Pengikut

Isnin, 15 April 2013

JANGAN PANDANG SEBELAH MATA, BRO!




18
ESOKNYA, Syazana mengajaknya pergi ke kompleks PKNS. Mula-mula Tok Taha tidak benarkan. Tetapi setelah Mira Maira terangkan dia pergi dengan keizinan suaminya, barulah orang tua itu benarkan. Katanya dia tidak mahu cucunya itu menjadi isteri yang derhaka kepada suami.
“Jaga diri baik-baik, Mira. Ingat siapa diri tu. Jangan pulak lupa diri kalau dah jumpa kawan. Maruah suami diutamakan.” Pesan Tok Taha. Mira Maira mengangguk.
“Baik, atuk.”
Baru sahaja dia keluar daripada pintu utama, kereta Syazana berhenti di hadapan rumahnya. Mira Maira mengangkat tangan.
“Kejap!” dia masuk semula, mengambil beg galasnya. Agak lama juga dia tidak menggunakan beg galasnya itu. Pada hari itu dia bergaya santai, berbaju T lengan panjang warna hitam serta berseluar jeans. Tudung juga berwarna hitam.
“Atuk, Mira pergi dulu, ya.” Tangan Tok Taha disalam. Kemudian dia mendapatkan pula makdek yang sedang menyidai pakaian.
“Jaga Diri, Mira,” pesan makdek.
Mira Maira faham, dia isteri orang. Pasti Tok Taha dan makdeknya risau. Takut lupa daratan.
“Okey!” dia berlari-lari anak mendapatkan Syazana yang sudah sedia menanti.
“Assalamualaikum…” ucapnya sebaik sahaja dia membuka pintu dan masuk ke dalam perut kereta.
“Waalaikumussalam… weh lama kita dah tak jalan-jalan sama, eh. Hari ini kita enjoy!” teriak Syazana. Mira Maira hanya ketawa sahaja.
“Kau dah bagitau si Shahir?” Mira Maira berpaling ke arah Syazana.
Syazana mengangguk.
“Dia kata, dia tunggu kita kat sana. Hari ni kita paw dia cukup-cukup…” mereka berdua tergelak.
Sepanjang perjalanan, Syazana tidak putus-putus bercerita. Ada sahaja celotehnya. Cerita itu, cerita ini. Malah satu kampungpun dia boleh tahu cerita.
“Kau ni macam Mak Jarah weh… kau tau semua cerita orang,” usik Mira Maira.
Mira Maira menggeleng.
“Biasalah…”
Perjalanan yang lancar itu membuatkan Mira Maira rasa kagum dengan Syazana. Dia sendiri belum ambil lesen lagi. Kalau lesen motorsikal adalah.
“Kau dah cekap bawa kereta, Ana? Mesti kau selalu ukur jalan, kan?”
Syazana ketawa.
“Mana taknya, Mira. Pantang kereta ni ada kat rumah, aku rembatlah. Mujurlah mak aku tu tak bingit sangat. Kalau tak, memang perang mulutlah selalu,” jawab Syazana.
“Cerita pasal mak kau, dia tak teringin cari penganti ke? Dia pun lawa lagi apa?” rasanya sudah lama mak Syazana menjanda.
“Hmm… puas dah aku tanya, dia cakap nak jumpa arwah bapak aku kat sana nanti. Dia cemburu dengan bidadari syurga. Dia nak jadi bidadari sejati buat arwah bapak tu. Tapi kadang-kadang kita manusia ni cakap aje lebih, hakikatnya dia tetap perlukan teman, kan? InsyaAllah kalau ada jodoh, adalah tu...”
“Besar pengorbanan tu. Moga-moga dia dapat apa yang dia cita-citakan. Lagipun mak kau tu bukan macam kau, kepala angin. Solatpun ikut angin, kan?” Sakat Mira Maira. Syazana mencebir.
“Eh aku dah lainlah sekarang. Solat aku dah jaga tau. Doakan aku istiqomah ya…”
“Amin…”

MEREKA sampai ke kompleks PKNS, Syazana mencari parkir. Setelah mendapat tempat, mereka masuk dalam bangunan itu.
“Kau call Shahir dia dah kat mana. Nanti berjanggut kita tunggu kat sini,” arah Mira Maira. Tanpa banyak soal, Syazana terus menefon Shahir.
“Dia dah tunggu kita kat Restoran FC. Dia dah melantak dululah tu, hampeh punya kawan.” Bebel Syazana.
“Dah… jangan bising-bising. Jom kita pergi sana. Giliran kita pulak bedal, dah lama tu tak makan burger.” Mereka berjalan bergandingan. Laju sahaja langkah Syazana, Mira Maira terpaksalah berlari anak untuk bersaing dengan rakannya itu.
“Amboi, dah lapar sangatlah tu,” giat Mira Maira.
Syazana tersengih. Dia menepuk-nepuk perutnya.
Sampai sahaja mereka di restoren yang dijanjikan, mereka nampak Shahir sedang menikmati makanan. Syazana dan Mira Maira berpandangan.
“Kau tengok!” Mira Maira hanya tersengih.
Mereka mendekati Shahir.
“Allahuakbar… mujur aku tak tersedak. Sorrylah aku makan dulu, perut aku dah lapar gila ni. Kalau korang nak apa-apa pergilah buat pesanan.”
Sangatlah kejam Syazana menepuk belakang Shahir. Kuat pula. Mujurlah tak tersembur makanan yang ada dalam mulut Shahir.
Tanpa berlengah lagi, Syazana memesan beberapa makanan termasuk untuk Mira Maira sekali.
“Apa macam tokey bunga? Aku tengok muka kau pun dah macam mat bunga dah.” Usik Syazana. Shahir menjengilkan matanya.
“Banyaklah kau mat bunga. Tak mainlah beb. Aku nak belajar lagi… kalau boleh biarlah aku habis belajar dan dah kerja baru aku jadi mat bunga.” Tangkis Shahir.
“Eleh, dulu kau suka Mira ni, kan? Tapi awal-awal lagi Mira dah tolak kau mentah-mentah. Kalau tak, mat bunga juga kau tu,” selamba Syazana menyindir Shahir.
Lelaki itu hanya tersengih, Mira Maira pula menumbuk bahu Syazana.
“Gilalah kau ni,” marah Mira Maira.                   
“Alah kau jangan nak malu sangatlah, Mira. Dengan mamat ni, kau tolakpun tak jadi hal.”
“Dahlah, cerita lainlah boleh tak?” Mira Maira kurang senang.
“Kau orang berdua nak masuk universiti mana nanti? Aku ingat nak mohon belajar dekat-dekat sini ajelah. Itupun kalau dapatlah…” Shahir bertanya, wajah kedua teman sekolahnya itu dipandang silih berganti.
Baru kini Mira Maira terfikir. Kemana dia mahu pergi? Dia sendiri tidak tahu. Sedangkan tanpa keizinan suaminya, bolehkah dia sambung belajar lagi? Syazana pula hanya menggeleng.
“Aku rasa… aku macam tak nak sambung belajar lagi.” Jelas Syazana.
“Kenapa?” serentak mereka berdua bertanya.
“Hmm… nilah yang aku nak bagitau korang ni. Sebenarnya…”
“Wah! Macam suspen aje…” Shahir menupang dagu bersedia mendengar cerita Syazana.
“Sebenarnya aku nak mengakhiri zaman anak  dara aku tak lama lagi…” tanpa selindung, Syazana bercerita, walaupun cerita itu hanyalah satu ilusi sahaja.
“Hah?!” Shahir dan Mira Maira berpandangan sesama sendiri.
“Biar betul kau ni, Ana?” Mira Maira agak terkejut juga.
“Dengan siapa?” soal Shahir pula.
“Pak Lokman…” Syazana menyedut air tembikai dengan perlahan.
Mira Maira terbatuk-batuk apabila mendengar nama Pak Lokman. Shahir pula melopong.
“Ya Allah… Pak Lokman tu dah tua, Ana. Kau ni dah rabun ke apa?” soal Mira Maira.
“Yalah… pilihlah orang macam aku ni ke?” celah Shahir.
“Habis tu, Rudy tak cakap apa-apa ke?” berita itu sangat mengejutkan.
“Hmm… dia dah tak duduk kampung dah. Pergi belayar katanya, dia marah juga. Tapi nak buat macam mana, dah sama-sama suka. Aku tak peduli dia dah tua ke apa. Apa yang penting dia boleh bimbing aku.” Jawab Syazana.
Mira Maira tidak terkata apa, nampak kesungguhan pada wajah Syazana. Takkan dia hendak jadi penghalang pula sedangkan ibu Syazana telah bersetuju.
“Kalau itu keputusan kau, hmm… akupun tak boleh nak cakap apa. Yang melalui kehidupan tu, diri kau sendiri.” Mira Maira hanya mampu berdoa sahaja. Biarlah Syazana dengan keputusannya. Syazana tersenyum penuh makna...
“Terima kasih sebab memahami.”
“Bila langsungnya?” soal Shahir.
“Kenapa kau nak bagi aku bunga percuma ke? Dari bagi bunga lebih baik kau bagi aku pizza ke, KFC ke dapat juga aku makan. Kenyang perut aku,” Syazana melawak pula.
 “Aku seriuslah, Ana…” memang benar wajah Shahir agak serius.
“Bulan depan kot. Sebab dia hantar rombongan terus nikah aje. Tak ada tunang-tunang.” Jawab Syazana.
“Ana… kalau aku tanya, kau jangan marah eh…” Mira Maira teragak-agak, namun dia ingin tahu juga.
“Tanyalah, alah Mira aku dah tak kisahlah, kalau kau nak tanya banyak manapun aku akan jawab punya.”
“Apa yang kau pandang pada Pak Lokman tu err maksud aku yalah umur dia pun dah lima puluh tahun, rasanya dia  lebih tua daripada mak kau, kan?”
“Entahlah, Mira. aku dah buat solat Istikharah, aku dapat jawapan yang sama. Hati aku kuat nak menerima. Jadi aku ikut ajelah. Mungkin ini paling terbaik buat aku.” Terang Syazana. Mira Maira mengangguk.
“Yalah… moga kau diberi rahmat dan kebahagiaan… amin…”

“EH, Kak Mira buat apa kat sini?” tegur seseorang. Mira Maira terhenti melangkah. Dia serba salah apabila melihat Afif Haikal turut berada di situ.
“Err… saja jalan-jalan… Afif pulak buat apa kat sini, shopping ke?” soal Mira Maira kembali.
“Taklah… jumpa kawan. Tu kedai dia,” Afif Haikal menunjuk ke arah kedai buku yang terletak tidak jauh dari tempat mereka berdiri. Mira Maira memandang ke arah yang ditunjukkan. Kemudian dia mengangguk.
“Hmm… kenalkan, ni kawan-kawan saya…” Mira Maira perkenalkan Shahir dan Syazana.
“Shahir…”
“Afif…”
Mereka berjabat tangan. Afif Haikal tersenyum.
“Siapa ni? Pak we kau ke?” soal Syazana.
Masalahnya suaranya itu bukan dalam nada perlahan atau berbisik, sebatupun boleh dengar suaranya. Mira Maira menyiku Syazana. Dia memandang wajah adik iparnya itu. Lelaki itu tersenyum lebar.
“Bukan pak we… tapi adik ipar…” jawab Afif Haikal selamba.
Dia tahu Mira Maira kurang senang dengan jawapan yang diberikan. Malah dia percaya kakak iparnya itu belum menceritakan status dirinya. Terbeliak biji mata Mira Maira. Terasa kesat sahaja air liur bila ditelan. Aduhai… habislah kena bersoal jawab dengan budak berdua itu, detik hatinya.
“Okeylah, Kak Mira. saya pergi dulu.”
Mira Maira hanya mengangguk, lesu sahaja rasanya. Masakan tidak, lepas ni masaklah dia hendak menjawab soalan yang bertubi-tubi daripada dua makhluk asing di sebelahnya itu.
“Weh! Dia tu adik ipar kau? Macam mana pulak boleh jadi adik ipar? Kalau dia kahwin dengan adik kau, kau mana ada adik. Kalau dia kahwin dengan adik sepupu kau, nampak macam mesra aje. Atau kau…” bertubi-tubi Syazana menyoalnya.
Mira Maira sudah dapat mengagak apa yang bakal dia lalui.
“Dahlah lupakan aje. Lain kali aku cerita.” Dalih Mira Maira.
“Ah tak boleh. Lebih baik kau cerita sekarang…” desak Syazana. Dia ingin kesahihan cerita itu.
“Bukan ke dia tu anak Dato’ Farah, pengasas produk Farra Kosmetik?” Shahir bersuara selepas dia mendiamkan diri buat seketika.
Mira Maira mengeluh. Inilah yang dia paling tidak suka. Mahu menerangkan satu persatu. Hai… nasib badanlah.
“Mana kau tau, Shahir?” Syazana kehairanan.
“Alah mak cik akukan ke ahli perniagaan. Dah tentu dia ada banyak majalah. Jadi salah satunya cerita pasal keluarga Dato’ Farah. Itu yang aku tau…” jawabnya.
Serba salah Mira Maira dibuatnya. Dia khuatir penerimaan rakan-rakannya itu. Takut dituduh sengaja mahu menyorokkan status dirinya sendiri.
“Sebelum tu aku nak minta maaf pada korang berdua. Bukan maksud aku nak tipu atau sengaja nak sembunyikan. Tapi aku sendiri tak tau macam mana nak bagitau korang berdua. Lagipun semua ni bukan kehendak aku…” mata Syazana dan Shahir tepat memandang wajah Mira Maira.
“Okeylah aku mengaku tu adik ipar aku. Adik kepada suami aku…”
“Suami?!”
“Bila kau kahwin? Aku tak dengar apa-apa pun…” soal Syazana.
“Masa aku cukup umur Sembilan belas tahun. Semuanya berlaku tanpa pengetahuan aku. Atuk aku yang aturkan…”  Mira Maira menceritakan segalanya. Kisah keluarga mertuanya, tentang kebaikan mereka semua kecuali hal suaminya sendiri.
“Maknanya… model tu suami kau?” Mira Maira mengangguk
“Tahniah, Mira. Kau dapat keluarga yang penyayang macam mereka. Bila aku dengar cerita kau tu, aku tak ralat dan tak kecil hatipun. Lagipun pada aku, apa yang diorang rancangkan untuk masa depan kau, dah kena sangat dah.  Diorang bermaksud baik,” komen Syazana. Dia sudah punya pencerahan.
“Aku minta maaf eh pada kau orang berdua… maaf sangat-sangat…”
“Patutlah… kau tau, dia siap bagi amaran pada aku lagi. Kalau datang pejabat tu, jangan pandai-pandai nak berbual dengan staf-staf dia. Aku tau, staf yang dia maksudkan adalah kau. Mula-mula aku pelik, sampailah sekarang ni baru aku tau kenapa dia buat macam tu. Tapi malam tu…” Shahir merenung dalam mata Mira Maira, dia teringatkan hal pada malam hari jadi Dyna.
“Dahlah, lupakan apa yang dah terjadi. Yang lepas biarlah lepas. Kita kena fikirkan untuk hari esok. Ah… aku rasa lega bila dah beritahu korang berdua. Yang paling mustahak adalah korang.” Memang benar, itu yang dirasai oleh Mira Maira. Rasa lega sangat-sangat.
“Seronoknya… kau dah kahwin, aku pulak entah bilalah…” kata Syazana.
“Eh bukan kau kata tadi, kau pun nak kahwin ke?” soal Mira Maira pelik. Syazana tersengih, jeratnya telah mengena.
“Oh yalah... kesian kawan kita ni kena sambung belajar, kan?” Syazana mengusik Shahir.
“Eh… tak heran aku… korang aje yang dah gatal… aku lelaki, tak kisah nak kahwin lambat ke cepat.” Selamba Shahir kenakan mereka.
“Kurang asam!” marah Syazana. Shahir sudah cabut lari dahulu.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kak Syima, bestlah...
(Ilya.A)

syimasyawal berkata...

Ilya. A

manuskrip penuh dah ada di meja editor, doakan ia menjadi sebuah novel ya... InsyaALLAH....