Pengikut

Rabu, 19 Jun 2013

CIK BODYGUARD!



4
Cuba diusir rasa resah…
Ia tetap dapat dirasai…

“AGAK-AGAK, Hira dapat ke kerja tu?” soal Amani sambil mengunyah nasi goreng yang aku masak petang tadi.  
Aku yang sedang menelaah buku di meja makan, mengangkat wajah. Aku pandang wajah Amani yang duduk di hadapan aku.
“Entahlah, kak. Kalau dapat Alhamdulillah. Kalau tak, cari kerja lain ajelah…” jawab aku sambil lewa. Memang tak ada semangatpun.
“Lah… kan ke Hira ada sijil pengawal peribadi. Takkanlah mereka tak terima. Lagipun akak dengar khabar angin, bos tu nak perempuan.”
“Nak perempuan? Habis tu, kenapa dia buka untuk lelaki juga? Peliklah, kesian diorang buang masa kat situ tunggu giliran temuduga tapi akhirnya ambil perempuan juga,” bantah aku. Langsung tidak bersetuju dengan cara bos Amani itu. cakap sahajalah terus terang.  
“Mungkin diorang baru buat kata putus nak ambil perempuan. Masa buat iklan hari tu, diorang memang membuka kepada sesiapa saja.” balas Amani. Aku menggeleng.
“Akak tau tak diorang punya temuduga tu memang tak masuk akal langsung. Ada ke dia tutup mata orang lepas tu suruh teka bahan-bahan masakan. Apa kes? Terang-terang lelaki tak dapat nak jawab. Lainlah dia pakar memasak, hah memang senang kacanglah.”
Amani tergelak.
“Hah! Tengoklah, akak pun boleh gelak, apatah lagi orang yang kena temuduga ni. Puas dah otak ni fikir apa motif diorang buat macam tu.”
“Hira… Hira…” Amani pula menggeleng.
“Kenapa pulak?” soalku pelik.
“Hira terfikir tak yang diorang tu saja nak menguji? Mungkin diorang nak tengok, macam mana cara kita menghadapi situasi begitu. Misalnya situasi yang tak diduga. Sama ada kita panik ataupun tak. Itu ada kaitan juga dengan kerja yang Hira minta tu. Manalah tau, Hira berhadapan situasi yang Hira sendiri tak jangka. Apa yang patut Hira buat, sama ada tinggalkan, mengalah atau hadapi juga?” Amani menerangkan maksud temuduga tersebut. Itu sekadar pandangan peribadinya sahaja.
Aku tersentak dan termenung seketika. Begitu juga dengan Killa yang sejak daripada tadi memasang telinga. Seperti aku juga, dia turut kerahkan otaknya untuk berfikir kebenaran kata-kata Amani tadi.
Mahu saja aku menyepak kepala aku yang langsung tidak terfikir semua itu? Betul juga! Menghadapi situasi yang tak diduga. Hmm… mujurlah aku dapat juga hadapi. Kalau tidak… tapi entah betul entahkan tidak aku jawab tadi, belasahlah labu…
“Hira dapat jawab ke tak?”
Aku mengangguk.
“Akak tau minat Hira, kan?”
Amani pula yang mengangguk. Memasak! Itulah hobi aku. Kalau minta tolong masakan apa-apa saja, aku tidak pernah menolak. Walaupun waktu itu di tengah malam. Kebiasaannya aku sudah menyediakan bahan-bahan masakan terlebih dahulu. Bawang merah, bawang putih, lada semuanya telah siap diblander. Ia sangat menjimatkan masa. Aku belajar semua tupun dari nenek. Nenek kata, jadi perempuan ni kena kreatif, bukan pasif hehehehe.
“Akak yakin, Hira yang dapat kerja tu.”
“InsyaAllah… kalau dapat, Hira belanja korang berdua,” kataku selamba, padahal dalam hati tidak ada keyakinan langsung.
“Wah! Tu yang nak dengar tu. Aku suka! Aku suka!” hampir terlonjak-lonjak Killa. Aku hanya menjeling dia. Aku juihkan mulut aku tanda meluat.
“Hesy… pantang budak ni dengar makan free. Laju aje,” sindir Amani. Killa tersengih. Dia mana tahu ambil hati, orang cakap apa dia tersengih saja.
“Mestilah, beb! Apa perkara yang paling best sekali, kalau bukan makan free? Orang nak belanja, kita cuma hantar perut aje. Bukan susah sangat…” jawab Killa selamba badak.
“Yalah tu… cuba tengok badan tu dah mula naik, tak perasan ke? Sana sini lemak lebih-lebih. Nanti baju-baju awak tu tak muat, baru tau.” Sindir Amani lagi yang merupakan kakak sepupu Killa.
Terkekeh-kekeh Faghira tertawa. Memang nampak ketara tubuh Killa semakin berisi sejak kebelakangan ini.
“Mana ada!” Killa kurang senang. Aku apa lagi tukang gelakkan dia.
“Kalau tak percaya, pergi timbang sekarang. Berapa kilo dah awak tu naik?” sakat Amani, sengaja dia hendak kenakan adik sepupunya itu.
“Ah… malas nak timbang. Biarlah nak naik ke, nak turun ke… apa yang penting sekali, hati kita happy!” bidas Killa, tidak sedikitpun dia berkecil hati dengan Amani.

“MINGGU depan,  lepas kita habis periksa kita balik kampung nak tak, Hira?” Killa menarik kerusi yang ada di hadapan aku.
Amani sudah masuk dalam biliknya.
Aku angkat muka, lantas memanandang wajah Killa. Kemudian aku mengeluh berat.
“Minggu depan nenek aku kan ke pergi China?”
“Minggu depan ke dia pergi?”
“Ya…”
“Alah… kalau nenek kau tak ada, macam biasalah lepak rumah aku ajelah… weh kita dah lama tak balik kampung. Mak aku dah mula bising. Dia kata aku ni dah mula lupa diri. Aku tak sedap hatilah kalau mak aku cakap yang bukan-bukan macam tu…” pujuk Killa.
“Mak kau tau, kan? Kalau kita tak balik pun kita tak keluar ke mana-manapun. Kita memerap dalam rumah aje. Aku bukannya apa, malaslah kalau nenek tak ada. Tak best… kalau lepak rumah kau, aku segan dengan abah kau tu.” Aku menahan tawa bila Killa buat muka.
“Hek eleh… sejak bila kau tau malu pulak dengan abah aku ni? Selalunya kau larung aje…” Killa membaling gumpalan kertas ke arah aku. Terhambur juga tawa kami berdua.
“Serius, Killa. Aku macam tak ada mood nak balik kampung. Kalau kau nak balik, nanti aku hantarlah kau. Tapi hantar kat puduraya ajelah.” Kata aku sambil bibir aku tersengih lebar.
Killa buat muka lagi.
“Alah…. Bosanlah kalau kau tak ada… mesti panas telinga aku dengar panjang lebar leteran mak aku tu… jomlah, Hira.” Pujuk Killa lagi.
“Macam aku tak kenal kau. Aku tau ada sebab lain kau sibuk ajak aku. Apa kau nak takut, tadah ajelah telinga kau tu. Paling tidakpun, dia berleter aje. Bukan kena pukulpun…” perlahan suara aku seakan merintih nasib sendiri.
Pada aku, Killa beruntung punya ibu bapa yang sangat mengambil berat. Sedangkan diri aku? Hmm… mudah benar tubuh ini akan jadi sasaran tangan papa. Semudah itu juga papa akan melepaskan geram. Apa daya aku untuk melawan? Seburuk-buruk papa, itu saja orang tua yang aku ada selain dari nenek.
“Hira…” Killa memandang aku yang mula berubah mood. Aku mula rimas bila dia pandang begitu.
“Aku okey, Killa. Jangan risau.”
“Tak apalah, aku balik sorang. Janganlah kau sedih-sedih macam ni… aku tak sanggup tengok wajah mendung kau lagi.”
“Aku okey-okey aje… kau jangan risau, ya?” aku cuba tersenyum. Biarpun hati aku mula berdebar-debar sebaik sahaja aku teringatkan papa.
“Okeylah aku masuk tidur dulu. Kau ni kalau baca buku pelajaran tak apa juga, ni menelaah novel tak habis-habis. Aku risau tengok kau ni. Risau rebut taufan papa kau lagi, kau buat selamba aje.” Killa membebel, dia bangun, kerusi yang didudukinya tadi di tolak ke dalam meja.
Aku apa lagi hanya mampu tersengih.
“Orang cakap dia tersengih-sengih. Macam kerang busuk. Dahlah, jangan tidur lewat sangat,” akhirnya Killa angkat kaki juga. Mesi dia menyesal bercakap dengan aku umpama bercakap dengan beruang panda yang dah kaku. Killa melangkah ke biliknya.
Aku mula termenung. Aku tahu Killa sayangkan aku. Tapi aku pula? Hmm… jiwa aku terlalu mendesak, memberontak, semuanya menjadi satu! Oleh kerana itulah, aku tidak peduli apa yang akan terjadi nanti. Benar-benarkah aku tidak peduli? Aku tidak mampu mengupas perasaan aku sendiri.
Aku menutup novel yang aku baca. Kemudian aku menyusun buku-buku yang ada di atas meja itu. aku bangun, memeriksa pintu sama ada sudah berkunci ataupun tidak. Lampu dipadam dan kemudian aku masuk ke dalam bilikku.

MAHU tidur, mata aku masih tidak mengantuk lagi. Aku capai laptop yang ada di meja sisi katil aku. Setelah semuanya sudah siap bersedia, aku membuka skype. Nama seseorang aku dail.
“Hello, sayang… manja, intan payung, busuk, bacin…” kedengaran suara beserta wajah yang sedang tersenyum terpamer di skrin komputer riba aku.
Aku tertawa.
“Lagi?”
“Nak apa lagi? Dah cukup-cukuplah tu. Kalau sebut lebih-lebih, hah silap-silap penuh muka tu sebab lubang hidung dia besar,” seloroh lelaki yang ada di dalam laptop aku.
Lagi kuat aku ketawa.
“Ada apa panggil abang ngah ni?”
“Rindu sangat kat abang ngah…”
“Aikk? Rindu aje ke? Tak ada sebab lain?”
“Iya… betul… orang rindu sangat…”
Jujur, aku betul-betul rindu pada abang aku yang seorang ini. Abang yang paling rapat denganku. Tapi, abang aku yang bertugas sebagai doktor ini tiada di Malaysia. Selepas tamat pengajiannya di Mesir, abang ngah memohon kerja di hospital Gaza. Kata abang ngah,, dia mahu berkhidmat di situ biarpun tanpa bayaran. Cukup besar impian abang ngah mahu mati syahid.
“Hira… kalau Hira rindu abang ngah, bila-bila masa boleh panggil abang ngah. Kita sentiasa boleh berhubung, berbanding remaja-remaja di sini… mereka terlalu rindukan Allah kerana itu dia tidak kisah tentang perasaan rindu mereka pada sesama manusia. Apa yang ada dalam kepala mereka mahu berjuang untuk menuntut hak mereka dan mereka juga perjuangkan Islam malah maruah Islam itu sendiri. Mereka tak ada masa untuk melayan perasaan mereka. Yang mereka tahu, mahu melindungi. Bersabarlah dengan perasaan tu, doakan abang ngah di sini. Lagi panjang umur abang ngah, lagi banyak bakti abang ngah boleh hulurkan untuk mereka. Andai Allah izinkan kita bertemu, InsyaAllah suatu hari nanti, abang ngah balik ya?”
Mengalir air mata aku kala mendengar kata abang ngah itu. Namun begitu, bila berbual dengan abang ngah, aku rasa cukup tenang. Biarpun kadang-kadang aku tidak dapat terima apa jua alasan abang ngah berikan. Sudah lama aku pujuk abang ngah supaya pulang ke Malaysia. Pelbagai alasan yang abang ngah berikan.
Tiga tahun yang lalu, bila abang ngah mengambil keputusan untuk menetap di bumi Gaza, papalah orang yang paling kecewa. Dia mengamuk, apa yang aku dengar, habis semua barang papa pecahkan. Tapi abang ngah tetap dengan keputusannya. Biarpun tahu papa akan marah padanya.
“Kenapa diam?”
Aku angkat muka, aku pandang skrin komputer ribaku, abang ngah sedang kembang kempiskan hidungnya. Akhirnya gelak aku pecah juga.
“Gelilah bila abang ngah buat macam tu, eiii… tak senonoh abang ngah ni tau,” kataku, tawaku masih lagi belum berhenti lagi.
Abang ngah aku turut tergelak sama.
“Sekarang, beritahu abang ngah, apa masalah, Hira?”
“Sebenarnya, Hira nak kerja lepas exam ni. Dah tak nak sambung belajar lagi…” perlahan aku menyuarakan hasratku. Aku tahu, tiada siapa yang akan setuju. Tapi berlainan dengan abang ngah, yang lebih bersikap terbuka.
“Jadi?” serius saja wajah abang ngah. Aku mula jadi kecut perut. Takut juga kalau sekiranya abang ngah yang selama ini tidak pernah marah, melenting tiba-tiba.
“Hira… Hira nak bagitau abang ngah aje…” kataku perlahan, seolah aku berbisik dengannya.
“Serius ke Hira nak kerja?” Aku mula tersengih. Aku tahu, abang ngah tidak pernah menghampakan diriku. Laju saja aku mengangguk.
“Kerja apa yang Hira dah mohon?” selidik abang ngah. Sudah menjadi kewajibannya untuk bertanya. Aku faham, bukan mudah untuk menjaga adik  perempuan seperti aku.
“Belum dapat lagi, ingat nak minta izin abang ngah dulu. Kerja kilangpun Hira tak kisah, asalkan rezekinya halal, abang ngah…” aku pandang mata abang ngah. Dia mengangguk-angguk.
“Kalau betul Hira nak kerja, abang ngah izinkan. Tapi jangan kerja yang bukan-bukan. Minta izin juga dengan nenek. Nanti abang bagitau abang long.”
Fuh! Lapang rasa dada aku. Tidak lagi terbeban dengan masalah itu. Senyumanku makin lebar.
“InsyaAllah, abang ngah. Tapi nenek tu asyik tak ada kat rumah aje. Nanti dia nak pergi China pulak. Terima kasih, abang ngah…” meleret suaraku,, manjalah kononnya.
“Biarkan dia, Hira. Dari kecil umur Hira dia jaga, dia tak bebas ke mana-mana, sekaranglah masanya dia nak habiskan sisa hidup dia. Tak apa, doakan dia lebih sihat, bolehlah dia buat ibadah…” nasihat abang ngah.
“Yalah… moga nenek sihat walafiat. Okeylah abang ngah, Hira nak tidur dah. Rasa lega bila dah luahkan pada abang ngah. Terima kasih…” aku tersengih, menanyangkan gigiku yang putih bersih, itu kata orang ya… bukan aku hendak puji diri sendiri.
“Sama-sama… jaga diri, Hira. Tak ada apa yang lebih berharga selain dari nyawa dan maruah diri. Moga jadi wanita solehah, sayang. Abang ngah sayang Hira sangat-sangat…” kedengaran sebak sahaja suara abang ngah. Mataku mula berkaca.
“InsyaAllah, abang ngah. Moga Allah melindungi abang ngah juga. Moga menemui gadis yang mampu menyinari kehidupan abang ngah,” kataku pula.
“Amin…”
“Assalamualaikum, abang ngah.”
“Waalaikumussalam…” jawabnya. Wajahnya mula hilang dari padangan mataku. Aku menutup skype. Inilah yang menyenangkan hatiku. Berbual dengan abang-abangku.
Aku tersenyum senang hati. Apa yang merisaukanku selama ini telah tiada. Kebiasaannya, bila aku beritahu abang ngah terlebih dahulu, pasti abang long dan dua abangku yang lain takkan membantah. Pendek kata, abang long akan turun pangkat secara automatik dengan abang ngahku.
“Alhamdulillah…” ucapku. Komputer riba aku letak pada tempatnya semula. Aku bersiap-siap untuk tidur. Sebelum melelapkan mata, aku cuba memaafkan semua orang termasuklah papa. Biarpun papa tidak menyukai diriku. Apa yang penting, sedaya upaya aku cuba membuang perasaan dendam!
“Bismikallahumahyawaamut…”
Klik! Lampu terpadam dan mata juga turut tertutup sama…

P/S: sudi2kanlah baca ya....

4 ulasan:

baby mio berkata...

Best kak lama juga x ada n3 baru.

Kucing Cat berkata...

Lagiiiiiiiiiii.. Hehe.. Makin menarik cite niy

Medstaff Xperts berkata...

This is in fact a nice blog with abundant post, I would in fact like to accumulate account here. Acknowledgment for this nice article, admired admonition for all and of advance I will acclaim my accompany to apprehend this for sure.
HealthCare CPA

irfan dhamirel berkata...

Bestnya nk lagii....hehehe