Pengikut

Rabu, 20 Februari 2013

JANGAN PANDANG SEBELAH MATA, BRO!




9
BERADA di rumah seorang diri tidak ada apa yang dapat dilakukan sangat. Mahu masak, dia malas pula. Tidak ada siapa yang akan makan nanti. Kalau tidak masak, tentu perutnya akan berkeroncong. Pulang daripada kerja tadi dia malas hendak singgah di mana-mana. Lagipun dia masih tidak biasa di kawasan itu.
“Nak buka puasa dengan apa ni? Sekejap lagi azan maghrib,” Mira Maira membuka peti sejuk yang sederhana besar itu. Dalamnya hanya ada buah-buahan, air kotak dan juga beberapa botol air mineral. Masih belum terisi lauk pauk lagi. Dia mengambil dua biji epal hijau dan merah.
Dia memotong buah epal, kemudian dia campurkan pula dengan sedikit mayonis. Hanya itu sahaja yang ada dalam peti sejuknya. Kemudian dia gaulkan dengan sedikit garam dan serbuk lada hitam. Siaplah salad yang tidak cukup bahan itu. Asalkan boleh makan, cukuplah.
Dia membawa makanan itu ke ruang tamu, Azan maghrib kedengaran, segera dia minum air susu. Sekadar menyegerakan waktu berbuka. Kemudian dia menunaikan fardhu maghrib pula. Setelah itu, dia ke ruang tamu semula. Sambil menonton televisyen, dia mengunyah perlahan-lahan buah-buah epalnya itu.
“Hmm… sedap juga salad aku ni…” pujinya sendiri. Kemudian dia tersengih.
Habis sahaja dia menonton berita, dia mencari saluran yang boleh menghiburkan hatinya. Mujurlah rumah itu sudah siap dipasang astro. Banyak siaran yang dilanggan. Namun siaran kartun juga yang menjadi pilihannya. Seronok juga melayan kartun, logik ataupun tidak, dia tidak peduli. Asalkan boleh ketawa biarpun seorang diri.
Dia menyandar ke dada sofa. Fikirannya mula melayang, teringatkan Alif Hazriq. Sejak dia duduk di situ, batang hidung suaminya itu tidak muncul-muncul. Sibuk sangatkah dia sampaikan tidak ada masa untuk keluarga?
“Kalau tak suka tu, tak payahlah bawa aku duduk kat sini. Lebih baik duduk kat kampung.” Bebelnya sendiri, remote yang ada di tangannya dihentak-hentak ke atas pahanya.
Sedang dia asyik melayan perasaan, kedengaran telefon berbunyi. Dia mencari-cari arah bunyi telefon tersebut. Seluruh ruang tamu itu dia selongkar, namun tidak ketemu juga.
“Aku ni mimpi ke apa? Bila masa rumah ni ada telefon?” meremang pula bulu tengkoknya. Terasa seram bila tinggal seorang diri begitu.
“Hesy… tak logik… tak logik… mana ada hantu pakai telefon pulak? Tak munasabah. Agak-agaklah nak buat cerita seram tu…” bebelnya seorang diri.
Dia duduk semula. Namun hatinya mula resah, tidak banyakpun ada juga sedikit rasa takut. Dia hanya manusia biasa, kadangkala terpercaya juga dengan benda-benda karut itu.
Baru sahaja perasaannya mula normal dan rasa takutnya hilang, sekali lagi dia terdengar deringan telefon. Dia tegak berdiri. Mahu mencari arah bunyi tersebut. Dia yakin itu bukan ilusi. Dia mula melebarkan telinganya, berjalan perlahan-lahan, masih lagi mencari.
“Mana ni? Weh telefon mana kau menyorok?” bergema suaranya dalam rumah itu.
Deringan telefon itu berhenti lagi. Kali ini Mira Maira bertekad untuk mencari sampai jumpa.
“Main sorok-sorok pulak kau telefon. Siapalah punya kerja ni?”
Dia meniarap, mencari di bawah sofa pula. Tidak pula kelihatan. Dia duduk bersila di atas lantai.
Seketika kemudian telefon itu berbunyi lagi, kali ini dia merangkak pula seperti seorang askar yang terpaksa merentasi halangan kawat yang berduri. Perlahan-lahan dan kemudian dia berhenti di sebelah pasu bunga yang terdapat di ruang tamu itu. Dia amati lagi dan kemudian dia tersenyum.
“Oh kat sini kau menyorok ya…” dia mengalihkan pasu bunga itu dan panjang sahaja tangannya mengambil telefon bimbit yang sedang berbunyi.
“Hello…”
“Jumpa juga ya? Tengah buat apa?” soal lelaki itu. Mira Maira mengerutkan keningnya. Semacam pula suara lelaki itu. Perlahan dan romantik, tidak pasal-pasal jantungnya berdegup kencang.
“Assalamualaikum…” sengaja Mira Maira memberi salam. Sambil-sambil sedarkan lelaki itu tentang adap-adap apabila mahu berbicara dengan orang.
“Waalaikumussalam… sindir nampak…” tawa lelaki itu sangat aneh. Naik bulu romanya bila mendengar tawa itu.
“Bila awak datang ke sini? Sempat pulak sorokkan telefon ni,” soal Mira Maira.
“Tak boleh ke? Kena minta izin dulu ya?”
“Tak adalah…”
Mereka berdua terdiam. Hanya deruan nafas sahaja yang kedengaran.
“Malam ni aku balik. Kau dah makan ke? Nak pesan apa-apa?” berderau darah Mira Maira.
“Err… saya… saya dah kenyang.” Entah kenapa dia rasa tidak tentu hala. Berdebar-debar dan macam-macam perasaan yang datang.
“Okeylah, dalam pukul sebelas aku sampai. Jangan pulak kau tidur mati, tunggu aku. Jumpa nanti, bye...” talian telah diputuskan.
Mira Maira masih lagi duduk di atas lantai, terkebil-kebil matanya memandang kosong ke arah dinding. Seakan tidak percaya lelaki itu bercakap lembut dengannya. Berbeza dengan sikapnya siang tadi.
“Ada apa-apa ke? Hah?!” wajahnya bertukar menjadi pucat setelah dia terfikirkan sesuatu. Debaran semakin mengila.

“HMM… orang suruh dia tunggu, dia tidur pulak. Penat sangat ke?” soal Alif Hazriq sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam rumah itu, matanya terus tertumpu pada sekujur tubuh yang begitu pulas lenanya.
Hidung Mira Maira dicuit beberapa kali. Gadis itu memang sensitif dengan hidungnya. Itu perkara pertama yang dia ketahui mengenai isterinya itu. Itupun Tok Taha yang beritahu.
Masuk tiga kali hidungnya diusik, Mira Maira terus membuka mata. Mata yang kelam dan kelabu itu tidak dapat melihat objek yang berada di sisinya dengan jelas. Puas dia amati namun kantuknya itu masih lagi berbaki. Matanya terpejam semula.
“Amboi… boleh dia celik sikit aje?” Alif Hazriq tersenyum. Tanpa berlengah lagi, tangan sasa itu mencampung tubuh keding itu. Sekali angkat sahaja tubuh itu sudah berada di atas tangannya.
Alif Hazriq membawa isterinya itu masuk ke dalam bilik. Belumpun sempat dia meletak tubuh Mira Maira di atas katil, gadis itu telah terjaga dari lenanya.
“Lepaskan aku! Lepaskan aku!” jerit Mira Maira. Terkejut Alif Hazriq mendengarnya.
“Syyy… diamlah… nanti jiran-jiran dengar pulak,” tegah Alif Hazriq.
Mira Maira yang baru sedar siapa lelaki itu terkulat-kulat. Dia sangkakan tadi perompak atau penyamun yang datang ke rumahnya. Dia takut diapa-apakan.
“A… awak… tolong turunkan saya…” katanya separuh merayu. Dia cuba memandang mata lelaki itu, namun dia tidak mampu kerana kedudukan mereka yang terlalu dekat membuatkan dia mahu pengsan sahaja.
“Dah dekat dah….” Alif Hazriq meletakkan tubuh Mira Maira di atas katil. Mira Maira tegak sahaja tubuhnya duduk di birai katil.
“A… awak bila sampai?” soalnya tergagap-gagap.
Alif Hazriq selamba membuka jaketnya. Nampak daripada gaya lelaki itu, sepertinya dia menunggang motosikal. Mira Maira mencuri-curi pandang ke arah suaminya itu.
“Baru saja... kan aku suruh tunggu, kenapa kau tidur pulak?” sengaja Alif Hazriq mahu mendera perasaan Mira Maira. Pastinya gadis itu menjadi serba salah. Memang itulah yang dirasakan oleh Mira Maira.
“Err… maafkan saya. Mata ni dah tak boleh control,” jawab Mira Maira gugup.
Alif Hazriq menyalin pakaiannya. Baju yang sudah sedia diletak dalam almari itu dicapai.
Manakala Mira Maira mengerutkan keningnya, bila masa pula lelaki itu angkut bajunya di situ? Kenapalah boleh tak perasan. Tapi tadi dia ada buka ke almari baju itu? Hmm… apakah benar lelaki itu mahu duduk serumah dengarnya?
“Apa lagi termenung tu, tidurlah. Tadi nampak macam mengantuk sangat.” Alif Hazriq melangkah perlahan menuju ke katil. Dengan selamba dia berbaring di situ.
“Awak nak minum tak?” Mira Maira mula tidak tenteram. Dia mahu lari daripada situ.
“Esok-esok aje kau buat minuman untuk aku. Sekarang aku nak tidur dah,” jawab Alif Hazriq. Tersungging senyuman di bibirnya. Mahukan tidak dia cuba menahan tawanya apabila nampak gadis itu gelabah semacam.
“Tak nak eh? Err…” Mira Maira mati akal. Hesy… kenapa rasa seram semacam aje ni?
“Apa lagi? Tidurlah!” arah Alif Hazriq. Mira Maira perlahan bergerak mahu merebahkan dirinya tetapi dia bingkas semula.
“Awak tahu, ustazah saya cakap kalau suami balik kita kena beri minuman kegemarannya. Besar ganjaran yang isteri boleh dapat. Seumpama mendapat pahala umrah yang penuh.” Mira Maira mula berkira-kira mahu ke dapur, tetapi ditegah oleh Alif Hazriq.
“Sudahlah… hari dah jauh malam. Kau tidur aje. Esok-esok boleh kumpul pahala tu. Bukan ke tidur ni juga boleh mendatangkan pahala?” Alif Hazriq menepuk-nepuk bantal di sebelahnya. Mira Maira memandang wajah Alif Hazriq kemudian lelaki itu menghadiahkannya satu kenyitan. Oh Tuhan… boleh sasau aku dibuatnya… marah Mira Maira pada dirinya sendiri... akhirnya dia terpaksa akur juga… demi mencari pahala yang diredai…

PAGI-PAGI lagi Alif Hazriq sudah bersiap-siap memakai pakaian seperti malam tadi. Berjaket dan memakai sarung tangan. Bergegas Mira Maira membancuh air Nescafe kesukaan Alif Hazriq.
“Maaflah hanya air saja yang ada. Saya ingatkan awak nak keluar lewat sedikit, bolehlah saya masak sarapan,” Mira Maira menghulurkan air kepada Alif Hazriq yang baru sahaja selesai memakai stokin. Lelaki itu hanya mendiamkan diri sahaja. Peliknya!
Suasana kembali sepi. Selesai sahaja Alif Hazriq meneguk minumannya, dia bangkit lantas mahu berlalu daripada situ. Dia membuka pintu utama, tetapi langkahnya terhenti apabila mendengar suara Mira Maira.
“Awak…” Mira Maira mendekati Alif Hazri q. Hanya kening sahaja yang terangkat.
Mira Maira menghulurkan tangannya, Alif Hazriq menyambut tangan tersebut. Tangan sasa itu dikucup dengan penuh keikhlasan. Pada hari itu, secara rasminya dia menyerahkan seluruh cinta dan kasih sayangnya kepada sang suami. Moga Allah membenihkan cinta di hati suaminya, itulah harapannya.
Selepas itu Alif Hazriq terus meninggalkan Mira Maira tanpa pesanan. Mira Maira hanya mampu memandang sehinggalah bayangan suaminya hilang daripada pandangan matanya. Hatinya menjadi sayu. Hiba pula rasanya melihat suaminya diam membisu begitu. Apa salahnya?

4 ulasan:

Lieynaim mohd noor berkata...

aduh tK paham dgn alif hazriq nie... egoooo

syimasyawal berkata...

hehehehehehehe

geram kan... sabar jeklah.... mentang2 bini tak lawa

Unknown berkata...

biar tak lawa asalkan hatinye ikhlas..

syimasyawal berkata...

yup... orang tak lawa juga mahu mengecapi kebahagiaan seperti orang lawa... hehehehehehehe