Pengikut

Khamis, 28 Februari 2013

JANGAN PANDANG SEBELAH MATA, BRO!




11
SEDANG Mira Maira membasuh baju, telefon bimbitnya berlagu tidak berhenti. Berkejar-kejar dia ke ruang tamu. Tangannya yang basah dilap sahaja pada bajunya.  
“Ah… sekejap lagi nak mandi.” Omelnya sendiri.
“Assalamualaikum…”
“Waalaikumussalam, weh anak dara, sampai hati kau ya…” jerit Syazana di hujung talian. Terkaku Mira Maira mendengar jeritan Syazana.
“Maaflah, Ana. Bukan aku sengaja tak bagitau kau, keluarga angkat aku ni beriya sangat suruh aku kerja kat syarikat dia. Aku nak pelawa kau, tapi… kau faham-faham sendirilah.” Mira Maira berbaring di atas sofa, badannya kepenatan.
Syazana sedia maklum yang kawan baiknya itu mempunyai keluarga angkat di Kuala Lumpur. Walaupun dia tidak pernah bersua muka. Tetapi dia yakin, keluarga angkat Mira Maira itu keturunan yang baik-baik. Dia langsung tidak rasa kecil hati.
“Alah, Mira… aku tak kisahlah. Lagipun takkanlah aku nak ikut kau, takut mereka cakap apa pulak. Lagipun aku dah kerja kat seven eleven sekarang ni. Mak aku tak kasi ikut Shahir ke Shah Alam. Dia kata susah nak berulang alik. Kau macam mana sekarang?” ceria sahaja suara Syazana. Lega sedikit hati Mira Maira. Cuma dia rasa bersalah kerana tidak berterus terang dengan Syazana tentang perkahwinannya.
“Aku macam biasalah… tempat baru, kerja baru, kawan-kawanpun baru, jadi taklah seronok macam kat kampung. Aku rindu kaulah, Ana. Datanglah sini, kita open table,”Syazana tergelak di hujung talian.
“Kau jangan suruh aku belanja eh, aku belum dapat gaji lagi, jangan cari pasal. Aku nak bayar dengan apa nanti,” pantas sahaja Syazana menjawab. Mira Maira ketawa.
“Alah setakat nak belanja kau makan, apa ada kisah. Kau makan bukan banyak pun. Datanglah sini, hujung minggu ni ke.” Saran Mira Maira.
“Weh aku kerja shift, susah aku nak tentukan masa tu. Apa kata kau balik sini, bukan jauh manapun setakat KL dengan Klang tu, apa ada kisah. Naik Komuter dah boleh sampai.”usul Syazana pula.
“Aku tak boleh balik minggu ni… hmmm macam nilah, apa kata kalau kau kerja shif malam, kita jumpa. “
“Okeylah kalau macam tu, nanti aku bagitau kau ya. Dahlah, kredit aku dah tinggal berapa sen ni, lain kali kau pulak telefon aku. Assalamualaikum…”
Belum sempat Mira Maira menjawab, talian telah diputuskan.
“Waalaikumussalam… hesy, mak cik ni. Belum sempat aku jawab salam dia dah letak dulu.”
Mira Maira meneruskan kerja yang tertangguh tadi. Menyidai kain baju dalam bilik yang dijadikan tempat meletak barang-barang.

BARU sahaja dia mahu melangkah masuk ke dalam bilik air sekali lagi telefon bimbitnya berlagu. Segera dia mendapatkan telefon bimbitnya itu.
“Assalamualaikum…”
“Dengan siapa kau bergayut tadi? Bukan main lama lagi?” tidak semena-mena dia diterjah dengan soalan itu. Berkrut-kerut kening Mira Maira.
“Awak ada call saya ke?” soalan yang boleh buat Alif Hazriq tergelak besar.
“Kau agak?” sengaja Alif Hazriq mendera. Mira Maira mengetap bibir.
“Maaflah, kawan sekolah saya yang telefon tadi,” lebih baik mengalah daripada terus menjadi mangsa dera perasaan.
“Budak lelaki yang hantar bunga tu ke?” soalan suaminya itu buatkan dia tercekik sendiri. Mahu ketawapun ada juga. Ini kes cemburu ke? Biar betul? Takkan lelaki itu mahu cemburukan dirinya pula.
“Kalau ya, salah ke?” sengaja dia ingin menduga.
“Tak salah, aku tanya aje. Kau bersiap cepat, kita pergi ke rumah umi. Tidur sana. Umi dah bising dah,” arah Alif Hazriq.
Jawapan lelaki itu buatkan perasaan Mira Maira terus kecewa. Nah! Memang sah dia tidak kisahpun hal kau, Mira. Kau nak buat dia cemburu, dia tak heran pun. Mira Maira mengeluh.
Tut! Tut! Tut! Talian terus diputuskan tanpa menanti jawapan daripada Mira Maira. Dengan perasaan hampa, Mira Maira melangkah ke bilik air. Dia sedar siapa dirinya, isteri yang bukan daripada pilihan hati suaminya. Bersabarlah hati… hari ini kau kecewa, aku percaya esok akan didatangkan bahagia…

DATO’ Farah mencium wajah Mira Maira berkali-kali. Setelah itu tubuh kurus itu dipeluknya erat.
“Umi rindu sangat pada menantu umi ni,” itu yang diluahnya. Perasaan gembiranya sukar digambarkan dengan kata-kata. Almaklum, dia tidak punya anak perempuan, bila dapat menantu, dia mahu curahkan kasih sayang sepenuh jiwanya.
 “Amboi umi, macamlah tak pernah jumpa Mira tu. Sakan umi cium dia. Anak umi ni, umi tak teringin nak cium, nak timang ke?” sakat Alif Hazriq.
Dato’ Farah menjeling.
“Kenapa? Ada penyakit hati ke?” balas Dato’ Farah. Alif Hazriq, mencebir.
“Malas nak ada penyakit hati dengan Dato’ Farah tu. Cakap mesti tak nak kalah,” sahut Alif Hazriq pula.
Mira Maira tersengih. Itulah yang dia suka dengan keluarga itu. Mereka bukan sahaja hubungan anak dengan emak, tetapi ia juga lebih nampak seperti seorang kawan. Selagi tidak ada isu panas, mereka akan sentiasa bergurau. Dia memang betul-betul bertuah. Punya mertua yang baik hati. Itulah keluarga impiannya. Selama ini, dia tidak pernah merasai suasana tersebut.
“Mari Mira… umi nak tunjukkan sesuatu pada Mira.” Dato’ Farah menarik tangan Mira Maira. Dia ingin tunjukkan sesuatu yang dibeli di luar negara untuk menantunya itu. Mira Maira hanya mengikut langkah ibu mertuanya.
“Aikk? Dato’ Farah, kemana nak bawa lari isteri saya tu? Tak minta izin dulu ke?” usik Alif Hazriq.
“Umi pinjam sekejap isteri kamu ni. Jangan banyak songeh ya,” kata Dato’ Farah separuh menjerit. Alif Hazriq tergelak kuat.
“Pinjamlah umi… tapi jangan lama-lama, nanti saya yang susah,” sakat Alif Hazriq lagi. Dato’ Farah hanya menjeling tanjam. Mulutnya dimuncungkan.
“Jom Mira, jangan peduli budak tu.” Mereka masuk ke dalam rumah.
Alif Hazriq pula tidak terus masuk, dia duduk di halaman rumah. Baru sahaja dia melabuhkan punggung, telefon bimbitnya berbunyi nyaring.
“Hello, Dyna…” jawabnya.
Tergelak manja si pemanggil.
“You tau aje I yang call, kan? Naluri you kuat betul…”
“Hmm… you tau I, kan?” Alif Hazriq tertawa sama.
“Sayang… boleh kita jumpa malam ni?”
“I rasa…”
“Please, sayang… I rindukan you. Lama kita tak jumpa.” Rengek Dyna.
“Hai… baru dua hari lepas, kita jumpa. Takkan dah rindu kot?”
“I serious rindukan you, sayang.” Alif Hazriq ketawa lagi.
“Hmm… rasanya malam ni tak boleh. I ada kat rumah umi. You tahu Dato’ Farah macam mana, kan?” tolak Alif Hazriq lembut. Sebolehnya dia tidak mahu mengecilkan hati Dyna.
“Sampai bila you nak jadi anak emak, sayang? Takkan hidup you, umi you yang tentukan. Jangan jadi macam babylah, sayang. You kena tegas,” Dyna mula rasa tidak senang bila kerap kali benar Alif Hazriq memberi alasan sebegitu. Balik-balik Dato’ Farah. Semua keputusan mesti orang tua itu yang buat.
“You cakap apa ni?”
Alif Hazriq mula rasa tidak senang hati, biarpun dia banyak tidak setuju dengan uminya, bukan bermakna dia mahu menentang orang tuanya itu. Tidak terlintas dalam hatinya untuk menyakiti perasaan uminya. Apatah lagi mahu melawan, hanya kerana umi tidak menyukai hubungannya dengan Dyna.
“Sorrylah, sayang. Tapi I tak boleh tengok you macam lembu kena cucuk hidung. Sampai bila you nak jadi macam ni? Takkan bila kita dah kahwin nanti, you nak ikut cakap umi you lagi?” Dyna suarakan ketidakpuasan hatinya. Alif Hazriq menarik nafas dalam-dalam. Soalan itulah membelitkan lehernya.
“Okeylah, I tak dapat keluar malam ni,” Alif Hazriq terus mematikan talian. Kemudian dia meraut rambutnya. Keluhan kasar keluar dari mulutnya.
“Kenapa, bro? Mengeluh tak sudah,” sapa Afif Haikal. Alif Hazriq terkejut, dia menoleh ke arah adiknya yang duduk tidak jauh daripadanya.
Alif Hazriq hanya mengangkat keningnya.
“Kau baru balik ke?”
“Yup!”
“Macam mana dengan projek kau, dah beres?” soal Alif Hazriq, begitulah sikapnya. Biarpun nampak mereka terlalu sibuk, namun mereka saling menyokong antara satu dengan yang lain.
Afif Haikal lebih meminati bidak grafik dan sedang mengusahakan sebuah animasi diadaptasi daripada filem Melayu lama. Projek pertamanya adalah batu belah batu bertangkup.
“Aku ada masalah dengan watak Melur tu, bro. Belum jumpa lagi suara yang betul-betul yang ada umph!” Jawab Afif Haikal.
“Hai… kau tak panggil ke pelakon-pelakon jelita kat Malaysia ni? Kan ke melambak... kalau tak pun, Ruminah Sidek tu ke?” seloroh Alif Hazriq. Afif Haikal ketawa melekek-lekek.
“Aku seriuslah, bro. Kau boleh buat main-main pulak. Ruminah Sidek tu aku panggil untuk watak nenek ok juga. Eh umi mana?” sejak daripada tadi dia tidak nampak kelibat uminya.
“Hmm… apa lagi, dengan menantu kesayangan dialah.”
“Oh patutlah tak nampak batang hidung dia… kau dengan Mira dah okey ke?” wajah Alif Hazriq dipandang lama. Afif Haikal menanti jawapan abangnya itu.
 “Susah aku nak komen. Hati aku ni…” Alif Hazriq terdiam.
“Kau kena fikir, bro. Kau tengok hubungan dia dengan umi. Andai kau kahwin dengan orang lain, mampu ke kemesraan mereka seperti sekarang ini? Kadang-kadang mereka sebelum kahwin semuanya sanggup, tapi lepas kahwin tunjuk belang. Silap-silap nak datang rumah umipun susah. Bukalah pintu hati kau, bro! Aku doakan… okeylah aku masuk dulu,” Afif Haikal bangun, dia mengatur langkah menuju ke dalam rumah.
Manakala Alif Hazriq hanya termangu seorang diri. Memikirkan kata-kata adiknya itu.

Tiada ulasan: