Pengikut

Rabu, 27 Jun 2012

KU PINANG KAU DENGAN BISMILLAH... BAB 2




RUMAH yang kami duduk merupakan rumah sewa satu bilik. Bersebelah dengan tuan rumah. Rumah itu bersambung dengan banglo mereka. Oleh sebab itu, apabila mahu keluar masuk ke rumah kami, kami terpaksa melalui halaman rumah tuan rumah itu.
Tuan rumah itu banyak rumah sewa, namun sewa yang mahal menyebabkan kami tidak mampu. Apatah lagi kami hanya berdua sahaja. Kami memang tidak mahu duduk ramai-ramai, itu janji kami berdua.
Buat masa sekarang, aku hanya mampu menjadi pembantu tukang masak di salah sebuah restoran yang berdekatan dengan rumah sewa kami. Oleh sebab aku memakai niqab, aku tidak dibenarkan keluar daripada dapur. Mungkin tauke restoran itu bimbang pelanggan-pelanggannya akan lari bila melihat aku. Silap hari bulan ada pula yang gelar aku hantu kum-kum nanti.
Aku tidak kisahpun. Asalkan cukup bulan aku dapat membayar sewa rumah dan buat belanja sedikit untuk diri sendiri sudah memadai. Hendak bermewah-mewah, aku tidak punya nafsu ke arah itu. Cukup apa yang aku ada. Tidak perlu mengejar harta dunia. Takut aku lupa diri pula. Lagipun berapa ramai yang mahu mengambil pekerja yang memakai niqab? Aku perlu bersyukur kerana tauke itu ada belah Ehsan kepadaku lalu memberikan aku pekerjaan.
Petang itu aku pulang kerja seperti biasa. Aku lihat ada sebuah kereta berwarna biru terparkir di hadapan rumahku. Mungkin anak kepada tuan rumah itu agaknya, detik hatiku sendiri.
“Rabitah baru balik?” sapa Mak Cik Soraya.
“Ya mak cik.” Jawabku sambil tersenyum. Opss… senyuman aku tidak nampak oleh Mak Cik Soraya sebab mulut aku terlindung. Namun aku yakin dia tahu aku sedang tersenyum kepadanya.
“Marilah sini. Kita minum-minum, sambil bersembang.” Lawa Mak Cik Soraya.
“Tak apalah mak cik, saya nak mandi dulu.”
Helahku penuh hormat, bimbang tolakan itu menimbulkan rasa kurang senang di hatinya pula. Sudah berkali-kali dia mengajakku menjamu selera di rumahnya, aku tetap menolak. Rasa bimbang pula, lagi pun aku baru beberapa bulan duduk di situ. Masih lagi ada perasaan segan.
“Alah mandi tu boleh kemudian. Marilah mak cik nak kenalkan dengan anak mak cik ni.” Gamitnya lagi.
Aku mengerling jam tanganku, baru pukul enam petang. Masih ada sedikit masa lagi sebelum masuknya waktu maghrib. Perlahan aku atur langkah menuju ke beranda rumah Mak Cik Soraya. Itulah kali pertama aku duduk melepak di situ. Aku hulurkan tangan kepadanya. Tidak lupa pada tetamu yang merupakan anak mak cik itu.
“Sulwani, kenalkan ini Rabitah.” Mak Cik Soraya perkenalkan aku kepada anaknya. Aku menundukkan kepala. Niqabku masih lagi tersarung. Malas mahu menanggalkan, tentu Pak Cik Othman ada di rumah. Belum pernah lagi Pak Cik Othman melihat wajahku yang sebenar. Biarlah wajah aku terlindung di sebalik niqab ini.
“Inilah dia, ya mak?” soal Kak Sulwani, aku jadi pelik. Kenapa pula kakak itu berkata begitu pula, adakah Mak Cik Soraya bercerita apa-apa tentang diriku?
“Ya… inilah dia penyewa baru rumah tu. Ada lagi seorang kawan dia, kawan dia tu balik lewat sikit.” Ujar Mak Cik Soraya.
Cepat benar aku ini salah anggap pada orang lain, tentulah dia bercerita pada anaknya tentang penyewa baru rumahnya itu. Hisy… tidak fasal-fasal buat dosa kering.
Aku hanya mendiamkan diri, dua beranak itu rancak berbual. Tidak tahu pula aku hendak mencelah di mana. Topik perbualannya berkisar tentang apa pun aku tidak pasti. Perlahan aku menghirup air teh di bawah niqabku. Sesekali Kak Sulwani mengerling ke arahku. Mungkin dia mahu melihat bagaimana caranya orang yang memakai niqab makan ataupun minum. Berbaik sangka sahajalah Rabiatul Adawiyah…
Sejak aku keluar daripada rumah keluargaku, aku mula menukar nama. Aku lebih senang orang memanggil aku dengan nama Rabitah. Biarlah… bukan aku tidak sudi lagi mahu menggunakan nama Robiatul Adawiyah, tetapi aku sudah nekad, selagi keluarga aku tidak dapat menerima diri ini, selagi itulah aku takkan gunakan nama itu. Aku telah memalukan mereka. Nama itu sangat indah berbanding dengan akhlakku. Ya Allah… layakkah aku mencium syurgaMu?
Mahu sahaja aku menangis, mujur aku sedar ketika itu aku berada di mana. Baru aku perasan pandangan Kak Sulwani ke arahku sebaik sahaja aku angkat wajahku. Matanya cukup mengambarkan pelbagai persoalan berlegar dalam kepalanya. Aku cuba melarikan anak mataku.
“Rabitah bekerja di mana?” soalnya. Tentu Mak Cik Soraya tidak menceritakan di mana tempat kerjaku.
“Saya kerja di restoran jalan besar sana, kak.”
“Bekerja sebagai apa?”
“Sebagai pembantu dapur saja. Yalah… saya pakai macam ini, tak dibenarkan duduk di depan. Takut orang lari nanti. Almaklum pandangan masyarat lain sikit pada orang yang pakai niqab ni.” Ujarku ramah.
Kelihatannya Kak Sulwani terangguk-angguk. Mungkin setuju dengan pendapatku itu.
“Memang betul apa yang Rabitah cakapkan tu. Mungkin sebab masyarakat kita tidak biasa dengan wanita-wanita berfurdah ini. Lagipun ia tidak diwajibkan tetapi pada sesetengah tempat ia menjadi wajib atas sebab-sebab tertentu. Contohnya negara-negara luarlah. Pada akak pulak, ia sangat bagus. Dapat mengelakkan diri daripada fitnah dan ia juga boleh menjadikan seseorang itu lebih berakhlak dan sentiasa menjaga maruah dirinya. Ia juga bergantung pada niat kita. Kalau boleh semuanya kerana Allah.” Itu pendapat Kak Sulwani.
Aku sangat bersetuju dengan pendapatnya itu. Tujuan aku berniqab juga untuk menghindarkan diri daripada fitnah-fitnah dan menghadkan batasan pergaulan. Cukuplah sekali aku melakukan kesalahan yang amat aku sesali seumur hidup. Takkan aku ulangi lagi. Biarlah tiada lelaki yang sudi menjadikan aku suri hidup mereka. Aku sedar, diri aku tidak sempurna. Walaupun lelaki Pakistan yang menyewa di kampung itu pernah menghulurkan surat cinta kepada aku beberapa minggu yang lalu.
Dalam suratnya dia menyatakan dia menyukai wanita yang berniqab, seperti di negaranya. Wanita-wanita menutup seluruh wajah mereka. Mungkin dia ikhlas, tetapi sedikit pun hati aku tidak terusik. Masakan aku mahu bersuamikan orang asing? Tetapi andai itu yang ditentukan oleh Allah, aku tidak boleh buat apa-apa. Selagi boleh mengelak, aku akan elak.
Rasanya hati ini sudah lama ditutup untuk sebarang cinta. Tidak sudi lagi aku menerima mana-mana cinta lelaki. Cukuplah sekali. Kerana cinta, aku lupa segala-galanya termasuklah Tuhan yang maha esa. Cukuplah sekali itu aku melakukan perbuatan terkutuk itu. Cukuplah… cukuplah… itu tekad aku sejak aku keluar daripada rumah keluargaku.

