22
“KENAPA duduk termenung ni?” sapa Rabitah.
Mira Maira
tersenyum sambil berpaling ke arah Rabitah.
“Kak…”
“Mira
rindukan dia ke?” Rabitah duduk di sebelah Mira Maira.
“Apa akak
ni…” paha Rabitah ditepuknya.
“Mira…
tempat seorang isteri di sisi suaminya. Jangan lari daripada masalah. Kalau
boleh, bawalah berbincang.” Pujuk Rabitah. Mira Maira menunduk.
“Saya tak
tahu apa yang saya rasa sekarang ni, kak. Macam-macam perasaan ada, apatah lagi
bila kenangkan kebaikan mertua saya dan juga harapan atuk. Sukar saya nak ambil
keputusan, kak.” Jelas Mira Maira. Dia mengeluh.
Sedang
mereka berbual, kedengaran bunyi enjin kereta di luar rumah. Rabitah bingkas
lalu menuju ke pintu. Dia membuka pintu sebaik sahaja mendengar suara orang
memberi salam.
“Assalamualaikum…”
“Wa’alaikumussalam…”
Rabitah tersenyum tatkala melihat wajah Syazana di luar rumah.
“Selamat
pagi, kak. Kawan saya dah bangun ke?”
“Sebelum
subuh tadi dia dah bangun. Masuklah…” pelawa Rabitah. Syazana menurut.
“Ni ada
saya belikan sarapan, kak.” Syazana menghulur bungkusan yang ada di tangannya.
Rabitah menyambut lalu dibawa ke dapur.
“Hai, mek.
Dah okey ke hari ni?” Syazana duduk di sebelah Mira Maira. Bahu gadis itu
ditumbuknya sedikit. Mira Maira menjongket bahunya.
“Bolehlah…
nasib baik ada kakak berdua tu. Diorang baik sangat. Mana kau jumpa diorang
tu?” bisik Mira Maira. Syazana menyandarkan tubuhnya ke dinding.
“Diorang ni
mengajar tadika kat jalan depan sana tu. Kau perasan tak tadika Minda Irfan?
Alah yang bangunannya warna hijau cair tu?”
Mira Maira
cuba memikir bangunan yang dimaksudkan. Memang jalan luar itu ada sebuah
tadika, mungkin itulah yang dimaksudkan oleh Syazana.
“Ooo…
diorang mengajar di situ.” Mira Maira mengangguk-angguk.
“Akukan
jadi supir adik bongsu aku tu, jadi daripada situlah aku mula rapat dengan
diorang. Lagipun aku selalu juga tolong diorang kat tadika tu.” Terang Syazana.
“Ana… Mira…
marilah makan. Akak dah siapkan sarapan ni. Penat akak masak tadi, naik
berpeluh-peluh ni hah…” panggil Rabitah.
Syazana
bingkas bangun. Diikuti pula oleh Mira Maira. Karmah pula baru sahaja keluar
daripada bilik.
“Eh
banyaknya awak buat sarapan… tak sangka pula macam-macam jenis ada.” Usik
Karmah. Rabitah tergelak kecil. Sangat terkawal gelak tawanya. Mulut sentiasa
ditutup ketika dia ketawa.
“Ana yang
bawa tadi. Sengaja nak dapat nama...” kata Rabitah. Mira Maira dan Syazana
hanya tersenyum.
“Akak
berdua mengajar di tadika, ya? Hari ni tak sekolah ke?” Seingat Mira Maira pada
hari itu baru hari Selasa. Takkanlah hari cuti pula?
“Hari ni
cuti, Mira. Cuti peristiwa.” Jawab Karmah.
“Ooo…”
panjang sahaja ‘o’ Mira Maira.
SEMENTARA di Kuala Lumpur di waktu malam, Alif Hazriq semakin resah. Sejak
semalam dia menelefon Mira Maira, namun tidak ada satupun berjawab. Mungkin
telefon bimbitnya dimatikan.
Dia berbaring
di atas katil sambil tangan diletak di atas dahinya. Dia tidak menyangka Mira
Maira akan menghilangkan diri. Sangkanya gadis itu akan pulang ke rumah, tapi
dia silap. Baru sahaja dia cuba mahu memujuk rajuk isteri, namun dia yang
hampa.
Rasa sunyi
tanpa gadis itu. Ya! Baru dia rasa kini. Alif Hazriq mengiring tubuhnya,
menghadap tempat yang selalu digunakan oleh Mira Maira. Perlahan tangannya
mengusap lembut tilam itu, bagai membayangkan Mira Maira berada di situ.
‘Bukan ke
ini yang kau mahukan, Alif?’
‘Tidak,
Alif. Kau sebenarnya sayangkan dia!’ kata suara yang lain pula.
Alif Hazriq
berperang dengan perasaannya sendiri. Boleh jadi gila dibuatnya. Dia bingkas
bangun, nombor seseorang didail.
Seketika
kemudian dia meninggalkan rumah yang disewa untuk isterinya itu. Waktu itu
sudah jam satu pagi. Dia tidak peduli. Mujurlah dia tidak duduk dengan uminya.
Jika tidak, memang nak kena hambatlah jawabnya.
“Hai… lama
dah tunggu?” soal Alif Hazriq sebaik sahaja dia menghampiri meja yang di duduki
oleh Zul Fadzly.
“Lama tak
lama juga, tapi boleh tahan berjanggut jugalah.” Jawab Zul Fadzly. Ketika itu mereka berada di Redbox Jalan
Bukit Bintang. Tempat biasa mereka lepak selepas Alif Hazriq berkahwin.
Alif Hazriq
tidak ke kelab-kelab malam lagi setelah Mira Maira berada di Kuala Lumpur.
Entah kenapa dia mula tidak berminat lagi mengikut Dyna mengunjungi
tempat-tempat itu.
Sesekali
juga Dyna pula yang akan mengikutnya ke tempat itu sekiranya dia ingin berhibur
dengan Alif Hazriq. Dyna tidak mampu memujuk lelaki itu untuk hidup seperti
dahulu. Ke mana sahaja mereka pasti akan berdua. Berhibur sehingga ke dinihari.
Alif Hazriq
menyedut minumannya sebaik sahaja minuman itu berada di hadapannya.
“Kau
kenapa, bro? Aku tengok kau panik semacam aje.” Soal Zul Fadzly, wajah Alif
Hazriq dipandangnya lama.
Lelaki di
hadapannya itu, merupakan rakan baik sejak sekolah menengah lagi. Dia kenal
Alif Hazriq daripada pelbagai sudut. Kali ini dia nampak, lelaki itu punya
masalah. Dia tidak mahu mendesak, biarlah Alif Hazriq sendiri membuka mulut.
“Eh aku
okey, beb! Mana ada panik.” Balas Alif Hazriq sambil ketawa.
“Aku kenal
kau, bro! bukan sehari dua aku kenal kau. Risaukan tentang hari perkahwinan kau
dengan Dyna ke?” tebak Zul Fadzly, sungguhpun dia tidak mahu mendesak, tetapi
dia mahu tahu juga.
“Entahlah
kepala aku berserabut dibuatnya.”
“Hai… orang
nak kahwin suka, ini macam orang kena kahwin paksa aje.” Zul Fadzly gelakkan
Alif Hazriq.
“Kau tau
sendiri, kan? Apa sekalipun alasan aku, umi pasti tak restu. Lagipun bukan tu
yang serabutkan kepala aku…” Alif Hazriq terdiam seketika, disedutnya lagi air
yang masih berbaki.
“Jangan
pulak kau cakap, kau tengah fikirkan tentang…”
“Siapa?”
Alif Hazriq memandang. Zul Fadzly berfikir seketika.
“Mira…”
Alif Hazriq
tertelan air liur. Dia melarikan anak matanya. Dia pura-pura tersenyum. Degupan
jantungnya juga bagaikan terhenti tatkala nama itu meniti di bibir Zul Fadzly.
Apakah maknanya itu? Rindukah dia?
“Alif… aku
tak tau apa yang bersarang dalam kepala otak kau tu, tapi aku dapat rasa, yang
kau memikirkan budak tu, kan?” Zul Fadzly semakin mendesak. Alif Hazriq
mengeluh.
“Aku tak
tau mana dia hilang. Aku cuba call,
tapi tak berjawab. Aku tau dia malu, kecil hati dan mungkin marah. Tapi aku
sendiri tak jangka Dyna boleh maki dia macam tu sekali,” luah Alif Hazriq.
“Sebenarnya,
dia minta aku hantarkan ke KL Sentral. Tapi aku tak tau dia nak ke mana.”
Terkejut
Alif Hazriq mendengarnya.
“Tapi kau
cakap, kau hantar dia…” Zul Fadzly mengangguk.
“Ya… itu
yang dia suruh aku cakap pada kau. Sorrylah, bro. Aku tak berniat nak bohong
kau. Tapi aku pelik, kenapa kau beria-ia sangat nak risau pasal dia?”
“Weh! Dia
pekerja akulah. Kau jangan fikir yang bukan-bukan.” Wajah Alif Hazriq mula
bertukar warna. Membahang.
“Aku kenal
kau… cukup kenal… ada rahsia yang kau sembunyikan daripada aku, kan?”
Zul Fadzly
menebak lagi. Cuba memerangkap Alif Hazriq. Dari cara rakannya itu melihat
gadis yang bernama Mira Maira sahaja dia dapat rasakan keanehannya. Biarpun
bagi pihak gadis itu, dia tidak dapat membaca dengan jelas. Apa yang dia
nampak, Mira Maira memandang Alif Hazriq hanya sebagai seorang ketua.
“Zul… boleh aku percaya kau?” tiba-tiba Alif
Hazriq bersuara.
“Weh! Gila
kau tak percaya pada aku? Alamak… ni yang aku nak merajuk ni. Sangat menghina
tu, beb!” Zul Fadzly membetulkan topi yang dipakainya. Alif Hazriq tergelak.
“Ini rahsia
besar aku, Zul. Bukan senang aku nak cerita walaupun kau kawan paling rapat
dengan aku.”
Mereka
terdiam. Alif Hazriq menarik nafas perlahan. Entah kenapa, malam itu dia sendiri
mahu membuka rahsia itu. Tanpa dipaksa oleh sesiapapun.
“Sebenarnya,
Mira tu isteri aku,” pengakuan yang membuatkan mata Zul Fadzly terbuka luas.
“Hah?!”
Beberapa
kali Zul Fadzly menampar pipinya. Kiri dan kanan. Memang dia tidak percaya!
Alif Hazriq
mengangguk.
“Babah aku
dengan arwah ayah Mira berkawan baik. Babah yang beria-ia mahukan aku jadi
suami Mira. Babah aku punya alasan tersendiri. Dia tak nak Mira jatuh ke tangan
lelaki yang tak bertanggungjawab.”
“Habis, kau
tu bertanggungjawab sangatlah?” sinis Zul Fadzly menyindir. Dia tahu bagaimana
cara Alif Hazriq melayan gadis itu.
“Sekurang-kurangnya,
keluarga aku sangat sayang pada dia.” Jawab Alif Hazriq perlahan.
“Dia juga
punya hati dan perasaan, bro. Kau ingat, dia tak layak ke mendapat cinta
daripada suami dia sendiri? Jangan main perasaan orang, bro.” agak marah juga
Zul Fadzly dengan sikap Alif Hazriq. Alif Hazriq mengangguk-angguk, bibirnya
diketap.
“Aku tau,
bro. Tapi aku tak tau hati sendiri. Bila aku dengan dia, aku nampak banyak kurangnya.
Tapi bila aku dengan Dyna, nampak serba sempurna.”
“Kau memang
dah gila, bro. Jangan kau pandang kaca yang berkilau-kilau, sedangkan batu
permata yang ada kau pinggirkan. Kembalilah pada realiti. Sempurna tu bukan
milik kita. Aku ni taklah alim sangat, tapi setakat ni aku masih boleh
bandingkan antara dosa dan pahala. Dan apa yang kau buat ni memang berdosa,
kan?” Zul Fadzly menjongketkan keningnya.
“Entahlah…
pening kepala aku.”
“Tak ada
apa yang kau nak pening-peningkan. Apa yang dah nyata, kau dah jadi suami dia
yang sah! Itu fakta bukan auta.” Bidas Zul Fadzly.
“Hesy…
sakit kepala aku ni…”
“Dyna macam
mana?”
“Aku tak
janjikan apa-apa pada dia. Dia yang mendesak-desak aku,”
“Kau
cintakan dia?”
“Yup…
tapi…”
“Kau
sanggup tinggalkan Mira?”
“Apa kau cakap
ni? Ayat aku belum habis, kau dah potong.” Sekali lagi hatinya bergetar,
terselit perasaan aneh di situ. Tinggalkan Mira? Dia sendiri takut hendak
menjawabnya.
“Habis…
Dyna kau nak, Mira pun kau nak juga. Jangan tamak sangat. Esok-esok kau juga
yang rugi.”
“Aku tau,
Zul. Tapi beri aku masa untuk menilai perasaan aku sendiri. Aku yakin, aku akan
pilih salah satu daripada mereka.”
“Akupun tak
faham dengan kau… apa-apapun, aku doakan yang terbaik.” Zul Fadzly menghabiskan
baki airnya.
“Kalau aku
jadi kau, hmmm… aku akan pilih Mira…”
Kata-kata
Zul Fadzly membuatkan Alif Hazriq termenung panjang…
“HEI… Di sini you ya… lama I tak jumpa you, sayang…” Dyna melentok
kepalanya di bahu lelaki itu.
Tanpa disedarinya, seorang wartawan tidak
bertauliah mengambil gambar mereka daripada arah tepi. Senyuman di bibir
terukir tanda puas hati, berita itu bakal menggegarkan dunia hiburan tanahair.
Seorang model sensasi dan juga pelakon baru bermesra dengan kekasih hati!
nota kaki :
Kalau sudi tinggalkan jejak ya di sini... yalah saja2 nak tengok berapa ramai yang sudi membacanya... TQ...
nota kaki :
Kalau sudi tinggalkan jejak ya di sini... yalah saja2 nak tengok berapa ramai yang sudi membacanya... TQ...