Pengikut

Khamis, 7 Mac 2013

JANGAN PANDANG SEBELAH MATA, BRO!




13
MEMANG sudah dijangkakan, sekembalinya ke rumah sendiri, dia pasti akan rasa sunyi. Alif Hazriq seperti biasa, hanya akan datang jika dia memerlukan dirinya. 
Dia pergi kerja seperti biasa. Biarpun jiwa lara, biar parah sekalipun dia tetap kena kerja memandangkan Maslina masih cuti sebulan lagi. Kalau ikutkan hati, dia memang sudah tidak larat hendak bekerja. Apatah lagi berhadapan dengan muka bos merangkap suaminya yang sepertinya tidak cukup oksigen itu.
Sampai sahaja di pejabat, dia mula sibuk. Kerja sebagai PA Encik Alif Hazriq memang tidak ada waktu rehat. Diapun pelik dengan Maslina, bagaimana wanita itu boleh bertahan dengan kerja-kerja yang banyak begitu?
“Mira, you dah sarapan ke belum? Marilah ke pantry, kita sarapan dulu,” pelawa Vaneesa. Mira Maira mendongak, kemudian dia menggeleng.
“Saya dah ambil oat sebelum pergi kerja. Perut saya masih kenyang lagi ni,” tolak Mira Maira dengan senyuman yang manis.
“Okey I pergi dulu ya. Nanti kalau you lapar pergi aje ke pantry, I bawa makanan banyak tu,” pesan Vaneesa, Mira Maira mengangguk lantas tersenyum.
Vaneesa meninggalkan Mira Maira yang sibuk menyiapkan dokumen-dokumen diperlukan oleh bosnya nanti. Pada hari itu, Alif Hazriq ada janji temu dengan pembekal rumpai laut daripada Sabah. Bahan utama dalam produk terbaru mereka iaitu kolagen.

“HAI…” sapa Aiman daripada arah belakang. Mira Maira menoleh.
“Oh… hai… ada apa-apa yang boleh saya bantu, Aiman?” ayat yang biasa digunakan untuk sesiapa sahaja yang datang bertemu dengannya.
“Eh tak ada apa-apa. Saya cuma nak beri ni…” Aiman menghulurkan bungkusan polestrin kepada Mira Maira.
“Apa ni?” Soal Mira Maira. berkerut keningnya.
“Err… ini kuih rengas…” jawab Aiman.
Makin berkerut dahi Mira Maira.
“Kuih rengas? Kuih apa tu?”
“Alah kuih kacang bersalut tepung tu… bukan ke awak suka kuih tu?” Aiman cuba memberi gambaran kuih yang dimaksudkan.
“Hmm… kuih kasturi ke?”
“Hah! Betullah tu… saya panggil kuih rengas. Awak makanlah ya, ini ibu saya yang masak sendiri. Mira Maira tersenyum lebar, tidak sangka Aiman bersusah payah begitu.
“Awak suruh ke ibu awak buat, atau memang dia nak buat kuih ni?” Aiman menggeleng.
“Eh taklah, memang ibu saya yang nak buat, sebab tu saya teringatkan awak. Ibu saya suruh bawa lebih. Sudi-sudilah rasa. Saya jamin kuih yang ibu saya buat ni memang susah nak jumpa kat luar.”
“Oh ya ke? Terima kasih ya, Aiman. Buat susah-susah aje. Nanti saya makan ya.” Mira Maira tersenyum lagi.
Kebetulan pula ketika itulah Alif Hazriq pun sampai di hadapan mereka. Cepat-cepat Mira Maira menyembunyikan makanan itu.
“Assalamualaikum dan selamat pagi, Encik Alif.” Serentak dengan Aiman, Mira Maira memberi tanda penghormatan.
Wajah Alif Hazriq ketika itu jangan ceritalah, masam mencuka. Dipandangnya Mira Maira dengan renungan yang tajam. Kemudian dia kalihkan pula pandangannya pada Aiman.
“Awak dah tak ada kerja ke? Sampai ke atas awak bersembang,” perli Alif Hazriq. Aiman menggaru kepalanya.
“Saya turun dulu, Encik Alif.” Tanpa berlengah lagi, Aiman terus berlalu meninggalkan mereka berdua.
Alif Hazriq masih lagi tidak berpuas hati dengan Mira Maira. Wajahnya tetap masam mencuka.
“Awak dah siapkan kerja yang saya beri semalam?” tegas sahaja dia bersuara. Renungan mata itu bisa membuatkan tubuh Mira Maira rasa menggigil.
‘Apa pasal muka dia macam harimau pulak hari ni?’ soal hatinya.
“Awak tak ada mulut ke?” sergah Alif Hazriq, terkejut Mira Maira.
“Su… sudah, Encik Alif.” Jawab Mira Maira. Alif Hazriq terus berlalu masuk ke dalam bilik pejabatnya.
Mira Maira pula bergegas mengekorinya sambil membawa fail dan juga dokumen-dokumen yang baru dicetaknya tadi. Sampaikan terjatuh-jatuh pen yang ada di tangannya. Dia mengutipnya, nampak seperti orang yang kelam kabut sahaja.
Dia mengetuk pintu bilik pejabat Alif Hazriq. Kedengaran suara kasar lelaki itu menyuruhnya masuk. Berdebar-debar dada Mira Maira. Takut disergah lagi. Terkumat kamit bibirnya berdoa. Dia memulas tombol pintu perlahan, dan menutupnya juga dalam keadaan yang sama amat perlahan sekali. Kemudian dia melangkah menuju ke meja Alif Hazriq.
Wajah lelaki itu dipandang sekejap, berderau lagi darahnya bila lelaki itu asyik memandang ke arahnya. Sudah tentu pandangan itu bukan pandangan yang orang mahu menggoda ataupun pandangan yang boleh mendebarkan dada kerana panahan asmara. Tetapi renungan itu bagaikan mahu menerkam. Mahu menelannya hidup-hidup.
“Encik Alif… ini dokumen yang encik mahukan,” menggigil Mira Maira menghulurkan dokumen itu. Tidak berani dia memandang ke wajah lelaki itu lagi.
Alif Hazriq mengambil dokumen yang diserahkan kepadanya. Matanya meniliti setiap baris ayat, walaupun begitu hatinya pula rasa mendesak-desak.
“Buat apa budak tu jumpa kau?” soal Alif Hazriq setelah lama mendiamkan diri.
“Err… dia bagi saya kuih, Encik Alif.”
“Kuih apa?”
“Kuih kasturi.”
“Kau dah makan?”
Mira Maira menggeleng.
“Jadi memang sengajalah kau suruh dia belikan makanan?”
“Eh taklah. Dia memang nak bagi saya, Encik Alif.”
“Kau betulkan ni. Banyak sangat yang salah. Itulah kalau waktu bekerja sibuk nak melayan orang.”
“Err…”
Tiba-tiba pintu terbuka luas.
“Hai, sayang…” muncul Dyna tiba-tiba.
Panas muka Mira Maira apabila terpandang wajah Dyna. Semakin membahang tatkala melihat senyuman manis Alif Hazriq.
“Eh, hai… cepatnya sampai.”
‘Amboi punyalah lembut suara dia. Senyumanpun bukan main lemak berkrim lagi...’ bebel Mira Maira dalam hati.
“Hai, Mira…” sapa Dyna. Mira Maira membalas dengan anggukan.
“Awak betulkan dulu dan ingat pesanan saya tadi,” kali ini intonasi suara Alif Hazriq lebih baik daripada tadi.
Mira Maira mencapai dokumen itu, kemudian dia terus keluar. Hatinya sakit. Geram dengan perangai mengada-ada Alif Hazriq. Sampai hati betul lelaki itu. Dia cemburu ke? Tapi tidak pula nampak seperti orang cemburu. Mira Maira menggeleng kepala.

SETELAH dia siap semua dokumen yang diperlukan, dia meletakkannya ke dalam sebuah fail. Dia hanya menunggu sahaja arahan daripada Alif Hazriq.
Sementara itu, perasaannya cukup tertekan. Dyna masih lagi dalam pejabat Alif Hazriq. Apa yang mereka lakukan? Resahnya jiwa. Mahu sahaja dia menerjah masuk ke dalam bilik pejabat lelaki itu. Mahu saja dia mengeroyok muka Dyna. Tapi semuanya hanya ilusi. Hakikatnya dia tidak mampu!
Ya! Dia tidak mampu mengekang suaminya terus membuat maksiat. Bodohkah dirinya? Membiarkan suami sendiri berbuat maksiat? Tidak takutkah dia kepada Allah?
“Mira, Dyna masih ada kat dalam ke?” soal Anita, pekerja di bahagian sumber manusia.
“Iya, masih ada kat dalam. Awak nak jumpa bos ke?” Mira Maira terpaksa memaniskan wajahnya.
“Biasalah dah nak hujung-hujung bulan ni. Nak suruh dia tandatangan cek dan dokumen ni. Awak boleh bagi dia ke?” Anita menyerahkan dokumen itu kepada Mira Maira.
“Eh nanti, rasanya dah boleh ganggu diorang tu. Saya call Encik Alif sekejap. Kalau dia kata okey, awak masuk saja ya?” Anita mengangguk.
Mira Maira mencapai ganggang telefon, didailnya nombor telefon Alif Hazriq.
“Ya?” jawab Alif Hazriq ceria.
“Encik Alif, Anita nak jumpa Encik Alif, boleh dia masuk?” teragak-agak Mira Maira, namun dia rasa lega apabila Alif Hazriq mahu mengangkat telefon itu.
“Suruh dia masuk,” arah Encik Alif Hazriq. Mira Maira mengangguk, walaupun lelaki itu tidak nampak anggukannya.
“Baiklah.” Ganggang diletak.
“Awak boleh masuk.”
Anita tersenyum lebar. Lega rasanya apabila urusan itu tidak perlu ditangguh-tangguh. Cepat ditandatangan maka bolehlah dia selesaikan semua gaji-gaji pekerja tepat pada waktunya.
Setelah Anita keluar daripada bilik pejabat Alif Hazriq, lelaki itu turut sama keluar. Beriringan pula dengan Dyna. Dia melewati meja Mira Maira.
“Ini semua dokumen yang diperlukan, Encik Alif.”
Mira Maira menghulur sebuah fail kepada Alif Hazriq. Lelaki itu hanya mengangguk. Tanpa pesanan, dia terus sahaja keluar. Tersayat hati Mira Maira bila diperlakukan begitu.
“Mampukah aku bertahan?” soalnya sendiri.
Air mata bertakung di tubir matanya. Mahu sahaja dia meraung di situ. Kejamnya lelaki itu! Sampai hati kerana buatkan dirinya seperti badut tanpa perasaan. Benci!
Kala itu juga dia mendapat sms daripada Shahir. Tanpa berfikir panjang dia bersetuju sahaja dengan permintaan Shahir.

4 ulasan:

Lieynaim mohd noor berkata...

auchhh... sedihnya.... xsuke alif hazriq.... nanti bila mira lari baru padam muka

syimasyawal berkata...

kasi geram dulu dengan dia... hehehehehehe....

cyah berkata...

Betul dah geram sgt ni

syimasyawal berkata...

Cyah... lepas ni lagi geram dengan dia...