“RABITAH ada masalah ke? Sejak tadi akak tengok, Rabitah banyak termenung. Kalau ada masalah, ceritalah pada kami. Kami sudi mendengarnya.” Tegur Kak Sulwani.
Segera aku menggeleng. Aku tidak mahu sesiapapun tahu kisah silamku. Biarlah, aku takkan begitu mudah menceceh dan menjaja maruah diriku sendiri.
“Macam ini… mak ada beritahu akak, dia berkenan dengan Rabitah…”
“Hah?” belum habis Kak Sulwani bercakap aku sudah memotongnya. Kurang senang dengan perkataan ‘berkenan’ itu. Adakah Mak Cik Soraya mahukan dia menjadi madunya? Hisy… tidak mungkin! Kalau jadi menantu pun tdiak mungkin juga, ada ke Mak Cik Soraya itu anak lelaki? Tetapi kalau adapun adakah aku sudi? Cepat sahaja kepala aku menggeleng.
“Kamu ni bercakap macam nak meminang dia pulak. Cuba cakap terus terang aje, tengok Rabitah dah terkejut tu.” celah Mak Cik Soraya.
Lega rasa hati aku. Gila aku nak jadi madu Mak Cik Soraya? Umur Pak Cik Othman sudah mencecah ke angka enam puluh lima tahun. Tidak pula aku sanggup melukakan hati wanita di hadapan aku ini.
“Sebenarnya Rabitah, Kak Su kamu ni nak buka cawangan tadikanya di kampung ni. Yalah, di kampung ni kurang tadika Islam. Sebab tu mak cik cadangkan buka saja tadika di kampung ni, tapi dia kata tak ada orang nak jaga pulak. Itu yang mak cik cadangkan cuba tanya kamu dulu.” terang Mak Cik Soraya.
Barulah aku faham kini. Otak ini asyik fikir yang bukan-bukan sahaja. Sudah tidak ada kerja lain lagi agaknya. Hisy… apalah aku ini.
“Oh… Sebelum ini tadika Kak Su dekat mana?” teruja juga aku hendak tahu.
“Tadika akak dekat Trengganu. Betullah kata mak tadi, kalau Rabitah sudi tolong akak, akak berbesar hati sangat. Memang niat akak sejak daripada dulu lagi nak buka dekat kampung ni. Yalah… nak juga berbakti pada orang-orang kampung. Mendidik anak-anak bangsa sendiri, kan?” ujar Kak Sulwani pula.
Aku kaget. Mahukan tidak, tidak fasal-fasal aku kena memikul tanggungjawab sebesar itu? Itu belum lagi kerenah budak-budak. Paling tidak sanggup kerenah ibu bapa yang berlebihan daripada budak-budak.
“Tapi saya ni…”
“Janganlah menolak, Rabitah. Kalau kamu kerja dekat restoran tu, berapa sen sangat gajinya. Walaupun pada kamu cukup, tapi sekurang-kurangnya mahu juga kamu nak hantar duit pada keluarga kamu, kan? Tawaran daripada Kak Su kamu ni, berbaloi juga. Kerjapun tidaklah sampai ke petang. Pukul empat dah habis waktu kerja. Lagipun, kalau Rabitah bersetuju, Kak Su kamu ni nak belikan skuter untuk kamu. Senang nak pergi ke tadika tu. Ajak sekali kawan kamu tu kerja sebagai guru.”
Aku mula mencongak-congak. Kalau ikutkan tawaran itu, memang menarik. Tidak payah aku bersusah payah menghadapi kerenah tukang masak di restoran itu lagi. Dan paling bagusnya dapat mengelak diri daripada bebelan tuan punya restoran. Seorang wanita yang sangat cemburu, apatah lagi bila suaminya pergi ke bahagian dapur. Mahu terbang semua pinggan mangkuk. Hisy… masalah… masalah…
“Bolehlah, Rabitah. Tolonglah akak ya...” Kak Sulwani merayu. Aku mula serba salah.
“Tapi saya ni tak ada pengalaman, kak. Takkan saya nak mengajar sembarangan aje. Yalah, kita berniat nak mendidik ni, kalau boleh biar budak tu betul-betul faham dengan apa yang kita ajar.” Aku mula berdalih, walaupun separuh hatiku mahu menyambut tawaran itu.
Kak Sulwani tersenyum lebar. Mungkin padanya masalah itu hanya celah gigi sahaja. Sedangkan aku mula berdebar dan gelisah mengenai perkara itu.
“Itu Rabitah jangan bimbang, akak akan ajar macam mana nak mengajar kanak-kanak ni. Kalau ada mana-mana kursus untuk tadika, akak akan hantar Rabitah. Akak akan pantau selama sebulan, lepas tu akak akan lepaskan pada tangan Rabitah pula. Insyaallah akak yakin benar dengan kebolehan Rabitah.” Begitu tinggi harapan wanita itu terhadapku?
Aku mula resah… hendak beri alasan apa lagi? Bila melihat kebaikan keluarga itu, rasa tidak sampai hati pula mahu menghampakan harapan mereka. Bila fikirkan masalah-masalah yang hadir di tempat kerja sekarang, tidak mahu bertangguh-tangguh lagi, mahu menyuarakan sahaja persetujuan. Tetapi aku harus sedar, perkara ini melibatkan Karmah juga. Takkan aku pandai-pandai buat keputusan sendiri.
“Kalau macam itu, nanti saya bincang dulu dengan kawan saya tu, kak. Manalah tahu dia tak setuju ke… nak juga tahu pendapat dia. Nanti saya akan beritahu keputusannya pada mak cik,” itu jaminan daripada aku.
Kak Sulwani dan Mak Cik Soraya tersenyum. Mungkin juga mereka begitu yakin aku akan terima tawaran mereka itu. Aku bangun, mohon berundur diri. Waktu maghrib sudah hampir tiba.

“OKEYLAH tu, Awi… aku suka sangat. Aku dah penat kerja kat situ. Hari-hari kena leter. Kena maki dengan pelanggan lagi. Kerja kedai jual cat, biasalah mana ada masa nak duduk-duduk santai. Berapa ramai kontraktor yang datang, nak itu nak ini. Tu belum lagi ada yang angin satu badan. Salah sikit nak marah-marah. Naik bosan aku dah.” Luah Karmah.
Kasihan pula aku melihat wajahnya yang berkerut-kerut begitu. Mengambarkan kepenatan yang tidak terhingga. Sebab itulah aku tidak kisah menyediakan makanan setiap hari untuk makan malam kami. Aku tahu, Karmah bukannya kerja goyang kaki. Begitulah kalau bekerja sebagai kuli. Ikut sahaja apa yang dimahukan oleh majikan. Mujur jugalah majikan Karmah membenarkan sahabat aku itu bersolat, kalau tidak memang nahaslah tauke itu aku ceramah nanti.
“Kau tak bimbang ke nak mengajar budak-budak ni?” berkerut kening Karmah memandang ke arah aku.
Terus terang sahaja, aku memang bimbang. Yang pertamanya aku bimbang aku tidak dapat mengawal emosi aku. Manalah tahu, aku jadi kurang sabar pula nanti. Kadangkala kita boleh bersabar dengan orang-orang dewasa walaupun ada yang mencabar hati kita. Tapi dengan budak pula, kita tunjukkan ego kita. Marah tidak bertempat, bertempik, terjerit-jerit sepertinya budak-budak itu faham apa yang kita mahukan. Padahal pemikiran mereka tidak terjangkau melebihi usia mereka.
“Insyaallah… apa guna kita baca al-quran setiap hari dan tiada guna juga kalau kita solat sebanyak mana pun setiap hari andai selepas itu kita tak mampu hendak membendung perasaan marah kita itu.
Di dalam al-Quran Allah SWT memuji orang-orang yang menahan kemarahan dan memaafkan orang lain, seperti mana firmannya: "Dan bersegeralah kamu mendapat keampunan daripada Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang yang bertakwa. (Iaitu) orang-orang Yang menafkahkan (hartanya) pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang yang berbuat kebajikan.  (Surah Al ‘Imran 133 ~ 134)”
Aku berfikir lagi. Satu perkara yang membimbangkan aku, selepas ini pasti aku tidak punya banyak masa. Bagaimana dengan pencarian aku nanti? Kalau bekerja di restoran itu, boleh juga aku minta cuti. Bekerja di tadika pula, takkan aku hendak cuti selalu. Susahlah nanti anak-anak itu tertinggal pembelajarannya.
“Kar… aku bimbang tak dapat cari anak aku. Kau tahu aje, kalau nak pergi ke sana ke sini perlukan banyak masa.” Adu aku.
Barulah Karmah faham. Dia merenung wajahku, kemudian bahuku ditepuk perlahan.
“Insyaallah, Awi… kalau dah disuratkan kau bertemu dengan dia, pasti kau akan jumpa juga suatu hari nanti. Seandainya di sebaliknya pula terjadi, kau perlu reda. Aku akan sentiasa mendoakan kebahagiaan kau. Dan aku percaya, Allah akan makbulkan doa kau tu. Cuma… kau perlu bersabar…” itulah kata-kata nasihatnya. Aku hanya mengeluh. Ya… kesabaran itu perlu ada.
“Jadi kau setujulah ya?” Karmah mengangguk.
“Esok aku beritahu Mak Cik Soraya. Mesti dia suka sangat. Tak sangka Kar… akhirnya kita bakal jadi cikgu juga.” Ujarku penuh kesyukuran. Hanya kepada Allah aku panjatkan rasa gembira itu.
“Kau memang layak, Awi. Keputusan STPM kau memang terbaik. Dah dikira diploma dah tu. Tak macam aku ni, setakat SPM aje, itu pun keputusannya banyak C dan D.” sahut Karmah pula.
“OKeylah tu Kar, daripada tak ada markah terus…” tokok aku pula, Karmah ketawa.
“Jomlah masuk tidur, kita mimpikan yang best-best malam ni.” Karmah bangun. Aku pula masih lagi duduk sambil termangu.
Mimpi? Aku jadi seram hendak tidur. Aku khuatir mimpi itu akan datang kembali… bilakah mimpi itu akan pergi?

****************************
p/s : moga terhibur.... 

2 ulasan:

Perfume Malaysia berkata...

selamat mlngsung perkahwinan nanti ye.(baca tajuk je.hehe)

Tanpa Nama berkata...

Akak writer bila nak sambong cite niy.. Best n nak tau cite seterusnya lah.. Sya tunggu tau.. Thanks