Pengikut

Isnin, 1 April 2013

JANGAN PANDANG SEBELAH MATA, BRO!





17
MINGGU itu agak sibuk bagi Mira Maira kerana dia terpaksa pergi ke pejabat Afif Haikal  yang terletak di Taman Melawati. Setelah membuat proses rakaman suara untuk watak animasi Melur, dia sibuk pula turun ke pasaraya-pasaraya untuk melawat kios-kios yang menjual produk Farra Kosmetik.
Itu satu strategi untuk memantapkan lagi jualan produk kosmetik keluaran syarikat mereka. Biarpun penat, Mira Maira tidak kisah kerana dia tidaklah mmebuang masa melayan perasaan apabila berada di rumah. Bila ada kerja-kerja di luar, bermakna dia akan pulang ke rumah waktu malam. Balik mandi dan terus tidur, tanpa memikirkan rasa kesunyian itu.
Keesokan harinya ketika di pejabat...
“Encik Alif, saya ingat nak balik kampung hujung minggu ni.” Agak ragu-ragu juga Mira Maira minta kebenaran. Alif Hazriq berhenti menulis.
“Kalau aku cakap tak boleh, macam mana?” acahnya. Mira Maira buat muka.
“Saya dah lama tak balik kampung. Saya nak jumpa atuk saya. Tolonglah, Encik Alif.” Mira Maira melunakkan suaranya.
“Aku tak dapat nak balik sekali, kau baliklah sorang ya. Nanti ada masa aku datang sana. Kirim salam pada atuk,” dengan keizinan itu membuatkan senyuman Mira Maira semakin lebar.
“Terima kasih, Encik Alif. InsyaAllah. Lagi satu, nanti saya nak jumpa kawan-kawan sekolah saya ya.  Err… sekali jalan,”
“Lelaki ke perempuan?”
“Perempuan dengan lelaki,”
“Hmm… okey…”
Mira Maira keluar dari bilik pejabat itu dengan senyuman yang sangat menawan. Apa tidaknya, rasa seronok kerana dia akan balik ke kampung. Agak lama sudah dia tidak balik.
Segera dia menghantar sms kepada Syazana.
Minah… aku balik hujung minggu ni, kita jumpa yok.
Tidak lama kemudian dia mendapat balasannya.
Orait beb! Cantik sangatlah tu. Kebetulan aku cuti hujung minggu ni.
Mira Maira tersenyum lebar..
Kalau macam tu, kau bagitau Shahir eh. Kita jumpa nanti…
Pantas juga Syazana membalas.
Orait… tak sabar rasanya.

HUJUNG minggu tiba juga. sehabis waktu kerja pada hari Jumaat, Mira Maira terus mendapatkan komuter di KL Sentral. Daripada situ, dia membeli tiket untuk ke Telok Gadung. Sepanjang perjalanan, dia hanya tersenyum. Hatinya benar-benar gembira.
Ketika di dalam komuter, telefon bimbitnya tidak lekang di pandangan matanya. Sekejap-sekejap Shahir sms. Kemudian Syazana pula. Dia benar-benar gembira. Hilang sudah perasaan sedihnya ketika berada di Kuala Lumpur.
Setelah hampir sejam dia dalam komuter, sekali lagi telefon bimbitnya berbunyi.
Dah sampai mana, beb?
Mira Maira membaca sms Syazana.
Dah sampai Klang. Sekejap lagi sampailah, kau dah ada kat situ ke?
Mira Maira menyuruh Syazana menantinya di sstesen Telok Gadung. Khuatir dia susah mendapat teksi nanti.
Dah, aku tak sabar-sabar nak jumpa kau ni.
Lega rasa Mira Maira. tidak perlu dia tunggu nanti.
Okey, jumpa nanti…
Tidak sabar-sabar Mira Maira keluar daripada perut komuter. Dia naik di atas jejantas kemudian menuju ke seberang, daripada jauh dia sudah dapat melihat Syazana melambai ke arahnya.
“Ya Allah… lamanya aku tak jumpa kau. Kau apa khabar?” ingin menangis mereka berdua sebaik sahaja mereka berdua berpelukan.
“Aku baik-baik aje, Ana. Eh kau macam makin gemuklah…” sakat Mira Maira.
“Hah, tau tak apa. Aku kerja shift ni kerja aku asyik makan aje. Tengah malampun aku belasah makan juga.” Mira Maira mencuit-cuit pipi Syazana. Tidak percaya kawannya itu sudah berisi.
“Yang kau tu pulak, makin kurus aku tengok. Kau kenapa? Tak cukup makan ke kat sana?” soal Syazana. Memang nampak rakannya itu bertambah kurus.
“Eh tak adalah. Makan tetap makan, cuma penat aje kot.”
“Kau kerja bancuh simen ke sampai kau penat sangat?”
“Haah aku bancuh simen. Kerja kontrak.” Jawab Mira Maira sambil ketawa.
“Eh jomlah balik. Esok-esok kita pergi Shah Alam, nak tak?” Syazana menghidupkan kereta kancilnya. Kereta itu milik ibunya.
“Boleh juga, aku ikut aje.” Mira Maira bersetuju sahaja. Lagipun dia sudah lama tidak berjalan-jalan di PKNS. Boleh juga dia beli baju.
Mereka berbual-bual tanpa henti. Maklumlah sudah lama tidak berbual begitu. Syazana berhenti di hadapan rumah Tok Taha. Kebetulan pula orang tua itu ada di luar rumah.
“Kau tak singgah ke?”
Syazana menggeleng.
“Kita jumpa esok ajelah. Dah malam ni.”
“Terima kasih, Ana.” Mira Maira keluar daripada perut kereta kancil itu. Syazana berlalu pergi.
Tok Taha menghampiri Mira Maira. seakan tidak percaya cucunya akan pulang pada malam itu.
“Balik sorang aje ke?” soal Tok Taha sebaik sahaja dia berdiri di sebelah Mira Maira.
“Eh atuk… assalamualaikum, atuk.” Mira Maira mendapatkan tangan atuknya. Terlerai sudah rindunya pada atuk kesayangannya itu.
“Ya, atuk. Mira balik sorang aje. Abang Alif ada kerja. Atuk sihat tak?” Mira Maira memaut erat lengan Tok Taha.
“Macam nilah atuk, Mira. Sihat-sihat orang tua. Marilah masuk.” Mereka berjalan beriringan.
“Abah cakap dengan siapa tu, bah?” soal Makdek daripada dalam rumah.
“Makdek balik ya, atuk?” soal Mira Maira berbisik. Tok Taha hanya mengangguk. Mira Maira bertambah gembira.
“Assalamualaikum, makdek!” sebaik sahaja sampai di ambang pintu, Mira Maira memberi salam. Terkejut Makdek yang sedang menonton televisyen itu.
“Ya Allah bertuah punya budak. Bila sampainya? Sorang aje ke?” Makdek mendapatkan Mira Maira. Mereka berpelukan.
“Haah, makdek. Sorang ajelah… makdek bila sampai?”
Tok Taha sudah menghilangkan diri dalam biliknya.
“Dah seminggu makdek kat sini,” jelas makdek. Terkejut Mira Maira mendengarnya.
“Seminggu? Kenapa tak bagitau Mira?” Mira Maira meletakkan beg galasnya di tepi kerusi. Sudah tidak sabar ingin tahu, apa-apa cerita yang selama ini dia tertinggal.
“Syy… jangan cakap kuat-kuat. Nanti makdek cerita. Jomlah masuk bilik. Mira pergi mandi dulu. Lepas tu kita sembang.”
Mira Maira akur. Segera dia ke bilik kemudian dia ke bilik air di dapur. Rasa tidak sedap hati pula bila melihat wajah Tok Taha yang seakannya nampak mendung. Begitu juga dengan wajah makdek. Mengapa dia tidak tahu masalah yang sedang melanda di rumah keluarganya sendiri? Adakah dia pentingkan diri sendiri?

SELESAI sahaja makan malam, Tok Taha masuk ke dalam biliknya. Mira Maira tidak sabar ingin mendengar cerita makdek. Dia menarik tangan makdeknya itu.
“Ceritalah cepat,” gesanya.
Makdek menggeleng.
“Kita cakap dalam biliklah.”
Setelah memastikan dapur itu bersih, Makdek dan Mira Maira masuk ke dalam bilik milik makdek. Mereka terus berbaring di atas katil.
“Makdek ada masalah ke?”
“Mira pulak ada masalah juga?”
“Makdek… Mira tanya makdek dulu…”
“Hmm… entahlah, Mira. Makdek rasa mungkin tahap kesabaran makdek dah sampai ke penghujungnya. Makdek kena fikir masa depan makdek sendiri. Mungkin jalan inilah paling terbaik.” Makdek memulakan ceritanya.
“Selama ni kehidupan makdek macam tak ada masalah aje. Kenapa baru sekarang masalah tu datang?”
Makdek ketawa sinis.
“Masalah tu dah ada sejak awal perkahwinan lagi. Tapi makdek cuba juga pertahankan. Makdek nak beri peluang. Makdek ingat semuanya akan berubah. Tapi bila tahun demi tahun sampailah lebih sepuluh tahun usia perkahwinan makdek, rasanya dah tak tertahan lagi. Makde reda.”
“Apa masalah makdek sebenarnya? Pak usu ada orang lain ke?”
Makdek menggeleng.
“Mungkin punca utamanya makdek tak dapat berikan dia anak. Lepas tu dia terlalu dengar cakap adik dia. Adik dia nak itu. Adik dia nak ini. Kadang-kadang makdek bingung, duit gaji semua habis dibagi pada keluarganya. Sudahnya makdek kena cari pendapatan sendiri. Nak bayar duit rumah, duit kereta, duit dapur. Dia tak pernah ambil tahupun ada ke tak barang-barang dapur. Duit api dan air dah bayar ke belum.” Cerita makdek perlahan. Tidak sedikitpun ada riak kesedihan di wajahnya. Mungkin juga makdek sudah cukup tertekan.
“Takkan sampai macam tu sekali?”
“Mesti Mira tak percaya, kan? Tengok orangnya bertanggungjawab sangat tapi…”
“Habis dia tak kisah ke makdek nak berpisah dengan dia?” makdek mengeluh.
“Suka ataupun tak, rasanya dia kena terima juga. Tapi dia kenakan syarat. Kalau mahu bercerai dengan dia, makdek kena talak dengan khuluk.”
“Hah? Sampai macam tu sekali? Berapa yang dia minta, makdek?”
“Sebanyak wang hantaran makdek dulu.”
“Lima ribu?”
Makdek mengangguk.
“Ya Allah… kenapa dia sampai hati buat macam tu, makdek?”
“Pedulilah, Mira. Makdek bayar aje apa yang dia nak. Makdek dah tak tahan hidup dengan kepura-puraan. Nampak macam bahagia tapi hakikatnya derita. Alasan dia bagi duit pada adik dia, mereka tak ada anak, adik dia tu ada anak. Lagipun adik dia tu janda, perlukan duit untuk persekolahan anak-anak dia. Makdek rasa kalau itulah jalan yang dia pilih, lebih baik tak payah ada isteri. Tolong ajelah adik dia tu.” Tokok makdek lagi.
 Mengikut Imam Syafie, penceraian yang berlaku dengan cara bayaran menggunakan lafaz talak atau khuluk. Kalau dalam bahasa biasa, lebih dikenali dengan tebus talak.
Tebus talak terjadi disebabkan kedua-dua pihak khuatir tidak dapat melaksanakan tanggungjawab dalam perkahwinan. Bagaimanapun, tebus talak hanya boleh berlaku dengan adanya alasan munasabah serta bukti yang kukuh.
Jika suami tidak bersetuju untuk menceraikan isterinya, maka tawaran tebus talak boleh dilakukan terhadap suami ataupun tawaran oleh pihak suami kepada isteri. Jika suami tidak bersetuju, kes akan dirujuk kepada jawatankuasa pendamai di Jabatan Agama Islam negeri.
Mahkamah mempunyai kuasa untuk menentukan jumlah bayaran tebus talak mengikut hukum syarak, taraf pihak-pihak serta sumber kewangan mereka setelah melalui perbicaraan yang sewajarnya.
Nilaian tebus talak bukan berdasarkan kepada wang semata-mata, nilaian tebus talak boleh juga dalam bentuk harta atau manfaat bernilai dengan mahar (mas kahwin) sama ada banyak mahupun sedikit.
Tebus talak boleh berlaku pada bila-bila masa walaupun ketika isteri dalam haid, berbeza dengan talak biasa yang memerlukan isteri berada dalam keadaan suci ketika lafaz talak dilakukan.
Perceraian secara tebus talak tidak boleh dirujuk kerana dikira sebagai talak bain dan jika pasangan ini ingin bersama semula, mereka perlu akad nikah semula bagi menghilangkan kemudaratan yang berlaku pada tempoh perkahwinan itu.
Wanita khususnya pihak isteri seharusnya mengetahui hak mereka kerana perceraian tidak bergantung kepada lafaz talak oleh suami malah Islam juga memberi ruang kepada isteri untuk membubarkan perkahwinan melalui cara lain dan salah satunya adalah melalui tebus talak.
“Tak apalah makdek, Allah dah tetapkan jodoh makdek sampai di situ aje. Bersabarlah.” Makdek mengangguk.
“Habis makdek nak buat apa lepas ni?”
“Buat apa lagi Mira… makdek akan teruskan bisnes frozen makdek tu. Lagipun atuk cakap nak sambung sikit dapur tu, makdek boleh letak mesin-mesin makdek kat situ. Mujurlah atuk tu faham.”
“Yalah siapa lagi nak faham makdek, kalau bukan abah sendiri, kan?”
“Betullah tu, yang kamu pulak, Mira. Makdek ada ternampak gambar Alif dengan model terkenal tu dalam majalah. Betul ke mereka tu bercinta? Macam mana pulak dengan Mira?” kali ini, Mira Maira tidak dapat mengelak lagi. Persoalan itu tetap ditanya oleh makdeknya.
“Makdek… tolong jangan beritahu atuk, ya?”
“Takkan makdek nak menambahkan risau hati atuk kamu pulak… ceritalah Mira makdek sedia mendengar.”
Dengan makdek, Mira tidak pandai hendak berbohong. Bagaikan sesi meluahkan perasaan, Mira Maira bersedia berkongsi masalah dengan mak ciknya itu. Mak cik yang selama ini mengantikan tempat arwah ibunya. Mak cik yang sering menjadi kawan kala dia mahukan teman. Makdeklah segala-galanya.
Mira Maira bukan tidak ada sepupu yang lain, tetapi dia tidak berapa rapat. Boleh dikatakan semua sepupu-sepupunya enggan bermain dengannya sejak daripada kecil lagi, mereka kata jijik hendak bermain dengan anak seorang perompak. Hina benar dirinya di mata darah daging sendiri.
Setiap kali pak cik-pak ciknya pulang ke situ, dia kerap menghabiskan masa dalam bilik. Kalau dia dibuli dan diejek, selalu atuk akan marah-marah sampaikan pak cik-pak ciknya berkecil hati.
“Entahlah makdek, Mira sendiri tak pasti dia sayang Mira ke tak. Selama ini, Mira dah berusaha nak tarik perhatian dia….” Mira menceritakan satu persatu, tiada rahsia lagi antara mereka. Malam itu mereka bercerita sehingga di waktu dinihari. Tahulah kini makdeknya masalah yang sedah dihadapi oleh anak saudaranya itu. Namun sebagai seorang yang lebih berpengalaman, dia menasihatkan Mira Maira agar terus bersabar. Kerana dia percaya, Alif Harziq memang jodoh terbaik buat Mira Maira.

Tiada ulasan: