Pengikut

Rabu, 27 Jun 2012

KU PINANG KAU DENGAN BISMILLAH... Bab 1




AKU terjaga lagi untuk ke sekian kalinya mimpi ngeri itu mendatangiku. Sungguh aku benci bila mimpi itu mengisi malam-malamku. Mengapa tidurku tidak pernah aman seperti orang lain? Aku mahukan ketenangan... seperti orang lain, sangat indah hidup mereka tanpa perlu menghadapi mimpi-mimpi ngeri.
Aku memejamkan mata, cuba mengusir gambaran mimpi itu. Benci! Ya itulah yang aku rasa sekarang ini. Kebencian itu tidak pernah pudar. Kerana kebencian itu juga aku terhumban jauh daripada keluarga.
Air mata… saat ini pasti ia menjadi peneman setiaku. Ia seakan sudah sebati dalam jiwa ini. Aku pasrah, setelah lima tahun berlalu aku tidak mampu lagi mengusir kenangan silam. Andai masa itu dapat aku ubah kembali, pasti ia takkan terjadi. Ya… itulah khilafku yang paling aku tidak mampu memaafkan diri sendiri.
“Maafkan Awiyah, ayah… ibu…” sesungguhnya rinduku tidak pernah padam.
Kenangan lima tahun yang lalu mengamit lagi…
“Anak kurang ajar, ini balasan yang kau berikan pada aku?” jerit abah.
Malam itu bagaikan malam petaka buat keluarga kami. Akulah puncanya. Abah yang sangat menjaga nama baiknya terpaksa berputih mata apabila aku mencemar nama yang selalu meniti di bibir penduduk kampung. Abah seorang yang dihormati. Abah tidak pernah culas pergo ke masjid, malah abah juga banyak membantu penduduk kampung.
Abah merupakan bekas anggota tentera yang berkhidmat dalam Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat). Bekas Laftenan Kolonel itu sangat tegas, pantang apabila anak-anak melakukan kesalahan. Apatah lagi kesalahan yang aku lakukan sangat besar.
Tubuh kecilku terpelanting di sudut rumah. Emak pula hanya mampu menangis. Nenek juga begitu. Aku merupakan cucu kesayangan nenek, namun nenek hanya menguncikan mulutnya. Matanya juga tertutup rapat. Apa yang aku nampak, dia sedaya upaya tidak mahu menoleh ke arahku.
Ketegasan abah tiada siapa yang boleh menegah. Abah buat benda yang betul. Abah takkan marah tanpa sebab. Abah bukan orang yang tidak ada otak!
Ya! aku yang bodoh… aku yang terlalu ikutkan kata hatiku. Aku yang tidak pernah mahu ikut kata abah. Aku anak yang tidak berguna!
“Maafkan Awiyah, abah…” aku cuba merayu.
“Maaf kau kata? Apa lagi yang kurang abah bagi pada kau? Abah hantar kau belajar agama, mengaji semuanya abah dah berikan. Apa lagi yang kurang?!” sekali lagi badan aku dibalun dengan rotan.
Untuk sekian kalinya aku menjerit. Tetapi jeritan aku hanya aku sendiri yang dengar. Aku gigit kain sekuat hati aku. Aku tidak mahu orang lain mendengar jeritan aku walaupun rumah aku agak jauh juga daripada orang lain. Aku tidak mahu mencemarkan lagi nama baik abah. Cukuplah… cukuplah apa yang aku sudah buat selama ini.
“Siapa jantan tu, cakap dengan aku?” suara halilintar ayah membuatkan jantung aku bagaikan mahu luruh. Aku sudah tidak berdaya lagi. Hanya gelengan sahaja yang mampu aku berikan.
“Kau nak simpan lagi jantan keparat macam tu hah?” kali ini tangan kasar abah melekat pada pipi aku. Aku terjelepuk ke dinding. Kepala aku terhantuk kuat.
Aku tidak berdaya lagi hendak bangun. Aku juga tidak berdaya mahu menyuarakan kekecewaaku. Aku tidak mampu lagi. Aku menangis tanpa henti. Lelaki durjana itu telah pergi meninggalkan diriku. Setelah dia mengetahui aku mengandungkan anaknya. Berita yang cuba aku sampaikan itu tidak sedikit pun membatalkan niatnya hendak pergi mengikut rancangan ayahnya. Perbualan melalui telefon itu cukup meragut semua impianku. Dia lelaki kejam!
“Tolonglah Dee…Awiyah mengandung anak kita. Jangan buat Awiyah macam ni. Tolonglah… Awiyah merayu pada Dee… Awiyah betul-betul cintakan Dee.” rayuanku tidak diendahkan. Dia lelaki dayus!
“Awiyah… dengar sini, Dee terpaksa pergi. Semuanya demi masa depan Dee. Keluarga Dee telah aturkan, malam ini Dee akan bertolak. Maafkan Dee… tolong gugurkan saja kandungan itu. Kita masih muda. Dee tak sanggup menanggung bebanan itu. Selamat tinggal Awiyah.” Talian terus diletakkan.
Apa yang perlu aku katakan lagi? Aku tidak mampu hendak memaksa dia bertanggungjawab. Ya… inilah bahananya kalau ikutkan nafsu. Akhirnya, hanya aku seorang yang menanggung semuanya.
“Kau tak ada mulut ke? Beritahu aku siapa orangnya?” abah memaksa aku lagi. Aku membalas dengan menggeleng. Abah yang bagaikan telah dirasuk melibas belakang aku lagi.
Aku menyembamkan wajahku pada dinding. Suara tangisku tidak mampu keluar lagi. Yang ada hanya kudrat melawan rasa sakit itu.
“Ampunkan Awiyah, abah…” suaraku makin perlahan. Libasan terakhir yang aku rasa menyebabkan aku terus rebah ke lantai. Aku tidak sedar lagi.

