Pengikut

Ahad, 17 Februari 2013

JANGAN PANDANG SEBELAH MATA, BRO!




8
MIRA MAIRA mengelamun di hadapan mesin fotostat itu, terbayang-bayang wajah gadis yang mampu memukau sesiapa sahaja yang memandang. Auranya memang terasa. kecantikannya amat terserlah, tidak kiralah berapa inci bedak dan alat solek ditepek. Asalkan nampak cantik. Berbanding dengan dirinya, yang tidak pandai langsung bersolek. Bibirpun tidak pernah dicalit pewarna.
“Patut ke aku berperasaan macam ni? Ternyata yang nakkan aku hanya keluarga dia. Dia pulak…” omel Mira Maira perlahan. Bibirnya diketap.
“Heh budak bertuah ni, mengelamun ke?”
Maslina mencuit lengan Mira Maira. Terkejut dia bila dicuit begitu.
“Eh akak… ada apa-apa lagi ke, kak?” soalnya, sambil menyusun helaian-helaian kertas yang sudah siap difotostat.
“Eii dia buat muka tak bersalah dia ya? Tengah mengelamun apa, teringatkan pak we ke?”
Cepat sahaja Mira Maira menggeleng.
“Eh tak adalah, kak. Mana ada saya mengelamun, cuma berangan sikit aje.”
“Ewah dia, sempat berangan lagi?”
Mira Maira tersengih.
“Tolong fotostat yang ni pulak ya… nanti kepilkan sekali dengan kertas tadi.” Maslina menghulurkan beberapa helai kertas kepada Mira Maira.
“Nak berapa…”
“Mas, I nak keluar dulu. Kalau ada apa-apa, hubungi I.”
Kata-kata Mira Maira terhenti sebaik sahaja Alif Hazriq mendekati mereka. Diikuti pula gadis yang berambut perang tadi. Mira Maira cuba melarikan pandangan matanya. Dia pura-pura tidak ambil tahu. Padahal, dalam hati hanya Allah sahaja yang tahu gelodak rasa.
“Okey, bos.” Jawab Maslina.
Alif Hazriq hanya memandang sambil lalu sahaja Mira Maira. Dia dan pasangannya terus meninggalkan mereka berdua.
“Sepadan betul. Entah bilalah dapat makan nasi minyak diorang ni.” Ujar Maslina pula makin memedihkan lagi tangkai hati Mira Maira.
‘Ya Allah, kak… kalau kau tahu isteri dia yang sebenar, tentu kau pengsan empat puluh hari empat puluh malam agaknya.’ Kata Mira maira dalam hatinya.
“Kenapa diorang tak kahwin lagi, kak?” entah mengapa, gatal pula mulutnya hendak bertanya.
“Entahlah. Dengarnya dato’ tak berapa suka dengan Dyna tu. Yalah, dato’ tu bukannya macam mak-mak datin lain. Dia mesti nak yang terbaik untuk anak dia.”
Kembang sedikit hati Mira Maira. Ternyata dirinya menjadi pilihan, bermakna dia yang terbaiklah. Syukur…

“KITA sebagai pekerja syarikat ni, kenalah menyokong penuh produk keluaran syarikat. Jadi, pihak syarikat memberi potongan empat puluh peratus kepada kakitangannya. Dan pekerja-pekerja juga digalakkan menggunakan produk ini.”
Maslina menerangkan kepada Mira Maira. Ketika itu mereka di bilik khas yang mempamerkan produk-produk keluaran syarikat mereka. Di bilik itu juga mempunyai mesin khas untuk pemeriksaan kulit muka, penimbang berat badan, mesin pengesan kolestrol dan macam-macam lagi.
“Mari akak cuba periksa muka Mira.” Maslina menarik tangan Mira Maira.
“Eh tak payahlah, kak. Kulit saya okeylah, akak tengok mana saya ada jerawat.” Tolak Mira Maira.
“Cik adik oii… kalau tak ada jerawat bukan bermakna kulit awak tu sihat. Mesin ni bagus boleh mengesan sel-sel pada kulit wajah kita. Dah jangan cakap banyak, duduk sini.” paksa Maslina. Sesekali dia mengusap perutnya yang sudah besar itu.
Mira Maira hanya akur. Menyerahkan diri dan membiarkan apa sahaja yang dilakukan oleh Maslina. Khuatir pula, kalau melawan nanti kasihan pula ibu mengandung itu.
“Hmm… tengok ni banyak sangat lubang pori-pori yang terbuka. Jangan dibiarkan nanti jadi jeragat, kulit Mira kusam, dah banyak sel kulit mati. Kita perempuan ni kena jaga juga muka, tak payah kerana orang lain, untuk diri sendiri dah cukup. Awak tu muda lagi, daripada sekaranglah nak jaga muka ni elok-elok. Kalau kulit sentiasa berseri dan tak banyak masalah, senang esok dah tua-tua nak jaga. Tak payah cucuk sana, cucuk sini nak nampak cantik.”
Mira tersengih-sengih bila mendengar penerangan daripada Maslina.
“Tengoklah tu, kita cakap boleh dia tersengih-sengih pulak. Akak cakap betul ni, makan suplement-suplement Farra, kesannya cepat. Tak payah nak make-up tebal-tebal, Mira. Cuba tengok staf-staf perempuan kat sini, ada muka mereka dicemari oleh jerawat?” bebel Maslina, siap menjeling-jeling lagi.
Mira Maira akui, staf-staf perempuan di situ kebanyakannya berwajah bersih walaupun tidak secantik model produk Farra Kosmetik itu. Tetapi dia yang punya penyakit malas. Pagi-pagi kena cuci muka, lepas tu pakai itu, pakai ini. Nanti waktu malam, buat benda yang sama juga. Hesy… buang masa betul.
“Alah, kak. Saya baru aje kerja. Mana ada ongkos nak beli semua produk-produk ni. Tak apalah, kak... kalau tak cantikpun,” Mira Maira menjuihkan bibirnya.
“Jangan cakap macam tu, Mira. belilah sikit-sikit. Kalau tak ada duit sekarang, nanti dah dapat gaji bolehlah beli. Mira belum ada pak we lagi ke?”
Soalan itu membuatkan Mira Maira tertelan air liur.
“Ada orang ke nak muka saya ni, kak? Tengoklah akak sendiri cakap kulit saya kusam, lepas tu warna kulit saya ni gelap kak oii. Orang zaman sekarang nak muka macam.. err… siapa nama model tadi tu?”
“Dyna,”
“Hah, Dyna. Orang lelaki sekarang lebih tertarik dengan muka macam tu, kak. Saya tak kisahlah kak, cantik ke tak cantik ke.”
Jawapan daripada Mira Maira itu membuatkan tangan Maslina laju sahaja mengetam lengannya.
“Apalah kutuk diri sendiri. Nampak sangat tak ada keyakinan diri. Mira cantik, cuma kena jaga sikit aje lagi. Badan tu besarkan sikit. Ni kurus sangat. kalau berdiri sebelah tiang, nampak tiang tu lagi besar daripada Mira.”
“Tengok! Akak kutuk saya,” Mira Maira buat-buat merajuk.
“Ini bukan mengutuk tapi kenyataan.” Balas Maslina. Mereka tergelak.
Dalam hati Mira Maira, dia akui kata-kata Maslina itu. Namun dia tidak mahu mengalah. Dia mahu melihat sejauh mana kebenarannya. Adakah benar-benar berkesan dengan teorinya tanpa sebarang solekan, tanpa sebarang suplement, suami yang ikhlas dan jujur pasti akan menyayanginya kerana Allah. Sekiranya sebaliknya berlaku, dia terpaksa akur. Menghiasi diri kerana Allah untuk mendapatkan kasih sayang seorang suami, tidak salah juga. 
“Entahlah, kak. Kita tunggu dan lihat aje. Kalau lelaki tu ikhlas terima saya seadanya, pasti dia akan rasa bahagia juga. Dahlah, kak. Saya malas nak fikir-fikir lagi. Umur saya muda lagi.”
“Suka hati kamulah, Mira. Tapi akak nasihatkan Mira, tak rugi cuba. Akak rasa sihat bila makan, makanan tambahan produk Farra ni. Tengok akak mengandung, akak masih aktif lagi. Ia membantu juga. Alhamdulillah, masa mula-mula mengandungpun akak tak mabuk.”
“Insyaallah, kak. Nanti kalau saya nak cuba, saya beritahu akak ya.”
Mereka meninggalkan bilik itu.

MIRA Maira mula gelisah, sejak kepergian Alif Hazriq, kelibat lelaki itu tidak muncul-muncul lagi. Entah kemanalah dia pergi. Waktu kerjapun nak mengular dan berdating. Benci betul.
Eh kenapa pula dia marah sangat ni? Bukan ke lelaki itu telah berpesan kepadanya, kalau bekerja di syarikat itu, segala aktiviti luarnya tidak perlulah dia ambil tahu. Tapi… bukankah lelaki itu suaminya?
Mata dipejam rapat-rapat. Gelisahnya tidak mahu reda.
“Datang sini nak tidur ke nak kerja?” sergah satu suara.
Terperanjat Mira Maira dibuatnya. Matanya dibuka, sesusuk tubuh sedang menghadapnya. Wajah itu nampak bengis. Terkebil-kebil kelopak mata Mira Maira, seakan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Lelaki itu? Sejak bila dia balik? Langsung tidak dengar derap kasutnya.
“Apa lagi terkebil-kebil? Bangun basuh muka tu,” tegas Alif Hazriq.
Mira Maira mahu melawan, namun dia akur juga. Dia bangun, dan meninggalkan lelaki yang dirasakan sangat berlagak itu.
“Menyampah betul!” bebelnya.
Sabarlah Mira… kau sedang berpuasa. Dia cuba menyabarkan hatinya. Matanya mula panas, seakan dia mahu meluahkan rasa hatinya dengan menangis.
“Ya Allah, berikanlah aku kesabaran.”
Ketika dia tergesa-gesa mahu ke bilik air, dia berselisih dengan seorang pemuda yang sangat bergaya.
“Opss, sorry…” kata lelaki itu. Mira Maira buat tidak tahu, menonong sahaja berjalan dek melayan rasa sakit hatinya itu.
Lelaki itu memandang, cermin mata hitamnya diturunkan sehingga ke paras bawah hidungnya. Bibirnya tersenyum sambil menyengetkan ke arah kanan.
“Hei, bro!” Alif Hazriq menepuk bahu lelaki itu.
“Hei! Alif Hazriq…” kedua lelaki itu berjabat tangan lantas berpelukan.
“Apa mimpi datang ke sini, ada berita gembira ke?” Alif Hazriq menumbuk-numbuk sedikit lengan rakannya itu.
“Aku mimpi sang dara menyeru-nyeru nama aku. Alif, siapa tadi tu?”
Orang yang dimaksudkan oleh Zul Fadzly adalah Mira Maira. Entah mengapa apabila berselisih sahaja dengan gadis itu, hatinya mula tertarik.
“Siapa? Tukang sapu tu ke?” soal Alif Hazriq kerana kebetulan pula yang ada di situ adalah Puspa.
“Haih… selisih…” mereka ketawa kuat. Kedua lelaki itu bergerak masuk ke dalam pejabat Alif Hazriq.
“Aku seriuslah, siapa budak tadi tu?” Zul Fadzly mengulangi pertanyaannya tadi, tangan pula menarik kerusi yang ada di hadapan meja Alif Hazriq.
Alif Hazriq buat tidak dengar.
“Kedekut seh lelaki ni…” Zul Fadzly membaling secebis kertas yang telah dironyokkan ke arah Alif Hazriq. Lelaki itu menepisnya.
“Buat apa kau nak tahu? Nak jadikan koleksi ke, der?” Alif Hazriq bertanya acuh tak acuh. Kes berat kalau dia kenalkan Mira Maira kepada lelaki di hadapannya itu.
“Saja nak kenal-kenal. Kalau ada jodoh terus kahwin. Kau tau selera aku macam mana, kan? Biar moden dunia ini sekalipun aku tetap nak cari minah kampung. Dan aku rasa, budak itu bisa mengegarkan jantung aku,” selamba Zul Fadzly berkata. Kedua tangannya di letak di belakang kepalanya.
“Kau jangan cari pasal, minah tu baru datang daripada kampung. Masih suci murni lagi,” bantah Alif Hazriq. Entah mengapa ada rasa bimbang di hatinya bila rakannya itu menyebut mengenai Mira Maira.
 “Itu yang aku nak. Masih suci murni. Perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, macam aku. Tak macam kau, mana ada kelab malam yang kau tak pergi?” sindir Zul Fadzly. Alif Hazriq ketawa.
“Amboi, berimannya Zul Fadzly… perempuan keliling pinggang, nak jadi pak lebai pulak. Hentikanlah merepek kau ni. Dah jom ikut aku.”
“Baru aku nak berilusi. Kau nak ke mana?”
“Aku ada temujanji dengan pengedar. Kaupun tak ada buat apa hari ni, kan? Orang yang aku nak jumpa ni awek cun,” pancing Alif Hazriq.
“Tiba-tiba aje, aku jadi bersemangat pulak, jom!”
Alif Hazriq menepuk bahu Zul Fadzly. Dasar lelaki hidung belang, konon nak jadi pak lebai, dengar perempuan cun saja lutut sudah menggigil.

KETIKA melewati meja Maslina, Zul Fadzly sempat berhenti. Wajah yang sedang menekun membuat kerja itu dipandangnya lama. Gadis berbaju kurung dan bertudung itu mempunyai aura yang tersendiri. Mungkin tidak pada orang lain, tetapi baginya dia sangat suka memandang gadis itu. berkulit hitam manis, tidak cantik tapi tetap menarik.
Alif Hazriq yang pada mulanya tidak mahu memandang ke arah Mira Maira, terpaksa juga mengalih perhatiannya di situ. Gadis itu tidak peduli siapa memandang ke arahnya. Dia tetap bersahaja. Mungkin juga gadis itu marahkan dirinya kerana tugurannya tadi.
“Ada apa-apa yang Encik Alif nak ke?” soal Maslina daripada arah belakang. Alif Hazriq menoleh, lantas menggeleng.
Berkerut kening Maslina. Mengapa kedua-dua lelaki itu berhenti di mejanya?
“Hai, Encik Zul,” sapa Maslina.
“Eh… Hai… err, awak dah ada pembantu ke?” Maslina mengangguk.
“Boleh tahan…” bisik Zul Fadzly.
Alif Hazriq menarik tangan Zul Fadzly, kawannya itu kalau dilayan, makin menjadi-jadi perangai miangnya.
“Aku dah lambat ni…”
Maslina menggeleng, matanya memandang Mira Maira yang masih lagi bersahaja. Eh tidak ada perasaankah gadis ini?
“Mira, diorang nak apa tadi?”
Mira Maira mendongak, kepala digeleng. Bahu juga dijongket.
“Peliknya, kenapa dua-dua berhenti kat sini pulak? Dia nak mengurat Mira ke?” Maslina tertawa bila melihat mata Mira Maira membesar.
“Mengarutlah akak ni…”
“Alah apa salahnya, Mira tu muda lagi. Sesiapapun nak cuba masuk jarum. Tapi hati-hati, Encik Zul tu, perempuan keliling pingang.”
“Encik Zul aje ke kak? Habis bos kita tu, tak eh?” sengaja dia ingin mengorek rahsia suaminya sendiri.
“Hmm… encik bos tu, dulu yalah. Sekarang macam setia pada yang satu aje. Dynalah satu-satunya perempuan yang selalu keluar dengan dia. Dah macam belangkaspun.”
“Nasib kaulah, Mira…” katanya perlahan.
“Apa, Mira?” soal Maslina.
Mira Maira menggeleng. Senyuman palsunya terukir.
“Dahlah, buat kerja. Kalau cerita pasal dua lelaki tu, satu kerjapun kita tak boleh buat. Dosapun dapat juga sebab mengumpat.” Maslina mula menumpu sepenuh perhatiannya kepada dokumen-dokumen yang ada di atas mejanya itu.
Sedangkan Mira Maira, masih lagi tidak tenteram hatinya. Resah memikir masa depannya yang masih lagi kelam. Mampukah dia bertahan?

4 ulasan:

Lieynaim mohd noor berkata...

menarik sgt... nak bace bab 1 xda.. huhuhu

syimasyawal berkata...

Dah betulkan linknya.... cuba lagi sekali ya....

Tanpa Nama berkata...

akak ble nk upload bab yg slnjutnye..? hihi..

syimasyawal berkata...

nanti ya... tunggu