Pengikut

Selasa, 12 Februari 2013

JANGAN PANDANG SEBELAH MATA, BRO!




6
MIRA MAIRA mula rasa gelisah. Sejak daripada tadi dia mundar mandir dan sesekali matanya memandang ke arah sesusuk tubuh yang sedang nyenyak tidur. Dia kebingungan. Matanya sekali lagi memandang ke dinding pula, jam sudah menunjukkan ke angka 6.45 pagi. Apa yang harus dia buat?
Mira Maira duduk bertinggung, menghadap ke wajah Alif Hazriq. Berkira-kira mahu mengejut lelaki itu tetapi dia takut. Bagaimana caranya dia mahu kejutkan lelaki itu? Subuh kian habis waktunya.
“Ya Allah… bantulah aku…” bisiknya perlahan.
Baru sahaja dia berkira-kira mahu mengoncang bahu lelaki itu, tetapi dia amat terkejut sekali.
“Ya Allah!” kedua-duanya terkejut.
Ali Hazriq terus tegak tubuhnya, jantungnya bergerak laju. Manakala Mira Maira pula terus terduduk. Dia memejam matanya. Sejak dinihari tadi dia asyik terkejut sahaja. Mahu gugur jantungnya bila dalam keadaan begitu.
“Kenapa kau terkejutkan aku?” soal Alif Hazriq kasar. Dia menguap lagi.
“Sa… saya cuma nak kejutkan awak bangun solat, subuh dah nak habis waktunya,” agak gerun juga Mira Maira mahu menatap wajah itu. Dia hanya menunduk.
“Ah dah nak habis waktu, kan? esok aje aku solat,” selamba Alif Hazriq berkata, tubuhnya direbah kembali. Mira Maira jadi bengang.
“Eh tak bolehlah, awak ingat solat ni boleh simpan-simpan ke? Setiap waktu awak tinggalkan awak wajib ganti. Bukan boleh dibayar dengan duit ke apa,” dia mula membebel. Dia sudah lupa perasaan gerunnya tadi.
“Eh kau ni banyak mulut juga, ya keding?” Alif Hazriq masih lagi mahu memejam matanya.
“Aku dia panggil keding? Eeiii geramnya…” Mira Maira menunjuk ke arah dirinya sendiri. Tidak percaya pula lelaki yang kini bergelar suaminya memanggilnya dengan nama timangan yang sangat manja itu. Keding? Sangat kurang asam jawanya.
“Saya tak kira, awak kena bangun juga. kalau tak…” Alif Hazriq membuka sebelah matanya.
“Kalau tak kenapa pula? Kau nak kiss aku ke?” sakat Alif Hazriq. Membulat mata Mira Maira dibuatnya.
“A… awak jangan nak perasan eh.” Sangkal Mira Maira malu. Wajahnya mula sudah merona kemerahan. Alif Hazriq tersenyum lebar, malulah konon. Kain selimut ditarik lalu kepalanya ditutup.
Tanpa berlengah lagi, Mira Maira berlari menuju ke dalam bilik air di dapur, seketika kemudian dia datang kembali ke biliknya dengan membawa segayung air dan dussh!!! Simbahan air tepat pada wajah Alif Hazriq.
Berang sungguh Alif Hazriq, tubuhnya tegak berdiri. Matanya mencerlung ke arah Mira Maira. Gadis itu pula sudah mula ketakutan. Dia membuka telekung, lantas dengan pantas sahaja gerakan kaki mahu meninggalkan bilik itu. Tetapi langkahnya ditahan oleh Alif Hazriq yang sudah kebasahan itu.
“Kau nak ke mana?” tangannya kemas memegang lengan Mira Maira. Mira Maira mula ketakutan.
“Err… sa… sa…” dia menjadi semakin cemas apabila terpandang wajah bengang Alif Hazriq itu.
“Kau lap muka aku sekarang!” arah Alif Hazriq garang. Terketar-ketar tangan Mira Maira mencapai tuala miliknya. Dia mengelap wajah suaminya itu.
“Awak… awak… err”
“Sejak bila jadi gagap?” perlahan kedengaran suara Alif Hazriq, tidak ubah sepertinya mahu menggoda sahaja. Mira Maira semakin gelabah.
“Awak pergilah ambil wuduk dulu. Subuh dah di penghujung waktu.” Pujuk Mira Maira. Alif Hazriq tersenyum meleret. Dia tahu gadis itu gelabah dan takut kepadanya. Sambil bersiul-siul dia keluar menuju ke bilik air yang terletak di dapur.

“ATUK… takkan Mira nak tinggalkan atuk seorang diri, janganlah suruh dia bawa Mira, atuk.” Pujuk Mira Maira. Dia tidak percaya lelaki itu datang ingin membawa dia pergi daripada situ. Paling dia gerun hendak duduk bersama-sama orang yang tidak dikenalinya itu, bolehkah dia?
“Mira… dia suami kamu. Hanya dia yang berhak ke atas kamu. Atuk tak ada hak apa-apa lagi. Syurga di bawah tapak kakinya, Mira.” Tok Taha cuba menahan hiba, namun dia cuba mengeraskan hatinya. Masakan dia tidak rasa kehilangan, cucu yang selama ini membesar di hadapan matanya akan pergi meninggalkan dirinya.
“Itu Mira tahu, tapi…”
“Tak ada tapi-tapi lagi, Mira. cakap suami kena ikut. Jangan macam ni, atuk tak ajar kamu bersikap macam ni.” Mira Maira mula menangis. Dia tidak sanggup berpisah dengan atuk kesayangannya itu.
“Kalau macam tu, atuk ikut Mira ya?” pujuk Mira Maira. Air mata dikesat dengan hujung jari.
Tok Taha menggeleng, biarlah dia di situ.
“Jangan takut, Mira. keluarga mertua kamu sangat baik. Percayalah cakap atuk ya?” tubuh cucunya dipeluk erat, mereka melepaskan perasaan mereka di situ.
Alif Hazriq sejak daripada tadi mencuri dengar. Kasihan juga dua insan itu bisik hati kecilnya. Namun apa boleh buat, dia lebih kasihan dengan telinganya. Dia tidak sanggup mendengar uminya berleter sepanjang masa. Kerana uminya juga dia berada di situ.
“Atuk saya minta diri dulu ya…” Alif Hazriq tidak mahu melihat drama sebabak itu berpanjangan. Dia keluar daripada persembunyiannya.
Tok Taha dan Mira Maira serentak memandang ke arah Alif Hazriq. Segera Tok Taha mengangguk.
“Jaga Mira baik-baik, Alif. Kalau senang-senang, baliklah sini ya.” Pesan Tok Taha selepas didakapnya tubuh Alif Hazriq.
“Insyaallah, atuk.”
Mira Maira berat hati hendak melangkah. Wajah mendungnya kian jelas kelihatan. Tiada sekelumit senyuman yang mampu diukirkan. Bibirnya diketap rapat.
“Atuk…” dia cuba merayu.
“Mira… jangan macam ni, cu. Pergilah. Atuk tahu jaga diri, lagipun kalau atuk rasa sunyi taulah atuk cari kawan nanti ya… pergilah.” Pujuk Tok Taha.
Walaupun terpaksa, Mira Maira masuk juga ke dalam perut kereta milik Alif Hazriq. Lelaki itu sudah sedia menantinya.
“Keding, cepatlah sikit. Kau ni buang masa aku aje.” Sinis Alif Hazriq melemparkan katanya. Mira Maira sedikit tersentap, Keding lagi?
“Kenapa tak kejut awal-awal lagi, tak pasal-pasal hari ni aku tak kerja.” Bebelnya lagi.
Air mata yang sudah sedia keluar semakin laju menuruni pipinya. Dia membuang pandang ke luar tingkap. Semakin pilu dia bila mengenangkan nasib yang bakal menimpanya selepas ini. Dengan sikap dingin suaminya itu, mampukah dia?

“KEDING… Keding… kau tidur mati ke apa ni?” Alif Hazriq mengejutkan isterinya. Berkali-kali bahu Mira Maira digoncang.
Mira Maira pula sengaja mematikan dirinya. Bukan dia pekak atau tuli tetapi dia kurang senang bila lelaki itu sengaja mendera perasaannya dengan memanggil dirinya dengan nama jelek itu. Teruk sangat gelaran itu.
“Keding… cepatlah bangun.” Alif Hazriq memicit hidung Mira Maira membuatkan gadis itu terus membuka mata. Dia sangat sensitif bila hidungnya diusik.
“Dah sampai mana ni?” soal Mira Maira, dia memandang sekeliling. Yang nampak hanya kehijauan, tidak adapun rumah.
“Kejap lagi sampai ke rumah umi. Aku nak cakap dengan kau, jangan sesekali kau ceritakan apa-apa hal rumahtangga kita pada dia. Kalau nak cakap sangat, cakaplah yang baik-baik.”
Mira Maira hanya mendiamkan dirinya. Sedikit mengangguk, tanda dia dengar. Walaupun hatinya cukup memberontak, mahu membantah.
“Lagi satu, kita dah jadi suami isteri. Walaupun perasaan cinta antara kita belum ada, aku tak nak asing-asing bilik tidur. Kau kena jalankan tanggungjawab kau sebagai seorang isteri dan aku pun macam tu. Jadi…”
“Sampai bila?” Mira Maira memberanikan diri bertanya, dia ada hak. Kalau tak ada kasih sayang, buat apa mereka jalani kehidupan sebagai suami isteri? Sedangkan perkahwinan itu perlu disemai dengan penuh kasih sayang. Bukankah rasa asing nanti? Dan paling penting, bakal mendapat dosa pula.
“Err… aku pun tak tau…”
“Hubungan yang tak ada perasaan kasih sayang, apa mananya tu? Seandainya saya tak reda, apa hukumnya ya? Jangan permainkan agama, pincang hidup jadinya...” kata Mira Maira.
“Kita cuba dulu...”
“Lepas tu? Kalau tak serasi cerai gitu?”
Alif Hazriq menjeling ke arah isterinya. Amboi garanglah pulak. Cerai? Hmm... mungkin tidak. Sekiranya itu berlaku, dia sendiri tidak dapat menjangkakan apa yang bakal dia terima.
“Beri peluang pada diri kita dulu... kita suka ataupun tak, kita kena lalui juga.”
 Mira Maira terdiam. Sebenarnya dia mula reda, apa juga yang bakal dihadapinya, dia berserah sahaja kepada Allah. Dia reda dengan jodoh yang telah ditetapkan.
“Saya nak tanya awak, kenapa awak panggil saya keding? Awak tahu tak ia sangat hina bagi saya. Saya ada nama, kenapa perlu beri gelaran lain pula pada saya.” Wah inilah peluang dia. Cakap saja apa yang dia rasa, hendak pendam-pendam buat apa?
Alif Hazriq hanya diam. Dia menghidupkan kembali enjin kereta miliknya, dan terus memandu laju. Sepanjang perjalanan itu Mira Maira hanya mendiamkan diri. Berserah kepada takdir, apa yang berlaku pada hari esok, dia hanya mampu berdoa kepada Allah.

“YA Allah menantu umi…”
Daripada jauh Dato’ Farah menjerit kesukaan. Dia berlari-lari anak mengejar kereta anak sulungnya yang baru sahaja masuk di perkarangan rumahnya itu. Tidak sabar-sabar rasanya hendak bertemu dengan menantunya yang satu itu.
“Hati-hati, Farah!” tegur Dato’ Mustaffa Harun. Pada hari itu dia juga enggan ke pejabat. Dia juga mahu menyambut menantunya.
“Tengok umi tak sabar-sabar nak sambut menantu dia… jangan buat muka, kena senyum walaupun kau tak suka. Aku tak nak umi terasa.”
“Saya tahu, rasanya senyuman saya pada umi sangat ikhlas. Saya tak nak jadi munafik, api neraka duduknya orang-orang munafik ini.” Sinis Mira Maira menyindir.
Alif Hazriq menjongket bahu.
Belum sempat Mira Maira membuka pintu, Dato’ Farah sudah membukanya terlebih dahulu.
“Anak umi…” dia memeluk tubuh kurus Mira Maira.
“Rindunya Mira pada umi… umi nampak makin cantik.” Ikhlas dia memuji dan dia juga memang benar-benar merindui ibu mertuanya itu.
“Terima kasih, sayang. Mira pun boleh jadi macam umi kalau Mira nak. Nanti umi ajar.” Mereka ketawa. Alif Hazriq hanya menjeling.
“Umi ni, kalau dah jumpa menantu, anak sendiripun dah lupa. Penat aje saya berdiri kat sini daripada tadi. Jangan kata nak bukakan pintu, panggil nama sayapun tak nak.” Sindir Alif Hazriq.
“Alah awak tu dah besar, pandai-pandailah bawa diri. Mari Mira, kita masuk. Babah dah tunggu Mira daripada tadi lagi.” Mereka meninggalkan Alif Hazriq yang menjeruk rasa.
“Hesy…” dengus Alif Hazriq. Dan ketika itu juga dia menerima panggilan.
“Helo, selamat pagi, sayang…” dia menyandarkan tubuhnya di badan kereta.
“You tak pergi pejabat ke?” soal Dyna.
“Yup, I ada hal hari ni. Kenapa you cari I ke?” sesekali matanya terarah ke pintu rumahnya, umi dah mula berdiri di ambang pintu.
“You sakit ke, sayang? I datang rumah you ya,” Dyna mula cemas.
“Eh jangan… jangan. I dekat rumah umi ni. You jangan risau ada hal keluarga sikit. Esok aje kita jumpa ya. Okey bye sayang…” pantas Alif Hazriq mematikan talian.
Tanpa disedarinya, adiknya Afif Haikal berdiri di belakangnya.
“Di sana sayang, di sini apa pulak ya?” sindir Afif Haikal. Hampir sahaja tercampak telefon bimbit yang ada di tangan Alif Hazriq.
“Terkejut aku, bro. Kau ni angin tak ada rebut tak ada tiba-tiba aje berdiri kat situ, kau datang daripada mana tadi?”
Afif Haikal hanya tersenyum sinis.
“Mana nak perasan, orang sibuk dengan sayang dia. Eh bro, kau biar betul. Nanti kalau umi tahu habislah kau.”
“Kau jangan pecah lubang, bro. Pandai-pandailah simpan…” Alif Hazriq tergelak.
“Apa kurangnya isteri kau tu, bro. Aku tengok sempurna aje macam perempuan lain.” Alif Hazriq yang baru sahaja mahu melangkah ke belakang kereta, terus terhenti. Dia tergelak besar.
“Hei, bro. Kau cakap dia okey? Cuba kau bukak besar-besar mata tu, tengok, fokus betul-betul, eeiii banyak kurangnya, bro. Berbanding dengan…”
“Dengan perempuan-perempuan model tu?”
Alif Hazriq mengangkat bahu.
“Jangan pandang orang sebelah mata, bro. Kadang apa yang kita tengok buruk itulah intan permata yang berkilau. Berbanding dengan yang tepek bedak berkilo-kilo kat muka tu. Suatu hari nanti kau mesti menyesal dengan kata-kata kau tu, bro.” Afif Haikal menepuk bahu abangnya.
“Kau cakap senanglah sebab bukan kau yang kena.”
“Kalau aku yang kena, aku terima aje. Tak payah aku pening-pening kepala nak pikat anak dara orang. Kau tau ajelah aku yang tak cukup inci ni, anak dara tak pandangpun kecuali mereka tahu aku ni anak orang kaya.” Ujar Afif Haikal. Dia berterima kasih kepada Mira Maira, setelah mendengar nasihat kakak iparnya itu, dia mula rasa berkeyakinan.
“Dahlah malas aku nak bincang hal ni lagi. Apa nak jadi lepas ni, kita tunggu dan lihat. Kalau panjang jodoh aku dengan dia, dialah isteri aku sampai bila-bila. Tapi kalau sebaliknya berlaku… aku terima saja,” begitu mudah Alif Hazriq mematikan topik perbualan mereka. Malas hendak memikirkan untung nasibnya di masa akan datang. Apa yang penting, hidup perlu diteruskan.

“KALAU boleh umi nak Mira duduk di sini. Tapi si Alif tu, dia kata nak hidup berdikari konon. Rumah besar macam ni, bukan ada orangpun. Umi rasa sunyi.”
Dato’ Farah luahkan perasaannya. Kurang senang dengan permintaan anak sulungnya itu. Sebenarnya itulah syarat yang diletakkan sekiranya dia mahu Mira Maira datang ke Kuala Lumpur. Geram betul dengan perangai anak sulungnya itu.
“Alah umi ni, kami duduk di Kuala Lumpur juga, kan? kalau umi rindu umi telefon aje, nanti kami baliklah.” Pintas Alif Hazriq.
“Yalah tu… dia sukalah duduk sendiri, nanti tak dengar bebel umi ni, kan?”
“Ke situ pulak umi. Bagilah kami peluang, nak bina hidup sendiri. Asyik duduk bawah ketiak umi aje. Sampai bila? Takkan sampai beranak pinakpun nak duduk sini juga?”
Merah wajah Mira Maira apabila mendengar bicara yang bisa menyentuh naluri kewanitaannya.
“Oh… cepat-cepat bagi umi cucu eh… dah tak sabar ni nak dukung cucu.” Sakat Dato’ Farah.
Semakin malu Mira Maira. Wajahnya ditunduk, hampir sahaja mengenai meja makan. Kalau boleh menyorok, dia ingin menyorok bawah meja makan itu. Hesy… hangit betul ayat-ayat ibu mertuanya itu.
“Alif duduk kondo yang baru siap tu ke?” soal Dato’ Mustaffa Harun.
Alif Hazriq menggeleng.
“Tak..”
“Habis tu kat mana pulak kamu nak duduk?” celah Dato’ Farah. Sangkanya anak sulungnya itu akan menduduki rumah yang baru dibelinya itu.
“Err… saya sewa apartment kat Setiawangsa.”
“Hah?” Dato’ Mustaffa Harun dan isterinya serentak terkejut. Tidak menyangka anaknya akan menyewa rumah pangsa untuk menantu kesayangannya itu.
“Tak ada tempat yang lebih selesa lagi ke untuk Mira? Cubalah cari rumah teres ke,” marah benar Dato’ Farah.
“Umi… Mira dah biasa duduk di kampung. Jadi kalau duduk di kondo mesti dia tak selesa. Lagipun kalau kat apartment tu, ramai jiran-jiran. Saya dah selidik, situ ramai orang Melayu.” Alif Hazriq kemukakan alasannya.
Dato’ Farah terdiam. Dia memandang wajah suaminya. Dato’ Mustaffa Harun juga hilang kata.
“Kalau boleh carilah rumah yang lebih selesa untuk Mira. tak pun, duduk aje kat sini. Mira pun tak boring, umi ada kawan.” Dia masih lagi memujuk.
“Umi… saya tak kisah. Asalkan ada tempat berteduh, saya dah bersyukur sangat. Umi janganlah bimbang ya… lagipun abang dah cakap tadi, dia benarkan saya bekerja. Kan, bang?” Mira Maira tersenyum manja.
Bulat mata Alif Hazriq, bila masa pula mereka bincang pasal kerja?
“Kerja? Kerja apa pulak?” makin risau Dato’ Farah dibuatnya.
“Err… ker…”
“Kalau Mira nak kerja, kerja dengan Alif. Babah tak mahu Mira kerja di tempat lain.Dah jadi tanggungjawab kami jaga Mira sebaiknya.” Putus Dato’ Mustaffa Harun.
Makin juling mata Alif Hazriq bila mendengar usul babahnya itu. Mahu sahaja dia hantuk kepalanya di meja makan tanda protes dengan segala cadangan mereka.
“Tapi babah…”
“Tak ada tapi-tapi lagi. Keputusan babah kamu tu muktamad. Umipun suka kalau Mira kerja di situ. Senang hati umi ni…” bantah Dato’ Farah.
Alif Hazriq terdiam, dan sempat juga dia menjeling tajam ke arah Mira Maira. Geram kerana pandai-pandai sahaja. Akhirnya dia juga yang tersepit sendiri.

“KEDING, yang kau pandai-pandai tu kenapa?” marah Alif Hazriq tapi nadanya terkawal. Bimbang didengari oleh umi atau babahnya.
 “Tak salah, kan? Lagipun kalau duduk di rumah daripada pagi sampai ke malam, mesti saya boring. Sekurang-kurangnya kalau saya kerja, taklah terasa sangat. Saya tahu tujuan awak duduk asing dengan keluarga awak. Mesti saya akan tinggal sorang-sorang kat rumah. Daripada saya mati kering, lebih baik awak izinkan saya bekerja.” Mira Maira sudah mula berani hendak menyuarakan pendapatnya. Biarlah selama ini lelaki itu menyangka dia seorang yang pendiam. Sesekali, kena juga bersuara.
“Wah, sekarang dah banyak ayat ya? Sejak bila dah pandai bercakap banyak ni?”
“Sejak saya kenal awak,” selamba dia menjawab.
Alif Hazriq meletakkan buku yang dipegangnya. Merenung isterinya dari arah belakang. Pandangannya jatuh pada rambut yang melepasi bahu itu. Keras kejung aje nampaknya. Sedikitpun tidak beralun apabila gadis itu mengerakkan kepalanya. Huh! Macam berus periuk! Kutuknya dalam hati. Nasib kaulah Alif Hazriq dapat isteri yang… hmm…
“Dahlah menghadap cermin tu... padam lampu, aku nak tidur ni...” Alif Hazriq merebahkan tubuhnya.
Mira Maira akur, dia melangkah ke arah suis lampu yang terletak di sebelah pintu. Perasaannya resah. Macam mana dia nak tidur dengan lelaki itu, sekatil pulak tu? Dia berdiri lama di situ. Alif Hazriq berasa pelik pula.
“Yang kau berdiri kat situ buat apa? Dah macam tiang letrik aje aku tengok. Tak payah nak jadi tiang, tiang konkrit kat rumah ni aje dah cukup kukuh.” Sinis Alif Hazriq menyindir Mira Maira.
Terkebil-kebil mata Mira Maira. Kurang asam! Pantas dia bergerak mendekati katil.
“Awak tidurlah dulu...”
“Dah jangan banyak alasan,” Alif Hazriq menyembunyikan senyumannya.
“Saya sebenarnya...”
“Dahlah tu... kau nak takut apa? Aku dah mengantuk ni, malas aku nak layan kau. Selamat malam...” Alif Hazriq terus membelakangkannya.
Perlahan Mira Maira duduk di birai katil. Lama juga dia duduk di situ sehinggalah dia tertidur dalam keadaan duduk. Akhirnya, tubuhnya rebah juga di atas katil dengan keadaan kakinya terjuntai ke lantai.

Isnin, 11 Februari 2013

JANGAN PANDANG SEBELAH MATA, BRO!




5
MINGGU yang amat genting. Saban hari Dato’ Farah menelefon menantunya itu. Mira Maira jadi bertambah lega dan penuh bersemangat apabila sering dinasihatkan dengan kata-kata yang memberangsangkan. Itulah sikap ibu mertuanya yang dirasakan seperti ibu kandung sendiri.
“Mira lepas periksa, kita cari kerja nak tak?” usul Syazana.
“Nantilah aku tanya atuk aku dulu. Kau tau ajelah siapa yang tak kenal Tok Taha yang punya misai melenting, tali pinggang besar yang melilit kain pelekatnya. Kau agak-agak dia benarkan aku kerja ke?”
Syazana tergelak. Tergambar di ruang matanya wajah garang Tok Taha. Dia juga sedia maklum, sahabatnya itu merupakan cucu kesayangan walaupun Tok Taha mempunyai ramai cucu yang lain.
“Mesti dia tak bagi, kan? Habis sampai bila kau nak duduk kat rumah aje, kau tak bosan ke?” Syazana sudah berkira-kira mahu bekerja di kilang sahaja. Cukup setakat mencari duit poket untuk sementara waktu. Selepas mendapat keputusan nanti, barulah dia mencongak masa depannya sendiri.
“Aku dah biasa, Ana. Bosan ataupun tak, perkara tu perlu aku tempuhi juga. Kat rumah aku tu, ada siapa aje? Aku dengan atuk. Kalau aku kerja, balik daripada kerja nanti sama juga suasananya, tetap sunyi. Apa-apapun, nanti aku bagitau kau, kalau atuk aku beri keizinan. Kalau tak, kau kerjalah sornag-sorang eh.”
Syazana menjongket bahu. Dia tahu Mira Maira bukan mudah dipujuk. Cucu yang mendengar kata. Jadi, dia tidak berharap sangat rakannya itu dapat turut serta. Tetapi, kalau ada Mira Maira seronok juga.
“Kalau kau dapat pujuk atuk kau, memang cantik sangatlah tu…” Syazana tersengih.
“Insyaallah aku cuba ya… dah jomlah balik. Esok kertas terakhir, aku dah tak sabar nak habiskan. Otak aku rasa nak terburai keluar daripada kepala aku ni. Lepas ni boleh tidur puas-puas… seronoknya…” mereka berjalan beriringan meninggalkan perkarangan sekolah.
“Haah, aku pun macam kau juga. Nak tidur puas-puas. Lepas ni barulah boleh enjoy. Eh mana Shahir? Daripada tadi aku tak nampak dia.” Syazana panjangkan leher menoleh ke kiri dan ke kanan.
“Entah manalah aku tahu. Bukan aku jaga diapun, kau ni pulak…”
“Oii… kau orang berdua ni, aku lambat sikit aje kau orang dah tinggalkan aku.” Shahir mendekati mereka sambil berlari-lari anak. Dia termengah-mengah.
“Panjangpun umur dia, Mira. Jangan pendek nafas sudah,”
“Hesy kau ni, Ana. Tak sayang mulut betul.” Tegur Mira Maira. Macam biasa Syazana tersengih sahaja.
“Kau ni lembab sangatlah. Kau ke mana tadi?” mereka bergerak semula sebaik sahaja Shahir dapat menyaingi mereka.
“Aku pergi mana lagi, pergi jumpa pak tan ler…. Perut aku daripada tadi buat hal. Mujur masa periksa boleh tahan lagi. Eh korang berdua lepas ni nak cari kerja tak?”
“Kau ada rancangan ke?” Syazana mula teruja. Mira Maira hanya mendiamkan diri sahaja.
“Kau nak kerja kat kedai bunga mak cik aku tak?” soalan Shahir itu membuatkan Syazana menjerit kesukaan.
“Betul ke? Kat mana kedai dia? Seronoknya kalau dapat…” Syazana menepuk-nepuk tangannya. Menunjukkan dia betul-betul gembiralah itu.
“Hesy… kau ni, Ana. Agak-gakalah. Semua pandang kat kita ni. Bawa-bawalah kawal diri tu sikit,” Mira Maira menyiku lengan rakannya itu.
“Yalah, mulut macam tin kosong. Bising aje. Rilekslah. Kedai bunga dia kat Shah Alam. Kalau kau betul nak, aku boleh bagitau mak cik aku tu. Kau Mira, tak nak cuba ke?”
“Alah kau bukan tak tau si Mira ni… nanti Tok Taha keluarkan parang pulak kalau dia pergi cari kerja.” Syazana ketawa terbahak-bahak. Mira Maira menyepak kaki Syazana. Mulut macam longkang betul.
“Kau ni, Ana…” Shahir turut ketawa sama.
“Shahir!!!” kedengaran suara garau menjerit kuat. Mereka bertiga berpandangan dan kemudian mencari arah suara garau itu.
Sebuah kereta proton wira membuat pusingan ‘U’ lantas berhenti di sebelah mereka. Wajah Shahir sudah pucat lesi. Mira Maira dan Syazana mula tidak sedap hati. Pemandu kereta itu membuka pintu dengan kasarnya.
“Shahir masuk sekarang!” jerkah suara itu lagi.
Pak Mutalib, ayah Shahir memandang ke arah Mira Maira dengan perasaan yang cukup benci. Bila melihat gadis itu, seolah dia terpandang lelaki yang cukup dibencinya dalam dunia ini. Siapa lagi kalau bukan perompak yang telah merompak kedai runcitnya suatu ketika dahulu. Sakit hatinya itu belum hilang walaupun si perompak sudah meninggalkan dunia ini.
“Berapa kali aku nak cakap, jangan dekat dengan anak aku! Kau ni pembawa sial kau tau tak? Bapak dengan anak sama aje!” melengking suaranya membuatkan semangat Mira Maira terbang melayang. Dia menjadi lemah.
“Ayah…” Shahir menegah ayahnya.
“Sudah! Kau diam! Berapa kali aku nak cakap kat kau, jangan dekat dengan budak ni. Aku benci tengok muka dia.” Marah Pak Mutalib.
Mira Maira mula rasa sebak, dia memandang ke arah lain, tidak sanggup hendak menghadapi kemarahan orang tua itu lagi. Mahu sahaja dia menjawab, namun dia bukanlah jenis gadis yang bermulut celupor. Sabarlah hati…
“Mira… sabarlah ya. Aku faham perasaan kau.” Syazana memeluk bahu Mira Maira. Dia tahu rakannya itu rasa malu bila diperlakukan begitu. Lagipun Mira Maira tidak salah apa-apapun. Semuanya kerana dosa-dosa yang lalu. Yang dilakukan oleh orang tua Mira Maira.
“Ana… kenapa orang pandang hina sangat pada aku? Bukan salah aku nak jadi anak perompak. Bukan juga cita-cita ayah aku nak jadi macam tu. Dia terjebak, aku yakin tu, Ana. Kenapa semua orang tak dapat lupakan perkara yang dulu?” Mira Maira tidak dapat menahan air matanya. Dia menangis teresak-esak. Syazana turut mengalirkan air matanya.
“Tak semua orang macam tu, Mira. Mak dengan arwah abah aku, tak pernah mereka hina kau. Malah mereka selalu puji kau, dia kata kau anak yang baik. Mereka juga tak pernah nak ungkit kisah silam ayah kau. Kau jangan fikir yang bukan-bukan. Masih ramai lagi yang sayang pada kau.” Pujuk Syazana.
“Entahlah, Ana. Kalau kau tanya apa yang membosankan aku, inilah perkaranya. Aku bosan sangat hidup dalam kebencian orang. Sebab tulah, rumah tu semacam syurga buat aku. Aku rasa terlindung bila duduk dalam rumah. Aku rasa hati aku terjaga. Tapi bila aku keluar, inilah bahana yang aku dapat.” Semakin tinggi esakan Mira Maira.
“Ya Allah, Mira. Kau jangan menangis macam ni… sabarlah…” pujuk Syazana lagi.

“MIRA… baru balik?” soal Tok Taha sebaik sahaja mendengar cucunya memberi salam. Mira Maira mengangguk, tangan atuknya dicium.
“Pergilah solat dulu, lepas tu makan. Atuk nak ke kedai sekejap.” Tok Taha sudah mula bersiap-siap. Mira Maira tetap begitu, hanya mampu mengagguk. Mulutnya terkunci rapat.
Sepeninggalan atuknya, Mira Maira membuka album lama. Dia menangis lagi sebaik sahaja terpandang wajah arwah ayahnya.
“Kenapa Pak Mutalib tu benci sangat pada Mira, ayah? Apa yang ayah dah lakukan sampai macam tu sekali sikap dia? Yang jadi mangsa dia adalah Mira, ayah. Tak kira kat mana aje, dia akan bertempik dan marah-marah Mira.” habis lencun tudung sekolahnya. Hari itu dia memang hendak lepaskan perasaannya.
Malam hari Shahir telah menghubunginya. Kalau ikutkan hati, dia tidak mahu bercakap dengan Shahir. Tetapi memandangkan Shahir juga tidak bersalah dalam hal itu, dia layan juga.
“Maafkan aku, Mira.”
“Kau tak salah apa-apapun, Shahir.”
“Maaf ini dari pihak ayah aku. Aku tau, maaf yang aku hulurkan tak setimpal dengan apa yang dia dah buat pada kau. Aku betul-betul malu dengan sikap ayah aku tu.” Keluh Shahir.
“Dahlah, Shahir. Aku malas nak ingat-ingatkan lagi. Dah memang nasib aku macam ni, anak perompak sesiapapun tak boleh terima. Mungkin dia takut aku akan jadi macam ayah aku, aku akan rompak kau pulak.”
“Kau jangan buat lawaklah, Mira. Aku tau, kau takkan jadi macam tu. Kau budak baik. Tapi yang aku tak faham, kenapa ayah aku tu marah sangat pada ayah kau. Takkanlah tak ada ruang nak maafkan ayah kau tu, lagipun ayah kau dah meninggal. Kadang aku marah dengan sikap bongkak ayah aku.”
“Biarlah, Shahir. Jangan pulak kau nak lawan cakap ayah kau. Jangan jadi anak derhaka. Seburuk manapun perangai dia, dia tetap ayah kau. Lagipun aku dah lupakan dah apa yang terjadi siang tadi.”
“Terima kasih, Mira. Aku janji, aku akan cuba lindungi kau sedaya upaya aku. Hanya itu yang aku mampu buat untuk menebus kesalahan ayah aku tu. Aku takkan benarkan orang sakitkan hati kau lagi. Walaupun…”
“Kan aku dah cakap tadi, jangan kau tetang ayah kau sendiri. Aku amat hargai apa yang kau nak lakukan pada aku. Dan aku percaya cakap kau tu. Tapi jangan disebabkan aku, kau dengan ayah kau jadi tegang pulak. Aku takkan pecah belahkan keluarga orang lain” Mira Maira memotong kata-kata Shahir.
“Habis tu sampai bila kau nak bersabar dan berdepan dengan orang macam ayah aku? Takkan kau tak nak bela diri kau sendiri?”
“Shahir… kita ada Allah… berserah saja pada Allah. Aku percaya, suatu hari nanti ayah kau sedar juga. kau janganlah bimbang insyaallah…”
“Terima kasih, Mira. Kau amat memahami.”
“Sama-sama…”
Entah mengapa perasaan sedih itu turut hilang sama. Hatinya menjadi tenang semula.

HARI itu hari terakhir dia menduduki peperiksaan penting. Dia rasa lega. Hari itu dia tidak balik bersama-sama dnegan Shahir. Dia tidak mahu insiden semalam berulang lagi. Dia terus pulang ke rumah walaupun berkali-kali Syazana mengajaknya berjalan-jalan dahulu. Dia tidak mahu.
“Apa rancangan Mira lepas ni?” soal Tok Taha selepas solat maghrib.
“Entahlah, atuk. Ana ajak Mira cari kerja, tapi…”
“Hmm… Mira tahukan siapa diri Mira? Sekarang ni Mira tak boleh nak pergi ke mana-mana tanpa izin suami. Apatah lagi nak cari kerja, kalau suami tak izinkan berdosa, Mira.” Tok Taha mengingatkan Mira Maira.
Mira Maira hanya mengangguk. Sebab itulah dia tidak berani memberi jaminan kepada Syazana. Walaupun bayang suaminyapun tidak pernah nampak berkunjung ke rumah itu, dia tetap berpegang pada ajaran agama.
“Mira tau, atuk…”
“Kalau kamu tahu, baguslah. Kalau boleh, kamu pergilah ke rumah mertua kamu tu. Duduk di sana, sekurang-kurangnya boleh kenal kehidupan mereka dan mengeratkan lagi hubungan.” Usul Tok Taha.
Berderau darah Mira Maira dibuatnya. Belum pernah dia berpisah dengan atuknya itu. Lagi pula mahu duduk di rumah mertua. Sungguhpun dia tahu mertuanya sangat baik hati, entah kenapa perasaan khuatir, bimbang dan takut tetap tersemat dalam hatinya.
“Tapi atuk…”
“Dahlah, Mira. Atuk tak nak dengar apa-apa alasan lagi. Meraka juga keluarga kamu.” Tok Taha meninggalkan Mira Maira yang sedang berperang dengan perasaannya sendiri.

SEBELUM tidur, Mira Maira termenung. Memikirkan kata-kata atuknya itu. Masakan dia mahu sebumbung dengan mertuanya? Ya Allah… aku tak pernah duduk dengan orang lain. Kalau mereka dera aku macam mana pulak? Macam-macam perasaan was-was menerpa benaknya. Naik kusut fikiran dibuatnya.
“Tapi takkan umi nak dera aku pulak? Aku tengok dia baik aje. Hesy… aku ni, buruk sangka betul.” Marahnya pada diri sendiri.
“Tapi buatnya betul-betul terjadi macam mana pulak? Aku kena dera macam cerita cenderella tu ke? Yalah hati orang manalah aku tau. Belum hidup sebumbung, tak tahu hati budi masing-masing. Aku kena basuh kain baju mereka, mop lantai rumah banglo besar. Kena gosok baju yang banyak… ya Allah… penatnya…” sampai terpejam-pejam matanya cuba membayangkan apa yang bakal terjadi kelak.
“Hesy apalah kau ni, Mira. Tak baik betul. Atuk cukup yakin dengan kebaikan diorang, aku pulak yang berlebih-lebih. Ya Allah ampunilah dosa aku… ah… tidur lagi baik. Layankan perasaan entah apa-apa yang aku berangankan.”
Mira Maira merebahkan tubuhnya, katil yang bertilam empuk itu hadiah daripada mertuanya menyenangkan tubuhnya. Sangat selesa. Pejam mata sekejap sahaja dia sudah hanyut dibuai mimpi…
Jika sudah biasa bangun satu pertiga malam, pasti dia akan terjaga juga walaupun peperiksaan sudah berakhir, Mira Maira membuka matanya. Dia mengeliat sambil mendepakan tangannya. Dan tiba-tiba dia terasa sesuatu, yang tidak pernah dia rasa sebelum ini.
“Makkkk!!!” Mira Maira menjerit ketakutan. Dia rasakan ada orang tidur di katilnya. Cepat-cepat dia bangun sambil menjerit, namun tangannya direntap dan mulutnya ditekup.
“Syyy!!! Diamlah. Ini aku, yang kau jerit macam kena rasuk tu kenapa?” suara garau itu semakin membuatkan Mira Maira menjadi takut. Terketar-ketar tubuhnya.
“Emmm… emmm…” Mira Maira cuba meronta, mahu melepaskan diri.
“Diamlah!!!” marah lelaki itu lagi.
Mira Maira memukul-mukul tubuh lelaki itu. Sehinggalah lelaki itu mmengaduh kesakitan dan akhirnya melepaskan tekupannya.
“Awak ni siapa? Berani masuk dalam bilik saya?” marah Mira Maira, dia cuba bangun, namun sekali lagi tangannya direntap, dia terduduk kembali.
“Ada lelaki lain ke yang atuk kau benarkan masuk dalam bilik kau?” soal lelaki itu kasar.
Mira Maira mula jadi bingung. Atuk benarkan lelaki itu masuk ke dalam bilik dia? Siapa lelaki itu? Samar-samar malam membuatkan matanya jadi kelam. Dia tidak dapat melihat dengan jelas wajah lelaki itu.
“Ya Allah!!!” Mira Maira menekup mulutnya sendiri.
Lelaki itu pula selamba merebahkan dirinya semula. Selimut Milik Mira Maira dibawa sehingga ke pangkal leher.
“Dah tidur, esok kita cerita. Aku nak, pagi-pagi esok lepas subuh kita bertolak daripada sini. Jangan banyak tanya dan jangan membantah,” arah lelaki itu lagi.
Barulah dia kenal siapa lelaki itu, siapa lagi kalau bukan suaminya sendiri… ya Allah… sabar ajelah…
Mira Maira mula bergerak meninggalkan katilnya, perlahan sekali agar lelaki yang muncul daripada planet mana, alih-alih sudah berada di katilnya itu tidak terjaga.
“Hah! Tu nak pergi mana pulak?” sergah lelaki itu, membuatkan Mira Maira terlonjat kembali ke atas katil. Dia mengurut dadanya beberapa kali.
“Sa… sa… saya nak solat.” Tergagap-gagap dia menjawab sebaik sahaja degupan jantungnya kembali tenang.
“Huh!” itu sahaja balasan daripada lelaki itu. Mira Maira mengeluh. Segera dia keluar dari biliknya dan menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk.
Di atas sejadah dia mengabdikan dirinya kepada Maha pencipta. Dia terlupa seketika pada lelaki yang sedang enak dibuai mimpi itu. Terlupa akan kehadiran orang asing dalam biliknya.

Rabu, 6 Februari 2013

JANGAN PANDANG SEBELAH MATA, BRO!




4
SEHARI sebelum peperiksaan bermula, Mira Maira dikejutkan dengan kedatangan kedua ibu bapa mertuanya. Memang benarlah nalurinya pada hari itu, entah mengapa dia sakan mengemas rumah, dia mahukan rumah kelihatan bersih. Segala habuk-habuk yang melekat di piala-piala lama arwah ayahnya serta pak cik-pak ciknya siap dilap. Mujurlah dia tidak pandai hendak mmebuang karat-karat, kalau tidak… memang cantik berkilat-kilat.
“Umi…” Mira Maira menyambut kedatangan mertuanya itu. Tangan umi dicium lantas tubuhnya didakap oleh Dato’ Farah.
“Lama tak jumpa menantu umi.” Wajah Mira Maira dicium beberapa kali.
Mira Maira mendapatkan pula bapa mertuanya.
“Babah, apa khabar?”
“Alhamdulillah, baik, Mira. Mira macam mana, sihat?” Mira Maira mengangguk. Dia mengucup lembut tangan bapa mertuanya.
“Alhamdulillah… masuklah babah, umi…” pelawa Mira Maira.
Dato’ Mustaffa Harun dan Dato’ Farah melangkah masuk ke dalam rumah. Mira Maira menegekori mereka, namun baru beberapa langkah dia menoleh ke belakang semula kerana dia merasakan ada seseorang yang turut melangkah ke arahnya. Mata mereka bertaut. Kening Mira Maira berkerut. Adakah itu suaminya? Kenapa lain sangat raut wajahnya, tubuh juga turut berbeza. Lelaki itu kurus dan rendah. Lebih rendah daripadanya. Seingatnya, suaminya berbadan sasa dan tinggi lampai. Siapakah lelaki itu?
Lelaki itu melemparkan senyuman. Mira Maira hanya mengangguk, tanda hormat.
“Assalamualaikum,”
“Waalaikumussalam, mari masuk Afif.” panggil Dato’ Farah.
Oh namanya Afif… tapi siapakah dia? Daripada manakah dia datang? Kenapa dia tidak nampak ada orang lain selain daripada mertuanya? Berapa banyak soalan yang ditanya pada diri sendiri daa… cubalah buka mulut Mira… tanya sendiri pada mertua kau tu.
Afif Haikal masuk lantas duduk di sebelah Dato’ Farah. Kelihatan mereka sungguh mesra. Adakah dia anak uminya?  Berkerut kening Mira Maira dengan soalan-soalan yang belum punya jawapannya.
“Mira, umi kenalkan ini Afif Haikal. Adik ipar Mira. Baru aje balik daripada Jepun.”
Akhinya terlerai sudah simpulan-simpulan yang melengkar di kepala Mira Maira. Benar tekaannya, lelaki itu adik iparnya. Wajah adik iparnya itu sangat berbeza dengan wajah suaminya.
“Apa khabar, Kak Mira?” Afif Haikal bangkit, dia menghulurkan tangan kepada Mira Maira. Mira Maira mula serba salah, dia hanya tersenyum.
“Afif… tak ingat ke umi cakap tadi, walaupun Mira tu dah jadi kakak ipar Afif, bukan bermakna sudah menjadi mahram. Antara Afif dan dia hanyalah mahram sementara. Air wuduk tetap batal...” tegur umi.
Afif Haikal tersengih. Dia menarik kembali tangannya. Kemudian dia hanya mengangkat tangan kepada Mira Maira.
“Oh ya, maaf. Lupalah, umi.” Afif Haikal duduk semula. 
Dia memeluk bahu uminya. Terlihat kemesraan itu memang benar-benar ikhlas bukan drama swasta. Mira Maira terasa cemburu pula. Dia tidak dapat bermesra dengan ibu dan ayahnya seperti keluarga mertuanya itu.
“Atuk Mira mana?” soal Dato’ Mustaffa Harun, dia memanjangkan lehernya ke arah luar rumah.
“Dia ke kedai, babah. Sekejap lagi baliklah dia.” Jawab Mira Maira. Dato’ Mustaffa Harun mengangguk.
“Umi dan babah duduk dulu ya, saya ke dapur sekejap.” Mira Maira berlalu pergi ke dapur.
Sedang Mira Maira mengacau air untuk dihidangkan kepada mertuanya, kedengaran suara atuk memberi salam. Mira Maira mengatur cawan-cawan ke dalam dulang. Mujurlah dia membuat jemput-jemput pisang lebih pada hari itu.
“Mira… kamu masaklah lauk ni. Patutlah hati atuk tergerak nak beli ikan lebih tadi. Rupanya ada tetamu.”
“Yalah… nanti Mira buat.”
Tok Taha meletakkan ikan-ikan yang baru dibelinya itu di atas singki. Kemudian dia meninggalkan dapur itu untuk ke ruang tamu. Berbual mesra dengan tetamu yang sangat dihormatinya itu.

SELEPAS menghantar minuman ke ruang tamu, Mira Maira ke dapur semula. Ikan-ikan yang dibeli oleh atuknya di siang satu persatu. Memang benar, ikan-ikan itu banyak. Tidak seperti biasa, atuknya akan membeli ikan hanya untuk mereka berdua sahaja.
“Nak umi tolong ke?” sapa Dato’ Farah dari arah belakang.
“Opocot!” terpelanting ikan yang dipegang oleh Mira Maira ke atas lantai.
“Maafkan umi, Mira. Tak sangka Mira terkejut macam ni.”
Dato’ Farah mengambil ikan yang terjatuh itu. Sikap itulah yang dikagumi oleh Mira Maira. Sungguhpun ibu mertuanya itu daripada golongan hartawan, dermawan, jutawan  dan jelitawan. Tapi dia tidak jijik ataupun memandang rendah pada keluarganya yang hidup sederhana. Tengok sahaja dengan selamba dia mengambil ikan yang jatuh di lantai itu. Ikan yang masih lagi punya darah.
“Tangan umi dah kotor. Biarlah saya buat semuanya, umi. Umi duduk aje ya.” Mira Maira mengambil ikan yang ada di tangan Dato’ Farah. Dato’ Farah ketawa.
“Apalah Mira ni. Umi dah biasa buat kerja-kerja ni. Bukan perempuan namanya kalau tak nak tangan kotor bila berada di dapur. Geli pegang ikan. Geli dengan darah kononnya. Hesy… umi ni tak kisah, Mira. Bagi umi, biar umi buat semua kerja-kerja dapur sendiri, biar umi masak makanan untuk keluarga umi dengan tangan umi ni. Umi puas hati.” Dato’ Farah mencuci tangannya. Mira Maira tersenyum, bangga mempunyai ibu mertua yang berpandangan positif begitu.
“Betul cakap umi. Tapi hari ni, biar umi duduk aje ya. Tak payah buat apa-apa. Saya boleh uruskan.” Mira Maira memimpin tangan Dato’ Farah, lalu menyuruhnya duduk di kerusi yang ada di dapur itu.
“Untungnya umi dapat menantu macam Mira ni… pandai buat kerja rumah. Bersyukur sangat-sangat umi. Lapang dada ni rasanya…”
“Saya orang kampung, umi…”
Ligat sahaja tangan Mira Maira mengaul ikan sembilang dengan asam jawa dan garam. Kemudian dia membiarkan seketika. Dato’ Farah hanya memerhati gerak langkah menantunya yang sangat teratur memasak. Namun hatinya rasa sayu tatkala teringatkan wajah Mira Maira yang seakan tidak sangka kerana dipaksa berkahwin dengan anaknya.
“Umi minta maaf, Mira. Kalau Mira rasakan kami memaksa Mira berkahwin. Kami tahu, Mira terbeban.”  Bicara Dato’ Farah itu membuatkan gerak tangan Mira Maira yang sedang mengacau gulai asam pedasnya terhenti. Dia memandang wajah Dato’ Farah.
“Kenapa umi cakap macam tu?” soalnya perlahan.
Dato’ Farah mengeluh. Sungguh! Sejak pernikahan anaknya itu, dia rasa tidak sedap hati. Rasa bersalah itu menghimpit jiwanya. Selagi dia tidak luahkan, selagi itu dadanya terasa padat.
“Umi rasa bersalah sebab tak tanya Mira dulu. Umi rasa, umi dah hancurkan masa depan menantu umi ni. Dalam hati umi, tak terlintas langsung nak buat macam tu. Tapi seperti Mira ketahui, babah tak nak Mira jatuh ke tangan orang lain. Babah nak pastikan hidup Mira terjamin walaupun kami tahu anak kami itu tak sempurna mana. Maafkan umi, Mira.” Sebak dadanya, matanya mula berair.
Mira Maira mendekati mertuanya itu. Tubuh itu dipeluknya erat.
“Umi.. Saya reda dengan ketentuan Allah. Saya tak pernah pertikaikan, umi. Janganlah cakap macam tu, jangan rasa bersalah sampai merunsingkan hati umi.”
“Ya Allah… terima kasih kerana kurniakan aku menantu seperti ini…” wajah Mira Maira diciumnya berkali-kali. Dia bertekad, takkan melepaskan Mira Maira walaupun anak sulungnya itu tidak cintakan gadis itu. Dia akan berusaha untuk mengekalkan hubungan mereka.

“AWAK boleh terima abang saya macam itu saja? Kenapa tak ada bantahan langsung?” soal Afif Haikal sebaik sahaja dia menghampiri Mira Maira yang sedang duduk di bawah rimbunan pokok rambutan.
Mira Maira terkejut. Hampir sahaja buku yang ada di tangannya tercampak ke tanah.
“Terkejut saya…” dia membetulkan duduknya. Afif Haikal tetap berdiri di hadapannya. Dato’ Mustaffa Harun dan Dato’ Farah berada di dalam rumah bersama-sama dengan Tok Taha. Mungkin ada perkara yang mereka hendak bincangkan. Sebab itulah dia membawa diri di bawah pokok rambutan itu.
“Saya pun tak faham kenapa umi jodohkan awak dengan abang. Sedangkan umi tahu perangai sebenar abang tu. Bukan suka diikat macam ni.” Luah Afif Haikal lagi.
Mira Maira tersenyum kelat.
“Umi dah terangkan kepada saya, kenapa dia jodohkan Abang Alif dengan saya. Saya faham dan saya reda.” Dia bukan pura-pura, ia lahir daripada hatinya sendiri.
“Awak masih tak kenal abang saya. Dia bukan mudah nak jatuh cinta. Dia lebih cintakan kerjaya daripada mengejar cinta wanita. Walaupun ada gossip-gosip menyatakan dia sedang hangat bercinta dengan model syarikatnya sendiri. Tapi saya tak percaya. Abang terlalu ramai teman wanita. Saya tak tahu yang mana satu menjadi pilihan hati dia. Lagipun teman-teman wanitanya semuanya jelitawan. Sangat mementingkan penampilan dan…”
“Saya sedar diri. Saya tahu saya tak secantik mereka. Tapi wajib ke berwajah cantik baru dapat memiliki cinta? Ataupun suami?” Mira Maira mula tersinggung. Dia tahu kekurangan dirinya.
Afif Haikal terkaku. Bukan itu maksudnya. Dia cuma ingin sedarkan gadis itu. Dia tidak mahu gadis itu menjadi mangsa.
“Saya tak bermaksud langsung nak hina awak. Bukan itu yang ada dalam kepala saya. Saya minta maaf kalau awak tersinggung. Cuma saya terkilan, umi sanggup pertaruhkan masa depan awak. Awak masih muda, kenapa mesti bersetuju dengan perkahwinan yang tak pasti masa depannya?”
Makin berkerut kening Mira Maira dibuatnya. Lelaki ini mahu apa sebenarnya? Bersimpati dengan aku, atau mahu meluahkan rasa tak puas hati dengan keputusan orang tuanya? Ataupun dia cemburu dengan abangnya sendiri.
“Apa yang sepatutnya saya lakukan? Saya lari daripada rumah semata-mata nak tunjukkan protes? Atau saya tentang habis-habisan hasrat mereka? Sejak daripada kecil, saya dibesarkan oleh mak adik dan atuk. Setelah mak adik berkahwin, saya hanya tinggal dengan atuk. Hanya atuk yang saya ada sekarang ini. Sanggupkah saya melukakan hatinya?” Mira Maira bermain-main dengan buku yang ada di tangannya.
“Sekurang-kurangnya awak kena suarakan apa yang awak rasa. Bukan hanya menurut.” Afif Haikal tidak puas hati. Mira Maira mengeluh sambil menggeleng.
“Satu lagi kita harus sedar, Afif. Jodoh dan ajal  adalah rahsia Allah. Itu yang dikurniakan kepada saya, saya terima dengan hati yang terbuka. Saya sentiasa bersyukur.”
Kedengaran Afif Haikal ketawa sinis.
“Walaupun awak tahu suami awak itu punya kawan perempuan keliling pinggang?”
Mira Maira mengangguk. Pasrah dengan apa yang telah berlaku.
“Terus terang saya katakan, saya ralat dengan perkahwinan abang saya.” Keluh Afif Haikal.
“Kenapa awak pula yang ralat? Yang menghadapi semua ini adalah kami?”
Wajah Afif Haikal dipandangnya seketika kemudian dia mengalihkan pandangannya ke arah lain pula.
“Sepatutnya umi pilih saya bukan abang. Umi sendiri tahu perangai abang macam mana. Sedangkan saya…”
Mira Maira sudah tergelak. Macamlah dia lawa sangat hendak jadi rebutan.
“Kenapa awak gelak? Sama ada awak percaya ataupun tak, saya akui memang sukar hendak dapat mana-mana kawan perempuan yang baik, tak memandang harta dan yang jujur.”
“Bunyinya macam pernah kecewa aje?”
“Pernah… tapi mujur tak serius mana. Dia kawan dengan saya sebab saya anak seorang jutawan kosmetik. Awak tengok saja keadaan diri saya, nak kata kacak, manis tu adalah sikit. Nak kata tinggi, awak pandanglah saya sendiri, terang-terang saya macam pokok yang terbantut pembesarannya. Mana ada perempuan sukakan lelaki rendah seperti saya? Kalau adapun semuanya bersebab… sebab utama adalah duit.”
Mira Maira tergelak kecil. Macam-macam lelaki itu.
“Habis awak ingat saya bolehlah terima awak?” soal Mira Maira. Berubah wajah Afif Haikal.
“Sekurang-kurangnya kalau dah kena kahwin paksa macam ni, awak terima ataupun tak, saya dah jadi suami awak. Kena terima seadanya, kan? Tapi tulah… macam saya cakap tadi, abang lebih bertuah.” Mahu ataupun tidak, Afif Haikal kena terima hakikat juga, Alif Hazriq merupakan anak sulung dalam keluarga itu, dia perlu diberi keutamaan terlebih dahulu.
“Awak terlalu merendah diri. Sebenarnya awak taklah teruk mana. Saya rasa suatu hari nanti awak akan jumpa dengan gadis yang menerima awak seadanya tanpa ada agenda tertentu. Diri awak cukup lengkap termasuklah berpelajaran tinggi. Ramai gadis yang tercari-cari lelaki seperti itu. Cuma yalah… soal inci yang tak cukup tu, bukan ke semua tu kerja Allah? Kalau asyik nak salahkan apa yang Allah beri, tak adillah kita sebagai manusia nak pertikaikan apa yang Allah dah beri pada kita. Apa yang penting, selalulah panjatkan rasa syukur kepadaNya. Kalau kita sentiasa reda, mudahlah aura positif akan masuk dalam diri kita.” Nasihat Mira Maira, seraya itu juga dia bangkit lalu meninggalkan adik iparnya itu.
Otak Afif Haikal masih lagi memproses kata-kata kakak iparnya itu. Banyak kebenarannya. Namun untuk menjadi yang seorang yang berlapang dada bukanlah mudah. Keluh kesah itu pasti menjadi mainan bibir.

“UMI dan babah doakan Mira dapat menjalani peperiksaan dengan tenang dan sering dilindungi oleh Allah. Umi nak Mira tahu, umi sayangkan Mira.” Bisik Dato’ Farah, ketika mereka berpelukan.
“Terima kasih, umi. Insyaallah berkat doa semua, saya akan mudah menjawab semua soalan STPM nanti. Sayapun sayang umi juga.” balas Mira Maira.
Mereka berpisah dengan meninggalkan kesan yang dalam pada diri Mira Maira. Sesuatu yang dapat dia pelajari dari keluarga itu, kasih sayang. Dia mula rasa yakin dengan keluarga tersebut walaupun belum ada sedikitpun keyakinan itu buat suaminya. Mengapa suaminya tidak ikut sama? Malukan dia dengan keluarganya itu? Persoalan itu yang belum terlerai lagi…