11
SEDANG Mira Maira
membasuh baju, telefon bimbitnya berlagu tidak berhenti. Berkejar-kejar dia ke
ruang tamu. Tangannya yang basah dilap sahaja pada bajunya.
“Ah… sekejap lagi nak mandi.” Omelnya sendiri.
“Assalamualaikum…”
“Waalaikumussalam, weh anak dara, sampai hati kau
ya…” jerit Syazana di hujung talian. Terkaku Mira Maira mendengar jeritan
Syazana.
“Maaflah, Ana. Bukan aku sengaja tak bagitau kau,
keluarga angkat aku ni beriya sangat suruh aku kerja kat syarikat dia. Aku nak
pelawa kau, tapi… kau faham-faham sendirilah.” Mira Maira berbaring di atas
sofa, badannya kepenatan.
Syazana sedia maklum yang kawan baiknya itu
mempunyai keluarga angkat di Kuala Lumpur. Walaupun dia tidak pernah bersua
muka. Tetapi dia yakin, keluarga angkat Mira Maira itu keturunan yang
baik-baik. Dia langsung tidak rasa kecil hati.
“Alah, Mira… aku tak kisahlah. Lagipun takkanlah
aku nak ikut kau, takut mereka cakap apa pulak. Lagipun aku dah kerja kat seven
eleven sekarang ni. Mak aku tak kasi ikut Shahir ke Shah Alam. Dia kata susah
nak berulang alik. Kau macam mana sekarang?” ceria sahaja suara Syazana. Lega
sedikit hati Mira Maira. Cuma dia rasa bersalah kerana tidak berterus terang
dengan Syazana tentang perkahwinannya.
“Aku macam biasalah… tempat baru, kerja baru,
kawan-kawanpun baru, jadi taklah seronok macam kat kampung. Aku rindu kaulah,
Ana. Datanglah sini, kita open table,”Syazana
tergelak di hujung talian.
“Kau jangan suruh aku belanja eh, aku belum dapat
gaji lagi, jangan cari pasal. Aku nak bayar dengan apa nanti,” pantas sahaja
Syazana menjawab. Mira Maira ketawa.
“Alah setakat nak belanja kau makan, apa ada
kisah. Kau makan bukan banyak pun. Datanglah sini, hujung minggu ni ke.” Saran
Mira Maira.
“Weh aku kerja shift, susah aku nak tentukan masa
tu. Apa kata kau balik sini, bukan jauh manapun setakat KL dengan Klang tu, apa
ada kisah. Naik Komuter dah boleh sampai.”usul Syazana pula.
“Aku tak boleh balik minggu ni… hmmm macam nilah,
apa kata kalau kau kerja shif malam, kita jumpa. “
“Okeylah kalau macam tu, nanti aku bagitau kau ya.
Dahlah, kredit aku dah tinggal berapa sen ni, lain kali kau pulak telefon aku.
Assalamualaikum…”
Belum sempat Mira Maira menjawab, talian telah
diputuskan.
“Waalaikumussalam… hesy, mak cik ni. Belum sempat
aku jawab salam dia dah letak dulu.”
Mira Maira meneruskan kerja yang tertangguh tadi.
Menyidai kain baju dalam bilik yang dijadikan tempat meletak barang-barang.
BARU sahaja dia mahu
melangkah masuk ke dalam bilik air sekali lagi telefon bimbitnya berlagu.
Segera dia mendapatkan telefon bimbitnya itu.
“Assalamualaikum…”
“Dengan siapa kau bergayut tadi? Bukan main lama
lagi?” tidak semena-mena dia diterjah dengan soalan itu. Berkrut-kerut kening
Mira Maira.
“Awak ada call saya ke?” soalan yang boleh buat
Alif Hazriq tergelak besar.
“Kau agak?” sengaja Alif Hazriq mendera. Mira
Maira mengetap bibir.
“Maaflah, kawan sekolah saya yang telefon tadi,”
lebih baik mengalah daripada terus menjadi mangsa dera perasaan.
“Budak lelaki yang hantar bunga tu ke?” soalan
suaminya itu buatkan dia tercekik sendiri. Mahu ketawapun ada juga. Ini kes
cemburu ke? Biar betul? Takkan lelaki itu mahu cemburukan dirinya pula.
“Kalau ya, salah ke?” sengaja dia ingin menduga.
“Tak salah, aku tanya aje. Kau bersiap cepat, kita
pergi ke rumah umi. Tidur sana. Umi dah bising dah,” arah Alif Hazriq.
Jawapan lelaki itu buatkan perasaan Mira Maira
terus kecewa. Nah! Memang sah dia tidak kisahpun hal kau, Mira. Kau nak buat
dia cemburu, dia tak heran pun. Mira Maira mengeluh.
Tut! Tut! Tut! Talian terus diputuskan tanpa
menanti jawapan daripada Mira Maira. Dengan perasaan hampa, Mira Maira melangkah
ke bilik air. Dia sedar siapa dirinya, isteri yang bukan daripada pilihan hati
suaminya. Bersabarlah hati… hari ini kau kecewa, aku percaya esok akan
didatangkan bahagia…
DATO’ Farah mencium
wajah Mira Maira berkali-kali. Setelah itu tubuh kurus itu dipeluknya erat.
“Umi rindu sangat pada menantu umi ni,” itu yang
diluahnya. Perasaan gembiranya sukar digambarkan dengan kata-kata. Almaklum,
dia tidak punya anak perempuan, bila dapat menantu, dia mahu curahkan kasih
sayang sepenuh jiwanya.
“Amboi umi,
macamlah tak pernah jumpa Mira tu. Sakan umi cium dia. Anak umi ni, umi tak
teringin nak cium, nak timang ke?” sakat Alif Hazriq.
Dato’ Farah menjeling.
“Kenapa? Ada penyakit hati ke?” balas Dato’ Farah.
Alif Hazriq, mencebir.
“Malas nak ada penyakit hati dengan Dato’ Farah
tu. Cakap mesti tak nak kalah,” sahut Alif Hazriq pula.
Mira Maira tersengih. Itulah yang dia suka dengan
keluarga itu. Mereka bukan sahaja hubungan anak dengan emak, tetapi ia juga
lebih nampak seperti seorang kawan. Selagi tidak ada isu panas, mereka akan
sentiasa bergurau. Dia memang betul-betul bertuah. Punya mertua yang baik hati.
Itulah keluarga impiannya. Selama ini, dia tidak pernah merasai suasana
tersebut.
“Mari Mira… umi nak tunjukkan sesuatu pada Mira.”
Dato’ Farah menarik tangan Mira Maira. Dia ingin tunjukkan sesuatu yang dibeli
di luar negara untuk menantunya itu. Mira Maira hanya mengikut langkah ibu
mertuanya.
“Aikk? Dato’ Farah, kemana nak bawa lari isteri
saya tu? Tak minta izin dulu ke?” usik Alif Hazriq.
“Umi pinjam sekejap isteri kamu ni. Jangan banyak
songeh ya,” kata Dato’ Farah separuh menjerit. Alif Hazriq tergelak kuat.
“Pinjamlah umi… tapi jangan lama-lama, nanti saya
yang susah,” sakat Alif Hazriq lagi. Dato’ Farah hanya menjeling tanjam.
Mulutnya dimuncungkan.
“Jom Mira, jangan peduli budak tu.” Mereka masuk
ke dalam rumah.
Alif Hazriq pula tidak terus masuk, dia duduk di
halaman rumah. Baru sahaja dia melabuhkan punggung, telefon bimbitnya berbunyi
nyaring.
“Hello, Dyna…” jawabnya.
Tergelak manja si pemanggil.
“You tau aje I yang call, kan? Naluri you kuat
betul…”
“Hmm… you tau I, kan?” Alif Hazriq tertawa sama.
“Sayang… boleh kita jumpa malam ni?”
“I rasa…”
“Please, sayang… I rindukan you. Lama kita tak
jumpa.” Rengek Dyna.
“Hai… baru dua hari lepas, kita jumpa. Takkan dah
rindu kot?”
“I serious rindukan you, sayang.” Alif Hazriq
ketawa lagi.
“Hmm… rasanya malam ni tak boleh. I ada kat rumah
umi. You tahu Dato’ Farah macam mana, kan?” tolak Alif Hazriq lembut.
Sebolehnya dia tidak mahu mengecilkan hati Dyna.
“Sampai bila you nak jadi anak emak, sayang?
Takkan hidup you, umi you yang tentukan. Jangan jadi macam babylah, sayang. You
kena tegas,” Dyna mula rasa tidak senang bila kerap kali benar Alif Hazriq
memberi alasan sebegitu. Balik-balik Dato’ Farah. Semua keputusan mesti orang
tua itu yang buat.
“You cakap apa ni?”
Alif Hazriq mula rasa tidak senang hati, biarpun
dia banyak tidak setuju dengan uminya, bukan bermakna dia mahu menentang orang
tuanya itu. Tidak terlintas dalam hatinya untuk menyakiti perasaan uminya.
Apatah lagi mahu melawan, hanya kerana umi tidak menyukai hubungannya dengan
Dyna.
“Sorrylah, sayang. Tapi I tak boleh tengok you
macam lembu kena cucuk hidung. Sampai bila you nak jadi macam ni? Takkan bila
kita dah kahwin nanti, you nak ikut cakap umi you lagi?” Dyna suarakan
ketidakpuasan hatinya. Alif Hazriq menarik nafas dalam-dalam. Soalan itulah
membelitkan lehernya.
“Okeylah, I tak dapat keluar malam ni,” Alif
Hazriq terus mematikan talian. Kemudian dia meraut rambutnya. Keluhan kasar keluar
dari mulutnya.
“Kenapa, bro? Mengeluh tak sudah,” sapa Afif
Haikal. Alif Hazriq terkejut, dia menoleh ke arah adiknya yang duduk tidak jauh
daripadanya.
Alif Hazriq hanya mengangkat keningnya.
“Kau baru balik ke?”
“Yup!”
“Macam mana dengan projek kau, dah beres?” soal
Alif Hazriq, begitulah sikapnya. Biarpun nampak mereka terlalu sibuk, namun
mereka saling menyokong antara satu dengan yang lain.
Afif Haikal lebih meminati bidak grafik dan sedang
mengusahakan sebuah animasi diadaptasi daripada filem Melayu lama. Projek
pertamanya adalah batu belah batu bertangkup.
“Aku ada masalah dengan watak Melur tu, bro. Belum
jumpa lagi suara yang betul-betul yang ada umph!” Jawab Afif Haikal.
“Hai… kau tak panggil ke pelakon-pelakon jelita
kat Malaysia ni? Kan ke melambak... kalau tak pun, Ruminah Sidek tu ke?”
seloroh Alif Hazriq. Afif Haikal ketawa melekek-lekek.
“Aku seriuslah, bro. Kau boleh buat main-main
pulak. Ruminah Sidek tu aku panggil untuk watak nenek ok juga. Eh umi mana?”
sejak daripada tadi dia tidak nampak kelibat uminya.
“Hmm… apa lagi, dengan menantu kesayangan dialah.”
“Oh patutlah tak nampak batang hidung dia… kau
dengan Mira dah okey ke?” wajah Alif Hazriq dipandang lama. Afif Haikal menanti
jawapan abangnya itu.
“Susah aku
nak komen. Hati aku ni…” Alif Hazriq terdiam.
“Kau kena fikir, bro. Kau tengok hubungan dia
dengan umi. Andai kau kahwin dengan orang lain, mampu ke kemesraan mereka
seperti sekarang ini? Kadang-kadang mereka sebelum kahwin semuanya sanggup,
tapi lepas kahwin tunjuk belang. Silap-silap nak datang rumah umipun susah.
Bukalah pintu hati kau, bro! Aku doakan… okeylah aku masuk dulu,” Afif Haikal
bangun, dia mengatur langkah menuju ke dalam rumah.
Manakala Alif Hazriq hanya termangu seorang diri.
Memikirkan kata-kata adiknya itu.