Pengikut

Jumaat, 31 Mei 2013

CIK BODYGUARD!



1
Segaris senyuman…
Bagaikan mahal harganya…

AKU mendongak ke atas, bangunan pencakar alam itu menyakitkan leher bila memandangnya. Wisma Zamrud tersergam indah yang terletak di Petaling Jaya. Di sinilah tempat aku akan ditemuduga.  
Pada hari ini, sengaja aku ponteng kelas lagi. Ah… malas benar aku hendak masuk kuliah. Mahu rasa berhenti ya juga. Mujurlah rakan serumahku beritahu yang mana syarikat itu mencari seorang bodyguard. Untuk jaga CEOnya ataupun jaga harta benda, aku tidak pasti. Apa yang penting, aku mahu bekerja. Lagipun, tidak lama lagi aku akan habis belajar. Aku tidak kisah apapun keputusan yang bakal aku dapat nanti. Lantaklah…
Dengan penuh bergaya, aku melangkah masuk ke dalam bagunan itu.  Aku memakai seluar slack berwarna hitam, tudung hitam dan berbaju kemeja warna biru tua. Kira okeylah, aku puas hati dengan penampilan aku ini, tidaklah sakit mata bila memandang. Aku tersenyum sendiri.
“Selamat pagi, boleh saya bantu?” soal security guard yang ada di bahagian lobi bangunan itu. hmm… bagus, peramah orangnya. Harap-harap pekerja lain peramah macam pak cik guard ini… kata hatiku.
“Selamat pagi, encik. Boleh saya tahu, tempat interview di tingkat berapa?” dengan ramahnya aku bertanya sambil tersenyum simpul. Kata orang, senyum itu tandanya orang yang berbudi bahasa selain daripada sedekah.
Lelaki separuh umur itu membalas senyuman aku, “ Awak naik ke tingkat enam belas, ya. Ambil pass masuk ni.” dia menghulurkan pass masuk kepada aku yang sedang berdiri di hadapannya ala-ala perempuan Melayu terakhir. Aku mengangguk, bibirku masih lagi cantik tersenyum.
“Terima kasih, encik.” ucapku sambil menundukkan kepala sedikit, aku melangkah menuju ke pintu lif.
Fail yang ada di tangan, aku kepit kemas-kemas. Takut tercicir. Itulah kali pertama aku datang temuduga. Entah apalah yang mereka akan soal nanti. Jangan disuruh bertumbuk dengan orang sudahlah. Memandangkan jawatan yang bakal aku sandang adalah sebagai bodyguard. Hah! Tidak pasal-pasal lembam mata nanti kalau disuruh bertumbuk. Sudah cukup kuat ke kekuda aku ni?
“Hesy… kenapalah kau fikir yang bukan-bukan ni, Hira…” mulutku mengomel.
Seketika kemudian, ada seorang lelaki yang berpakaian segak berdiri di sebelah aku. Aku hanya memandang dengan ekor mata, lantas aku memberi tunduk hormat. Di belakang lelaki itu, ada dua orang lelaki bertubuh sasa, hanya berdiri dan memerhati sahaja. Lagaknya macam kaki pukul, naik seram pulak aku tengok mereka yang bertubuh ketak-ketak itu. sudhalah muka bengis semacam. Ngeri seh
Apabila pintu lif terbuka, pantas sahaja aku melangkah masuk dan kebetulan pula lelaki di sebelah aku itu turut melangkah sama. Akhirnya, kami berlaga. Hampir sahaja tubuh aku melayang, mujur sempat memaut pintu lif itu. Fuh! Lega. Kalau tidak, malu besar aku bila jatuh di hadapan lelaki itu. Lelaki itu pula, selamba sahaja masuk, tanpa pedulikan aku yang hampir tersungkur? Ya eleh… sengal punya lelaki!
Aku mengerutkan kening, memandang tepat wajah lelaki itu. Eh! Dia tidak punya perasaan ke?  Eii… anehnya lelaki itu, muka ketat, senyuman langsung tidak ada, memang betul-betul spoil moodlah… terkumat-kamit mulut aku membebel.
Pintu lif itu masih lagi terbuka, aku masih lagi kaku berdiri. Akhirnya tanpa bertanya atau berpesan apa-apa, ibarat mulut lelaki itu mengandungi emas berkilo-kilo, pintu lif tertutup rapat. Aku mahu menahan, namun lif sudah bergerak. Terkebil-kebil mata aku hanya melihat lif itu terus bergerak ke tingkat atas.
“Adoi… sombong gila siot… berlagak sungguh!” kutukku perlahan.
“Cik tak apa-apa ke?” soal security guard itu. Dia nampak apa yang berlaku tadi.
“Eh tak apa-apa. Saya okey, encik. Terima kasih ya ambil berat.” Malu pula rasanya, bila bersungguh lelaki separuh umur itu ambil berat hal yang berlaku tadi. Sedikit terharu perasaan aku.
“Pak cik ingatkan ada cedera tadi, masuklah pintu lif dah terbuka tu,” arahnya. Aku mengangguk sambil bibir aku menguntum senyuman yang paling manis. Bertuahnya dapat seorang bapa seperti lelaki itu. Nampak jelas wajahnya penuh kasih sayang.
Aku menghilangkan diri dalam perut lif yang membawa tubuhku ke tingkat enam belas.
“Baik betul orang tua tadi…” sedikit tersentuh hati aku sebaik sahaja teringatkan pada seseorang. Untuk menghilangkan rasa sedih yang mula mahu bertandang di benakku, aku mengerling jam tangan. Lagi lima minit, sesi temuduga itu akan berlangsung. Harap-harap aku tidak terlambat. Semua ini gara-gara lelaki yang kedekut senyuman itu. Hmm… kenapalah aku teringatkan dia? Siapakah dia? Ah… serabutlah kepala nak fikir, suara hatiku mula bergema.

AKU cuba menolak daun pintu kaca itu, beberapa kali ditolak, namun pintu itu tetap berkunci. Kebetulan pula seorang gadis yang sedang duduk di kaunter berdekatan dengan pintu itu memberi isyarat agar pass yang ada pada tangan aku dilayangkan pada satu mesin pengimbas yang diletak di tepi pintu. Aku mengikut arahan gadis itu Aku termalu sendiri, aduhai… nampak sangat aku macam orang hulu. Tidak langsung tahu akan kecangihan masa kini. Pintu ditolak, senyuman sumbingnya masih lagi terpamer.
“Maaflah, saya orang kampung…” dia merendah diri. Gadis penyambut tetamu itu membalas senyumannya.
“Tak mengapa, bukan awak seorang, malah ramai lagi yang mengalami pengalaman yang sama. Okey, cik datang nak interview ke? Dah isi boring?” gadis itu tampak peramah, cantik budi bahasanya seperti indahnya wajah yang dipamerkan. Aku rasa lega bila dengar apa yang dia katakan. Bermakna, aku bukan hulu sangatlah…
“Cik dah isi borang?” dia ulang lagi soalannya. Aku terkebil-kebil, lantas mengangguk-angguk.
“Saya dah isi, ini borangnya.” Aku menghulurkan borang yang diminta beserta sijil-sijil yang dikehendaki.
“Cik boleh masuk dan duduk dulu, nanti kami panggil nama ya?” gadis itu bangun, aku pula mengekori langkah gadis comel itu. Yalah, comel pada pandangan mata akulah. Kalau dibandingkan dengan diri aku ni, aku lebih suka benda-benda sempoi. Sampaikan bajupun aku lebih gemar memakai pakaian yang paling ringkas.
Sebaik sahaja melangkah masuk dalam pejabat yang berhawa dingin dan begitu sejuk menyapa tubuh aku, aku mula mengiggil. Apatah lagi bila melihat pesaing aku dalam temuduga itu. Ada yang bertubuh sasa, tidak ubah seperti lelaki-lelaki yang dia temui di tingkat bawah tadi. Ada juga yang bertubuh biasa-biasa sahaja. Yang datang temuduga kebanyakannya lelaki. Perempuan hanya dua orang termasuklah diri aku.
Aku hanya melemparkan senyuman kepada semua mata yang memandang ke arah aku. Ada juga yang memandang sekilas, kemudian masing-masing buat hal sendiri. Hmm… ada rezeki, adalah Hira… kalau tak ada, carilah kerja lain. Putus aku sendiri. Aku duduk di kerusi yang terakhir, dah tu kata yang terakhir datang, kerusi terakhirlah yang aku duduk.
Seorang demi seorang dipanggil namanya. Aku semakin rasa kecut perut. Mahu ke tandas ada juga, namun aku cuba tahan. Sedaya upaya cuba mengawal perasaan gugup aku. Konon sangat tenang dan cool.
Sedang aku melayan senak perutku, seorang lelaki gagah perkasa keluar dari bilik temuduga itu. Wajahnya tampak sedih dan longlai sahaja. Wah! Suspen betullah tengok muka mamat tu. Aku mula jadi cuak. Sedangkan orang yang badan sasa begitu boleh muka macam orang baru lepas kena belasah saja. Macam mana pula dengan aku? Aku nak balik! Inilah padahnya tidak minta izin daripada nenek terlebih dahulu.
“Hesy… kena bertarung ke kat dalam tu?” aku bercakap seorang diri. Hati aku jangan cakaplah, mula berdebar-debar tidak menentu. Habislah aku kali ini. Takkan hendak bersilat pula… gila ke apa?
“Eh, kenapa dengan dia tu?” soal lelaki yang duduk di sebelah aku.
Aku mengalihkan pandangan mata aku ke arah lelaki yang duduk di sebelah aku. Aku mengangkat kening, tanda aku mengajukan soalan kepadanya semula. Dia menjuihkan bibirnya, menunjuk ke satu arah.
“Entahlah, semacam aje saya tengok. Muka cuak semacam,” jawabku. Cakap orang Faghira oii… yang kau pun sama cuak. Masa-masa inilah kau nak ke tandas, buang apa yang patut.
Dari ekor mata aku. Aku lihat lelaki di sebelah aku itu mula tidak senang duduk. Kalau dah diapun macam tu, apa lagi aku? Hira! Betul ke apa yang kau buat ni? soal hatiku. Mula rasa ragu-ragu.
Giliran lelaki itu sampai juga. Dia masuk dengan penuh bergaya lagi. Yalah, kalau dah badan pun sasa, berketak sana sini, penuh keyakinan. Sudah tentu jawatan itu bakal dia pegang. Aku hanya telan air liur.
Tidak sampai lima minit, dia keluar dengan muka yang merah padam. Mulut aku terlopong. Apa kes pula muka semacam kena sambal belacan yang pedas lagi hot spicy tu? Laju sahaja lelaki itu melangkah. Mulut aku cuba hendak bertanya, tapi bila melihat diapun macam orang yang tertelan minyak cap kapak, aku tidak jadi mengeluarkan suara. Hanya mampu memandang sahaja. Kepalanya digeleng beberapa kali.
“Alamak... macam mana ni? Takkan nak balik kot?” aku mula tak senang duduk. Rasa punggung diletak paku.

“FAGHIRA Bte Majid!” kali ini nama aku pula dipanggil. Aku terkejut badak, terhenyak punggung aku di kerusi. Segala urat saraf aku jadi longgar. Dengan bacaan kalamullah, aku gagahkan juga kaki untuk melangkah masuk ke dalam bilik temuduga.
“Assalamualaikum…” tutur aku lembut. Sungguh di luar keperibadian aku yang sebenar. Kebiasaannya, aku hanya memberi salam dengan suara yang lembut di hadapan nenek sahaja. Kalau di belakang dia, pasti aku mula mengalunkan salam itu dengan suara yang kuat. Namun pada hari itu, lembut gigi dari lidah.
“Wa’alaikumussalam…” jawab penumuduga di hadapan aku kecuali seorang lelaki yang duduk tegak tanpa sedikitpun membuka mulut. Secara tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi, dia bingkas bangun.
‘Bukan ke tu lelaki tadi?’ soal hati aku. ‘Huh! Sombongnya. Bagi salampun tak jawab,’ bebel hati aku lagi.
“Cik Faghira… pernah mengikut kursus untuk menjadi pengawal peribadi?” soal wanita anggun di hadapan aku.
Aku mengangguk, senyuman diukir semanis mungkin. Aduhai… penatnya bersopan santun begitu.
“Iya, saya…” jawab aku sopan.
“Okey, untuk temuduga kali ini, kami tak mahu lihat kekuatan fizikal dan mental awak. Kami yakin, kalau awak ada sijil ini, bermakna tidak perlu lagi diuji. Kami akan uji kekuatan minda awak.” Wanita itu tersenyum simpul.
Aku kerutkan dahi, uji minda? Huh! Sangat mencabar ni. Sekilas matanya terpandang lelaki yang sejak daripada tadi asyik dengan telefon bimbitnya sudah kembali ke tempatnya tadi. Lelaki itu buat muka berlagaknya. Seolah-olah aku tidak wujud di situ. Senyumpun jangan harap, wajahnya tegang semacam. Tapi tetap kacak! Macam pak arab ya juga. Subhanallah! Indahnya ciptaan Allah. Aku kalihkan mata, berdosa kau, Hira!
‘Hesy… tengok muka dia buat aku bertambah senak perut.’ Aku menundukkan wajah aku apabila mata lelaki itu tidak berkelip merenung ke arah aku, bukan renungan yang mengoda tetapi renungan itu bagaikan belati bisa menghiris-hiris kulit wajah aku yang tidak berapa nak cantik ini.
Seorang gadis mendekati dirinya, dan kemudian matanya ditutup dengan kain hitam.
“Ke… kenapa mata saya kena tutup pulak? Ni temuduga ke, ataupun nak main sorok-sorok?” spontan aku bertanya. Nenek! Tolonglah cucu nenek ni… cucu nenek nak kena culik. Tolong! Tolong!
Kedengaran helaian tawa mereka. Hai… pasrah ajelah Faghira…
“Baiklah. Kami nak Cik Faghira jawab dengan tepat. Kami akan dekatkan sesuatu pada hidung awak, awak kena hidu dan beri jawapannya pada kami. Kesemuanya ada sepuluh barang,” kata wanita itu. Aku mengeluh. Memang terpaksalah kalau itu caranya.
“Okey, awak cuba bau benda ni,” ada sesuatu yang didekatkan pada hidung aku. Aku cuba menghidunya sebaik mungkin. Kemudian aku berfikir seketika.
“Bau tu macam bau halia aje…”
“Awak pasti bau halia?”
Aku mula ragu-ragu, namun aku bertekad mahu menjawab halia.
“Iya, saya pasti!” penuh keyakinan. Wah! Macam apa saja aku, tiba-tiba aku bersemangat.
“Baiklah, yang ni pula?”
“Serai?”
“Yang ni pulak?”
Aku menghidu lagi. Aduhai… naik sengal hidung aku dibuatnya.
“Serbuk cili,” seketika kemudian aku terbersin beberapa kali. Sah! Memang serbuk cili, aku memang alah pada serbuk cili. Hidung aku mula berair, aku rasa dalam kelam mata aku itu, tangan aku diberi tisu. Aku mengesat hidung aku yang sudah mula berair. Selepas itu, hidung aku disuakan sesuatu,
“Bawang putih,”
“Yang ni pula?”
“Err… bawang…”
“Bawang apa? Kami mahukan jawapan yang tepat,” soal wanita itu lagi.
Aku mengaru kepala yang beralaskan kain tudung. Masa inilah otak aku tidak mahu bekerja sama dengan aku.
“Macam bau bawang… hmm… bawang besar. Ya… ya… bawang besar.”
“Awak yakin?”
“Iya, saya yakin.”
Aku melepasi kesemua ujian itu. Aku beri jawapan, sama ada betul ataupun tidak,  aku hanya mampu berserah sahaja.
“Boleh saya tanya sesuatu?” kali ini aku pula yang bertanya pada wanita itu sebaik sahaja pembalut mata aku dibuka semula.
“Iya, silakan…”
“Err… ni… nak cari bodyguard ke, nak cari tukang masak?” soal aku selamba. Wanita itu tertawa. Begitu juga yang lain. hanya seorang insan yang bagaikan patung bernyawa sahaja masih lagi berwajah serius.
“Baiklah, kami akan menghubungi awak sekiranya terpilih.”
“Terima kasih, cik. Assalamualaikum…”
Pelik! Itu yang sejak daripada tadi bersarang dalam kepala aku. Ini temuduga ke? Kenapa lain sangat cara temuduga  aku melangkah keluar dari tempat itu.
Aku berhenti sebaik sahaja melewati meja penyambut tetamu.
“Cik, boleh saya tanya sesuatu?” soal aku ragu-ragu.
“Iya?”
“Tadi tu temuduga untuk cari bodyguard ke atau untuk tukang masak?” aku terpaksa bertanya juga untuk puaskan hati sendiri.
Gadis itu tertawa.
“Kenapa, mereka suruh awak masak ke?”
Aku menggeleng.
“Tapi mereka suruh saya teka, bahan-bahan masakan…” luah aku masih dalam kepelikan lagi. Haisy… kenapalah mereka beri soalan yang mampu menguji minda aku. Tanyalah soalan yang berkaitan dengan jawatan itu.
“Hmm… saya rasa, baik awak tunggu saja. Mungkin mereka hanya nak menguji awak.” Jawab gadis itu. aku? Terpaksalah berpuas hati.
“Terima kasih, ya.” aku tidak tunggu lama, terus meninggalkan tempat itu dengan seribu satu persoalan. Hai… pening kepala. Aku belajar lain, yang ditemuduga pulak lain. Boleh sewel kepala aku macam ni. 

p/s : sambil2 menanti bilakah novel JPSMB! jadi buku, akak hidangkan satu lagi kisah. Harap sudi baca ya... terima kasih semua... sayang korang...

Khamis, 30 Mei 2013

JANGAN PANDANG SEBELAH MATA, BRO!



 P/S : ini adalah entri yang terakhir. Di harap dapat disambung dalam versi cetak pula. sabar menanti ya.... sayang kalian semua.

25
SEBAIK sahaja sampai di rumah Tok Taha, Alif Hazriq menyuruh isteirnya mengambil beberapa pasang baju. Berkerut kening Mira Maira mendengarnya. 
“Awak nak ajak saya pergi mana pulak?” soal Mira Maira.
“Kau ikut aje…”
“Saya tak nak ikut,” dia berdegil.
“Habis kau nak tengok sepupu kau tu asyik berkepit dengan aku dua puluh empat jam? Silap hari bulan dia tidur sekatil dengan kita.” Jawab Alif Hazriq, membuatkan mata Mira Maira membulat.
‘Betul juga, aku pun ada perkara penting nak bincangkan dengan dia ni, hah… ikutkan ajelah… daripada menahan sakit hati lagi. Noni pun satu, suami orang pun dia nak himpit.’ Kata hatinya.
Dia memasukkan beberapa helai pakaian ke dalam beg galasnya. Mencapai tudung yang tersangkut dalam almari. Main sumbat sahaja. Alif Hazriq hanya memerhati kemudian dia menggeleng. Isterinya itu kalut sangat. Asal boleh saja.
Noni sudah kesukaan kerana dia bakal sebumbung dengan jejaka pujaan hatinya. Sejak daripada dahulu lagi, dia sering mengikut perkembangan Alif Hazriq walaupun lelaki itu bukannya artis. Tetapi pekerjaan sebagai model sambilan membuatkan semua gadis memendam perasaan terhadapnya.
Dia berlari-lari anak menuju ke dalam rumah Tok Taha. Dia tercari-cari kelibat Alif Hazriq. Tetapi hampa. Lelaki itu dalam bilik Mira Maira. Bibirnya menjuih. Meluat kerana lelaki itu bersama-sama dengan sepupu yang paling dia benci.
“Mira mana?” tanya pak uda, Noni hanya menjongket bahunya.
Kebetulan pula Mira Maira keluar daripada biliknya. Semua yang ada di situ memandang ke arah mereka berdua.
“Eh Mira nak ke mana pulak ni?” soal mak uda.
“Maafkan saya, pak uda… pak long. Saya nak bawa Mira balik ke rumah kami. Nanti kami balik lagi,” Alif Hazriq mereka alasan. Bahu Mira Maira dipeluknya.
“Oh, kalau macam tu tak apalah.” Jawab pak uda.
“Kunci rumah ada kat almari tu ya, pak uda. Mira pergi dulu.”
Mira Maira menyalam semua orang yang ada di situ. Tiba pada Noni, dia menepis pula.
“Orang datang sini, dia pulak yang nak keluar. Macam ni ke tuan rumah?” sindir mak longnya.
“Memang macam tu perangainya, pemalas.” Tokok Noni.
Mira Maira tidak peduli, dia terus keluar dari rumah itu.
“Hesy… apalah kak long ni. Kan ke dah ada anak dara dah besar panjang ni, suruhlah dia buat air untuk kami.” Kata mak uda pula.
Noni menghentak kakinya.
“Nak minum buatlah sendiri,” bentaknya, terus meninggalkan ruang tamu itu.

MEREKA Check in, jam sudah menunjukkan hampir ke pukul sebelas setengah malam di hotel Goldcourse. Bilik suite itu sangat menarik dan cukup selesa bagi Mira Maira. Dia bukan pernah duduk  di mana-mana hotel, itulah kali pertamanya.
“Pergilah mandi dulu, lepas tu tidur. Aku tengok kau tak cukup tidur. Nanti kau pulak yang sakit,” arah Alif Hazriq.
Mira Maira segera ke bilik air. Alif Hazriq pula mengeluarkan baju-baju yang ada dalam beg Mira Maira. Disangkutnya baju-baju itu dan kemudian dia melipat tudung. Sangat kemas dan teratur baju-baju itu.
Setelah itu dia merebahkan tubuhnya di atas tilam empuk. Terasa lega urat-uratnya. Penghawa dingin yang menyamankan itu membuatkan kantuknya semakin memberat. Dia memejam matanya.
Mira Maira yang sudah siap mandi terus menuju ke almari baju. Dia melihat Alif Hazriq sudah terlena. Dia membuka almari, tersenyum bibirnya bila melihat semuanya sudah tersusun rapi.
Selesai memakai baju, Mira Maira mendekati katil. Dia lihat Alif Hazriq sudah lena. Perlahan dia membetulkan kaki suaminya itu. Kemudian kain selimut ditarik. Biarpun sukar, dia cuba juga.
Dia menatap wajah Alif Hazriq, dia mengeluh sendiri. Bolehkah dia hidup tanpa lelaki ini nanti? Mampukah dia membuang jauh-jauh rasa cintanya itu? Sedangkan itulah cinta pertamanya. Bukan sedikit rasa itu ada dalam dirinya, malah dia rasakan ia bagaikan nyawanya sendiri.
“Lama sangat tengok muka aku… ada yang tak kena ke?” tiba-tiba Alif Hazriq bersuara, megejutkan Mira Maira.
“Allahuakbar!” jeritnya sambil memegang dada.
Darah merah menyerbu naik ke mukanya. Kantoi! Dia malu sendiri. Mira Maira terduduk di atas birai katil. Tangannya sudah dipegang oleh Alif Hazriq.
“Rindu ya?” sakat Alif Hazriq lagi. Mira Maira cuba melepaskan dirinya.
“Mana ada…” jawabnya cuba mengelak daripada terus menatap wajah lelaki itu.
“Malu eh… hmmm…” pinggang Mira Maira digeletek. Terjerit-jerit gadis itu.
“Janganlah awak….” Mohonnya.
“Siapa suruh hilangkan diri macam tu aje? Ingat aku ni ada magik ke boleh cari kau?”
“Siapa suruh cari?”
“Amboi… tak ingat ke siapa kau tu?” Mira Maira menampar-nampar tangan sasa Alif Hazriq, dia tidak tahan digeletek begitu.
“Dahlah awak… saya mengantuk dah ni…” rengek Mira Maira. Alif Hazriq melepaskan Mira Maira. Dia tergelak apabila gadis itu terjatuh daripada katil kerana cuba mengelak dari ditangkap semula.
“Awak!” jerit Mira Maira.

MEREKA bagaikan merpati sejoli. Seakan tiada apa-apa masalah antara mereka berdua. Wajah Mira Maira juga cukup ceria selama tiga hari itu. Selama itu juga mereka berulang alik ke hospital untuk melawat Tok Taha.
Syukurlah, Mira Maira rasa puas hati setelah keadaan atuknya mulai pulih.
“Hai… sejak encik abang ada kat sisi, sampai lupa aku…” bisik satu suara begitu hampir di telinganya.
“Ana…” Mira Maira menepuk bahu rakannya itu.
“Sejak bila dah baik-baik?” soal Syazana lagi.
Mira Maira memandang ke arah Alif Hazriq, lelaki itu sedang berbual dengan pak udanya.
“Hmm… nantilah aku cerita pada kau. Kau pulak macam mana? Dah buat persiapan?” enggan bercerita di situ, Mira Maira rasa lebih baik bertanya persiapan perkahwinan rakannya itu.
“Alah aku bukan buat besar-besaran. Buat sederhana aje. Setakat akad nikah.” Jawab Syazana.
“Baguslah, itu yang paling dtuntut oleh agama.”
“Mira… tu sepupu kau, kan? semacam aje aku tengok. Terhegeh-hegeh dengan suami kau tu?” bisik Syazana. Mira Maira turut memandang ke arah Noni yang sedang menghimpit Alif Hazriq.
“Kurang kasih sayang namanya tu. Suami orang pun macam suami dia sendiri…” jawab Mira Maira.
“Kau tak marah ke?” pelik pula dia rasakan.
“Buat apa nak marah, bukan aku tak kenal kakak sepupu aku tu. Cepat sangat jatuh cinta…” selamba sahaja Mira Maira menjawabnya.
“Kau jangan… tengok pada gaya dia tu, dia boleh buat apa saja. Jangan dia cantas kau sudahlah…”
“Berani dia cantas aku, taulah aku nak buat apa nanti…” Mira Maira ketawa.
“Ganas kau… okeylah aku nak balik dah. Atuk kaupun dah okey dah tu. Harap-harap dia sihat,” mereka bersalaman.
“Terima kasih, Ana. Sudi luangkan masa tengok atuk aku.”
“Sama-sama. Kau tu jaga diri. Jangan nak lari-lari lagi.” Usik Syazana, Mira Maira mencubit lengan Syazana. Mereka ketawa.
Setelah hampir seharian di hospital, Alif Hazriq mengajaknya pulang ke hotel. Mira Maira mengikut sahaja. Untuk tiga hari itu dia rasa amat bahagia. Dia dapat rasai cintanya memang hanya untuk suaminya itu.
Hatinya berbunga-bunga sayang. Bagaikan tidak mahu berpisah lagi. Dia yakin dengan keputusannya. Lelaki itu cinta pertama dan mungkin terakhir buat dirinya. Dia mahu hidup bersama di dunia, mahupun di syurga kelak. Dia mahukan menjadi bidadari buat Alif Hazriq di syurga nanti. Itulah janjinya.
“Kau naik dulu, aku nak beli barang sekejap,” pesan Alif Hazriq, Mira Maira akur. Baru beberapa langkah lelaki itu meninggalkannya, beberapa orang wartawan telah menyerbu ke arah lelaki itu.
“Encik Alif, betul ke kenyataan keluarga Dyna yang menyatakan Encik Alif akan berkahwin dengan Dyna dalam masa terdekat?”
Soalan wartawan itu membuatkan Mira Maira tersentak. Dia berpusing kembali. Perlahan dia mendekati kumpulan manusia itu. Alif Hazriq menjeling ke arah Mira Maira. Dia cuba memberi isyarat kepada gadis itu agar meninggalkan tempat itu segera. Namun Mira Maira tidak peduli.
“Maaf ya, saya akan buat sidang akhbar dalam masa terdekat,” jawab Alif Hazriq.
“Jadi betullah sidang itu nanti untuk pengumumam tarikh sebenar hari pernikahan itu?” soalan demi soalan mula menerjah.
“Saya akan jawab kesemuanya pada hari tersebut. Jadi buat masa ini saya tak nak komen apa-apa.” Alif Hazriq.
Jawapan Alif Hazriq itu telah membunuh rasa gembira Mira Maira sejak beberapa hari itu. Mengapa lelaki itu mahu mengelak? Mengapa tidak dijawab sahaja soalan itu? Susah sangat ke?
Mira Maira mula mengorak langkah, meninggalkan kelompok orang yang terlalu hipokrit itu, dia benci pada dirinya. Benci kerana terlalu mudah mempercayai apa yang dia rasa. Tidak sepatutnya dia begitu mudah menaruh harapan. Apa yang jadi akhirnya? Perasaannya sendiri yang terluka. Air mata mula mengalir di pipi. Dia menyeka dengan hujung jari, enggan ditatap oleh orang lain.
Sampai sahaja di bilik, dia terus ke bilik air, melepaskan tangis di situ. Dia menangis sepuas hati.

ALIF Hazriq masuk ke dalam bilik, dia terasa pelik kerana lampu tidak dibuka. Bilik itu gelap sahaja. Alif Hazriq memetik suis, bila dia berpaling ke arah dalam bilik, dia ternampak isterinya hanya diam membatu diri di sudut bilik itu.
“Kenapa tak pasang lampu?” soal Alif Hazriq lembut.
Mira Maira tetap begitu, berpalingpun tidak. Alif Hazriq cuba mengagak apa yang menjadi punca isterinya itu membatu diri.
“Jangan pendam perasaan, lebih baik diluahkan.” Katanya lalu duduk di hadapan Mira Maira.
Mira Maira tetap mendiamkan diri. Alif Hazriq mula rasa bosan. Dia tidak suka berlawan cakap dengan orang yang tidak mahu membuka mulut. Terus mengunci kata-kata. Suka memendam rasa. Dia bangun, belum sempat dia melangkah, dia mendengar pertanyaan isterinya itu.
“Kenapa tak jawab terus tadi?” Alif Hazriq duduk semula. Dipandangnya wajah Mira Maira, lama.
“Kalau aku jawab tadi, boleh selesai ke masalah tu? Pasti wartawan akan korek dan korek lagi. Mereka takkan puas hati.” Jawab Alif Hazriq.
Mira Maira hanya tertunduk.
“Awak masih mengharapkan dia?” soal itu membuatkan Alif Hazriq tercekik. Tengkoknya diurut-urut beberapa kali.
Belum sempat dia menjawab. Telefon bimbitnya berbunyi. Alif Hazriq menjeling ke skrin telefon, Dyna yang menelefonnya. Dibiarkan telefon itu mati sendiri. Selama tiga hari itu, dia sengaja mematikan telefonnya ketika bersama-sama dengan Mira Maira. Dia tidak mahu emosi isteri gadis itu terganggu.
“Tolong izinkan saya duduk di kampung… saya tak nak ikut awak.”
“Tapi kenapa?”
“Awak mungkir janji…”
“Hah?”
“Awak kata, awak nak beri peluang pada diri kita berdua. Awak nak hidup seperti suami isteri yang lain. Walaupun perkahwinan kita adalah kehendak orang tua, awak kata awak tak nak hidup asing-asing. Ya… saya akui memang kita macam suami isteri, duduk sebilik tapi tetap berlainan rumah.” Mira Maira diam seketika.
“Saya tak tau awak anggap saya ni apa, isteri awak atau sekadar menuntut kehendak nafsu seorang lelaki. Saya juga ada perasaan, saya juga ada impian. Kalau awak duduk tempat lain, macam mana awak nak bagi peluang pada diri awak untuk mengenali diri saya? Awak tetap dengan kehidupan awak.”
“Err…”
“Dengarlah apa yang saya nak cakap dulu. Lepas tu awak boleh jelaskan. Atau tak nak jelaskanpun tak apa.” Alif Hazriq mengangguk.
“Awak tahu… kadang-kadang saya berfikir, kenapa saya perlu menghabiskan masa saya dengan hanya menanti cinta awak. Kalau tak dapat cinta sekalipun, cukuplah sekadar kasih sayang. Macam saya cakapkan tadi, awak tetap awak. Awak takkan pandang pada saya walau seminitpun. Takkan beri peluang pada saya untuk menunaikan tanggungjawab saya kecuali yang satu tu. Siapa saya di hati awak? Saya juga ingin jawapannya.” Mira Maira mengesat air mata yang kian mengalir dengan derasnya.
“Biarkan saya di sini. Kalau awak rasa yakin yang awak perlukan saya, awak datanglah ambil saya semula. Kalau sebaliknya berlaku, saya reda. Saya dah penat nak mengharap. Saya amat berharap sangat awak izinkan saya duduk di sini. Ampunkanlah segala dosa-dosa saya.” Mira Maira menekup wajahnya. Esak tangisnya semakin meninggi.
Alif Hazriq berdiri. Tidak sanggup melihat Mira Maira menangis, dia mengemas baju-bajunya. Mira Maira terus melayan perasaannya.
“Baiklah, kalau itu yang kau mahukan. Aku izinkan kau tinggal di sini. Tapi satu yang aku minta, kemana saja kau pergi, tolonglah sms pada aku.” Lama Alif Hazriq memandang Mira Maira. Perasaannya benar-benar terusik. Namun dia tidak punya jawapan yang pasti, sama ada dia benar-benar cintakan gadis itu.
“Aku pergi dulu… jaga diri baik-baik…” itulah pesanan terakhir Alif Hazriq sebelum meninggalkan Mira Maira sendirian. Semakin kuat raungan Mira Maira. Apa yang dia harapkan tidak menjadi kenyataan.
Dia mahukan lelaki itu memujuknya. Dia mahukan lelaki itu meluahkan perasaannya, tapi semuanya hampa. Lelaki itu tetap meninggalkannya keseorangan. Alif Hazriq… jauh di sudut hatiku, aku enggan kehilangan dirimu…



Sabtu, 25 Mei 2013

JANGAN PANDANG SEBELAH MATA, BRO!





24
“UMI kecewa dengan Alif. Mana janji-janji Alif dulu. Kata tak ada apa-apa hubungan lagi dengan Dyna. Kalau ada pun kerana kerja. Ini… apa dah jadi?” Dato’ Farah agak kecewa dengan laporan akhbar itu. 
Alif Hazriq menunduk sahaja. Dia juga agak hairan bagaimana pula laporan itu boleh keluar sesuka hati sedangkan kenyataannya ia tidak berlaku langsung.
“Sebab inilah Alif nak duduk asing dengan umi, kan? Senang Alif nak keluar malam. Tinggalkan Mira seorang diri semata-mata nak cari hiburan dan lepaskan nafsu sendiri. Jadikan Mira tu patung hidup tanpa mengira perasaan dia, begitu?” tekan Dato’ Farah lagi.
“Umi… itu bukan saya. Percayalah cakap saya…”
“Habis ini siapa? Nampak macam kamu aje.” Bidas Dato’ Mustaffa Harun pula.
“Masalahnya, saya sendiri dah lama tak keluar malam dengan Dyna, babah. Lagipun sejak Mira datang sini, saya dah tak pergi ke kelab malam. Paling tidak, saya keluar ke Redbox aje. Tolonglah percaya cakap saya ni…” Alif Hazriq bagaikan sedang disoal siasat. Dato’ Farah dan Dato’ Mustaffa Harun terus sahaja menekan.
“Alif memang ada niat nak kahwin dengan Dyna ke?” kendur sudah suara Dato’ Farah, dia tidak larat lagi hendak marah-marah. Dia rasa tiada gunanya kalau dia mengamuk sekalipun. Jalan penyelesaian tidak dapat juga.
“Saya tak pernah janjikan apa-apa pada dia, umi. Ya… saya akui dulu-dulu memang saya ada niat nak kahwin dengan dia tapi… entahlah, umi. Kalau tanya saya sekarang, saya tak ada jawapannya.” Otak Alif Hazriq sudah tepu. Sudah tidak larat dia hendak memikirkan apa-apa lagi. Masalah demi masalah datang bertimpa-timpa. Sejak Mira Maira tidak ada, hidupnya mula kucar-kacir. Semua serba tidak kena.
“Habis tu, macam mana laporan ni boleh keluar seolah-olah kita dah pergi meminang dia? Siap mereka telefon orang tua Dyna untuk dapatkan kepastian. Permainan apa ni?” Dato’ Farah bengang dengan sikap orang tua Dyna yang mengambarkan seolah-olah mereka sudah merisik dan bertunang mengikut adat.
“Maafkan saya, umi.”
“Umi boleh maafkan kamu, Alif. Tapi macam mana dengan Mira? Apa perasaan dia, mesti dia kecewa, Alif. Umi tahu, kamu bukan melayan dia dengan baikpun. Walau Mira tak pernah burukkan kamu, tapi umi ni tahu anak umi.” Dato’ Farah merenung wajah anak sulungnya itu.
“Babah malu dengan Tok Taha kamu. Apa babah nak jawab dengan dia? Alif kena buktikan yang dalam gambar tu bukan Alif. Kalau betul Alif tak buat, jangan takut tegakkan kebenaran. Babah akan senang hati kalau Alif dapat selesaikan semua ni dengan cara baik.” Celah Dato’ Mustaffa Harun pula.
“Saya tahu, babah. Saya janji akan betulkan keadaan. Saya akan cari bukti.” Itulah janjinya. Bercakap dengan babahnya, perlukan bukti yang tidak meragukan. Bukan senang nak meyakinkan seorang peguam.

