6
MIRA MAIRA mula rasa gelisah. Sejak daripada tadi
dia mundar mandir dan sesekali matanya memandang ke arah sesusuk tubuh yang
sedang nyenyak tidur. Dia kebingungan. Matanya sekali lagi memandang ke dinding
pula, jam sudah menunjukkan ke angka 6.45 pagi. Apa yang harus dia buat?
Mira Maira
duduk bertinggung, menghadap ke wajah Alif Hazriq. Berkira-kira mahu mengejut
lelaki itu tetapi dia takut. Bagaimana caranya dia mahu kejutkan lelaki itu?
Subuh kian habis waktunya.
“Ya Allah…
bantulah aku…” bisiknya perlahan.
Baru sahaja
dia berkira-kira mahu mengoncang bahu lelaki itu, tetapi dia amat terkejut
sekali.
“Ya Allah!”
kedua-duanya terkejut.
Ali Hazriq
terus tegak tubuhnya, jantungnya bergerak laju. Manakala Mira Maira pula terus
terduduk. Dia memejam matanya. Sejak dinihari tadi dia asyik terkejut sahaja.
Mahu gugur jantungnya bila dalam keadaan begitu.
“Kenapa kau
terkejutkan aku?” soal Alif Hazriq kasar. Dia menguap lagi.
“Sa… saya cuma
nak kejutkan awak bangun solat, subuh dah nak habis waktunya,” agak gerun juga
Mira Maira mahu menatap wajah itu. Dia hanya menunduk.
“Ah dah nak
habis waktu, kan? esok aje aku solat,” selamba Alif Hazriq berkata, tubuhnya
direbah kembali. Mira Maira jadi bengang.
“Eh tak
bolehlah, awak ingat solat ni boleh simpan-simpan ke? Setiap waktu awak
tinggalkan awak wajib ganti. Bukan boleh dibayar dengan duit ke apa,” dia mula
membebel. Dia sudah lupa perasaan gerunnya tadi.
“Eh kau ni
banyak mulut juga, ya keding?” Alif Hazriq masih lagi mahu memejam matanya.
“Aku dia
panggil keding? Eeiii geramnya…” Mira Maira menunjuk ke arah dirinya sendiri.
Tidak percaya pula lelaki yang kini bergelar suaminya memanggilnya dengan nama
timangan yang sangat manja itu. Keding? Sangat kurang asam jawanya.
“Saya tak
kira, awak kena bangun juga. kalau tak…” Alif Hazriq membuka sebelah matanya.
“Kalau tak
kenapa pula? Kau nak kiss aku ke?”
sakat Alif Hazriq. Membulat mata Mira Maira dibuatnya.
“A… awak
jangan nak perasan eh.” Sangkal Mira Maira malu. Wajahnya mula sudah merona
kemerahan. Alif Hazriq tersenyum lebar, malulah konon. Kain selimut ditarik
lalu kepalanya ditutup.
Tanpa berlengah
lagi, Mira Maira berlari menuju ke dalam bilik air di dapur, seketika kemudian
dia datang kembali ke biliknya dengan membawa segayung air dan dussh!!!
Simbahan air tepat pada wajah Alif Hazriq.
Berang sungguh
Alif Hazriq, tubuhnya tegak berdiri. Matanya mencerlung ke arah Mira Maira.
Gadis itu pula sudah mula ketakutan. Dia membuka telekung, lantas dengan pantas
sahaja gerakan kaki mahu meninggalkan bilik itu. Tetapi langkahnya ditahan oleh
Alif Hazriq yang sudah kebasahan itu.
“Kau nak ke
mana?” tangannya kemas memegang lengan Mira Maira. Mira Maira mula ketakutan.
“Err… sa… sa…”
dia menjadi semakin cemas apabila terpandang wajah bengang Alif Hazriq itu.
“Kau lap muka
aku sekarang!” arah Alif Hazriq garang. Terketar-ketar tangan Mira Maira
mencapai tuala miliknya. Dia mengelap wajah suaminya itu.
“Awak… awak…
err”
“Sejak bila
jadi gagap?” perlahan kedengaran suara Alif Hazriq, tidak ubah sepertinya mahu menggoda
sahaja. Mira Maira semakin gelabah.
“Awak pergilah
ambil wuduk dulu. Subuh dah di penghujung waktu.” Pujuk Mira Maira. Alif Hazriq
tersenyum meleret. Dia tahu gadis itu gelabah dan takut kepadanya. Sambil
bersiul-siul dia keluar menuju ke bilik air yang terletak di dapur.
“ATUK… takkan Mira nak tinggalkan atuk seorang
diri, janganlah suruh dia bawa Mira, atuk.” Pujuk Mira Maira. Dia tidak percaya
lelaki itu datang ingin membawa dia pergi daripada situ. Paling dia gerun
hendak duduk bersama-sama orang yang tidak dikenalinya itu, bolehkah dia?
“Mira… dia
suami kamu. Hanya dia yang berhak ke atas kamu. Atuk tak ada hak apa-apa lagi.
Syurga di bawah tapak kakinya, Mira.” Tok Taha cuba menahan hiba, namun dia
cuba mengeraskan hatinya. Masakan dia tidak rasa kehilangan, cucu yang selama
ini membesar di hadapan matanya akan pergi meninggalkan dirinya.
“Itu Mira
tahu, tapi…”
“Tak ada
tapi-tapi lagi, Mira. cakap suami kena ikut. Jangan macam ni, atuk tak ajar
kamu bersikap macam ni.” Mira Maira mula menangis. Dia tidak sanggup berpisah
dengan atuk kesayangannya itu.
“Kalau macam
tu, atuk ikut Mira ya?” pujuk Mira Maira. Air mata dikesat dengan hujung jari.
Tok Taha
menggeleng, biarlah dia di situ.
“Jangan takut,
Mira. keluarga mertua kamu sangat baik. Percayalah cakap atuk ya?” tubuh
cucunya dipeluk erat, mereka melepaskan perasaan mereka di situ.
Alif Hazriq
sejak daripada tadi mencuri dengar. Kasihan juga dua insan itu bisik hati
kecilnya. Namun apa boleh buat, dia lebih kasihan dengan telinganya. Dia tidak
sanggup mendengar uminya berleter sepanjang masa. Kerana uminya juga dia berada
di situ.
“Atuk saya
minta diri dulu ya…” Alif Hazriq tidak mahu melihat drama sebabak itu
berpanjangan. Dia keluar daripada persembunyiannya.
Tok Taha dan
Mira Maira serentak memandang ke arah Alif Hazriq. Segera Tok Taha mengangguk.
“Jaga Mira
baik-baik, Alif. Kalau senang-senang, baliklah sini ya.” Pesan Tok Taha selepas
didakapnya tubuh Alif Hazriq.
“Insyaallah,
atuk.”
Mira Maira
berat hati hendak melangkah. Wajah mendungnya kian jelas kelihatan. Tiada
sekelumit senyuman yang mampu diukirkan. Bibirnya diketap rapat.
“Atuk…” dia
cuba merayu.
“Mira… jangan
macam ni, cu. Pergilah. Atuk tahu jaga diri, lagipun kalau atuk rasa sunyi
taulah atuk cari kawan nanti ya… pergilah.” Pujuk Tok Taha.
Walaupun
terpaksa, Mira Maira masuk juga ke dalam perut kereta milik Alif Hazriq. Lelaki
itu sudah sedia menantinya.
“Keding,
cepatlah sikit. Kau ni buang masa aku aje.” Sinis Alif Hazriq melemparkan
katanya. Mira Maira sedikit tersentap, Keding lagi?
“Kenapa tak
kejut awal-awal lagi, tak pasal-pasal hari ni aku tak kerja.” Bebelnya lagi.
Air mata yang
sudah sedia keluar semakin laju menuruni pipinya. Dia membuang pandang ke luar
tingkap. Semakin pilu dia bila mengenangkan nasib yang bakal menimpanya selepas
ini. Dengan sikap dingin suaminya itu, mampukah dia?
“KEDING… Keding… kau tidur mati ke apa ni?” Alif
Hazriq mengejutkan isterinya. Berkali-kali bahu Mira Maira digoncang.
Mira Maira
pula sengaja mematikan dirinya. Bukan dia pekak atau tuli tetapi dia kurang
senang bila lelaki itu sengaja mendera perasaannya dengan memanggil dirinya
dengan nama jelek itu. Teruk sangat gelaran itu.
“Keding…
cepatlah bangun.” Alif Hazriq memicit hidung Mira Maira membuatkan gadis itu
terus membuka mata. Dia sangat sensitif bila hidungnya diusik.
“Dah sampai
mana ni?” soal Mira Maira, dia memandang sekeliling. Yang nampak hanya
kehijauan, tidak adapun rumah.
“Kejap lagi
sampai ke rumah umi. Aku nak cakap dengan kau, jangan sesekali kau ceritakan
apa-apa hal rumahtangga kita pada dia. Kalau nak cakap sangat, cakaplah yang
baik-baik.”
Mira Maira
hanya mendiamkan dirinya. Sedikit mengangguk, tanda dia dengar. Walaupun
hatinya cukup memberontak, mahu membantah.
“Lagi satu,
kita dah jadi suami isteri. Walaupun perasaan cinta antara kita belum ada, aku
tak nak asing-asing bilik tidur. Kau kena jalankan tanggungjawab kau sebagai
seorang isteri dan aku pun macam tu. Jadi…”
“Sampai bila?”
Mira Maira memberanikan diri bertanya, dia ada hak. Kalau tak ada kasih sayang,
buat apa mereka jalani kehidupan sebagai suami isteri? Sedangkan perkahwinan
itu perlu disemai dengan penuh kasih sayang. Bukankah rasa asing nanti? Dan
paling penting, bakal mendapat dosa pula.
“Err… aku pun
tak tau…”
“Hubungan yang
tak ada perasaan kasih sayang, apa mananya tu? Seandainya saya tak reda, apa
hukumnya ya? Jangan permainkan agama, pincang hidup jadinya...” kata Mira
Maira.
“Kita cuba
dulu...”
“Lepas tu?
Kalau tak serasi cerai gitu?”
Alif Hazriq
menjeling ke arah isterinya. Amboi garanglah pulak. Cerai? Hmm... mungkin
tidak. Sekiranya itu berlaku, dia sendiri tidak dapat menjangkakan apa yang
bakal dia terima.
“Beri peluang
pada diri kita dulu... kita suka ataupun tak, kita kena lalui juga.”
Mira Maira terdiam. Sebenarnya dia mula reda,
apa juga yang bakal dihadapinya, dia berserah sahaja kepada Allah. Dia reda
dengan jodoh yang telah ditetapkan.
“Saya nak
tanya awak, kenapa awak panggil saya keding? Awak tahu tak ia sangat hina bagi
saya. Saya ada nama, kenapa perlu beri gelaran lain pula pada saya.” Wah inilah
peluang dia. Cakap saja apa yang dia rasa, hendak pendam-pendam buat apa?
Alif Hazriq
hanya diam. Dia menghidupkan kembali enjin kereta miliknya, dan terus memandu
laju. Sepanjang perjalanan itu Mira Maira hanya mendiamkan diri. Berserah
kepada takdir, apa yang berlaku pada hari esok, dia hanya mampu berdoa kepada
Allah.
“YA Allah menantu umi…”
Daripada jauh
Dato’ Farah menjerit kesukaan. Dia berlari-lari anak mengejar kereta anak
sulungnya yang baru sahaja masuk di perkarangan rumahnya itu. Tidak sabar-sabar
rasanya hendak bertemu dengan menantunya yang satu itu.
“Hati-hati,
Farah!” tegur Dato’ Mustaffa Harun. Pada hari itu dia juga enggan ke pejabat.
Dia juga mahu menyambut menantunya.
“Tengok umi
tak sabar-sabar nak sambut menantu dia… jangan buat muka, kena senyum walaupun
kau tak suka. Aku tak nak umi terasa.”
“Saya tahu,
rasanya senyuman saya pada umi sangat ikhlas. Saya tak nak jadi munafik, api
neraka duduknya orang-orang munafik ini.” Sinis Mira Maira menyindir.
Alif Hazriq
menjongket bahu.
Belum sempat
Mira Maira membuka pintu, Dato’ Farah sudah membukanya terlebih dahulu.
“Anak umi…”
dia memeluk tubuh kurus Mira Maira.
“Rindunya Mira
pada umi… umi nampak makin cantik.” Ikhlas dia memuji dan dia juga memang
benar-benar merindui ibu mertuanya itu.
“Terima kasih,
sayang. Mira pun boleh jadi macam umi kalau Mira nak. Nanti umi ajar.” Mereka
ketawa. Alif Hazriq hanya menjeling.
“Umi ni, kalau
dah jumpa menantu, anak sendiripun dah lupa. Penat aje saya berdiri kat sini
daripada tadi. Jangan kata nak bukakan pintu, panggil nama sayapun tak nak.”
Sindir Alif Hazriq.
“Alah awak tu
dah besar, pandai-pandailah bawa diri. Mari Mira, kita masuk. Babah dah tunggu
Mira daripada tadi lagi.” Mereka meninggalkan Alif Hazriq yang menjeruk rasa.
“Hesy…” dengus
Alif Hazriq. Dan ketika itu juga dia menerima panggilan.
“Helo, selamat
pagi, sayang…” dia menyandarkan tubuhnya di badan kereta.
“You tak pergi
pejabat ke?” soal Dyna.
“Yup, I ada
hal hari ni. Kenapa you cari I ke?” sesekali matanya terarah ke pintu rumahnya,
umi dah mula berdiri di ambang pintu.
“You sakit ke,
sayang? I datang rumah you ya,” Dyna mula cemas.
“Eh jangan…
jangan. I dekat rumah umi ni. You jangan risau ada hal keluarga sikit. Esok aje
kita jumpa ya. Okey bye sayang…” pantas Alif Hazriq mematikan talian.
Tanpa
disedarinya, adiknya Afif Haikal berdiri di belakangnya.
“Di sana
sayang, di sini apa pulak ya?” sindir Afif Haikal. Hampir sahaja tercampak
telefon bimbit yang ada di tangan Alif Hazriq.
“Terkejut aku,
bro. Kau ni angin tak ada rebut tak ada tiba-tiba aje berdiri kat situ, kau
datang daripada mana tadi?”
Afif Haikal
hanya tersenyum sinis.
“Mana nak
perasan, orang sibuk dengan sayang dia. Eh bro, kau biar betul. Nanti kalau umi
tahu habislah kau.”
“Kau jangan
pecah lubang, bro. Pandai-pandailah simpan…” Alif Hazriq tergelak.
“Apa kurangnya
isteri kau tu, bro. Aku tengok sempurna aje macam perempuan lain.” Alif Hazriq
yang baru sahaja mahu melangkah ke belakang kereta, terus terhenti. Dia
tergelak besar.
“Hei, bro. Kau
cakap dia okey? Cuba kau bukak besar-besar mata tu, tengok, fokus betul-betul,
eeiii banyak kurangnya, bro. Berbanding dengan…”
“Dengan
perempuan-perempuan model tu?”
Alif Hazriq
mengangkat bahu.
“Jangan
pandang orang sebelah mata, bro. Kadang apa yang kita tengok buruk itulah intan
permata yang berkilau. Berbanding dengan yang tepek bedak berkilo-kilo kat muka
tu. Suatu hari nanti kau mesti menyesal dengan kata-kata kau tu, bro.” Afif
Haikal menepuk bahu abangnya.
“Kau cakap
senanglah sebab bukan kau yang kena.”
“Kalau aku
yang kena, aku terima aje. Tak payah aku pening-pening kepala nak pikat anak
dara orang. Kau tau ajelah aku yang tak cukup inci ni, anak dara tak pandangpun
kecuali mereka tahu aku ni anak orang kaya.” Ujar Afif Haikal. Dia berterima
kasih kepada Mira Maira, setelah mendengar nasihat kakak iparnya itu, dia mula
rasa berkeyakinan.
“Dahlah malas
aku nak bincang hal ni lagi. Apa nak jadi lepas ni, kita tunggu dan lihat.
Kalau panjang jodoh aku dengan dia, dialah isteri aku sampai bila-bila. Tapi
kalau sebaliknya berlaku… aku terima saja,” begitu mudah Alif Hazriq mematikan
topik perbualan mereka. Malas hendak memikirkan untung nasibnya di masa akan
datang. Apa yang penting, hidup perlu diteruskan.
“KALAU boleh umi nak Mira duduk di sini. Tapi si
Alif tu, dia kata nak hidup berdikari konon. Rumah besar macam ni, bukan ada
orangpun. Umi rasa sunyi.”
Dato’ Farah
luahkan perasaannya. Kurang senang dengan permintaan anak sulungnya itu.
Sebenarnya itulah syarat yang diletakkan sekiranya dia mahu Mira Maira datang
ke Kuala Lumpur. Geram betul dengan perangai anak sulungnya itu.
“Alah umi ni,
kami duduk di Kuala Lumpur juga, kan? kalau umi rindu umi telefon aje, nanti
kami baliklah.” Pintas Alif Hazriq.
“Yalah tu… dia
sukalah duduk sendiri, nanti tak dengar bebel umi ni, kan?”
“Ke situ pulak
umi. Bagilah kami peluang, nak bina hidup sendiri. Asyik duduk bawah ketiak umi
aje. Sampai bila? Takkan sampai beranak pinakpun nak duduk sini juga?”
Merah wajah
Mira Maira apabila mendengar bicara yang bisa menyentuh naluri kewanitaannya.
“Oh…
cepat-cepat bagi umi cucu eh… dah tak sabar ni nak dukung cucu.” Sakat Dato’
Farah.
Semakin malu
Mira Maira. Wajahnya ditunduk, hampir sahaja mengenai meja makan. Kalau boleh
menyorok, dia ingin menyorok bawah meja makan itu. Hesy… hangit betul ayat-ayat
ibu mertuanya itu.
“Alif duduk
kondo yang baru siap tu ke?” soal Dato’ Mustaffa Harun.
Alif Hazriq
menggeleng.
“Tak..”
“Habis tu kat
mana pulak kamu nak duduk?” celah Dato’ Farah. Sangkanya anak sulungnya itu
akan menduduki rumah yang baru dibelinya itu.
“Err… saya
sewa apartment kat Setiawangsa.”
“Hah?” Dato’
Mustaffa Harun dan isterinya serentak terkejut. Tidak menyangka anaknya akan
menyewa rumah pangsa untuk menantu kesayangannya itu.
“Tak ada
tempat yang lebih selesa lagi ke untuk Mira? Cubalah cari rumah teres ke,”
marah benar Dato’ Farah.
“Umi… Mira dah
biasa duduk di kampung. Jadi kalau duduk di kondo mesti dia tak selesa. Lagipun
kalau kat apartment tu, ramai jiran-jiran. Saya dah selidik, situ ramai orang
Melayu.” Alif Hazriq kemukakan alasannya.
Dato’ Farah
terdiam. Dia memandang wajah suaminya. Dato’ Mustaffa Harun juga hilang kata.
“Kalau boleh
carilah rumah yang lebih selesa untuk Mira. tak pun, duduk aje kat sini. Mira
pun tak boring, umi ada kawan.” Dia masih lagi memujuk.
“Umi… saya tak
kisah. Asalkan ada tempat berteduh, saya dah bersyukur sangat. Umi janganlah
bimbang ya… lagipun abang dah cakap tadi, dia benarkan saya bekerja. Kan,
bang?” Mira Maira tersenyum manja.
Bulat mata
Alif Hazriq, bila masa pula mereka bincang pasal kerja?
“Kerja? Kerja
apa pulak?” makin risau Dato’ Farah dibuatnya.
“Err… ker…”
“Kalau Mira
nak kerja, kerja dengan Alif. Babah tak mahu Mira kerja di tempat lain.Dah jadi
tanggungjawab kami jaga Mira sebaiknya.” Putus Dato’ Mustaffa Harun.
Makin juling
mata Alif Hazriq bila mendengar usul babahnya itu. Mahu sahaja dia hantuk kepalanya
di meja makan tanda protes dengan segala cadangan mereka.
“Tapi babah…”
“Tak ada
tapi-tapi lagi. Keputusan babah kamu tu muktamad. Umipun suka kalau Mira kerja
di situ. Senang hati umi ni…” bantah Dato’ Farah.
Alif Hazriq
terdiam, dan sempat juga dia menjeling tajam ke arah Mira Maira. Geram kerana
pandai-pandai sahaja. Akhirnya dia juga yang tersepit sendiri.
“KEDING, yang kau pandai-pandai tu kenapa?” marah
Alif Hazriq tapi nadanya terkawal. Bimbang didengari oleh umi atau babahnya.
“Tak salah, kan? Lagipun kalau duduk di rumah
daripada pagi sampai ke malam, mesti saya boring. Sekurang-kurangnya kalau saya
kerja, taklah terasa sangat. Saya tahu tujuan awak duduk asing dengan keluarga
awak. Mesti saya akan tinggal sorang-sorang kat rumah. Daripada saya mati
kering, lebih baik awak izinkan saya bekerja.” Mira Maira sudah mula berani
hendak menyuarakan pendapatnya. Biarlah selama ini lelaki itu menyangka dia
seorang yang pendiam. Sesekali, kena juga bersuara.
“Wah, sekarang
dah banyak ayat ya? Sejak bila dah pandai bercakap banyak ni?”
“Sejak saya
kenal awak,” selamba dia menjawab.
Alif Hazriq
meletakkan buku yang dipegangnya. Merenung isterinya dari arah belakang.
Pandangannya jatuh pada rambut yang melepasi bahu itu. Keras kejung aje
nampaknya. Sedikitpun tidak beralun apabila gadis itu mengerakkan kepalanya.
Huh! Macam berus periuk! Kutuknya dalam hati. Nasib kaulah Alif Hazriq dapat
isteri yang… hmm…
“Dahlah
menghadap cermin tu... padam lampu, aku nak tidur ni...” Alif Hazriq merebahkan
tubuhnya.
Mira Maira
akur, dia melangkah ke arah suis lampu yang terletak di sebelah pintu. Perasaannya
resah. Macam mana dia nak tidur dengan lelaki itu, sekatil pulak tu? Dia berdiri
lama di situ. Alif Hazriq berasa pelik pula.
“Yang kau
berdiri kat situ buat apa? Dah macam tiang letrik aje aku tengok. Tak payah nak
jadi tiang, tiang konkrit kat rumah ni aje dah cukup kukuh.” Sinis Alif Hazriq
menyindir Mira Maira.
Terkebil-kebil
mata Mira Maira. Kurang asam! Pantas dia bergerak mendekati katil.
“Awak tidurlah
dulu...”
“Dah jangan
banyak alasan,” Alif Hazriq menyembunyikan senyumannya.
“Saya
sebenarnya...”
“Dahlah tu...
kau nak takut apa? Aku dah mengantuk ni, malas aku nak layan kau. Selamat malam...”
Alif Hazriq terus membelakangkannya.
Perlahan Mira
Maira duduk di birai katil. Lama juga dia duduk di situ sehinggalah dia
tertidur dalam keadaan duduk. Akhirnya, tubuhnya rebah juga di atas katil
dengan keadaan kakinya terjuntai ke lantai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan