1
MAHU menangis seakan tidak punya air mata lagi. Mustahil! Ya Mira Maira tidak percaya dengan apa yang telah
terjadi. Sudah kering air matanya. Atuk memang kejam! Atuk zalim pada cucu
kesayangannya ini. Buat masa ini dia tidak dapat menerima apa yang telah diatur
oleh atuknya sendiri.
“Apa yang atuk dah buat pada Mira?” mengogoi dia
menangis apabila secara terpaksa dia dinikahkan dengan seorang pemuda yang
tidak dikenalinya. Kononnya itulah amanat ayahnya sebelum ayahnya meninggal
dunia.
Paling dia benci, kejutan itu dilakukan sebaik
sahaja umurnya genap Sembilan belas tahun. Dia akan menduduki peperiksaan STPM
pada hujung tahun itu. Mengapa begitu tegar atuknya melaksanakan amanah yang
telah membunuh masa depannya?
“Mira sayang… semua ini wasiat arwah. Atuk terpaksa
laksanakan. Bukan kemahuan atuk, sayang…” pujuk atuknya.
“Mira masih sekolah lagi, atuk. Lagipun, Mira tak
kenal siapa dia. Tolonglah atuk, tolong hentikan semua ini. Tolong suruh dia
ceraikan Mira.” Mira merayu. Kalau boleh biarlah dia kejar cita-citanya
sendiri. Dan yang paling penting, biarlah dia pilih sendiri bakal suaminya.
Tok Taha menggeleng. Enggan menurut kehendak
cucunya itu.
“Mira… sanggup ke Mira jadi janda?”
Persoalan atuknya itu membuatkan Mira Maira
terkedu. Sanggupkah dia? Dia masih muda. Masih belasan tahun tetapi sudah
bergelar janda?
“Arrgghh!!! Atuk memang kejam!” laungnya. Dia
terus berlari masuk ke dalam biliknya.
Dalam bilik dia air matanya mengalir juga.
Sangkanya dia tidak mampu menangis lagi... Dunia itu dia rasakan kian gelap.
Dia tidak nampak langsung masa depannya. Benci kerana terpaksa menghadapi semua
itu.
“MIRA…” tegur
Syazana.
Mira Maira yang sedang ralit memandang ke arah
padang bola sepak sekolahnya sedikit tersentak. Dia menoleh ke arah Syazana.
Keningnya dinaikkan.
“Kenapa
sejak daripada tadi aku tengok kau asyik sangat termenung. Kau ada masalah ke?
Takkan birthday girl monyok macam
ni?” Syazana bersuara ceria. Mahu menuntut belanja daripada sahabat baiknya
itu.
Mira Maira menghela nafasnya yang kian sempit di
dada. Mahu diluahkan kepada sahabatnya itu, namun dia tidak mampu. Dia khuatir
akan dipandang serong. Apatah lagi dia tahu Syazana paling bengang dengan
kahwin paksa. Novel-novel yang berkisar kahwin paksa tidak dibacanya. Senang
cerita Syazana anti gilalah…
Tidak seperti dirinya, dia sangat-sangat menyukai
novel bertemakan kahwin paksa. Ia punya daya tarikan tersendiri. Malah dia siap
berangan-angan lagi. Tidak sangka pula kali ini betul-betul terjadi pada
dirinya. Ya Allah! Apa sebenarnya rencanaMU? Keluhnya sendiri.
“Weh! Aku macam bercakap dengan tunggul. Kau
kenapa?” agak kuat juga suara Syazana. Mira Maira mengurut dadanya.
“Aku okeylah… janganlah kau cakap macam orang
menjerit, nanti orang lain cakap apa pulak, ingat kita berdua bergaduh.” tegur
Mira Maira. Syazana tergelak sahaja.
“Habis aku bercakap kau buat dek aje. Tension cakap dengan orang yang tak ada
perasaan ni. Kau fikir apa sampaikan aku tengok muka kau berkerut-kerut.
Takkanlah pasal nak belanja aku makan, sampai nak terbarai otak kau tu, tak ada duit cakap ajelah,” tembak Syazana.
Gadis itu menjilat lolipopnya, itulah kesukaan
Syazana, lolipop. Macam budak kecil. Pernah Mira Maira menyaksikan gadis itu
bergaduh dengan adik-adiknya pasal lolipop.
“Kau nikan, macam tak ada benda lain yang kau nak
makan. Gula-gula budak kecik ni juga yang kau jilat?” tegur Mira Maira. Syazana
tersengih lagi.
“Kau macam mak aku, nak membebel aje. Aku sanggup
kosongkan perut aku semata-mata nak makan masa kau belanja nanti. Kau jangan
buat-buat lupa pulak,” balas Syazana dengan wajah manjanya.
Mira Maira lihat sahabatnya itu seakan tidak punya
masalah. Asyik ketawa dan buat kepala gila-gilanya saja. Tidak pernah lagi dia
nampak Syazana termenung atau berwajah masam. Menangis lagilah jarang. Kenapa
dia tidak menikmati hidup seperti gadis itu? Mengapa dia sering dilanda masalah
yang berat?
“Eh kau dengar tak?’
“Iya..
aku ingat. Petang nanti kita pergi KFC ya.” Dia takkan mengheret Syazana dalam
masalahnya. Biarlah dia seorang sahaja yang menghadapi segalanya.
“Mira… kalau aku ajak seseorang boleh tak?”
Syazana tersengih lebar. Entah apa yang ada dalam mindanya, Mira Maira tidak
tahu. Kening Mira Maira bertaut.
“Kau nak ajak siapa?” dia mula rasa kurang senang.
Siapa pula yang dipelawa oleh Syazana? Kawannya itu bukan boleh dipercayai.
“Adalah… boleh eh… bolehlah… pelase… kau baik… kau comel…” Syazana buat memek muka simpatinya.
“Apa-apa ajelah, Ana. Kalau aku tak benarkan pun
kau tetap akan bawa juga, kan? Itu memang aku percaya sangat-sangat,” sambil
menjeling ke arah Syazana, Mira Maira menjuihkan bibirnya. Syazana ketawa
besar.
“Pandai kau…” jawab Syazana selamba.
“Jom loceng dah berbunyi tu,” Mira Maira menarik
tangan Syazana, mereka melangkah menuju ke kelas mereka yang terletak di tingkat
tiga.
“CEPATLAH makan,”
tegur Mira Maira.
Sejak daripada tadi Syazana melihat jam tangannya.
Dia pula sudah separuh ayamnya habis. Gadis itu pula asyik tercuit-cuit.
Menjamah sedikit sahaja. Kemudian memandang jam di pergelangan tangannya.
“Sekejaplah…” kata Syazana sambil
tersnegih-sengih.
Mira Maira tidak peduli, dia membiarkan sahaja
Syazana dengan aksi sopan santunnya itu.
Dicelah orang ramai yang sedang menikmati ayam
goreng itu, ada sepasang mata sedang memerhatikan mereka. Perlahan dia mengangkat
makanannya dan melangkah ke arah dua orang gadis itu. Sejak daripada tadi, dia
memang sengaja membiarkan Syazana menanti. Dia mahu gadis di hadapan Syazana
itu leka.
“Hai…” tegur Shahir.
Mira Maira yang sedang enak menikmati ayam itu
tersedak-sedak sebaik sahaja terpandang wajah lelaki yang sedang berdiri di
sebelahnya. Dia terbatuk-batuk, air yang dihirup juga sudah memasuki hidungnya.
Manakala Syazana tersengih sampai ke telinga.
“Duduklah awak.” Pelawa Syazana.
Amboi pandai-pandai sahaja Syazana mempelawa
lelaki itu duduk di situ. Mira Maira menjeling ke arah rakannya itu.
“Lama dah tunggu?” sengaja Shahir memaniskan
bahasa.
Uwek! Hendak termuntah Mira Maira mendengar suara
lembut lelaki itu. Tetapi dia sedikit terkejut apabila mendengar pertanyaan
Shahir. Maknanya, lelaki itulah yang dinanti oleh Syazana.
“Sorry,
Mira. Sampai tersedak-sedak awak nampak saya, ya?” sepertinya mahu sahaja Mira
Maira buat-buat pengsan di situ. Rasa menyampah pada lelaki itu masih lagi ada.
“Mira… sebenarnya aku memang sengaja ajak Shahir
datang. Dia dah lama nak berbaik-baik dengan kau, tapi kau tu…” Syazana
bersuara setelah melihat Mira Maira seakan mula rasa kurang senang.
“Mira… saya yang beriya-iya nak jumpa awak.
Maafkan saya. Saya tahu saya bersalah pada awak. Saya juga tahu awak memang
benci pada saya, tapi saya sendiri tak tau kenapa saya boleh buat awak macam
tu,” Shahir memandang wajah Mira Maira.
Mira Maira hanya membisu. Malas hendak membalas.
Nanti ada sahaja yang tidak betulnya. Shahir tidak pernah mahu berbuat baik
dengannya sejak sejak lelaki itu bersekolah di situ. Dia sendiri tidak faham mengapa.
Ada sahaja perbuatannya yang tidak kena di mata pelajar lelaki itu. Malah bila
Shahir bercakap dengannya, pasti melengking-lengking. Kemuncaknya, dia
betul-betul marah pada Shahir apabila dengan sengaja lelaki itu memfitnah
dirinya. Kononnya dia pernah memikat diri Shahir. Sungguh tidak logik langsung.
Sejak daripada itulah, Mira Maira bergaduh besar. Dia bertekad mahu
mengisytiharkan perang dunia ketiga dengan Shahir.
“Mira…” Shahir cuba meraih simpati.
“Senang aje kau nak minta maaf. Sampai sekarang
aku nak sangat tahu kenapa kau sanggup fitnah aku. Kenapa kau asyik nak cari
gaduh aje dengan aku? Teringin sangat aku nak dengar alasan kau, kenapa ya?”
Mira Maira melontar pandangannya pada luar permis itu, enggan mahu memandang
wajah lelaki yang duduk di hadapannya itu.
“Mungkin…” Shahir terdiam.
“Cakap ajelah terus terang, Shah. Yang kau nak
simpan-simpan lagi nak buat apa? Nak buat pekasam ke?” celah Syazana pula.
Oh baru Mira Maira tahu, sahabatnya itu mula
menjadi ‘ikan tongkal’ kepada lelaki itu. Sejak bila pula mereka berdua rapat?
Mira Maira menoleh ke wajah Syazana sekejap kemudian dia memandang ke luar
semula.
“Ehem…” Shahir mula jadi gugup.
“Aku rasa, aku dah tak boleh nak tunggu lama-lama
kat sini. Masa aku amat berharga, aku bukan anak orang kaya yang mampu pergi
tuisyen. Kalau aku nak maju dan berjaya, aku kena usaha sendiri. Jadi… tolong
jangan bazirkan masa aku,” luah Mira Maira. Dia tidak suka bazirkan masa begitu
sahaja.
“Mira… I
love you…” itu yang keluar daripada mulut Shahir.
Pantas Mira Maira memandang ke arah Shahir. Biar
betul? Hampir sahaja rahangnya renggang dek kerana terkejut. Takkanlah?
“Mira, saya tak tipu. Saya suka awak dah lama.
Saya cuba nak menghakis perasaan suka tu sebab kononnya saya nak fokus pada
pelajaran, rupanya saya menipu diri sendiri. Saya memang sayangkan awak. Saya
tak boleh nak halang perasaan ini lagi,” kali ini wajah Shahir benar-benar
serius.
“Kau memang dah gila. Maaf, aku tak nak bazirkan
masa aku pasal ni. Aku balik dulu,” Mira Maira segera bangun. Dia terus
berlalu.
“Mira!” panggil Syazana dan Shahir serentak.
PULANGNYA dengan
wajah yang monyok. Dia masuk ke dalam rumah tanpa memberi salam. Menonong
sahaja dia terus ke dalam biliknya. Bilik yang kelihatannya sangat berbeza
daripada sebelum ini. Bilik itu telah dihias cantik, katil juga telah ditukar
menjadikan ia benar-benar indah. Impiannya selama ini sudah tercapai, bezanya
dengan cara yang dia tidak suka.
Tanpa membuka baju sekolah, dia terus berbaring.
Keletihan. Saat itu wajah Shahir yang memenuhi ruang otaknya. Bukan dia tidak
suka pelajar lelaki itu, tetapi mulut Shahir sama sahaja seperti mulut ayahnya
yang sangat lancang mengutuk dan mengeji diri orang.
Dia tahu, dan sedar semuanya berpunca daripada
perangai arwah ayahnya sendiri. Arwah ibu makan hati sehinggalah ke hujung
nyawanya. Ayah tidak pernah berubah. Mira Maira sendiri tidak faham apa yang
ayahnya mahukan. Adakah mahu menikmati kekayaan dengan cara begitu? Tidak juga
mereka kaya sehinggalah arwah ayahnya tertangkap pada suatu hari. Ketika itu
usianya masih mentah lagi. Dia baru berusia enam tahun.
Seingatnya, beberapa orang anggota polis telah
mengepung rumah mereka. Keadaan ketika itu sangat kelam kabut. Ayahnya cuba
melarikan diri melalui pintu belakang malangnya anggota polis sudah bersedia
menunggu segala kemungkinan yang akan berlaku di belakang rumah mereka.
Sudahnya, ayah merengkok dalam penjara
bertahun-tahun lamanya. Bebanan hutang ibu yang kena tanggung. Bukan sahaja
hutang kedai runcit malah hutang daripada lintah darat juga melambak-lambak
dibuat oleh ayahnya.
Kerana tidak tahan dengan gangguan ceti-ceti
haram, ibunya pulang ke rumah atuk yang terletak
tidak berapa jauh daripada rumah mereka. Sejak itu juga ibu terus jatuh sakit
lalu meninggal dunia. Kepada atuk dan Makdek yang ketika itu masih anak dara
tempat Mira Maira menumpang kasih. Tidak lupa pak long dan pak uda yang tidak
pernah kurang kasih sayang mereka.
Sejak itu juga, hidupnya kian aman. Tiada lagi
gangguan daripada lintah darat. Tiada lagi gangguan daripada tauke-tauke kedai
runcit termasuklah ayah Shahir. Yang tinggal hanyalah serpihan-serpihan
penghinaan sahaja. Ayah Shahir tidak akan lepaskan peluang memerli dan
menyindirnya. Macam-macam kata-kata kesat dilempar kepadanya.
“Hah! Kalau bapak beri makan dengan hasil yang
haram, mesti anaknya jadi bohsia suatu hari nanti. Percayalah. Kau Malik, kalau
rasa nak cari isteri jangan daripada keturunan perompak tu. Malang nasib kau nanti.”
Begitulah kata-kata nista yang dilemparkan
kepadanya. Sungguh! Kala itu dia hanya mahu menyembunyikan dirinya dalam rumah
sahaja. Sekampung sudah tahu, malah kampung-kampung bersebelahan juga tidak
kurang hebat cerita ayahnya itu.
Sejak dia remaja, dia mula jadi pendiam. Jarang
bergaul dengan rakan-rakan yang lain kecuali Syazana. Seboleh mungkin dia tidak
mahu menimbulkan masalah. Iyalah, bila sudah terpalit dosa-dosa ayah, sampai
bila-bila orang akan membenci, itu yang dia rasakan.
Tapi dia rasa pelik juga, kenapa Shahir mahu
berbaik-baik dengannya? Sedangkan selama ini lelaki itu yang sering menyiat
perasaannya. Apa tujuannya? Tidak risaukah dia dengan penerimaan ayahnya
sekiranya ayahnya tahu dia mahu berbaik-baik dengannya?
“Huh! Mesti ada udang di sebalik mihun…” teka Mira
Maira.
“Aku takkan biarkan… cukuplah selama berbelas
tahun aku menahan rasa, menahan perasaan. Aku takkan biarkan orang senang
lenang mengeji diri aku, apatah lagi dalam soal cinta.” Itulah tekadnya. Mira Maira melepaskan keluhannya.
PUAS dia melayan perasaan,
akhirnya dia terlelap juga. Sedar-sedar bila dia terdengar sayup-sayup orang
mengetuk pintu biliknya. Berkali-kali dia cuba membuka mata, namun rasa
kantuknya itu tidak dapat dilawan.
“Mira… Mira…” berkali-kali namanya diseru. Suara
tua itu sesekali batuk.
Dengan malas, Mira bangkit juga. Wajah tua atuknya
dipandang sebaik sahaja pintu terkuak. Matanya kuyu sahaja.
“Lamanya Mira tidur. Dah makan?” soal atuknya
lembut. Mira Maira mengangguk.
“Bila masa Mira makan? Atuk tengok nasi dan lauk
tidak luakpun.”
“Tadi balik daripada sekolah Mira makan dengan
Syazana kat KFC. Maaf atuk tak bagitau atuk. Penat sangat.” Sebolehnya dia
tidak mahu menyakiti hati atuknya itu.
“Tak mengapalah. Pergilah mandi dulu. Jangan lupa
solat dan mengaji,” pesan atuknya.
Mira Maira mengangguk sahaja walaupun ketika itu
dia mendapat pelepasan cuti untuk melakukan rukun Islam yang kedua itu. Biarpun
tengah datang bulan, amalan dan zikir tidak pernah dilupakan.
Sepertimana yang telah diterangkan oleh
ustazahnya, “ruang untuk wanita dalam haid
dan nifas beribadah adalah luas, seluas ruang doa dan zikir itu sendiri walaupun
mereka tidak dibolehkan solat, puasa dan membaca al-Quran.
Antara ibadah-ibadah yang boleh dilakukan oleh wanita-wanita
yang berada dalam haid dan nifasadalah berdoa dengan apa sahaja doa termasuk dari
al-Quran,. beristighfar; termasuk istighfar dari al-Quran. Berzikir; sama
ada bertahlil, bertahmid, bertasbih dan sebagainya. Berselawat kepada Nabi. Mendengar bacaan al-Quran. Menghadiri/mendengar majlis ilmu (yang
diadakan di tempat lain selain masjid). Mengulang hafalan al-Quran (mengikut
pandangan Imam Malik). Membaca buku-buku agama termasuk kitab-kitab hadis dan Bersedekah.
Mira Maira menutup pintu sebaik sahaja atuknya
berlalu pergi. Dicapainya tuala yang tersangkut di belakang pintu. Biasalah
rumah kampung, buat ampaian tali lebih menjimatkan ruang.
Setelah itu, dia melangkah ke ruangan dapur. Segera dia melangkah ke bilik air. Air yang datangnya dari kolah besar di luar bilik air membuatkan kadangkala dia rasa tidak sanggup hendak menyentuh air. Sumber air pula atuknya sanggup menadah air hujan. Jaring dipasang di atas kolah besar itu. Paip digunakan hanya untuk memasak.
Menurut kata atuknya, air asli sejuk dan
menyihatkan badan. Memang benar, apabila mandi di waktu dinihari terasa sejuk
sehingga ke tulang hitam. Apatah lagi ketika hari hujan.
Entah bagaimanalah penerimaan suaminya nanti. Hah!
Suami? Baru dia teringat dia kini sudah pun bersuami…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan