19
UNTUK sekian kalinya
dia menangis lagi. Mulutnya ditutup dengan kain selimut. Hatinya pilu bagaikan
tiada ubatnya. Inilah yang ditanggung sejak berbulan-bulan yang lalu. Waktu
siang dirinya bagaikan orang asing. Di kala malam pula bagaikan seorang
perempuan simpanan, diperlukan akan didatangi, jika tidak akan dibiar kesepian.
Namun rasa cinta yang mula bercambah di hatinya tidak mampu menolak setiap
takdir yang dihadirkan.
Biarpun terasing, biarpun dipinggir, rasa cinta
itu mengaburi segalanya. Bencinya dia pada rasa itu. Rasa yang membunuh
perasaan geram, marah, benci yang ada dalam dirinya. Mana perginya perasaan itu
semua?
Dia tahu dia akan ditinggalkan sebentar lagi. Dia
tahu dia akan sunyi. Tetapi kenapa dia tidak mampu membantah? Kenapa dia tidak
pandai merajuk, tunjuk perasaan yang kian parah itu? Bodohkah dia? Dungukah dia
mencintai suaminya sendiri? Bangangkah dia kerana masih mengharapkan cinta
lelaki itu? Oh Tuhan, tolonglah aku. Aku tidak mampu membendung perasaanku ini.
Aku tidak mampu berpura-pura lagi. Berikanlah hatinya padaku. Dia mengetap
bibir, cuba menahan esak tangis yang kian merobek rasa.
Dengkuran lelaki di sebelahnya itu tidak mahu
diganggu. Perlahan dia bingkas bangun, meninggalkan bilik yang kian membahang.
Di ruang tamu, dia rebahkan tubuhnya di sofa empuk. Air mata makin deras, dia
kesat dengan jemari halusnya.
Dia akui, semua yang didambakan oleh seorang
isteri mampu dimilikinya. Harta, keluarga mertua yang baik, nafkah zahir dan
batin semuanya cukup. Namun dia tidak mampu memiliki hati suaminya itu. Dia
tidak mampu membelai jiwa suaminya, kasih sayang yang didambakan untuk beberapa
bulan yang lalu masih lagi kaku dan membeku. Siapa dia sebenarnya di hati
suaminya?
Mira Maira berdehem berkali-kali. Rasa sebak dan
ngilu di hati semakin menekan perasaan. Dia beristigfar beberapa kali. Apa akan
terjadi nanti? Mampukah dia menghadapi segala dugaan yang mendatang? Mampukah
dia mengusir rasa cinta apabila jodoh mereka tiada lagi? Terdayakah dia
menanggung perasaan duka jika perkahwinan ini diteruskan? Mampukah dia?
Akhirnya dia terlelap di situ.
Alif Hazriq bangun setelah dia lena beberapa jam.
Begitu jugalah kebiasaannya, dia akan pulang ke kondonya tanpa disedari oleh
Mira Maira. Biarpun kantuknya masih lagi terasa, namun dia tidak peduli.
Asalkan orang keliling tidak mengenali dirinya.
Sejak dia meletak Mira Maira di situ, dia memang
sengaja datang dengan imej yang berlainan. Sepertinya dia seorang pekerja
kontrak, hanya bermotosikal kecil. Setakat itu, tiada sesiapa mengenali dirinya
lagi. Dia akui itu semua kerja gila!
Sebaik sahaja dia ke ruang tamu untuk mengambil
kunci motosikalnya, dia terpandang sesusuk tubuh sedang berbaring di situ.
Wajah itu tampak mulus dalam lenanya. Dia memandang buat seketika sebelum
berlalu masuk ke dalam bilik semula. Sehelai selimut di bawa ke ruang tamu, lalu
tubuh kurus itu diselimutkan. Dia tidak mahu menganggu lena isterinya itu.
Tanpa rasa bersalah, dia meninggalkan rumah itu dengan segera.
PAGI itu Mira Maira
pergi kerja dengan semangat yang makin pudar. Perasaan hibanya masih lagi
bersisa. Wajahnya juga tidak seceria mana.
“Akak nampak pucat aje hari ni?” soal Kumala.
“Pucat sangat ke?” Mira Maira memegang pipinya.
“Ya, kak. Akak tak cukup tidur ke? Encik abang
akak balik ya?” Kumala tersenyum-senyum.
Pertanyaan Kumala itu membuatkan Mira Maira
terdiam. Tidak tahu hendak jawab apa. Setiap kali Kumala bertanya soal suami,
dia pasti akan mengunci mulutnya. Pasti Kumala nyatakan, teringin sekali ingin
melihat wajah sebenar suaminya.
“Akak bila nak buat makan-makan? Nanti bolehlah
kenal-kenalkan suami akak kepada kami. Dah berbulan jadi jiran, tak pernah saya
tengok muka dia, ini mesti kacak sangat sampai akak sorokkan daripada kami,”
tokok Kumala lagi.
Mira Maira tersenyum kelat. Mahu makan-makan? Hah!
Tak terdaya hendak menjawab soalan orang kalau buat makan-makan. Tentu suaminya
itu takkan pulang ke rumah.
“InsyaAllah, suatu hari nanti saya buatlah ya…”
itulah jawapan yang paling selamat.
Selepas itu, perasaannya kembali berperang. Ya
Allah, bantulah aku. Berilah aku peluang untuk menikmati kebahagiaan. Jangan
Kau duga aku lagi, ya Allah…
Sampai di pejabat, dia melakukan rutin hariannya
seperti biasa. Moodnya tetap hambar
sehambar hatinya.
Sebaik sahaja Alif Hazriq masuk ke pejabat, dia
terus mengekori lelaki itu. Seperti biasa juga, dia akan membacakan jadual
untuk hari itu. Alif Hazriq memandang wajah Mira Maira yang seakan tiada
perasaan. Isterinya itu tidak seperti selalu, bersuara manja dan seakan cuba
menggodanya. Di hadapannya kini, seolah pekerja baru. Tiada segaris senyuman
terukir di bibir itu. Wajah juga ditunduk tanpa mahu memandang wajahnya.
“Itu saja, Encik Alif.” Mira Maira menutup
diarinya. Sepi.
“Ada apa-apa lagi yang Encik Alif mahukan? Kalau
tak ada apa-apa, saya keluar dulu.” Mira Maira menanti arahan seterusnya.
“Tak ada apa-apa,” jawab Alif Hazriq. Matanya
tetap tertancap di wajah itu.
“Saya keluar dulu…” Mira Maira berundur, baru
beberapa langkah, dia terhenti.
“Kau kenapa hari ni? Macam tak ada mood aje. Aku tak suka tengok muka kau
macam tu,” kata-kata Alif Hazriq mematikan langkahnya.
Mira Maira menarik nafas sedalam mungkin, memejam
mata supaya dapat mengusir perasaan sebaknya.
“Maafkan saya, Encik Alif.”
Terus sahaja Mira Maira keluar.
Cuba disabarkan hati. Cuba dipulih semangat yang
makin pergi. Memujuk sendiri perasaan sedih yang menghimpit diri. Dia pejamkan
mata sekali lagi, beristigfar agar ketenangan jiwa kembali.
“Ya Allah, bantulah aku agar aku kuat hari ini…”
Dalam bilik, Alif Hazriq pula jadi resah. Masih
terbayang-bayang di ruangan mindanya, wajah itu kelihatannya tidak ceria. Wajah
itu tampak berlainan daripada biasa. Wajah itu sangat sayu. Mengapa?
“Ah… buat apa aku nak fikir pasal dia?” soal Alif
Hazriq pada dirinya sendiri.
‘Ingat, Alif. Dia isteri kau yang sah menjadi
milik kau sampai bila-bila, jika kau mahu. Hargailah dia, jangan kau buat dia
begitu,’ satu suara bergema dalam hatinya. Entah mengapa, hatinya mula rasa
bersalah.
“Akukah puncanya?” dia meraup wajahnya. Saat itu
perasaannya memang rasa serabut.
‘Alah, Alif. Kau tak cintakan dia. Jadi, buat apa
kau nak fikirkan hal dia,’ satu suara lain pula datang menghasut.
“Arghh… perempuan ni buat aku serabutlah,”
marahnya.
“HAI Mira, bos ada?”
sapa satu suara, siapa lagi kalau bukan Dyna. Mira Maira lemparkan senyuman
palsu. Jiwanya semakin galau bila melihat gadis itu datang bertandang ke situ.
“Hai Cik Dyna. Bos? Hmm… ada,” jawabnya ringkas.
Duhai hati, jangan kau merajuk lagi. Hari ini
sudah cukup kau terluka. Mira… kau dah puas menangis, bertabahlah… dia cuba
merangsang semangatnya sendiri.
“Okey, Thanks…” Dyna melangkah setapak, kemudian
dia kembali ke belakang semula.
“Eh sekejap, eeeiii… tengok muka you, langsung tak
berseri. You tak pandai jaga muka ke?” soalan cepu emas itu membuatkan Mira
Maira tercengang.
Dyna menggeleng kemudian meninggalkan Mira Maira
yang dalam keadaan sakit hati.
“Perempuan ni, melampau betul!” marahnya. Tetapi
dia tetap memegang wajahnya, risau juga hatinya bila ada orang mempersoalkan
penjagaan wajahnya itu.
“Teruk sangat ke muka aku ni?” soalnya sendiri.
“Apa yang dibebel sorang-sorang ni?” soal Atikah.
Cepat sahaja Mira Maira menggeleng.
“Tu perempuan tu… pagi lagi dah melepak kat sini.
Dah tak ada kerja lain ke? Hari-hari nak tengok muka dia, naik jelak dah.”
Atikah masih lagi menyoal.
Mira Maira tersenyum kelat. Mahu menambah, takut
dituduh kepoh pula. Cukuplah ada seorang minah kepoh di sini, takkan dia hendak
menambah bilangan kekepohan itu pula.
“Encik Alif tu pun satu, nak buat maksiat, kat
pejabatpun jadi juga. Dua-dua tak tahu malu. Susah betullah kalau orang tak peduli
tentang hukum hakam ni.” Atikah tidak berhenti membebel lagi.
Namun jauh di sudut hati Mira Maira, dia mengakui
kebenaran kata-kata Atikah itu. Cuma caranya sahaja yang tidak betul. Seolahnya
Atikah meluahkan rasa cemburu dan sakit hatinya. Bagaimana pula dengan dirinya?
Terus terang dia turut rasa sakit hati. Mustahil dia tidak punya rasa.
“Susah-susah sangat panggil aje pencegah maksiat.
Aman sikit dunia ni.”
“Eh janganlah, Kak Ati. Biarkan ajelah. Nanti
kalau buat macam tu melibatkan kita semua. Tercemarlah nama baik dato’,” tegah
Mira Maira. Dia juga tidak rela, andai suaminya ditangkap khalwat.
“Itulah dia, orang kita. Bila ada maksiat depan
mata, kita nak biarkan. Sampai bila? Tau tak, kita dapat dosa yang sama sebab
subahat? Hesy… dah tak senang hati kerja kat sini.”
Atikah terus berlalu pergi. Mira Maira hanya mampu
memandang. Bukan dia seorang yang berkata begitu, malah ramai lagi. Apa lagi
yang mampu dia lakukan? Hendak nasihat mereka, mahukah mereka mendengarnya?
Sedang fikirannya sesak dengan permasalahan itu,
dia diganggu oleh deringan kuat telefon yang terletak di mejanya. Pantas
tangannya mengangkat ganggang telefon.
“Hello, Syarikat Farra Kosmetik di sini, boleh
saya bantu?”
“Assalamulaiakum, Mira. Umi ni.”
“Wa’alaikumussalam... oh, umi rupanya. Ada apa
umi? Umi sihat hari ni?” sedikit ceria perasaannya bila dapat bercakap dengan
ibu mertuanya.
“Umi sihat, sayang. Oh ya, umi dalam perjalanan
untuk ke sana, Alif ada tak, Mira?”
“Enci… eh Abang Alif, ada umi. Umi sekarang dah
dekat mana?”
“Dalam lima minit lagi umi sampailah.”
“Okey umi, jumpa nanti ya… assalamualaikum.”
Ganggang terus diletak.
Tanpa membuang masa, Mira Maira terus merempuh
pintu bilik pejabat Alif Hazriq, dan ketika itu dia tergamam tatkala melihat
panorama yang tidak sepatutnya dia lihat.
Alif Hazriq terkejut, begitu juga dengan Dyna.
Masing-masing berpandangan dan terus merenung ke arah Mira Maira yang masih
lagi kaku.
“Hei! Kenapa kau masuk bilik ni tanpa kebenaran?”
marah Dyna.
“Maaf Encik Alif, um… err… dato’ dalam perjalanan
ke sini. Dalam masa lima minit lagi dia sampai,” tersekat-sekat Mira Maira
bersuara. Antara dengar dengan tidak. Dia cuba menahan amukan hatinya. Ya! Dia
cemburu. Dia marah!
Tanpa menoleh lagi, dia terus keluar daripada
situ. Berlari-lari anak menuju ke bilik air. Di situ dia menangis sepuas
hatinya.
“You balik dulu. Nanti umi cakap apa pulak,” pujuk
Alif Hazriq.
“I nak jumpa dato’ juga. Bolehlah sayang…” rengek
Dyna pula.
“Dengar cakap I, you keluar sekarang. Nanti umi
nampak, habislah I.”
“Okey, you janji petang ni jumpa I, hmm?”
“Okey, I janji…”
Dyna meninggalkan Alif Hazriq yang sedang
berperang dengan perasaannya sendiri. Dia telah ditangkap basah oleh isterinya
sendiri. Dia bercekak pinggang, tidak tahu hendak fikir apa. Buntu untuk menerangkan
perkara yang sebenarnya.
“Assalamualaikum, Alif… boleh umi masuk?” Dato’
Farah mejengah kepalanya sedikit ke dalam bilik anaknya itu. Alif Hazriq
bingkas lalu mendapatkan uminya.
“Waalaikumussalam, masuklah umi,” tangan uminya
dicium.
“Mira mana, dia tak ada kat depan,” soalan itu
membuatkan Alif Hazriq tercekik. Namun dia memang pelakon yang hebat. Sungguh
cepat dia dapat menjiwai wataknya.
“Dia ke ladies
kot. Duduklah umi, kenapalah tak bagitau Alif dulu kalau nak datang. Boleh
Alif sediakan kompang ke, tin kosong ke,” gurau Alif Hazriq.
“Saja umi nak buat kejutan. Manalah tau, Alif
banyak mengular ke. Lagi pun umi nak tahu juga perkembangan syarikat kita ni.
Sebelum tu, umi nak jumpa menantu umi dulu.”
Bila soal isterinya disebut, jiwanya makin gelisah.
SETELAH perasaannya
mula reda, Mira Maira kembali ke mejanya. Belum sempat punggungnya mencecah ke
kerusi, telefon di meja sudah berdering.
“Mira, masuk dalam sekejap,” arah Alif Hazriq.
“Baik, Encik Alif.”
Sebelum dia melangkah, nafas ditarik bagi mengusir
segala rasa kecewanya. Dia bakal berhadapan dengan ibu mertuanya. Seboleh
mungkin dia mahu mempamerkan riak bahagia walaupun ia tidak wujud langsung
waktu itu.
“Assalamualaikum…”
Mira Maira melangkah masuk sebaik sahaja dia
mengetuk pintu.
“Waalaikumussalam, anak umi…” Dato’ Farah
mendapatkan Mira Maira. Wajah menantunya diciumnya lantas dipeluk pula tubuh
kurus itu.
“Mira sihat hari ni?” Mira hanya mengangguk. Wajah
Alif Hazriq langsung tidak dipandangnya.
“Umi ada sesuatu nak bagi Mira.” Dato’ Farah
menghulurkan beg kertas kepada Mira Maira.
Mira Maira menyambutnya dengan senyuman gembira.
“Apa ni, umi?” soal Mira Maira.
“Bukalah kalau nak tau.”
“Tentu mahalkan, umi. Nanti saya buka di rumah.
Terima kasih, umi. Buat susah-susah aje. Saya tak minta semua ini, umi. Kasih
sayang yang umi curahkan pada saya dah memadai. Saya harap, kasih sayang ini
akan berpanjangan sampai bila-bila walaupun suatu hari nanti kita…”
“Hai untuk menantu umi aje ke? Saya punya tak
ada?” Alif Hazriq mencelah.
Alif Hazriq duduk di sebelah Mira Maira. Sangat
rapat. Namun ia langsung tidak meredakan perasaan marah gadis itu, perlahan
Mira Maira menginjak sedikit. Entah mengapa, dia rasa jijik. Jijik untuk
mendekati suaminya sendiri.
“Umi, saya keluar dulu ya. Banyak kerja lagi yang
saya belum buat. Nanti saya datang rumah umi, kira borak panjang ya.”
Mira Maira mula tidak rasa senang hati apabila
Alif Hazriq dengan sengaja merapatkan dirinya, seolah mahu menunjuk-nunjuk
kepada uminya bahawa mereka kini sedang berbahagia.
“Alah itu semua nanti-nanti boleh buat. Duduklah
dulu,” pujuk Dato’ Farah. Mira Maira akur.
“Yalah sayang… duduklah dulu,” pandai betul
suaminya berlakon, mahu termuntah Mira Maira mendengarnya.
“Oh ya… umi nak minum? Saya boleh buatkan,”
seboleh mungkin Mira Maira mahu lari daripada situ.
“Boleh juga, buatkan umi air milo.”
Akhirnya dapat juga dia loloskan dirinya. Dia
menarik nafas lega. Nanti bolehlah dia menjauhkan diri daripada lelaki itu.
“Perempuan tu ada kat sini tadi, kan?” soal satu
suara. Mira Maira mengurut dadanya. Sungguh dia terkejut bila disapa begitu.
Tidak perlu dia menoleh, dia cukup mengenali siapa yang empunya suara.
“Tolong jangan cerita apa-apa pada umi. Saya tak
mahu umi fikir yang bukan-bukan.”
Tangannya perlahan sahaja mengacau air milo untuk
ibu mertuanya. Sekejap lagi dia hendak buat air Nescafe, kesukaan bos
kesayangannya pula.
“Sampai bila Kak Mira nak jaga hati umi? Sedangkan
hati Kak Mira cukup terluka, jangan menghukum diri sendiri. Sakitnya akan kekal
lama dan sukar diubati,” keluh Afif Haikal, dia hanya memerhati Mira Maira
daripada arah belakang gadis itu. Tubuh disandar ke pintu pantry.
Mira Maira mula rasa sebak, cukup terharu kerana
lelaki itu mengambil berat akan perasaannya. Namun dia kena tabah, sesedih mana
sekalipun dia perlu hadapi juga kerana dia tidak mahu melukakan banyak hati.
“Kak Mira…”
“Saya tak tahu sampai bila. Selagi Allah kurniakan
kesabaran kepada saya, saya akan cuba hadapinya.”
Mira Maira cuba mengawal emosi, dia tidak mahu
orang mengatakan dirinya lemah. Walaupun hakikatnya, saat itu memang dia
benar-benar sudah lemah. Tidak kuat lagi hendak menghadapi rintangan yang akan
mendatang. Air yang ada di tubir matanya, dikesat dengan hujung jari. Kemudian
dia menarik nafas berkali-kali agar dia dapat menenangkan hatinya. Entah
mengapa hatinya kian rajuk, dan rajuknya
kali ini seakan sudah tidak mampu dipujuk lagi.
“Maaf, saya pergi dulu…” Mira Maira melangkah
keluar daripada pantry itu. Afif Haikal hanya memandang lesu. Kasihan gadis
itu, terpaksa mengorbankan kebahagiaan sendiri hanya semata-mata mahu menutup
kesalahann suami sendiri.
“LAMANYA awak buat
air…” tegur Alif Hazriq, dia memandang wajah sunggul isterinya itu.
Mira Maira hanya tersenyum kelat. Pertanyaan
suaminya dibiar berlalu pergi. Berpura-pura dalam situasi begitu semakin
menghimpit perasaannya.
“Minumlah, umi.” Pelawa Mira Maira.
Dato’ Farah tersenyum lebar. Dia menyambut air
yang dihulurkan kepadanya, lantas meneguk sedikit.
“Hmmm… rindunya dengan air milo Mira ni… rasa
macam dah lama aje tak minum. Sedap betul, pandai menantu umi buat.” Dato’
Farah memuji-muji.
Mira Maira hanya mampu mengangguk-angguk dan
kemudian menjeling seketika ke arah Alif Hazriq. Lelaki itu hanya mencebir
sahaja.
Dua beranak itu terus berbincang, Mira Maira hanya
mampu mendengar sahaja. Mahu mencelah, dia tidak berapa pandai dalam selok
belok perniagaan. Idea-idea yang diberikan oleh ibu mertuanya itu sangat
mengagumkan. Dia terpegun bila mendengar setiap butir bicara wanita unggul itu.
Sungguhpun sudah menjadi surirumah tangga sepenuh masa, wanita itu tetap punya
idea yang ‘da bom’.
“Umi bincanglah dulu ya, saya ada kerja nak buat.”
Bohong Mira Maira, sebenarnya dia mula rasa tidak selesa apabila dengan sengaja
Alif Hazriq semakin merapatkan bahu ke arah tubuhnya. Dia rasa tidak selesa.
Mira Maira membetulkan tudungnya yang tidak sedikitpun ada cacat celanya.
Dato’ Farah mengerutkan kening, tampak lain benar
kedua anak menantunya itu. Seakan ada yang tidak kena.
“Baiklah, kalau Mira rasa tak selesa, Mira
bolehlah keluar.” Mira Maira tersenyum lebar. Lega rasa di hati.
“Kalau ada apa-apa, umi panggil saya ya… saya
segera berkhidmat,” kata Mira Maira sambil meletakkan tangan di dadanya. Dato’
Farah pula tersenyum lebar lantas mengangguk.
Tanpa berlengah lagi, Mira Maira bangun tanpa
menoleh pada Alif Hazriq. Sedangkan dia tidak sedar, lelaki itu memandang ke
arahnya. Baru sahaja dia mahu melangkah, tangannya telah digenggam oleh tangan
sasa itu. Mira Maira menoleh.
“Temankan abang… kalau ada sayang, idea abang
semakin mencurah-curah… please…” perlahan suara Alif Hazriq seakan merayu.
Wajahnya juga dipamer dengan reaksi yang menjengkelkan pada pandangan mata Mira
Maira. Sengaja mahu mengada-ada.
Kalau ikutkan hati mahu sahaja dia merentap
tangannya. Mahu sahaja dia menjengilkan biji matanya kepada lelaki itu.
Sengajalah dia mahu mengambil kesempatan. Sudah buat salah, konon berlakon baik
sangat. Bernanah sahaja hati Mira Maira. Alif Hazriq mengenyitkan matanya.
Akhirnya Mira Maira terpaksa akur juga. Sedangkan yang terbayang di ruangan
matanya hanyalah adegan tadi. Ya Allah… berikan aku kekuatan…
Alif Hazriq tersenyum tanda kemenangan. Dia
meneruskan perbincangannya dengan tangan sebelah kirinya masih lagi mengenggam
erat tangan isterinya itu. Dia masih lagi bersabar, tidak mahu mengaibkan suami
sendiri. Dibiarkan mereka berbincang sehingga suara-suara mereka sayup-sayup
kedengaran dan akhirnya dia terlena di situ.
“SAMPAI tertidur
menantu umi?” sapa Afif Haikal sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam bilik
pejabat itu. Dato’ Farah dan Alif Hazriq serentak melemparkan pandangan ke arah
Alif Haikal.
Dato’ Farah hanya tersenyum. Alif Hazriq pula
menoleh ke sisinya. Lena benar isterinya itu. Dia menyandar tubuhnya ke dada
sofa, kemudian dia merapatkan kepalanya menghampiri kepala isterinya itu.
Kedengaran dengkuran halus, wajah mulus itu dipandangnya. Dia tersenyum kecil.
“Tengok menantu umi ni, mengular aje kerjanya.
Sampai tertidur-tidur kat sini.” kata Alif Hazriq. Bibir terukir senyuman penuh
makna.
“Biarlah, Alif. Umi tengok muka dia pucat aje.”
Baru sahaja Alif Hazriq mahu menyakat isteirnya itu, Dato’ Farah menegahnya.
“Umi dah habis diskus ke?” Afif Haikal mengambil
tempat di sebelah uminya.
Dato’ Farah mengangguk.
“Afif tunggu sekejap, umi nak jumpa staf-staf
kita.” Dato’ Farah bangun, sebelum dia berlalu pergi, sempat juga dia mengusap
wajah menantunya itu.
“Biar saya teman umi,” balas Afif Haikal, dia
turut berlalu pergi daripada situ.
Kini tinggallah Alif Hazriq dengan Mira Maira. Tubuh
kurus itu dibetulkan kedudukannya. Kemudian dia menatap wajah itu yang begitu
nyaman di pandangan mata.
Mira Maira membuka mata sebaik sahaja dia terasa
hidungnya dicuit-cuit. Tatkala mata terbuka dia ternampak sepasang mata sedang
merenung ke arahnya. Sepantas kilat dia menolak tubuh yang dekat dengannya.
Kelam kabut dia berdiri.
“Err… umi mana?” soalnya sebaik sahaja jalunya sudah
hilang. Alif Hazriq yang terduduk di atas karpet, bingkas bangun. Dia
membetulkan bajunya dan melangkah mejanya.
“Dah balik,” jawab Alif Hazriq dengan muka yang
seakan tidak ada apa-apa yang berlaku.
“Saya keluar dulu…” bergegas dia keluar dari bilik
itu.
Alif Hazriq tersenyum penuh makna.