Pengikut

Isnin, 13 Mei 2013

JANGAN PANDANG SEBELAH MATA, BRO!





22
“KENAPA duduk termenung ni?” sapa Rabitah. 
Mira Maira tersenyum sambil berpaling ke arah Rabitah.
“Kak…”
“Mira rindukan dia ke?” Rabitah duduk di sebelah Mira Maira.
“Apa akak ni…” paha Rabitah ditepuknya.
“Mira… tempat seorang isteri di sisi suaminya. Jangan lari daripada masalah. Kalau boleh, bawalah berbincang.” Pujuk Rabitah. Mira Maira menunduk.
“Saya tak tahu apa yang saya rasa sekarang ni, kak. Macam-macam perasaan ada, apatah lagi bila kenangkan kebaikan mertua saya dan juga harapan atuk. Sukar saya nak ambil keputusan, kak.” Jelas Mira Maira. Dia mengeluh.
Sedang mereka berbual, kedengaran bunyi enjin kereta di luar rumah. Rabitah bingkas lalu menuju ke pintu. Dia membuka pintu sebaik sahaja mendengar suara orang memberi salam.
“Assalamualaikum…”
“Wa’alaikumussalam…” Rabitah tersenyum tatkala melihat wajah Syazana di luar rumah.
“Selamat pagi, kak. Kawan saya dah bangun ke?”
“Sebelum subuh tadi dia dah bangun. Masuklah…” pelawa Rabitah. Syazana menurut.
“Ni ada saya belikan sarapan, kak.” Syazana menghulur bungkusan yang ada di tangannya. Rabitah menyambut lalu dibawa ke dapur.
“Hai, mek. Dah okey ke hari ni?” Syazana duduk di sebelah Mira Maira. Bahu gadis itu ditumbuknya sedikit. Mira Maira menjongket bahunya.
“Bolehlah… nasib baik ada kakak berdua tu. Diorang baik sangat. Mana kau jumpa diorang tu?” bisik Mira Maira. Syazana menyandarkan tubuhnya ke dinding.
“Diorang ni mengajar tadika kat jalan depan sana tu. Kau perasan tak tadika Minda Irfan? Alah yang bangunannya warna hijau cair tu?”
Mira Maira cuba memikir bangunan yang dimaksudkan. Memang jalan luar itu ada sebuah tadika, mungkin itulah yang dimaksudkan oleh Syazana.
“Ooo… diorang mengajar di situ.” Mira Maira mengangguk-angguk.
“Akukan jadi supir adik bongsu aku tu, jadi daripada situlah aku mula rapat dengan diorang. Lagipun aku selalu juga tolong diorang kat tadika tu.” Terang Syazana.
“Ana… Mira… marilah makan. Akak dah siapkan sarapan ni. Penat akak masak tadi, naik berpeluh-peluh ni hah…” panggil Rabitah.
Syazana bingkas bangun. Diikuti pula oleh Mira Maira. Karmah pula baru sahaja keluar daripada bilik.
“Eh banyaknya awak buat sarapan… tak sangka pula macam-macam jenis ada.” Usik Karmah. Rabitah tergelak kecil. Sangat terkawal gelak tawanya. Mulut sentiasa ditutup ketika dia ketawa.
“Ana yang bawa tadi. Sengaja nak dapat nama...” kata Rabitah. Mira Maira dan Syazana hanya tersenyum.
“Akak berdua mengajar di tadika, ya? Hari ni tak sekolah ke?” Seingat Mira Maira pada hari itu baru hari Selasa. Takkanlah hari cuti pula?
“Hari ni cuti, Mira. Cuti peristiwa.” Jawab Karmah.
“Ooo…” panjang sahaja ‘o’ Mira Maira.

SEMENTARA di Kuala Lumpur di waktu malam, Alif Hazriq semakin resah. Sejak semalam dia menelefon Mira Maira, namun tidak ada satupun berjawab. Mungkin telefon bimbitnya dimatikan.
Dia berbaring di atas katil sambil tangan diletak di atas dahinya. Dia tidak menyangka Mira Maira akan menghilangkan diri. Sangkanya gadis itu akan pulang ke rumah, tapi dia silap. Baru sahaja dia cuba mahu memujuk rajuk isteri, namun dia yang hampa.
Rasa sunyi tanpa gadis itu. Ya! Baru dia rasa kini. Alif Hazriq mengiring tubuhnya, menghadap tempat yang selalu digunakan oleh Mira Maira. Perlahan tangannya mengusap lembut tilam itu, bagai membayangkan Mira Maira berada di situ.
‘Bukan ke ini yang kau mahukan, Alif?’
‘Tidak, Alif. Kau sebenarnya sayangkan dia!’ kata suara yang lain pula.
Alif Hazriq berperang dengan perasaannya sendiri. Boleh jadi gila dibuatnya. Dia bingkas bangun, nombor seseorang didail.
Seketika kemudian dia meninggalkan rumah yang disewa untuk isterinya itu. Waktu itu sudah jam satu pagi. Dia tidak peduli. Mujurlah dia tidak duduk dengan uminya. Jika tidak, memang nak kena hambatlah jawabnya.
“Hai… lama dah tunggu?” soal Alif Hazriq sebaik sahaja dia menghampiri meja yang di duduki oleh Zul Fadzly.
“Lama tak lama juga, tapi boleh tahan berjanggut jugalah.” Jawab Zul Fadzly.  Ketika itu mereka berada di Redbox Jalan Bukit Bintang. Tempat biasa mereka lepak selepas Alif Hazriq berkahwin.
Alif Hazriq tidak ke kelab-kelab malam lagi setelah Mira Maira berada di Kuala Lumpur. Entah kenapa dia mula tidak berminat lagi mengikut Dyna mengunjungi tempat-tempat itu.
Sesekali juga Dyna pula yang akan mengikutnya ke tempat itu sekiranya dia ingin berhibur dengan Alif Hazriq. Dyna tidak mampu memujuk lelaki itu untuk hidup seperti dahulu. Ke mana sahaja mereka pasti akan berdua. Berhibur sehingga ke dinihari.
Alif Hazriq menyedut minumannya sebaik sahaja minuman itu berada di hadapannya.
“Kau kenapa, bro? Aku tengok kau panik semacam aje.” Soal Zul Fadzly, wajah Alif Hazriq dipandangnya lama.
Lelaki di hadapannya itu, merupakan rakan baik sejak sekolah menengah lagi. Dia kenal Alif Hazriq daripada pelbagai sudut. Kali ini dia nampak, lelaki itu punya masalah. Dia tidak mahu mendesak, biarlah Alif Hazriq sendiri membuka mulut.
“Eh aku okey, beb! Mana ada panik.” Balas Alif Hazriq sambil ketawa.
“Aku kenal kau, bro! bukan sehari dua aku kenal kau. Risaukan tentang hari perkahwinan kau dengan Dyna ke?” tebak Zul Fadzly, sungguhpun dia tidak mahu mendesak, tetapi dia mahu tahu juga.
“Entahlah kepala aku berserabut dibuatnya.”
“Hai… orang nak kahwin suka, ini macam orang kena kahwin paksa aje.” Zul Fadzly gelakkan Alif Hazriq.
“Kau tau sendiri, kan? Apa sekalipun alasan aku, umi pasti tak restu. Lagipun bukan tu yang serabutkan kepala aku…” Alif Hazriq terdiam seketika, disedutnya lagi air yang masih berbaki.
“Jangan pulak kau cakap, kau tengah fikirkan tentang…”
“Siapa?” Alif Hazriq memandang. Zul Fadzly berfikir seketika.
“Mira…”
Alif Hazriq tertelan air liur. Dia melarikan anak matanya. Dia pura-pura tersenyum. Degupan jantungnya juga bagaikan terhenti tatkala nama itu meniti di bibir Zul Fadzly. Apakah maknanya itu? Rindukah dia?
“Alif… aku tak tau apa yang bersarang dalam kepala otak kau tu, tapi aku dapat rasa, yang kau memikirkan budak tu, kan?” Zul Fadzly semakin mendesak. Alif Hazriq mengeluh.
“Aku tak tau mana dia hilang. Aku cuba call, tapi tak berjawab. Aku tau dia malu, kecil hati dan mungkin marah. Tapi aku sendiri tak jangka Dyna boleh maki dia macam tu sekali,” luah Alif Hazriq.
“Sebenarnya, dia minta aku hantarkan ke KL Sentral. Tapi aku tak tau dia nak ke mana.”
Terkejut Alif Hazriq mendengarnya.
“Tapi kau cakap, kau hantar dia…” Zul Fadzly mengangguk.
“Ya… itu yang dia suruh aku cakap pada kau. Sorrylah, bro. Aku tak berniat nak bohong kau. Tapi aku pelik, kenapa kau beria-ia sangat nak risau pasal dia?”
“Weh! Dia pekerja akulah. Kau jangan fikir yang bukan-bukan.” Wajah Alif Hazriq mula bertukar warna. Membahang.
“Aku kenal kau… cukup kenal… ada rahsia yang kau sembunyikan daripada aku, kan?”
Zul Fadzly menebak lagi. Cuba memerangkap Alif Hazriq. Dari cara rakannya itu melihat gadis yang bernama Mira Maira sahaja dia dapat rasakan keanehannya. Biarpun bagi pihak gadis itu, dia tidak dapat membaca dengan jelas. Apa yang dia nampak, Mira Maira memandang Alif Hazriq hanya sebagai seorang ketua.
 “Zul… boleh aku percaya kau?” tiba-tiba Alif Hazriq bersuara.
“Weh! Gila kau tak percaya pada aku? Alamak… ni yang aku nak merajuk ni. Sangat menghina tu, beb!” Zul Fadzly membetulkan topi yang dipakainya. Alif Hazriq tergelak.
“Ini rahsia besar aku, Zul. Bukan senang aku nak cerita walaupun kau kawan paling rapat dengan aku.”
Mereka terdiam. Alif Hazriq menarik nafas perlahan. Entah kenapa, malam itu dia sendiri mahu membuka rahsia itu. Tanpa dipaksa oleh sesiapapun.
“Sebenarnya, Mira tu isteri aku,” pengakuan yang membuatkan mata Zul Fadzly terbuka luas.
“Hah?!”
Beberapa kali Zul Fadzly menampar pipinya. Kiri dan kanan. Memang dia tidak percaya!
Alif Hazriq mengangguk.
“Babah aku dengan arwah ayah Mira berkawan baik. Babah yang beria-ia mahukan aku jadi suami Mira. Babah aku punya alasan tersendiri. Dia tak nak Mira jatuh ke tangan lelaki yang tak bertanggungjawab.”
“Habis, kau tu bertanggungjawab sangatlah?” sinis Zul Fadzly menyindir. Dia tahu bagaimana cara Alif Hazriq melayan gadis itu.
“Sekurang-kurangnya, keluarga aku sangat sayang pada dia.” Jawab Alif Hazriq perlahan.
“Dia juga punya hati dan perasaan, bro. Kau ingat, dia tak layak ke mendapat cinta daripada suami dia sendiri? Jangan main perasaan orang, bro.” agak marah juga Zul Fadzly dengan sikap Alif Hazriq. Alif Hazriq mengangguk-angguk, bibirnya diketap.
“Aku tau, bro. Tapi aku tak tau hati sendiri. Bila aku dengan dia, aku nampak banyak kurangnya. Tapi bila aku dengan Dyna, nampak serba sempurna.”
“Kau memang dah gila, bro. Jangan kau pandang kaca yang berkilau-kilau, sedangkan batu permata yang ada kau pinggirkan. Kembalilah pada realiti. Sempurna tu bukan milik kita. Aku ni taklah alim sangat, tapi setakat ni aku masih boleh bandingkan antara dosa dan pahala. Dan apa yang kau buat ni memang berdosa, kan?” Zul Fadzly menjongketkan keningnya.
“Entahlah… pening kepala aku.”
“Tak ada apa yang kau nak pening-peningkan. Apa yang dah nyata, kau dah jadi suami dia yang sah! Itu fakta bukan auta.” Bidas Zul Fadzly.
“Hesy… sakit kepala aku ni…”
“Dyna macam mana?”
“Aku tak janjikan apa-apa pada dia. Dia yang mendesak-desak aku,”
“Kau cintakan dia?”
“Yup… tapi…”
“Kau sanggup tinggalkan Mira?”
“Apa kau cakap ni? Ayat aku belum habis, kau dah potong.” Sekali lagi hatinya bergetar, terselit perasaan aneh di situ. Tinggalkan Mira? Dia sendiri takut hendak menjawabnya.
“Habis… Dyna kau nak, Mira pun kau nak juga. Jangan tamak sangat. Esok-esok kau juga yang rugi.”
“Aku tau, Zul. Tapi beri aku masa untuk menilai perasaan aku sendiri. Aku yakin, aku akan pilih salah satu daripada mereka.”
“Akupun tak faham dengan kau… apa-apapun, aku doakan yang terbaik.” Zul Fadzly menghabiskan baki airnya.
“Kalau aku jadi kau, hmmm… aku akan pilih Mira…”
Kata-kata Zul Fadzly membuatkan Alif Hazriq termenung panjang…

“HEI… Di sini you ya… lama I tak jumpa you, sayang…” Dyna melentok kepalanya di bahu lelaki itu.
   Tanpa disedarinya, seorang wartawan tidak bertauliah mengambil gambar mereka daripada arah tepi. Senyuman di bibir terukir tanda puas hati, berita itu bakal menggegarkan dunia hiburan tanahair. Seorang model sensasi dan juga pelakon baru bermesra dengan kekasih hati! 

nota kaki :
Kalau sudi tinggalkan jejak ya di sini... yalah saja2 nak tengok berapa ramai yang sudi membacanya... TQ...

JANGAN PANDANG SEBELAH MATA, BRO!





21
DALAM komuter, Mira Maira hanya mampu menahan sebak yang kian di penghujung. Dia tidak mahu air mata mengalir dan disaksikan oleh penumpang lain. Biarlah dia bertahan. Jemari digenggam erat agar dia betul-betul mampu menahan sebak di dada. Walaupun air mata cuba menerjah-nerjah tubir matanya. Dia cuba dan terus mencuba.
Kali ini rajuk hatinya lama. Dia sudah tidak dapat menahan rasa lagi. Kesabarannya juga kian menipis, untuk apa menanti orang yang tak sudi? Mira Maira mengetap bibir. Sudah berbulan dia menjadi isteri kepada Alif Hazriq, tidak sedikitpun dia rasa disayangi. Kalau adapun ketika mereka berada di rumah mertuanya. Mengapa mesti hendak berpura-pura? Sampai bila ia akan bertahan?
‘Ah… lelaki itu memang tak perlukan kau, Mira. Buat apa kau nak bersua-sua dengan dia? Mungkin inilah masa dan ketikanya, Allah mahu tunjukkan jalan yang terbaik buat diri kau…’ Mira Maira berkata dalam hatinya.
‘Ya Allah… tolonglah aku, andai ini keputusan yang terbaik buat aku, kau permudahkanlah. Aku tak cukup kuat nak harungi ujian Kau, ya Allah…’
Sebaknya hati, empangan matanya sudah tidak mampu menahan air yang perlu dilimpahkan. Perlahan air mata mengalir di pipi, pantas dia menyapu dengan tisu. Dia tidak mahu orang lain melihat kesedihannya walaupun mereka tidak mengenali dirinya. Mujurlah di sebelahnya masih belum ada orang. Jadi selamatlah dia. Wajahnya dipaling pada cermin tingkap.
Tiba-tiba dia teringatkan atuknya. Apa yang akan terjadi kalau atuknya tahu? Perasaannya semakin tertekan. Dia tidak boleh menyakiti hati atuknya. Satu-satu insan yang banyak menabur budi padanya. Ya Allah… bantulah aku… air mata semakin laju. Dia biarkan saja.
Sampai sahaja di stesen komuter Teluk Gadong, dia menelefon Syazana. Hanya itu satu-satunya kawan yang memahami dirinya.
“Ana… tolong aku…” dia sudah tidak tertahan lagi, dia menangis sebaik sahaja mendengar suara Syazana.
“Kau kat mana, Mira?”
“Aku kat stesen Teluk Gadong, boleh kau tolong ambil aku?” dalam teresak-esak, dia beritahu juga.
“Tunggu sampai aku datang, Mira!”
Klik! Talian diputuskan.
Mira Maira duduk di kaki lima. Dia tidak peduli lagi, menangis semahunya. Beberapa pasang mata menoleh ke arahnya, namun dia buat tidak nampak.
Beberapa minit kemudian, Syazana pun sampai. Sebaik sahaja nampak Syazana, kaki Mira Maira menjadi lemah. Dia tidak mampu hendak melangkah. Dia terduduk semula. Syazana segera mendapatkan Mira Maira.
“Kenapa, Mira? Kau nampak…” tubuh Syazana didakapnya. Mira Maira melepaskan perasaan di bahu rakannya itu.
“Mira… jangan macam ni… kawan yang aku kenal seorang yang kuat. Kenapa kau jadi lembik macam ni sekali, Mira?” Syazana mengoncang tubuh Mira Maira. Dia tidak tahu kenapa, tetapi rasanya dia dapat mengagak punca rakannya jadi begitu.
“Mari, Mira…” Syazana memapah Mira Maira masuk ke dalam kereta.
“Ana… tolong hantar aku kat mana-mana hotel… aku tak nak balik rumah lagi…” pinta Mira Maira. Syazana terkejut, kenapa tidak mahu balik rumah pula budak ni?
“Macam nilah, Mira. Aku ada kawan yang duduk rumah sewa, kau pergilah rumah dia. Aku rasa dia tak kisah.” Mira Maira mengangguk. Dia ikut saja.
Perlahan kereta Syazana mengundur, kemudian dia menekan pedal minyak perlahan-lahan. Sesekali wajah Mira Maira dijelingnya.

“KAK Rabitah, ini kawan saya. Dia ada masalah, boleh tak tumpangkan dia untuk beberapa hari?”
Seorang gadis memakai niqab sedang berdiri di hadapan mereka. Mata yang cantik itu memandang ke arah Mira Maira. Kemudian dia mengangguk.
“Marilah masuk, kita cerita kat dalam ya…” suaranya amat lembut sekali.
Rabitah masuk, diikuti oleh Mira Maira dan juga Syazana.
“Duduklah dulu ya, biar akak buatkan air.” Rabitah berlalu ke dapur.
Tidak lama kemudian kedengaran ada orang memberi salam.
“Waalaikumussalam…” jawab mereka serentak.
Rabitah melemparkan senyuman kepada seorang lagi gadis yang baru masuk ke dalam rumah itu.
“Eh… ada tetamu ya… apa khabar?” Karmah menyalam Mira Maira dan Syazana.
“Kar… dia nak tumpang rumah kita dua tiga malam, boleh ya?” kata Rabitah. Karmah yang baru nak masuk ke bilik tersenyum.
“Aku tak kisah… cuma rumah kami ni tak ada barang sangat. Tengoklah televisyen pun tak ada…” kata Karmah, lebar sahaja sengihannya.
“Dia tak kisah, kak…” jawab Syazana.
Mira Maira mengangguk. Dia menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya dia dapat menyembunyikan dirinya di situ walaupun hanya di kampung sebelah. Tidak jauh mana pun.
“Kau tenang-tenangkan diri kat sini. Aku nak masuk kerja semula ya?” Setelah bersembang dengan tuan rumah, Syazana mahu mengundur diri.
“Terima kasih, Ana… aku menyusahkan kau aje.” Mereka berpelukkan.
“Kalau hati kau dah tenang, nanti kau cerita pada aku, ya? Banyak-banyakkan istighfar, ingat Allah selalu. Aku tau, kau kuat…” pujuk Syazana. Mira Maira mengangguk.
Syazana melangkah keluar. Mira Maira yang berdiri di tepi pintu hanya memandang sambil melambai tangan. Syazana berlalu dari situ.
“Mira… Mira dah solat?” soal Rabitah. Mira Maira menggeleng.
“Kalau belum solat, masuklah dalam bilik. Baju dengan kain batik akak dah letak atas katil. Kalau nak mandi ke, silakanlah. Buatlah macam rumah sendiri.” Ujarnya lagi.
“Terima kasih, kak.”
Rabitah berlalu ke dapur. Mira Maira menutup pintu. Dia melangkah ke bilik yang dimaksudkan oleh Rabitah. Dia duduk di birai katil. Dia termenung lagi. Perasaan sebaknya muncul semula sebaik sahaja dia bersendirian begitu.
“Ya Allah, kuatkah aku nak menghadapi semua ini seorang diri? Betulkah keputusan aku ini?” benci benar dia dengan perasaannya waktu itu. Dia ragu-ragu dengan tindakan yang diambil.
“Macam mana pulak dengan umi? Apa kata umi nanti?” terbayang di birai matanya kemesraan umi. Kasih sayang yang tidak berbelah bahagi buat dirinya. Sanggupkah dia meninggalkan keluarga itu? Ya Allah… tolonglah aku… Mira Maira menekup wajahnya. Dia teresak-esak lagi.
“Mira… jangan tenangkan hati dengan menangis. Banyak cara lain lagi kita boleh tenangkan hati. Kalau nak sangat menangis, menangislah di sejadah. Merayu kepada Allah agar kesedihan yang kita rasa itu pergi dan mintalah Dia gantikan dengan kegembiraan.” Pujuk Rabitah. Dia duduk di sebelah Mira Maira.
“Kak…” Mira Maira mendakap tubuh Rabitah.
“Mira… jangan bazirkan air mata hanya kerana kita tak dapat cinta manusia. Sedangkan yang patut kita tangiskan adalah bila Allah langsung tak memberi rahmat kepada kita. Kita tak dapat raih cinta Allah. Itu yang patut kita tangiskan. Lagi satu, kala kita menghayati al-quran, waktu itulah Allah paling suka kita menangis. Kerana tangisan kita itu adalah tangisan penyesalan dan keinsafan.” Tokoknya lagi.
Mira Maira semakin sebak. Bukan kerana masalahnya tetapi kerana terasa dirinya terlalu bodoh. Betul juga apa yang diperkata oleh Rabitah. Tetapi apa dayanya, dia hanya manusia biasa. Terlalu banyak kekurangan diri. Kerana dirasakan cinta manusia itulah yang membawa bahagia sedangkan andai dapat meraih cinta Allah, dunia dan akhirat pasti akan mendapat kebahagiaan.

“APA masalah Mira sebenarnya, boleh akak tau?” Karmah dan Rabitah berhadapan dengan Mira Maira.
Ketika itu Mira Maira baru sahaja habis berzikir al-mathurat. Rabitah telah menghulurkan buku yang mengandungi zikir dan doa al-mathurat. Antara tujuan zikir al-mathurat adalah :
1. Al- Ma'thurat merupakan wirid dan doa harian yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Baginda adalah orang yang paling mengetahui betapa besarnya ganjaran yang diperolehi dari amalan doa dan wirid tersebut.
2. Wirid, doa, zikir dan istighfar dalam Al- Ma'thurat ini akan memantapkan jiwa di samping memiliki keutamaan dalam segala aspek kehidupan. Mendidik hati agar sentiasa merindui kepada Ilahi dan memberi kelapangan hidup dan kesihatan jasmani.
3. Jika sesiapa mengamalkan zikir Al- Ma'thurat ini akan merasakan perbezaannya dengan hari2 yang tidak dimulakan dengan zikir Al- Ma'thurat. Begitulah kekuatan doa2 dan wirid dalam Al- Ma'thurat ini sebagai senjata mukmin.
Manakala kelebihannya adalah, tidak dihampiri syaitan, rumah dan keluarganya terselemat dari perkara yang tidak diingini, Allah mencukupkannya apa yang sangat diperlukan dari urusan dunia dan akhirat, orang yang membacanya kemudian dia mati pada hari atau malam tersebut maka Allah akan menjamin untuknya syurga,
Selamat dari segala sesuatu, Allah menyempurnakan nikmatnya ke atas orang yang membacanya, Allah berhak untuk meredhainya, tidak ada sesuatu yang mendatangkan mudarat ke atasnya, terrhindar daripada syirik, selamat dari bisa atau sengatan semua makhluk yang beracun, dimudahkan menyelesaikan hutang-hutang, berhak untuk mendapat syafaat pada hari kiamat, sesiapa yang membaca di waktu pagi,akan dipelihara oleh allah hingga ke waktu petang dan sesiapa yang membacanya di waktu petang akan dipelihara hingga ke waktu pagi, mengamalkannya umpama mengamalkan Sunnah Rasulullah dari sudut zikir dan berdoa, dan berbagai lagi kelebihan.
Itu yang telah dibaca dalam buku itu. Mira Maira merenung kulit buku itu. Dia membiarkan sahaja pertanyaan dua orang kakak yang baru dikenalinya itu.
“Mira… kalau Mira rasa kurang senang nak kongsi dengan kami, tak mengapalah. Kami tak paksa. Maafkan akak kalau cara akak ni macam orang menyibuk aje. Kami berdua tak maksud apa-apapun,” kata Rabitah pula.
Mira Maira menggeleng.
“Bukan macam tu, kak. Mira percayakan akak berdua. Kalau Mira tak percaya, takkan Mira boleh duduk di sini. Sebenarnya, kak…”
Mira Maira menceritakan masalah yang sedang dihadapinya. Rabitah dan Karmah terangguk-angguk. Sesekali wajah mereka tampak berkerut.
“Mira… hidup ini, kalau tak diduga memang tak manis. Biasalah tu. Akak rasa ni asam garam rumah tangga. Akak tak rasa yang suami Mira tu kejam sangat. Mungkin dia suka dan sayangkan Mira, tapi tak tau nak tunjuk macam mana. Kadang-kadang lelaki ni ego. Bersabarlah banyak-banyak, Mira. Pada akak, berkasih sayang selepas kahwin lebih manis. Lebih diberkati. Percaya pada itu, seandainya kita reda dalam segala hal dan termasuklah berkahwin dengan dia, insyaAllah, Allah akan berikan apa yang Mira nak.” Nasihat Karmah. Rabitah mengangguk.
“Ya, Mira. lebih baik bercinta atau berkasih sayang selepas kahwin. Mira tengok dekat luar sana, berapa ramai gadis-gadis yang rosak bila bercinta sebelum kahwin? Dan paling sedihnya, walaupun mereka berkahwin ada juga yang gagal dalam perkahwinan tersebut. Kasih sayangpun makin pudar sebabnya apa? Sebab masa sebelum kahwin dicurahkan cinta sepenuh hati. Bersabarlah banyak-banyak. Jangan sesekali ambil keputusan terburu-buru.”
“InsyaAllah, kak. Mira akan cuba, biar pun payah, Mira akan harungi juga. Terima kasih pada akak berdua.” Karmah dan Rabitah tersenyum lantas kepala diangguk.