Pengikut

Sabtu, 25 Mei 2013

JANGAN PANDANG SEBELAH MATA, BRO!





24
“UMI kecewa dengan Alif. Mana janji-janji Alif dulu. Kata tak ada apa-apa hubungan lagi dengan Dyna. Kalau ada pun kerana kerja. Ini… apa dah jadi?” Dato’ Farah agak kecewa dengan laporan akhbar itu. 
Alif Hazriq menunduk sahaja. Dia juga agak hairan bagaimana pula laporan itu boleh keluar sesuka hati sedangkan kenyataannya ia tidak berlaku langsung.
“Sebab inilah Alif nak duduk asing dengan umi, kan? Senang Alif nak keluar malam. Tinggalkan Mira seorang diri semata-mata nak cari hiburan dan lepaskan nafsu sendiri. Jadikan Mira tu patung hidup tanpa mengira perasaan dia, begitu?” tekan Dato’ Farah lagi.
“Umi… itu bukan saya. Percayalah cakap saya…”
“Habis ini siapa? Nampak macam kamu aje.” Bidas Dato’ Mustaffa Harun pula.
“Masalahnya, saya sendiri dah lama tak keluar malam dengan Dyna, babah. Lagipun sejak Mira datang sini, saya dah tak pergi ke kelab malam. Paling tidak, saya keluar ke Redbox aje. Tolonglah percaya cakap saya ni…” Alif Hazriq bagaikan sedang disoal siasat. Dato’ Farah dan Dato’ Mustaffa Harun terus sahaja menekan.
“Alif memang ada niat nak kahwin dengan Dyna ke?” kendur sudah suara Dato’ Farah, dia tidak larat lagi hendak marah-marah. Dia rasa tiada gunanya kalau dia mengamuk sekalipun. Jalan penyelesaian tidak dapat juga.
“Saya tak pernah janjikan apa-apa pada dia, umi. Ya… saya akui dulu-dulu memang saya ada niat nak kahwin dengan dia tapi… entahlah, umi. Kalau tanya saya sekarang, saya tak ada jawapannya.” Otak Alif Hazriq sudah tepu. Sudah tidak larat dia hendak memikirkan apa-apa lagi. Masalah demi masalah datang bertimpa-timpa. Sejak Mira Maira tidak ada, hidupnya mula kucar-kacir. Semua serba tidak kena.
“Habis tu, macam mana laporan ni boleh keluar seolah-olah kita dah pergi meminang dia? Siap mereka telefon orang tua Dyna untuk dapatkan kepastian. Permainan apa ni?” Dato’ Farah bengang dengan sikap orang tua Dyna yang mengambarkan seolah-olah mereka sudah merisik dan bertunang mengikut adat.
“Maafkan saya, umi.”
“Umi boleh maafkan kamu, Alif. Tapi macam mana dengan Mira? Apa perasaan dia, mesti dia kecewa, Alif. Umi tahu, kamu bukan melayan dia dengan baikpun. Walau Mira tak pernah burukkan kamu, tapi umi ni tahu anak umi.” Dato’ Farah merenung wajah anak sulungnya itu.
“Babah malu dengan Tok Taha kamu. Apa babah nak jawab dengan dia? Alif kena buktikan yang dalam gambar tu bukan Alif. Kalau betul Alif tak buat, jangan takut tegakkan kebenaran. Babah akan senang hati kalau Alif dapat selesaikan semua ni dengan cara baik.” Celah Dato’ Mustaffa Harun pula.
“Saya tahu, babah. Saya janji akan betulkan keadaan. Saya akan cari bukti.” Itulah janjinya. Bercakap dengan babahnya, perlukan bukti yang tidak meragukan. Bukan senang nak meyakinkan seorang peguam.

TELEFON rumah berdering kuat. Perlahan Dato’ Farah bangkit untuk menjawab panggilan tersebut.
“Assalamualaikum…”
“Wa’alaikumussalam… Kak Farah ya?”
“Iya… siapa ni?”
“Saya Rehan, Kak Farah…”
“Oh… Rehan… ingat siapalah tadi, suara Rehan lain sangat…” Dato’ Farah duduk di kerusi yang ada di sisi meja telefon itu. Dato’ Mustaffa Harun dan juga Alif Hazriq pula memasang telinga.
“Kak Farah… Rehan nak beritahu, yang abah Rehan masuk hospital ni. Sekejap lagi nak buat pembedahan. Kata doktor, jantungnya tersumbat.” Jelas makdek.
“Ya Allah… bila dia masuk hospital?” Dato’ Farah terus berdiri.
“Dalam pukul satu pagi tadi, Kak Farah. Dia jatuh, terus tak sedar. Nanti tolong beritahulah dengan Abang Mustaffa.”
“Ya… ya… Mira ada situ sekalilah ya…”
“Ada tu, tengah duduk termenung. Okeylah, Kak Farah… saya nak beritahu itu aje. Kirim salam pada semua ya… Assalamualaikum.”
Dato’ Farah meletakkan gangang telefon. Dia memandang ke arah suaminya.
“Tok Taha masuk hospital. Dia nak operation sekejap lagi. Mari kita pergi ziarah dia, bang.” Beritahu Dato’ Farah.
Alif Hazriq terkejut. Spontan dia terbayangkan wajah isterinya.
“Mira, umi?”
“Kenapa dengan Mira?” soal Dato’ Farah kembali.
“Marilah…” Dato’ Mustaffa Harun sudah bersiap sedia. Dia mencapai kunci keretanya.
“Biar saya bawa kereta, babah.” Alif Hazriq menghulur tangan, meminta kunci kereta babahnya.
“Alif bawa kereta sendiri. Kalau nak tidur sana ke, senang nanti. Mira tu perlukan Alif sekarang ni.” Kata Dato’ Mustaffa Harun pula.
“Batul tu… dah cepat. Umi nak kunci pintu ni. Nanti umi beritahu Afif.”
“Baiklah, umi.” Alif Hazriq terpaksa akur juga. Bergegas dia naik ke atas, mengambil kunci kereta.
Alif Hazriq mengekori kereta babahnya. Dalam hati dia berdoa agar Tok Taha diberi kesihatan yang baik. Dia tidak sanggup melihat kesedihan di mata Mira Maira. Apatah lagi dengan masalah mereka yang menambahkan lagi tekanan buat isterinya itu.

 MASING-MASING menunggu dengan wajah yang sunggul. Baru sejam Tok Taha masuk dalam bilik bedah. Benarlah kata orang, penantian itu satu penyeksaan. Baru sejam sahaja bagikan sudah menanti satu hari.
Tok Taha terpaksa dipindahkan ke hospital swasta kerana proses pembedahan di hospital sebelum ini memerlukan masa. Pak long Mira Maira telah membuat keputusan agar Tok Taha menerima rawatan di hospital swasta sahaja. Tidak perlu menanti tarikh lain untuk dibedah. Biarpun mak longnya tidak bersetuju kerana kosnya pasti berlipat ganda lagi. Namun apabila dikatakan pak udanya yang membayar kos tersebut, mak long terus terdiam.
Pak uda Mira Maira seorang yang berduit. Bisnesnya semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Sememangnya sudah rezeki keluarganya. Baru sahaja pak udanya itu berhajat ingin menghantar atuknya ke tanah suci. Tidak sangka pula atuknya punya penyakit itu.
Dato’ Farah dan Dato’ Mustaffa Harun tiba di hospital itu dan diikuti oleh Alif Hazriq. Bergegas mereka mencari keluarga Tok Taha. Kedatangan mereka disambut oleh mak long Mira Maira. Sangatlah hipokritnya dia melayan tetamu merangkap keluarga besan mereka.
Apabila melihat Dato’ Farah datang, segera Mira Maira bangun dan mendapatkan mertuanya itu. Dia menangis teresak-esak dalam pelukan mertuanya. Mak long serta anaknya Noni mencebik cemburu.
“Mama… menyampahnya tengok, mengada-ada.” Bisik Noni.
“Sabar ya Mira… umi doakan yang terbaik buat atuk Mira.” pujuk Dato’ Farah.
Mira Maira beralih pula pada bapa mertuanya, dia menyalam tangan babahnya itu. Dato’ Mustaffa Harun menepuk-nepuk bahunya tanda beri semangat.
Saat itu Alif Hazriq sudah berdiri di sebelah babahnya. Mahu atau tidak, Mira Maira terpaksa menyalam tangan suaminya itu. Rajuknya masih ada. Masakan dia boleh melupakan begitu sahaja. Tangan suaminya dikucup lembut, saat itu juga air mata kesedihan kian laju menuruni pipinya. Alif Hazriq mendakap erat tubuh Mira Maira.
“Syyy… jangan menangis…” pujuknya.
Setelah lama mereka berkeadaan begitu, Alif Hazriq cuba meleraikan rangkulannya, tapi belum sempat lagi dia melepaskan, tubuh Mira Maira sudah longlai. Mira Maira tertidur sambil berdiri. Tanpa membuang masa, Alif Hazriq mengendong tubuh isterinya itu lalu dibaringkan di atas kerusi, dengan kepala isterinya beralaskan pahanya sendiri.
Bertambah berbuku hati Noni melihatnya. Betul-betul sakit hati dia dengan Mira Maira. Entah mengapa sepupunya itu asyik diberi perhatian oleh semua orang. Malah sanggup atuknya mencarikan jodoh untuk Mira Maira, dengan lelaki kaya pula itu. Siapa yang tidak sakit hati?
Kalau ikutkan dari segi cantik, dia lebih cantik daripada Mira Maira. Kulitnya kuning langsat sedangkan Mira Maira hitam manis. Langsung tidak sesuai dengan lelaki yang bernama Alif Hazriq itu.
Alif Hazriq menatap wajah isterinya yang sedang lena itu. Wajah yang menghilang beberapa hari, membuatkan dia jadi nanar. Tetapi dia masih tidak mengerti, andai dia sudah jatuh cinta, mengapa perasaan rindu itu tidak hebat mana. Hanya dia rasa kehilangan sahaja.
Dia mengusap lembut pipi Mira Maira. Gadis itu tidak sedikitpun terkesan dengan sentuhannya itu. Sampaikan akhirnya dia juga turut tertidur sama.

ALIF Hazriq rasa bahunya memberat. Matanya dibuka. Dia mengerling ke arah sisinya. Kepala Noni sudah terlentok di bahunya. Mira Maira pula sudah tidak ada di kerusi itu. Dia mencari-cari kelibat Mira Maira.
Perlahan dia menahan kepala Noni. Kemudian dia terus bangun, apa lagi Noni terjatuh atas kerusi itu. Alif Hazriq terus meninggalkan Noni yang sudah terjaga dari lenanya. Dia pula tercari-cari ke mana menghilangnya Alif Hazriq?
Ketika melewati surau, dia terserempak dengan Mira Maira. Gadis itu hanya terpaku sebaik sahaja melihat Alif Hazriq ada di situ.
“Kenapa tak kejutkan aku?” soal Alif Hazriq.
Mira Maira hanya membisu. Kepala ditundukkan.
“Mana babah dengan umi?”
“Mereka pergi makan. Awak kalau nak solat, pergilah. Masih ada waktu lagi. Saya pergi dulu…” Mira Maira baru ingin melangkah sudah ditahan oleh Alif Hazriq.
“Tunggu aku habis solat dulu, kita pergi sama-sama.” Pinta Alif Hazriq.
“Tapi…”
“Syy…” Alif Hazriq meletakkan jari telunjuknya di bibir Mira Maira.
Mira Maira terpaksa akur. Dia mencari tempat duduk. Saat itulah yang buatkan dia rasa geram. Dia tidak boleh kata ‘tidak’ pada lelaki itu. Mungkin juga atas rasa hormatkan lelaki itu sebagai suaminya. Kalau tidak…
Alif Hazriq keluar dari surau dengan senyuman. Sangat comel dan bisa menggegarkan hati Mira Maira. Segera dia melarikan pandangan matanya sebaik sahaja dia rasakan jantungnya bagaikan mahu luruh.
“Kenapa saat hati aku sakit dengan perangainya, perasaan ni makin dekat dengan dia? Apa yang harus aku lakukan?” bisiknya perlahan. Bila teringatkan apa yang berlaku sejak kebelakangan ini, dia dihimpit rasa sayu. Kenapa dia perlu hadapi semua ini?
“Dah, jom…” ajak Alif Hazriq.
Mira Maira mengikut langkah suaminya tanpa banyak bicara, tetapi apabila lencongan ke arah lain, Mira Maira berhenti melangkah.
“Kita nak ke mana? Saya nak tengok atuk saya,” katanya, memandang wajah Alif Hazriq dengan pandangan yang sayu.
“Ikut saja… lepas ni boleh tengok lagi.” Pujuk Alif Hazriq.
“Saya tak nak…” dia membantah.
“Cakap siapa yang perlu kau ikut. Cakap aku atau cakap siapa?” soal Alif Hazriq agak tegas. Wajahnya juga sedikit garang.
Inilah yang dibenci oleh Mira Maira. Garang tak bertempat. Asyik kena dengar cakap dia aje. Kalau tidak diikutkan, kata suami… berdosa tu… bebelnya dalam hati.
Dengan muka yang masam mencuka, dia terus berjalan ke hadapan. Kakinya siap dihentak-hentaknya lagi. Alif Hazriq tersenyum.
“Macam tulah budak baik…” usik Alif Hazriq.
Apabila sudah hampir ke kafe hospital itu, Alif Hazriq segera mencapai tangan isterinya. Mira Maira yang pada mulanya terkejut dengan tindakan itu terpaksa menurut sahaja. Tangannya masih digenggam oleh lelaki itu.
“Duduk sini…” arah Alif Hazriq. Mira Maira menjeling, menyampah! Alif Hazriq hanya tersenyum.
Alif Hazriq melangkah pergi. Mira Maira melayan perasaan. Kenapa lelaki itu melayannya seperti ini? Sedangkan sudah terang-terang dia akan mengahwini kekasih hatinya? Apa tujuannya? Untuk ambil hati? Oh tidak! Dia takkan terpedaya. Dia perlu lakukan sesuatu. Biarpun nampak salah tindakannya nanti, tetapi dia takkan sia-siakan hidupnya hanya kerana cintanya pada lelaki itu.
“Nah makan ni. Aku tau dari pagi tadi kau tak makan, kan?” Alif Hazriq membawa semangkuk bubur. Air panas dan juga beberapa keping sandwich.
“Saya tak lapar…” bila melihat makanan itu perutnya rasa sebu dan dia pun rasa mual. Mungkin perutnya sudah masuk angin.
“Jangan degil boleh tak? Kalau kau sakit nanti siapa yang susah?” Alif Hazriq mula mengeraskan suaranya.
“Awak ni… suka paksa-paksa…” Mira Maira mengambil sudu, dia menyuap sedikit bubur itu ke mulutnya. Mujurlah bubur, telan sahaja tanpa perlu dikunyah.
“Sedap ke tak?” soal Alif Hazriq.
Mira Maira menjongket bahu. Menyuap juga dalam keadaan terpaksa.
“Meh aku nak rasa…” Alif Hazriq telah membuka mulutnya, dengan berat hati Mira Maira menyuap bubur itu ke mulut lelaki yang duduk di sebelahnya.
“Hmm… boleh tahan juga. Makanlah banyak sikit. Habiskan bubur tu. Dahlah kau tu keding, kalau tak makan lagi keding aku tengok,” bebel Alif Hazriq.
Mira Maira menjeling geram. Dia menyuap bubur itu dengan lajunya sampaikan dia tersedak-sedak.
“Hesy… aku bukan suruh makan laju-laju. Kan dah tersedak… macam budak kecil,” Alif Hazriq menghulurkan minuman.
“Awak… kenapa awak baik semacam aje dengan saya hari ni?” soalan maut daripada Mira Maira membuatkan Alif Hazriq seakan tidak bernyawa. Mereka berpandangan tanpa ada jawapan.

“ALIF, bawalah Mira balik dulu. Doktor kata atuk dalam keadaan stabil. Nanti kalau ada apa-apa, makdek bagitau.” Alif Hazriq mengangguk.
“Tak nak, Mira nak tunggu sini,” Mira Maira membantah.
“Buat apa ramai-ramai tunggu sini. Pergilah balik dulu. Lagipun pak long dengan pak uda tu nak tidur rumah atuk. Mira baliklah dulu, ya?” pujuk makdek.
“Tapi…”
“Kalau dia tak nak balik tak apalah… jangan paksa-paksa. Alif… jomlah kita balik. Tinggalkan budak degil ni,” Noni sudah berdiri di sebelah Alif Hazriq.
Berkerut kening Mira Maira. Biar betul kakak sepupunya itu? Sudah rabun atau sudah hilang separuh akalnya? Tidak kira suami orang ke apa, main larung sahaja. Matanya tajam merenung ke arah Noni.
“Yang kau ni kenapa? Kau dah buta ke apa? Dia tu suami Mira bukan suami kau.” marah makdek, Noni mencebir. Dasar perempuan tidak tahu malu!
“Kita balik dulu…” bisik Alif Hazriq. Mira Maira mengeluh. Dia tidak punya pilihan, kena ikutlah cakap mereka.
“Kami balik dulu, makdek.” Mira Maira menyalam tangan makdek. Mereka meninggalkan hospital itu. Noni pula asyik mengekori Alif Hazriq sehingga membuatkan lelaki itu jadi rimas!


p/s :
Kepada rakan2 pembaca sekalian.... kalau sudi, tolonglah promote sekali cerita ni ya.... sayang korang... tanpa korang, siapalah saya....

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Yahooo....best. nak lg..nak lg....hilang rindu...tp syima jgn dera kami ye...cpt2 msk n3 bru. Best giler

baby mio berkata...

saya suka kalau maira jual mahal sikt kat alif tu jangan lemah sangat.

Tanpa Nama berkata...

Slm. Bru bli seru saja bintang itu...tp x baca lg. Jgn lupa bab bru ekk

Tanpa Nama berkata...

Dia tak tukar penampilan ke ?pape pun best :)

Tanpa Nama berkata...

Slm...bila lg n3 bru...geram dgn aliff...rindu tidak hebat...nnt mesti dia yg lebih2...kan..kan..kan syima