18
ESOKNYA, Syazana
mengajaknya pergi ke kompleks PKNS. Mula-mula Tok Taha tidak benarkan. Tetapi
setelah Mira Maira terangkan dia pergi dengan keizinan suaminya, barulah orang
tua itu benarkan. Katanya dia tidak mahu cucunya itu menjadi isteri yang
derhaka kepada suami.
“Jaga diri baik-baik, Mira. Ingat siapa diri tu.
Jangan pulak lupa diri kalau dah jumpa kawan. Maruah suami diutamakan.” Pesan
Tok Taha. Mira Maira mengangguk.
“Baik, atuk.”
Baru sahaja dia keluar daripada pintu utama,
kereta Syazana berhenti di hadapan rumahnya. Mira Maira mengangkat tangan.
“Kejap!” dia masuk semula, mengambil beg galasnya.
Agak lama juga dia tidak menggunakan beg galasnya itu. Pada hari itu dia
bergaya santai, berbaju T lengan panjang warna hitam serta berseluar jeans.
Tudung juga berwarna hitam.
“Atuk, Mira pergi dulu, ya.” Tangan Tok Taha
disalam. Kemudian dia mendapatkan pula makdek yang sedang menyidai pakaian.
“Jaga Diri, Mira,” pesan makdek.
Mira Maira faham, dia isteri orang. Pasti Tok Taha
dan makdeknya risau. Takut lupa daratan.
“Okey!” dia berlari-lari anak mendapatkan Syazana
yang sudah sedia menanti.
“Assalamualaikum…” ucapnya sebaik sahaja dia
membuka pintu dan masuk ke dalam perut kereta.
“Waalaikumussalam… weh lama kita dah tak
jalan-jalan sama, eh. Hari ini kita enjoy!” teriak Syazana. Mira Maira hanya
ketawa sahaja.
“Kau dah bagitau si Shahir?” Mira Maira berpaling
ke arah Syazana.
Syazana mengangguk.
“Dia kata, dia tunggu kita kat sana. Hari ni kita
paw dia cukup-cukup…” mereka berdua tergelak.
Sepanjang perjalanan, Syazana tidak putus-putus
bercerita. Ada sahaja celotehnya. Cerita itu, cerita ini. Malah satu kampungpun
dia boleh tahu cerita.
“Kau ni macam Mak Jarah weh… kau tau semua cerita
orang,” usik Mira Maira.
Mira Maira menggeleng.
“Biasalah…”
Perjalanan yang lancar itu membuatkan Mira Maira
rasa kagum dengan Syazana. Dia sendiri belum ambil lesen lagi. Kalau lesen
motorsikal adalah.
“Kau dah cekap bawa kereta, Ana? Mesti kau selalu
ukur jalan, kan?”
Syazana ketawa.
“Mana taknya, Mira. Pantang kereta ni ada kat
rumah, aku rembatlah. Mujurlah mak aku tu tak bingit sangat. Kalau tak, memang perang
mulutlah selalu,” jawab Syazana.
“Cerita pasal mak kau, dia tak teringin cari penganti
ke? Dia pun lawa lagi apa?” rasanya sudah lama mak Syazana menjanda.
“Hmm… puas dah aku tanya, dia cakap nak jumpa
arwah bapak aku kat sana nanti. Dia cemburu dengan bidadari syurga. Dia nak
jadi bidadari sejati buat arwah bapak tu. Tapi kadang-kadang kita manusia ni
cakap aje lebih, hakikatnya dia tetap perlukan teman, kan? InsyaAllah kalau ada
jodoh, adalah tu...”
“Besar pengorbanan tu. Moga-moga dia dapat apa
yang dia cita-citakan. Lagipun mak kau tu bukan macam kau, kepala angin.
Solatpun ikut angin, kan?” Sakat Mira Maira. Syazana mencebir.
“Eh aku dah lainlah sekarang. Solat aku dah jaga
tau. Doakan aku istiqomah ya…”
“Amin…”
MEREKA sampai ke
kompleks PKNS, Syazana mencari parkir. Setelah mendapat tempat, mereka masuk
dalam bangunan itu.
“Kau call
Shahir dia dah kat mana. Nanti berjanggut kita tunggu kat sini,” arah Mira
Maira. Tanpa banyak soal, Syazana terus menefon Shahir.
“Dia dah tunggu kita kat Restoran FC. Dia dah
melantak dululah tu, hampeh punya kawan.” Bebel Syazana.
“Dah… jangan bising-bising. Jom kita pergi sana.
Giliran kita pulak bedal, dah lama tu tak makan burger.” Mereka berjalan
bergandingan. Laju sahaja langkah Syazana, Mira Maira terpaksalah berlari anak
untuk bersaing dengan rakannya itu.
“Amboi, dah lapar sangatlah tu,” giat Mira Maira.
Syazana tersengih. Dia menepuk-nepuk perutnya.
Sampai sahaja mereka di restoren yang dijanjikan,
mereka nampak Shahir sedang menikmati makanan. Syazana dan Mira Maira
berpandangan.
“Kau tengok!” Mira Maira hanya tersengih.
Mereka mendekati Shahir.
“Allahuakbar… mujur aku tak tersedak. Sorrylah aku
makan dulu, perut aku dah lapar gila ni. Kalau korang nak apa-apa pergilah buat
pesanan.”
Sangatlah kejam Syazana menepuk belakang Shahir.
Kuat pula. Mujurlah tak tersembur makanan yang ada dalam mulut Shahir.
Tanpa berlengah lagi, Syazana memesan beberapa makanan
termasuk untuk Mira Maira sekali.
“Apa macam tokey bunga? Aku tengok muka kau pun
dah macam mat bunga dah.” Usik Syazana. Shahir menjengilkan matanya.
“Banyaklah kau mat bunga. Tak mainlah beb. Aku nak
belajar lagi… kalau boleh biarlah aku habis belajar dan dah kerja baru aku jadi
mat bunga.” Tangkis Shahir.
“Eleh, dulu kau suka Mira ni, kan? Tapi awal-awal
lagi Mira dah tolak kau mentah-mentah. Kalau tak, mat bunga juga kau tu,”
selamba Syazana menyindir Shahir.
Lelaki itu hanya tersengih, Mira Maira pula
menumbuk bahu Syazana.
“Gilalah kau ni,” marah Mira Maira.
“Alah kau jangan nak malu sangatlah, Mira. Dengan
mamat ni, kau tolakpun tak jadi hal.”
“Dahlah, cerita lainlah boleh tak?” Mira Maira
kurang senang.
“Kau orang berdua nak masuk universiti mana nanti?
Aku ingat nak mohon belajar dekat-dekat sini ajelah. Itupun kalau dapatlah…”
Shahir bertanya, wajah kedua teman sekolahnya itu dipandang silih berganti.
Baru kini Mira Maira terfikir. Kemana dia mahu
pergi? Dia sendiri tidak tahu. Sedangkan tanpa keizinan suaminya, bolehkah dia
sambung belajar lagi? Syazana pula hanya menggeleng.
“Aku rasa… aku macam tak nak sambung belajar
lagi.” Jelas Syazana.
“Kenapa?” serentak mereka berdua bertanya.
“Hmm… nilah yang aku nak bagitau korang ni.
Sebenarnya…”
“Wah! Macam suspen aje…” Shahir menupang dagu
bersedia mendengar cerita Syazana.
“Sebenarnya aku nak mengakhiri zaman anak dara aku tak lama lagi…” tanpa selindung,
Syazana bercerita, walaupun cerita itu hanyalah satu ilusi sahaja.
“Hah?!” Shahir dan Mira Maira berpandangan sesama
sendiri.
“Biar betul kau ni, Ana?” Mira Maira agak terkejut
juga.
“Dengan siapa?” soal Shahir pula.
“Pak Lokman…” Syazana menyedut air tembikai dengan
perlahan.
Mira Maira terbatuk-batuk apabila mendengar nama
Pak Lokman. Shahir pula melopong.
“Ya Allah… Pak Lokman tu dah tua, Ana. Kau ni dah
rabun ke apa?” soal Mira Maira.
“Yalah… pilihlah orang macam aku ni ke?” celah
Shahir.
“Habis tu, Rudy tak cakap apa-apa ke?” berita itu
sangat mengejutkan.
“Hmm… dia dah tak duduk kampung dah. Pergi belayar
katanya, dia marah juga. Tapi nak buat macam mana, dah sama-sama suka. Aku tak
peduli dia dah tua ke apa. Apa yang penting dia boleh bimbing aku.” Jawab
Syazana.
Mira Maira tidak terkata apa, nampak kesungguhan
pada wajah Syazana. Takkan dia hendak jadi penghalang pula sedangkan ibu
Syazana telah bersetuju.
“Kalau itu keputusan kau, hmm… akupun tak boleh
nak cakap apa. Yang melalui kehidupan tu, diri kau sendiri.” Mira Maira hanya
mampu berdoa sahaja. Biarlah Syazana dengan keputusannya. Syazana tersenyum
penuh makna...
“Terima kasih sebab memahami.”
“Bila langsungnya?” soal Shahir.
“Kenapa kau nak bagi aku bunga percuma ke? Dari
bagi bunga lebih baik kau bagi aku pizza ke, KFC ke dapat juga aku makan.
Kenyang perut aku,” Syazana melawak pula.
“Aku
seriuslah, Ana…” memang benar wajah Shahir agak serius.
“Bulan depan kot. Sebab dia hantar rombongan terus
nikah aje. Tak ada tunang-tunang.” Jawab Syazana.
“Ana… kalau aku tanya, kau jangan marah eh…” Mira
Maira teragak-agak, namun dia ingin tahu juga.
“Tanyalah, alah Mira aku dah tak kisahlah, kalau
kau nak tanya banyak manapun aku akan jawab punya.”
“Apa yang kau pandang pada Pak Lokman tu err
maksud aku yalah umur dia pun dah lima puluh tahun, rasanya dia lebih tua daripada mak kau, kan?”
“Entahlah, Mira. aku dah buat solat Istikharah,
aku dapat jawapan yang sama. Hati aku kuat nak menerima. Jadi aku ikut ajelah.
Mungkin ini paling terbaik buat aku.” Terang Syazana. Mira Maira mengangguk.
“Yalah… moga kau diberi rahmat dan kebahagiaan… amin…”
“EH, Kak Mira buat
apa kat sini?” tegur seseorang. Mira Maira terhenti melangkah. Dia serba salah
apabila melihat Afif Haikal turut berada di situ.
“Err… saja jalan-jalan… Afif pulak buat apa kat
sini, shopping ke?” soal Mira Maira kembali.
“Taklah… jumpa kawan. Tu kedai dia,” Afif Haikal
menunjuk ke arah kedai buku yang terletak tidak jauh dari tempat mereka
berdiri. Mira Maira memandang ke arah yang ditunjukkan. Kemudian dia
mengangguk.
“Hmm… kenalkan, ni kawan-kawan saya…” Mira Maira
perkenalkan Shahir dan Syazana.
“Shahir…”
“Afif…”
Mereka berjabat tangan. Afif Haikal tersenyum.
“Siapa ni? Pak we kau ke?” soal Syazana.
Masalahnya suaranya itu bukan dalam nada perlahan
atau berbisik, sebatupun boleh dengar suaranya. Mira Maira menyiku Syazana. Dia
memandang wajah adik iparnya itu. Lelaki itu tersenyum lebar.
“Bukan pak we… tapi adik ipar…” jawab Afif Haikal selamba.
Dia tahu Mira Maira kurang senang dengan jawapan
yang diberikan. Malah dia percaya kakak iparnya itu belum menceritakan status
dirinya. Terbeliak biji mata Mira Maira. Terasa kesat sahaja air liur bila
ditelan. Aduhai… habislah kena bersoal jawab dengan budak berdua itu, detik
hatinya.
“Okeylah, Kak Mira. saya pergi dulu.”
Mira Maira hanya mengangguk, lesu sahaja rasanya.
Masakan tidak, lepas ni masaklah dia hendak menjawab soalan yang bertubi-tubi
daripada dua makhluk asing di sebelahnya itu.
“Weh! Dia tu adik ipar kau? Macam mana pulak boleh
jadi adik ipar? Kalau dia kahwin dengan adik kau, kau mana ada adik. Kalau dia
kahwin dengan adik sepupu kau, nampak macam mesra aje. Atau kau…” bertubi-tubi
Syazana menyoalnya.
Mira Maira sudah dapat mengagak apa yang bakal dia
lalui.
“Dahlah lupakan aje. Lain kali aku cerita.” Dalih
Mira Maira.
“Ah tak boleh. Lebih baik kau cerita sekarang…” desak
Syazana. Dia ingin kesahihan cerita itu.
“Bukan ke dia tu anak Dato’ Farah, pengasas produk
Farra Kosmetik?” Shahir bersuara selepas dia mendiamkan diri buat seketika.
Mira Maira mengeluh. Inilah yang dia paling tidak
suka. Mahu menerangkan satu persatu. Hai… nasib badanlah.
“Mana kau tau, Shahir?” Syazana kehairanan.
“Alah mak cik akukan ke ahli perniagaan. Dah tentu
dia ada banyak majalah. Jadi salah satunya cerita pasal keluarga Dato’ Farah.
Itu yang aku tau…” jawabnya.
Serba salah Mira Maira dibuatnya. Dia khuatir
penerimaan rakan-rakannya itu. Takut dituduh sengaja mahu menyorokkan status
dirinya sendiri.
“Sebelum tu aku nak minta maaf pada korang berdua.
Bukan maksud aku nak tipu atau sengaja nak sembunyikan. Tapi aku sendiri tak
tau macam mana nak bagitau korang berdua. Lagipun semua ni bukan kehendak aku…”
mata Syazana dan Shahir tepat memandang wajah Mira Maira.
“Okeylah aku mengaku tu adik ipar aku. Adik kepada
suami aku…”
“Suami?!”
“Bila kau kahwin? Aku tak dengar apa-apa pun…”
soal Syazana.
“Masa aku cukup umur Sembilan belas tahun.
Semuanya berlaku tanpa pengetahuan aku. Atuk aku yang aturkan…” Mira Maira menceritakan segalanya. Kisah
keluarga mertuanya, tentang kebaikan mereka semua kecuali hal suaminya sendiri.
“Maknanya… model tu suami kau?” Mira Maira
mengangguk
“Tahniah, Mira. Kau dapat keluarga yang penyayang
macam mereka. Bila aku dengar cerita kau tu, aku tak ralat dan tak kecil
hatipun. Lagipun pada aku, apa yang diorang rancangkan untuk masa depan kau,
dah kena sangat dah. Diorang bermaksud
baik,” komen Syazana. Dia sudah punya pencerahan.
“Aku minta maaf eh pada kau orang berdua… maaf
sangat-sangat…”
“Patutlah… kau tau, dia siap bagi amaran pada aku
lagi. Kalau datang pejabat tu, jangan pandai-pandai nak berbual dengan
staf-staf dia. Aku tau, staf yang dia maksudkan adalah kau. Mula-mula aku
pelik, sampailah sekarang ni baru aku tau kenapa dia buat macam tu. Tapi malam
tu…” Shahir merenung dalam mata Mira Maira, dia teringatkan hal pada malam hari
jadi Dyna.
“Dahlah, lupakan apa yang dah terjadi. Yang lepas
biarlah lepas. Kita kena fikirkan untuk hari esok. Ah… aku rasa lega bila dah
beritahu korang berdua. Yang paling mustahak adalah korang.” Memang benar, itu
yang dirasai oleh Mira Maira. Rasa lega sangat-sangat.
“Seronoknya… kau dah kahwin, aku pulak entah
bilalah…” kata Syazana.
“Eh bukan kau kata tadi, kau pun nak kahwin ke?”
soal Mira Maira pelik. Syazana tersengih, jeratnya telah mengena.
“Oh yalah... kesian kawan kita ni kena sambung
belajar, kan?” Syazana mengusik Shahir.
“Eh… tak heran aku… korang aje yang dah gatal… aku
lelaki, tak kisah nak kahwin lambat ke cepat.” Selamba Shahir kenakan mereka.
“Kurang asam!” marah Syazana. Shahir sudah cabut
lari dahulu.
2 ulasan:
Kak Syima, bestlah...
(Ilya.A)
Ilya. A
manuskrip penuh dah ada di meja editor, doakan ia menjadi sebuah novel ya... InsyaALLAH....
Catat Ulasan