Pengikut

Isnin, 20 Mei 2013

JANGAN PANDANG SEBELAH MATA, BRO!






23
TIGA hari kemudian... 
Jam dua pagi telefon bimbit Mira Maira berbunyi. Dia terkejut. Beberapa hari dia tidak menghidupkan telefon bimbitnya, hari itu dia cuba menghidupkan. Sepanjang hari tiada sesiapa yang menelefonnya sehingga pada dinihari itu.
Mira Maira bingkas, matanya dipejam celik. Masih lagi jalu.
“Assalamualaikum…”
“Mira… atuk… Mira…” tergagap-gagap makdek bercakap. Dia termengah-mengah.
“Makdek! Kenapa dengan atuk?” terbeliak biji mata Mira Maira.
“Makdek kat mana ni?” Mira Maira bertanya lagi setelah makdek tidak mampu berkata-kata. Hanya tangisan sahaja yang kedengaran.
“Makdek kat hospital ni, Mira.”
“Hospital? Atuk masuk hospital ke, makdek? Bila?”
“Lepas solat isyak tadi dia mengadu sakit dada, pukul satu dia bangun terus rebah. Mira datanglah ya…”
“Baik, makdek. Nanti Mira datang.” Talian dimatikan. Tangan Mira Maira menggigil. Fikirannya pula hanya teringat kepada Tok Taha. Apa penyakit atuknya itu sehingga boleh tidak sedarkan diri?
“Kenapa Mira menangis ni?” soal Rabitah yang kebetulan baru bangun. Waktu-waktu begitu memang Rabitah akan bangun dan mengisi satu pertiga malamnya dengan amalan-amalan sunat.
“Atuk Mira, kak. Sekarang dia kat hospital…”
“Ya Allah… sakit apa?” Mira Maira menggeleng.
“Kalau macam tu, solat sunat dulu. Sementara tunggu hari siang ni, banyakkan berdoa. Moga Allah permudahkan segala urusan kita, marilah kita berjemaah…”
Mira Maira akur. Segera dia mengambil wuduk. Rabitah menjadi imam diikuti oleh makmum Karmah dan juga Mira Maira. Selesai solat-solat sunat, Mira Maira membaca yasin, sementara Rabitah dan karmah pula membaca quran.

JAM tujuh pagi, Mira Maira sudah bersiap-siap. Mujurlah baju Rabitah muat pada tubuhnya. Dia memakai jubah hitam dan bertudung labuh. Tak kisahlah. Asal ada baju hendak ke hospital. Dia melihat cermin. Dia terasa selesa bila berimej begitu. Senyuman terukir di bibirnya.
‘Suatu hari nanti, aku kan berimej begini, InsyaALLAH…’ bisik hatinya.
“Mira dah siap ke? Kalau dah siap marilah pergi. Nanti akak nak mengajar pulak.,” kata Rabitah di luar bilik. Mira Maira keluar dan mendapatkan Rabitah.
“Mira dah siap, kak. Marilah. Maaf ya, kak. Mira banyak menyusahkan akak.” Tangan Rabitah digenggam erat.
“Akak tak rasa susahpun, Mira. Jom kita pergi cepat. Kar… aku pergi dulu ya.” Karmah datang dari arah dapur.
“Yalah… eh kunci motor kau letak mana?” soal Karmah.
“Ada dalam bilik. Kami pergi dulu… assalamualaikum…”
Rabitah dan Mira Maira keluar.
“Wa’alaikumussalam… hati-hati memandu…” pesan Karmah.
Rabitah mengangkat tangan. Gadis berjubah serta berniqab itu masuk ke dalam perut kereta Viva yang baru dibelinya. Mira Maira juga meloloskan diri dalam kereta itu. Dia mengangkat tangan kepada Karmah. Kereta Viva meluncur laju menuju ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
Bergegas Mira Maira menuju ke tempat makdeknya menanti. Pagi-pagi begitu pelawat tidak dibenarkan masuk. Jadi mereka bertemu di kantin yang terletak di bangunan utama bersebelahan dengan Cawangan Bank Simpanan Nasional yang beroperasi 24 jam sehari.
“Assalamualaikum...” sapa Rabitah terlebih dahulu.
“Makdek...” tegur Mira Maira. Makdeknya sedang melayan kantuknya. Siap tidur duduk lagi.
“Eh Rabitahpun ada juga? Hmm... macam mana boleh kenal dengan Mira?” mereka bersalaman.
“Nanti Mira ceritakan. Atuk macam mana?” makdek hanya menggeleng.
“Teruk sangat ke, kak?” soal Rabitah pula.
“Doktor kata akan buat pembedahan secepat mungkin. Tunggu abang akak dari Kedah sampai. Doktor nak berbincang dengan dia.” Jawab makdek. Mira Maira mengusap tangan makdeknya itu.
“Okeylah, kak… Mira… nak kena pergi dulu. Nanti kasihan pulak Karmah sorang-sorang kat tadika tu.” Rabitah bersalaman dengan makdek dan Mira Maira.
“Kak Rabitah, terima kasih banyak-banyak ya. Berhati-hati pandu kereta …” pesan Mira Maira. Rabitah tersenyum.
“Sama-sama… Assalamualaikum semua…” ucapnya seraya itu melangkah pergi.
“Wa’alaikumussalam…” jawab mereka berdua.
“Makdek, atuk sakit jantung ke? Apa punca dia boleh sakit dada tu?” soal Mira Maira sebaik sahaja Rabitah meninggalkan mereka.
“Tak tahu makdek. Makdek sibuk dengan kuih frozen tu, dia dengan…”
“Ini semua kau punya pasal. Dia tengok cerita laki kaulah, sebab tu dia kena sakit jantung. Kau ni kan memang bawa sial tau,” celopar sahaja mulut Noni, sepupu kepada Mira Maira. Entah daripada mana dia, tiba-tiba sahaja muncul.
Wajah Mira Maira sudah berubah, rasa membahang pada kulit wajahnya. Sampai hati sepupunya itu menuduh dirinya punca segala masalah yang menimpa keluarganya kala itu.
“Kau cakap apa ni, Noni? Kau jangan nak memandai ya.” Makdek memberi amaran. Bulat matanya memandang anak saudara sulungnya itu.
“Tak betul ke, makdek? Lepas atuk tengok gambar laki dia yang tak guna ni, atukpun jatuh sakit. Memang kau dengan laki kau, tak guna!” marah Noni lagi.
Mira Maira masih lagi mendiamkan dirinya. Dia yang tidak tahu hujung pangkal, hanya menelinga kemarahan itu.
Pang! Satu tamparan hinggap di muka Noni.
“Aku dah lama tak tampar muka kau, kan? Kau yang tak guna sebenarnya. Kau ingat makdek tak tau apa tujuan kau balik ke kampung? Semata-mata nak kikis duit atuk, kan? Selama ni, makdek dan Mira tak ada kat rumah tu, kau bagaikan kaduk naik junjung, kan?”
“Apa makdek ni? Main tampar-tampar. Makdek jangan nak tuduh sebarangan. Eh, Mira. Nah kau ambil ni tengok laki kau tengah berpeluk-peluk dengan kekasih dia. Huh! Memang padanlah dengan muka kau tu,” cemuh Noni lagi.
“Kau nak kena tampar lagi ke apa?” makdek mula bangun, mahu menyerang Noni.
“Makdek, jangan…” halang Mira Maira. Dia menarik tangan makdek dan memaksanya duduk.
Akbar yang ada di atas meja di hadapannya itu, enggan dilihatnya. Dia cuba menguatkan hatinya. Namun desakan nalurinya lebih kuat, akhirnya dicapai juga akhbar itu.
MODEL DYNA BERSAMA KEKASIH HATI… mengaku akan akhiri zaman bujangnya tidak lama lagi.
Tajuknya sahaja bisa mengugurkan jantung. Perlahan Mira Maira meneliti setiap baris ayat yang ditulis. Mereka ditemui ketika sedang berhibur di salah satu kelab malam disekitar Kuala Lumpur.
 Perlahan dibawa tubuhnya menyandar di kerusi plastik yang didudukinya. Air mata perlahan-lahan pula mengalir. Dia tidak dapat menipu dirinya sendiri. Lelaki itu yang sedang bertakhta di hatinya kala itu.
“Mira jangan percaya sangat. Jangan-jangan berita ni palsu. Dia ni aje, memandai-mandai. Dia tau atuk tu lemah kalau kaitkan nama Mira. Sebenarnya, penyebab dan punca kenapa atuk sangat tertekan ialah dia ni. Hutang keliling pinggang… kerja malas, nak harapkan duit orang. Kau ingat makdek tak tau ke?” marah makdek lagi. Noni terkulat-kulat. Tetapi itu semua hanya seketika.
“Makdek tak payah nak bela-bela dialah. Memang dasar…”
Makdek sudah bangun. Kali ini perang akan meletus lagi antara ibu saudara dengan anak saudara itu. Mereka memang tidak sefahaman sejak daripada dahulu lagi.
“Sabarlah, makdek…”
“Kau cakaplah… kalau kau ungkit kisah lama lagi, siap kau. Yang kau nak mengata tu adik kepada ayah kau sendiri dan abang aku. Jangan sedap hati kau aje nak mencaci ya. Silap hari bulan dengan kau-kau sekali masuk hospital ini nanti,” kali ini makdek memang betul-betul bengang. Itulah satu-satunya anak saudara yang suka menyusahkan orang.
“Apa bising-bising ni, tak malu ke orang tengok?” tegur satu suara. Mereka bertiga berpaling ke arah suara itu.
“Hah! Baguslah abang long datang. Tolong nasihat sikit anak abang long ni. Kalau adik yang nasihat nanti, mau tangan dengan kaki adik naik.” Kata makdek. Lelaki itu tetap nampak cool.
Mira Maira menyalam tangan pak long dan mak longnya. Seperti biasa, mak longnya menyambut tangannya dengan acuh tak acuh sahaja. Pak longnya itu memang tidak pernah memarahi anak. Kadang-kadang perbuatan yang dilakukan oleh anaknya sudah melampaui batas, namun dia tetap cool. Cool tidak bertempat.
“Mama… tengok makdek ni. Orang cakap benda betul, dia nak marah-marah pulak,” adu Noni. Makdek hanya menjeling. Meluat dengan perangai mereka berdua.
“Abang long, doktor nak jumpa abang long. Katanya nak bincang pasal pembedahan abah. Pergilah jumpa Doktor Lim.” Kata makdek. Tanpa banyak tanya, pak long terus meninggalkan mereka.
“Hmm… apa lagi yang dibawa oleh budak sial ni, hmm? Tak habis-habis nak menyusahkan orang.” Sindir mak longnya. Mira Maira masih lagi membisu.
“Simpanlah carut marut akak tu… patutnya yang nak kena carut tu, anak akak ni. Kalau tak sebabkan dia, abah tak jadi gitu.” Celah makdek. Selamba sahaja dia dengan kakak iparnya itu.
“Apa yang dia dah buat?” soal mak long.
“Tanyalah anak akak sendiri…” balas makdek.
“Noni minta tolong atuk bayarkan hutang-hutang Noni aje, mama. Takkan itupun salah?” Noni meraih simpati.
“Tak salahpun… memang patutlah Noni minta. Duit atuk Noni juga. Kalau tak dihabis dek budak sial ni aje, kan?” jawab mak longnya.
“Ah… memang patutpun jadi anak beranak. Anak dengan mak sama aje. Tapi adik nak bagitaulah kan… lepas ni, sesiapa saja yang nak pinjam duit abah tu, mesti melalui adik dulu. Jadi… tak payahlah ada yang ambil kesempatan dalam kesempitan, betul tak?”
“Hmm… memang patutlah laki kau tinggalkan kau, Rehan. Mulut macam…”
“Habis tu, kau nak rasa juga ke nak kena tinggal dek laki?”
Mira Maira mula pening dengan pertengkaran itu. Dia bosan. Sudahlah kepalanya serabut memikirkan hal atuknya, malah hal suaminya juga turut bertepek dalam otaknya itu. Dia bingkas bangun, mahu pergi daripada situ.
“Nak ke mana, Mira?” soal makdek.
“Mira nak ke surau. Lebih baik buat solat sunat daripada bertekak tentang harta dunia, makdek. Kalau mati, tak adalah mata terbeliak dek sifat tamak haloba kita. Makdek nak ikut sekali?” sengaja Mira Maira mahu menyindir mak long dan sepupunya itu.
“Eh boleh juga. Sakit mata dengan hati makdek duduk sini. Bukan dapat menyelesaikan masalah, makin serabutkan kepala adalah.” Makdek turut menyindir.
Mak long dan juga Noni masam mencuka. Mereka tidak dapat lagi hendak menyakitkan hati Mira Maira.
Baru beberapa langkah mereka menapak, kedengaran ada suara menegur mereka.
“Adik… Mira… nak pergi mana pulak tu?” soal Mak Uda Mira Maira.
“Eh mak uda… apa khabar…” mereka bersalaman.
“Kami nak pergi surau. Akak nak ikut ke? Duduk situ akak faham-faham sendirilah. Buat sakit mata dengan hati aje. Baiklah pergi solat dapat juga pahala.” Jelas makdek.
“Boleh juga. Kalau duduk situ nanti akak pula yang makan hati,” kata mak uda. Tersenyum simpul Mira Maira dibuatnya.

“ALIF mana, Mira?” soal mak udanya.
Mira Maira tersedak-sedak.
“Yalah, Mira. Mira dah beritahu mak mertua Mira pasal atuk?” soal makdeknya pula. Ketika itu mereka masih lagi dalam surau.
Mira Maira menggeleng. Fikirannya kusut. Mana satu yang hendak difikirkan dahulu. Hal rumahtangganya ataupun hal atuknya? Dia terasa gerun apabila memikirkan hal dirinya sendiri yang telah berdosa pada suaminya kerana dia tidak memberitahu di mana dia berada. Untuk menjadi isteri solehah, kemana sahaja hendak pergi perlulah mendapat keizinan suami walaupun hendak menziarahi orang tua sekalipun. Tapi dia…
“Tak apalah, nanti makdek telefon mereka.” Seakan memahami gejolak rasa yang dialami oleh anak saudaranya itu, makdek mengambil keputusannya sendiri.
“Eloklah tu, mesti Kak Farah bising nanti kalau kita tak beritahu dia.” Kata mak udanya pula.
“Jomlah, kak kita keluar. Jadi ke tak abah kena bedah hari ni. Risau juga hati ni. Nanti abang long tercari-cari kita pulak.” Ajak Makdek. Mereka bertiga bingkas lalu keluar seorang demi seorang.
Dalam hati Mira Maira mula berkecamuk, wajarkah dia memberitahu suaminya itu tentang atuknya? Sedangkan atuknya sakit mungkin juga berpunca dari berita yang terpapar di akhbar itu? Dia bingung sendiri. Memang benar-benarkah suaminya akan bernikah dengan Dyna? Bagaimana pula dengan dirinya? Bersediakan dia menjadi janda?

***********************

Kepada yang sudi baca, silalah komen2 di sini ya.... sayang korang....

10 ulasan:

tini berkata...

Crita ni best! update slalu yer cik writer :)

syimasyawal berkata...

InsyaAllah cik pembaca Tini.... akan diusahakan.... doakan ia menjadi sebuah buku ya....

Unknown berkata...

best.....

syimasyawal berkata...

terima kasih sudi baca baby mio

Tanpa Nama berkata...

Best......nak lg

syimasyawal berkata...

saabr menanti....

cyah berkata...

Best kak sian mira...

Tanpa Nama berkata...

Agsk2 bila n3 bru ek?....x sabor ni...sian mira.

Tanpa Nama berkata...

Hai!.....bila lg n3 bru. Tak senang duduk ni

syimasyawal berkata...

sabor adik2.....