Pengikut

Isnin, 13 Mei 2013

JANGAN PANDANG SEBELAH MATA, BRO!





21
DALAM komuter, Mira Maira hanya mampu menahan sebak yang kian di penghujung. Dia tidak mahu air mata mengalir dan disaksikan oleh penumpang lain. Biarlah dia bertahan. Jemari digenggam erat agar dia betul-betul mampu menahan sebak di dada. Walaupun air mata cuba menerjah-nerjah tubir matanya. Dia cuba dan terus mencuba.
Kali ini rajuk hatinya lama. Dia sudah tidak dapat menahan rasa lagi. Kesabarannya juga kian menipis, untuk apa menanti orang yang tak sudi? Mira Maira mengetap bibir. Sudah berbulan dia menjadi isteri kepada Alif Hazriq, tidak sedikitpun dia rasa disayangi. Kalau adapun ketika mereka berada di rumah mertuanya. Mengapa mesti hendak berpura-pura? Sampai bila ia akan bertahan?
‘Ah… lelaki itu memang tak perlukan kau, Mira. Buat apa kau nak bersua-sua dengan dia? Mungkin inilah masa dan ketikanya, Allah mahu tunjukkan jalan yang terbaik buat diri kau…’ Mira Maira berkata dalam hatinya.
‘Ya Allah… tolonglah aku, andai ini keputusan yang terbaik buat aku, kau permudahkanlah. Aku tak cukup kuat nak harungi ujian Kau, ya Allah…’
Sebaknya hati, empangan matanya sudah tidak mampu menahan air yang perlu dilimpahkan. Perlahan air mata mengalir di pipi, pantas dia menyapu dengan tisu. Dia tidak mahu orang lain melihat kesedihannya walaupun mereka tidak mengenali dirinya. Mujurlah di sebelahnya masih belum ada orang. Jadi selamatlah dia. Wajahnya dipaling pada cermin tingkap.
Tiba-tiba dia teringatkan atuknya. Apa yang akan terjadi kalau atuknya tahu? Perasaannya semakin tertekan. Dia tidak boleh menyakiti hati atuknya. Satu-satu insan yang banyak menabur budi padanya. Ya Allah… bantulah aku… air mata semakin laju. Dia biarkan saja.
Sampai sahaja di stesen komuter Teluk Gadong, dia menelefon Syazana. Hanya itu satu-satunya kawan yang memahami dirinya.
“Ana… tolong aku…” dia sudah tidak tertahan lagi, dia menangis sebaik sahaja mendengar suara Syazana.
“Kau kat mana, Mira?”
“Aku kat stesen Teluk Gadong, boleh kau tolong ambil aku?” dalam teresak-esak, dia beritahu juga.
“Tunggu sampai aku datang, Mira!”
Klik! Talian diputuskan.
Mira Maira duduk di kaki lima. Dia tidak peduli lagi, menangis semahunya. Beberapa pasang mata menoleh ke arahnya, namun dia buat tidak nampak.
Beberapa minit kemudian, Syazana pun sampai. Sebaik sahaja nampak Syazana, kaki Mira Maira menjadi lemah. Dia tidak mampu hendak melangkah. Dia terduduk semula. Syazana segera mendapatkan Mira Maira.
“Kenapa, Mira? Kau nampak…” tubuh Syazana didakapnya. Mira Maira melepaskan perasaan di bahu rakannya itu.
“Mira… jangan macam ni… kawan yang aku kenal seorang yang kuat. Kenapa kau jadi lembik macam ni sekali, Mira?” Syazana mengoncang tubuh Mira Maira. Dia tidak tahu kenapa, tetapi rasanya dia dapat mengagak punca rakannya jadi begitu.
“Mari, Mira…” Syazana memapah Mira Maira masuk ke dalam kereta.
“Ana… tolong hantar aku kat mana-mana hotel… aku tak nak balik rumah lagi…” pinta Mira Maira. Syazana terkejut, kenapa tidak mahu balik rumah pula budak ni?
“Macam nilah, Mira. Aku ada kawan yang duduk rumah sewa, kau pergilah rumah dia. Aku rasa dia tak kisah.” Mira Maira mengangguk. Dia ikut saja.
Perlahan kereta Syazana mengundur, kemudian dia menekan pedal minyak perlahan-lahan. Sesekali wajah Mira Maira dijelingnya.

“KAK Rabitah, ini kawan saya. Dia ada masalah, boleh tak tumpangkan dia untuk beberapa hari?”
Seorang gadis memakai niqab sedang berdiri di hadapan mereka. Mata yang cantik itu memandang ke arah Mira Maira. Kemudian dia mengangguk.
“Marilah masuk, kita cerita kat dalam ya…” suaranya amat lembut sekali.
Rabitah masuk, diikuti oleh Mira Maira dan juga Syazana.
“Duduklah dulu ya, biar akak buatkan air.” Rabitah berlalu ke dapur.
Tidak lama kemudian kedengaran ada orang memberi salam.
“Waalaikumussalam…” jawab mereka serentak.
Rabitah melemparkan senyuman kepada seorang lagi gadis yang baru masuk ke dalam rumah itu.
“Eh… ada tetamu ya… apa khabar?” Karmah menyalam Mira Maira dan Syazana.
“Kar… dia nak tumpang rumah kita dua tiga malam, boleh ya?” kata Rabitah. Karmah yang baru nak masuk ke bilik tersenyum.
“Aku tak kisah… cuma rumah kami ni tak ada barang sangat. Tengoklah televisyen pun tak ada…” kata Karmah, lebar sahaja sengihannya.
“Dia tak kisah, kak…” jawab Syazana.
Mira Maira mengangguk. Dia menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya dia dapat menyembunyikan dirinya di situ walaupun hanya di kampung sebelah. Tidak jauh mana pun.
“Kau tenang-tenangkan diri kat sini. Aku nak masuk kerja semula ya?” Setelah bersembang dengan tuan rumah, Syazana mahu mengundur diri.
“Terima kasih, Ana… aku menyusahkan kau aje.” Mereka berpelukkan.
“Kalau hati kau dah tenang, nanti kau cerita pada aku, ya? Banyak-banyakkan istighfar, ingat Allah selalu. Aku tau, kau kuat…” pujuk Syazana. Mira Maira mengangguk.
Syazana melangkah keluar. Mira Maira yang berdiri di tepi pintu hanya memandang sambil melambai tangan. Syazana berlalu dari situ.
“Mira… Mira dah solat?” soal Rabitah. Mira Maira menggeleng.
“Kalau belum solat, masuklah dalam bilik. Baju dengan kain batik akak dah letak atas katil. Kalau nak mandi ke, silakanlah. Buatlah macam rumah sendiri.” Ujarnya lagi.
“Terima kasih, kak.”
Rabitah berlalu ke dapur. Mira Maira menutup pintu. Dia melangkah ke bilik yang dimaksudkan oleh Rabitah. Dia duduk di birai katil. Dia termenung lagi. Perasaan sebaknya muncul semula sebaik sahaja dia bersendirian begitu.
“Ya Allah, kuatkah aku nak menghadapi semua ini seorang diri? Betulkah keputusan aku ini?” benci benar dia dengan perasaannya waktu itu. Dia ragu-ragu dengan tindakan yang diambil.
“Macam mana pulak dengan umi? Apa kata umi nanti?” terbayang di birai matanya kemesraan umi. Kasih sayang yang tidak berbelah bahagi buat dirinya. Sanggupkah dia meninggalkan keluarga itu? Ya Allah… tolonglah aku… Mira Maira menekup wajahnya. Dia teresak-esak lagi.
“Mira… jangan tenangkan hati dengan menangis. Banyak cara lain lagi kita boleh tenangkan hati. Kalau nak sangat menangis, menangislah di sejadah. Merayu kepada Allah agar kesedihan yang kita rasa itu pergi dan mintalah Dia gantikan dengan kegembiraan.” Pujuk Rabitah. Dia duduk di sebelah Mira Maira.
“Kak…” Mira Maira mendakap tubuh Rabitah.
“Mira… jangan bazirkan air mata hanya kerana kita tak dapat cinta manusia. Sedangkan yang patut kita tangiskan adalah bila Allah langsung tak memberi rahmat kepada kita. Kita tak dapat raih cinta Allah. Itu yang patut kita tangiskan. Lagi satu, kala kita menghayati al-quran, waktu itulah Allah paling suka kita menangis. Kerana tangisan kita itu adalah tangisan penyesalan dan keinsafan.” Tokoknya lagi.
Mira Maira semakin sebak. Bukan kerana masalahnya tetapi kerana terasa dirinya terlalu bodoh. Betul juga apa yang diperkata oleh Rabitah. Tetapi apa dayanya, dia hanya manusia biasa. Terlalu banyak kekurangan diri. Kerana dirasakan cinta manusia itulah yang membawa bahagia sedangkan andai dapat meraih cinta Allah, dunia dan akhirat pasti akan mendapat kebahagiaan.

“APA masalah Mira sebenarnya, boleh akak tau?” Karmah dan Rabitah berhadapan dengan Mira Maira.
Ketika itu Mira Maira baru sahaja habis berzikir al-mathurat. Rabitah telah menghulurkan buku yang mengandungi zikir dan doa al-mathurat. Antara tujuan zikir al-mathurat adalah :
1. Al- Ma'thurat merupakan wirid dan doa harian yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Baginda adalah orang yang paling mengetahui betapa besarnya ganjaran yang diperolehi dari amalan doa dan wirid tersebut.
2. Wirid, doa, zikir dan istighfar dalam Al- Ma'thurat ini akan memantapkan jiwa di samping memiliki keutamaan dalam segala aspek kehidupan. Mendidik hati agar sentiasa merindui kepada Ilahi dan memberi kelapangan hidup dan kesihatan jasmani.
3. Jika sesiapa mengamalkan zikir Al- Ma'thurat ini akan merasakan perbezaannya dengan hari2 yang tidak dimulakan dengan zikir Al- Ma'thurat. Begitulah kekuatan doa2 dan wirid dalam Al- Ma'thurat ini sebagai senjata mukmin.
Manakala kelebihannya adalah, tidak dihampiri syaitan, rumah dan keluarganya terselemat dari perkara yang tidak diingini, Allah mencukupkannya apa yang sangat diperlukan dari urusan dunia dan akhirat, orang yang membacanya kemudian dia mati pada hari atau malam tersebut maka Allah akan menjamin untuknya syurga,
Selamat dari segala sesuatu, Allah menyempurnakan nikmatnya ke atas orang yang membacanya, Allah berhak untuk meredhainya, tidak ada sesuatu yang mendatangkan mudarat ke atasnya, terrhindar daripada syirik, selamat dari bisa atau sengatan semua makhluk yang beracun, dimudahkan menyelesaikan hutang-hutang, berhak untuk mendapat syafaat pada hari kiamat, sesiapa yang membaca di waktu pagi,akan dipelihara oleh allah hingga ke waktu petang dan sesiapa yang membacanya di waktu petang akan dipelihara hingga ke waktu pagi, mengamalkannya umpama mengamalkan Sunnah Rasulullah dari sudut zikir dan berdoa, dan berbagai lagi kelebihan.
Itu yang telah dibaca dalam buku itu. Mira Maira merenung kulit buku itu. Dia membiarkan sahaja pertanyaan dua orang kakak yang baru dikenalinya itu.
“Mira… kalau Mira rasa kurang senang nak kongsi dengan kami, tak mengapalah. Kami tak paksa. Maafkan akak kalau cara akak ni macam orang menyibuk aje. Kami berdua tak maksud apa-apapun,” kata Rabitah pula.
Mira Maira menggeleng.
“Bukan macam tu, kak. Mira percayakan akak berdua. Kalau Mira tak percaya, takkan Mira boleh duduk di sini. Sebenarnya, kak…”
Mira Maira menceritakan masalah yang sedang dihadapinya. Rabitah dan Karmah terangguk-angguk. Sesekali wajah mereka tampak berkerut.
“Mira… hidup ini, kalau tak diduga memang tak manis. Biasalah tu. Akak rasa ni asam garam rumah tangga. Akak tak rasa yang suami Mira tu kejam sangat. Mungkin dia suka dan sayangkan Mira, tapi tak tau nak tunjuk macam mana. Kadang-kadang lelaki ni ego. Bersabarlah banyak-banyak, Mira. Pada akak, berkasih sayang selepas kahwin lebih manis. Lebih diberkati. Percaya pada itu, seandainya kita reda dalam segala hal dan termasuklah berkahwin dengan dia, insyaAllah, Allah akan berikan apa yang Mira nak.” Nasihat Karmah. Rabitah mengangguk.
“Ya, Mira. lebih baik bercinta atau berkasih sayang selepas kahwin. Mira tengok dekat luar sana, berapa ramai gadis-gadis yang rosak bila bercinta sebelum kahwin? Dan paling sedihnya, walaupun mereka berkahwin ada juga yang gagal dalam perkahwinan tersebut. Kasih sayangpun makin pudar sebabnya apa? Sebab masa sebelum kahwin dicurahkan cinta sepenuh hati. Bersabarlah banyak-banyak. Jangan sesekali ambil keputusan terburu-buru.”
“InsyaAllah, kak. Mira akan cuba, biar pun payah, Mira akan harungi juga. Terima kasih pada akak berdua.” Karmah dan Rabitah tersenyum lantas kepala diangguk.

Tiada ulasan: