Pengikut

Rabu, 24 April 2013

JANGAN PANDANG SEBELAH MATA, BRO!





20
HARI-HARI yang dilalui tiada perubahan apa-apa. Hidupnya seperti itu juga, pergi kerja, balik kerja. Melayan perasaan rindu yang kian meggunung. Sepi yang kian menghimpit perasaan. Rasa cinta yang cuba dilawan, namun tidak bisa pergi dari hatinya. Mira Maira mula pasrah. Berserah apa sahaja takdir yang bakal menentukan segalanya.
Dyna pula semakin kerap datang ke pejabat Farra Kosmetik. Mira Maira tidak faham dengan pendirian Alif Hazriq, di mulut kata tak suka, tapi melayan juga perempuan itu bagaikan sepasang kekasih yang sukar dipisahkan. Apa dayanya, hanya mampu memendam rasa sahaja. Dayuskah dia?
Hari itu memang betul-betul Monday Blues. Masing-masing tidak ceria termasuklah Mira Maira. Rasa boring pula menghadap benda yang sama. Sesekali mahu juga dia mengikut Vanessa untuk membuat promosi produk, namun Alif Hazriq tidak benarkan.
“Hai… kerja… kerja… kerja. Sangatlah boring.” Bebel Mira Maira. Apapun dia perlu siapkan kerja itu juga. Alif Hazriq tidak suka kerja-kerja tertangguh.
Telefon di meja berbunyi, panjang sahaja tangannya mengangkat ganggang telefon tersebut. Daripada nada deringan itu, panggilan adalah dari kalangan pekerja Farra Kosmetik juga.
“Hello…” Mira Menjawab panggil itu.
“Hello, Mira.”
“Ya, Aiman. Ada apa ya?”
“Sebenarnya saya nak ajak awak makan tengah hari nanti. Sudi tak?” perlahan sahaja suara Aiman, mungkin dia tidak mahu orang lain dengar.
“Hmm… saya sorang aje ke? Kalau saya sorang, seganlah. Kalau ada orang lain, boleh kot.” Jawab Mira Maira.
“Tak boleh ke kalau kita berdua?”
“Maaflah, Aiman. Saya tak nak nanti timbul pulak gosip-gosip yang kurang enak.” Tegas Mira Maira.
“Oh… yalah… saya ajak Suria dan Kak Eton sekali. Nanti awak join ya?”
Mira Maira tersenyum.
“Okey kalau ada diorang, saya bolehlah join. Okeylah jumpa nanti.” Mira Maira meletak ganggang telefon itu.

MENJELANG tengah hari, muncul Dyna. Kali ini dia tidak keseorangan. Dia datang bersama-sama dengan Zul Fadzly. Agak lama juga Mira Maira tidak nampak lelaki itu. Entah ke mana dia menghilang, alih-alih timbul sahaja. Bila tengok gaya lelaki itu, nampak begitu segak dan bergaya. Memang kena dengan pekerjaannya sebagai pemilik agensi permodelan dan juga studio sendiri.
“Hai, sayang. Sihat hari ni?”
Zul Fadzly menarik kerusi lalu duduk di hadapan Mira Maira. Dyna pula tanpa menegur Mira Maira dia terus masuk ke dalam bilik pejabat Alif Hazriq. Mira Maira hanya mampu memandang.
“Lama tak nampak awak, sibuk ke?” Mira Maira cuba meredakan perasaan geramnya. Kalau ikutkan hati mahu dia menjerit pada telinga Dyna dan ingin sekali dia nyatakan bahawa orang yang ada dalam bilik itu adalah suaminya!
“Rindu ke?” sakat Zul Fadzly.
Mira Maira hanya tersenyum.
“I sibuklah. Sekarang dah free sikit, bolehlah I datang ke sini selalu…” katanya lagi.
“Buat apa nak datang sini selalu?” sengaja Mira Maira mahu melayan.
“Sebab I nak tengok muka you. Manis sangat. Sekarang lagi bertambah-tambah manis bila tersenyum macam tu.” Mira Maira menjongket bahunya. Buat memek muka seakan tidak percaya.
Alif Hazriq yang berada dalam bilik pejabatnya mahu terbakar satu badan apabila melihat adegan yang berlangsung di luar sana. Antara Zul Fadzly dengan isterinya. Dyna yang ada dalam bilik itu tidak sedikitpun mampu mengubah pandangan matanya.
“Sayang… you ni kenapa? I penat-penat datang sini, tapi you buat tak nampak ya? Macam I tak wujud.” Rengek Dyna. Dia cuba mendekati Alif Hazriq. Namun lelaki itu terlebih dahulu bingkas bangun, Dyna cuba memaut lengan lelaki itu tetapi tidak berjaya. Langkah lelaki itu lebih laju daripadanya.
“Eh you nak kemana tu?” soal Dyna. Alif Hazriq telah membuka pintu.
Zul Fadzly dan Mira Maira serentak memandang ke arah pintu yang baru dibuka. Renungan tajam dihadiahkan buat Mira Maira. Manakala Zul Fadzly bingkas, terus mendapatkan Alif Hazriq.
“Hei, bro!” kedua-duanya berjabat tangan.
“Kau ni, datang-datang sini terus melepak kat situ. Kau nak jumpa dia ke, nak jumpa aku?” sindir Alif Hazriq. Zul Fadzly hanya tertawa.
“Rilekslah… kata orang menyelam sambil minum air. Sambil-sambil jugalah aku jumpa dia.” Balas Zul Fadzly sambil diiringi ketawa.
“Dah jom kita pergi makan.” Alif Hazriq berjalan dahulu, diikuti Dyna dan Zul Fadzly.
Mira Maira juga telah mengambil beg tangannya, dia sudah berjanji dengan Aiman.
“Awak pun nak pergi makan juga ke, Mira?” soal Zul Fadzly ramah ketika mereka menunggu lift.
Mira Maira mengangguk.
“Pergi dengan buah hati ke?” soalnya lagi.
“Err…” kebetulan itu juga lif terbuka. Mereka yang ada di situ melangkah masuk ke dalam perut lif seorang demi seorang.
Muka Alif Hazriq sudah merah. Mahu sahaja dia menyekeh kepala Zul Fadzly. Terasa sakit pula hatinya bila melihat senyuman di bibir nipis itu.
“Kalau tak pergi makan dengan buah hati, you boleh join kamilah.” Zul Fadzly tidak berputus asa. Mira Maira menggeleng.
“Saya dah janji dengan mereka. Lain kali aje ya…” tolak Mira Maira.
Alif Hazriq memandang dengan ekor matanya. Ingin juga dia tahu, dengan siapa isterinya itu mahu keluar. Jarang Mira Maira mahu keluar makan. Paling tidak dia akan melepak di pantry.
Apabila terbuka sahaja pintu lif, wajah Aiman sudah sedia menanti di situ. Begitu juga dengan Eton dan Suria. Mira Maira tersenyum kepada mereka sambil melambai tangan
“Mira…” langkah Mira Maira terhenti. Lambaiannya juga turut jatuh ke bawah. Mira Maira menoleh.
“Ya, Encik Alif?” soal Mira Maira.
“Awak ikut saya.” Tercenggang Mira Maira dengan permintaan itu.
“Tapi saya…”
“Eton… boleh saya pinjam PA saya ni ya? Lain kali awak boleh lunch dengan dia,” kata Alif Hazriq kepada mereka bertiga. Berkerut kening Mira Maira.
Dengan langkah terpaksa, Mira Maira mengikut Alif Hazriq dari arah belakang. Turut berada di sisinya adalah Zul Fadzly yang tidak habis-habis tersengih.

MEREKA pergi ke restoran berputar di Menara Kuala Lumpur. Mira Maira cukup tak senang hati dengan tempat itu. Apa tidaknya, mereka bertiga itu punya kelas tersendiri. Sedangkan dirinya, hanya sekadar orang kampung. Tidak jiwa betul. Kalau bercakappun mereka bercakap yang ‘good-good’ aje.
Mira Maira mula rasa rimas. Kasihan rakan-rakannya tadi. Nampak ketara perubahan pada wajah Aiman. Apalah yang mereka kata nanti, sanggup mungkir janji semata-mata hendak memenuhi kehendak bos yang suka buat keputusan sendiri.
“Hei! Awak teringatkan siapa ni? Diam aje sejak tadi.” Tegur Zul Fadzly, Mira Maira yang sedang melayan perasaan tersentak.
“Hah?”
“I buat you terkejut ke?” Zul Fadzly mengangkat kening.
Mira Maira menggeleng. Dipandangnya Alif Hazriq, lelaki itu buat tidak tahu. Asyik benar berbual dengan Dyna. Entah apa yang dibualkan. Perlahan dan nampak macam berbisik-bisik sahaja. Kalau ikutkan hati, ada yang makan kasut tumitnya. Namun dia cuba mengawal perasaan. Selagi boleh sabar, sabar ajelah…
“Boleh I tanya you satu soalan?” Kali ini Mira Maira pula yang mengangkat kening.
“Yang staf lelaki tadi tu… you punya buah hati ke?” tanpa segan sila Zul Fadzly bertanya. Alif Hazriq memasang telinga. Lebar sahaja cuping telinnganya. Mahu mendengar jawapan isterinya itu.
Mira Maira ketawa. Tidak sangka lelaki itu boleh bertanya soalan itu. Ingatkan apalah tadi. Tengok riak muka lelaki itu bukan main suspen lagi.
“Mana ada… siapa nakkan saya ni… dahlah tak rupawan…” sengaja Mira Maira kuatkan sedikit suaranya. Alif Hazriq memandang ke arahnya. Cuma sekadar memandang tanpa perasaan. Hmm… jangan haraplah Mira Maira…
“Eh you ni terlalu merendah diri sangatlah… bagi I you tetap ada keistimewaan tersendiri. Pandangan orang tak sama, Mira.” jelas Zul Fadzly.
“Sayang… bila you nak buat pengumuman tentang hari perkahwinan kita?” tiba-tiba sahaja kedengaran suara manja Dyna kali ini agak kuat sedikit. Mampu menarik perhatian Mira Maira dan Zul Fadzly juga.
“Oh ya ke? Ini satu berita yang menarik… takkan senyap-senyap aje kawan…” Zul Fadzly menepuk-nepuk bahu Alif Hazriq.
Mira Maira mencapai minumannya. Dia menyedut air dengan rakusnya. Cuba meredakan perasaan yang sudah tidak pasti dia rasa apa. Mahu mengamuk ya juga. Tapi beranikah dia hendak mengamuk? Belum pernah seumur hidupnya mengamuk di khalayak ramai.
Dyna ketawa manja.
“You tau aje kawan you tu malu-malu konon. Okeylah kalau bakal hubby I ni tak nak beritahu, biar I aje yang umumkan. Untuk pengetahuan you berdua, kami akan bernikah tak lama lagi. Mungkin dalam masa terdekat…”
“Uhuk! Uhuk! Uhuk!” belumpun Dyna menghabiskan kata-katanya, Mira Maira telah tersedak. Habis skrit Dyna bila air dalam mulut Mira Maira tersembur keluar.
Pantas Zul Fadzly menghulurkan sehelai tisu pada Mira Maira.
“Hei! You ni kenapa hah? Perempuan kampung!” herdik Dyna, dia bingkas bangun lalu menyapu kain skritnya yang terkena air minuman Mira Maira tadi.
“Maafkan saya, saya tak sengaja. Maaf ya Cik Dyna.” Mira Maira mengesat air matanya yang keluar dek kerana tersedak.
“Kau ni memang sengaja, kan? Sebenarnya kau tu nak sabotaj aku sebab kau suka pada Alif, kan?” Alif Hazriq menarik tangan Dyna, dia cuba mengawal keadaan.
“Dyna, you ni tak malu ke?” tegur Alif Hazriq.
“Ah… peduli apa I, hari ni I nak buka pekong dia ni. Untuk pengetahuan you, dia ni memang ada hati dengan you. Perempuan tak sedar diri. Hei! I beritahu you ya, jangan mimpi di siang hari. Alif takkan terpikat dengan orang macam you ni,” lantang Dyna bersuara. Dia langsung tidak peduli dengan pandangan orang lain.
Mira Maira sempat menjeling ke kiri dan kanannya. Ada di antara pelanggan sudah berbisik-bisik. Tanpa berlengah lagi, dia terus meninggalkan tempat itu.
“Mira… Mira..” panggil Zul Fadzly.
Hendak harapkan Alif Hazriq menahannya? Jangan mimpilah. Dia lebih suka mengunci mulutnya dan membiarkan oleh lain memaki hamun isterinya sendiri. Lelaki jenis apakah dia itu? Bentak hati Mira Maira.
Zul Fadzly berlari mendapatkan Mira Maira. Waktu itu Mira Maira tidak mampu hendak memandang wajah lelaki itu. Dia malu!
“I hantar you, ya?” pujuk Zul Fadzly. Mira Maira tidak menjawab. Lebih senang dia mendiamkan diri sahaja.

“BETUL ke, you dengan Alif ada apa-apa?” soalan Zul Fadzly itu membuatkan Mira Maira tertelan air liur sendiri.
Mira Maira masih diam.
“Kalau tak betul, kenapa you tak bela diri tadi? You sanggup biarkan dia mencerca you macam tu sekali…” geram pula Zul Fadzly dengan perangai bongkak Dyna itu, kalau ikutkan hatinya tadi mahu sahaja dia menampar wajah perempuan itu.
“Buat apa saya menjatuhkan maruah saya sendiri dengan membalas kata-kata nista dia? Saya tak nak maruah saya nampak begitu rendah hanya kerana melayan kemarahan orang. Bagi saya, biarpun saya masih muda tapi saya tak mahu ikut nafsu,” jawab Mira Maira.
Kali ini hatinya yang berkocak itu mula rasa tenang. Tidak putus-putus dia beristigfar dalam hati. Berdoa bersungguh-sungguh mahukan api kemarahan yang baru sahaja mahu datang dapat dipadam.
Daripada Abu Hurairah r.a. Nabi Muhammad s.a.w bersabda : “Bukanlah orang gagah itu, orang yang kuat bertinju. Akan tetapi orang yang gagah adalah orang yang dapat mengawal diri ketika marah.”(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
 “Itu yang tak ada pada perempuan lain yang I pernah kenal. You nampak tenang dan bersabar. Biarpun situasi itu dah menjatuhkan maruah you sendiri. I respek pada you. Kalau I berada di tempat you, perempuan tu memang dah kena pelempang I sekali.” Zul Fadzly ketawa.
Mira Maira hanya tersenyum sedikit. Hatinya tercalar, hatinya sakit, fikirannya pula jadi buntu.
Deringan telefon bimbit Mira Maira berlagu-lagu tidak berhenti, namun tidak dihiraukan oleh gadis itu, dia tahu itu panggilan daripada siapa. Apa mahunya lagi? Mahu memujuk? Jangan mimpi di siang harilah, Mira… mahu memastikan dia selamat? Untuk apa? Perlukah dia ambil berat setelah apa yang berlaku?
“Kenapa tak jawab panggilan tu?” soal Zul Fadzly. Mira Maira tetap membisu.
Setelah panggilan demi panggilan tidak dijawab oleh Mira Maira, kali ini deringan telefon milik Zul Fadzly pula yang berlagu.
“Hello, bro! hmm… jangan risau dengan aku ni. Ya… aku tau… okey…”
Zul Fadzly menoleh ke arah Mira Maira seketika, gadis itu tetap begitu. Hanya melayan perasaannya sendiri.
“Encik Zul, awak free kan hari ini?” tiba-tiba Mira Maira bersuara.
“Hmm… ya…” jawabnya.
“Tolong hantar saya ke KL Sentral.” Pinta Mira Maira.
“Eh you nak pergi mana? Bos you suruh hantar ke pejabat, kalau you tak nak I kena hantar you balik.” Jelas Zul Fadzly.
Mira Maira menggeleng.
“Tolong hantar saya ke KL Sentral. Itu saja yang saya minta. Tolong saya, Encik Zul.”
“Okey.. okey. I ikut cakap you.” Zul Fadzly menekan padel minyak, merentasi jalan yang kurang sesak itu sehinggalah ke KL Sentral.
“Terima kasih. Kalau bos saya tanya, cakap saja yang Encik Zul dah hantar saya ke rumah.” Sebelum turun Mira Maira berpesan pada Zul Fadzly.
“Eh tak baik berbohong…”
“Terpulanglah, terima kasih sekali lagi…”
Perlahan dia menutup pintu kereta milik Zul Fadzly. Tanpa menoleh ke arah lelaki itu, dia memanjangkan langkahnya. Zul Fadzly hanya melihat langkah Mira Maira. Kasihan dia melihat gadis itu. Tidak patut Dyna malukan gadis itu tadi.
Dia meneruskan perjalanannya. Dia teringatkan pada Dyna. Kenapa Dyna boleh menuduh Mira Maira ada perasaan pada Alif Hazriq pula? Sedangkan dia lihat gadis itu biasa-biasa sahaja, tidak pula nampak dia sedang jatuh cinta. Memandang Alif Hazriq hanya seketika.
Telefon bimbitnya berbunyi lagi.
“Ya Alif…”
“Kau dekat mana ni? Mana Mira?” soal Alif Hazriq resah.
“Tadikan ke kau suruh aku hantar dia kat rumah kalau dia tak nak balik pejabat lagi. Jadi… aku hantarlah dia, kenapa?” jawab Zul Fadzly acuh tak acuh.
“Tak… tak… aku cuma… err…”
“Aikk? Sejak bila kawan aku gagap ni?” Zul Fadzly tertawa kecil.
“Aku cuma risaukan dia. Kalau kau dah hantar ke rumah, okeylah tu. Aku harap dia tak emosi sangat. hmm…” dalam hati punyalah risau.
Sejak daripada tadi, Alif Hazriq tidak senang duduk. Telefon bimbit Mira Maira tidak berjawab. Dia tahu isterinya marah. Dia sendiri tidak menyangka akan berlaku seperti itu. Dia marah pada dirinya kerana tidak dapat membela isterinya sendiri.
“Dyna macam mana pulak?” soal Zul Fadzly mematikan lamunan Alif Hazriq.
“Ah dia… pandai-pandailah dia pujuk diri dia sendiri. Bosan betul aku nak melayan perempuan macam tu.” Jawab Alif Hazriq, mengundang tawa Zul Fadzly.
“Hai… belum kahwin tak dapat nak kawal, macam mana dah kahwin nanti, bro? Kau serius ke nak kahwin dengan dia? Umi kau benarkan?” Zul Fadzly tidak percaya kerana setahunya Dato’ Farahlah penentang hebat hubungan mereka.
“Okeylah. Thanks, Zul.” Alif Hazriq tidak menjawab soalan rakannya itu. Talian terus diputuskan. Zul Fadzly hanya mengangkat bahu. Tunggu dan lihat apa seterusnya yang akan berlaku…

8 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tak sabar nak baca sambungan nya lagi!!! CEpat ya Kak Syima!!!

syimasyawal berkata...

terima kasih baca.... sabar ya dik....

baby mio berkata...

Best sangat kak t.kasih ya untuk n3 ni.

cyah berkata...

Wah dah touching ni... Geram plak ngan alif ni

Za berkata...

Cian Mira. Ish geram betul ngan Alif!!! Macam nak ketuk kepala dia. hehehe

syimasyawal berkata...

terima kasih adik2 semua.... sama2 doakan ia terbit ya... harap2 dalam masa terdekat ini....

Adah Hamidah berkata...

Sentiasa best n penuh debran..

Tanpa Nama berkata...

spirpoinkaaaakkk ... bagi la 21 ... hehehehe .... tension la dgn si alif ni ...