Pengikut

Selasa, 5 Februari 2013

JANGAN PANDANG SEBELAH MATA, BRO!




3
PANTAS dia berjalan meninggalkan Syazana. Geram kerana masih lagi memujuk untuk memaafkan Shahir.
“Kau ni terlebih makan lada ke? Asyik nak marah aje sejak daripada tadi. Rilekslah, dia cuma nak berbaik-baik dengan kau aje, tak lebih daripada itu.”
Syazana menarik tangan Mira Maira ketika gadis itu menaiki anak tangga. Mira Maira berhenti melangkah, wajah sahabatnya itu direnung dengan tajam.
“Aku rasa tak perlu aku berbaik-baik dengan dia. Dengan apa yang dia buat pada aku, dengan mulut bapak dia yang suka menyindir-nyindir aku, kau ingat semudah itu aku nak terima maaf dia?” jerkah Mira Maira. Syazana menggeleng.
“Mira… setahu aku antara kau dengan aku, yang lebih berpengetahuan agama adalah diri kau. Aku akui, aku jahil. Banyak benda yang aku tak tahu, tapi kalau bab tegur menegur dan bermusuh-musuhan ni, aku tetap tahu hukum hakamnya.” Omel Syazana membuatkan Mira Maira tersentap. Dia melarikan anak matanya daripada terus menentang mata Syazana.
“Aku tak sanggup jadi mangsa lagi, Ana. Cukup-cukuplah telinga aku ni asyik menerima kata-kata kesat. Aku tak mampu nak berdiam diri kalau orang asyik mengata keburukan arwah ayah aku. Aku tahu dulu arwah macam mana tapi seburuk-buruk arwah, dia tetap darah daging aku. Kalau kau berada di tempat aku, kau pun mungkin akan lakukan perkara yang sama,” hampir sahaja menitis air matanya. Bila kenangkan apa yang dilaluinya selama ini, andai ada pilihan lain dia tidak mahu melaluinya lagi.
“Aku faham, Mira. Tapi cubalah kau memaafkan semua orang, berlapang dada. Kita dah nak hadapi peperiksaan. Aku takut ia menjadi halangan kepada kau sekiranya kau tak memaafkan orang keliling kau.” Pujuk Syazana.
“Entahlah, Ana. Aku…”
“Saya janji, saya akan lindungi awak. Saya akui, ayah saya mulut lancang. Bercakap tak pernah fikir perasaan orang. Mungkin kerana itu juga, saya terikut-ikut cara dia. Maafkan saya, Mira. Saya janji dengan nama Allah, saya takkan benarkan orang menyakiti hati awak lagi. Asalkan saya dapat kemaafan daripada awak, saya akan lakukan apa sahaja bagi melindugi awak. Percayalah kepada saya,” suara lelaki yang semakin mendekati mereka membuatkan Mira Maira dan Syazana tersentak. Kedua-duanya serentak mengalihkan pandangan matanya kepada sesusuk tubuh yang berdiri berhampiran dengan mereka.
Kelu lidah Mira Maira. Hilang sudah perasaan bencinya kepada lelaki itu. Sebenarnya sudah lama dia memaafkan Shahir. Sejak dia isytiharkan perang dingin lagi, dia cuba buat biasa. Walaupun adakalanya luka di hatinya sering berdarah dek perbuatan pelajar lelaki itu.
“Mira… maafkan saya. Saya tahu saya bersalah. Ampunilah saya.” Perlahan Shahir ucapkan kata maafnya itu.
Mira Maira hanya mendiamkan dirinya, kemdian dia terus meninggalkan mereka berdua. Shahir hanya mengeluh, Syazana pula angkat bahu.
“Kau sabar ajelah ya. Aku tahu, dia dah maafkan kau. Kalau tak, mesti dia jeling kau sampai macam nak terjuling biji mata dia, kan? Kau anggap aje dia dah maafkan kau, ya. Aku jalan dulu.”
Shahir mengangguk.
“Aku berharap sangat, Ana.”
“Jangan bimbanglah… aku kenal kawan baik aku tu…” balas Syazana.
“Oh ya, lagi satu… aku nak ingatkan kau, kalau kau nak berbaik-baik dengan dia, kau janganlah feeling lebih-lebih sangat. Dia tu paling tak suka orang terlebih feeling pada dia. Kau buangkanlah dulu perasaan tu, itupun kalau kau nak berbaik dengan dialah…” semat juga Syazana berpesan kepada Shahir.
Lelaki itu hanya mampu mengangguk lesu. Pasrah dengan kehendak gadis itu.

SEMINGGU berlalu, pulang daripada sekolah, mereka terus ke bandar. Kali ini Shahir telah berjanji hendak belanja kedua-dua gadis itu sebaik sahaja mereka habiskan masa di perpustakaan sekolah. Almaklum, dia sudah mula berbaik-baik dengan Mira Maira. Hatinya rasa lega sebaik sahaja Mira Maira menyatakan persetujuannya.
Sebelum sampai ke KFC, Syazana sempat singgah di gerai yang menjual majalah-majalah dan suratkhabar. Dia mencapai majalah remaja dan mingguan wanita. Kebetulan pula ibunya mengirim belikan majalah tersebut.
“Banyaknya kau beli majalah,” tegur Mira Maira.
“Alah yang ni untuk mak aku, dia kirim tadi. Takkan aku nak baca majalah wanita ni, almaklum aku belum masuk kategori wanita lagi. Masih gadis…” seloroh Syazana.
Mira Maira tergelak.
“Apa yang menarik dalam tu, pinjam sekejap,” Mira Maira mengambil majalah mingguan wanita daripada tangan Syazana.
Panjang sahaja langkah mereka menuju ke restoran KFC yang terletak di seberang jalan.
Setelah memesan makanan kepada Shahir, mereka mencari tempat duduk. Sambil menanti ketibaan makanan mereka, sempat mereka membaca majalah yang dibeli oleh Syazana tadi.
“Eh kejap, Mira,” Syazana menahan satu muka surat yang memampang iklan kosmetik. Dia membelek iklan tersebut.
“Kau cari apa?” tegur Mira Maira.
“Cantikkan model ni. Kau tengok lelaki kacak kat belakang perempuan ni, mereka macam sepadan aje,” Syazana menunjukkan dua orang model produk kosmetik tersebut. Mira Maira memanjangkan lehernya, melihat ke arah yang ditunjukkan oleh Syazana.
Berderau darahnya sebaik sahaja dia melihat wajah lelaki itu. Makin bertambah berderau-deraunya, tangan si lelaki hinggap manis di bahu gadis dalam majalah itu. Wajahnya berubah menjadi pucat. Secara spontan juga dia tercampak majalah itu ke arah Syazana. Syazana terkejut.
“Eh kau ni, tengok pun tak kena bayar, nak buang-buang pulak. Apa kes?” soal Syazana.
Mira Maira tahu kesilapan dirinya, hanya tersengih sahaja. Sungguh! Dia terkejut sebenarnya, wajah yang sama, wajah yang serupa yang berada dalam kad kahwin miliknya. Dialah lelaki itu…
Dia mencapai semula majalah itu, dibeleknya nama si lelaki. Memang benar, namanya sama. Alif Hazriq, CEO syarikat kosmetik tersebut. Mahu kering darahnya kala itu. Ditoreh darah mungkin tidak ada, tetapi parutnya mesti berbekas.
Ya Allah… kenapa saat ini wajah lelaki itu sahaja yang menerpa dalam kepalanya? Mengapa saat dia mahu menghadapi peperiksaan besar begini fikirannya asyik teringatkan lelaki itu? Ah… boleh jadi stress dibuatnya. Anak matanya jatuh pula ke wajah model yang cantik dan anggun, sedikit berdetik di hatinya dia rasa kerdil berbanding dengan gadis itu. Memang jauh panggang daripada api. Patutpun suaminya tidak hiraukannya. Perempuan dalam majalah itu jauh lebih menawan berbading dirinya.
Mira Maira mengeluh. Hesy… mengapa pula dia mesti memikirkan pasangan itu?
“Aku kalau dah kerja, nak cubalah produk ni. Ramai yang kata okey. Jerawat batu macam aku ni boleh hilang katanya. Hesy... tak sabar aku nak habiskan periksa, lepas tu boleh kerja. Boleh kumpul duit beli semua kosmetik-kosmetik ni,” Syazana mula menceritakan angan-angannya. Berkerut dahi Mira Maira.
“Kau ni… cepat sangat terpengaruhlah. Kau percaya ke? Memanglah nampak model dalam iklan ni cantik berseri aje, tapi belum tentu dia guna produk ni. Manalah tau dia pergi cucuk-cucuk muka dia. Inilah perempuan… cepat sangat menilai sesuatu,” Shahir bersuara pula. Dia menggeleng beberapa kali.
“Haahlah. Kau jangan mudah sangat tertipu. Mungkin betul produk ni bagus pada orang lain, tapi belum tentu sesuai untuk kau. Aku ada terbaca, kulit muka bermasalah macam kau ni perlu jumpa doktor aje. Nanti dia akan sarankan kau guna atau makan apa. Itu lebih baiklah daripada kau cuba itu dan ini,” celah Mira Maira pula. Dia bersetuju dengan pandangan Shahir itu.
“Kau orang berdua ini cepat sangat berfikiran negatif tau. Kita belum cuba, mana nak tahu serasi ke tak. Bagilah orang cuba dulu, lepas tu barulah ambil keputusan setelah kita menilai kelebihan dan kekurangannya.” Jawab Syazana pula.
“Memang betul kata kau tu. Tapi kalau aku jadi kau, aku cari vitamin C aje, balun pil tu sampai rasa puas hati, lepas tu baru fikir nak guna mana-mana produk. Benda ni semua daripada dalaman.” Nasihat Mira Maira.
“Yalah… tapikan, Mira. Muka kau tak ada masalahkan walaupun kau berkulit…”
“Jangan nak kutuk warna kulit aku ya…” pantas Mira Maira memintas. Malu dia bila dikata di hadapan lelaki itu.
“Aku belum habis cakap lagi, cuba dengar dulu. Kau berkulit manis macam ni. Cepat sangat melatah. Walaupun kau tak cerah, kau tetap cantik, kan Shahir?” Syazana menyingul lelaki yang duduk di sebelahnya itu. Tersedak-sedak Shahir kerana ketika itu dia sedang menyedup minuman.
“Betul… betul… betul…” Shahir mengajuk cakap Upin dan Ipin.
“Banyaklah kau punya betul, dah cepat habiskan ayam-ayam ni. Nanti bising pulak mak aku,” Syazana mencubit satu persatu daging ayam yang ada di hadapannya.
“Cuma…”
“Aik? Tak habis lagi ke?” tegur Mira Maira. Syazana tersengih lebar.
“Memang tak habis lagi, cuma kulit muka kau tu nampak kusam. Macam orang sakit ya juga, senang cakap tak berserilah.” Bulat mata Mira Maira mendengarnya.
“Gurau kasar nampak?” soal Mira Maira. Shahir hanya mampu tersengih.
“Orang cakap betul-betul dia kata bergurau pulak.”
“Dah makan cepat!” marah Mira Maira.
Ketika orang lain sedang enak menikmati makanan mereka, fikiran Mira Maira kini tertumpu kepada lelaki yang penuh bergaya dalam majalah itu. Gilakah dia?

“INGAT pesan babah semalam, jangan sesekali cabar babah.” Dato’ Mustaffa Harun mengingatkan anak sulungnya itu.
“Ba… pagi-pagi lagi dah…”
“Babah dah bagitau, babah tak mahu dengar sebarang bantahanpun.”
Amaran daripada Dato’ Mustaffa Harun membuatkan Alif Hazriq hampir sahaja tercekik,  hai kenapalah saat dia hendak mencekik, ketika itu juga dia tercekik dengan persoalan babahnya itu. Baru sahaja dinihari tadi dia mahu mengusir ‘isterinya’ itu daripada hidupnya. Sudahnya, dia pula yang terperangkap.
Dato’ Farah tersenyum. Dia berjaya menghasut suaminya. Baru padan dengan muka anak sulungnya itu. Bila dia berleter, tidak dihiraukan. Konon sudah besar panjang, tidak mahu hidup dikongkong.
“Sikit sangat makan, Alif?” tegur Dato’ Farah. Dia tahu puncanya, tapi sengaja dia mahu menegur. Mahu melihat perangai kebudak-budakan anaknya itu.
Dengan matanya, Alif Hazriq memberi isyarat ke arah babahnya. Lagipun seleranya sudah mati.
“Habiskan makan tu, Alif. Orang miskin tu, tak ada sebutir nasipun yang tinggal dalam pinggan mereka. Kerana apa mereka lakukan begitu? Hanya satu sebab, dia amat menghargai rezeki yang dia dapat. Sikit ke, banyak ke, mereka tetap bersyukur. Macam itu juga orang berkahwin, hitam ke, putih ke. Seksi ke tidak ke, dah Allah kurniakan jodoh tu pada seseorang, patutnya dihargai, ini tidak…” leter Dato’ Mustaffa Harun lagi.
Selama ini dia jarang berleter, dia lebih suka mendiamkan diri sahaja. Namun dalam soal menantunya itu, dia akan pertahankan. Biar penat macam mana sekalipun dia membebel, dia akan pertahankan hak menantunya yang satu itu. Sepertimana janjinya kepada arwah rakan baiknya suatu ketika dahulu, dia akan jadikan anak gadis rakannya itu menjadi permaisuri kepada anaknya.
Terkulat-kulat Alif Hazriq menghabiskan sarapan paginya. Apa ke malang nasibnya pagi-pagi, asyik kena leter saja. Babahnya pula tidak habis-habis lagi berleter, hesy kalau dia ada magik mahu sahaja dia menukar jantina babahnya itu. Jadikan babahnya seorang wanita? Huh! Lagi haru, uminya pun kuat berleter juga.
“Babah nak Alif bawa Mira ke sini sebaik saja dia habis periksa. Jangan dibiarkan dia kat sana. Jangan seksa perasaan dia. Ada suami, macam tak ada. Telefon tak mahu, jengah dia apatah lagi. Jangan buat malu babah, Alif. Babah tak ajar anak-anak babah jadi orang sombong.”
Lombong di dasar telinga Alif Hazriq sudah mula mendidih. Haba-haba mula mengeluarkan wap. Sebentar lagi segala biji besi dalam dasar telinganya itu bakal cair. Ya Allah babah… cukup-cukuplah tu, babah tak penat ke? Soal hatinya. Mahu sahaja dia rebahkan kepalanya di atas meja makan itu. Mahu tunjuk protesnya.
“Babah…”
“Babah kata jangan bantah! Babah tak peduli, yang babah tau, Mira mesti ada kat Kuala Lumpur ini sebaik saja dia habis periksa, titik!” putih kata Dato’ Mustaffa Harun.
Putih juga mata Alif Hazriq kerana dia tiada lagi pilihan lain. Tiada talian hayat. Tidak ada yang mahu membelanya.
“Betul cakap babah tu, Alif. Umi teringin juga bermanja-manja dengan menantu umi. Sudahlah dalam rumah ini umi seorang saja perempuan. Kadang hendak juga bersembang-sembang dengan menantu, cerita hal-hal perempuan.” Sampuk uminya pula.
Alif Hazriq rasakan rahangnya mahu terjatuh ke muka meja. Mahu tanggal seluruh skru-skru otaknya. Ya Allah, umi pula datang seperti wonder women. Pembela nasib wanita-wanita. Dia mengaru kepalanya, cuba mencari akal. Sebolehnya dia mahu berpisah dengan isterinya itu. Perempuan itu bukan citarasanya. Sedikitpun tidak ada.
“Babahpun sama. Nak juga rasa kasih sayang anak perempuan. Macam mana rasanya ya? Mesti babah rasa disayangi sangat-sangat.” Dato’ Mustaffa Harun menjeling isterinya. Perang minda mula tercetus. Siaplah kau Alif Hazriq. Dua belasah satu.
“Babah… umi… saya rasa tak bersedia lagi hidup sebagai seorang suami. Babah dan umi kena faham, saya banyak kerja. Produk-produk kita semakin mendapat sambutan. Saya rasa tak ada masa nak layan pasal budak tu…” Alif Hazriq mula bersuara. Dia mula mendapat idea. Memang benar kerja-kerjanya semakin bertambah apabila produk-produk keluaran syarikatnya mendapat sambutan luar biasa.
Dato’ Farah dan Dato’ Mustaffa Harun berpandangan, Dato’ Farah memuncungkan bibirnya. Dato’ Mustaffa Harun pula mengenyitkan matanya kepada isterinya itu.
“Hai… kamu ke yang buat produk-produk tu sendiri? Bukan ke syarikat umi kamu tu dah ramai pekerja, kamu cuma arahkan saja mereka. Babah pelik juga, dulu umi kamu pegang jawatan yang sama tak pula umi sesibuk kamu. Ada masa di rumah. Siap masak lagi untuk keluarga kita. Selama ini kita mana ada pembantu rumah, inilah dia permaisuri yang banyak menguruskan hal kita sekeluarga.”  Sekali lagi Dato’ Mustaffa Harun mengenyitkan mata kepada isterinya. Dato’ Farah tersenyum manja.
“Umi tak kira, berapa banyak alasanpun yang Alif bagi, umi nak menantu umi ada kat Kuala Lumpur ni dalam masa terdekat.” Tegas Dato’ Farah bersuara. Alif Hazriq tercekik.
“Umi… kalau umi nak jumpa menantu umi tu, pergi saja ke rumah dia. KL dengan Klang tak jauh manapun umi…” Alif Hazriq mula rimas.
Tanpa diduga, sudu yang ada di hadapan Dato’ Farah melayang ke arah Alif Hazriq, dia tidak sempat mengelak, toing! Terus sahaja tepat pada dahinya. Dato’ Farah tersenyum bangga, rupanya dia masih punya skill dalam membaling dart.
Dato’ Mustaffa Harun pula hanya terkebil-kebil, tidak menyangka isterinya akan bertindak sedemikian rupa. Waduh! Ganas juga isterinya itu. Tidak padan sudah kertu… dia tergelak dalam hati bila melihat pula anak sulungnya itu mengosok dahi yang sudah bertukar warna. Padan dengan muka budak banyak mulut itu.
“Umi… pasal budak keding tu sanggup umi baling saya dengan sudu? Tengok dahi saya dah benjol, jatuhlah saham macam ni. Umi ni teruklah…” dahinya digosok laju.
“Apa? Keding kamu panggil dia?”
Alif Hazriq tersengih, siap sedia hendak lari daripada situ. Dia tahu, dia akan jadi mangsa balingan kedua uminya.
“Dia isteri kamu, Alif!!!” jerit Dato’ Farah.

Tiada ulasan: