Pengikut

Jumaat, 22 Februari 2013

JANGAN PANDANG SEBELAH MATA, BRO!




10
MIRA MAIRA mula rasa selesa dengan kerjanya. Banyak juga yang telah dipelajari daripada Maslina. Sementelah lagi Maslina akan bercuti bermula daripada minggu hadapan. Dia mesti tahu apa sahaja tugas Maslina, dia tidak mahu ada masalah nanti. 
“Mira dah tuliskan semua tugas-tugas penting yang perlu dibuat setiap hari?” tanya Maslina yang duduk di sebelah Mira Maira. Ketika itu Mira Maira sedang menaip minit mesyuarat yang perlu disiapkan sebelum tengah hari.
“Dah, kak. InsyaAllah rasanya Mira boleh handle. Kalau Mira tak faham ataupun lupa, Mira boleh call akak, kan?” Mira Maira tersenyum, barisan gigi yang putih bersih dan cantik itu terpamir. Itulah daya penarik bagi Mira Maira sebenarnya.
“Boleh aje… tapi jangan call pagi-pagi buta pulak. Menganggu orang tidur namanya tu,” jawab Maslina sambil ketawa kecil.
“Takkanlah, kak…”
“Eh manalah tahu…”
“Okey, kak. Dah siap ni, cuba akak semak. Nanti mengamuk pulak momok kat dalam tu,” Mira Maira memberi ruang kepada Maslina untuk menyemak minit tersebut. Maslina tergelak besar apabila mendengar gelaran yang diberikan oleh Mira Maira.
“Momok Mira panggil dia? Sampainya hati…”
Mira Maira tersengih.
“Akak jangan bagitau dia pulak eh,” pinta Mira Maira, matanya pantas memandang ke arah pintu pejabat Alif Hazriq.
“Taupun takut… ni, betulkan ni ejapun salah.” Maslina menunjuk ke arah perkataan yang salah ejaannya. Pantas Mira Maira membetulkan ejaan tersebut.
“Assalamualaikum…” sapa seseorang.
“Waalaikumussalam…” jawab mereka berdua serentak. Kedua-duanya menoleh ke arah orang yang memberi salam itu.
Seorang lelaki yang memakai topi sambil membawa sejambak bunga. Punyalah banyak kuntuman bunga ros berwarna merah itu.
“Ya, encik. Nak jumpa siapa?” soal Mira Maira. Lelaki yang sedang menunduk mencari sesuatu itu memandang tepat pada Mira Maira. Cermin mata hitam ditanggalkan.
“Weh Mira ke ni?” soal lelaki itu.
Besar kelopak mata Mira Maira. Tidak disangkanya dia akan bertemu dengan Shahir.
“Aku baru tinggalkan kampung sekejap kau dah lupa ke? Miralah ni, siapa lagi. Akupun tak perasan muka kau tadi, punyalah nampak lain bila kau pakai topi dengan cermin mata hitam berkilau-kilau ni. Dah macam model cermin mata ada juga aku tengok,” sakat Mira Maira. Shahir tergelak.
“Sampai hati kau, kita orang punyalah cari mana kau menghilang. Tanya atuk kau, dia kata kau ke Kuala Lumpur. Sikitpun kau tak bagitau kami, kan?” luah Shahir. Mereka berbual tanpa menghiraukan orang keliling. Mira Maira pun lupa diri bila sudah bertemu dengan kawan sekampung.
Sorrylah… aku bukannya tak nak bagitau kau orang berdua, tapi… ah… lain kali ajelah kita cerita. Eh sejak bila kau kerja hantar bunga ni?”
“Dah dua minggu juga. saja-saja cari duit poket. Nak kerja dengan ayah aku, kau faham-faham ajelah. Jangan harap aku nak dapat gaji,” balas Shahir.
Sementara itu, dalam pejabat Alif Hazriq lelaki itu memandang terus ke arah luar pejabatnya. Matanya membuntang bila ternampak Mira Maira sedang rancak berbual dengan lelaki yang memegang bunga itu. Siapakah lelaki itu? Soalnya sendiri.
“Hai… tak sampai sebulan duduk KL, dah ada orang bagi-bagi bunga ke? Boleh tahan perempuan ni.” Omelnya sendiri.
Dia cuba menumpukan perhatian kepada kerja-kerjanya, namun otaknya masih lagi mendesak untuk mengetahui siapakah lelaki itu. Kekasih isterinyakah?
Dia bangkit lalu melangkah kemas ke pintu. Pintu dibuka, Maslina terkejut. Dia mencuit Mira Maira yang sedang leka bercerita.
Wajah Alif Hazriq garang macam singa. Secara tiba-tiba sahaja suhu badannya naik. Apatah lagi melihat Mira Maira yang tertawa begitu. Geram bila melihat kemesraan pasangan itu.
Mira Maira segera duduk sebaik sahaja nampak kelibat Alif Hazriq. Tidak mampu dia mengangkat wajahnya. Mmulutnya terkunci terus.
“Ini Encik Alif Hazriq ke?” soal Shahir apabila menyedari kehadiran seorang lelaki yang segak bergaya itu.
“Ya, saya…” wajahnya tetap tidak dimaniskan. Memandang Shahir besar kecil sahaja. Mahu ditelannya hidup-hidup.
“Bunga ini untuk encik. Tolong tanda tangan di sini,” Shahir menunjuk ke ruang yang perlu ditanda tangan oleh Alif Hazriq.
“Hmm…” Alif Hazriq menurut sahaja. Bunga telah bertukar tangan. Sebelum Shahir melangkah pergi sempat juga dia memberi nombor telefonnya kepada Mira Maira. Serba salah Mira Maira mahu mengambil nombor tersebut. Dia hanya mengangguk-angguk sahaja kepada Shahir.
“Wah, bos. Punyalah besar bunga bos dapat. Daripada buah hati ke?” usik Maslina.
Alif Hazriq tersenyum menawan. Mira Maira hanya mampu memandang lelaki itu daripada ekor matanya.  Lelaki itu terus menapak pergi, namun dia berpusing kembali.
“Lain kali kalau ada bunga untuk saya, terus aje bagi. Jangan bersembang lama sangat.” pesan Alif Hazriq, sempat dia menyindir Mira Maira.
Merah wajah Mira Maira bila mendengar sindiran Alif Hazriq. Membara rasa hatinya.
‘Dia sedap-sedap dapat bunga daripada kekasih, aku sembang dengan kawanpun tak boleh. Eeiii… geram betul.’ Marah Mira Maira dalam hati cuma. Sakit pula perasaannya bila melihat lelaki itu memeluk jambangan bunga itu.
‘Sengaja hendak tayang dengan akulah tu…’ tanpa sengaja dia menghentak stapler.

TELEFON di atas meja berbunyi, pantas tangan Maslina mengangkat ganggang telefon.
“Ya bos… baik bos…” hanya itu yang kedengaran. Setelah itu ganggang diletak. Mira Maira buat tidak endah kerana hatinya terasa sakit lagi.
“Mira… bos panggil. Bawa sekali minit mesyuarat ni,” arah Maslina.
Mira Maira tersentak. Wajahnya berkerut, takutpun ada juga.
“Akak tak masuk sekali ke?” soal Mira Maira. Maslina menggeleng.
“Bos nak Mira buat sendiri. Minggu depan kan ke memang Mira kena ambil alih semua tugas akak. Pergilah, bos bising nanti,” kata Maslina sambil mengangkat kedua belah keningnya. Buatkan Mira Maira bertambah seram lagi.
Dengan berat hati Mira Maira mnegatur langkah menuju ke bilik pejabat Alif Hazriq. Pintu diketuk beberapa kali, bila dengar suara menyuruh dia masuk barulah dia pulas tombol pintu tersebut.
Dia melangkah dengan penuh berhati-hati, menutup pintu juga penuh tata tertib. Dengan kepala yang masih lagi menunduk memandang lantai dia mendekati meja Alif Hazriq.
“Ini minit mesyuarat tu, Encik Alif.” Dengan penuh hormat juga dia memberi minit mesyuarat itu kepada Alif Hazriq.
Alif Hazriq hanya memandang, membiarkan sahaja Mira Maira menghulur kertas itu. Mira Maira mula rasa bosan.
‘Sajalah tu nak dera aku, kang aku baling kertas ni kat muka dia baru padan muka,’ berbuku sahaja hatinya. Mahu dijeling-jeling wajah itu. Tapi dia tidak mampu hendak mengangkat muka. Sesekali matanya merayap pula pada hujung meja, jambangan bunga yang besar terletak di situ. Bertambah-tambah sakit hatinya.
Setelah lama mematung berdiri di situ, akhirnya kertas yang ada pada tangannya telah bertukar tangan. Alif Hazriq memeriksa setiap baris perkataan yang tertera dalam minit tersebut.
“Siapa budak tadi tu?” Alif Hazriq tiba-tiba bersuara.
Mira Maira mengangkat muka, wajah Alif Hazriq dipandangnya. Lelaki itu sedikitpun tidak memandangnya. Mira Maira diam membisu.
“Aku tanya siapa lelaki tadi tu? Kau kenal dia ke?” ulang Alif Hazriq. Mira Maira menelan liur.
“Dia kawan sekolah saya. Kami satu kampung,” jawab Mira Maira perlahan. Suaranya antara dengar dengan tidak saja.
“Patutlah bukan main rancak lagi berbual. Lain kali jangan nak bersembang dengan orang, macam bersembang di kedai kopi. Bukan tak ada kerja nak dibuat,” bebel Alif Hazriq.
Panas sahaja telinga Mira Maira. Wajahnya yang hitam manis itu boleh menjadi hijau pekat dek kerana darah sudah mula menyerbu naik ke kepala.
‘Eh kalau dia berbual dengan kekasih dia tak apa pulak. Agak tak ada kerja lain ke dia nak buat?’ marah hatinya lagi.
“Kau dengar ke tak?” soal Alif Hazriq apabila melihat Mira Maira terus diam membisu.
“De… dengar, Encik Alif. Saya janji lain kali saya tak buat lagi,” sepatah-sepatah Mira Maira mengikrar janjinya walaupun tidak sepenuh hati.
Alif Hazriq menghulur kertas itu kembali. Mira Maira pantas sahaja menyambutnya.
“Semuanya okey, kau boleh fotocopy. Nanti letak di meja bilik mesyuarat. Aku nak semuanya dah tersedia di atas meja sebelum mesyuarat bermula.” Arah Alif Hazriq lagi. Mira Maira mengangguk.
“Baik, Encik Alif. Ada apa-apa lagi? Boleh saya keluar sekarang?” Mira Maira kalau boleh mahu segera berlalu daripada situ. Mahu ghaib terus daripada pandangan lelaki itu.
“Rasanya tak ada apa-apa lagi. Kau boleh keluar sekarang.” Arah Alif Hazriq. Mira Maira mengangguk. Dia melangkah secepat mungkin. Malas mahu berlama-lama di situ. Lelaki itu memang sengaja mahu mendera perasaannya.
‘Sajalah tu nak tunjukkan kuasa dia. Paling aku geram, macam sengaja aje tayang bunga dia tu, pirah… malas nak semak fikiran.’ Hati Mira Maira tidak habis-habis berleter.
Sudahnya dia jadi moody sehingga ke petang. Dalam bilik mesyuaratpun dia langsung tidak ada semangat. Wajah Alif Hazriq enggan dipandangnya. Selebihnya ada bibit-bibit cemburu di hatinya. Dia tidak boleh sangkal semua itu. Isteri mana yang tidak cemburu?

Rabu, 20 Februari 2013

JANGAN PANDANG SEBELAH MATA, BRO!




9
BERADA di rumah seorang diri tidak ada apa yang dapat dilakukan sangat. Mahu masak, dia malas pula. Tidak ada siapa yang akan makan nanti. Kalau tidak masak, tentu perutnya akan berkeroncong. Pulang daripada kerja tadi dia malas hendak singgah di mana-mana. Lagipun dia masih tidak biasa di kawasan itu.
“Nak buka puasa dengan apa ni? Sekejap lagi azan maghrib,” Mira Maira membuka peti sejuk yang sederhana besar itu. Dalamnya hanya ada buah-buahan, air kotak dan juga beberapa botol air mineral. Masih belum terisi lauk pauk lagi. Dia mengambil dua biji epal hijau dan merah.
Dia memotong buah epal, kemudian dia campurkan pula dengan sedikit mayonis. Hanya itu sahaja yang ada dalam peti sejuknya. Kemudian dia gaulkan dengan sedikit garam dan serbuk lada hitam. Siaplah salad yang tidak cukup bahan itu. Asalkan boleh makan, cukuplah.
Dia membawa makanan itu ke ruang tamu, Azan maghrib kedengaran, segera dia minum air susu. Sekadar menyegerakan waktu berbuka. Kemudian dia menunaikan fardhu maghrib pula. Setelah itu, dia ke ruang tamu semula. Sambil menonton televisyen, dia mengunyah perlahan-lahan buah-buah epalnya itu.
“Hmm… sedap juga salad aku ni…” pujinya sendiri. Kemudian dia tersengih.
Habis sahaja dia menonton berita, dia mencari saluran yang boleh menghiburkan hatinya. Mujurlah rumah itu sudah siap dipasang astro. Banyak siaran yang dilanggan. Namun siaran kartun juga yang menjadi pilihannya. Seronok juga melayan kartun, logik ataupun tidak, dia tidak peduli. Asalkan boleh ketawa biarpun seorang diri.
Dia menyandar ke dada sofa. Fikirannya mula melayang, teringatkan Alif Hazriq. Sejak dia duduk di situ, batang hidung suaminya itu tidak muncul-muncul. Sibuk sangatkah dia sampaikan tidak ada masa untuk keluarga?
“Kalau tak suka tu, tak payahlah bawa aku duduk kat sini. Lebih baik duduk kat kampung.” Bebelnya sendiri, remote yang ada di tangannya dihentak-hentak ke atas pahanya.
Sedang dia asyik melayan perasaan, kedengaran telefon berbunyi. Dia mencari-cari arah bunyi telefon tersebut. Seluruh ruang tamu itu dia selongkar, namun tidak ketemu juga.
“Aku ni mimpi ke apa? Bila masa rumah ni ada telefon?” meremang pula bulu tengkoknya. Terasa seram bila tinggal seorang diri begitu.
“Hesy… tak logik… tak logik… mana ada hantu pakai telefon pulak? Tak munasabah. Agak-agaklah nak buat cerita seram tu…” bebelnya seorang diri.
Dia duduk semula. Namun hatinya mula resah, tidak banyakpun ada juga sedikit rasa takut. Dia hanya manusia biasa, kadangkala terpercaya juga dengan benda-benda karut itu.
Baru sahaja perasaannya mula normal dan rasa takutnya hilang, sekali lagi dia terdengar deringan telefon. Dia tegak berdiri. Mahu mencari arah bunyi tersebut. Dia yakin itu bukan ilusi. Dia mula melebarkan telinganya, berjalan perlahan-lahan, masih lagi mencari.
“Mana ni? Weh telefon mana kau menyorok?” bergema suaranya dalam rumah itu.
Deringan telefon itu berhenti lagi. Kali ini Mira Maira bertekad untuk mencari sampai jumpa.
“Main sorok-sorok pulak kau telefon. Siapalah punya kerja ni?”
Dia meniarap, mencari di bawah sofa pula. Tidak pula kelihatan. Dia duduk bersila di atas lantai.
Seketika kemudian telefon itu berbunyi lagi, kali ini dia merangkak pula seperti seorang askar yang terpaksa merentasi halangan kawat yang berduri. Perlahan-lahan dan kemudian dia berhenti di sebelah pasu bunga yang terdapat di ruang tamu itu. Dia amati lagi dan kemudian dia tersenyum.
“Oh kat sini kau menyorok ya…” dia mengalihkan pasu bunga itu dan panjang sahaja tangannya mengambil telefon bimbit yang sedang berbunyi.
“Hello…”
“Jumpa juga ya? Tengah buat apa?” soal lelaki itu. Mira Maira mengerutkan keningnya. Semacam pula suara lelaki itu. Perlahan dan romantik, tidak pasal-pasal jantungnya berdegup kencang.
“Assalamualaikum…” sengaja Mira Maira memberi salam. Sambil-sambil sedarkan lelaki itu tentang adap-adap apabila mahu berbicara dengan orang.
“Waalaikumussalam… sindir nampak…” tawa lelaki itu sangat aneh. Naik bulu romanya bila mendengar tawa itu.
“Bila awak datang ke sini? Sempat pulak sorokkan telefon ni,” soal Mira Maira.
“Tak boleh ke? Kena minta izin dulu ya?”
“Tak adalah…”
Mereka berdua terdiam. Hanya deruan nafas sahaja yang kedengaran.
“Malam ni aku balik. Kau dah makan ke? Nak pesan apa-apa?” berderau darah Mira Maira.
“Err… saya… saya dah kenyang.” Entah kenapa dia rasa tidak tentu hala. Berdebar-debar dan macam-macam perasaan yang datang.
“Okeylah, dalam pukul sebelas aku sampai. Jangan pulak kau tidur mati, tunggu aku. Jumpa nanti, bye...” talian telah diputuskan.
Mira Maira masih lagi duduk di atas lantai, terkebil-kebil matanya memandang kosong ke arah dinding. Seakan tidak percaya lelaki itu bercakap lembut dengannya. Berbeza dengan sikapnya siang tadi.
“Ada apa-apa ke? Hah?!” wajahnya bertukar menjadi pucat setelah dia terfikirkan sesuatu. Debaran semakin mengila.

“HMM… orang suruh dia tunggu, dia tidur pulak. Penat sangat ke?” soal Alif Hazriq sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam rumah itu, matanya terus tertumpu pada sekujur tubuh yang begitu pulas lenanya.
Hidung Mira Maira dicuit beberapa kali. Gadis itu memang sensitif dengan hidungnya. Itu perkara pertama yang dia ketahui mengenai isterinya itu. Itupun Tok Taha yang beritahu.
Masuk tiga kali hidungnya diusik, Mira Maira terus membuka mata. Mata yang kelam dan kelabu itu tidak dapat melihat objek yang berada di sisinya dengan jelas. Puas dia amati namun kantuknya itu masih lagi berbaki. Matanya terpejam semula.
“Amboi… boleh dia celik sikit aje?” Alif Hazriq tersenyum. Tanpa berlengah lagi, tangan sasa itu mencampung tubuh keding itu. Sekali angkat sahaja tubuh itu sudah berada di atas tangannya.
Alif Hazriq membawa isterinya itu masuk ke dalam bilik. Belumpun sempat dia meletak tubuh Mira Maira di atas katil, gadis itu telah terjaga dari lenanya.
“Lepaskan aku! Lepaskan aku!” jerit Mira Maira. Terkejut Alif Hazriq mendengarnya.
“Syyy… diamlah… nanti jiran-jiran dengar pulak,” tegah Alif Hazriq.
Mira Maira yang baru sedar siapa lelaki itu terkulat-kulat. Dia sangkakan tadi perompak atau penyamun yang datang ke rumahnya. Dia takut diapa-apakan.
“A… awak… tolong turunkan saya…” katanya separuh merayu. Dia cuba memandang mata lelaki itu, namun dia tidak mampu kerana kedudukan mereka yang terlalu dekat membuatkan dia mahu pengsan sahaja.
“Dah dekat dah….” Alif Hazriq meletakkan tubuh Mira Maira di atas katil. Mira Maira tegak sahaja tubuhnya duduk di birai katil.
“A… awak bila sampai?” soalnya tergagap-gagap.
Alif Hazriq selamba membuka jaketnya. Nampak daripada gaya lelaki itu, sepertinya dia menunggang motosikal. Mira Maira mencuri-curi pandang ke arah suaminya itu.
“Baru saja... kan aku suruh tunggu, kenapa kau tidur pulak?” sengaja Alif Hazriq mahu mendera perasaan Mira Maira. Pastinya gadis itu menjadi serba salah. Memang itulah yang dirasakan oleh Mira Maira.
“Err… maafkan saya. Mata ni dah tak boleh control,” jawab Mira Maira gugup.
Alif Hazriq menyalin pakaiannya. Baju yang sudah sedia diletak dalam almari itu dicapai.
Manakala Mira Maira mengerutkan keningnya, bila masa pula lelaki itu angkut bajunya di situ? Kenapalah boleh tak perasan. Tapi tadi dia ada buka ke almari baju itu? Hmm… apakah benar lelaki itu mahu duduk serumah dengarnya?
“Apa lagi termenung tu, tidurlah. Tadi nampak macam mengantuk sangat.” Alif Hazriq melangkah perlahan menuju ke katil. Dengan selamba dia berbaring di situ.
“Awak nak minum tak?” Mira Maira mula tidak tenteram. Dia mahu lari daripada situ.
“Esok-esok aje kau buat minuman untuk aku. Sekarang aku nak tidur dah,” jawab Alif Hazriq. Tersungging senyuman di bibirnya. Mahukan tidak dia cuba menahan tawanya apabila nampak gadis itu gelabah semacam.
“Tak nak eh? Err…” Mira Maira mati akal. Hesy… kenapa rasa seram semacam aje ni?
“Apa lagi? Tidurlah!” arah Alif Hazriq. Mira Maira perlahan bergerak mahu merebahkan dirinya tetapi dia bingkas semula.
“Awak tahu, ustazah saya cakap kalau suami balik kita kena beri minuman kegemarannya. Besar ganjaran yang isteri boleh dapat. Seumpama mendapat pahala umrah yang penuh.” Mira Maira mula berkira-kira mahu ke dapur, tetapi ditegah oleh Alif Hazriq.
“Sudahlah… hari dah jauh malam. Kau tidur aje. Esok-esok boleh kumpul pahala tu. Bukan ke tidur ni juga boleh mendatangkan pahala?” Alif Hazriq menepuk-nepuk bantal di sebelahnya. Mira Maira memandang wajah Alif Hazriq kemudian lelaki itu menghadiahkannya satu kenyitan. Oh Tuhan… boleh sasau aku dibuatnya… marah Mira Maira pada dirinya sendiri... akhirnya dia terpaksa akur juga… demi mencari pahala yang diredai…

PAGI-PAGI lagi Alif Hazriq sudah bersiap-siap memakai pakaian seperti malam tadi. Berjaket dan memakai sarung tangan. Bergegas Mira Maira membancuh air Nescafe kesukaan Alif Hazriq.
“Maaflah hanya air saja yang ada. Saya ingatkan awak nak keluar lewat sedikit, bolehlah saya masak sarapan,” Mira Maira menghulurkan air kepada Alif Hazriq yang baru sahaja selesai memakai stokin. Lelaki itu hanya mendiamkan diri sahaja. Peliknya!
Suasana kembali sepi. Selesai sahaja Alif Hazriq meneguk minumannya, dia bangkit lantas mahu berlalu daripada situ. Dia membuka pintu utama, tetapi langkahnya terhenti apabila mendengar suara Mira Maira.
“Awak…” Mira Maira mendekati Alif Hazri q. Hanya kening sahaja yang terangkat.
Mira Maira menghulurkan tangannya, Alif Hazriq menyambut tangan tersebut. Tangan sasa itu dikucup dengan penuh keikhlasan. Pada hari itu, secara rasminya dia menyerahkan seluruh cinta dan kasih sayangnya kepada sang suami. Moga Allah membenihkan cinta di hati suaminya, itulah harapannya.
Selepas itu Alif Hazriq terus meninggalkan Mira Maira tanpa pesanan. Mira Maira hanya mampu memandang sehinggalah bayangan suaminya hilang daripada pandangan matanya. Hatinya menjadi sayu. Hiba pula rasanya melihat suaminya diam membisu begitu. Apa salahnya?

Ahad, 17 Februari 2013

JANGAN PANDANG SEBELAH MATA, BRO!




8
MIRA MAIRA mengelamun di hadapan mesin fotostat itu, terbayang-bayang wajah gadis yang mampu memukau sesiapa sahaja yang memandang. Auranya memang terasa. kecantikannya amat terserlah, tidak kiralah berapa inci bedak dan alat solek ditepek. Asalkan nampak cantik. Berbanding dengan dirinya, yang tidak pandai langsung bersolek. Bibirpun tidak pernah dicalit pewarna.
“Patut ke aku berperasaan macam ni? Ternyata yang nakkan aku hanya keluarga dia. Dia pulak…” omel Mira Maira perlahan. Bibirnya diketap.
“Heh budak bertuah ni, mengelamun ke?”
Maslina mencuit lengan Mira Maira. Terkejut dia bila dicuit begitu.
“Eh akak… ada apa-apa lagi ke, kak?” soalnya, sambil menyusun helaian-helaian kertas yang sudah siap difotostat.
“Eii dia buat muka tak bersalah dia ya? Tengah mengelamun apa, teringatkan pak we ke?”
Cepat sahaja Mira Maira menggeleng.
“Eh tak adalah, kak. Mana ada saya mengelamun, cuma berangan sikit aje.”
“Ewah dia, sempat berangan lagi?”
Mira Maira tersengih.
“Tolong fotostat yang ni pulak ya… nanti kepilkan sekali dengan kertas tadi.” Maslina menghulurkan beberapa helai kertas kepada Mira Maira.
“Nak berapa…”
“Mas, I nak keluar dulu. Kalau ada apa-apa, hubungi I.”
Kata-kata Mira Maira terhenti sebaik sahaja Alif Hazriq mendekati mereka. Diikuti pula gadis yang berambut perang tadi. Mira Maira cuba melarikan pandangan matanya. Dia pura-pura tidak ambil tahu. Padahal, dalam hati hanya Allah sahaja yang tahu gelodak rasa.
“Okey, bos.” Jawab Maslina.
Alif Hazriq hanya memandang sambil lalu sahaja Mira Maira. Dia dan pasangannya terus meninggalkan mereka berdua.
“Sepadan betul. Entah bilalah dapat makan nasi minyak diorang ni.” Ujar Maslina pula makin memedihkan lagi tangkai hati Mira Maira.
‘Ya Allah, kak… kalau kau tahu isteri dia yang sebenar, tentu kau pengsan empat puluh hari empat puluh malam agaknya.’ Kata Mira maira dalam hatinya.
“Kenapa diorang tak kahwin lagi, kak?” entah mengapa, gatal pula mulutnya hendak bertanya.
“Entahlah. Dengarnya dato’ tak berapa suka dengan Dyna tu. Yalah, dato’ tu bukannya macam mak-mak datin lain. Dia mesti nak yang terbaik untuk anak dia.”
Kembang sedikit hati Mira Maira. Ternyata dirinya menjadi pilihan, bermakna dia yang terbaiklah. Syukur…

“KITA sebagai pekerja syarikat ni, kenalah menyokong penuh produk keluaran syarikat. Jadi, pihak syarikat memberi potongan empat puluh peratus kepada kakitangannya. Dan pekerja-pekerja juga digalakkan menggunakan produk ini.”
Maslina menerangkan kepada Mira Maira. Ketika itu mereka di bilik khas yang mempamerkan produk-produk keluaran syarikat mereka. Di bilik itu juga mempunyai mesin khas untuk pemeriksaan kulit muka, penimbang berat badan, mesin pengesan kolestrol dan macam-macam lagi.
“Mari akak cuba periksa muka Mira.” Maslina menarik tangan Mira Maira.
“Eh tak payahlah, kak. Kulit saya okeylah, akak tengok mana saya ada jerawat.” Tolak Mira Maira.
“Cik adik oii… kalau tak ada jerawat bukan bermakna kulit awak tu sihat. Mesin ni bagus boleh mengesan sel-sel pada kulit wajah kita. Dah jangan cakap banyak, duduk sini.” paksa Maslina. Sesekali dia mengusap perutnya yang sudah besar itu.
Mira Maira hanya akur. Menyerahkan diri dan membiarkan apa sahaja yang dilakukan oleh Maslina. Khuatir pula, kalau melawan nanti kasihan pula ibu mengandung itu.
“Hmm… tengok ni banyak sangat lubang pori-pori yang terbuka. Jangan dibiarkan nanti jadi jeragat, kulit Mira kusam, dah banyak sel kulit mati. Kita perempuan ni kena jaga juga muka, tak payah kerana orang lain, untuk diri sendiri dah cukup. Awak tu muda lagi, daripada sekaranglah nak jaga muka ni elok-elok. Kalau kulit sentiasa berseri dan tak banyak masalah, senang esok dah tua-tua nak jaga. Tak payah cucuk sana, cucuk sini nak nampak cantik.”
Mira tersengih-sengih bila mendengar penerangan daripada Maslina.
“Tengoklah tu, kita cakap boleh dia tersengih-sengih pulak. Akak cakap betul ni, makan suplement-suplement Farra, kesannya cepat. Tak payah nak make-up tebal-tebal, Mira. Cuba tengok staf-staf perempuan kat sini, ada muka mereka dicemari oleh jerawat?” bebel Maslina, siap menjeling-jeling lagi.
Mira Maira akui, staf-staf perempuan di situ kebanyakannya berwajah bersih walaupun tidak secantik model produk Farra Kosmetik itu. Tetapi dia yang punya penyakit malas. Pagi-pagi kena cuci muka, lepas tu pakai itu, pakai ini. Nanti waktu malam, buat benda yang sama juga. Hesy… buang masa betul.
“Alah, kak. Saya baru aje kerja. Mana ada ongkos nak beli semua produk-produk ni. Tak apalah, kak... kalau tak cantikpun,” Mira Maira menjuihkan bibirnya.
“Jangan cakap macam tu, Mira. belilah sikit-sikit. Kalau tak ada duit sekarang, nanti dah dapat gaji bolehlah beli. Mira belum ada pak we lagi ke?”
Soalan itu membuatkan Mira Maira tertelan air liur.
“Ada orang ke nak muka saya ni, kak? Tengoklah akak sendiri cakap kulit saya kusam, lepas tu warna kulit saya ni gelap kak oii. Orang zaman sekarang nak muka macam.. err… siapa nama model tadi tu?”
“Dyna,”
“Hah, Dyna. Orang lelaki sekarang lebih tertarik dengan muka macam tu, kak. Saya tak kisahlah kak, cantik ke tak cantik ke.”
Jawapan daripada Mira Maira itu membuatkan tangan Maslina laju sahaja mengetam lengannya.
“Apalah kutuk diri sendiri. Nampak sangat tak ada keyakinan diri. Mira cantik, cuma kena jaga sikit aje lagi. Badan tu besarkan sikit. Ni kurus sangat. kalau berdiri sebelah tiang, nampak tiang tu lagi besar daripada Mira.”
“Tengok! Akak kutuk saya,” Mira Maira buat-buat merajuk.
“Ini bukan mengutuk tapi kenyataan.” Balas Maslina. Mereka tergelak.
Dalam hati Mira Maira, dia akui kata-kata Maslina itu. Namun dia tidak mahu mengalah. Dia mahu melihat sejauh mana kebenarannya. Adakah benar-benar berkesan dengan teorinya tanpa sebarang solekan, tanpa sebarang suplement, suami yang ikhlas dan jujur pasti akan menyayanginya kerana Allah. Sekiranya sebaliknya berlaku, dia terpaksa akur. Menghiasi diri kerana Allah untuk mendapatkan kasih sayang seorang suami, tidak salah juga. 
“Entahlah, kak. Kita tunggu dan lihat aje. Kalau lelaki tu ikhlas terima saya seadanya, pasti dia akan rasa bahagia juga. Dahlah, kak. Saya malas nak fikir-fikir lagi. Umur saya muda lagi.”
“Suka hati kamulah, Mira. Tapi akak nasihatkan Mira, tak rugi cuba. Akak rasa sihat bila makan, makanan tambahan produk Farra ni. Tengok akak mengandung, akak masih aktif lagi. Ia membantu juga. Alhamdulillah, masa mula-mula mengandungpun akak tak mabuk.”
“Insyaallah, kak. Nanti kalau saya nak cuba, saya beritahu akak ya.”
Mereka meninggalkan bilik itu.

MIRA Maira mula gelisah, sejak kepergian Alif Hazriq, kelibat lelaki itu tidak muncul-muncul lagi. Entah kemanalah dia pergi. Waktu kerjapun nak mengular dan berdating. Benci betul.
Eh kenapa pula dia marah sangat ni? Bukan ke lelaki itu telah berpesan kepadanya, kalau bekerja di syarikat itu, segala aktiviti luarnya tidak perlulah dia ambil tahu. Tapi… bukankah lelaki itu suaminya?
Mata dipejam rapat-rapat. Gelisahnya tidak mahu reda.
“Datang sini nak tidur ke nak kerja?” sergah satu suara.
Terperanjat Mira Maira dibuatnya. Matanya dibuka, sesusuk tubuh sedang menghadapnya. Wajah itu nampak bengis. Terkebil-kebil kelopak mata Mira Maira, seakan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Lelaki itu? Sejak bila dia balik? Langsung tidak dengar derap kasutnya.
“Apa lagi terkebil-kebil? Bangun basuh muka tu,” tegas Alif Hazriq.
Mira Maira mahu melawan, namun dia akur juga. Dia bangun, dan meninggalkan lelaki yang dirasakan sangat berlagak itu.
“Menyampah betul!” bebelnya.
Sabarlah Mira… kau sedang berpuasa. Dia cuba menyabarkan hatinya. Matanya mula panas, seakan dia mahu meluahkan rasa hatinya dengan menangis.
“Ya Allah, berikanlah aku kesabaran.”
Ketika dia tergesa-gesa mahu ke bilik air, dia berselisih dengan seorang pemuda yang sangat bergaya.
“Opss, sorry…” kata lelaki itu. Mira Maira buat tidak tahu, menonong sahaja berjalan dek melayan rasa sakit hatinya itu.
Lelaki itu memandang, cermin mata hitamnya diturunkan sehingga ke paras bawah hidungnya. Bibirnya tersenyum sambil menyengetkan ke arah kanan.
“Hei, bro!” Alif Hazriq menepuk bahu lelaki itu.
“Hei! Alif Hazriq…” kedua lelaki itu berjabat tangan lantas berpelukan.
“Apa mimpi datang ke sini, ada berita gembira ke?” Alif Hazriq menumbuk-numbuk sedikit lengan rakannya itu.
“Aku mimpi sang dara menyeru-nyeru nama aku. Alif, siapa tadi tu?”
Orang yang dimaksudkan oleh Zul Fadzly adalah Mira Maira. Entah mengapa apabila berselisih sahaja dengan gadis itu, hatinya mula tertarik.
“Siapa? Tukang sapu tu ke?” soal Alif Hazriq kerana kebetulan pula yang ada di situ adalah Puspa.
“Haih… selisih…” mereka ketawa kuat. Kedua lelaki itu bergerak masuk ke dalam pejabat Alif Hazriq.
“Aku seriuslah, siapa budak tadi tu?” Zul Fadzly mengulangi pertanyaannya tadi, tangan pula menarik kerusi yang ada di hadapan meja Alif Hazriq.
Alif Hazriq buat tidak dengar.
“Kedekut seh lelaki ni…” Zul Fadzly membaling secebis kertas yang telah dironyokkan ke arah Alif Hazriq. Lelaki itu menepisnya.
“Buat apa kau nak tahu? Nak jadikan koleksi ke, der?” Alif Hazriq bertanya acuh tak acuh. Kes berat kalau dia kenalkan Mira Maira kepada lelaki di hadapannya itu.
“Saja nak kenal-kenal. Kalau ada jodoh terus kahwin. Kau tau selera aku macam mana, kan? Biar moden dunia ini sekalipun aku tetap nak cari minah kampung. Dan aku rasa, budak itu bisa mengegarkan jantung aku,” selamba Zul Fadzly berkata. Kedua tangannya di letak di belakang kepalanya.
“Kau jangan cari pasal, minah tu baru datang daripada kampung. Masih suci murni lagi,” bantah Alif Hazriq. Entah mengapa ada rasa bimbang di hatinya bila rakannya itu menyebut mengenai Mira Maira.
 “Itu yang aku nak. Masih suci murni. Perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, macam aku. Tak macam kau, mana ada kelab malam yang kau tak pergi?” sindir Zul Fadzly. Alif Hazriq ketawa.
“Amboi, berimannya Zul Fadzly… perempuan keliling pinggang, nak jadi pak lebai pulak. Hentikanlah merepek kau ni. Dah jom ikut aku.”
“Baru aku nak berilusi. Kau nak ke mana?”
“Aku ada temujanji dengan pengedar. Kaupun tak ada buat apa hari ni, kan? Orang yang aku nak jumpa ni awek cun,” pancing Alif Hazriq.
“Tiba-tiba aje, aku jadi bersemangat pulak, jom!”
Alif Hazriq menepuk bahu Zul Fadzly. Dasar lelaki hidung belang, konon nak jadi pak lebai, dengar perempuan cun saja lutut sudah menggigil.

KETIKA melewati meja Maslina, Zul Fadzly sempat berhenti. Wajah yang sedang menekun membuat kerja itu dipandangnya lama. Gadis berbaju kurung dan bertudung itu mempunyai aura yang tersendiri. Mungkin tidak pada orang lain, tetapi baginya dia sangat suka memandang gadis itu. berkulit hitam manis, tidak cantik tapi tetap menarik.
Alif Hazriq yang pada mulanya tidak mahu memandang ke arah Mira Maira, terpaksa juga mengalih perhatiannya di situ. Gadis itu tidak peduli siapa memandang ke arahnya. Dia tetap bersahaja. Mungkin juga gadis itu marahkan dirinya kerana tugurannya tadi.
“Ada apa-apa yang Encik Alif nak ke?” soal Maslina daripada arah belakang. Alif Hazriq menoleh, lantas menggeleng.
Berkerut kening Maslina. Mengapa kedua-dua lelaki itu berhenti di mejanya?
“Hai, Encik Zul,” sapa Maslina.
“Eh… Hai… err, awak dah ada pembantu ke?” Maslina mengangguk.
“Boleh tahan…” bisik Zul Fadzly.
Alif Hazriq menarik tangan Zul Fadzly, kawannya itu kalau dilayan, makin menjadi-jadi perangai miangnya.
“Aku dah lambat ni…”
Maslina menggeleng, matanya memandang Mira Maira yang masih lagi bersahaja. Eh tidak ada perasaankah gadis ini?
“Mira, diorang nak apa tadi?”
Mira Maira mendongak, kepala digeleng. Bahu juga dijongket.
“Peliknya, kenapa dua-dua berhenti kat sini pulak? Dia nak mengurat Mira ke?” Maslina tertawa bila melihat mata Mira Maira membesar.
“Mengarutlah akak ni…”
“Alah apa salahnya, Mira tu muda lagi. Sesiapapun nak cuba masuk jarum. Tapi hati-hati, Encik Zul tu, perempuan keliling pingang.”
“Encik Zul aje ke kak? Habis bos kita tu, tak eh?” sengaja dia ingin mengorek rahsia suaminya sendiri.
“Hmm… encik bos tu, dulu yalah. Sekarang macam setia pada yang satu aje. Dynalah satu-satunya perempuan yang selalu keluar dengan dia. Dah macam belangkaspun.”
“Nasib kaulah, Mira…” katanya perlahan.
“Apa, Mira?” soal Maslina.
Mira Maira menggeleng. Senyuman palsunya terukir.
“Dahlah, buat kerja. Kalau cerita pasal dua lelaki tu, satu kerjapun kita tak boleh buat. Dosapun dapat juga sebab mengumpat.” Maslina mula menumpu sepenuh perhatiannya kepada dokumen-dokumen yang ada di atas mejanya itu.
Sedangkan Mira Maira, masih lagi tidak tenteram hatinya. Resah memikir masa depannya yang masih lagi kelam. Mampukah dia bertahan?

Jumaat, 15 Februari 2013

JANGAN PANDANG SEBELAH MATA, BRO!




7
MIRA MAIRA mula bekerja di syarikat kosmetik milik suaminya sendiri. Namun sebelum di terima bekerja di situ pelbagai syarat telah diberikan oleh Alif Hazriq. Dia terpaksa akur juga. Antaranya, jangan sesekali dia memberitahu orang mengenai status dirinya. Apa boleh buat, kuasa di tangan lelaki itu.
Mira Maira diterima sebagai pembantu kepada PA suaminya sendiri. Memandangkan PA Alif Hazriq mengandung, terpaksa mencari pembantu bagi menyelesaikan kerja-kerja yang semakin bertambah.
Mira Maira tidak kisah, asalkan dia dapat pengalaman. Selama ini dia tidak pernah merasa bekerja, memandangkan atuknya tidak pernah memberi keizinan kepadanya. Daripada Setiawangsa dia terpaksa menaiki pengangkutan awam. Pandai-pandailah dia bawa diri. Mujurlah dia ringan mulut bertanya pada jiran tetangga yang sama-sama mahu ke tempat kerja. Jadi dia lebih mudah mencari ibu pejabat Farra Kosmetik Sdn. Bhd  yang terletak di Wangsa Maju. Kilang produk-produk tersebut pula terletak di Klang.
Hari pertama bekerja, sebaik sahaja sampai di hadapan bangunan yang tersergam indah itu, Mira Maira mendongak ke atas, melihat syarikat Farra Kosmetik dengan terpampangnya wajah ibu mertuanya di situ. Dia tersenyum, rasa bangga dengan kecemerlangan yang dicapai oleh ibu mertuanya. Kegigihannya berbaloi dengan kejayaan itu. Bukan sesuatu yang mudah, jatuh bangun orang berniaga kalau tidak kental pasti tumbang di pertengahan jalan.
“Umi… saya bangga dengan umi. Insyaallah, saya juga nak jadi macam umi.” Digenggamnya jemari lantas dibawa ke dada sambil matanya terpejam rapat.
“Err… awak buat apa ni?” sapa seseorang. Terkejut Mira Maira, matanya dibuka. Seorang lelaki berdiri tegak di hadapannya.
“Ta… tak ada apa-apa.” Jawab Mira Maira malu. Hesy… orang tengah seronok layan perasaan, dia pulak datang menyibuk.
“Mesti awak memasang cita-cita yang tinggi mahu jadi seperti Dato’ Farah juga. kan?” lelaki itu tersengih.
“Mana awak tahu?”
“Sayapun macam tu juga, saya kagum dengan Dato’ Farah, seorang wanita yang sangat gigih dan berdidikasi. Suka menolong orang, kalau adalah undian jutawan yang paling baik kat negara ini, saya akan undi dato’.” Lelaki itu turut memandang ke  arah gambar Dato’ Farah.
“Dah lama awak kerja di sini?” Mira Maira cuba meramahkan diri.
Selama ini dia jarang bercakap dengan orang yang tidak dikenalinya. Tetapi di situ takkan dia teruskan sikapnya itu. Dia perlu bergaul dengan sesiapa sahaja, asalkan dia tahu menjaga batasan sebagai seorang isteri. Sementelah lagi suaminya sendiri menjadi CEO syarikat itu.
“Hmm… hujung tahun ini genaplah sepuluh tahun saya bekerja di sini. Alhamdulillah, kerana pemilik syarikat ini daripada golongan yang dermawan dan suka berkongsi keuntungan dengan pekerja, sebab itulah saya sayang nak tukar kerja. Biarlah saya bekerja di sini selagi tenaga saya diperlukan lagi.” Melambung tinggi pujian lelaki itu terhadap majikannya. Kembang hati Mira Maira. Ternyata semua orang menyukai keluarga mertuanya.
“Sejak anak dia ambil alih syarikat ni, keadaannya sama macam dulu atau lebih teruk lagi. Err… maksud saya, yalah sekarang ini penerajunya orang muda, mungkin dia lebih agresif ke atau dia ni kuku besi ke…” mereka berjalan beriringan menuju ke dalam bangunan yang tersergam indah itu.
“Setakat ini, semua macam biasa tapi sepertimana awak cakap tadi, jiwa muda jadi dia lebih agresif daripada uminya dulu. Sekarang ni, produk dato’ ni dah masuk pasaran antarabangsa tau. Semua ni atas usaha Encik Alif lah.” Cerita pemuda itu lagi.
“Eh borak punya borak lupa nak tanya nama awak, siapa nama awak dan awak bekerja di bahagian mana?”
“Nama saya Mira Maira, awak boleh panggil Mira saja. Saya jadi pembantu Kak Maslina.”
“Oh begitu… nama saya pulak Wan Aiman… panggil saya Aiman.” Pemuda itu menghulurkan tangan, namun pantas Mira Maira mengangguk, tanda dia faham dan salam perkenalan daripadanya. Dia tidak menyambutnya walaupun tangan yang dihulur tidak ditarik kembali.
“Maaf ya, awak faham, kan?” Perlahan sahaja Mira Maira menegur. Pemuda itu tersenyum malu.
“Oh ya… ya… maafkan saya. Nanti kalau ada masa kita sembang lagi ya atau apa kata rehat ni kita makan tengah hari sama-sama?”
Mira Maira tersenyum seketika kemudian kepala digeleng.
“Tak sudi ke?”
“Bukan macam tu, sebenarnya saya puasa hari ni. Maaflah ya. Insyaallah lain kalilah ya.”
“Oh… puasa. Okey saya tunggu bila sampainya masa lain kali tu.” Kata pemuda itu sambil ketawa.
“Okeylah saya naik dululah ya,” Mira Maira berjalan meninggalkan pemuda itu yang masih lagi tercegat sambil memerhatikan langkah gadis yang baru dikenalinya itu.
“Sampai jumpa lagi…” katanya perlahan.

“SELAMAT pagi, kak.” Sapa Mira Maira sebaik sahaja Maslina menghampiri mejanya.
Maslina tersenyum. Mira Maira bangun, memberi laluan kepada ibu mangandung itu. Dia tidak tahu hendak duduk di mana, jadi dia duduk sahaja di kerusi milik Maslina.
“Selamat pagi, Mira… amboi awalnya adik akak sampai.” Usik Maslina, wanita itu sangat ceria pagi itu.
“Memang sengaja keluar awal, kak. Takut pulak terlewat sampai. Maklum ajelah naik pengangkutan awam, tak biasa lagi,” jawab Mira Maira.
“Mira duduk di meja belakang akak ni ya. Nanti akak bagitau tugasan yang perlu Mira buat.” Mira Maira akur, dia melangkah ke meja yang sudah sedia ada di belakang kerusi Maslina.
“Baiklah, kak. Tapi kalau boleh bagilah cepat-cepat, kak. Takut nanti boring pulak kalau tak buat apa-apa.”
“Alah… orang suruh rileks tu, tak payah banyak bunyi. Nanti kalau kerja dah ada, jangan pulak sampai termuntah hijau. Boring banyak kerja,” kata Maslina sambil tergelak.
“Mira dah sarapan?”
“Mira puasa kak hari ni,”
“Okeylah kalau macam tu akak pergi pantry dulu. Perut akak ni dah mula berdondang sayang. Agaknya anak akak tengah berkaraoke kat dalam ni. Lapar gila rasanya. Nanti kalau ada panggilan, Mira jawab ya, ambil mesej.”
“Baik, bos.” Gurau Mira Maira. Maslina tersenyum dan bergerak ke pantry yang terletak di aras yang sama.
Saat begitu, dia teringatkan atuknya di kampung. Apa khabar atuknya sekarang? Sihatkah dia? Hendak telefon, dia tidak bawa telefon bimbit cikainya itu. Sengaja dia tinggalkan di kampung. Lagipun telefon bimbitnya itu selalu buat hal. Tetapi sempat juga dia mengambil simkad telefon bimbitnya itu, manalah tahu dia beli telefon bimbit yang baru nanti.
Hendak guna telefon yang ada di atas meja Maslina, terasa tidak amanah pula. Menggunakan hak syarikat atas kepentingan diri sendiri. Tidak jujur namanya itu. Dalam diam, dia berdoa moga diberi kesihatan yang baik kepada atuknya. Bergenang air matanya bila teringatkan kesunyian yang dihadapi oleh atuknya itu.
Kring! Kring! Kring!
Deringan telefon di meja Maslina mengejutkan Mira Maira, segera dia bangit lalu laju sahaja langkah ke meja Maslina. Ganggang diangkat.
“Helo…”
Si pemanggil diam.
“Helo, nak cakap dengan siapa?” ayat yang biasa digunakan ketika mengangkat ganggang.
“Helo…” suara garau kedengaran.
“Err… ya encik, selamat pagi, nak bercakap dengan siapa?” ulangnya lagi.
“Lain kali belajar cara menajwab telefon daripada Maslina. Bukan macam tu caranya,” bebel si pemanggil.
Mira Maira mengaru kepala. Siapakah si pemanggil ini? Berani betul dia ‘sound’ aku macam tu?
“Maafkan saya… lain kali saya belajar cara yang betul,” penuh bersopan santun Mira menutur katanya.
“Keding, ni akulah. Maslina mana?”
“Err, siapa ni?”
“Aikk? Tak kenal ke atau buat-buat tak kenal? Akulah suami tercinta kau…”
“Maaf, encik. Maslina masih lagi di pantry, ada apa-apa pesanan?” sengaja Mira Maira main-mainkan lelaki itu, setelah dia dapat mengagak siapa dia sebenarnya.
“Pesan pada dia aku masuk lambat sikit hari ni. Kalau ada apa-apa suruh dia telefon aku,” pesan Alif Fazriq.
“Baik, encik.”
“Oh ya… ok tak rumah tu?”
“No komen, encik.”
“Hmm… dah kena sawan apa pulak kau ni, keding?”
“Sawan kembang kempis, encik.”
Alif Hazriq tergelak kuat. Tidak pula dia menyangka gadis itu pandai buat lawak.
“Hai macam-macam kau ni, okeylah…” talian diputuskan begitu sahaja.
“Kau tak tau ke, momok. Aku ni tengah marah kau, dahlah kau tinggalkan aku sorang-sorang kat rumah tu, pagi ni kau boleh selamba aje? Kalau ikutkan hati aku…” terus dia hentakkan ganggang telefon itu.
“Eh Mira, kuat sangat hentak tu.” Tegur Vaneesa, gadis kacukan Sarawak itu.
Gulp! Mira Maira menelan liurnya. Itulah ikutkan sangat perasaan itu. Sudahlah hari itu merupakan hari pertama dia bekerja di situ. Buat hal betullah.
“Maaflah, saya ter… bukan sengaja,” jawabnya sambil tersenyum.

MENJELANG tengah hari, Alif Hazriq muncul. Dia melewati meja Maslina, langsung tidak dijelingnya Mira Maira. Gadis itu hanya mampu melihat, sedikit terdetik di hatinya perasaan sedih. Lantas wajahnya ditundukkan. Namun begitu, bila terpandang wajah itu degupan jantungnya mula bergerak laju. Dia meletakkan tangannya di dada. Cuba meredakan perasaan asing itu.
Mampukah dia bertahan bekerja dengan suami yang buat-buat tidak mengenali dirinya? Baru dia tidak menoleh, hatinya mula rasa tersiat. Hai… perasaan… kenapa mesti jadi begini?
Maslina masuk ke dalam bilik Alif Hazriq. Agak lama juga dia dalam bilik itu. Mira Maira rasa gelisah. Bagaimana caranya dia ingin mententeramkan diri?
Sedang dia leka melayan perasaan, sekali lagi dia dikejutkan dengan kedatangan seorang gadis seksi yang tinggi lampai, berwajah putih serta berambut perang. Bajunya? Sungguh tidak cukup kain. Terngangga mulut Mira Maira melihat gadis itu.
“Helo… awak pekerja baru ke?” sapa gadis itu. Mira Maira mengangguk.
“Bos ada kat dalam?” Mira Maira menggeleng dan kemudian mengangguk.
“Eh yang mana satu betul ni? Ada ke tak ada?”
“Eh Cik Dyna… nak jumpa bos ke?”
Gadis berambut perang itu mengangguk. “Dia ada?”
“Ada…”
“Okey, thanks…”
Gadis yang bernama Dyna itu berjalan seperti orang yang sedang memperagakan baju. Beg tangan disangkut di hujung jari sambil dan diangkat separas pinggang. Semua mata tertumpu kepadanya.
‘Mungkin inilah perempuan yang istimewa dalam hidup dia…’ bisik hati kecilnya. Terasa dirinya terlalu kerdil berbanding dengan gadis itu.
“Mira, nanti tolong buat salinan untuk dokumen ini ya. Buat dalam sepuluh keping.” Arah Maslina sambil menghulurkan dokumen tersebut.
Mira Maira memandang kosong ke arah Maslina. Hatinya semakin sayu. Sukar untuk diungkap.
“Weh! Mengelamun ke?” kertas itu dilayang-layang di wajah Mira Maira. Barulah mata gadis itu terkebil-kebil.
“Kak… nak tanya sikit boleh?”
Maslina duduk di kerusinya.
“Tanyalah…”
Mira Maira bangun dan mendekati Maslina.
“Siapa perempuan tadi tu?”
Maslina tersenyum.
“Itulah duta produk kita. Model yang paling top dan yang paling rapat dengan encik bos kita tu…” lengkap Maslina memberi maklumat.
Wajahnya sedikit berubah. Wahai hati… bersabarlah. Bertabahlah. Mira Maira mengangguk-angguk.
“Okeylah, kak. Saya buat kerja ni dulu ya…”
Mengapa sekarang ini hatinya mula rasa hiba walhal ketika dia di kampung, dia tidak kisah langsung pasal lelaki itu. Baru beberapa hari duduk di Kuala Lumpur, dia mula memikirkan dan ambil tahu tentang lelaki itu. Adakah dia sudah mula bersedia untuk memberikan cintanya kepada lelaki itu?
“Arrghh… dia suami aku, masakan aku tak memikirkan dirinya…” bicaranya sendiri.