Pengikut

Rabu, 6 Februari 2013

JANGAN PANDANG SEBELAH MATA, BRO!




4
SEHARI sebelum peperiksaan bermula, Mira Maira dikejutkan dengan kedatangan kedua ibu bapa mertuanya. Memang benarlah nalurinya pada hari itu, entah mengapa dia sakan mengemas rumah, dia mahukan rumah kelihatan bersih. Segala habuk-habuk yang melekat di piala-piala lama arwah ayahnya serta pak cik-pak ciknya siap dilap. Mujurlah dia tidak pandai hendak mmebuang karat-karat, kalau tidak… memang cantik berkilat-kilat.
“Umi…” Mira Maira menyambut kedatangan mertuanya itu. Tangan umi dicium lantas tubuhnya didakap oleh Dato’ Farah.
“Lama tak jumpa menantu umi.” Wajah Mira Maira dicium beberapa kali.
Mira Maira mendapatkan pula bapa mertuanya.
“Babah, apa khabar?”
“Alhamdulillah, baik, Mira. Mira macam mana, sihat?” Mira Maira mengangguk. Dia mengucup lembut tangan bapa mertuanya.
“Alhamdulillah… masuklah babah, umi…” pelawa Mira Maira.
Dato’ Mustaffa Harun dan Dato’ Farah melangkah masuk ke dalam rumah. Mira Maira menegekori mereka, namun baru beberapa langkah dia menoleh ke belakang semula kerana dia merasakan ada seseorang yang turut melangkah ke arahnya. Mata mereka bertaut. Kening Mira Maira berkerut. Adakah itu suaminya? Kenapa lain sangat raut wajahnya, tubuh juga turut berbeza. Lelaki itu kurus dan rendah. Lebih rendah daripadanya. Seingatnya, suaminya berbadan sasa dan tinggi lampai. Siapakah lelaki itu?
Lelaki itu melemparkan senyuman. Mira Maira hanya mengangguk, tanda hormat.
“Assalamualaikum,”
“Waalaikumussalam, mari masuk Afif.” panggil Dato’ Farah.
Oh namanya Afif… tapi siapakah dia? Daripada manakah dia datang? Kenapa dia tidak nampak ada orang lain selain daripada mertuanya? Berapa banyak soalan yang ditanya pada diri sendiri daa… cubalah buka mulut Mira… tanya sendiri pada mertua kau tu.
Afif Haikal masuk lantas duduk di sebelah Dato’ Farah. Kelihatan mereka sungguh mesra. Adakah dia anak uminya?  Berkerut kening Mira Maira dengan soalan-soalan yang belum punya jawapannya.
“Mira, umi kenalkan ini Afif Haikal. Adik ipar Mira. Baru aje balik daripada Jepun.”
Akhinya terlerai sudah simpulan-simpulan yang melengkar di kepala Mira Maira. Benar tekaannya, lelaki itu adik iparnya. Wajah adik iparnya itu sangat berbeza dengan wajah suaminya.
“Apa khabar, Kak Mira?” Afif Haikal bangkit, dia menghulurkan tangan kepada Mira Maira. Mira Maira mula serba salah, dia hanya tersenyum.
“Afif… tak ingat ke umi cakap tadi, walaupun Mira tu dah jadi kakak ipar Afif, bukan bermakna sudah menjadi mahram. Antara Afif dan dia hanyalah mahram sementara. Air wuduk tetap batal...” tegur umi.
Afif Haikal tersengih. Dia menarik kembali tangannya. Kemudian dia hanya mengangkat tangan kepada Mira Maira.
“Oh ya, maaf. Lupalah, umi.” Afif Haikal duduk semula. 
Dia memeluk bahu uminya. Terlihat kemesraan itu memang benar-benar ikhlas bukan drama swasta. Mira Maira terasa cemburu pula. Dia tidak dapat bermesra dengan ibu dan ayahnya seperti keluarga mertuanya itu.
“Atuk Mira mana?” soal Dato’ Mustaffa Harun, dia memanjangkan lehernya ke arah luar rumah.
“Dia ke kedai, babah. Sekejap lagi baliklah dia.” Jawab Mira Maira. Dato’ Mustaffa Harun mengangguk.
“Umi dan babah duduk dulu ya, saya ke dapur sekejap.” Mira Maira berlalu pergi ke dapur.
Sedang Mira Maira mengacau air untuk dihidangkan kepada mertuanya, kedengaran suara atuk memberi salam. Mira Maira mengatur cawan-cawan ke dalam dulang. Mujurlah dia membuat jemput-jemput pisang lebih pada hari itu.
“Mira… kamu masaklah lauk ni. Patutlah hati atuk tergerak nak beli ikan lebih tadi. Rupanya ada tetamu.”
“Yalah… nanti Mira buat.”
Tok Taha meletakkan ikan-ikan yang baru dibelinya itu di atas singki. Kemudian dia meninggalkan dapur itu untuk ke ruang tamu. Berbual mesra dengan tetamu yang sangat dihormatinya itu.

SELEPAS menghantar minuman ke ruang tamu, Mira Maira ke dapur semula. Ikan-ikan yang dibeli oleh atuknya di siang satu persatu. Memang benar, ikan-ikan itu banyak. Tidak seperti biasa, atuknya akan membeli ikan hanya untuk mereka berdua sahaja.
“Nak umi tolong ke?” sapa Dato’ Farah dari arah belakang.
“Opocot!” terpelanting ikan yang dipegang oleh Mira Maira ke atas lantai.
“Maafkan umi, Mira. Tak sangka Mira terkejut macam ni.”
Dato’ Farah mengambil ikan yang terjatuh itu. Sikap itulah yang dikagumi oleh Mira Maira. Sungguhpun ibu mertuanya itu daripada golongan hartawan, dermawan, jutawan  dan jelitawan. Tapi dia tidak jijik ataupun memandang rendah pada keluarganya yang hidup sederhana. Tengok sahaja dengan selamba dia mengambil ikan yang jatuh di lantai itu. Ikan yang masih lagi punya darah.
“Tangan umi dah kotor. Biarlah saya buat semuanya, umi. Umi duduk aje ya.” Mira Maira mengambil ikan yang ada di tangan Dato’ Farah. Dato’ Farah ketawa.
“Apalah Mira ni. Umi dah biasa buat kerja-kerja ni. Bukan perempuan namanya kalau tak nak tangan kotor bila berada di dapur. Geli pegang ikan. Geli dengan darah kononnya. Hesy… umi ni tak kisah, Mira. Bagi umi, biar umi buat semua kerja-kerja dapur sendiri, biar umi masak makanan untuk keluarga umi dengan tangan umi ni. Umi puas hati.” Dato’ Farah mencuci tangannya. Mira Maira tersenyum, bangga mempunyai ibu mertua yang berpandangan positif begitu.
“Betul cakap umi. Tapi hari ni, biar umi duduk aje ya. Tak payah buat apa-apa. Saya boleh uruskan.” Mira Maira memimpin tangan Dato’ Farah, lalu menyuruhnya duduk di kerusi yang ada di dapur itu.
“Untungnya umi dapat menantu macam Mira ni… pandai buat kerja rumah. Bersyukur sangat-sangat umi. Lapang dada ni rasanya…”
“Saya orang kampung, umi…”
Ligat sahaja tangan Mira Maira mengaul ikan sembilang dengan asam jawa dan garam. Kemudian dia membiarkan seketika. Dato’ Farah hanya memerhati gerak langkah menantunya yang sangat teratur memasak. Namun hatinya rasa sayu tatkala teringatkan wajah Mira Maira yang seakan tidak sangka kerana dipaksa berkahwin dengan anaknya.
“Umi minta maaf, Mira. Kalau Mira rasakan kami memaksa Mira berkahwin. Kami tahu, Mira terbeban.”  Bicara Dato’ Farah itu membuatkan gerak tangan Mira Maira yang sedang mengacau gulai asam pedasnya terhenti. Dia memandang wajah Dato’ Farah.
“Kenapa umi cakap macam tu?” soalnya perlahan.
Dato’ Farah mengeluh. Sungguh! Sejak pernikahan anaknya itu, dia rasa tidak sedap hati. Rasa bersalah itu menghimpit jiwanya. Selagi dia tidak luahkan, selagi itu dadanya terasa padat.
“Umi rasa bersalah sebab tak tanya Mira dulu. Umi rasa, umi dah hancurkan masa depan menantu umi ni. Dalam hati umi, tak terlintas langsung nak buat macam tu. Tapi seperti Mira ketahui, babah tak nak Mira jatuh ke tangan orang lain. Babah nak pastikan hidup Mira terjamin walaupun kami tahu anak kami itu tak sempurna mana. Maafkan umi, Mira.” Sebak dadanya, matanya mula berair.
Mira Maira mendekati mertuanya itu. Tubuh itu dipeluknya erat.
“Umi.. Saya reda dengan ketentuan Allah. Saya tak pernah pertikaikan, umi. Janganlah cakap macam tu, jangan rasa bersalah sampai merunsingkan hati umi.”
“Ya Allah… terima kasih kerana kurniakan aku menantu seperti ini…” wajah Mira Maira diciumnya berkali-kali. Dia bertekad, takkan melepaskan Mira Maira walaupun anak sulungnya itu tidak cintakan gadis itu. Dia akan berusaha untuk mengekalkan hubungan mereka.

“AWAK boleh terima abang saya macam itu saja? Kenapa tak ada bantahan langsung?” soal Afif Haikal sebaik sahaja dia menghampiri Mira Maira yang sedang duduk di bawah rimbunan pokok rambutan.
Mira Maira terkejut. Hampir sahaja buku yang ada di tangannya tercampak ke tanah.
“Terkejut saya…” dia membetulkan duduknya. Afif Haikal tetap berdiri di hadapannya. Dato’ Mustaffa Harun dan Dato’ Farah berada di dalam rumah bersama-sama dengan Tok Taha. Mungkin ada perkara yang mereka hendak bincangkan. Sebab itulah dia membawa diri di bawah pokok rambutan itu.
“Saya pun tak faham kenapa umi jodohkan awak dengan abang. Sedangkan umi tahu perangai sebenar abang tu. Bukan suka diikat macam ni.” Luah Afif Haikal lagi.
Mira Maira tersenyum kelat.
“Umi dah terangkan kepada saya, kenapa dia jodohkan Abang Alif dengan saya. Saya faham dan saya reda.” Dia bukan pura-pura, ia lahir daripada hatinya sendiri.
“Awak masih tak kenal abang saya. Dia bukan mudah nak jatuh cinta. Dia lebih cintakan kerjaya daripada mengejar cinta wanita. Walaupun ada gossip-gosip menyatakan dia sedang hangat bercinta dengan model syarikatnya sendiri. Tapi saya tak percaya. Abang terlalu ramai teman wanita. Saya tak tahu yang mana satu menjadi pilihan hati dia. Lagipun teman-teman wanitanya semuanya jelitawan. Sangat mementingkan penampilan dan…”
“Saya sedar diri. Saya tahu saya tak secantik mereka. Tapi wajib ke berwajah cantik baru dapat memiliki cinta? Ataupun suami?” Mira Maira mula tersinggung. Dia tahu kekurangan dirinya.
Afif Haikal terkaku. Bukan itu maksudnya. Dia cuma ingin sedarkan gadis itu. Dia tidak mahu gadis itu menjadi mangsa.
“Saya tak bermaksud langsung nak hina awak. Bukan itu yang ada dalam kepala saya. Saya minta maaf kalau awak tersinggung. Cuma saya terkilan, umi sanggup pertaruhkan masa depan awak. Awak masih muda, kenapa mesti bersetuju dengan perkahwinan yang tak pasti masa depannya?”
Makin berkerut kening Mira Maira dibuatnya. Lelaki ini mahu apa sebenarnya? Bersimpati dengan aku, atau mahu meluahkan rasa tak puas hati dengan keputusan orang tuanya? Ataupun dia cemburu dengan abangnya sendiri.
“Apa yang sepatutnya saya lakukan? Saya lari daripada rumah semata-mata nak tunjukkan protes? Atau saya tentang habis-habisan hasrat mereka? Sejak daripada kecil, saya dibesarkan oleh mak adik dan atuk. Setelah mak adik berkahwin, saya hanya tinggal dengan atuk. Hanya atuk yang saya ada sekarang ini. Sanggupkah saya melukakan hatinya?” Mira Maira bermain-main dengan buku yang ada di tangannya.
“Sekurang-kurangnya awak kena suarakan apa yang awak rasa. Bukan hanya menurut.” Afif Haikal tidak puas hati. Mira Maira mengeluh sambil menggeleng.
“Satu lagi kita harus sedar, Afif. Jodoh dan ajal  adalah rahsia Allah. Itu yang dikurniakan kepada saya, saya terima dengan hati yang terbuka. Saya sentiasa bersyukur.”
Kedengaran Afif Haikal ketawa sinis.
“Walaupun awak tahu suami awak itu punya kawan perempuan keliling pinggang?”
Mira Maira mengangguk. Pasrah dengan apa yang telah berlaku.
“Terus terang saya katakan, saya ralat dengan perkahwinan abang saya.” Keluh Afif Haikal.
“Kenapa awak pula yang ralat? Yang menghadapi semua ini adalah kami?”
Wajah Afif Haikal dipandangnya seketika kemudian dia mengalihkan pandangannya ke arah lain pula.
“Sepatutnya umi pilih saya bukan abang. Umi sendiri tahu perangai abang macam mana. Sedangkan saya…”
Mira Maira sudah tergelak. Macamlah dia lawa sangat hendak jadi rebutan.
“Kenapa awak gelak? Sama ada awak percaya ataupun tak, saya akui memang sukar hendak dapat mana-mana kawan perempuan yang baik, tak memandang harta dan yang jujur.”
“Bunyinya macam pernah kecewa aje?”
“Pernah… tapi mujur tak serius mana. Dia kawan dengan saya sebab saya anak seorang jutawan kosmetik. Awak tengok saja keadaan diri saya, nak kata kacak, manis tu adalah sikit. Nak kata tinggi, awak pandanglah saya sendiri, terang-terang saya macam pokok yang terbantut pembesarannya. Mana ada perempuan sukakan lelaki rendah seperti saya? Kalau adapun semuanya bersebab… sebab utama adalah duit.”
Mira Maira tergelak kecil. Macam-macam lelaki itu.
“Habis awak ingat saya bolehlah terima awak?” soal Mira Maira. Berubah wajah Afif Haikal.
“Sekurang-kurangnya kalau dah kena kahwin paksa macam ni, awak terima ataupun tak, saya dah jadi suami awak. Kena terima seadanya, kan? Tapi tulah… macam saya cakap tadi, abang lebih bertuah.” Mahu ataupun tidak, Afif Haikal kena terima hakikat juga, Alif Hazriq merupakan anak sulung dalam keluarga itu, dia perlu diberi keutamaan terlebih dahulu.
“Awak terlalu merendah diri. Sebenarnya awak taklah teruk mana. Saya rasa suatu hari nanti awak akan jumpa dengan gadis yang menerima awak seadanya tanpa ada agenda tertentu. Diri awak cukup lengkap termasuklah berpelajaran tinggi. Ramai gadis yang tercari-cari lelaki seperti itu. Cuma yalah… soal inci yang tak cukup tu, bukan ke semua tu kerja Allah? Kalau asyik nak salahkan apa yang Allah beri, tak adillah kita sebagai manusia nak pertikaikan apa yang Allah dah beri pada kita. Apa yang penting, selalulah panjatkan rasa syukur kepadaNya. Kalau kita sentiasa reda, mudahlah aura positif akan masuk dalam diri kita.” Nasihat Mira Maira, seraya itu juga dia bangkit lalu meninggalkan adik iparnya itu.
Otak Afif Haikal masih lagi memproses kata-kata kakak iparnya itu. Banyak kebenarannya. Namun untuk menjadi yang seorang yang berlapang dada bukanlah mudah. Keluh kesah itu pasti menjadi mainan bibir.

“UMI dan babah doakan Mira dapat menjalani peperiksaan dengan tenang dan sering dilindungi oleh Allah. Umi nak Mira tahu, umi sayangkan Mira.” Bisik Dato’ Farah, ketika mereka berpelukan.
“Terima kasih, umi. Insyaallah berkat doa semua, saya akan mudah menjawab semua soalan STPM nanti. Sayapun sayang umi juga.” balas Mira Maira.
Mereka berpisah dengan meninggalkan kesan yang dalam pada diri Mira Maira. Sesuatu yang dapat dia pelajari dari keluarga itu, kasih sayang. Dia mula rasa yakin dengan keluarga tersebut walaupun belum ada sedikitpun keyakinan itu buat suaminya. Mengapa suaminya tidak ikut sama? Malukan dia dengan keluarganya itu? Persoalan itu yang belum terlerai lagi…

2 ulasan:

Unknown berkata...

best3..nk2 lgi..smbung lah kak syima..cter dye umphhh ckup rse hehe!!!

syimasyawal berkata...

Setakat ni dah sampai bab 47... akan upload di blog sampai bab 20 kot sat eh... akak upload bab 5 hehehehe...