Kalau ikutkan aku nak berpantang di rumah sendiri, tapi apakan daya dua bulan sebelum aku bersalin, abah pulak kena stroke, jadi apa-apa hal aku fikir biarlah abah tengok wajah anak aku. Walaupun aku fikir yang bukan-bukan tapi itulah ajal hanya ALLAh tentukan, aku takut abah tak dapat tengok wajah anak aku jika aku berpantang di rumah sendiri.
Sehari dua di rumah mak, aku dapat rasakan aku menambahkan lagi beban mak, mak terpaksa jaga aku dan di samping itu juga menjaga abah yang lebih memerlukan mak. Abah tidak berdaya, hendak pergi bilik airpun kena orang bawakkan, sedangkan aku, walaupun perut aku sakit gila, tapi aku masih boleh berjalan.
Kesian juga tengok mak, penat... nak masakkan untuk aku, mana nak basuh kain, nak angkat abah lagi, aku memang tidak mahu menyusahkan dia.
Aku ambil keputusan untuk duduk hanya seminggu di rumah mak, mak menaggis bila mendengar aku nak pergi ke rumah mak mertua. Mak mertua memang hendak menjaga aku, dia juga kasihankan mak aku. Maafkan aku mak... bukan niat aku untuk mengecilkan hatimu tapi abah lebih memerlukan perhatian dari mak. Mak pun bukannya sihat sangat. Niat anakmu ini baik mak...

Layanan mak mertua memang sebaik mak aku, aku dengan mak mertua memang rapat, aku tak pernah anggap dia mertua tapi aku anggap dia macam mak aku sendiri. Apa saja aku boleh kongsi cerita, bila dia marah, aku buat biasa aje tak pernah ambik hati dan yang paling penting apa yang aku lakukan pada ibuku (salam dan cium pipi) aku lakukan pada dirinya.
Masa aku dalam hari, anak aku yang sulung memang mencabar keimanan aku. Dia buat perangai yang bukan-bukan, mungkin minta perhatian yang lebih. Kadang tu kesabaran tidak dapat menghalang kemarahan. Asyik kena marah saja. Kesian jugak dengan dia, tapi aku tak berdaya, masa inilah emosi kita tidak menentu.
Aku duduk rumah mak mertua hanya seminggu kerana aku rasa dah betul-betul sihat. Lagipun kesian juga dengan suami, terpaksa pendam rindu pada anak-anaknya. Bila dah balik rumah sendiri, pantang entah kemana. Belum lagi habis hari, aku dah ke sana, ke sini. Nasib aku baik, anak aku tak meragam. Alhamdulillah, aku sihat dan bayiku juga tidak ada apa-apa sehinggalah kini (sudah lebih 44 hari).

Terima kasih mak... terima kasih juga buat mertua... kedua2nya aku sayang...