Pengikut

Isnin, 13 Mei 2013

JANGAN PANDANG SEBELAH MATA, BRO!





22
“KENAPA duduk termenung ni?” sapa Rabitah. 
Mira Maira tersenyum sambil berpaling ke arah Rabitah.
“Kak…”
“Mira rindukan dia ke?” Rabitah duduk di sebelah Mira Maira.
“Apa akak ni…” paha Rabitah ditepuknya.
“Mira… tempat seorang isteri di sisi suaminya. Jangan lari daripada masalah. Kalau boleh, bawalah berbincang.” Pujuk Rabitah. Mira Maira menunduk.
“Saya tak tahu apa yang saya rasa sekarang ni, kak. Macam-macam perasaan ada, apatah lagi bila kenangkan kebaikan mertua saya dan juga harapan atuk. Sukar saya nak ambil keputusan, kak.” Jelas Mira Maira. Dia mengeluh.
Sedang mereka berbual, kedengaran bunyi enjin kereta di luar rumah. Rabitah bingkas lalu menuju ke pintu. Dia membuka pintu sebaik sahaja mendengar suara orang memberi salam.
“Assalamualaikum…”
“Wa’alaikumussalam…” Rabitah tersenyum tatkala melihat wajah Syazana di luar rumah.
“Selamat pagi, kak. Kawan saya dah bangun ke?”
“Sebelum subuh tadi dia dah bangun. Masuklah…” pelawa Rabitah. Syazana menurut.
“Ni ada saya belikan sarapan, kak.” Syazana menghulur bungkusan yang ada di tangannya. Rabitah menyambut lalu dibawa ke dapur.
“Hai, mek. Dah okey ke hari ni?” Syazana duduk di sebelah Mira Maira. Bahu gadis itu ditumbuknya sedikit. Mira Maira menjongket bahunya.
“Bolehlah… nasib baik ada kakak berdua tu. Diorang baik sangat. Mana kau jumpa diorang tu?” bisik Mira Maira. Syazana menyandarkan tubuhnya ke dinding.
“Diorang ni mengajar tadika kat jalan depan sana tu. Kau perasan tak tadika Minda Irfan? Alah yang bangunannya warna hijau cair tu?”
Mira Maira cuba memikir bangunan yang dimaksudkan. Memang jalan luar itu ada sebuah tadika, mungkin itulah yang dimaksudkan oleh Syazana.
“Ooo… diorang mengajar di situ.” Mira Maira mengangguk-angguk.
“Akukan jadi supir adik bongsu aku tu, jadi daripada situlah aku mula rapat dengan diorang. Lagipun aku selalu juga tolong diorang kat tadika tu.” Terang Syazana.
“Ana… Mira… marilah makan. Akak dah siapkan sarapan ni. Penat akak masak tadi, naik berpeluh-peluh ni hah…” panggil Rabitah.
Syazana bingkas bangun. Diikuti pula oleh Mira Maira. Karmah pula baru sahaja keluar daripada bilik.
“Eh banyaknya awak buat sarapan… tak sangka pula macam-macam jenis ada.” Usik Karmah. Rabitah tergelak kecil. Sangat terkawal gelak tawanya. Mulut sentiasa ditutup ketika dia ketawa.
“Ana yang bawa tadi. Sengaja nak dapat nama...” kata Rabitah. Mira Maira dan Syazana hanya tersenyum.
“Akak berdua mengajar di tadika, ya? Hari ni tak sekolah ke?” Seingat Mira Maira pada hari itu baru hari Selasa. Takkanlah hari cuti pula?
“Hari ni cuti, Mira. Cuti peristiwa.” Jawab Karmah.
“Ooo…” panjang sahaja ‘o’ Mira Maira.

SEMENTARA di Kuala Lumpur di waktu malam, Alif Hazriq semakin resah. Sejak semalam dia menelefon Mira Maira, namun tidak ada satupun berjawab. Mungkin telefon bimbitnya dimatikan.
Dia berbaring di atas katil sambil tangan diletak di atas dahinya. Dia tidak menyangka Mira Maira akan menghilangkan diri. Sangkanya gadis itu akan pulang ke rumah, tapi dia silap. Baru sahaja dia cuba mahu memujuk rajuk isteri, namun dia yang hampa.
Rasa sunyi tanpa gadis itu. Ya! Baru dia rasa kini. Alif Hazriq mengiring tubuhnya, menghadap tempat yang selalu digunakan oleh Mira Maira. Perlahan tangannya mengusap lembut tilam itu, bagai membayangkan Mira Maira berada di situ.
‘Bukan ke ini yang kau mahukan, Alif?’
‘Tidak, Alif. Kau sebenarnya sayangkan dia!’ kata suara yang lain pula.
Alif Hazriq berperang dengan perasaannya sendiri. Boleh jadi gila dibuatnya. Dia bingkas bangun, nombor seseorang didail.
Seketika kemudian dia meninggalkan rumah yang disewa untuk isterinya itu. Waktu itu sudah jam satu pagi. Dia tidak peduli. Mujurlah dia tidak duduk dengan uminya. Jika tidak, memang nak kena hambatlah jawabnya.
“Hai… lama dah tunggu?” soal Alif Hazriq sebaik sahaja dia menghampiri meja yang di duduki oleh Zul Fadzly.
“Lama tak lama juga, tapi boleh tahan berjanggut jugalah.” Jawab Zul Fadzly.  Ketika itu mereka berada di Redbox Jalan Bukit Bintang. Tempat biasa mereka lepak selepas Alif Hazriq berkahwin.
Alif Hazriq tidak ke kelab-kelab malam lagi setelah Mira Maira berada di Kuala Lumpur. Entah kenapa dia mula tidak berminat lagi mengikut Dyna mengunjungi tempat-tempat itu.
Sesekali juga Dyna pula yang akan mengikutnya ke tempat itu sekiranya dia ingin berhibur dengan Alif Hazriq. Dyna tidak mampu memujuk lelaki itu untuk hidup seperti dahulu. Ke mana sahaja mereka pasti akan berdua. Berhibur sehingga ke dinihari.
Alif Hazriq menyedut minumannya sebaik sahaja minuman itu berada di hadapannya.
“Kau kenapa, bro? Aku tengok kau panik semacam aje.” Soal Zul Fadzly, wajah Alif Hazriq dipandangnya lama.
Lelaki di hadapannya itu, merupakan rakan baik sejak sekolah menengah lagi. Dia kenal Alif Hazriq daripada pelbagai sudut. Kali ini dia nampak, lelaki itu punya masalah. Dia tidak mahu mendesak, biarlah Alif Hazriq sendiri membuka mulut.
“Eh aku okey, beb! Mana ada panik.” Balas Alif Hazriq sambil ketawa.
“Aku kenal kau, bro! bukan sehari dua aku kenal kau. Risaukan tentang hari perkahwinan kau dengan Dyna ke?” tebak Zul Fadzly, sungguhpun dia tidak mahu mendesak, tetapi dia mahu tahu juga.
“Entahlah kepala aku berserabut dibuatnya.”
“Hai… orang nak kahwin suka, ini macam orang kena kahwin paksa aje.” Zul Fadzly gelakkan Alif Hazriq.
“Kau tau sendiri, kan? Apa sekalipun alasan aku, umi pasti tak restu. Lagipun bukan tu yang serabutkan kepala aku…” Alif Hazriq terdiam seketika, disedutnya lagi air yang masih berbaki.
“Jangan pulak kau cakap, kau tengah fikirkan tentang…”
“Siapa?” Alif Hazriq memandang. Zul Fadzly berfikir seketika.
“Mira…”
Alif Hazriq tertelan air liur. Dia melarikan anak matanya. Dia pura-pura tersenyum. Degupan jantungnya juga bagaikan terhenti tatkala nama itu meniti di bibir Zul Fadzly. Apakah maknanya itu? Rindukah dia?
“Alif… aku tak tau apa yang bersarang dalam kepala otak kau tu, tapi aku dapat rasa, yang kau memikirkan budak tu, kan?” Zul Fadzly semakin mendesak. Alif Hazriq mengeluh.
“Aku tak tau mana dia hilang. Aku cuba call, tapi tak berjawab. Aku tau dia malu, kecil hati dan mungkin marah. Tapi aku sendiri tak jangka Dyna boleh maki dia macam tu sekali,” luah Alif Hazriq.
“Sebenarnya, dia minta aku hantarkan ke KL Sentral. Tapi aku tak tau dia nak ke mana.”
Terkejut Alif Hazriq mendengarnya.
“Tapi kau cakap, kau hantar dia…” Zul Fadzly mengangguk.
“Ya… itu yang dia suruh aku cakap pada kau. Sorrylah, bro. Aku tak berniat nak bohong kau. Tapi aku pelik, kenapa kau beria-ia sangat nak risau pasal dia?”
“Weh! Dia pekerja akulah. Kau jangan fikir yang bukan-bukan.” Wajah Alif Hazriq mula bertukar warna. Membahang.
“Aku kenal kau… cukup kenal… ada rahsia yang kau sembunyikan daripada aku, kan?”
Zul Fadzly menebak lagi. Cuba memerangkap Alif Hazriq. Dari cara rakannya itu melihat gadis yang bernama Mira Maira sahaja dia dapat rasakan keanehannya. Biarpun bagi pihak gadis itu, dia tidak dapat membaca dengan jelas. Apa yang dia nampak, Mira Maira memandang Alif Hazriq hanya sebagai seorang ketua.
 “Zul… boleh aku percaya kau?” tiba-tiba Alif Hazriq bersuara.
“Weh! Gila kau tak percaya pada aku? Alamak… ni yang aku nak merajuk ni. Sangat menghina tu, beb!” Zul Fadzly membetulkan topi yang dipakainya. Alif Hazriq tergelak.
“Ini rahsia besar aku, Zul. Bukan senang aku nak cerita walaupun kau kawan paling rapat dengan aku.”
Mereka terdiam. Alif Hazriq menarik nafas perlahan. Entah kenapa, malam itu dia sendiri mahu membuka rahsia itu. Tanpa dipaksa oleh sesiapapun.
“Sebenarnya, Mira tu isteri aku,” pengakuan yang membuatkan mata Zul Fadzly terbuka luas.
“Hah?!”
Beberapa kali Zul Fadzly menampar pipinya. Kiri dan kanan. Memang dia tidak percaya!
Alif Hazriq mengangguk.
“Babah aku dengan arwah ayah Mira berkawan baik. Babah yang beria-ia mahukan aku jadi suami Mira. Babah aku punya alasan tersendiri. Dia tak nak Mira jatuh ke tangan lelaki yang tak bertanggungjawab.”
“Habis, kau tu bertanggungjawab sangatlah?” sinis Zul Fadzly menyindir. Dia tahu bagaimana cara Alif Hazriq melayan gadis itu.
“Sekurang-kurangnya, keluarga aku sangat sayang pada dia.” Jawab Alif Hazriq perlahan.
“Dia juga punya hati dan perasaan, bro. Kau ingat, dia tak layak ke mendapat cinta daripada suami dia sendiri? Jangan main perasaan orang, bro.” agak marah juga Zul Fadzly dengan sikap Alif Hazriq. Alif Hazriq mengangguk-angguk, bibirnya diketap.
“Aku tau, bro. Tapi aku tak tau hati sendiri. Bila aku dengan dia, aku nampak banyak kurangnya. Tapi bila aku dengan Dyna, nampak serba sempurna.”
“Kau memang dah gila, bro. Jangan kau pandang kaca yang berkilau-kilau, sedangkan batu permata yang ada kau pinggirkan. Kembalilah pada realiti. Sempurna tu bukan milik kita. Aku ni taklah alim sangat, tapi setakat ni aku masih boleh bandingkan antara dosa dan pahala. Dan apa yang kau buat ni memang berdosa, kan?” Zul Fadzly menjongketkan keningnya.
“Entahlah… pening kepala aku.”
“Tak ada apa yang kau nak pening-peningkan. Apa yang dah nyata, kau dah jadi suami dia yang sah! Itu fakta bukan auta.” Bidas Zul Fadzly.
“Hesy… sakit kepala aku ni…”
“Dyna macam mana?”
“Aku tak janjikan apa-apa pada dia. Dia yang mendesak-desak aku,”
“Kau cintakan dia?”
“Yup… tapi…”
“Kau sanggup tinggalkan Mira?”
“Apa kau cakap ni? Ayat aku belum habis, kau dah potong.” Sekali lagi hatinya bergetar, terselit perasaan aneh di situ. Tinggalkan Mira? Dia sendiri takut hendak menjawabnya.
“Habis… Dyna kau nak, Mira pun kau nak juga. Jangan tamak sangat. Esok-esok kau juga yang rugi.”
“Aku tau, Zul. Tapi beri aku masa untuk menilai perasaan aku sendiri. Aku yakin, aku akan pilih salah satu daripada mereka.”
“Akupun tak faham dengan kau… apa-apapun, aku doakan yang terbaik.” Zul Fadzly menghabiskan baki airnya.
“Kalau aku jadi kau, hmmm… aku akan pilih Mira…”
Kata-kata Zul Fadzly membuatkan Alif Hazriq termenung panjang…

“HEI… Di sini you ya… lama I tak jumpa you, sayang…” Dyna melentok kepalanya di bahu lelaki itu.
   Tanpa disedarinya, seorang wartawan tidak bertauliah mengambil gambar mereka daripada arah tepi. Senyuman di bibir terukir tanda puas hati, berita itu bakal menggegarkan dunia hiburan tanahair. Seorang model sensasi dan juga pelakon baru bermesra dengan kekasih hati! 

nota kaki :
Kalau sudi tinggalkan jejak ya di sini... yalah saja2 nak tengok berapa ramai yang sudi membacanya... TQ...

JANGAN PANDANG SEBELAH MATA, BRO!





21
DALAM komuter, Mira Maira hanya mampu menahan sebak yang kian di penghujung. Dia tidak mahu air mata mengalir dan disaksikan oleh penumpang lain. Biarlah dia bertahan. Jemari digenggam erat agar dia betul-betul mampu menahan sebak di dada. Walaupun air mata cuba menerjah-nerjah tubir matanya. Dia cuba dan terus mencuba.
Kali ini rajuk hatinya lama. Dia sudah tidak dapat menahan rasa lagi. Kesabarannya juga kian menipis, untuk apa menanti orang yang tak sudi? Mira Maira mengetap bibir. Sudah berbulan dia menjadi isteri kepada Alif Hazriq, tidak sedikitpun dia rasa disayangi. Kalau adapun ketika mereka berada di rumah mertuanya. Mengapa mesti hendak berpura-pura? Sampai bila ia akan bertahan?
‘Ah… lelaki itu memang tak perlukan kau, Mira. Buat apa kau nak bersua-sua dengan dia? Mungkin inilah masa dan ketikanya, Allah mahu tunjukkan jalan yang terbaik buat diri kau…’ Mira Maira berkata dalam hatinya.
‘Ya Allah… tolonglah aku, andai ini keputusan yang terbaik buat aku, kau permudahkanlah. Aku tak cukup kuat nak harungi ujian Kau, ya Allah…’
Sebaknya hati, empangan matanya sudah tidak mampu menahan air yang perlu dilimpahkan. Perlahan air mata mengalir di pipi, pantas dia menyapu dengan tisu. Dia tidak mahu orang lain melihat kesedihannya walaupun mereka tidak mengenali dirinya. Mujurlah di sebelahnya masih belum ada orang. Jadi selamatlah dia. Wajahnya dipaling pada cermin tingkap.
Tiba-tiba dia teringatkan atuknya. Apa yang akan terjadi kalau atuknya tahu? Perasaannya semakin tertekan. Dia tidak boleh menyakiti hati atuknya. Satu-satu insan yang banyak menabur budi padanya. Ya Allah… bantulah aku… air mata semakin laju. Dia biarkan saja.
Sampai sahaja di stesen komuter Teluk Gadong, dia menelefon Syazana. Hanya itu satu-satunya kawan yang memahami dirinya.
“Ana… tolong aku…” dia sudah tidak tertahan lagi, dia menangis sebaik sahaja mendengar suara Syazana.
“Kau kat mana, Mira?”
“Aku kat stesen Teluk Gadong, boleh kau tolong ambil aku?” dalam teresak-esak, dia beritahu juga.
“Tunggu sampai aku datang, Mira!”
Klik! Talian diputuskan.
Mira Maira duduk di kaki lima. Dia tidak peduli lagi, menangis semahunya. Beberapa pasang mata menoleh ke arahnya, namun dia buat tidak nampak.
Beberapa minit kemudian, Syazana pun sampai. Sebaik sahaja nampak Syazana, kaki Mira Maira menjadi lemah. Dia tidak mampu hendak melangkah. Dia terduduk semula. Syazana segera mendapatkan Mira Maira.
“Kenapa, Mira? Kau nampak…” tubuh Syazana didakapnya. Mira Maira melepaskan perasaan di bahu rakannya itu.
“Mira… jangan macam ni… kawan yang aku kenal seorang yang kuat. Kenapa kau jadi lembik macam ni sekali, Mira?” Syazana mengoncang tubuh Mira Maira. Dia tidak tahu kenapa, tetapi rasanya dia dapat mengagak punca rakannya jadi begitu.
“Mari, Mira…” Syazana memapah Mira Maira masuk ke dalam kereta.
“Ana… tolong hantar aku kat mana-mana hotel… aku tak nak balik rumah lagi…” pinta Mira Maira. Syazana terkejut, kenapa tidak mahu balik rumah pula budak ni?
“Macam nilah, Mira. Aku ada kawan yang duduk rumah sewa, kau pergilah rumah dia. Aku rasa dia tak kisah.” Mira Maira mengangguk. Dia ikut saja.
Perlahan kereta Syazana mengundur, kemudian dia menekan pedal minyak perlahan-lahan. Sesekali wajah Mira Maira dijelingnya.

“KAK Rabitah, ini kawan saya. Dia ada masalah, boleh tak tumpangkan dia untuk beberapa hari?”
Seorang gadis memakai niqab sedang berdiri di hadapan mereka. Mata yang cantik itu memandang ke arah Mira Maira. Kemudian dia mengangguk.
“Marilah masuk, kita cerita kat dalam ya…” suaranya amat lembut sekali.
Rabitah masuk, diikuti oleh Mira Maira dan juga Syazana.
“Duduklah dulu ya, biar akak buatkan air.” Rabitah berlalu ke dapur.
Tidak lama kemudian kedengaran ada orang memberi salam.
“Waalaikumussalam…” jawab mereka serentak.
Rabitah melemparkan senyuman kepada seorang lagi gadis yang baru masuk ke dalam rumah itu.
“Eh… ada tetamu ya… apa khabar?” Karmah menyalam Mira Maira dan Syazana.
“Kar… dia nak tumpang rumah kita dua tiga malam, boleh ya?” kata Rabitah. Karmah yang baru nak masuk ke bilik tersenyum.
“Aku tak kisah… cuma rumah kami ni tak ada barang sangat. Tengoklah televisyen pun tak ada…” kata Karmah, lebar sahaja sengihannya.
“Dia tak kisah, kak…” jawab Syazana.
Mira Maira mengangguk. Dia menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya dia dapat menyembunyikan dirinya di situ walaupun hanya di kampung sebelah. Tidak jauh mana pun.
“Kau tenang-tenangkan diri kat sini. Aku nak masuk kerja semula ya?” Setelah bersembang dengan tuan rumah, Syazana mahu mengundur diri.
“Terima kasih, Ana… aku menyusahkan kau aje.” Mereka berpelukkan.
“Kalau hati kau dah tenang, nanti kau cerita pada aku, ya? Banyak-banyakkan istighfar, ingat Allah selalu. Aku tau, kau kuat…” pujuk Syazana. Mira Maira mengangguk.
Syazana melangkah keluar. Mira Maira yang berdiri di tepi pintu hanya memandang sambil melambai tangan. Syazana berlalu dari situ.
“Mira… Mira dah solat?” soal Rabitah. Mira Maira menggeleng.
“Kalau belum solat, masuklah dalam bilik. Baju dengan kain batik akak dah letak atas katil. Kalau nak mandi ke, silakanlah. Buatlah macam rumah sendiri.” Ujarnya lagi.
“Terima kasih, kak.”
Rabitah berlalu ke dapur. Mira Maira menutup pintu. Dia melangkah ke bilik yang dimaksudkan oleh Rabitah. Dia duduk di birai katil. Dia termenung lagi. Perasaan sebaknya muncul semula sebaik sahaja dia bersendirian begitu.
“Ya Allah, kuatkah aku nak menghadapi semua ini seorang diri? Betulkah keputusan aku ini?” benci benar dia dengan perasaannya waktu itu. Dia ragu-ragu dengan tindakan yang diambil.
“Macam mana pulak dengan umi? Apa kata umi nanti?” terbayang di birai matanya kemesraan umi. Kasih sayang yang tidak berbelah bahagi buat dirinya. Sanggupkah dia meninggalkan keluarga itu? Ya Allah… tolonglah aku… Mira Maira menekup wajahnya. Dia teresak-esak lagi.
“Mira… jangan tenangkan hati dengan menangis. Banyak cara lain lagi kita boleh tenangkan hati. Kalau nak sangat menangis, menangislah di sejadah. Merayu kepada Allah agar kesedihan yang kita rasa itu pergi dan mintalah Dia gantikan dengan kegembiraan.” Pujuk Rabitah. Dia duduk di sebelah Mira Maira.
“Kak…” Mira Maira mendakap tubuh Rabitah.
“Mira… jangan bazirkan air mata hanya kerana kita tak dapat cinta manusia. Sedangkan yang patut kita tangiskan adalah bila Allah langsung tak memberi rahmat kepada kita. Kita tak dapat raih cinta Allah. Itu yang patut kita tangiskan. Lagi satu, kala kita menghayati al-quran, waktu itulah Allah paling suka kita menangis. Kerana tangisan kita itu adalah tangisan penyesalan dan keinsafan.” Tokoknya lagi.
Mira Maira semakin sebak. Bukan kerana masalahnya tetapi kerana terasa dirinya terlalu bodoh. Betul juga apa yang diperkata oleh Rabitah. Tetapi apa dayanya, dia hanya manusia biasa. Terlalu banyak kekurangan diri. Kerana dirasakan cinta manusia itulah yang membawa bahagia sedangkan andai dapat meraih cinta Allah, dunia dan akhirat pasti akan mendapat kebahagiaan.

“APA masalah Mira sebenarnya, boleh akak tau?” Karmah dan Rabitah berhadapan dengan Mira Maira.
Ketika itu Mira Maira baru sahaja habis berzikir al-mathurat. Rabitah telah menghulurkan buku yang mengandungi zikir dan doa al-mathurat. Antara tujuan zikir al-mathurat adalah :
1. Al- Ma'thurat merupakan wirid dan doa harian yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Baginda adalah orang yang paling mengetahui betapa besarnya ganjaran yang diperolehi dari amalan doa dan wirid tersebut.
2. Wirid, doa, zikir dan istighfar dalam Al- Ma'thurat ini akan memantapkan jiwa di samping memiliki keutamaan dalam segala aspek kehidupan. Mendidik hati agar sentiasa merindui kepada Ilahi dan memberi kelapangan hidup dan kesihatan jasmani.
3. Jika sesiapa mengamalkan zikir Al- Ma'thurat ini akan merasakan perbezaannya dengan hari2 yang tidak dimulakan dengan zikir Al- Ma'thurat. Begitulah kekuatan doa2 dan wirid dalam Al- Ma'thurat ini sebagai senjata mukmin.
Manakala kelebihannya adalah, tidak dihampiri syaitan, rumah dan keluarganya terselemat dari perkara yang tidak diingini, Allah mencukupkannya apa yang sangat diperlukan dari urusan dunia dan akhirat, orang yang membacanya kemudian dia mati pada hari atau malam tersebut maka Allah akan menjamin untuknya syurga,
Selamat dari segala sesuatu, Allah menyempurnakan nikmatnya ke atas orang yang membacanya, Allah berhak untuk meredhainya, tidak ada sesuatu yang mendatangkan mudarat ke atasnya, terrhindar daripada syirik, selamat dari bisa atau sengatan semua makhluk yang beracun, dimudahkan menyelesaikan hutang-hutang, berhak untuk mendapat syafaat pada hari kiamat, sesiapa yang membaca di waktu pagi,akan dipelihara oleh allah hingga ke waktu petang dan sesiapa yang membacanya di waktu petang akan dipelihara hingga ke waktu pagi, mengamalkannya umpama mengamalkan Sunnah Rasulullah dari sudut zikir dan berdoa, dan berbagai lagi kelebihan.
Itu yang telah dibaca dalam buku itu. Mira Maira merenung kulit buku itu. Dia membiarkan sahaja pertanyaan dua orang kakak yang baru dikenalinya itu.
“Mira… kalau Mira rasa kurang senang nak kongsi dengan kami, tak mengapalah. Kami tak paksa. Maafkan akak kalau cara akak ni macam orang menyibuk aje. Kami berdua tak maksud apa-apapun,” kata Rabitah pula.
Mira Maira menggeleng.
“Bukan macam tu, kak. Mira percayakan akak berdua. Kalau Mira tak percaya, takkan Mira boleh duduk di sini. Sebenarnya, kak…”
Mira Maira menceritakan masalah yang sedang dihadapinya. Rabitah dan Karmah terangguk-angguk. Sesekali wajah mereka tampak berkerut.
“Mira… hidup ini, kalau tak diduga memang tak manis. Biasalah tu. Akak rasa ni asam garam rumah tangga. Akak tak rasa yang suami Mira tu kejam sangat. Mungkin dia suka dan sayangkan Mira, tapi tak tau nak tunjuk macam mana. Kadang-kadang lelaki ni ego. Bersabarlah banyak-banyak, Mira. Pada akak, berkasih sayang selepas kahwin lebih manis. Lebih diberkati. Percaya pada itu, seandainya kita reda dalam segala hal dan termasuklah berkahwin dengan dia, insyaAllah, Allah akan berikan apa yang Mira nak.” Nasihat Karmah. Rabitah mengangguk.
“Ya, Mira. lebih baik bercinta atau berkasih sayang selepas kahwin. Mira tengok dekat luar sana, berapa ramai gadis-gadis yang rosak bila bercinta sebelum kahwin? Dan paling sedihnya, walaupun mereka berkahwin ada juga yang gagal dalam perkahwinan tersebut. Kasih sayangpun makin pudar sebabnya apa? Sebab masa sebelum kahwin dicurahkan cinta sepenuh hati. Bersabarlah banyak-banyak. Jangan sesekali ambil keputusan terburu-buru.”
“InsyaAllah, kak. Mira akan cuba, biar pun payah, Mira akan harungi juga. Terima kasih pada akak berdua.” Karmah dan Rabitah tersenyum lantas kepala diangguk.

Rabu, 24 April 2013

JANGAN PANDANG SEBELAH MATA, BRO!





20
HARI-HARI yang dilalui tiada perubahan apa-apa. Hidupnya seperti itu juga, pergi kerja, balik kerja. Melayan perasaan rindu yang kian meggunung. Sepi yang kian menghimpit perasaan. Rasa cinta yang cuba dilawan, namun tidak bisa pergi dari hatinya. Mira Maira mula pasrah. Berserah apa sahaja takdir yang bakal menentukan segalanya.
Dyna pula semakin kerap datang ke pejabat Farra Kosmetik. Mira Maira tidak faham dengan pendirian Alif Hazriq, di mulut kata tak suka, tapi melayan juga perempuan itu bagaikan sepasang kekasih yang sukar dipisahkan. Apa dayanya, hanya mampu memendam rasa sahaja. Dayuskah dia?
Hari itu memang betul-betul Monday Blues. Masing-masing tidak ceria termasuklah Mira Maira. Rasa boring pula menghadap benda yang sama. Sesekali mahu juga dia mengikut Vanessa untuk membuat promosi produk, namun Alif Hazriq tidak benarkan.
“Hai… kerja… kerja… kerja. Sangatlah boring.” Bebel Mira Maira. Apapun dia perlu siapkan kerja itu juga. Alif Hazriq tidak suka kerja-kerja tertangguh.
Telefon di meja berbunyi, panjang sahaja tangannya mengangkat ganggang telefon tersebut. Daripada nada deringan itu, panggilan adalah dari kalangan pekerja Farra Kosmetik juga.
“Hello…” Mira Menjawab panggil itu.
“Hello, Mira.”
“Ya, Aiman. Ada apa ya?”
“Sebenarnya saya nak ajak awak makan tengah hari nanti. Sudi tak?” perlahan sahaja suara Aiman, mungkin dia tidak mahu orang lain dengar.
“Hmm… saya sorang aje ke? Kalau saya sorang, seganlah. Kalau ada orang lain, boleh kot.” Jawab Mira Maira.
“Tak boleh ke kalau kita berdua?”
“Maaflah, Aiman. Saya tak nak nanti timbul pulak gosip-gosip yang kurang enak.” Tegas Mira Maira.
“Oh… yalah… saya ajak Suria dan Kak Eton sekali. Nanti awak join ya?”
Mira Maira tersenyum.
“Okey kalau ada diorang, saya bolehlah join. Okeylah jumpa nanti.” Mira Maira meletak ganggang telefon itu.

MENJELANG tengah hari, muncul Dyna. Kali ini dia tidak keseorangan. Dia datang bersama-sama dengan Zul Fadzly. Agak lama juga Mira Maira tidak nampak lelaki itu. Entah ke mana dia menghilang, alih-alih timbul sahaja. Bila tengok gaya lelaki itu, nampak begitu segak dan bergaya. Memang kena dengan pekerjaannya sebagai pemilik agensi permodelan dan juga studio sendiri.
“Hai, sayang. Sihat hari ni?”
Zul Fadzly menarik kerusi lalu duduk di hadapan Mira Maira. Dyna pula tanpa menegur Mira Maira dia terus masuk ke dalam bilik pejabat Alif Hazriq. Mira Maira hanya mampu memandang.
“Lama tak nampak awak, sibuk ke?” Mira Maira cuba meredakan perasaan geramnya. Kalau ikutkan hati mahu dia menjerit pada telinga Dyna dan ingin sekali dia nyatakan bahawa orang yang ada dalam bilik itu adalah suaminya!
“Rindu ke?” sakat Zul Fadzly.
Mira Maira hanya tersenyum.
“I sibuklah. Sekarang dah free sikit, bolehlah I datang ke sini selalu…” katanya lagi.
“Buat apa nak datang sini selalu?” sengaja Mira Maira mahu melayan.
“Sebab I nak tengok muka you. Manis sangat. Sekarang lagi bertambah-tambah manis bila tersenyum macam tu.” Mira Maira menjongket bahunya. Buat memek muka seakan tidak percaya.
Alif Hazriq yang berada dalam bilik pejabatnya mahu terbakar satu badan apabila melihat adegan yang berlangsung di luar sana. Antara Zul Fadzly dengan isterinya. Dyna yang ada dalam bilik itu tidak sedikitpun mampu mengubah pandangan matanya.
“Sayang… you ni kenapa? I penat-penat datang sini, tapi you buat tak nampak ya? Macam I tak wujud.” Rengek Dyna. Dia cuba mendekati Alif Hazriq. Namun lelaki itu terlebih dahulu bingkas bangun, Dyna cuba memaut lengan lelaki itu tetapi tidak berjaya. Langkah lelaki itu lebih laju daripadanya.
“Eh you nak kemana tu?” soal Dyna. Alif Hazriq telah membuka pintu.
Zul Fadzly dan Mira Maira serentak memandang ke arah pintu yang baru dibuka. Renungan tajam dihadiahkan buat Mira Maira. Manakala Zul Fadzly bingkas, terus mendapatkan Alif Hazriq.
“Hei, bro!” kedua-duanya berjabat tangan.
“Kau ni, datang-datang sini terus melepak kat situ. Kau nak jumpa dia ke, nak jumpa aku?” sindir Alif Hazriq. Zul Fadzly hanya tertawa.
“Rilekslah… kata orang menyelam sambil minum air. Sambil-sambil jugalah aku jumpa dia.” Balas Zul Fadzly sambil diiringi ketawa.
“Dah jom kita pergi makan.” Alif Hazriq berjalan dahulu, diikuti Dyna dan Zul Fadzly.
Mira Maira juga telah mengambil beg tangannya, dia sudah berjanji dengan Aiman.
“Awak pun nak pergi makan juga ke, Mira?” soal Zul Fadzly ramah ketika mereka menunggu lift.
Mira Maira mengangguk.
“Pergi dengan buah hati ke?” soalnya lagi.
“Err…” kebetulan itu juga lif terbuka. Mereka yang ada di situ melangkah masuk ke dalam perut lif seorang demi seorang.
Muka Alif Hazriq sudah merah. Mahu sahaja dia menyekeh kepala Zul Fadzly. Terasa sakit pula hatinya bila melihat senyuman di bibir nipis itu.
“Kalau tak pergi makan dengan buah hati, you boleh join kamilah.” Zul Fadzly tidak berputus asa. Mira Maira menggeleng.
“Saya dah janji dengan mereka. Lain kali aje ya…” tolak Mira Maira.
Alif Hazriq memandang dengan ekor matanya. Ingin juga dia tahu, dengan siapa isterinya itu mahu keluar. Jarang Mira Maira mahu keluar makan. Paling tidak dia akan melepak di pantry.
Apabila terbuka sahaja pintu lif, wajah Aiman sudah sedia menanti di situ. Begitu juga dengan Eton dan Suria. Mira Maira tersenyum kepada mereka sambil melambai tangan
“Mira…” langkah Mira Maira terhenti. Lambaiannya juga turut jatuh ke bawah. Mira Maira menoleh.
“Ya, Encik Alif?” soal Mira Maira.
“Awak ikut saya.” Tercenggang Mira Maira dengan permintaan itu.
“Tapi saya…”
“Eton… boleh saya pinjam PA saya ni ya? Lain kali awak boleh lunch dengan dia,” kata Alif Hazriq kepada mereka bertiga. Berkerut kening Mira Maira.
Dengan langkah terpaksa, Mira Maira mengikut Alif Hazriq dari arah belakang. Turut berada di sisinya adalah Zul Fadzly yang tidak habis-habis tersengih.

MEREKA pergi ke restoran berputar di Menara Kuala Lumpur. Mira Maira cukup tak senang hati dengan tempat itu. Apa tidaknya, mereka bertiga itu punya kelas tersendiri. Sedangkan dirinya, hanya sekadar orang kampung. Tidak jiwa betul. Kalau bercakappun mereka bercakap yang ‘good-good’ aje.
Mira Maira mula rasa rimas. Kasihan rakan-rakannya tadi. Nampak ketara perubahan pada wajah Aiman. Apalah yang mereka kata nanti, sanggup mungkir janji semata-mata hendak memenuhi kehendak bos yang suka buat keputusan sendiri.
“Hei! Awak teringatkan siapa ni? Diam aje sejak tadi.” Tegur Zul Fadzly, Mira Maira yang sedang melayan perasaan tersentak.
“Hah?”
“I buat you terkejut ke?” Zul Fadzly mengangkat kening.
Mira Maira menggeleng. Dipandangnya Alif Hazriq, lelaki itu buat tidak tahu. Asyik benar berbual dengan Dyna. Entah apa yang dibualkan. Perlahan dan nampak macam berbisik-bisik sahaja. Kalau ikutkan hati, ada yang makan kasut tumitnya. Namun dia cuba mengawal perasaan. Selagi boleh sabar, sabar ajelah…
“Boleh I tanya you satu soalan?” Kali ini Mira Maira pula yang mengangkat kening.
“Yang staf lelaki tadi tu… you punya buah hati ke?” tanpa segan sila Zul Fadzly bertanya. Alif Hazriq memasang telinga. Lebar sahaja cuping telinnganya. Mahu mendengar jawapan isterinya itu.
Mira Maira ketawa. Tidak sangka lelaki itu boleh bertanya soalan itu. Ingatkan apalah tadi. Tengok riak muka lelaki itu bukan main suspen lagi.
“Mana ada… siapa nakkan saya ni… dahlah tak rupawan…” sengaja Mira Maira kuatkan sedikit suaranya. Alif Hazriq memandang ke arahnya. Cuma sekadar memandang tanpa perasaan. Hmm… jangan haraplah Mira Maira…
“Eh you ni terlalu merendah diri sangatlah… bagi I you tetap ada keistimewaan tersendiri. Pandangan orang tak sama, Mira.” jelas Zul Fadzly.
“Sayang… bila you nak buat pengumuman tentang hari perkahwinan kita?” tiba-tiba sahaja kedengaran suara manja Dyna kali ini agak kuat sedikit. Mampu menarik perhatian Mira Maira dan Zul Fadzly juga.
“Oh ya ke? Ini satu berita yang menarik… takkan senyap-senyap aje kawan…” Zul Fadzly menepuk-nepuk bahu Alif Hazriq.
Mira Maira mencapai minumannya. Dia menyedut air dengan rakusnya. Cuba meredakan perasaan yang sudah tidak pasti dia rasa apa. Mahu mengamuk ya juga. Tapi beranikah dia hendak mengamuk? Belum pernah seumur hidupnya mengamuk di khalayak ramai.
Dyna ketawa manja.
“You tau aje kawan you tu malu-malu konon. Okeylah kalau bakal hubby I ni tak nak beritahu, biar I aje yang umumkan. Untuk pengetahuan you berdua, kami akan bernikah tak lama lagi. Mungkin dalam masa terdekat…”
“Uhuk! Uhuk! Uhuk!” belumpun Dyna menghabiskan kata-katanya, Mira Maira telah tersedak. Habis skrit Dyna bila air dalam mulut Mira Maira tersembur keluar.
Pantas Zul Fadzly menghulurkan sehelai tisu pada Mira Maira.
“Hei! You ni kenapa hah? Perempuan kampung!” herdik Dyna, dia bingkas bangun lalu menyapu kain skritnya yang terkena air minuman Mira Maira tadi.
“Maafkan saya, saya tak sengaja. Maaf ya Cik Dyna.” Mira Maira mengesat air matanya yang keluar dek kerana tersedak.
“Kau ni memang sengaja, kan? Sebenarnya kau tu nak sabotaj aku sebab kau suka pada Alif, kan?” Alif Hazriq menarik tangan Dyna, dia cuba mengawal keadaan.
“Dyna, you ni tak malu ke?” tegur Alif Hazriq.
“Ah… peduli apa I, hari ni I nak buka pekong dia ni. Untuk pengetahuan you, dia ni memang ada hati dengan you. Perempuan tak sedar diri. Hei! I beritahu you ya, jangan mimpi di siang hari. Alif takkan terpikat dengan orang macam you ni,” lantang Dyna bersuara. Dia langsung tidak peduli dengan pandangan orang lain.
Mira Maira sempat menjeling ke kiri dan kanannya. Ada di antara pelanggan sudah berbisik-bisik. Tanpa berlengah lagi, dia terus meninggalkan tempat itu.
“Mira… Mira..” panggil Zul Fadzly.
Hendak harapkan Alif Hazriq menahannya? Jangan mimpilah. Dia lebih suka mengunci mulutnya dan membiarkan oleh lain memaki hamun isterinya sendiri. Lelaki jenis apakah dia itu? Bentak hati Mira Maira.
Zul Fadzly berlari mendapatkan Mira Maira. Waktu itu Mira Maira tidak mampu hendak memandang wajah lelaki itu. Dia malu!
“I hantar you, ya?” pujuk Zul Fadzly. Mira Maira tidak menjawab. Lebih senang dia mendiamkan diri sahaja.

“BETUL ke, you dengan Alif ada apa-apa?” soalan Zul Fadzly itu membuatkan Mira Maira tertelan air liur sendiri.
Mira Maira masih diam.
“Kalau tak betul, kenapa you tak bela diri tadi? You sanggup biarkan dia mencerca you macam tu sekali…” geram pula Zul Fadzly dengan perangai bongkak Dyna itu, kalau ikutkan hatinya tadi mahu sahaja dia menampar wajah perempuan itu.
“Buat apa saya menjatuhkan maruah saya sendiri dengan membalas kata-kata nista dia? Saya tak nak maruah saya nampak begitu rendah hanya kerana melayan kemarahan orang. Bagi saya, biarpun saya masih muda tapi saya tak mahu ikut nafsu,” jawab Mira Maira.
Kali ini hatinya yang berkocak itu mula rasa tenang. Tidak putus-putus dia beristigfar dalam hati. Berdoa bersungguh-sungguh mahukan api kemarahan yang baru sahaja mahu datang dapat dipadam.
Daripada Abu Hurairah r.a. Nabi Muhammad s.a.w bersabda : “Bukanlah orang gagah itu, orang yang kuat bertinju. Akan tetapi orang yang gagah adalah orang yang dapat mengawal diri ketika marah.”(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
 “Itu yang tak ada pada perempuan lain yang I pernah kenal. You nampak tenang dan bersabar. Biarpun situasi itu dah menjatuhkan maruah you sendiri. I respek pada you. Kalau I berada di tempat you, perempuan tu memang dah kena pelempang I sekali.” Zul Fadzly ketawa.
Mira Maira hanya tersenyum sedikit. Hatinya tercalar, hatinya sakit, fikirannya pula jadi buntu.
Deringan telefon bimbit Mira Maira berlagu-lagu tidak berhenti, namun tidak dihiraukan oleh gadis itu, dia tahu itu panggilan daripada siapa. Apa mahunya lagi? Mahu memujuk? Jangan mimpi di siang harilah, Mira… mahu memastikan dia selamat? Untuk apa? Perlukah dia ambil berat setelah apa yang berlaku?
“Kenapa tak jawab panggilan tu?” soal Zul Fadzly. Mira Maira tetap membisu.
Setelah panggilan demi panggilan tidak dijawab oleh Mira Maira, kali ini deringan telefon milik Zul Fadzly pula yang berlagu.
“Hello, bro! hmm… jangan risau dengan aku ni. Ya… aku tau… okey…”
Zul Fadzly menoleh ke arah Mira Maira seketika, gadis itu tetap begitu. Hanya melayan perasaannya sendiri.
“Encik Zul, awak free kan hari ini?” tiba-tiba Mira Maira bersuara.
“Hmm… ya…” jawabnya.
“Tolong hantar saya ke KL Sentral.” Pinta Mira Maira.
“Eh you nak pergi mana? Bos you suruh hantar ke pejabat, kalau you tak nak I kena hantar you balik.” Jelas Zul Fadzly.
Mira Maira menggeleng.
“Tolong hantar saya ke KL Sentral. Itu saja yang saya minta. Tolong saya, Encik Zul.”
“Okey.. okey. I ikut cakap you.” Zul Fadzly menekan padel minyak, merentasi jalan yang kurang sesak itu sehinggalah ke KL Sentral.
“Terima kasih. Kalau bos saya tanya, cakap saja yang Encik Zul dah hantar saya ke rumah.” Sebelum turun Mira Maira berpesan pada Zul Fadzly.
“Eh tak baik berbohong…”
“Terpulanglah, terima kasih sekali lagi…”
Perlahan dia menutup pintu kereta milik Zul Fadzly. Tanpa menoleh ke arah lelaki itu, dia memanjangkan langkahnya. Zul Fadzly hanya melihat langkah Mira Maira. Kasihan dia melihat gadis itu. Tidak patut Dyna malukan gadis itu tadi.
Dia meneruskan perjalanannya. Dia teringatkan pada Dyna. Kenapa Dyna boleh menuduh Mira Maira ada perasaan pada Alif Hazriq pula? Sedangkan dia lihat gadis itu biasa-biasa sahaja, tidak pula nampak dia sedang jatuh cinta. Memandang Alif Hazriq hanya seketika.
Telefon bimbitnya berbunyi lagi.
“Ya Alif…”
“Kau dekat mana ni? Mana Mira?” soal Alif Hazriq resah.
“Tadikan ke kau suruh aku hantar dia kat rumah kalau dia tak nak balik pejabat lagi. Jadi… aku hantarlah dia, kenapa?” jawab Zul Fadzly acuh tak acuh.
“Tak… tak… aku cuma… err…”
“Aikk? Sejak bila kawan aku gagap ni?” Zul Fadzly tertawa kecil.
“Aku cuma risaukan dia. Kalau kau dah hantar ke rumah, okeylah tu. Aku harap dia tak emosi sangat. hmm…” dalam hati punyalah risau.
Sejak daripada tadi, Alif Hazriq tidak senang duduk. Telefon bimbit Mira Maira tidak berjawab. Dia tahu isterinya marah. Dia sendiri tidak menyangka akan berlaku seperti itu. Dia marah pada dirinya kerana tidak dapat membela isterinya sendiri.
“Dyna macam mana pulak?” soal Zul Fadzly mematikan lamunan Alif Hazriq.
“Ah dia… pandai-pandailah dia pujuk diri dia sendiri. Bosan betul aku nak melayan perempuan macam tu.” Jawab Alif Hazriq, mengundang tawa Zul Fadzly.
“Hai… belum kahwin tak dapat nak kawal, macam mana dah kahwin nanti, bro? Kau serius ke nak kahwin dengan dia? Umi kau benarkan?” Zul Fadzly tidak percaya kerana setahunya Dato’ Farahlah penentang hebat hubungan mereka.
“Okeylah. Thanks, Zul.” Alif Hazriq tidak menjawab soalan rakannya itu. Talian terus diputuskan. Zul Fadzly hanya mengangkat bahu. Tunggu dan lihat apa seterusnya yang akan berlaku…

Isnin, 15 April 2013

JANGAN PANDANG SEBELAH MATA, BRO!





19
UNTUK sekian kalinya dia menangis lagi. Mulutnya ditutup dengan kain selimut. Hatinya pilu bagaikan tiada ubatnya. Inilah yang ditanggung sejak berbulan-bulan yang lalu. Waktu siang dirinya bagaikan orang asing. Di kala malam pula bagaikan seorang perempuan simpanan, diperlukan akan didatangi, jika tidak akan dibiar kesepian. Namun rasa cinta yang mula bercambah di hatinya tidak mampu menolak setiap takdir yang dihadirkan.
Biarpun terasing, biarpun dipinggir, rasa cinta itu mengaburi segalanya. Bencinya dia pada rasa itu. Rasa yang membunuh perasaan geram, marah, benci yang ada dalam dirinya. Mana perginya perasaan itu semua?
Dia tahu dia akan ditinggalkan sebentar lagi. Dia tahu dia akan sunyi. Tetapi kenapa dia tidak mampu membantah? Kenapa dia tidak pandai merajuk, tunjuk perasaan yang kian parah itu? Bodohkah dia? Dungukah dia mencintai suaminya sendiri? Bangangkah dia kerana masih mengharapkan cinta lelaki itu? Oh Tuhan, tolonglah aku. Aku tidak mampu membendung perasaanku ini. Aku tidak mampu berpura-pura lagi. Berikanlah hatinya padaku. Dia mengetap bibir, cuba menahan esak tangis yang kian merobek rasa.
Dengkuran lelaki di sebelahnya itu tidak mahu diganggu. Perlahan dia bingkas bangun, meninggalkan bilik yang kian membahang. Di ruang tamu, dia rebahkan tubuhnya di sofa empuk. Air mata makin deras, dia kesat dengan jemari halusnya.
Dia akui, semua yang didambakan oleh seorang isteri mampu dimilikinya. Harta, keluarga mertua yang baik, nafkah zahir dan batin semuanya cukup. Namun dia tidak mampu memiliki hati suaminya itu. Dia tidak mampu membelai jiwa suaminya, kasih sayang yang didambakan untuk beberapa bulan yang lalu masih lagi kaku dan membeku. Siapa dia sebenarnya di hati suaminya?
Mira Maira berdehem berkali-kali. Rasa sebak dan ngilu di hati semakin menekan perasaan. Dia beristigfar beberapa kali. Apa akan terjadi nanti? Mampukah dia menghadapi segala dugaan yang mendatang? Mampukah dia mengusir rasa cinta apabila jodoh mereka tiada lagi? Terdayakah dia menanggung perasaan duka jika perkahwinan ini diteruskan? Mampukah dia?
Akhirnya dia terlelap di situ.
Alif Hazriq bangun setelah dia lena beberapa jam. Begitu jugalah kebiasaannya, dia akan pulang ke kondonya tanpa disedari oleh Mira Maira. Biarpun kantuknya masih lagi terasa, namun dia tidak peduli. Asalkan orang keliling tidak mengenali dirinya.
Sejak dia meletak Mira Maira di situ, dia memang sengaja datang dengan imej yang berlainan. Sepertinya dia seorang pekerja kontrak, hanya bermotosikal kecil. Setakat itu, tiada sesiapa mengenali dirinya lagi. Dia akui itu semua kerja gila!
Sebaik sahaja dia ke ruang tamu untuk mengambil kunci motosikalnya, dia terpandang sesusuk tubuh sedang berbaring di situ. Wajah itu tampak mulus dalam lenanya. Dia memandang buat seketika sebelum berlalu masuk ke dalam bilik semula. Sehelai selimut di bawa ke ruang tamu, lalu tubuh kurus itu diselimutkan. Dia tidak mahu menganggu lena isterinya itu. Tanpa rasa bersalah, dia meninggalkan rumah itu dengan segera.

PAGI itu Mira Maira pergi kerja dengan semangat yang makin pudar. Perasaan hibanya masih lagi bersisa. Wajahnya juga tidak seceria mana.
“Akak nampak pucat aje hari ni?” soal Kumala.
“Pucat sangat ke?” Mira Maira memegang pipinya.
“Ya, kak. Akak tak cukup tidur ke? Encik abang akak balik ya?” Kumala tersenyum-senyum.
Pertanyaan Kumala itu membuatkan Mira Maira terdiam. Tidak tahu hendak jawab apa. Setiap kali Kumala bertanya soal suami, dia pasti akan mengunci mulutnya. Pasti Kumala nyatakan, teringin sekali ingin melihat wajah sebenar suaminya.
“Akak bila nak buat makan-makan? Nanti bolehlah kenal-kenalkan suami akak kepada kami. Dah berbulan jadi jiran, tak pernah saya tengok muka dia, ini mesti kacak sangat sampai akak sorokkan daripada kami,” tokok Kumala lagi.
Mira Maira tersenyum kelat. Mahu makan-makan? Hah! Tak terdaya hendak menjawab soalan orang kalau buat makan-makan. Tentu suaminya itu takkan pulang ke rumah.
“InsyaAllah, suatu hari nanti saya buatlah ya…” itulah jawapan yang paling selamat.
Selepas itu, perasaannya kembali berperang. Ya Allah, bantulah aku. Berilah aku peluang untuk menikmati kebahagiaan. Jangan Kau duga aku lagi, ya Allah…
Sampai di pejabat, dia melakukan rutin hariannya seperti biasa. Moodnya tetap hambar sehambar hatinya.
Sebaik sahaja Alif Hazriq masuk ke pejabat, dia terus mengekori lelaki itu. Seperti biasa juga, dia akan membacakan jadual untuk hari itu. Alif Hazriq memandang wajah Mira Maira yang seakan tiada perasaan. Isterinya itu tidak seperti selalu, bersuara manja dan seakan cuba menggodanya. Di hadapannya kini, seolah pekerja baru. Tiada segaris senyuman terukir di bibir itu. Wajah juga ditunduk tanpa mahu memandang wajahnya.
“Itu saja, Encik Alif.” Mira Maira menutup diarinya. Sepi.
“Ada apa-apa lagi yang Encik Alif mahukan? Kalau tak ada apa-apa, saya keluar dulu.” Mira Maira menanti arahan seterusnya.
“Tak ada apa-apa,” jawab Alif Hazriq. Matanya tetap tertancap di wajah itu.
“Saya keluar dulu…” Mira Maira berundur, baru beberapa langkah, dia terhenti.
“Kau kenapa hari ni? Macam tak ada mood aje. Aku tak suka tengok muka kau macam tu,” kata-kata Alif Hazriq mematikan langkahnya.
Mira Maira menarik nafas sedalam mungkin, memejam mata supaya dapat mengusir perasaan sebaknya.
“Maafkan saya, Encik Alif.”
Terus sahaja Mira Maira keluar.
Cuba disabarkan hati. Cuba dipulih semangat yang makin pergi. Memujuk sendiri perasaan sedih yang menghimpit diri. Dia pejamkan mata sekali lagi, beristigfar agar ketenangan jiwa kembali.
“Ya Allah, bantulah aku agar aku kuat hari ini…”
Dalam bilik, Alif Hazriq pula jadi resah. Masih terbayang-bayang di ruangan mindanya, wajah itu kelihatannya tidak ceria. Wajah itu tampak berlainan daripada biasa. Wajah itu sangat sayu. Mengapa?
“Ah… buat apa aku nak fikir pasal dia?” soal Alif Hazriq pada dirinya sendiri.
‘Ingat, Alif. Dia isteri kau yang sah menjadi milik kau sampai bila-bila, jika kau mahu. Hargailah dia, jangan kau buat dia begitu,’ satu suara bergema dalam hatinya. Entah mengapa, hatinya mula rasa bersalah.
“Akukah puncanya?” dia meraup wajahnya. Saat itu perasaannya memang rasa serabut.
‘Alah, Alif. Kau tak cintakan dia. Jadi, buat apa kau nak fikirkan hal dia,’ satu suara lain pula datang menghasut.
“Arghh… perempuan ni buat aku serabutlah,” marahnya.

“HAI Mira, bos ada?” sapa satu suara, siapa lagi kalau bukan Dyna. Mira Maira lemparkan senyuman palsu. Jiwanya semakin galau bila melihat gadis itu datang bertandang ke situ.
“Hai Cik Dyna. Bos? Hmm… ada,” jawabnya ringkas.
Duhai hati, jangan kau merajuk lagi. Hari ini sudah cukup kau terluka. Mira… kau dah puas menangis, bertabahlah… dia cuba merangsang semangatnya sendiri.
“Okey, Thanks…” Dyna melangkah setapak, kemudian dia kembali ke belakang semula.
“Eh sekejap, eeeiii… tengok muka you, langsung tak berseri. You tak pandai jaga muka ke?” soalan cepu emas itu membuatkan Mira Maira tercengang.
Dyna menggeleng kemudian meninggalkan Mira Maira yang dalam keadaan sakit hati.
“Perempuan ni, melampau betul!” marahnya. Tetapi dia tetap memegang wajahnya, risau juga hatinya bila ada orang mempersoalkan penjagaan wajahnya itu.
“Teruk sangat ke muka aku ni?” soalnya sendiri.
“Apa yang dibebel sorang-sorang ni?” soal Atikah. Cepat sahaja Mira Maira menggeleng.
“Tu perempuan tu… pagi lagi dah melepak kat sini. Dah tak ada kerja lain ke? Hari-hari nak tengok muka dia, naik jelak dah.” Atikah masih lagi menyoal.
Mira Maira tersenyum kelat. Mahu menambah, takut dituduh kepoh pula. Cukuplah ada seorang minah kepoh di sini, takkan dia hendak menambah bilangan kekepohan itu pula.
“Encik Alif tu pun satu, nak buat maksiat, kat pejabatpun jadi juga. Dua-dua tak tahu malu. Susah betullah kalau orang tak peduli tentang hukum hakam ni.” Atikah tidak berhenti membebel lagi.
Namun jauh di sudut hati Mira Maira, dia mengakui kebenaran kata-kata Atikah itu. Cuma caranya sahaja yang tidak betul. Seolahnya Atikah meluahkan rasa cemburu dan sakit hatinya. Bagaimana pula dengan dirinya? Terus terang dia turut rasa sakit hati. Mustahil dia tidak punya rasa.
“Susah-susah sangat panggil aje pencegah maksiat. Aman sikit dunia ni.”
“Eh janganlah, Kak Ati. Biarkan ajelah. Nanti kalau buat macam tu melibatkan kita semua. Tercemarlah nama baik dato’,” tegah Mira Maira. Dia juga tidak rela, andai suaminya ditangkap khalwat.
“Itulah dia, orang kita. Bila ada maksiat depan mata, kita nak biarkan. Sampai bila? Tau tak, kita dapat dosa yang sama sebab subahat? Hesy… dah tak senang hati kerja kat sini.”
Atikah terus berlalu pergi. Mira Maira hanya mampu memandang. Bukan dia seorang yang berkata begitu, malah ramai lagi. Apa lagi yang mampu dia lakukan? Hendak nasihat mereka, mahukah mereka mendengarnya?
Sedang fikirannya sesak dengan permasalahan itu, dia diganggu oleh deringan kuat telefon yang terletak di mejanya. Pantas tangannya mengangkat ganggang telefon.
“Hello, Syarikat Farra Kosmetik di sini, boleh saya bantu?”
“Assalamulaiakum, Mira. Umi ni.”
“Wa’alaikumussalam... oh, umi rupanya. Ada apa umi? Umi sihat hari ni?” sedikit ceria perasaannya bila dapat bercakap dengan ibu mertuanya.
“Umi sihat, sayang. Oh ya, umi dalam perjalanan untuk ke sana, Alif ada tak, Mira?”
“Enci… eh Abang Alif, ada umi. Umi sekarang dah dekat mana?”
“Dalam lima minit lagi umi sampailah.”
“Okey umi, jumpa nanti ya… assalamualaikum.” Ganggang terus diletak.
Tanpa membuang masa, Mira Maira terus merempuh pintu bilik pejabat Alif Hazriq, dan ketika itu dia tergamam tatkala melihat panorama yang tidak sepatutnya dia lihat.
Alif Hazriq terkejut, begitu juga dengan Dyna. Masing-masing berpandangan dan terus merenung ke arah Mira Maira yang masih lagi kaku.
“Hei! Kenapa kau masuk bilik ni tanpa kebenaran?” marah Dyna.
“Maaf Encik Alif, um… err… dato’ dalam perjalanan ke sini. Dalam masa lima minit lagi dia sampai,” tersekat-sekat Mira Maira bersuara. Antara dengar dengan tidak. Dia cuba menahan amukan hatinya. Ya! Dia cemburu. Dia marah!
Tanpa menoleh lagi, dia terus keluar daripada situ. Berlari-lari anak menuju ke bilik air. Di situ dia menangis sepuas hatinya.
“You balik dulu. Nanti umi cakap apa pulak,” pujuk Alif Hazriq.
“I nak jumpa dato’ juga. Bolehlah sayang…” rengek Dyna pula.
“Dengar cakap I, you keluar sekarang. Nanti umi nampak, habislah I.”
“Okey, you janji petang ni jumpa I, hmm?”
“Okey, I janji…”
Dyna meninggalkan Alif Hazriq yang sedang berperang dengan perasaannya sendiri. Dia telah ditangkap basah oleh isterinya sendiri. Dia bercekak pinggang, tidak tahu hendak fikir apa. Buntu untuk menerangkan perkara yang sebenarnya.
“Assalamualaikum, Alif… boleh umi masuk?” Dato’ Farah mejengah kepalanya sedikit ke dalam bilik anaknya itu. Alif Hazriq bingkas lalu mendapatkan uminya.
“Waalaikumussalam, masuklah umi,” tangan uminya dicium.
“Mira mana, dia tak ada kat depan,” soalan itu membuatkan Alif Hazriq tercekik. Namun dia memang pelakon yang hebat. Sungguh cepat dia dapat menjiwai wataknya.
“Dia ke ladies kot. Duduklah umi, kenapalah tak bagitau Alif dulu kalau nak datang. Boleh Alif sediakan kompang ke, tin kosong ke,” gurau Alif Hazriq.
“Saja umi nak buat kejutan. Manalah tau, Alif banyak mengular ke. Lagi pun umi nak tahu juga perkembangan syarikat kita ni. Sebelum tu, umi nak jumpa menantu umi dulu.”
Bila soal isterinya disebut, jiwanya makin gelisah.

SETELAH perasaannya mula reda, Mira Maira kembali ke mejanya. Belum sempat punggungnya mencecah ke kerusi, telefon di meja sudah berdering.
“Mira, masuk dalam sekejap,” arah Alif Hazriq.
“Baik, Encik Alif.”
Sebelum dia melangkah, nafas ditarik bagi mengusir segala rasa kecewanya. Dia bakal berhadapan dengan ibu mertuanya. Seboleh mungkin dia mahu mempamerkan riak bahagia walaupun ia tidak wujud langsung waktu itu.
“Assalamualaikum…”
Mira Maira melangkah masuk sebaik sahaja dia mengetuk pintu.
“Waalaikumussalam, anak umi…” Dato’ Farah mendapatkan Mira Maira. Wajah menantunya diciumnya lantas dipeluk pula tubuh kurus itu.
“Mira sihat hari ni?” Mira hanya mengangguk. Wajah Alif Hazriq langsung tidak dipandangnya.
“Umi ada sesuatu nak bagi Mira.” Dato’ Farah menghulurkan beg kertas kepada Mira Maira.
Mira Maira menyambutnya dengan senyuman gembira.
“Apa ni, umi?” soal Mira Maira.
“Bukalah kalau nak tau.”
“Tentu mahalkan, umi. Nanti saya buka di rumah. Terima kasih, umi. Buat susah-susah aje. Saya tak minta semua ini, umi. Kasih sayang yang umi curahkan pada saya dah memadai. Saya harap, kasih sayang ini akan berpanjangan sampai bila-bila walaupun suatu hari nanti kita…”
“Hai untuk menantu umi aje ke? Saya punya tak ada?” Alif Hazriq mencelah.
Alif Hazriq duduk di sebelah Mira Maira. Sangat rapat. Namun ia langsung tidak meredakan perasaan marah gadis itu, perlahan Mira Maira menginjak sedikit. Entah mengapa, dia rasa jijik. Jijik untuk mendekati suaminya sendiri.
“Umi, saya keluar dulu ya. Banyak kerja lagi yang saya belum buat. Nanti saya datang rumah umi, kira borak panjang ya.”
Mira Maira mula tidak rasa senang hati apabila Alif Hazriq dengan sengaja merapatkan dirinya, seolah mahu menunjuk-nunjuk kepada uminya bahawa mereka kini sedang berbahagia.
“Alah itu semua nanti-nanti boleh buat. Duduklah dulu,” pujuk Dato’ Farah. Mira Maira akur.
“Yalah sayang… duduklah dulu,” pandai betul suaminya berlakon, mahu termuntah Mira Maira mendengarnya.
“Oh ya… umi nak minum? Saya boleh buatkan,” seboleh mungkin Mira Maira mahu lari daripada situ.
“Boleh juga, buatkan umi air milo.”
Akhirnya dapat juga dia loloskan dirinya. Dia menarik nafas lega. Nanti bolehlah dia menjauhkan diri daripada lelaki itu.
“Perempuan tu ada kat sini tadi, kan?” soal satu suara. Mira Maira mengurut dadanya. Sungguh dia terkejut bila disapa begitu. Tidak perlu dia menoleh, dia cukup mengenali siapa yang empunya suara.
“Tolong jangan cerita apa-apa pada umi. Saya tak mahu umi fikir yang bukan-bukan.”
Tangannya perlahan sahaja mengacau air milo untuk ibu mertuanya. Sekejap lagi dia hendak buat air Nescafe, kesukaan bos kesayangannya pula.
“Sampai bila Kak Mira nak jaga hati umi? Sedangkan hati Kak Mira cukup terluka, jangan menghukum diri sendiri. Sakitnya akan kekal lama dan sukar diubati,” keluh Afif Haikal, dia hanya memerhati Mira Maira daripada arah belakang gadis itu. Tubuh disandar ke pintu pantry.
Mira Maira mula rasa sebak, cukup terharu kerana lelaki itu mengambil berat akan perasaannya. Namun dia kena tabah, sesedih mana sekalipun dia perlu hadapi juga kerana dia tidak mahu melukakan banyak hati.
“Kak Mira…”
“Saya tak tahu sampai bila. Selagi Allah kurniakan kesabaran kepada saya, saya akan cuba hadapinya.”
Mira Maira cuba mengawal emosi, dia tidak mahu orang mengatakan dirinya lemah. Walaupun hakikatnya, saat itu memang dia benar-benar sudah lemah. Tidak kuat lagi hendak menghadapi rintangan yang akan mendatang. Air yang ada di tubir matanya, dikesat dengan hujung jari. Kemudian dia menarik nafas berkali-kali agar dia dapat menenangkan hatinya. Entah mengapa hatinya kian  rajuk, dan rajuknya kali ini seakan sudah tidak mampu dipujuk lagi.
“Maaf, saya pergi dulu…” Mira Maira melangkah keluar daripada pantry itu. Afif Haikal hanya memandang lesu. Kasihan gadis itu, terpaksa mengorbankan kebahagiaan sendiri hanya semata-mata mahu menutup kesalahann suami sendiri.

“LAMANYA awak buat air…” tegur Alif Hazriq, dia memandang wajah sunggul isterinya itu.
Mira Maira hanya tersenyum kelat. Pertanyaan suaminya dibiar berlalu pergi. Berpura-pura dalam situasi begitu semakin menghimpit perasaannya.
“Minumlah, umi.” Pelawa Mira Maira.
Dato’ Farah tersenyum lebar. Dia menyambut air yang dihulurkan kepadanya, lantas meneguk sedikit.
“Hmmm… rindunya dengan air milo Mira ni… rasa macam dah lama aje tak minum. Sedap betul, pandai menantu umi buat.” Dato’ Farah memuji-muji.
Mira Maira hanya mampu mengangguk-angguk dan kemudian menjeling seketika ke arah Alif Hazriq. Lelaki itu hanya mencebir sahaja.
Dua beranak itu terus berbincang, Mira Maira hanya mampu mendengar sahaja. Mahu mencelah, dia tidak berapa pandai dalam selok belok perniagaan. Idea-idea yang diberikan oleh ibu mertuanya itu sangat mengagumkan. Dia terpegun bila mendengar setiap butir bicara wanita unggul itu. Sungguhpun sudah menjadi surirumah tangga sepenuh masa, wanita itu tetap punya idea yang ‘da bom’.
“Umi bincanglah dulu ya, saya ada kerja nak buat.” Bohong Mira Maira, sebenarnya dia mula rasa tidak selesa apabila dengan sengaja Alif Hazriq semakin merapatkan bahu ke arah tubuhnya. Dia rasa tidak selesa. Mira Maira membetulkan tudungnya yang tidak sedikitpun ada cacat celanya.
Dato’ Farah mengerutkan kening, tampak lain benar kedua anak menantunya itu. Seakan ada yang tidak kena.
“Baiklah, kalau Mira rasa tak selesa, Mira bolehlah keluar.” Mira Maira tersenyum lebar. Lega rasa di hati.
“Kalau ada apa-apa, umi panggil saya ya… saya segera berkhidmat,” kata Mira Maira sambil meletakkan tangan di dadanya. Dato’ Farah pula tersenyum lebar lantas mengangguk.
Tanpa berlengah lagi, Mira Maira bangun tanpa menoleh pada Alif Hazriq. Sedangkan dia tidak sedar, lelaki itu memandang ke arahnya. Baru sahaja dia mahu melangkah, tangannya telah digenggam oleh tangan sasa itu. Mira Maira menoleh.
“Temankan abang… kalau ada sayang, idea abang semakin mencurah-curah… please…” perlahan suara Alif Hazriq seakan merayu. Wajahnya juga dipamer dengan reaksi yang menjengkelkan pada pandangan mata Mira Maira. Sengaja mahu mengada-ada.
Kalau ikutkan hati mahu sahaja dia merentap tangannya. Mahu sahaja dia menjengilkan biji matanya kepada lelaki itu. Sengajalah dia mahu mengambil kesempatan. Sudah buat salah, konon berlakon baik sangat. Bernanah sahaja hati Mira Maira. Alif Hazriq mengenyitkan matanya. Akhirnya Mira Maira terpaksa akur juga. Sedangkan yang terbayang di ruangan matanya hanyalah adegan tadi. Ya Allah… berikan aku kekuatan…
Alif Hazriq tersenyum tanda kemenangan. Dia meneruskan perbincangannya dengan tangan sebelah kirinya masih lagi mengenggam erat tangan isterinya itu. Dia masih lagi bersabar, tidak mahu mengaibkan suami sendiri. Dibiarkan mereka berbincang sehingga suara-suara mereka sayup-sayup kedengaran dan akhirnya dia terlena di situ.

“SAMPAI tertidur menantu umi?” sapa Afif Haikal sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam bilik pejabat itu. Dato’ Farah dan Alif Hazriq serentak melemparkan pandangan ke arah Alif Haikal.
Dato’ Farah hanya tersenyum. Alif Hazriq pula menoleh ke sisinya. Lena benar isterinya itu. Dia menyandar tubuhnya ke dada sofa, kemudian dia merapatkan kepalanya menghampiri kepala isterinya itu. Kedengaran dengkuran halus, wajah mulus itu dipandangnya. Dia tersenyum kecil.
“Tengok menantu umi ni, mengular aje kerjanya. Sampai tertidur-tidur kat sini.” kata Alif Hazriq. Bibir terukir senyuman penuh makna.
“Biarlah, Alif. Umi tengok muka dia pucat aje.” Baru sahaja Alif Hazriq mahu menyakat isteirnya itu, Dato’ Farah menegahnya.
“Umi dah habis diskus ke?” Afif Haikal mengambil tempat di sebelah uminya.
Dato’ Farah mengangguk.
“Afif tunggu sekejap, umi nak jumpa staf-staf kita.” Dato’ Farah bangun, sebelum dia berlalu pergi, sempat juga dia mengusap wajah menantunya itu. 
“Biar saya teman umi,” balas Afif Haikal, dia turut berlalu pergi daripada situ.
Kini tinggallah Alif Hazriq dengan Mira Maira. Tubuh kurus itu dibetulkan kedudukannya. Kemudian dia menatap wajah itu yang begitu nyaman di pandangan mata.
Mira Maira membuka mata sebaik sahaja dia terasa hidungnya dicuit-cuit. Tatkala mata terbuka dia ternampak sepasang mata sedang merenung ke arahnya. Sepantas kilat dia menolak tubuh yang dekat dengannya. Kelam kabut dia berdiri.
“Err… umi mana?” soalnya sebaik sahaja jalunya sudah hilang. Alif Hazriq yang terduduk di atas karpet, bingkas bangun. Dia membetulkan bajunya dan melangkah mejanya.
“Dah balik,” jawab Alif Hazriq dengan muka yang seakan tidak ada apa-apa yang berlaku.
“Saya keluar dulu…” bergegas dia keluar dari bilik itu.
Alif Hazriq tersenyum penuh makna.