Pengikut

Ahad, 10 Mac 2013

JANGAN PANDANG SEBELAH MATA, BRO!




14
“IZINKAN saya keluar, ya. Kawan saya ajak pergi kenduri.” Mira Maira meminta izin, begitulah setiap kali dia hendak keluar. Sekiranya dia tidak menelefon, dia akan mengirimkan sms.
“Pergi sajalah, tak payah kau minta izin daripada aku,” malas sahaja Alif Hazriq bersuara.
“Tak boleh, sebagai seorang isteri saya kena minta izin juga. Bukan boleh keluar sembarangan.”
“Alah tu semua budaya karut aje. Sekarang dah moden tak perlu minta-minta izin ni,” penuh sinis Alif Hazriq berkata.
“Mahu atau tak. Suka atau jelak, awak kena juga terima apa yang telah ditetapkan oleh agama kita. Seorang isteri kena minta izin daripada suaminya kalau hendak kemana-mana saja.” Mira Maira cuba sedaya upaya berlembut. Biarpun jiwanya pedih mendengar kata-kata Alif Hazriq itu. Itulah saat yang dia benci, apabila keluar daripada rumah mertuanya, perangai kepala batu suaminya akan muncul lagi.
“Suka hati kaulah. Pergi ajelah ke mana kau nak pergi. Dah, aku ada kerja ni, jangan asyik nak telefon aku.” Alif Hazriq terus mematikan talian.
Pedih menusuk ke tangkai jantung. Langsung lelaki itu tidak bertanya dengan siapa dia pergi, kemana dan buat apa. Sedih gila dia rasa. Beginilah nasib kalau diri tidak disukai. Sering terluka dan mungkin akan terus terluka.
Tanpa disuruh-suruh, air mata mengalir lagi. Dia teresak juga di atas sofa itu. Belum sempat dia bertanya di mana lelaki itu berada. Masihkah di pejabat lagi? Dia mengerling jam yang ada di dinding, mungkin masih di pejabat kerana ketika itu hampir masuk waktu maghrib. Kebiasaannya lelaki itu akan pulang jam 8.30 malam.
Sedang dia melayan perasaan, telefon bimbitnya berdering kuat. Pantas dia mencapai telefon bimbitnya yang terletak di hujung kakinya.
“Hello…”
“Hello, mek. Jadikan malam ni? Aku datang sekejap lagi, jangan pulak kau tarik diri dah akhir waktu ni,” belum sempat lagi dia menjawab pertanyaan Shahir, talian telah diputuskan. Walaupun rasa berat hati, dia kuatkan juga kudratnya. Lagipun dia sudah berjanji. Belum pernah lagi dia memungkiri janji.
Dia bersiap-siap ala kadar. Memakai baju kurung moden yang dibeli oleh Dato’ Farah. Walaupun baju itu agak ringkas, namun dia rasakan ia cukup cantik. Memang dia sengaja memilih baju seringkas itu, berbanding dengan pilihan mertuanya itu. Mertuanya telah memilih baju yang penuh dengan labuci, hesy... memang dia tidak suka benda-benda yang memberatkan itu.
Dia mengenakan shawl berwarna sedondon dengan bajunya. Tanpa mengenakan alat solek, dia segera mencapai beg tangan yang tersangkut elok di sudut bilik.
“Hmm… sekadar pergi kenduri, okeylah macam ni,” katanya sendirian.

SETELAH mematikan lampu bahagian dapur dan bilik, dia mencapai kasut bertumit satu inci. Pintu dikunci dan dia terus berlalu pergi.
“Nak ke mana, Mira?” soal Mak Cik Ju, jiran tetangga yang sering mengambil tahu halnya. Dia melemparkan senyuman kepada wanita itu.
“Nak pergi kenduri kat rumah kawan, mak cik.” Jawabnya ringkas.
“Pergi dengan siapa?”
“Dengan kawan, mak cik,” jawabnya lembut, biarpun agar gusar juga andai wanita berumur itu bertanya lebih.
“Baik-baik jalan. Jangan balik lambat sangat, maklum sajalah, tempat kita ni dah ramai warga asing.” Pesan Mak Cik Ju.
Mira Maira rasa lega. Dia mengangguk.
“Insyaallah, mak cik. Saya pergi dulu, ya.”
Pantas Mira Maira melangkah, dia tahu Shahir sudah lama menantinya. Menurut kata Shahir, dia diminta temankan sepupu perempuannya pergi ke satu kenduri. Tidak dinyatakan pula kenduri apa, kenduri doa selamat ke atau kenduri bertunang. Shahir tidak dapat menemani sepupunya itu kerana dia punya tugas lain pula. Bunga tempahan masih belum habis dihantar. Dia malas hendak menanguh kerjanya.
Mira Maira terpandang kereta Shahir sudah sedia menanti di luar kawasan apartment itu. Semakin laju dia melangkah.
“Maaflah, lambat sikit.” Mira Maira memohon maaf. Dia membuka pintu belakang kenderaan itu. Meloloskan diri di dalamnya. Dia menutup pintu, bersedia mahu ke destinasi seterusnya.
“Eh cantiknya bunga ni, untuk siapa ni?” dia membelek bunga yang ada di tempat duduk belakang itu. Bunga yang banyak kuntumnya, mungkin melebihi dua puluh kuntum. Cantik sangat gubahannya.
“Eh mana sepupu kau?” soal Mira Maira sebaik sahaja dia menyedari hanya Shahir sahaja yang ada dalam kereta itu. Kereta pula sudah mula bergerak.
“Itulah masalah aku sekarang. Sepupu aku ada kecemasan pulak. Sakit perut katanya. Muka dah pucat lesi. Risau juga aku,” terang Shahir, membuatkan mata Mira Maira membesar. Terkejut pun ada.
“Kau jangan cari pasal. Turunkan aku kat depan tu. Takkan aku nak pergi dengan kau pulak, atau... kau memang sengaja cakap sepupu kau ada, kan?” tuduh Mira Maira. Dia sudah tidak keruan.
“Alah, Mira… tolonglah temankan aku. Akupun bengang juga ni, kalau ikutkan aku tak nak aku pergi. Tapi dah aku kena hantar juga bunga tu kat tempat yang sama,” kata Shahir.
Mira Maira menggeleng. Tidak mungkin! Dia tidak boleh keluar berduaan dengan lelaki lain begini. Dia isteri orang.
“Shahir, hantarlah aku balik. Aku tak sedap hatilah kalau kita berdua aje. Lagipun kenduri tu tak penting sangatkan? Tolonglah Shahir, hantar aku balik,” rayu Mira Maira.
“Mira, kau temankan aku sekejap aje. Lepas hantar bunga tu, kita baliklah. Aku janji dengan kau. Maafkan aku ya, sebab tak beritahu kau awal-awal lagi.”
Mira Maira hanya mengeluh, lagipun kereta itu sudah jauh meninggalkan appartmentnya. Dia mendiamkan diri buat seketika.
“Kau janji tau, sekejap aje. Aku tak nak kena gosip, silap-silap kena fitnah. Kat mana kendurinya tu?”
Tersenyum Shahir mendengarnya. Lega juga hatinya kerana gadis itu mahu menemani dirinya walaupun dalam terpaksa.
“Sekejap lagi sampailah. Aku janji sekejap aje okey.” Shahir memberi keyakinan. Mira Maira mengangguk.

SETENGAH jam kemudian, sampai ke destinasi yang dituju. Restoran terkenal di Bukit Kiara. Semakin membulat mata Mira Maira memandang tempat yang dituju itu.
“Kau gila ke Shahir? Kata nak pergi kenduri, kau bohong aku ke? Takkan kawan mak cik kau tu buat kenduri kat restoran ni pulak?” marah Mira Maira. Dia rasa tertipu pula.
“Kau ingat aku nak sangat datang ke sini? Akupun mati-mati ingat buat kat rumah. Sekali aku nak pergi tadi mak cik aku bagi kad jemputan. Rupanya majlis hari jadi. Yang aku geram sangat tu, siap kena bawa bunga, katanya pak we perempuan tu yang kirim. Dahlah Mira, aku sendiri tak tahu hal ni. Jomlah kita masuk sekejap.” Separuh merayu Shahir mohon pertimbangan Mira Maira.
“Aku tak percaya, Shahir. Takkanlah kau tak tau langsung! Kau memang nak kenakan aku, kan?” marah Mira Maira.
“Maafkan aku, Mira. Aku... aku tak ada alasan lain nak keluar dengan kau. Tapi tolonglah. Lepas kau teman aku hantar bunga aje, kita terus balik.” Shahir membalikkan tubuhnya ke arah belakang, memudahkan lagi dia berkomunikasi dengan Mira Maira. Dia tahu Mira Maira marahkan dirinya. Dia juga sedar, dia ikutkan perasaan.
Mira Maira terdiam, sakit pula hatinya bila tertipu begitu.
“Aku janji... lepas ni aku hantar kau balik, okey?”
“Okey, apa kata aku tunggu kau kat kereta aje. Kau pergi hantar bunga tu.” Mira Maira memberi idea. Shahir putus asa, dia hanya mampu mengangguk.
“Baiklah kalau macam tu kata kau. Kau duduk diam-diam dalam kereta ni tau, jangan pergi mana-mana.” Shahir menitipkan pesanan.
Dia membuka pintu, dan kemudian mengambil bunga yang ada di sebelah Mira Maira.
“Kau tunggu tau,” pesannya lagi sebelum menutup pintu kereta. Mira Maira mengangguk berkali-kali.
Dia memerhati langkah Shahir yang mula menjauh. Di pandangnya pula di sekitar kawasan parkir itu, banyak kenderaan. Mungkin semuanya pergi ke majlis hari jadi yang diadakan di situ, teka hatinya. Penat memandang luar, dikalihkan pula pandangan matanya ke satu arah. Fokusnya kini pada kad yang berkilau apabila terkena cahaya lampu. Pantas sahaja dia mencapai kad tersebut, entah mengapa dia rasa tidak sedap hati pula. Diletakkan semula kad tersebut.
Namun ia hanya seketika, diambilnya kad itu sekali lagi. Hatinya kian mendesak agar dia membuka sahaja kad tersebut.
“Tak apa kot…” bisik hatinya.
 Berpandukan cahaya neon di luar, dia meneliti setiap baris ayat yang tertulis. Hatinya kian berkocak hebat. Dyna? Tidak mungkin!
Hatinya makin mendesak agar dia turun sahaja. Mahu menyertai Shahir. Mahu menyedapkan hati sendiri. Tidak mungkin majlis hari jadi Dyna dibuat di situ. Lagi mengucar-kacirkan perasaannya apabila dia teringatkan tentang bunga tadi. Mustahil daripada lelaki itu!
Baru sahaja dia ingin melangkah, kelihatan kelibat Shahir tergesa-gesa menuju ke arahnya. Jambangan bunga masih lagi di tangannya.
“La…. Kan aku suruh kau duduk dalam kereta, buat apa kau keluar?” tegur Shahir.
Dia membuka pintu kereta sambil terbongkok-bongkok mencari sesuatu.
“Kenapa kau tak hantar bunga ni lagi?”
“Aku lupa bawa ni…” Shahir menunjukkan kad undangan itu kepada Mira Maira sebaik sahaja dia menegakkan tubuhnya.
“Kau nak ikut aku masuk ke dalam ke?” soal Shahir apabila melihat Mira Maira sudah siap sedia, Mira Maira mengangguk.
“Hai kenapa ubah fikiran pulak?”
“Entahlah, aku rasa tak seronok pulak duduk dalam kereta,” itu alasan yang dia rasa logik.
“Dah jomlah…” mereka berjalan masuk ke dalam restoran tersebut.

“KENAPA kau tak cakap model Dyna yang sambut hari lahir kat sini?” soal Mira Maira sebaik sahaja Shahir kembali kepadanya setelah dia pergi menyerahkan bunga kepada pengurus Dyna.
“Alah kalau aku beritahu kau, mesti kau tak suka. Kau kan pernah cakap kau menyampah dengan perangai kekwat dia. Itu yang aku rasa tak perlulah kau tahu. Tak sangka pulak kau nak masuk dalam majlis ni. Rupanya dalam diam kau minat gila kat dia, kan?”
Mira Maira menjeling.
“Gila kau aku nak minat kat dia. Saja aje aku nak tengok kemeriahan orang popular sambut hari lahir,” alasan Mira Maira yang membuatkan Shahir tergelak.
“Dah jomlah kita keluar, kau kata tadi nak balik, kan?” usik Shahir.
“Tunggulah sekejap, aku nak tengok apa yang terjadi. Alang-alang dah ada kat sini.” cewah dia pulak yang sibuk.
“Kalau macam tu jom kita duduk kat sudut sana. Agak-agak kalau rasa tak sesuai dengan jiwa kita boleh keluar terus,” ajak Shahir, Mira Maira mengangguk. Dia mengikut langkah Shahir.
Kedengaran pengurus Dyna memberi arahan kepada semua tetamu agar bersiap sedia kerana sebentar lagi Dyna akan sampai. Majlis itu kononnya satu majlis kejutan buat gadis itu.
Mira Maira memerhati keliling, rata-rata semua sudah teruja hendak mengejutkan gadis yang menyambut hari lahirnya pada hari itu. Majlis itu juga merupakan majlis tertutup. Tidak ramai yang diundang.
Semua yang ada dalam majlis itu senyap secara tiba-tiba. Entah mengapa dada Mira Maira terasa berdebar pula. Dia tidak tahu mengapa, rasa tidak sedap hati daripada tadi membuatkan dia bimbang.
“Agaknya Dyna dah nak sampai.” Shahir berkata perlahan.
Mata Mira Maira tertumpu pada pintu utama. Rasa debarannya makin terasa, dia cuba menyabarkan hati agar tidak memikirkan yang bukan-bukan. Apabila sepasang merpati dua sejoli melangkah masuk dalam ruangan itu, membuatkan semua tersenyum-senyum simpul kecuali Mira Maira.
Dipejam celik matanya, namun apa yang diperhatikan itulah realitinya. Dia tidak percaya apabila melihat wajah lelaki yang berada di sebelah Dyna, begitu tenang berjalan beriringan denagn gadis itu. Manakala Dyna pula matanya ditutup dengan sehelai kain. Ini memang betul-betul satu kejutan. Dia yang terkejut kerana suaminya yang berada di sisi gadis itu. Sangat mesra dan sangat bahagia bila dilihat dengan mata kasar.
Dada Mira Maira makin sempit, rasa sebak sudah menguasai perasaannya. Dia mahu segera pergi daripada situ tetapi kakinya masih lagi terpaku. Berombak dadanya menahan rasa. Ketika itu juga nyanyian hari lahir kedengaran. Bukan main meriah lagi sebaik sahaja mata Dyna dibuka. Terjerit kecil gadis itu kesukaan. Dipukul-pukul tubuh Alif Hazriq, lelaki itu ketawa gembira.
‘Mengapa aku tak pernah melihat tawa itu. Kenapa aku tak pernah rasa kasih sayang daripada pandangan matanya?’ Mira Maira menyoal dirinya sendiri. Terasa bagaikan hunus pisau belati, hatinya kian rabak. Dikalih pandangan mata ke arah lain, enggan melihat kemesraan itu.
Paling menyayat hati, Dyna menarik Alif Hazriq ke satu sudut yang menempatkan pentas kecil. Di situ dia menyampaikan lagu buat kekasih hati. Kala itu juga dia tidak mampu bertahan lagi, dia seharusnya pergi daripada situ seberapa segera.
“Aku nak balik, Shahir.” Mira Maira mencuit Shahir yang begitu ralit memerhatikan pasangan itu. Sejak daripada tadi tersengih-sengih.
“Kau tak nak makan dulu ke?”
Mira Maira menggeleng dan kemudian terus berlalu. Pedihnya perasaan.
“Eh Mira tunggulah aku…” Shahir memanjangkan langkahnya supaya dapat bersaing dengan gadis itu.
“Kau kenapa, Mira?” soal Shahir, agak pelik dengan perubahan sikap Mira Maira.
“Tak ada apa-apalah, aku nak balik.” Seberapa segera dia meloloskan diri ke dalam kereta. Kalau boleh dia mahu segera melenyapkan apa yang dilihatnya tadi. Dia benci!
“Yalah, kau tak nak makan-makan dulu ke. Jomlah perut aku lapar dah ni,” pujuk Shahir. Mira Maira menggeleng lagi.
“Maaflah, Shahir. Lepas kau hantar aku balik, nanti kau teruslah pergi makan ya?”
“Alah tak seronoklah aku makan sorang-sorang.” Shahir menghidupkan enjin kereta. Mereka meninggalkan kawasan itu,
“Kau tak faham ke apa yang aku cakap, aku kata aku nak baliklah!” agak meninggi suara Mira Maira. Terkejut juga Shahir dibuatnya. Dia segera mengangguk.
Suasana terus hening dan tegang.
Mira Maira menarik nafasnya sedalam mungkin, kemudian dia beristigfar beberapa kali. Dia menoleh sekilas ke arah Shahir, rasa bersalah menyelubungi jiwanya.
“Maafkan aku, Shahir. Aku tak sengaja. Tak sepatutnya aku marah kau.”
“Tak apalah, Mira. akupun tak kecil hati. Aku hantar kau balik ya, dahlah kau tenang-tenangkan hati. Kalau ada masalah, kau ceritalah pada aku. Aku sedia mendengarnya.”
Shahir rasa lega bila melihat wajah tegang gadis di sebelahnya itu sudah kembali seperti sedia kala. Mungkin gadis itu punya masalah sendiri. Atau ada hal lain yang dia tidak tahu. Entahlah, untuk menyingkap dan mengorek daripada gadis itu, dia tidak akan lakukan sama sekali. Biarlah gadis itu bercerita dengan sendirinya.

SESAMPAI di rumah, Mira Maira terus melepaskan apa yang terbuku di hatinya. Dia menangis semahu-mahunya.
“Atuk, Mira tak tahan hidup macam ni… Mira benci dengan apa yang Mira rasa…” luahnya seorang diri. Seolah atuknya ada di hadapan mata.
“Tak sepatutnya Mira ada rasa cinta padanya. Sakit sangat perasaan ni bila dah ada perasaan tu. Apa yang Mira perlu buat sekarang ni atuk?”mengogoi dia menangis.
Dia tidak tahu sejak bila rasa cinta itu datang. Namun apa yang tahu dan sedar, setiap kali memandang wajah itu membuatkan dia berdebar. Setiap kali wajah itu hilang daripada pandangan mata, dia jadi nanar. Rindu pula bertamu di jiwa. Selama ini dia sangkakan dia hanya punya perasaan sayang. Namun cinta itu datang tanpa diundang.
Sedang dia menjeruk rasa, telefon bimbitnya berdering. Dia hanya membiarkan sahaja. Tetapi apabila masuk kali ketiga deringan itu berbunyi, segera dia mengesat air matanya. Cuba menenangkan perasaan sendiri.
“Assalamualaikum…” seboleh mungkin dia mengawal suaranya.
“Waalaikumussalam, Mira… dah tidur ya?” suara di hujung talian bertanya khabar. Air mata yang tadi cuba dikawal, kini makin deras pula turunnya.
“Atuk…”
“Ya, Mira. Mira menangis ke?” suara tua itu kedengarannya sedikit lemah.
“Tak adalah, atuk. Mira gembira sangat atuk telefon Mira. atuk sihat ke?” Mira Maira cuba berbohong.
“Atuk sihat aje… cuma…”
“Kenapa, atuk?” pintas Mira Maira.
“Malam ni atuk tak boleh tidur. Entah kenapa atuk rasa tak sedap hati sejak daripada tadi. Itu yang atuk telefon Mira. Takut Mira tak sihat ke.”
“Eh tak adalah, atuk. Mira sihat, atuk jangan bimbang ya…” beberapa kali dia menahan nafas agar tangisannya berhenti. Dia tidak mahu atuknya risau. Biar dia seorang yang menanggung segala duka, asalkan hati-hati orang yang disayanginya dijaga dengan baik.
“Kalau macam tu, pergilah tidur. Dah malam dah ni. Alif dah tidur, ya?”
“Ha… err… haah, atuk,” bohongnya lagi. Ya Allah bantulah aku… ampunilah dosa aku kerana membohongi insan yang selama ini banyak berbudi kepadaku.
“Nanti kirim salam pada dia, ya. Atuk letak dulu ya… assalamualaikum,” Tok Taha terus memutuskan talian sebelum sempat Mira Maira menjawab.
“Waalaikumussalam, atuk. InsyaAllah,” gadis itu mengeluh. Andai kau tahu atuk, apa yang telah terjadi selama ini, aku tak tahu apa yang kau akan lakukan. Maafkan Mira, atuk.

5 ulasan:

Arumi Iman Hana berkata...

NOVEL NI BEST LAH KAK SYIMA..SAMBUNG LAH LAGI ENTRY DYE..PEW YG AKAN BERLAKU TERHADAP AMIRA SELEPAS INI,ADAKAH PNAMPILAN DYE AKN BERUBAH ATAU SBLIK NYE ??? X SBAR SNGGUH UTK MENGETAHUI CTER SELANJUT NYE....HEHE

syimasyawal berkata...

InsyaAllah... novel ni dah siap dan dah ada di meja editor, doa2kan eh diluluskan untuk penerbitan....

cyah berkata...

Insyaallah mesti lulus nyer

Tanpa Nama berkata...

Kak ,minta2 abis kt blog jek,so x yh tunggu lme sgt.hihi

- rozita roslan

syimasyawal berkata...

hehehehehheehehe

sayang juga nak tengok ia jadi sebuah buku....