Pengikut

Jumaat, 22 Februari 2013

JANGAN PANDANG SEBELAH MATA, BRO!




10
MIRA MAIRA mula rasa selesa dengan kerjanya. Banyak juga yang telah dipelajari daripada Maslina. Sementelah lagi Maslina akan bercuti bermula daripada minggu hadapan. Dia mesti tahu apa sahaja tugas Maslina, dia tidak mahu ada masalah nanti. 
“Mira dah tuliskan semua tugas-tugas penting yang perlu dibuat setiap hari?” tanya Maslina yang duduk di sebelah Mira Maira. Ketika itu Mira Maira sedang menaip minit mesyuarat yang perlu disiapkan sebelum tengah hari.
“Dah, kak. InsyaAllah rasanya Mira boleh handle. Kalau Mira tak faham ataupun lupa, Mira boleh call akak, kan?” Mira Maira tersenyum, barisan gigi yang putih bersih dan cantik itu terpamir. Itulah daya penarik bagi Mira Maira sebenarnya.
“Boleh aje… tapi jangan call pagi-pagi buta pulak. Menganggu orang tidur namanya tu,” jawab Maslina sambil ketawa kecil.
“Takkanlah, kak…”
“Eh manalah tahu…”
“Okey, kak. Dah siap ni, cuba akak semak. Nanti mengamuk pulak momok kat dalam tu,” Mira Maira memberi ruang kepada Maslina untuk menyemak minit tersebut. Maslina tergelak besar apabila mendengar gelaran yang diberikan oleh Mira Maira.
“Momok Mira panggil dia? Sampainya hati…”
Mira Maira tersengih.
“Akak jangan bagitau dia pulak eh,” pinta Mira Maira, matanya pantas memandang ke arah pintu pejabat Alif Hazriq.
“Taupun takut… ni, betulkan ni ejapun salah.” Maslina menunjuk ke arah perkataan yang salah ejaannya. Pantas Mira Maira membetulkan ejaan tersebut.
“Assalamualaikum…” sapa seseorang.
“Waalaikumussalam…” jawab mereka berdua serentak. Kedua-duanya menoleh ke arah orang yang memberi salam itu.
Seorang lelaki yang memakai topi sambil membawa sejambak bunga. Punyalah banyak kuntuman bunga ros berwarna merah itu.
“Ya, encik. Nak jumpa siapa?” soal Mira Maira. Lelaki yang sedang menunduk mencari sesuatu itu memandang tepat pada Mira Maira. Cermin mata hitam ditanggalkan.
“Weh Mira ke ni?” soal lelaki itu.
Besar kelopak mata Mira Maira. Tidak disangkanya dia akan bertemu dengan Shahir.
“Aku baru tinggalkan kampung sekejap kau dah lupa ke? Miralah ni, siapa lagi. Akupun tak perasan muka kau tadi, punyalah nampak lain bila kau pakai topi dengan cermin mata hitam berkilau-kilau ni. Dah macam model cermin mata ada juga aku tengok,” sakat Mira Maira. Shahir tergelak.
“Sampai hati kau, kita orang punyalah cari mana kau menghilang. Tanya atuk kau, dia kata kau ke Kuala Lumpur. Sikitpun kau tak bagitau kami, kan?” luah Shahir. Mereka berbual tanpa menghiraukan orang keliling. Mira Maira pun lupa diri bila sudah bertemu dengan kawan sekampung.
Sorrylah… aku bukannya tak nak bagitau kau orang berdua, tapi… ah… lain kali ajelah kita cerita. Eh sejak bila kau kerja hantar bunga ni?”
“Dah dua minggu juga. saja-saja cari duit poket. Nak kerja dengan ayah aku, kau faham-faham ajelah. Jangan harap aku nak dapat gaji,” balas Shahir.
Sementara itu, dalam pejabat Alif Hazriq lelaki itu memandang terus ke arah luar pejabatnya. Matanya membuntang bila ternampak Mira Maira sedang rancak berbual dengan lelaki yang memegang bunga itu. Siapakah lelaki itu? Soalnya sendiri.
“Hai… tak sampai sebulan duduk KL, dah ada orang bagi-bagi bunga ke? Boleh tahan perempuan ni.” Omelnya sendiri.
Dia cuba menumpukan perhatian kepada kerja-kerjanya, namun otaknya masih lagi mendesak untuk mengetahui siapakah lelaki itu. Kekasih isterinyakah?
Dia bangkit lalu melangkah kemas ke pintu. Pintu dibuka, Maslina terkejut. Dia mencuit Mira Maira yang sedang leka bercerita.
Wajah Alif Hazriq garang macam singa. Secara tiba-tiba sahaja suhu badannya naik. Apatah lagi melihat Mira Maira yang tertawa begitu. Geram bila melihat kemesraan pasangan itu.
Mira Maira segera duduk sebaik sahaja nampak kelibat Alif Hazriq. Tidak mampu dia mengangkat wajahnya. Mmulutnya terkunci terus.
“Ini Encik Alif Hazriq ke?” soal Shahir apabila menyedari kehadiran seorang lelaki yang segak bergaya itu.
“Ya, saya…” wajahnya tetap tidak dimaniskan. Memandang Shahir besar kecil sahaja. Mahu ditelannya hidup-hidup.
“Bunga ini untuk encik. Tolong tanda tangan di sini,” Shahir menunjuk ke ruang yang perlu ditanda tangan oleh Alif Hazriq.
“Hmm…” Alif Hazriq menurut sahaja. Bunga telah bertukar tangan. Sebelum Shahir melangkah pergi sempat juga dia memberi nombor telefonnya kepada Mira Maira. Serba salah Mira Maira mahu mengambil nombor tersebut. Dia hanya mengangguk-angguk sahaja kepada Shahir.
“Wah, bos. Punyalah besar bunga bos dapat. Daripada buah hati ke?” usik Maslina.
Alif Hazriq tersenyum menawan. Mira Maira hanya mampu memandang lelaki itu daripada ekor matanya.  Lelaki itu terus menapak pergi, namun dia berpusing kembali.
“Lain kali kalau ada bunga untuk saya, terus aje bagi. Jangan bersembang lama sangat.” pesan Alif Hazriq, sempat dia menyindir Mira Maira.
Merah wajah Mira Maira bila mendengar sindiran Alif Hazriq. Membara rasa hatinya.
‘Dia sedap-sedap dapat bunga daripada kekasih, aku sembang dengan kawanpun tak boleh. Eeiii… geram betul.’ Marah Mira Maira dalam hati cuma. Sakit pula perasaannya bila melihat lelaki itu memeluk jambangan bunga itu.
‘Sengaja hendak tayang dengan akulah tu…’ tanpa sengaja dia menghentak stapler.

TELEFON di atas meja berbunyi, pantas tangan Maslina mengangkat ganggang telefon.
“Ya bos… baik bos…” hanya itu yang kedengaran. Setelah itu ganggang diletak. Mira Maira buat tidak endah kerana hatinya terasa sakit lagi.
“Mira… bos panggil. Bawa sekali minit mesyuarat ni,” arah Maslina.
Mira Maira tersentak. Wajahnya berkerut, takutpun ada juga.
“Akak tak masuk sekali ke?” soal Mira Maira. Maslina menggeleng.
“Bos nak Mira buat sendiri. Minggu depan kan ke memang Mira kena ambil alih semua tugas akak. Pergilah, bos bising nanti,” kata Maslina sambil mengangkat kedua belah keningnya. Buatkan Mira Maira bertambah seram lagi.
Dengan berat hati Mira Maira mnegatur langkah menuju ke bilik pejabat Alif Hazriq. Pintu diketuk beberapa kali, bila dengar suara menyuruh dia masuk barulah dia pulas tombol pintu tersebut.
Dia melangkah dengan penuh berhati-hati, menutup pintu juga penuh tata tertib. Dengan kepala yang masih lagi menunduk memandang lantai dia mendekati meja Alif Hazriq.
“Ini minit mesyuarat tu, Encik Alif.” Dengan penuh hormat juga dia memberi minit mesyuarat itu kepada Alif Hazriq.
Alif Hazriq hanya memandang, membiarkan sahaja Mira Maira menghulur kertas itu. Mira Maira mula rasa bosan.
‘Sajalah tu nak dera aku, kang aku baling kertas ni kat muka dia baru padan muka,’ berbuku sahaja hatinya. Mahu dijeling-jeling wajah itu. Tapi dia tidak mampu hendak mengangkat muka. Sesekali matanya merayap pula pada hujung meja, jambangan bunga yang besar terletak di situ. Bertambah-tambah sakit hatinya.
Setelah lama mematung berdiri di situ, akhirnya kertas yang ada pada tangannya telah bertukar tangan. Alif Hazriq memeriksa setiap baris perkataan yang tertera dalam minit tersebut.
“Siapa budak tadi tu?” Alif Hazriq tiba-tiba bersuara.
Mira Maira mengangkat muka, wajah Alif Hazriq dipandangnya. Lelaki itu sedikitpun tidak memandangnya. Mira Maira diam membisu.
“Aku tanya siapa lelaki tadi tu? Kau kenal dia ke?” ulang Alif Hazriq. Mira Maira menelan liur.
“Dia kawan sekolah saya. Kami satu kampung,” jawab Mira Maira perlahan. Suaranya antara dengar dengan tidak saja.
“Patutlah bukan main rancak lagi berbual. Lain kali jangan nak bersembang dengan orang, macam bersembang di kedai kopi. Bukan tak ada kerja nak dibuat,” bebel Alif Hazriq.
Panas sahaja telinga Mira Maira. Wajahnya yang hitam manis itu boleh menjadi hijau pekat dek kerana darah sudah mula menyerbu naik ke kepala.
‘Eh kalau dia berbual dengan kekasih dia tak apa pulak. Agak tak ada kerja lain ke dia nak buat?’ marah hatinya lagi.
“Kau dengar ke tak?” soal Alif Hazriq apabila melihat Mira Maira terus diam membisu.
“De… dengar, Encik Alif. Saya janji lain kali saya tak buat lagi,” sepatah-sepatah Mira Maira mengikrar janjinya walaupun tidak sepenuh hati.
Alif Hazriq menghulur kertas itu kembali. Mira Maira pantas sahaja menyambutnya.
“Semuanya okey, kau boleh fotocopy. Nanti letak di meja bilik mesyuarat. Aku nak semuanya dah tersedia di atas meja sebelum mesyuarat bermula.” Arah Alif Hazriq lagi. Mira Maira mengangguk.
“Baik, Encik Alif. Ada apa-apa lagi? Boleh saya keluar sekarang?” Mira Maira kalau boleh mahu segera berlalu daripada situ. Mahu ghaib terus daripada pandangan lelaki itu.
“Rasanya tak ada apa-apa lagi. Kau boleh keluar sekarang.” Arah Alif Hazriq. Mira Maira mengangguk. Dia melangkah secepat mungkin. Malas mahu berlama-lama di situ. Lelaki itu memang sengaja mahu mendera perasaannya.
‘Sajalah tu nak tunjukkan kuasa dia. Paling aku geram, macam sengaja aje tayang bunga dia tu, pirah… malas nak semak fikiran.’ Hati Mira Maira tidak habis-habis berleter.
Sudahnya dia jadi moody sehingga ke petang. Dalam bilik mesyuaratpun dia langsung tidak ada semangat. Wajah Alif Hazriq enggan dipandangnya. Selebihnya ada bibit-bibit cemburu di hatinya. Dia tidak boleh sangkal semua itu. Isteri mana yang tidak cemburu?

2 ulasan:

cyah berkata...

Best la citer ni... Rini br ada ksmptn nk buat marathon bc dr bab 1 hehehe....

syimasyawal berkata...

TQ Rini...

doakan ia terbit ya hehehehehehe