13
MEMANG sudah
dijangkakan, sekembalinya ke rumah sendiri, dia pasti akan rasa sunyi. Alif
Hazriq seperti biasa, hanya akan datang jika dia memerlukan dirinya.
Dia pergi kerja seperti biasa. Biarpun jiwa lara,
biar parah sekalipun dia tetap kena kerja memandangkan Maslina masih cuti
sebulan lagi. Kalau ikutkan hati, dia memang sudah tidak larat hendak bekerja.
Apatah lagi berhadapan dengan muka bos merangkap suaminya yang sepertinya tidak
cukup oksigen itu.
Sampai sahaja di pejabat, dia mula sibuk. Kerja sebagai
PA Encik Alif Hazriq memang tidak ada waktu rehat. Diapun pelik dengan Maslina,
bagaimana wanita itu boleh bertahan dengan kerja-kerja yang banyak begitu?
“Mira, you dah sarapan ke belum? Marilah ke
pantry, kita sarapan dulu,” pelawa Vaneesa. Mira Maira mendongak, kemudian dia
menggeleng.
“Saya dah ambil oat sebelum pergi kerja. Perut
saya masih kenyang lagi ni,” tolak Mira Maira dengan senyuman yang manis.
“Okey I pergi dulu ya. Nanti kalau you lapar pergi
aje ke pantry, I bawa makanan banyak tu,” pesan Vaneesa, Mira Maira mengangguk
lantas tersenyum.
Vaneesa meninggalkan Mira Maira yang sibuk
menyiapkan dokumen-dokumen diperlukan oleh bosnya nanti. Pada hari itu, Alif
Hazriq ada janji temu dengan pembekal rumpai laut daripada Sabah. Bahan utama
dalam produk terbaru mereka iaitu kolagen.
“HAI…” sapa Aiman
daripada arah belakang. Mira Maira menoleh.
“Oh… hai… ada apa-apa yang boleh saya bantu,
Aiman?” ayat yang biasa digunakan untuk sesiapa sahaja yang datang bertemu
dengannya.
“Eh tak ada apa-apa. Saya cuma nak beri ni…” Aiman
menghulurkan bungkusan polestrin kepada Mira Maira.
“Apa ni?” Soal Mira Maira. berkerut keningnya.
“Err… ini kuih rengas…” jawab Aiman.
Makin berkerut dahi Mira Maira.
“Kuih rengas? Kuih apa tu?”
“Alah kuih kacang bersalut tepung tu… bukan ke
awak suka kuih tu?” Aiman cuba memberi gambaran kuih yang dimaksudkan.
“Hmm… kuih kasturi ke?”
“Hah! Betullah tu… saya panggil kuih rengas. Awak
makanlah ya, ini ibu saya yang masak sendiri. Mira Maira tersenyum lebar, tidak
sangka Aiman bersusah payah begitu.
“Awak suruh ke ibu awak buat, atau memang dia nak
buat kuih ni?” Aiman menggeleng.
“Eh taklah, memang ibu saya yang nak buat, sebab
tu saya teringatkan awak. Ibu saya suruh bawa lebih. Sudi-sudilah rasa. Saya
jamin kuih yang ibu saya buat ni memang susah nak jumpa kat luar.”
“Oh ya ke? Terima kasih ya, Aiman. Buat
susah-susah aje. Nanti saya makan ya.” Mira Maira tersenyum lagi.
Kebetulan pula ketika itulah Alif Hazriq pun
sampai di hadapan mereka. Cepat-cepat Mira Maira menyembunyikan makanan itu.
“Assalamualaikum dan selamat pagi, Encik Alif.”
Serentak dengan Aiman, Mira Maira memberi tanda penghormatan.
Wajah Alif Hazriq ketika itu jangan ceritalah,
masam mencuka. Dipandangnya Mira Maira dengan renungan yang tajam. Kemudian dia
kalihkan pula pandangannya pada Aiman.
“Awak dah tak ada kerja ke? Sampai ke atas awak
bersembang,” perli Alif Hazriq. Aiman menggaru kepalanya.
“Saya turun dulu, Encik Alif.” Tanpa berlengah
lagi, Aiman terus berlalu meninggalkan mereka berdua.
Alif Hazriq masih lagi tidak berpuas hati dengan
Mira Maira. Wajahnya tetap masam mencuka.
“Awak dah siapkan kerja yang saya beri semalam?”
tegas sahaja dia bersuara. Renungan mata itu bisa membuatkan tubuh Mira Maira
rasa menggigil.
‘Apa pasal muka dia macam harimau pulak hari ni?’
soal hatinya.
“Awak tak ada mulut ke?” sergah Alif Hazriq,
terkejut Mira Maira.
“Su… sudah, Encik Alif.” Jawab Mira Maira. Alif
Hazriq terus berlalu masuk ke dalam bilik pejabatnya.
Mira Maira pula bergegas mengekorinya sambil
membawa fail dan juga dokumen-dokumen yang baru dicetaknya tadi. Sampaikan
terjatuh-jatuh pen yang ada di tangannya. Dia mengutipnya, nampak seperti orang
yang kelam kabut sahaja.
Dia mengetuk pintu bilik pejabat Alif Hazriq.
Kedengaran suara kasar lelaki itu menyuruhnya masuk. Berdebar-debar dada Mira
Maira. Takut disergah lagi. Terkumat kamit bibirnya berdoa. Dia memulas tombol
pintu perlahan, dan menutupnya juga dalam keadaan yang sama amat perlahan
sekali. Kemudian dia melangkah menuju ke meja Alif Hazriq.
Wajah lelaki itu dipandang sekejap, berderau lagi
darahnya bila lelaki itu asyik memandang ke arahnya. Sudah tentu pandangan itu
bukan pandangan yang orang mahu menggoda ataupun pandangan yang boleh
mendebarkan dada kerana panahan asmara. Tetapi renungan itu bagaikan mahu
menerkam. Mahu menelannya hidup-hidup.
“Encik Alif… ini dokumen yang encik mahukan,” menggigil
Mira Maira menghulurkan dokumen itu. Tidak berani dia memandang ke wajah lelaki
itu lagi.
Alif Hazriq mengambil dokumen yang diserahkan
kepadanya. Matanya meniliti setiap baris ayat, walaupun begitu hatinya pula
rasa mendesak-desak.
“Buat apa budak tu jumpa kau?” soal Alif Hazriq
setelah lama mendiamkan diri.
“Err… dia bagi saya kuih, Encik Alif.”
“Kuih apa?”
“Kuih kasturi.”
“Kau dah makan?”
Mira Maira menggeleng.
“Jadi memang sengajalah kau suruh dia belikan
makanan?”
“Eh taklah. Dia memang nak bagi saya, Encik Alif.”
“Kau betulkan ni. Banyak sangat yang salah. Itulah
kalau waktu bekerja sibuk nak melayan orang.”
“Err…”
Tiba-tiba pintu terbuka luas.
“Hai, sayang…” muncul Dyna tiba-tiba.
Panas muka Mira Maira apabila terpandang wajah
Dyna. Semakin membahang tatkala melihat senyuman manis Alif Hazriq.
“Eh, hai… cepatnya sampai.”
‘Amboi punyalah lembut suara dia. Senyumanpun
bukan main lemak berkrim lagi...’ bebel Mira Maira dalam hati.
“Hai, Mira…” sapa Dyna. Mira Maira membalas dengan
anggukan.
“Awak betulkan dulu dan ingat pesanan saya tadi,”
kali ini intonasi suara Alif Hazriq lebih baik daripada tadi.
Mira Maira mencapai dokumen itu, kemudian dia terus
keluar. Hatinya sakit. Geram dengan perangai mengada-ada Alif Hazriq. Sampai hati
betul lelaki itu. Dia cemburu ke? Tapi tidak pula nampak seperti orang cemburu.
Mira Maira menggeleng kepala.
SETELAH dia siap
semua dokumen yang diperlukan, dia meletakkannya ke dalam sebuah fail. Dia
hanya menunggu sahaja arahan daripada Alif Hazriq.
Sementara itu, perasaannya cukup tertekan. Dyna
masih lagi dalam pejabat Alif Hazriq. Apa yang mereka lakukan? Resahnya jiwa.
Mahu sahaja dia menerjah masuk ke dalam bilik pejabat lelaki itu. Mahu saja dia
mengeroyok muka Dyna. Tapi semuanya hanya ilusi. Hakikatnya dia tidak mampu!
Ya! Dia tidak mampu mengekang suaminya terus
membuat maksiat. Bodohkah dirinya? Membiarkan suami sendiri berbuat maksiat?
Tidak takutkah dia kepada Allah?
“Mira, Dyna masih ada kat dalam ke?” soal Anita,
pekerja di bahagian sumber manusia.
“Iya, masih ada kat dalam. Awak nak jumpa bos ke?”
Mira Maira terpaksa memaniskan wajahnya.
“Biasalah dah nak hujung-hujung bulan ni. Nak
suruh dia tandatangan cek dan dokumen ni. Awak boleh bagi dia ke?” Anita
menyerahkan dokumen itu kepada Mira Maira.
“Eh nanti, rasanya dah boleh ganggu diorang tu.
Saya call Encik Alif sekejap. Kalau
dia kata okey, awak masuk saja ya?” Anita mengangguk.
Mira Maira mencapai ganggang telefon, didailnya
nombor telefon Alif Hazriq.
“Ya?” jawab Alif Hazriq ceria.
“Encik Alif, Anita nak jumpa Encik Alif, boleh dia
masuk?” teragak-agak Mira Maira, namun dia rasa lega apabila Alif Hazriq mahu
mengangkat telefon itu.
“Suruh dia masuk,” arah Encik Alif Hazriq. Mira
Maira mengangguk, walaupun lelaki itu tidak nampak anggukannya.
“Baiklah.” Ganggang diletak.
“Awak boleh masuk.”
Anita tersenyum lebar. Lega rasanya apabila urusan
itu tidak perlu ditangguh-tangguh. Cepat ditandatangan maka bolehlah dia
selesaikan semua gaji-gaji pekerja tepat pada waktunya.
Setelah Anita keluar daripada bilik pejabat Alif
Hazriq, lelaki itu turut sama keluar. Beriringan pula dengan Dyna. Dia melewati
meja Mira Maira.
“Ini semua dokumen yang diperlukan, Encik Alif.”
Mira Maira menghulur sebuah fail kepada Alif
Hazriq. Lelaki itu hanya mengangguk. Tanpa pesanan, dia terus sahaja keluar.
Tersayat hati Mira Maira bila diperlakukan begitu.
“Mampukah aku bertahan?” soalnya sendiri.
Air mata bertakung di tubir matanya. Mahu sahaja
dia meraung di situ. Kejamnya lelaki itu! Sampai hati kerana buatkan dirinya
seperti badut tanpa perasaan. Benci!
Kala itu juga dia mendapat sms daripada Shahir.
Tanpa berfikir panjang dia bersetuju sahaja dengan permintaan Shahir.