mira Maira, namun dia rasa lega apabila Alif Hazriq mahu mengangkat telefon itu.
“Suruh dia masuk,” arah Encik Alif Hazriq. Mira Maira mengangguk, walaupun lelaki itu tidak nampak anggukannya.
“Baiklah.” Ganggang diletak.
“Awak boleh masuk.”
Anita tersenyum lebar. Lega rasanya apabila urusan itu tidak perlu ditangguh-tangguh. Cepat ditandatangan maka bolehlah dia selesaikan semua gaji-gaji pekerja tepat pada waktunya.
Setelah Anita keluar daripada bilik pejabat Alif Hazriq, lelaki itu turut sama keluar. Beriringan pula dengan Dyna. Dia melewati meja Mira Maira.
“Ini semua dokumen yang diperlukan, Encik Alif.”
Mira Maira menghulur sebuah fail kepada Alif Hazriq. Lelaki itu hanya mengangguk. Tanpa pesanan, dia terus sahaja keluar. Tersayat hati Mira Maira bila diperlakukan begitu.
“Mampukah aku bertahan?” soalnya sendiri.
Air mata bertakung di tubir matanya. Mahu sahaja dia meraung di situ. Kejamnya lelaki itu! Sampai hati kerana buatkan dirinya seperti badut tanpa perasaan. Benci!
Kala itu juga dia mendapat sms daripada Shahir. Tanpa berfikir panjang dia bersetuju sahaja dengan permintaan Shahir.