Pengikut

Isnin, 3 Jun 2013

CIK BODYGUARD!



2
Apa hendak dikata…
Berserah sahaja kepada yang Esa…

KEPULANGAN aku disambut oleh Killa dengan senyuman penuh makna. Aku senyum ala kadar.   
“Macam mana, dapat?” awal-awal lagi telah diterpa dengan soalan. Aku sudah agak, mesti dia nak mengorek cerita.
Aku menjeling, malas nak jawab pertanyaan rakan serumah aku itu. Aku melangkah masuk lantas terus berbaring di kerusi kayu yang terdapat di ruang tamu.
“Eleh… orang tanya boleh buat muka poyo dia pulak. Oii! Dapat ke tak?” soal Killa lagi setelah menutup pintu grill. Dia duduk di lantai menghadap tempat aku berbaring.
“Entahlah. Kata mereka, nanti mereka bagi jawapannya. Alah, sengallah temuduga macam tu. Aku ingat temuduganya susah atau mencabar sangatlah, tapi rupanya hesy… tak masuk akal langsung!”
Aku memejam mata. Rasa penat masih belum hilang lagi. Bukan penat tenaga tetapi penat fikiran. Asyik meneka-neka sendiri apa tujuan mereka membuat temuduga sebegitu. Biar aku mencangkul tanah, tidaklah sepenat itu.
“Kau ceritalah apa yang diorang tanya tadi,” Killa menarik-narik lengan baju aku. Haiya… budak ni karang, kena juga penangan sulung aku. Aku masih pejam mata.
“Weh! Hampehlah kau ni, aku beriya tunggu kau dari tadi, sampai hati kau tak nak cerita pada aku,” merajuklah pula… mengada-adanya. Aku memusingkan tubuh aku menghadap dia yang sedang bersila di atas lantai itu.
“Hmm… yalah… yalah… aku cerita.”
Killa tersenyum lebar.
“Kau tau…”
“Entah mana aku tau…” celah Killa.
“Aku taulah kau tak tau sebab aku belum cerita, menyampuk aje orang tengah nak tangkap feel ni.”
“Okey, aku zip mulut.”
“Temuduga tadi memang tak masuk akal langsung. Ada ke, nak cari jawatan bodyguard, kena teka bahan-bahan masakan?”
“Hah?!”
“Tengok! Kau pun terkejut, kan? Aku lagilah. Sampai aku sakit kepala fikir, apa motif diorang soal aku bahan-bahan masakan. Nak suruh aku jadi chef ke?”
“Betullah, memang tak logik,” komen Killa.
“Tau tak apa.”
“Tapi kau memang pakar masakan, kan? No hal punya, aku yakin kau boleh jawab, betul tak?” Aku menggeleng sahaja.
“Yalah… kebetulan. Kalau aku jenis tak tau masak macam kau, mahu aku menyorok bawah meja. Sudahlah yang datang hanya dua orang aje perempuan, yang lain semua lelaki,” kataku, mata aku masih lagi terpejam. Rasa penat itu masih lagi bersisa.
“Betul juga.” jawab Killa sambil tersengih. “Eh, kau jumpa tak bos yang Kak Amani cakapkan tu? Bos yang handsome, siapa namanya, hmm Syed apa entah.”
“Aku tak nampak pulak. Lagipun ramailah lelaki handsome kat situ. Pak guard tupun boleh tahan juga, mesti masa muda-muda dia handsomenya.” Selamba aku menjawab.
“Ada pulak pak guard, Kak Amani punyalah promote bos dia, kau ni langsung tak ada perasaan. Lain kali tengok-tengoklah kot ada lelaki paling kacak kat situ. Eeii… ruginya rasa. Kalau akulah, aku cari sampai dapat. Hah! Baru aku teringat nama dia Syed Zainul Muttaqin!” Killa bersorak gembira bila dia teringatkan nama lelaki yang merupakan bos besar syarikat di mana rakan serumah kami bekerja.
“Ah… tak kuasa aku nak cari. Dahlah macam-macam perasaan ada. Aku ingatkan nak kena bertumbuk ke. Tapi aku ada jugalah jumpa sorang mamat ni, punyalah sombong gila. Senyumpun tak nak, mukapun boleh tahanlah. Dia antara orang yang temuduga aku, cuma dia tu asyik pandang aje tanpa bersuarapun. Muka kerek gila, beb!” wajah Killa aku pandang. Cuba mengambarkan lelaki yang cukup sombong pada pandangan mata aku. Susah sangat ke nak tersenyum?
“Dahlah… tak payah pening-pening kepala. Minggu depan dah exam, kau jangan pandai-pandai nak tuang kelas lagi. Kalau nenek kau tau, habislah kau…” Killa memberi peringatan.
Kami melanjutkan pelajaran di Institut Eksekutif Bisnes Malaysia. Bukan dia minat sangatpun, semuanya kena paksa. Aku mengeluh. Sungguh! Hidupnya seringkali diatur membuatkan dia jadi lemas. Akhirnya jiwanya semakin memberontak.

“AKU macam malas nak ambil exam. Biar tak lulus tak apalah,” kataku lalu bangkit dari pembaringan. Killa tercengang.
“Kau jangan cari pasal, Hira!”
“Apa hal pulak kau yang emo sangat pasal aku tak ambil periksa?” soal aku sambil bangun dan melangkah menuju ke bilikku.
“Jangan buat hal boleh tak, Hira? Setakat nenek kau, aku taklah kisah sangat. Tapi kalau papa kau?”  Killa sudah bercekak pinggang.
Aku berhenti melangkah, aku memandang ke arah Killa seketika, kemudian aku rasa mood aku sudah terbang entah ke mana. Kaki  aku bawa ke dalam bilik, birai katil menjadi tempat dudukku kini.
Aku rasa mukaku sudah kepanasan, mengenangkan kisah diri sendiri. Si ‘dia’ cukup membeli jiwaku dengan duit. Hanya kerana duit! Aku tidak pernah merasa langsung kasih sayang seorang bapa. Tidak pernah!
Selama ini apa yang aku tanam dalam kepalaku, aku anak pembawa malang. Setelah mama aku melahirkan aku ke dunia ini, mama mengalami komplikasi yang amat membimbangkan. Malah mama juga terkena demam kuning. Sudahnya mama meninggal dunia. Sejak itulah, papa tidak pernah hendak mengaku aku sebagai anaknya. Hanya empat abang aku sahaja yang selalu melayan aku seperti seorang puteri.
Terkenang memori yang membawa aku jauh dari keluargaku. Hanya kerana sebuah gelas jatuh berderai, papa sanggup memukul aku setengah mati!
“Anak sial! Pegang gelas tu pun macam orang nak mati ke?” seraya itu juga papa bangkit dari kerusi, lalu membalun tubuh kecil aku dengan tali pinggang. Abang-abang aku hanya mampu memandang. Masing-masing takut untuk membantah apa lagi mahu melawan papa.
“Kau memang pembawa malang! Kalau aku tau, aku buang kau kat mana-mana! Rasakan!” pekik papa lagi.
Tubuh kecil aku tidak mampu menanggung derita itu lagi. Raungan langsung tidak mengundang simpati di hati papa.
Setelah puas membalun tubuh kecilku, akhirnya tubuh aku terbiar di atas lantai. Papa meninggalkan ruang makan itu dengan perasaan marah dan geram. Kala itu, mujurlah nenek tiriku tiba dari kampung. Detik hati wanita tua itu membawa petanda, dia memang tidak menyangka satu-satunya cucu perempuan yang dia ada sangat menderita.
Tanpa banyak bicara, nenek yang baru sahaja sampai ke rumahku, pantas mengemas kain bajuku. Nenek telah membawa aku pergi, biarpun tanpa keizinan papa. Papa hanya memandang dari tingkat atas, langsung tiada rasa simpati pada aku. Aku sedar siapa diri aku di mata papa. Aku anak sial!
“Nek… jangan bawa adik pergi…” rayu abang ngah. Satu-satunya abang yang paling rapat dengan aku. Biarpun yang lain rapat juga dengan aku, namun dengan abang ngah, aku lebih dimanjakan.
“Iya… jangan bawa adik pergi, nek…” rayu abang long, uda dan acik. Mereka menarik tangan aku. Kala itu yang aku tahu hanya menangis dan terus menangis.
“Kamu semua nak tengok adik kamu ni lebih derita? Kamu semua tak kesiankan adik ni ke? Adik ni dah puas jadi mangsa panas baran papa kamu tu. Sudah! Jangan halang nenek. Nenek nak bawa Hira pergi dari sini. Biar nenek saja yang bela dia. Kalau kamu semua sayangkan dia, biarkan dia pergi,” kata nenek. Wajahnya cukup serius, sesekali nenek mengesat matanya. Begitu sedih dia melihat keadaan aku yang tidak bermaya.
“Nenek… nenek…” mereka terus merayu.
Namun nenek berjaya juga meloloskan diri dari pegangan mereka berempat. Tubuh kurus aku di baringkan di tempat duduk belakang. Dalam keadaan meniarap, aku tidak mampu menahan rasa sakit bila berbaring secara telentang.
“Papa kau memang kejam!” jerit nenek dalam kereta. Dia menangis semahu-mahunya. Cermin tingkap diketuk dari luar, barulah nenek tersedar kami belum lagi meninggalkan tempat itu.
“Adik! Adik! Adik!!!” jerit mereka berempat.
Biarpun sedih, nenek tidak peduli, dia terus memecut keretanya jauh meninggalkan rumah yang membawa derita buat aku. Biarpun dia hanya sebagai nenek tiri kepada aku. Dia yang menjaga mama aku sejak dari kecil. Dia cukup menyayangi mama seperti anak kandungnya sendiri. Setelah mama meninggal dunia, rasa sayang itu tertumpah pula pada kami semua, cucu-cucunya. Terutama pada aku. Sepanjang perkahwinan nenek dengan atuk, nenek tidak dikurniakan anak.
“Nenek…” rengekku.
“Ada apa, sayang?” air mata nenek tidak kering lagi. Terus mengalir biarpun nenek cuba menahan esak tangisnya.
“Hira nak minum… Hira haus… tadi papa pukul Hira. Hira nak minum. Tangan Hira ni tak boleh pegang gelas tu. Hira… Hira… terlepas…” adu aku membuatkan tangisan yang cuba ditahan-tahan sudah tidak mampu dikekang lagi. Nenek menangis teresak-esak. Mungkin hati tuanya cukup hiba.
“Nek… nek jangan nangis… Hira kuat… ustazah cakap, kita kena kuat biarpun orang marah pada kita. Nanti kalau mati, kita boleh masuk syurga… Hira nak masuk syurga jumpa dengan mama.” Pujuk aku lagi.
Semakin tidak tertahan-tahan lagi. Akhirnya nenek berhenti di tepi jalan. Biarpun perbuatan itu salah, namun dia tidak peduli. Dia menangis di situ. Aku hanya memandang riak nenek yang sangat menghibakan itu. Aku cuba memujuk, namun aku tidak berdaya. Tubuhku rasa sakit sangat.
“Hira duduk dengan nenek ya, sayang?” pujuknya setelah perasaannya sedikit lega.
“Papa tak marah ke, nek?” soalku sambil mengerdipkan mata.
Nenek menggeleng.
“Hira nak sekolah kat mana?”
Aku asyik bertanya, tetapi bila di hadapan lelaki yang dipanggil papa, aku akan mengunci mulut. Tidak berkutik langsung.
“Hira sekolah kat kampung… mulai sekarang, Hira jangan risaukan hal papa. Hira akan tinggal dengan nenek… nenek akan melindungi Hira,” itulah janjinya. Dia menghulurkan air kotak yang ada dalam keretanya itu kepada aku.
“Terima kasih, nek.” Aku tersenyum gembira. Aku cuba mengerakkan tubuhku, namun aku mengaduh kesakitan. Sungguh! Kudrat aku rasakan semakin lemah.
“Hira tidur aje, ya sayang…” pujuk nenek. Akhirnya aku terlena. Sesekali aku terjaga juga apabila merasakan tubuhku tergoyang-goyang dengan pergerakan kereta itu.

AKU mengetab bibir, menahan rasa sedih yang kian memusat dalam dadaku. Aku tidak mampu melupakan semuanya. Aku juga tidak mampu mengusir rasa sedih itu biarpun bertahun lamanya peristiwa itu berlaku.
Perlahan-lahan air mata mengalir juga di pipiku. Papa! Entah sampai bila baru kemarahan papa akan lenyap. Mungkin sehingga ke hujung nyawanya, aku mungkin tidak akan merasa kasih sayang seorang bapa buat selama-lamanya.
“Apa salah aku?” aku mengesat air hidung yang banyak meleleh.
“Aku tak minta pun lahir ke dunia ni. Aku tak punya kuasa nak menahan semua yang berlaku… kenapa papa buat aku macam ni?”
“Anak sial! Anak tak guna!”
Aku menutup telinga. Perkataan itu sering menghantui diri aku. Itulah kata-kata nista yang keluar dari mulut papa sendiri. Aku menggeleng kepala beberapa kali.
“Tidak! Tidak!!!” aku menjerit sekuat hatiku.
Tok! Tok! Tok! Aku dengar pintu bilikku diketuk.
“Hira… Hira…” panggil Killa.
“Hira, kau okey ke? Kenapa kau menjerit?” soalnya cemas.
Aku beristigfar. Tidak sepatutnya aku melayan perasaan yang bisa membuatkan aku rasa tertekan.
“Hira…” panggil Killa lagi.
“Aku okey, Killa…” sahutku perlahan. Suara aku juga sudah berubah.
“Kalau kau okey, tak apalah…”
Killa, satu-satunya rakan yang amat memahami diri aku. Kami berasal dari kampung yang sama. Dari kecil lagi kami sudah rapat, Killa banyak tahu latar belakang diriku. Dialah rakan yang menjadi tempat aku curahkan masalahku.
Aku bingkas, tuala yang ada di tepi katil aku capai. Segera aku ke bilik air. Dalam bilik air, aku melepaskan tangisan lagi. Kebiasaan begitulah, aku tidak mampu menahan-nahan air mata. Aku akan hemburkan selagi tidak rasa puas di hatiku. Aku tidak mahu perasaan itu terus membeku. Aku akan lebih rasa sakitnya.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ermmm....best. nak lg ye
..cpt2 tau.

Unknown berkata...

best nak lagi.