TELEFON rumah berdering kuat. Perlahan Dato’ Farah bangkit untuk menjawab panggilan tersebut.
“Assalamualaikum…”
“Wa’alaikumussalam… Kak Farah ya?”
“Iya… siapa ni?”
“Saya Rehan, Kak Farah…”
“Oh… Rehan… ingat siapalah tadi, suara Rehan lain sangat…” Dato’ Farah duduk di kerusi yang ada di sisi meja telefon itu. Dato’ Mustaffa Harun dan juga Alif Hazriq pula memasang telinga.
“Kak Farah… Rehan nak beritahu, yang abah Rehan masuk hospital ni. Sekejap lagi nak buat pembedahan. Kata doktor, jantungnya tersumbat.” Jelas makdek.
“Ya Allah… bila dia masuk hospital?” Dato’ Farah terus berdiri.
“Dalam pukul satu pagi tadi, Kak Farah. Dia jatuh, terus tak sedar. Nanti tolong beritahulah dengan Abang Mustaffa.”
“Ya… ya… Mira ada situ sekalilah ya…”
“Ada tu, tengah duduk termenung. Okeylah, Kak Farah… saya nak beritahu itu aje. Kirim salam pada semua ya… Assalamualaikum.”
Dato’ Farah meletakkan gangang telefon. Dia memandang ke arah suaminya.
“Tok Taha masuk hospital. Dia nak operation sekejap lagi. Mari kita pergi ziarah dia, bang.” Beritahu Dato’ Farah.
Alif Hazriq terkejut. Spontan dia terbayangkan wajah isterinya.
“Mira, umi?”
“Kenapa dengan Mira?” soal Dato’ Farah kembali.
“Marilah…” Dato’ Mustaffa Harun sudah bersiap sedia. Dia mencapai kunci keretanya.
“Biar saya bawa kereta, babah.” Alif Hazriq menghulur tangan, meminta kunci kereta babahnya.
“Alif bawa kereta sendiri. Kalau nak tidur sana ke, senang nanti. Mira tu perlukan Alif sekarang ni.” Kata Dato’ Mustaffa Harun pula.
“Batul tu… dah cepat. Umi nak kunci pintu ni. Nanti umi beritahu Afif.”
“Baiklah, umi.” Alif Hazriq terpaksa akur juga. Bergegas dia naik ke atas, mengambil kunci kereta.
Alif Hazriq mengekori kereta babahnya. Dalam hati dia berdoa agar Tok Taha diberi kesihatan yang baik. Dia tidak sanggup melihat kesedihan di mata Mira Maira. Apatah lagi dengan masalah mereka yang menambahkan lagi tekanan buat isterinya itu.

 MASING-MASING menunggu dengan wajah yang sunggul. Baru sejam Tok Taha masuk dalam bilik bedah. Benarlah kata orang, penantian itu satu penyeksaan. Baru sejam sahaja bagikan sudah menanti satu hari.
Tok Taha terpaksa dipindahkan ke hospital swasta kerana proses pembedahan di hospital sebelum ini memerlukan masa. Pak long Mira Maira telah membuat keputusan agar Tok Taha menerima rawatan di hospital swasta sahaja. Tidak perlu menanti tarikh lain untuk dibedah. Biarpun mak longnya tidak bersetuju kerana kosnya pasti berlipat ganda lagi. Namun apabila dikatakan pak udanya yang membayar kos tersebut, mak long terus terdiam.
Pak uda Mira Maira seorang yang berduit. Bisnesnya semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Sememangnya sudah rezeki keluarganya. Baru sahaja pak udanya itu berhajat ingin menghantar atuknya ke tanah suci. Tidak sangka pula atuknya punya penyakit itu.
Dato’ Farah dan Dato’ Mustaffa Harun tiba di hospital itu dan diikuti oleh Alif Hazriq. Bergegas mereka mencari keluarga Tok Taha. Kedatangan mereka disambut oleh mak long Mira Maira. Sangatlah hipokritnya dia melayan tetamu merangkap keluarga besan mereka.
Apabila melihat Dato’ Farah datang, segera Mira Maira bangun dan mendapatkan mertuanya itu. Dia menangis teresak-esak dalam pelukan mertuanya. Mak long serta anaknya Noni mencebik cemburu.
“Mama… menyampahnya tengok, mengada-ada.” Bisik Noni.
“Sabar ya Mira… umi doakan yang terbaik buat atuk Mira.” pujuk Dato’ Farah.
Mira Maira beralih pula pada bapa mertuanya, dia menyalam tangan babahnya itu. Dato’ Mustaffa Harun menepuk-nepuk bahunya tanda beri semangat.
Saat itu Alif Hazriq sudah berdiri di sebelah babahnya. Mahu atau tidak, Mira Maira terpaksa menyalam tangan suaminya itu. Rajuknya masih ada. Masakan dia boleh melupakan begitu sahaja. Tangan suaminya dikucup lembut, saat itu juga air mata kesedihan kian laju menuruni pipinya. Alif Hazriq mendakap erat tubuh Mira Maira.
“Syyy… jangan menangis…” pujuknya.
Setelah lama mereka berkeadaan begitu, Alif Hazriq cuba meleraikan rangkulannya, tapi belum sempat lagi dia melepaskan, tubuh Mira Maira sudah longlai. Mira Maira tertidur sambil berdiri. Tanpa membuang masa, Alif Hazriq mengendong tubuh isterinya itu lalu dibaringkan di atas kerusi, dengan kepala isterinya beralaskan pahanya sendiri.
Bertambah berbuku hati Noni melihatnya. Betul-betul sakit hati dia dengan Mira Maira. Entah mengapa sepupunya itu asyik diberi perhatian oleh semua orang. Malah sanggup atuknya mencarikan jodoh untuk Mira Maira, dengan lelaki kaya pula itu. Siapa yang tidak sakit hati?
Kalau ikutkan dari segi cantik, dia lebih cantik daripada Mira Maira. Kulitnya kuning langsat sedangkan Mira Maira hitam manis. Langsung tidak sesuai dengan lelaki yang bernama Alif Hazriq itu.
Alif Hazriq menatap wajah isterinya yang sedang lena itu. Wajah yang menghilang beberapa hari, membuatkan dia jadi nanar. Tetapi dia masih tidak mengerti, andai dia sudah jatuh cinta, mengapa perasaan rindu itu tidak hebat mana. Hanya dia rasa kehilangan sahaja.
Dia mengusap lembut pipi Mira Maira. Gadis itu tidak sedikitpun terkesan dengan sentuhannya itu. Sampaikan akhirnya dia juga turut tertidur sama.

ALIF Hazriq rasa bahunya memberat. Matanya dibuka. Dia mengerling ke arah sisinya. Kepala Noni sudah terlentok di bahunya. Mira Maira pula sudah tidak ada di kerusi itu. Dia mencari-cari kelibat Mira Maira.
Perlahan dia menahan kepala Noni. Kemudian dia terus bangun, apa lagi Noni terjatuh atas kerusi itu. Alif Hazriq terus meninggalkan Noni yang sudah terjaga dari lenanya. Dia pula tercari-cari ke mana menghilangnya Alif Hazriq?
Ketika melewati surau, dia terserempak dengan Mira Maira. Gadis itu hanya terpaku sebaik sahaja melihat Alif Hazriq ada di situ.
“Kenapa tak kejutkan aku?” soal Alif Hazriq.
Mira Maira hanya membisu. Kepala ditundukkan.
“Mana babah dengan umi?”
“Mereka pergi makan. Awak kalau nak solat, pergilah. Masih ada waktu lagi. Saya pergi dulu…” Mira Maira baru ingin melangkah sudah ditahan oleh Alif Hazriq.
“Tunggu aku habis solat dulu, kita pergi sama-sama.” Pinta Alif Hazriq.
“Tapi…”
“Syy…” Alif Hazriq meletakkan jari telunjuknya di bibir Mira Maira.
Mira Maira terpaksa akur. Dia mencari tempat duduk. Saat itulah yang buatkan dia rasa geram. Dia tidak boleh kata ‘tidak’ pada lelaki itu. Mungkin juga atas rasa hormatkan lelaki itu sebagai suaminya. Kalau tidak…
Alif Hazriq keluar dari surau dengan senyuman. Sangat comel dan bisa menggegarkan hati Mira Maira. Segera dia melarikan pandangan matanya sebaik sahaja dia rasakan jantungnya bagaikan mahu luruh.
“Kenapa saat hati aku sakit dengan perangainya, perasaan ni makin dekat dengan dia? Apa yang harus aku lakukan?” bisiknya perlahan. Bila teringatkan apa yang berlaku sejak kebelakangan ini, dia dihimpit rasa sayu. Kenapa dia perlu hadapi semua ini?
“Dah, jom…” ajak Alif Hazriq.
Mira Maira mengikut langkah suaminya tanpa banyak bicara, tetapi apabila lencongan ke arah lain, Mira Maira berhenti melangkah.
“Kita nak ke mana? Saya nak tengok atuk saya,” katanya, memandang wajah Alif Hazriq dengan pandangan yang sayu.
“Ikut saja… lepas ni boleh tengok lagi.” Pujuk Alif Hazriq.
“Saya tak nak…” dia membantah.
“Cakap siapa yang perlu kau ikut. Cakap aku atau cakap siapa?” soal Alif Hazriq agak tegas. Wajahnya juga sedikit garang.
Inilah yang dibenci oleh Mira Maira. Garang tak bertempat. Asyik kena dengar cakap dia aje. Kalau tidak diikutkan, kata suami… berdosa tu… bebelnya dalam hati.
Dengan muka yang masam mencuka, dia terus berjalan ke hadapan. Kakinya siap dihentak-hentaknya lagi. Alif Hazriq tersenyum.
“Macam tulah budak baik…” usik Alif Hazriq.
Apabila sudah hampir ke kafe hospital itu, Alif Hazriq segera mencapai tangan isterinya. Mira Maira yang pada mulanya terkejut dengan tindakan itu terpaksa menurut sahaja. Tangannya masih digenggam oleh lelaki itu.
“Duduk sini…” arah Alif Hazriq. Mira Maira menjeling, menyampah! Alif Hazriq hanya tersenyum.
Alif Hazriq melangkah pergi. Mira Maira melayan perasaan. Kenapa lelaki itu melayannya seperti ini? Sedangkan sudah terang-terang dia akan mengahwini kekasih hatinya? Apa tujuannya? Untuk ambil hati? Oh tidak! Dia takkan terpedaya. Dia perlu lakukan sesuatu. Biarpun nampak salah tindakannya nanti, tetapi dia takkan sia-siakan hidupnya hanya kerana cintanya pada lelaki itu.
“Nah makan ni. Aku tau dari pagi tadi kau tak makan, kan?” Alif Hazriq membawa semangkuk bubur. Air panas dan juga beberapa keping sandwich.
“Saya tak lapar…” bila melihat makanan itu perutnya rasa sebu dan dia pun rasa mual. Mungkin perutnya sudah masuk angin.
“Jangan degil boleh tak? Kalau kau sakit nanti siapa yang susah?” Alif Hazriq mula mengeraskan suaranya.
“Awak ni… suka paksa-paksa…” Mira Maira mengambil sudu, dia menyuap sedikit bubur itu ke mulutnya. Mujurlah bubur, telan sahaja tanpa perlu dikunyah.
“Sedap ke tak?” soal Alif Hazriq.
Mira Maira menjongket bahu. Menyuap juga dalam keadaan terpaksa.
“Meh aku nak rasa…” Alif Hazriq telah membuka mulutnya, dengan berat hati Mira Maira menyuap bubur itu ke mulut lelaki yang duduk di sebelahnya.
“Hmm… boleh tahan juga. Makanlah banyak sikit. Habiskan bubur tu. Dahlah kau tu keding, kalau tak makan lagi keding aku tengok,” bebel Alif Hazriq.
Mira Maira menjeling geram. Dia menyuap bubur itu dengan lajunya sampaikan dia tersedak-sedak.
“Hesy… aku bukan suruh makan laju-laju. Kan dah tersedak… macam budak kecil,” Alif Hazriq menghulurkan minuman.
“Awak… kenapa awak baik semacam aje dengan saya hari ni?” soalan maut daripada Mira Maira membuatkan Alif Hazriq seakan tidak bernyawa. Mereka berpandangan tanpa ada jawapan.

“ALIF, bawalah Mira balik dulu. Doktor kata atuk dalam keadaan stabil. Nanti kalau ada apa-apa, makdek bagitau.” Alif Hazriq mengangguk.
“Tak nak, Mira nak tunggu sini,” Mira Maira membantah.
“Buat apa ramai-ramai tunggu sini. Pergilah balik dulu. Lagipun pak long dengan pak uda tu nak tidur rumah atuk. Mira baliklah dulu, ya?” pujuk makdek.
“Tapi…”
“Kalau dia tak nak balik tak apalah… jangan paksa-paksa. Alif… jomlah kita balik. Tinggalkan budak degil ni,” Noni sudah berdiri di sebelah Alif Hazriq.
Berkerut kening Mira Maira. Biar betul kakak sepupunya itu? Sudah rabun atau sudah hilang separuh akalnya? Tidak kira suami orang ke apa, main larung sahaja. Matanya tajam merenung ke arah Noni.
“Yang kau ni kenapa? Kau dah buta ke apa? Dia tu suami Mira bukan suami kau.” marah makdek, Noni mencebir. Dasar perempuan tidak tahu malu!
“Kita balik dulu…” bisik Alif Hazriq. Mira Maira mengeluh. Dia tidak punya pilihan, kena ikutlah cakap mereka.
“Kami balik dulu, makdek.” Mira Maira menyalam tangan makdek. Mereka meninggalkan hospital itu. Noni pula asyik mengekori Alif Hazriq sehingga membuatkan lelaki itu jadi rimas!


p/s :
Kepada rakan2 pembaca sekalian.... kalau sudi, tolonglah promote sekali cerita ni ya.... sayang korang... tanpa korang, siapalah saya....