“AWIYAH…” suara nenek yang perlahan tapi cukup menghibakan hatiku.
Aku cuba membuka mata, namun rasa payah. Mahu bangun, kudratku kian lemah. Aku sudah tidak berdaya.
“Nek… maafkan Awiyah… Awiyah berdosa pada nenek… pada abah… pada emak… maafkanlah Awiyah nek…” aku merayu.
Nenek yang sememangnya menjadi tempat aku meluahkan perasaan memeluk tubuhku seerat mungkin. Aku sedaya upaya menahan rasa sakit. Belakangku rasa sakit yang teramat sangat. Aku menangis semahunya dalam dakapan nenek.
“Kenapa Awiyah buat kami macam ini, sayang?” soal nenek.
Mungkin nenek terkilan. Ya… siapa yang tidak terkilan, orang yang menjadi harapannya kini telah menconteng arang ke mukanya. Siapa yang tidak kecewa?
“Awiyah berdosa nek… ampunkan Awiyah, ya nek?”
Esakan tangisku memenuhi ruang kamar itu. Tubuhku yang lemah itu membataskan aku bergerak. Aku tidak mampu sebenarnya mahu bangun.
“Mari nenek siapkan Awiyah…” pujuk nenek.
Itulah perangai nenek, walaupun dia kecewa, sedaya upaya dia cuba melayan aku seperti dahulu. Nenek tidak pernah berubah.
“Kita nak pergi mana nek?” soalku. Secara tiba-tiba aku terbayang, aku mahu lari daripada situ. Namun begitu aku dapat rasakan bukan itu rancangan nenek.
“Awiyah… nenek mahu Awiyah tak ada sebarang bantahan. Ikut saja apa yang abah rancangkan. Ini semua untuk kebaikan kamu juga.” Pujuk nenek.
Aku dapat rasakan, abah punya rancangannya sendiri. Ya… aku tidak lagi berdaya mahu membantah. Dan aku juga bukan diajar untuk kurang ajar atau membantah apa sahaja kehendak orang tua. Aku tidak mahu lagi dilibas dengan rotan. Rasanya aku tidak mampu mahu menahannya.
“Sepatutnya kau perlu dihukum dengan hukuman hudud…” teringat akan kata-kata abah.
Tidak! Aku tidak mahu menerima hukuman hudud itu. Walaupun aku tahu hukuman itu sepatutnya dilaksanakan di seluruh negara Islam. Sebat sehingga seratus kali. Baru abah sebat tidak sampai dua puluh kali, aku rasakan separuh mati.
Aku bertaubat nasuha. Takkan aku ulangi perbuatan terkutuk itu lagi. Aku berjanji. Aku hanya melakukan perbuatan itu hanya sekali, dan tidak aku sangka ia menjadi benih dalam rahimku.
“Ya Allah… ampunilah dosa-dosaku…” aku ungkapkan kata-kata itu lagi untuk kesekian kalinya. Ya Tuhan… lindungilah aku… bimbingilah aku… aku tidak mahu menghampiri zina lagi… bantulah aku ya Allah…
“Mari nenek bantu Awiyah tukar baju…” lembut suara nenek.
Sebak dada aku melihat kepayahan nenek, cuba mengangkat tubuhku yang sudah keras. Aku bagaikan telah menjadi batu. Tangan, kaki dan seluruh tubuhku menjadi kejang. Ya Allah… adakah aku sudah mendapat balasan daripadaMu?
“Nenek…” aku menangis lagi.
Nenek mengesat air mataku. Dia menggeleng. Aku akur. Aku tidak perlu berkata apa-apa lagi. Aku hanya perlu mengikut, ya mengikut apa sahaja kehendak mereka.
Setelah selesai bersiap, aku dipimpin oleh nenek keluar daripada bilik. Aku tidak ubah seperti mumia hidup, berjalan kejang tangan. Kaki juga agak terbatas pergerakkannya. Rasa sakit dan bisa aku tahan, hanya air mata mengambarkan keadaanku kala itu.
Di ruang tamu tiada sesiapa di situ. Tiada kelibat abah, emak dan juga adik-adik. Aku tidak tahu ke mana mereka pergi. Nenek menarik tanganku lagi. Sampai di pintu, aku melihat kereta abah ada di halaman rumah. Aku menarik tangan nenek pula. Kepala aku gelengkan.
“Awiyah nak jumpa dengan mak dan abah. Awiyah nak minta ampun.” Aku merayu. Nenek mengeleng.
“Sudahlah tu. mari kita pergi.” Pujuk nenek.
Aku masih enggan, aku berdiri sahaj tanpa mahu mengikut langkah nenek. Sekali lagi nenek memujuk.
“Mereka tak mahu jumpa kamu.”
Jawapan nenek itu membuatkan kepala aku rasa berpinar. Tidak aku sangka, begitu sekali kemarahan abah dan emak. Sedikit pun tidak mahu melihat aku pergi. Aku tahu semua itu rancangan abah. Abah tidak mahu melihat aku berada di rumah itu lagi. Biarlah aku mati sahaja daripada terus hidup dibenci orang.
“Nek… bunuh saja Awiyah nek. Awiyah tak mahu hidup lagi. Buat apa Awiyah hidup kalau abah dan emak dah tak nak tengok muka Awiyah lagi. Awiyah tak sanggup nak menempuh semua ini.” Rintihku.
Tidak semena-mena pipi aku ditampar oleh nenek. Matanya mencerlung ke arahku. Aku terdiam. Tangisku juga turut terhenti sama. Wajah bengis nenek itu tidak mampu aku pandang lama.
“Nak sangat mati tanpa bertaubat? Dahlah buat dosa besar, nak tambah lagi dosa-dosa besar yang lain? ke mana perginya otak kamu?” leter nenek.
Teresak aku mendengarnya. Kejamnya aku apda diri sendiri. Mengapa itu yang aku fikirkan? Aku terlalu mengikut bisikan syaitan.
Sabda Nabi SAW: "Dan sesiapa membunuh dirinya dengan suatu cara, maka dia akan diazab dengan cara itu pada hari qiamat". (HR Bkhari dan Muslim).

NENEK menghantarku sehingga ke jalan luar. Kemudian aku menaiki sebuah teksi yang sudah sedia menanti. Nenek telah memberi arahan kepada pemandu teksi itu yang merupakan seorang mualaf yang sangat amanah dalam kerjanya. Dia juga sangat dipercayai oleh abah. Kerana itulah, sehingga ke hari ini cerita fasal aku mengandung anak luar nikah tidak tersebar di seluruh kampung itu.
Dan itulah kali terakhir aku berada di kampung. Pemergian aku membawa segala duka lara yang tiada hentinya. Aku tidak pernah lagi menjejakkan kakiku ke kampung halaman yang amat aku rindui.
Terdamparlah aku di sini keseorangan. Aku menjadi musafir yang dahagakan kasih sayang. Aku dibuang dalam keluarga mulia itu. Aku faham… aku cuba menjadi orang yang tabah. Beginilah nasib aku. Setelah aku keluar daripada pusat pemulihan akhlak, aku hilang arah. Pelbagai pekerjaan terpaksa aku lakukan. Namun aku ingat pesan ustaz dan ustazah yang mengajar aku, jangan sesekali melakukan perkara-perkara yang menghampiri maksiat.
Itulah peristiwa yang menyebabkan aku menjadi anak terbuang. Suka duka, aku tanggung sendiri. Namun aku punya misi. Aku perlu cari, di mana anak kandungku dibesarkan. Aku takkan mahu lari daripada tanggungjawab aku sebagai seorang ibu yang melahirkannya. Kerana itu, aku sanggup berpindah randah. Pencarianku masih belum berakhir. Aku akan menohktahkan pencarianku itu seandainya aku ketemu dia.

AKU beristigfar beberapa kali. Aku bangkit daripada dudukku. Terus aku mengambil wuduk. Solat sunat Tahjud aku lakukan bagi mencari ketenangan jiwa. Hanya itu yang mampu aku lakukan. Aku mahu menjadi hamba yang taat. Biarpun aku pernah melakukan dosa besar, kepadaNya tempat aku meminta keampunan.
“Kau mimpi lagi?” soal Karmah setelah dia terjaga daripada lenanya. Aku mengangguk.
Aku tahu aku telah menganggu tidurnya. Gadis bertubuh gempal itu bangkit, dia juga mahu melakukan qiamulail. Gadis itu sama senasib denganku. Cuma bezanya, dia dipaksa. Aku berkawan rapat dengannya ketika berada di pusat pemulihan akhlak lagi. Aku rasa dia serasi denganku.
“Berdoalah, moga kau dapat petunjuk daripadaNya. Aku turut doakan untuk kebaikan kau.” katanya seraya berlalu pergi ke bilik air.
“Terima kasih, Karmah.”
           Aku cukup terharu. Dalam aku rasa diriku bersendirian, masih ada lagi insan yang sudi menjadi teman karibku. Walaupun dia telah ketahui kisah silamku yang amat menjelekkan sesiapa sahaja mendengarnya. 
 ***********************************************************************
P/S : Saya bukan penulis novel dewasa yang bagus, sekadar mahu mengongsi sedikit idea yang tidak seindah mana... harap2 kalian sudi membacanya....

Tiada ulasan: